Category: Semasa

  • Lori tangki diesel terbalik, minyak tumpah atas jalan

    Lori tangki diesel terbalik, minyak tumpah atas jalan

    SEBUAH lori tangki yang membawa muatan diesel terbalik menyebabkan tumpahan minyak di Jalan Pasir Panjang berhampiran lampu isyarat hadapan sebuah resort di Teluk Kemang, Port Dickson, hari ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, Komander Operasi Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Azizee Alias berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 7.20 pagi.

    “Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) diarahkan ke lokasi.

    “Bagaimanapun sebaik tiba, mangsa iaitu pemandu lori seorang lelaki berusia 23 tahun telah dikejarkan ke Hospital Port Dickson,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

    Jelasnya lagi, kerja-kerja kawalan tumpahan minyak dan pembersihan sedang dilakukan ketika ini oleh pihak bomba serta pasukan Hazmat.

  • Jasad lelaki diserang buaya ditemukan tidak sempurna

    Jasad lelaki diserang buaya ditemukan tidak sempurna

    SEPASUKAN anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan hari ini menemukan kepala seorang mangsa lelaki yang hilang dipercayai diserang dan dibaham buaya ketika cuba menyeberang Sungai Seguntor, dekat Taman Kenari di Sandakan, Jumaat lepas.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan berkata kepala mangsa ditemukan pasukan mencari dan menyelamat pada 7.30 pagi tadi, dalam keadaan tidak sempurna kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.

    Kes tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan seorang lelaki dewasa hanya dikenali sebagai Abdul, disyaki dibaham buaya pada kira-kira 6 petang Jumaat di sungai kawasan setinggan itu.

    “Mangsa dikatakan menaiki rakit yang diperbuat daripada buluh cuba menyeberangi sungai untuk ke rumahnya yang terletak 100 meter dari tebing sungai.

    “Ketika sedang menyeberangi sungai, mangsa disyaki disambar oleh seekor buaya dan sempat menjerit meminta tolong, namun hilang daripada pandangan saksi,” katanya.- BERNAMA

  • KPLB saran usahawan luar bandar kuasai kemahiran digital

    KPLB saran usahawan luar bandar kuasai kemahiran digital

    USAHAWAN luar bandar disaran agar melengkapkan diri dengan menguasai kemahiran digital dalam menghadapi persaingan perniagaan yang semakin kompetetif.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, usahawan luar bandar juga perlu melakukan anjakan paradigma dalam perniagaan mereka selaras dengan perubahan ekonomi berasaskan digital dan Revolusi Industri 4.0.

    Beliau berkata, para usahawan juga digalakkan untuk menghadiri latihan dan program peningkatan kemahiran digital bagi memastikan produk yang dipasarkan dapat menarik perhatian malah beralih kepada pemasaran secara digital kini adalah norma baharu dalam perniagaan.

    “Memasarkan produk di media sosial sahaja tanpa strategi dan kemahiran berkemungkinan tidak memberi impak yang berkesan.

    “Sebab itu KPLB telah menyediakan banyak kursus dan bimbingan digital bagi membantu usahawan luar bandar dalam memasar, menambah baik mutu dan kualiti produk dalam persedian memulakan perniagaan dalam talian termasuk menyediakan platform DesaMall@KPLB,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Lembaga Kemajuan Wilayah Utara (PERDA) (Expert) 2022 di Dataran Transformasi Usahawan, Midtown PERDA di Kubang Menerong di Tasek Gelugor, semalam.

    Turut hadir, Pengerusi PERDA, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.

    Mengenai penganjuran Expert 2022, Mahdzir menjelaskan ekspo itu diperkenalkan bagi mempromosikan produk keluaran usahawan khususnya usahawan luar bandar di Pulau Pinang.

    Selain itu katanya, ianya juga sebagai platform untuk memberi ruang kepada usahawan yang telah mempunyai perniagaan mahu pun yang baru menceburi bidang keusahawanan.

    Menurutnya, Penganjuran Expert melibatkan 186 penyertaan dengan menyasarkan nilai jualan dan pemerolehan kontrak berjumlah RM1 juta.

    “Kita menyasarkan lebih 40 ribu pengunjung akan hadir sepanjang empat hari program berlangsung dari 8 September sehingga hari ini.

    “Expert kali ini membawa tema “Usahawan Luar Bandar Tonggak Ekonomi Negara” dan ia diperkenalkan berpandukan Teras Strategik 1 dasar Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

    “Teras tersebut menyasarkan Sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta perniagaan mikro menyumbangkan sebanyak 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2030,” katanya.

