Category: Semasa

  • Bila Pegawai Leftenan Muda gagal sambut skrol, reaksi Tengku Hassanal mengkagumkan

    Bila Pegawai Leftenan Muda gagal sambut skrol, reaksi Tengku Hassanal mengkagumkan

    KAGUM dan gerun. Itu perasaan Leftenan Muda Sarah Monika Mohd Roni Sow Abdullah selepas gagal menyambut skrol diserahkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Memetik laporan Harian Metro, kejadian berlaku ketika Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam ke-40 baru-baru ini.

    Mengikut video tular di laman sosial, Tengku Hassanal dilihat tunduk ke bawah bagi mengambil skrol yang terjatuh selepas terlepas daripada genggaman Sarah Monika, 24, sewaktu majlis istiadat di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor pada 10 September lalu.

    Berkongsi kisah, Sarah Monika berkata, insiden itu tidak disengajakan dan berlaku kerana dia terlalu gementar.

    Katanya, dia turut terkejut melihat reaksi spontan Tengku Hassanal dan mengakui bersalah tidak dapat mengambil sendiri skrol berkenaan dan terpaksa mengikut protokol majlis.

    “Saya sangat gementar naik ke pentas ketika itu sehingga orang terdekat pun menyedarinya.

    “Bagaimanapun, saya gagahkan diri juga naik dan lain pula jadinya apabila skrol diserahkan Tengku Hassanal terlepas daripada genggaman tangan saya.

    “Ikutkan hati saya nak tunduk dan ambil sendiri skrol itu tetapi terpaksa tahan kerana mengikut protokol. Tak sangka pula baginda sendiri tunduk dan ambil skrol berkenaan sebelum petugas sempat datang membantu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

    Sarah Monika mengikut laporan itu lagi berkata, badannya kaku dan berasa seperti hendak pengsan ketika itu.

    Menurutnya, dia juga sudah bersedia dimarahi oleh pegawai atasan kerana sedar apa yang berlaku disebabkan kecuaiannya.

    Secara polisi dan protokol, baginda tidak boleh tunduk tetapi itu yang terjadi tempoh hari.

    “Ingatkan baginda serahkan semula skrol seperti biasa namun dia sempat tenangkan saya dan beri kata semangat kerana tahu saya gementar.

    “Apa pun, saya kagum dengan keperibadian baginda kerana bersikap rendah diri walaupun berstatus Putera Raja,” katanya.

    Di sebalik apa yang berlaku, Sarah Monika bersyukur kerana akhirnya ditauliahkan sebagai pegawai Leftenan Muda selepas empat tahun menempuh pelbagai cabaran getir di kem latihan.

    Bagaimanapun, hala tujunya kini adalah lapor berkhidmat di kem ditempatkan selain aktif dalam bidang seni lakon kerana enggan mensia-siakan Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan Teater lulusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diperoleh.

    “Asalnya saya minat untuk jadi anggota polis dan pernah hadir ke sesi temu duga malah hampir terpilih tetapi tiada rezeki apabila tidak melepasi ketinggian ditetapkan.

    “Jadi, saya cuba sertai Palapes. Saya tidak pernah terfikir menjadi pegawai tentera kerana tahu latihannya berat dan perlu tempuhi banyak rintangan sebelum sampai ke tahap ini.

    “Ini kerana saya juga menyambung pengajian di peringkat ijazah dan hampir saja keluar baris kerana perlu mengikuti penggambaran filem dan drama namun pihak atasan amat memahami serta beri pertimbangan hingga saya dapat teruskan latihan walaupun perlu berkorban tinggalkan sebentar set penggambaran.

    “Terima kasih kepada semua dan apa yang saya kecapi kini juga hasil daripada galakan dan doa keluarga,” katanya.

  • Kemuka tuntutan palsu hampir RM900,000, enam individu ditahan

    Kemuka tuntutan palsu hampir RM900,000, enam individu ditahan

    SURUHANJAYA  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan enam individu termasuk empat wanita bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai hampir RM900,000 sekitar tahun 2016 hingga tahun lepas.

    Menurut sumber,  keenam-enam suspek berusia antara 30 hingga 59 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor sekitar 5 petang tadi ketika hadir memberi keterangan.

    Katanya, tiga suspek berkenaan merupakan ketua pegawai operasi, pengarah dan akauntan sebuah syarikat pembinaan dipercayai berpakat untuk meluluskan pembayaran kepada dua syarikat yang terbabit dalam kerja-kerja menaik taraf saliran dan projek tebatan banjir di Selangor sedangkan kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

    “Projek pertama iaitu kerja-kerja menaik taraf saliran membabitkan nilai lebih RM250,000 manakala projek tebatan banjir pula bernilai lebih RM600,000.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok untuk permohonan reman, katanya.

