Category: Semasa

  • ‘Bas’ dipandu Anwar sedang melilau

    ‘Bas’ dipandu Anwar sedang melilau

    Oleh BADLISHAH MAT

    KERAJAAN Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim diibaratkan seperti bas yang sedang terhuyung-hayang dan bakal menjunam ke dalam gaung sekiranya tidak disedarkan dengan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, PN tidak perlu menunggu lama untuk mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan sekiranya menang di kesemua enam negeri itu ekoran tindak-tanduk Perdana Menteri ketika ini.

    “Mari drebar (Perdana Menteri) baru nama Anwar Ibrahim walaupun dia drebar bas tapi dia buas, suka duduk belakang. Biasa yang naik bas duk belakang ni budak-budak buas, bawa marka dok belakang, hat tuang sekolah duk belakang, hat isap rokok duk belakang.

    “Anwar ni walaupun dia tua umur 76 tahun, tapi dok berasa dia muda pi belakang (menggayakan tarian Anwar bersama mahasiswa). Drebar ni kena duk depan pegang stereng, sebelah kaki duk atas minyak sebelah (tangan) lagi dok kepala gear.

    “La ni drebar tak tau pi mana, melilau-lilau bas kita, tapi dia salahkan orang lain. Salahkan PN, salahkan Sanusi padahal bas kita nak terjun gaung, ringgit jatuh, barang harga naik, (getah) sekerap tak naik harga dan pelabur lari. Negara sedang merudum sebab tindak tanduk Perdana Menteri,” katanya ketika berucap pada Himpunan Munajat Perdana di Sik, malam tadi.

    Kata Menteri Besar Kedah itu, rakyat hanya akan terselamat daripada kesusahan yang menimpa mereka sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ditunjukkan jalan keluar secepat mungkin.

    “Sebelum bas jatuh gaung sebab drebar dia selerak merata, Perdana Menteri berjalan rata, kena bagi drebar tersedar yang kerjanya adalah dok depan, pegang stereng molek (elok-elok), tekan (pedal) minyak tekan (pedal) brek, kalau (menuju) gaung tekan brek bukan tekan minyak.

    “Enam negeri PRN kena bagi PN menang untuk selamatkan rakyat atas bas. Anwar kita lempar ikut pintu kecemasan (bas),” katanya.

    Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, beliau akan terus kental berhadapan cabaran mahupun serangan peribadi dan akan terus berjuang mempertahankan kebenaran.

    “Sanusi lebih nakal daripada itu, toksah dok lawan la Sanusi, kalau nak saman Sanusi untuk berhenti daripada menjadi budak nakal Sanusi tak akan berhenti kerana Sanusi dilahirkan untuk melawan,” katanya.

  • Saifuddin nafi rayu Hamzah batal keputusan pemilihan PKR

    Saifuddin nafi rayu Hamzah batal keputusan pemilihan PKR

    SETIAUSAHA Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan beliau merayu kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin supaya membatalkan keputusan pemilihan PKR pada 2022.

    Saifuddin yang tewas kepada Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan itu menyifatkan dakwaan dibuat Hamzah sebagai ‘kenyataan politik ‘ menjelang PRN bulan depan.

    “Pertemuan dengan Datuk Seri Hamzah hanya atas kapasiti sebagai pengerusi bersama jawatankuasa di antara kerajaan dan pembangkang sewaktu pemerintahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” jelasnya.

    Katanya lagi, ketika itu beliau hanya menjawab surat tunjuk sebab daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang jika tidak dijawab boleh menyebabkan pendaftaran PKR dibatalkan.

    “Jadi ada beberapa aduan daripada pemilihan oleh anggota parti kepada JPPM yang menulis kepada kepada parti, saya sebagai Setiausaha Agung diberi tanggungjawab majlis pimpinan pusat (PKR) untuk respon surat tunjuk sebab itu,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang media selepas sambutan Hari Imigresen di Putrajaya hari ini.

    Menurutnya, jawapannya kepada JPPM yang memberi surat tunjuk sebanyak dua kali tiada kaitan dengan dakwaan Hamzah.