    Tambah Mahdzir, Expert itu juga antara lain untuk meningkatkan penyertaan usahawan dalam pelbagai bidang ekonomi dengan menghimpunkan pelbagai sektor dan peringkat di dalam satu ekspo bagi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan produk usahawan atau peluang pekerjaan.

    “Berdasarkan maklumat daripada PERDA, ketika ini terdapat seramai 1,365 usahawan bimbingan mereka dengan 200 daripadanya telah berjaya mempunyai kilang atau premis sendiri bagi menjalankan perniagaan.

    “Kita harap Expert ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan berjaya,” katanya.

  • Kerajaan digesa beri perhatian serius cadangan moratorium khas PMKS

    Kerajaan digesa beri perhatian serius cadangan moratorium khas PMKS

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berharap kerajaan memberi perhatian serius terhadap cadangan pemberian moratorium kepada sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) yang kini turut terjejas dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, kenaikan OPR mengakibatkan pengusaha PMKS akan menanggung beban hutang yang lebih tinggi dan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih pasca Covid-19.

    Menurut beliau, sepertimana pelaksanaan moratorium sebelum ini, bank-bank di Malaysia tidak mengalami kerugian pun.

    “Jadi apalah salahnya kerajaan sekali lagi berbincang dengan institusi-institusi kewangan supaya memperkenalkan moratorium khas untuk PMKS.

    “Saya harap cadangan ini diberikan perhatian serius oleh kerajaan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menjelaskan, sektor PMKS penting kerana ia mewakili hampir 96 peratus kegiatan ekonomi negara.

    Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan, ramai rakyat yang bergantung kepada sektor ini untuk bekerja dan mencari sumber pendapatan yang mewakili hampir 50 peratus tenaga kerja.

    “Saya telah mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan moratorium khas untuk sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana.

    “Ramai rakyat yang bergantung kepada sektor ini untuk bekerja dan mencari sumber pendapatan. Hampir 50 peratus tenaga kerja di Malaysia bekerja dalam sektor ini,” kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu lagi.

    Kenaikan OPR sebanyak tiga kali tahun ini menimbulkan kegusaran orang ramai terhadap kesan dan sama ada kenaikan itu akan menjejaskan momentum pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19.

    Khamis lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus, yang merupakan kenaikan kali ketiga tahun ini selepas Mei dan Julai.

  • Inspektor, Sarjan ditahan minta suapan daripada pegawai polis guna nama SPRM

    Inspektor, Sarjan ditahan minta suapan daripada pegawai polis guna nama SPRM

    TIGA Individu termasuk Inspektor dan Sarjan ditahan kerana menggunakan nama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta suapan sejumlah RM100,000 daripada seorang pegawai polis kononnya bagi menutup kes yang sedang disiasat SPRM.

    Astro AWANO melaporkan, menurut sumber, seorang lagi suspek yang ditahan merupakan pengurus pentadbiran syarikat yang berperanan sebagai orang tengah bagi ‘urusan’ itu.

    Katanya, pengurus syarikat itu ditahan pagi Jumaat di sekitar Kuala Lumpur ketika sedang menerima wang rasuah berjumlah RM50,000 iaitu sebahagian daripada jumlah yang diminta daripada mangsa.

    Susulan itu, SPRM menahan inspektor dan sarjan polis yang berusia lingkungan 30-an itu antara pukul 7 petang dan 12 tengah malam pada hari yang sama.

    Pengurus syarikat tersebut direman selama empat hari sehingga 12 September depan selepas pihak SPRM membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya.

    Bagaimanapun, difahamkan pegawai dan anggota polis tersebut telah dibebaskan setelah keterangan mereka diambil.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi pada Sabtu mengesahkan mengenai penahanan tersebut.

    Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

  • Bas terbakar, 44 pelajar Kolej Matrikulasi Kedah selamat

    Bas terbakar, 44 pelajar Kolej Matrikulasi Kedah selamat

    SERAMAI  44 pelajar Kolej Matrikulasi  Kedah (KMK), Changlun, Kedah terselamat apabila bas persiaran yang dinaiki terbakar di Kilometer 39.5 Jalan Raya Timur Barat dekat Tasik Banding di sini hari ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata sebuah jentera dengan pegawai dan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.05 petang.

    “Setibanya anggota di lokasi kejadian mendapati api sudah marak dan memusnahkan 80 peratus daripada bas persiaran itu.

    “Bagaimanapun, semua penumpang termasuk pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan apabila berjaya keluar sendiri dari kenderaan itu dan berada di jarak yang selamat sebelum api marak,” katanya dalam satu kenyataan.