    — BERNAMA

  • Agensi KPLB siap sedia hadapi musim monsun – Mahdzir

    Agensi KPLB siap sedia hadapi musim monsun – Mahdzir

    SEMUA agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sudah bersiap sedia bagi menghadapi fasa peralihan Monsun yang akan bermula pertengahan September sehingga November ini.

    Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid, KPLB telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) kepada semua agensi berkaitan sebagai langkah awal memastikan persediaan berjalan lancar.

    “Datuk KSU (Ketua Setiausaha) Ramlan Harun pagi tadi telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikan Perdana Menteri, jadi kita dah bersedia dengan pelbagai persiapan rapi,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Selangor di sini hari ini.

    Jelas Mahdzir, semua agensi di bawah KPLB telah ada pengalaman dalam pengurusan bencana banjir sebelum ini.

    “Kita bersedia ke arah itu (banjir) kalau nak ada perahu, berapa perahu, kalau nak ada makanan nak cari kedai mana nak sediakan makanan. Jangan dah banjir baru hendak cari, baru nak sign kontrak, baru beli beras dan sebagainya, kedai mana semua dah sedia.”

    Antara agensi KPLB yang terlibat menguruskan bencana banjir sebelum ini termasuklah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan (KESEDAR).

    Musim Monsun Timur Laut dijangka bermula pada November ini hingga Mac 2023.

    Sementara itu pada majlis yang sama, Mahdzir menyampai watikah pelantikan kepada 212 Pengerusi JPKKP Negeri Selangor bagi sesi lantikan 2022-2023.

    Majlis turut dihadiri, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

  • Ubat yang sama diberikan kepada Najib – Noor  Hisham

    Ubat yang sama diberikan kepada Najib – Noor  Hisham

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesahkan ubat yang diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak semasa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) adalah jenis sama dan dalam senarai ubatan kementerian.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bekas Perdana Menteri itu juga berada dalam keadaan sihat sebelum dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan pada 9 September lalu.

    “KKM ingin memaklumkan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah dimasukkan ke HKL pada hari Jumaat sebagai kes elektif (bukan kecemasan) untuk memastikan kesihatan beliau berada pada tahap yang baik dan optimum.

    “Pemeriksaan dan ujian berkaitan telah dijalankan oleh pakar-pakar perunding kanan bertauliah yang terdiri daripada ketua-ketua perkhidmatan klinikal bagi bidang masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau mengulas dakwaan, Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi yang mendakwa tekanan darah Najib dilapor berada pada tahap tinggi dan berbahaya susulan pertukaran ubat yang diberikan untuk merawat masalah ulser di dalam perutnya.

    Dakwa Muhamad Mukhlis, ujian kolonoskopi yang dijalani oleh Ahli Parlimen Pekan itu pada Sabtu lalu mendapati doktor menemui beberapa ulser baharu di dalam perutnya.

    Susulan keadaan tersebut, Najib yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang memohon untuk pemerhatian di HKL.

    Permohonan itu, bagaimanapun, didakwa ditolak oleh pegawai perubatan yang merawatnya.

    Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata pihak HKL telah mengadakan sidang keluarga (family conference) sebanyak dua kali yang dihadiri oleh Najib dan ahli keluarganya.

    Beliau menambah, keputusan ujian-ujian telah dimaklumkan semasa sidang tersebut mengikut amalan profesional kedoktoran.

    “Mereka juga telah dimaklumkan mengenai keputusan sebulat suara pakar-pakar perunding agar beliau dibenarkan untuk didiscaj dari HKL,” ujarnya lagi.

    Dr Noor Hisham menegaskan, KKM komited dan telus dalam pemberian perkhidmatan kesihatan kepada mana-mana individu, namun, dalam masa sama mempunyai tanggungjawab mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

    Begitupun, kata beliau, sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit boleh dikemukakan kepada mahkamah sekiranya diarahkan.

  • Dafi nafi guna status anak PM bintangi Malbatt Misi Bakara

    Dafi nafi guna status anak PM bintangi Malbatt Misi Bakara

    PENYANYI dan pelakon, Dafi menafikan pemilihannya untuk membintangi filem aksi ketenteraan, Malbatt Misi Bakara adalah disebabkan dia anak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Sebaliknya Dafi, 34, atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri berkata, status dimiliki itu bukan alasan dia ditawarkan berlakon dengan tujuan menggunakan namanya.

