Category: Semasa

  • Tiada kicap ABC mengandungi sulfur dioksida dikesan dalam negara

    Tiada kicap ABC mengandungi sulfur dioksida dikesan dalam negara

    TIADA sampel produk kicap soya termasuk Kicap Soya Manis dan Sambal Sos Ayam Goreng jenama ABC di negara ini dikesan mengandungi sulfur dioksida berdasarkan pemantauan di semua pintu masuk dan pasaran tempatan dari Jun 2021 sehingga kini.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata semakan ke atas data Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) mengesahkan produk itu yang ditarik dari pasaran Singapura kerana mengandungi sulfur dioksida tidak diisytiharkan atau dilabel pada pembungkusan, turut diimport ke negara ini. 

    “Sejak Jun 2021 arahan Tahan Uji Lepas (TUL) dikenakan ke atas produk berkenaan di semua pintu masuk negara.

    “Arahan pelabelan semula atau arahan untuk dihantar semula ke negara asal turut dikeluarkan sekiranya tidak mematuhi keperluan pelabelan termasuk pelabelan sulfur dioksida,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Dr Noor Hisham berkata sulfur dioksida diklasifikasi sebagai bahan pengawet yang dibenarkan dalam makanan tertentu dan pada paras tertentu di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan ia tidak berbahaya kepada manusia apabila digunakan pada kepekatan yang dibenarkan.

    Bagaimanapun, sulfur dioksida boleh menyebabkan kesan alergi kepada sesetengah individu yang menghidap lelah atau asma apabila terhidu atau tertelan. dan kandungan sulfur dioksida melebihi 10 miligram bagi setiap kilogram hendaklah diisytihar atau dilabelkan.

    Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau kemusykilan mengenai  isu-isu keselamatan makanan boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.

    Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman rasmi Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan iaitu www.facebook.com/bkkmhq.- BERNAMA

  • Nilai bantuan bina, baik pulih projek PRKM dinaikkan

    Nilai bantuan bina, baik pulih projek PRKM dinaikkan

     
    KABINET meluluskan cadangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk menaikkan kadar bantuan seunit bagi pembinaan dan baik pulih rumah Program Perumahan Rakyat Keluarga Malaysia (PRKM).

    Kenaikan itu sekali gus bakal memberikan manfaat kepada lebih 10 ribu kontraktor G1 yang terbabit dalam projek PRKM yang sebelum ini dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh negara.

    Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kenaikan itu akan membantu pihak kontraktor PRKM menangani isu peningkatan kos bahan binaan yang menyebabkan mereka gagal menyiapkan projek kerana tiada margin keuntungan kerja yang dilaksanakan.
     
    “Kenaikan ini juga bagi mengekang kenaikan harga bahan binaan yang perlu ditanggung oleh pihak kontraktor yang merupakan isu meruncing, terutamanya sejak Mei 2022 yang lalu berdasarkan laporan indeks harga seunit bahan binaan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

    “Kita berharap kontraktor PRKM boleh meneruskan projek mereka selepas ini kerana margin keuntungan dijamin mencukupi dengan nilai baharu yang diluluskan itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulan September 2022 kementeriannya di Wisma FELCRA di ibu negara hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Pengerusi FELCRA, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB, Mas Rizal Mohd Hilmi.

    Jelas Mahdzir, harga baharu bagi projek Bina Baharu PRKM dinaikkan daripada RM56 ribu kepada RM66,000 seunit di Semenanjung manakala Sabah, Sarawak dan Labuan dinaikkan daripada RM68,000 kepada RM79,000 seunit.

    Katanya, bagi projek Baik Pulih rumah PRKM pula, harga dinaikkan pada kadar maksimum RM15,000 di Semenanjung manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan, kadar maksimumnya adalah RM17,000.

    “Keputusan ini diambil sebagai langkah proaktif Kerajaan
    bagi mengimbangi keperluan khususnya golongan miskin dan miskin tegar di luar bandar untuk menerima bantuan rumah yang selamat dan selesa seiring dengan konsep Keluarga Malaysia yang ambil cakna akan keperluan rakyat,” katanya.

    Sebelum ini kadar program Baik Pulih rumah PRKM di Semenanjung adalah RM13,000 dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

    KPLB sebelum ini telah meluluskan permohonan Bina Baharu rumah PRKM sebanyak 2,153 dan Baik Pulih sebanyak 11,892 buah rumah.