    Katanya api berjaya dipadamkan dan operasi ditamatkan pada 3.48 petang.

    Dalam kejadian itu, bas terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Kelantan menghala ke KMK untuk menghantar pelajar pulang.

    — BERNAMA

  • Bekas ketua cawangan PAS meninggal dunia ketika solat Maghrib

    Bekas ketua cawangan PAS meninggal dunia ketika solat Maghrib

    KEMATIAN dicemburui ialah kematian ketika melakukan ibadah dan amal soleh termasuk dalam solat seperti dialami bekas Ketua Cawangan PAS Kampung Kenor di Kuala Krai, Kelantan Khamis lalu.

    Mohd Radzi Ibrahim, 63, dilapor meninggal dunia ketika menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di Masjid Mukim Kenor.

    Memetik laporan Sinar Harian, beliau secara tiba-tiba rebah ketika rakaat pertama solat di masjid itu pada pukul 7.20 malam.

    Imam Tua Masjid Mukim Kenor Ahmad Fadhil Zamani berkata, ketika hendak rukuk, beliau yang sedang mengimamkan solat Maghrib itu tiba-tiba terdengar bunyi kuat seperti objek jatuh.

    Katanya, berdasarkan pemerhatian menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Mohd Radzi tidak sempat rukuk tetapi terlebih dahulu rebah dalam keadaan bersujud sebaris dengan jemaah lain yang sedang solat.

    “Seorang jemaah berhenti daripada solat dan segera membantu membaringkan Mohd Radzi yang sudah tidak sedarkan diri.

    “Saya menghubungi talian kecemasan 999 dan pegawai perubatan yang tiba memeriksa Mohd Radzi mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

    Menurut Ahmad Fadhil, mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung.

    Dalam pada itu, katanya, arwah seorang yang sangat pemurah dan sentiasa berebut membayar harga makanan dan minuman sahabat-sahabatnya semasa di kedai makan.

    Arwah memang solat berjemaah lima waktu di masjid dan setiap hari mengamalkan membaca 40 kali surah al-Ikhlas selain seorang yang sangat berpegang teguh pada janji.

    “Kita tidak tahu amalan rahsia arwah hingga membawa kepada kematiannya secara husnul khatimah (mati dalam keadaan beribadat dan pada malam Jumaat),” katanya.

    Menurutnya, jenazah lelaki itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah Kuala Krai selepas solat Jumaat.

  • PRU-15:MCA realistik hadapi DAP di Pulau Pinang

    PRU-15:MCA realistik hadapi DAP di Pulau Pinang

    MCA bersikap realistik berdepan kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mengakui kerajaan negeri yang dikuasai parti DAP mempunyai pengaruh besar di Pulau Pinang namun perkara itu tidak mematahkan semangat MCA untuk memberi tentangan hebat kepada parti tersebut.

    “Sekiranya diberi mandat untuk memenangi satu-satunya kerusi Parlimen yang ditandingi itu, MCA berjanji akan memberi yang terbaik kepada rakyat.

    “Kerusi di Parlimen Bayan Baru ini adalah kerusi tradisi dan paling penting untuk MCA. Saya yakin, dengan semangat dan hubungan harmoni antara parti komponen dalam BN, ia akan memberi lembaran baru kepada kawasan Parlimen Bayan Baru ini.

    “Kita realistik dan tidak bersifat angkuh untuk berhadapan dengan Kerajaan PH di Pulau Pinang. Jika kita jadi pembangkang pun, tidak apa. Kita buat peringkat demi peringkat kerana pembangkang pun mampu membuat sesuatu,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Majlis Pelancaran Bilik Gerakan MCA Parlimen Bayan Baru dan DUN Jerejak di Bayan Lepas, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Katanya, bukan sesuatu yang mudah untuk bertanding di kubu kuat DAP namun itu merupakan satu matlamat jangka pendek dan panjang bagi MCA.

    “Ada orang kata kerajaan DAP ini agak kuat kerana kita tidak pernah menang mana-mana kerusi, kalau kita nak menang pun, mungkin bermula di beberapa kawasan. Bagi saya, ia boleh dianggap satu matlamat jangka pendek, sederhana dan panjang.

    “Jika ditakdirkan kita menang di kawasan ini, bukan bermakna kita akan jadi pemerintah kerana realistiknya, ini adalah kubu kuat PH (khususnya DAP). Tidak apa lah, sebagai pembangkang pun kita ada pengalaman, kita boleh semak dan imbang.