    Dalam ceramah di Alor Setar malam tadi, Hamzah mendakwa Saifuddin pernah merayu kepadanya untuk membatalkan keputusan pemilihan PKR 2022 ketika beliau memegang jawatan menteri dalam negeri.

    JPPM yang memantau parti politik adalah di bawah Kementerian Dalam Negeri diketuai Hamzah pada waktu itu.

    Sementara itu, Saifuddin berkata, belum menerima sebarang notis tuntutan daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor atas dakwaan fitnah berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah dan penggunaan peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris) sebanyak RM1.6 bilion bagi tujuan lain.

    “Saya biasa boleh dihubungi bila-bila masa. Saya tak elak. Saya boleh didekati dengan mudah dan tak susah didekati sehingga jam 3 pagi,” katanya.

    Dalam tuntutan dibuat menerusi peguam Tengku Amalin & Faizi, Saifuddin dalam tempoh tujuh hari diminta memohon maaf, membuat aku janji tidak mengulangi tuduhan sama dan kepada Sanusi yang perlu dibayar serta merta selepas dipersetujui kedua-dua pihak.

    Berhubung isu sama, Saifuddin menggesa Sanusi mendedahkan identiti seorang lelaki warga China yang ditahan di sebuah Hutan Simpan Bukit Enggang Sik berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) pada Januari lalu.

    “Sanusi seorang pemimpin yang pantas jawab apa jua persoalan tetapi kes ini dia diam sudah 72 jam,” katanya.

  • Tak patut buru orang belum nyata kesalahan pukul 3 pagi, kata Hadi Awang

    Tak patut buru orang belum nyata kesalahan pukul 3 pagi, kata Hadi Awang

    BERSEMPENA sambutan Maal Hijrah 1445, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengimbau perjuangan Nabi Muhammad SAW menegakkan negara Madinah yang ditukarkan daripada nama asalnya Yathrib atau Taibah.

    Ahli parlimen Marang itu turut membandingkan perbandingan konsep madani oleh Rasulullah SAW dengan Malaysia Madani yang dibawa Pakatan Harapan (PH).

    “Maka, tidak sepatutnya berlaku sepertimana peristiwa orang yang baru sahaja dituduh dan belum nyata kesalahannya, namun terpaksa ditangkap dan diburu pada jam tiga pagi.

    “Apa yang ada pada mereka hanyalah jenama sahaja bagi menarik sokongan rakyat, dalam keadaan mereka bersifat menipu, berbohong dan lain-lain, serta bersifat seperti binatang sesumpah yang boleh berubah-ubah warnanya bagi menggoda rakyat yang sentiasa ditipu dan dizalimi.

    “Kerjanya hanyalah mencari keredaan manusia, malah sokongannya bukan ikhlas kerana Allah SWT,” katanya pada kenyataan yang terbit di Harakahdaily hari ini.

    Walaupun tidak menyebut nama, Presiden Pas itu dipercayai mengulas kejadian penangkapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md. Nor.

    Sanusi ditahan di sebuah pangsapuri sewa di Kuala Lumpur pada pagi Selasa 18 Julai lalu sekitar pukul 3 pagi dan didakwa di mahkamah kerana membuat kenyataan berbaur hasutan kira-kira lima jam kemudian.

    Sementara itu, Abdul Hadi juga mengingatkan bahawa amal kebajikan yang besar dapat dilakukan melalui negara bermasyarakat madani yang berpandukan al-Quran.

    “Bukan madani pada jenama sahaja, yang bergelumang dengan penipuan, mungkir janji, kezaliman, rasuah, maksiat dan berbagai-bagai salah laku,” dakwanya lagi.

    Sambutan Maal Hjrah 1445 (2023) peringkat kebangsaan pada tahun ini bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’.

  • PN kemuka aduan selepas ahli tidak dibenar solat di masjid

    PN kemuka aduan selepas ahli tidak dibenar solat di masjid

    PERIKATAN Nasional (PN) menghantar aduan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan selepas  jemaah yang memakai baju dengan logo parti itu tidak dibenarkan solat di Masjid at-Taufiqiah Taman Pinggiran Senawang dalam satu kejadian pada 16 Julai lalu. 