    Menurutnya, peluang diberikan itu diterima dan anggap ia sesuatu yang berbeza selepas 15 tahun terbabit dalam bidang seni.

    “Saya harap orang tak salah faham apa saya cakap, tapi saya tak pernah rasa ada apa-apa keistimewaan dan sebagainya.

    “Kalau ada orang yang nak bagi saya peluang dan layanan istimewa tanpa saya minta, saya terima saja. Perkara itu bukan untuk saya nafikan, tapi saya patut bersyukur dan berterima kasih.

    “Terima kasih kepada ayah saya sebab bekerja keras. Saya positif saja, kita tumpang sikit saja. Tak apa orang pandang negatif, sebab orang akan bercakap apa saja. Apa yang penting saya tak meminta-minta benda itu. Kalau orang nak bagi kita elok-elok, takkan nak kata jangan. Saya okay saja kalau sebab anak PM, sementara ada masa rebutlah peluang,” katanya yang dipetik Harian Metro.

    Mengulas lanjut pembabitannya dalam filem itu, Dafi dalam laporan itu berkata, dia percaya ditawarkan berlakon filem berkenan kerana kerjasama dengan pengarah Malbatt Misi Bakara, Adrian Teh.

    “Soal menggunakan saya, sebenarnya Adrian dah ada hubungan baik dengan tentera dari filem Paskal lagi. Saya dapat ‘job’ ini sebab saya berlakon dalam filem Ada Hantu, itu projek pertama saya dengan Adrian.

    “Hubungan kerjasama kami dah ada. Mungkin dia rasa saya okay dan sebab itu panggil lagi,” katanya.

    Selain Dafi, filem Malbatt Misi Bakara turut menampilkan lakonan Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi, Bront Palarae, Zahiril Adzim, Hairul Azreen, Iedil Dzuhrie, Syazwan Zulkifly, Shaheizy Sam, Nafiez Zaidi, Taufiq Hanafi, Ikhram Juhari, Safwan Nazri, Gambit Saifullah dan Theebaan G.

  • KPM teliti garis panduan pemilihan penceramah di sekolah

    KPM teliti garis panduan pemilihan penceramah di sekolah

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan memperincikan garis panduan berkaitan pemilihan penceramah untuk program di sekolah termasuk ceramah motivasi, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Transformasi Pendidikan: Infrastruktur Pendidikan yang Selamat dan Kondusif di Putrajaya hari ini, Radzi berkata antara perkara yang akan diperhalusi adalah berkaitan kebebasan pihak sekolah memilih sendiri penceramah luar.

    “Berkaitan dengan (program) motivasi di sekolah, kenapa kita tak bagi sekolah autonomi dalam perkara tertentu. Kalau kita tak pantau, ada lebih 10,000 sekolah dan kita akan dapati nanti macam-macam pendekatan digunakan sekolah untuk program motivasi.

    “Kalau kita perincikan semua benda nanti, kata semua kementerian nak kawal, kenapa tak bagi autonomi kepada sekolah? Inilah cabaran yang kita hadapi,” katanya mengulas mengenai kes amang seksual yang dilaporkan baru-baru ini membabitkan seorang penceramah bebas yang juga bertaraf selebriti.

    Selebriti lelaki itu yang telah ditahan polis Khamis lepas di Selangor, dipercayai berkenalan dengan mangsa dalam program motivasi di sekolah. Sehingga kini, terdapat enam laporan polis telah dibuat terhadap penceramah bebas yang direman enam hari sehingga 14 Sept ini

     Radzi berkata sehingga garis panduan khusus dibangunkan kelak, garis panduan dan pekeliling sedia ada akan terus dikuatkuasakan dan terpakai.

    “Sekarang ini garis panduan sedia ada terpakai sehingga kita membuat garis panduan atau pekeliling yang berikutnya dan dalam isu ini, kita mahu capai keseimbangan yang sebenar dalam setiap perkara ini dan kita perlu melakukan penelitian terlebih dahulu sebelum kita putuskan sesuatu,” katanya.

    Radzi berkata KPM memandang serius isu berkenaan dan dalam masa yang sama mahu memastikan sekolah merupakan tempat yang selamat untuk pelajar.

    “Sekolah semua berniat baik, ingin dapatkan penceramah-penceramah dari pelbagai konteks untuk beri motivasi kepada murid-murid ini tapi kadang-kadang berlaku kes tertentu seperti yang dibangkitkan,” katanya.