    “Kita boleh menjalankan tanggungjawab kita sebagai ahli Parlimen yang mampu melakukan ‘check and balance’ dalam sebuah demokrasi ini. Kita memang ada pengalaman iaitu BN pernah memerintah, baik di peringkat negeri atau Pusat,” katanya.

    Tambah Ka Siong, MCA akan menggunakan teori yang pernah digunakan DAP iaitu sebuah masyarakat yang mengamalkan prinsip demokratik, patut ada suara semak dan imbang.

    “Saya gunakan teori yang mereka gunakan itu untuk tidak memberi satu kemenangan mutlak tanpa ada pembangkang. Sebab itu, kita melantik penyelaras untuk mendekati rakyat selain dilatih menjadi sebagai sebahagian daripada anggota kerajaan.

    “Mereka juga berperanan memberi tekanan kepada kerajaan atau pemerintah bagi mendedahkan sesuatu yang rakyat perlu tahu atau melakukan semak dan imbang untuk memantau perjalanan kerajaan negeri. Saya sendiri pernah jadi pembangkang 22 bulan, itu tiada masalah,” katanya.

    Mengulas mengenai pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Pulau Pinang, beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, perbincangan sentiasa diadakan antara parti komponen BN termasuk UMNO.

    “Kerusi Parlimen kita ada satu tetapi selepas Gerakan tidak lagi bersama kita, sudah tentu kita akan berbincang dengan UMNO, kita pasti akan berentap. Soal siapa (parti), kita akan buat keputusan bersama. Tiada isu.

    “Secara logiknya, kita akan mengambil alih kerusi Gerakan (yang dulu), kalau tidak keseluruhan pun, mungkin sebahagian besar yang tertumpu kepada kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk Cina. Kita akan muktamadkan, apa yang penting kita kena buat kerja,” katanya.

  • Kedai emas disamun, kerugian dianggarkan lebih setengah sejuta

    Kedai emas disamun, kerugian dianggarkan lebih setengah sejuta

    TIGA pekerja sebuah kedai emas berdepan detik cemas sewaktu baru memulakan operasi perniagaan apabila disamun dua lelaki yang melarikan barang kemas dan wang tunai bernilai kira-kira RM660,000 dalam satu rompakan di Selasar Rokam, Taman Ipoh Jaya hari ini.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya dimaklumkan mengenai rompakan itu kira-kira 10.15 pagi dan polis bergegas ke tempat kejadian untuk siasatan lanjut.

    “Hasil siasatan awal mendapati dua lelaki telah mengacukan senjata menyerupai pistol kepada tiga pekerja semasa mereka hendak membuka kedai lalu melarikan sejumlah barang kemas dan wang tunai.

    “Namun ketiga-tiga mangsa tidak mengalami kecederaan semasa kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata pihaknya sedang giat memburu dua suspek berkenaan dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Fadli Ahmad 019-2500019 untuk membantu siasatan polis.

    Tinjauan Bernama ditempat kejadian mendapati pasukan forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi tersebut yang terletak dalam kawasan lot perniagaan.

  • Polis selesai rekod keterangan pelakon remaja dakwa diganggu secara seksual oleh bapa kandung 

    Polis selesai rekod keterangan pelakon remaja dakwa diganggu secara seksual oleh bapa kandung 

    PIHAK polis telah selesai merakamkan keterangan seorang pelakon remaja perempuan yang mendakwa dia diganggu secara seksual oleh bapa kandungnya. 

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat memberitahu, selain remaja itu, polis turut merekodkan percakapan ibu mangsa, pegawai perubatan dan individu dari program YouTube yang telah menemu bual remaja terbabit.

    “Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya telah menjalankan siasatan bersabit aduan yang dibuat oleh mangsa dan telah merakam semua keterangan saksi yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini, memetik laporan Astro Awani.

    Wan Azlan memaklumkan, dengan keterangan saksi-saksi itu, kertas siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat dan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

    Sebelum ini, pelakon itu menerusi satu temu bual membuat pendedahan mengejutkan mengenai sikap sebenar bapa kandungnya yang didakwa suka menonton filem lucah.

    Menerusi temu bual itu, pelakon itu turut mendakwa dia sering diraba dan dicium bapa kandungnya, ketika dia berusia lima hingga enam tahun.

    Susulan itu, polis menahan bapa kandung remaja terbabit Selasa lalu. 

    Polis turut merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek yang kemudian dihantar ke Jabatan Forensik PDRM untuk dianalisis.

    Bapa mangsa juga difahamkan turut telah membuat laporan polis bagi menafikan segala pertuduhan yang dilemparkan oleh anaknya itu.