    Dalam kejadian itu, individu dipercayai pengerusi masjid bertindak memarahi sekumpulan ahli PN menerusi mikrofon.

    Pengerusi masjid itu tidak membenarkan mana-mana jemaah  yang memakai pakaian dengan logo parti politik untuk solat berjemaah dalam masjid.

    Mereka turut dihalau keluar dari masjid itu.

    Video kejadian berkenaan turut tular di beberapa laman sosial. 

    Ketua PN Rembau, Nazree Yunus mengesahkan aduan itu kepada MalaysiaNow.

    “Mereka memakai baju (dengan logo) kerana ada program pelancaran jentera PN dalam taman berkenaan.

    “Maka ada anak-anak muda ingin menumpang solat di masjid,” katanya, lapor MalaysiaNow.

    Aduan itu antara lain menyatakan, jemaah yang memakai baju PN tidak berniat untuk berkempen atau berpolitik dalam masjid, selain menggesa jabatan agama mengambil tindakan sewajarnya.

    Susulan itu, Nazree memaklumkan satu laporan polis juga dibuat berhubung kejadian tersebut.

    Masjid tersebut sebelum ini terpalit dengan kontroversi apabila kerajaan negeri membatalkan pelantikan pengerusi, setiausaha dan bendahari masjid meskipun sudah lulus dalam temu duga yang diadakan. 

    Masjid lain yang terlibat dalam kontroversi itu ialah Masjid Ar-Raudhah Kariah Taman Rasa Sayang dan Masjid Bandar Baru Senawang.

    MalaysiaNow sedang berhubung dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan untuk maklum balas berkenaan isu ini. 

  • Tanaman padi lima musim bukan cetusan Kerajaan Perpaduan, dedah Sanusi

    Tanaman padi lima musim bukan cetusan Kerajaan Perpaduan, dedah Sanusi

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendedahkan, penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun merupakan cetusan idea Kedah.

    Beliau menafikan idea tersebut datang daripada Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Jelas beliau, cadangan awal agar Kedah meneroka kaedah baharu tersebut dipelopori bersama bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman.

    “Usaha Kedah itu telah pun bermula sejak lebih setahun lalu melibatkan keluasan sebanyak 1,240 hektar sawah.

    “Kita (Kedah) yang cadangkan tanaman padi lima musim dua tahun, MADA ketika itu cari benih di Indonesia yang boleh matang dalam tempoh 75 hari dan sekarang (difahamkan) benih itu dalam proses paten.

    “Lepas itu baru-baru ini (Anwar) datang Kedah umum kata dia yang gagaskan tanaman lima kali dua tahun, kita rancang lebih awal, dia baru mari nak ‘laba’,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program ceramah ‘Taujihat Pimpinan: Munajat Perdana Mohon Keamanan dan Menentang Kezaliman’ di Dewan Al-Hana, Sik malam tadi.

    Pada Jun 2022, Kerajaan Kedah berhasrat melaksanakan penanaman padi lima kali dua tahun bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import beras.

    Muhammad Sanusi memaklumkan, import beras tidak perlu diteruskan sekiranya langkah tersebut berjaya dilaksanakan.

    Dalam pada itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu percaya Kedah dicemburui parti lawan berikutan pencapaian cemerlang negeri itu sejak ditadbir PN.

    “Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang rileks saja. Kedah banyak pencapaian besar antaranya, dalam keupayaan kita yang terhad kita hampir menyempurnakan proses pembaikan infrastruktur bekalan air, kita dapat geran dan pinjaman ketika itu.

    “Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kalau boleh mereka nak ‘claim’ hasil kejayaan mereka, kalau PN tak menang PRN dan projek itu siap dalam zaman pemerintahan mereka, kejayaan itu akan dikatakan usaha mereka,” jelasnya.

    Muhammad Sanusi berkata, pencapaian lain termasuk proses menaik taraf empat Loji Rawatan Air (LRA) berbentuk geran bernilai RM931 juta, selain usaha menangani air tidak terhasil (NRW) sebanyak RM940 juta menggunakan model pertama dalam negara.