    Sementara itu, Mahdzir berkata, kenaikan nilai bantuan itu juga akan membolehkan kira-kira 13 ribu unit rumah PRKM dapat dilaksanakan di seluruh negara.

    “Ia sekali gus akan memberi manfaat kepada lebih 70 ribu isi rumah di luar bandar yang akan menerima bantuan rumah tersebut,” tambah beliau.

    Pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyampaikan replika kunci rumah PRKM yang telah siap dibina kepada 10 penerima bantuan perumahan itu.

    Turut disampaikan, Anugerah Pelajar Cemerlang SPM Anak FELCRA 2021, Anugerah Peningkatan Produktiviti Estet Padi Musim 1/2022 dan Anugerah Khidmat Setia FELCRA.

  • Enam lelaki bergaduh di Jalan Wayang, Kuching ditangkap

    Enam lelaki bergaduh di Jalan Wayang, Kuching ditangkap

    SERAMAI enam lelaki ditangkap dipercayai terlibat dalam kejadian pergaduhan di Jalan Wayang, Kuching, malam kelmarin.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan L. Merbin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung pergaduhan sekumpulan lelaki tempatan pada pukul 7.49 malam.

    Beliau berkata, setakat ini enam suspek berusia 25 hingga 57 tahun ditangkap bagi membantu siasatan.

    Katanya, polis kini giat mengesan saki baki suspek yang masih bebas.

    “Kejadian pergaduhan berpunca daripada salah faham semasa berhibur di sebuah premis berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Utusan TV.

    Merbin berkata, kertas siasatan dibuka dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

    Sehubungan itu, polis mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh menganggu siasatan.

  • KRU kapal warga asing hilang di laut

    KRU kapal warga asing hilang di laut

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG kru kapal tangki yang sedang bersauh dipercayai hilang kerana terjun laut di kedudukan 43.7 batu nautika timur laut Tanjung Sedili, Kota Tinggi pukul 5.30 pagi semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima makluman daripada Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya mengenai kejadian itu.

    “Laporan kejadian ersebut yang disampaikan oleh nakhoda kapal tangki terbabit melalui e-mel.

    “Mangsa, Shanidze Nodar, 22, warga Georgia berkerja sebagai kelasi dilaporkan dilihat kali terakhir berada di atas kapal pada 10 September lalu berpakaian baju dan berseluar pendek berwarna hitam.

    “Pencarian telah dilakukan di atas kapal oleh kru-kru kapal namun gagal menemui mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, pihak MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan SAR pada pukul 3.30 pagi tadi melibatkan sebuah kapal KM Perwira dan bot ronda Perkasa 30 milik maritim Malaysia serta sebuah bot FCB 1123 milik Tentera Laut Diraja Malaysia.

    “Keluasan sektor pencarian adalah seluas 20 batu nautika persegi dari lokasi kapal bersauh,” katanya.

  • Ubat ditukar, keadaan Najib dilapor agak teruk

    Ubat ditukar, keadaan Najib dilapor agak teruk

    BEKAS perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak akan dirujuk ke Hospital Kajang petang ini berikutan ubat darah tinggi baharu yang diambilnya menyebabkan kesan teruk ke atas beliau.

    Memetik laporan Berita Harian, perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada prosiding perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Najib di Mahkamah Tinggi, hari ini.

    Sri Ram berkata, keadaan Najib dilaporkan agak teruk.

    “Saya dimaklumkan oleh Jabatan Penjara bahawa ubat tekanan darah tinggi tertuduh ditukar dan ia menyebabkan kesan teruk kepadanya.

    “Bagaimanapun, dia boleh bertahan untuk berada di mahkamah dalam prosiding ini sehingga pukul 12.30 tengah hari dan selepas itu perlu bersiap untuk dirujuk ke hospital pada pukul 2 petang ini,” katanya.

    Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

  • Juruterbang helikopter hilang ditemukan mati di lokasi

    Juruterbang helikopter hilang ditemukan mati di lokasi

    JUTERBANG sebuah helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sebelum dilaporkan hilang di kawasan Bidor sejak petang semalam, ditemukan mati di lokasi kejadian, kata Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

    Beliau berkata mayat juruterbang itu ditemukan di dalam kokpit helikopter tersebut oleh pasukan pencari dan penyelamat pagi tadi.