    “Model ini tak pernah dibuat di negeri lain, Kedah perintis, sasaran kita untuk kurangkan peratusan NRW daripada 48 peratus kepada 25 peratus. Benda baik yang kita rancang mereka (PH/BN) mahu ia jadi kenyataan masa mereka tadbir, jadi mahu tak mahu kena ‘runtuhkan’ Sanusi, tu yang mereka pulun, padahal saya bukan ada buat salah apa,” ujarnya lagi.

    Menurutnya lagi, Kedah juga diberikan sijil perakuan pengurusan kewangan dengan memperoleh sijil bersih selain diperakui status kedudukan kewangan kukuh.

    “Sebab itulah mereka marah sangat pada saya. Mereka kata saya cakap kasar dan loklaq (tidak sopan), kalau tak cakap macam tu, mereka tak akan dengar. Berpuluh MB Kedah bercakap, saya ke-14, bila cakap lepas (lantang) baru celik mata, cakap elok tak jalan,” katanya.

    Muhammad Sanusi berkata, projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) turut dihalang kerana impak projek berkenaan akan melonjakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kedah sehingga 4.5 peratus lagi.

    “Limpahan ekonomi akan melimpah ke timur Kedah yang miliki ramai orang Melayu berbanding barat sebagai kawasan campuran. Kekayaan negeri perlu dibawa ke bahagian tengah dan seterusnya timur untuk agihan sama rata, sebab itulah mereka marah saya.

    “Selepas itu kata tak boleh sentuh 3R (agama, kaum, institusi raja), macam mana nak cerita strategi ini kalau tak boleh sebut kaum. Sudah lah (Anwar) tak mahu jumpa saya bincang KXP, mu tunggu sat (kejap) kalau ku tunggu lama ku cemuih (bosan) ku bawa turun mu pulak,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Dakwa dipecat secara salah, bekas petugas kedutaan tuntut pampasan

    Dakwa dipecat secara salah, bekas petugas kedutaan tuntut pampasan

    SEORANG bekas petugas Kedutaan Malaysia di Sudan mendakwa kerajaan gagal membayar pampasan kepadanya selepas menamatkan perkhidmatannya hampir setahun lalu.

    Maye Mahgoub Moustafa Ahmed berkata, beliau dipecat secara salah pada Oktober 2022 dan berhak mendapat pampasan USD1,600.

    Tetapi katanya, rayuan pampasannya tidak diendahkan kerana Wisma Putra tidak memberi sebarang respons.

    Pegawai Wisma Putra ketika dihubungi berkata, mereka akan meneliti tuntutan Maye.

    Maye, yang mengatakan dirinya merupakan pegawai pemasaran di kedutaan itu, mendakwa beliau beberapa kali meminta pejabat kakitangan tempatan di Wisma Putra mendapatkan kemas kini sejak Mei lalu, tetapi tidak berjaya.

    E-mel terakhirnya kepada Kementerian Luar dihantar pada 5 Julai lalu.

    “Mereka pada mulanya memberitahu sedang menunggu kelulusan, tetapi kemudian berhenti menjawab panggilan saya berikutnya. Kenapa satu kelulusan memerlukan hampir setahun? Ini tidak logik dan tidak boleh diterima,” katanya kepada FMT.

    Menurutnya, beliau diambil bekerja sebagai pegawai pemasaran pada Mei 2022, susulan temu bual oleh setiausaha pertama dan ketiga kedutaan itu.

    Wanita berusia 43 tahun itu mendakwa ada memaklumkan penemuduganya bahawa dia pernah bekerja dengan Kedutaan Brazil di Sudan, tetapi tidak ditanya alasan dia berhenti.

    Katanya, beliau dipecat Kedutaan Malaysia pada Oktober dua bulan selepas menamatkan tempoh percubaannya atas dakwaan gagal mengisytiharkan beliau dipecat Kedutaan Brazil.

    Katanya, keadaan bertambah rumit kerana beliau tiada cara untuk mengambil tindakan terhadap kedutaan itu memandangkan negaranya kini sedang berperang.

    “Saya meminta hak saya, tetapi Kedutaan Malaysia atau Wisma Putra tidak menjawab, walaupun selepas saya beritahu akibat keadaan perang di Sudan, saya tidak boleh menunggu lagi.

    “Saya perlukan duit saya kerana terpaksa meninggalkan negara saya,” katanya sambil menambah dia kini menjadi pelarian di Mesir.

  • Identiti 9 kru kapal kargo hilang dikenal pasti

    Identiti 9 kru kapal kargo hilang dikenal pasti

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) sembilan kru MV Tung Sung yang hilang selepas kapal kargo itu terbalik di perairan Sebuyau, semalam, diteruskan pagi ini.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, operasi bermula pada 8 pagi dengan pencarian tertumpu di sekitar Pulau Burung hingga Tanjung Po.

    “Identiti semua sembilan kru kapal itu sudah dikenal pasti dan kesemua mereka berumur antara 20 hingga 52 tahun.

    “Mereka terdiri daripada empat warga tempatan iaitu Chieng Siew Ngiek, Wong Hua Wu, Maxwell Billy Stimba, Stimba Chuit.

    “Empat lagi adalah warga Myanmar adalah That Min July, Ye Lin Htet, Hla Win Tun, Tun Lin Oo, manakala seorang warga Indonesia bernama Lido Ali Purwanto,” katanya, memetik laporan Harian Metro.

    APMM menerima laporan berkaitan kehilangan kapal membawa muatan batu kelikir itu pada 9.40 pagi semalam selepas pihak pengurusan syarikat kapal terbabit gagal mengesan dan menghubungi kru.

    Ketika kejadian, kapal terbabit membawa muatan batu kerikil dari Kuching menuju ke Sarikei.

  • MCA akan terus kritik PH dan DAP-Naib Presiden

    MCA akan terus kritik PH dan DAP-Naib Presiden

    MCA akan terus mengkritik Pakatan Harapan (PH) terutama DAP walaupun menjadi sebahagian daripada blok kerajaan perpaduan.

    Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ti Lian Ker berkata, MCA mahu menjadi semak dan imbang terhadap kerajaan perpaduan bagi memastikan ia bertahan sehingga tamat penggal.

    “MCA secara khususnya akan terus mengkritik ‘mungkir janji, hipokrit, kegagalan dan pembohongan’ DAP,” tegasnya yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

    Beliau memberi contoh DAP melakukan pusingan U dalam isu seperti sistem kuota Bumiputera di universiti awam, yang dahulu dibantah parti itu.

    Ti berkata, DAP yang paling lantang mengkritik sistem itu dahulu, kini mendiamkan diri berhubung isu terbabit.

    “Adalah malang DAP tiba-tiba membisu dalam isu seperti ini yang sebelum ini mereka lantang dan pernah gunakan terhadap MCA,” katanya meemtik laporan FMT.

    Beliau berkata, walaupun tidak mengkritik kerajaan perpaduan dalam perkara sedemikian mungkin memberi gambaran mereka barisan bersatu, tetapi mendiamkan diri dalam jangka panjang mungkin memudaratkan.

    “Kami hanya mahu DAP bertanggungjawab terhadap lebih 90 peratus pengundi Cina mengundinya. DAP acap kali menghentam MCA ketika mereka menjadi pembangkang, tetapi ia kini mengubah pendiriannya.”

    Katanya, terdapat keperluan untuk memastikan tiada janji dimungkiri kerana kegagalan mengotakan janji akan memberi kesan lebih berpanjangan kepada pengundi berbanding hanya memainkan ‘gelombang hijau’, yang disifatkannya taktik menakutkan.

    Pengundi katanya, kecewa dengan pusingan U dan janji tidak dikotakan, serta kerajaan semasa tiba-tiba menjalin pakatan dengan seteru lama.

    “Isu dan kebimbangan yang kami bangkitkan adalah sah,” katanya sambil menambah kritikan partinya akan dibuat berdasarkan ‘fakta dan statistik’.