    “Helikopter milik pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menemui lokasi nahas kira-kira 9.30 pagi di Hutan Simpan Chikus di sini. Lima minit kemudian, krew TUDM turun ke lokasi nahas dan menemui mangsa yang berada di dalam kokpit.

    “Mayat kemudian dibawa keluar dari lokasi kejadian pada 10.12 pagi dan seterusnya dibawa ke SMK Anderson menggunakan sebuah ambulans, sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat. Kecederaan dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya di Bilik Gerakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Balai Polis Bidor, kira-kira 80 kilometer dari Ipoh hari ini.

    Beliau berkata siasatan mendapati juruterbang tersebut dikenali sebagai Tsz Kin Richard Chan, 58 tahun merupakan warganegara Hongkong dan keluarganya telah dimaklumkan oleh pihak syarikat.

    Menurutnya, bangkai pesawat jenis Eurocopter milik sebuah syarikat swasta itu telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), untuk tindakan dan siasatan lanjut.

    Semalam Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata pesawat itu terputus hubungan pada kira-kira pukul 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

    Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.- BERNAMA

  • PM peroleh perintah mahkamah supaya Lokman Adam padam kenyataan fitnah di media sosial

    PM peroleh perintah mahkamah supaya Lokman Adam padam kenyataan fitnah di media sosial

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, supaya Datuk Lokman Noor Adam dengan serta-merta memadamkan kesemua video yang didakwa memfitnah perdana menteri di akaun media sosial.

    Peguam Ragunath Kesavan yang mewakili Ismail Sabri berkata Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain, membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) dikemukakan Naib Presiden UMNO itu selaku plaintif, terhadap Lokman sebagai defendan.

    “Mahkamah mengeluarkan perintah injunksi memaksa defendan mengeluarkan video bertajuk “Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam”, yang dimuat naik di akaun Youtube, Facebook, Instagram dam TikTok milik defendan.

    “Mahkamah juga mengeluarkan perintah injunksi untuk menghalang defendan sama ada secara sendiri, ejen-ejennya daripada membuat kenyataan yang serupa di media sosial atau apa-apa laman web lain milik defendan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding dalam kamar di hadapan Roz Mawar.

    Menurut Kesavan, perintah ex-parte dikeluarkan hari ini sehingga pendengaran inter-parte (dua pihak) pada 26 Sept ini.

  • Janna mohon maaf dendang lagu Gatal secara ‘miming’

    Janna mohon maaf dendang lagu Gatal secara ‘miming’

    PENYANYI lagu Gatal, Janna Nick memohon maaf ekoran tindakannya mempersembahkan lagu tular itu secara ‘miming’ semasa pentas Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23, malam tadi.

    Memetik laporan Berita Harian, tindakan Janna itu dikritik netizen malah dianggap memalukan AIM yang selama ini dianggap pentas berprestij apabila menampilkan penyanyi dan pemuzik hebat dalam setiap edisi penganjurannya.

    Melalui hantaran Instagram (IG), Janna memohon maaf dan mendakwa dia bukan sengaja beraksi secara ‘miming’, sebaliknya, berpunca kesihatan yang terjejas.

    “Saya minta maaf kerana dianggap memalukan AIM23 apabila ‘miming’ di pentas berprestij itu.

    “Peluang untuk beraksi di pentas besar sebaris penyanyi hebat tanah air memang sudah lama saya impikan.

    “Kali pertama ditawarkan, saya sangat berbesar hati. Namun, sejak dijangkiti influenza dua minggu lalu, kesihatan saya amat terganggu,” katanya.

    Sejurus tampil di pentas AIM 23 malam tadi, aksi Janna yang mendendangkan single Gatal secara ‘miming’ dikritik peminat.

    Rata-rata netizen menganggap aksi Janna mencemar martabat AIM.

    Namun, ada juga yang berpendapat aksi ‘miming’ adalah pilihan terbaik bagi Janna yang mungkin hanya memalukan diri sendiri jika menyanyi secara ‘live’.

    Janna berkata, biarpun dinasihati doktor agar berehat, selain AIM 23, dia meneruskan penggambaran drama Melastik Ke Hatimu 2 serta memenuhi undangan di Jakarta, Indonesia dan Singapura.