    Beliau turut memberi jaminan MCA tidak berniat menyasarkan kelemahan seseorang secara tidak adil atau menggunakan provokasi keterlaluan.

  • Pemandu ambulans dan anak maut, kemalangan di Jalan Gua Musang – Jeli

    Pemandu ambulans dan anak maut, kemalangan di Jalan Gua Musang – Jeli

    DUA beranak maut dan seorang cedera selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan kayu di Kilometer 37 Jalan Gua Musang-Jeli, dalam kejadian kira-kira 6.15 petang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Sik Choon Foo berkata, ekoran daripada pertembungan tersebut mangsa yang bekerja sebagai pemandu ambulans, Mohd Zuki Mohamed Ali, 55, bersama anaknya Muhammad Hasbullah, 15, maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi anak mangsa, Muhamad Huzaifah, 18, mengalami kecederaan di dada.

    “Siasatan awal mendapati mangsa bersama dua anak lelakinya dalam perjalanan dari arah Gua Musang menuju ke Jeli.

    “Kenderaan mangsa dipercayai telah masuk ke laluan lori yang membawa muatan kayu dari arah bertentangan ketika melalui jalan yang sedikit berselekoh, menyebabkan kedua-dua kenderaan bertembung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kedua-dua mangsa yang meninggal dunia dan cedera dibawa ke Hospital Gua Musang manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

  • Hamzah dakwa Zahid tawar perjanjian dengan syarat kesnya selesai

    Hamzah dakwa Zahid tawar perjanjian dengan syarat kesnya selesai

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin membandingkan persetujuan yang menurutnya ditawarkan Barisan Nasional (BN) kepada mereka selepas pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada 2020 dengan persetujuan yang didakwa dicapai antara Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi PH Anwar Ibrahim selepas PRU15.

    Menurut Hamzah, persetujuan asal antara PN dan BN yang ketika itu masih bekerjasama adalah Datuk Hajiji Noor menjadi Ketua Menteri Sabah namun beliau mendakwa Zahid mengubah fikiran di saat akhir.

    “Zahid tiba-tiba ubah fikiran dan kata mahu Bung Moktar Radin jadi Ketua Menteri Sabah.

    “Kawan saya telefon ketika subuh (sehari selepas keputusan PRN Sabah diumumkan) dan kata ‘brother, boleh selesaikan dengan satu syarat. selesaikan kes presiden UMNO.

    “Jadi perjanjian diadakan antara Anwar dan Zahid (selepas PRU15) kerana Zahid mahu kes dia diselesaikan,” dakwa Hamzah dalam satu program di Sik malam tadi untuk menunjukkan sokongan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang dihadapkan dengan dua tuduhan menghasut minggu ini.

    Hajiji akhirnya tetap dilantik sebagai Ketua Menteri manakala Bung menjadi timbalannya.

    Dengan tiada gabungan politik mendapat majoriti mudah dalam PRU15, ada persaingan pihak mana yang dapat memeterai persetujuan untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.

    Sementara BN pada mulanya dilihat cenderung untuk menyokong PN, gabungan itu akhirnya menyatakan sokongan kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

    Dalam pada itu, Hamzah berkata, beliau baru-baru ini bertemu dengan kedua-dua Presiden MCA dan MIC, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Tan Sri S.A. Vigneswaran, dan bertanya berkenaan sokongan BN kepada Anwar.

    “Saya nak beritahu, depa kata tidak pernah ada keputusan BN menyokong Anwar seperti (dinyatakan) surat yang dihantar kepada Raja-raja Melayu.

    “Kalau depa tipu saya (berkenaan perkara ini), (maka) saya tipu,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Namun, katanya lagi, PN sentiasa menjunjung dan mempertahankan institusi diraja dan maka mereka menghormati keputusan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri.

    Atas dasar itu juga Sanusi tidak pernah menghina institusi diraja, katanya lagi.

    “(Pihak) yang dia nak kacau adalah Anwar, (Setiausaha Agung PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan (Timbalan Presiden PKR) Rafizi Ramli. Mereka yang kita nak kacau,” katanya lagi.