    “Tanpa sedar, pilihan saya memakan diri.

    “Terima kasih kepada Warner Music, Efry Arwis dan Sabrina Azman kerana berusaha mengembalikan suara saya… Segala kesulitan amat dikesali,” katanya melalui hantaran itu.

    Pada AIM 23, muzik video Gatal arahan Chuan Looi diumumkan pemenang kategori Muzik Video Terbaik.

  • Pelajar IPT bingung hala tuju Muda, anggap masih samar

    Pelajar IPT bingung hala tuju Muda, anggap masih samar

    PELAJAR institut pengajian tinggi berharap parti Muda dapat menggariskan hala tuju dan ideologinya dengan lebih jelas yang dianggap masih samar.

    Beberapa penuntut ditemu bual FMT mengakui bingung dengan identitinya dan hanya mengenali Muda kerana diketuai Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sering tampil di media sosial mengenakan kemeja-T parti.

    Pelajar sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Alif Fahmi, 23, berkata dia melihat Muda sebagai parti bersifat populis yang setakat ini tidak mengambil sebarang langkah sebenarnya bagi menyelesaikan masalah rakyat.

    “Niat Muda memang hendak selesaikan masalah rakyat tetapi sejauh mana tidak pasti, apabila harga barang naik mereka buat perhimpunan…langkah seterusnya tidak tahu,” katanya yang mengakui Muda berjaya menarik pengundi muda terutama di bawah kategori Undi18.

    “Contohnya, pada program Dewi Remaja ada soalan mengenai parti politik, Muda menjadi nama pertama disebut berbanding Pakatan Harapan (PH),” jelas Alif.

    Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Ahmad Azhan, 26, pula berkata dia hanya mengetahui parti itu mewakili berbilang kaum, namun tidak tahu hala tuju sebenarnya.

    “Saya nampak parti ini berbilang kaum kerana majlis tertinggi pun melibatkan bukan Bumiputera.

    “Tindakan Muda sendiri buatkan saya kurang jelas dengan hala tuju parti,” kata pelajar sosiologi dan antropologi itu.

    Sementara itu, pelajar Kolej Poly-Tech Mara Bangi dikenali Mohd Zahir berkata dia hanya mengetahui Syed Saddiq sebagai presiden parti berkenaan.

    “Sebab saya selalu nampak di media sosial Syed Saddiq menyarung baju Muda,” katanya.

    Muda didaftarkan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan pada 23 Dis tahun lalu dan kali pertama bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, Mei lalu.

    Parti itu secara rasmi memohon menyertai PH pada 9 September lalu, yang mendapat reaksi berbeza dalam kalangan komponennya.

    Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook menyambut baik hasrat Muda dan menyatakan permohonan itu akan dibincangkan secepat mungkin oleh Majlis Presiden PH.

    Timbalan Ketua Penerangan PKR Razeef Rakimin pula berkata Majlis Presiden PH perlu mengambil keputusan bijak dan tidak ‘memikul’ pihak yang hanya akan menjadi liabiliti dengan mengambil iktibar situasi PRN Johor serta beberapa kenyataan angkuh pemimpin Muda.

  • 13 kenderaan polis di IPK Kedah terbakar

    13 kenderaan polis di IPK Kedah terbakar

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEBUAH bengkel kenderaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini terbakar dalam satu kejadian pagi tadi sehingga memusnahkan sebanyak 13 unit kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, kebakaran terbabit turut memusnahkan pejabat pentadbiran pengangkutan serta kelengkapan dan peralatan di kedua-dua premis itu dalam kejadian pada 4.45 pagi.

    “Kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau pun kehilangan nyawa dan punca kejadian masih belum dikenal pasti.

    “Anggaran kerugian juga masih dalam siasatan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah memaklumkan, setiba pasukannya ke lokasi kejadian, api didapati sedang marak.

    “Pegawai dan anggota terlibat kemudian diarahkan untuk memakai alat pernafasan sebelum melakukan usaha pemadaman menggunakan lapan aliran hos.

    “Setelah beberapa lama, kebakaran di bangunan berkeluasan 35×150 kaki itu berjaya dipadamkan. Anggaran peratusan kebakaran dianggarkan sebanyak 80 peratus,” katanya.