    — BERNAMA

  • PRU-15:Pas yakin tawan Selangor

    PRU-15:Pas yakin tawan Selangor

    PAS yakin mampu merampas Selangor daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, keyakinan itu berdasarkan kerjasama bersama rakan ta’awun dan peningkatan sokongan menerusi pertambahan ahli baharu parti itu.

    “Selangor antara negeri yang mencatatkan pendaftaran ahli baharu tertinggi berbanding negeri lain.

    “Selangor berada pada tangga keempat pertambahan keahlian tertinggi sepanjang tempoh lapan bulan bermula Januari lalu.

    “Berdasarkan pengisytiharan yang dibuat semasa Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 di Alor Setar pada 3 September lalu, Terengganu mencatat 3,309 ahli baharu diikuti Kedah (3,247 orang), Kelantan (2,585 orang) dan Selangor (1,741 orang).

    “Dalam mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat, 11 September lalu, Selangor sekali lagi mencatatkan jumlah teramai apabila mesyuarat meluluskan 579 ahli baharu untuk tempoh sebulan berakhir 9 September 2022,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, kemampuan parti itu mendaftarkan rekod keahlian baharu yang ramai di negeri ditadbir PH adalah pencapaian luar biasa.

    Katanya, pendekatan politik penyatuan ummah yang dibawa telah menambat hati rakyat Selangor.

    “Ini didukung pula oleh kekuatan ahli-ahli dan aktivis Pas seluruh Selangor yang komited dan berdisiplin dalam menjalankan aktiviti dan gerak kerja masing-masing.

    “Dengan kekuatan keahlian yang saban hari meningkat ini, Pas yakin dengan kerjasama rakan-rakan ta’awun, Selangor akan berjaya dirampas dari tangan PH dalam PRU15 nanti,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Banyak perniagaan dijangka akan ‘gulung tikar’ tanpa moratorium – Presiden PKS

    Banyak perniagaan dijangka akan ‘gulung tikar’ tanpa moratorium – Presiden PKS

    CADANGAN pemberian moratorium khas untuk sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dilihat sebagai langkah tepat bagi meningkatkan pertumbuhan dan pemulihan sektor tersebut yang terkesan akibat pandemik.

    Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Ding Hong Sing berkata, kebanyakan perniagaan mikro, kecil dan sederhana akan ‘gulung tikar’ jika kerajaan tidak memandang serius pemberian moratorium kepada sektor tersebut.

    “Ekonomi semakin teruk. Barang naik, gaji sikit, ini semua isu yang besar perlu diambil kira. Jangkaan perniagaan kecil dan sederhana yang akan tutup adalah sekurang-kurangnya 5 ke 10 peratus.

    “Namun, bagi perniagaan mikro, lebih daripada itu. Saya menjangkakan lebih 10 ke 20 peratus akan tutup,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

    Pada Ahad, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan moratorium kepada sektor PMKS, yang kini turut terjejas dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

    Katanya, kenaikan OPR mengakibatkan pengusaha PMKS akan menanggung beban hutang yang lebih tinggi dan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih pasca Covid-19.

    Dalam pada itu, kata Ding Hong, pemberian moratorium tidak akan menjejaskan ekonomi, sebaliknya ia akan membantu peniaga jika mereka menerima moratorium khas yang dicadangkan bekas Perdana Menteri itu.

    “Kalau (kerajaan) boleh tolong, bagus untuk ekonomi peniaga. Jika tidak, ia buruk untuk peniaga. Ia merupakan kesan dua hala.

    “Jika tidak dapat bantu, ekonomi akan jatuh dan sukar untuk bangkit semula,” katanya lagi.

    Namun katanya, pemberian moratorium itu merupakan jalan penyelesaian sementara dan kerajaan harus meneliti, kaji serta membuat perancangan jangka panjang bagi membantu sektor tersebut, sekali gus menstabilkan ekonomi negara.

    “Memang membantu, tetapi kerajaan kena fikir rancangan selepas 6 bulan untuk peniaga-peniaga ini. 

    “Macam sakit kepala, saya makan panadol, tetapi ia hanya jalan penyelesaian sementara. Kena cari punca kesakitan, dan jalan penyelesaian. Bagaimana untuk selesaikan krisis ekonomi negara, semua itu kena rancang dalam fasa ini,” katanya.

    Tambah beliau, kerajaan diharap memberi perhatian yang serius terhadap perkara ini kerana sektor PMKS merupakan antara sektor penting untuk pembangunan ekonomi negara.

    Terdahulu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri menjelaskan, sektor PMKS penting kerana ia mewakili hampir 96 peratus kegiatan ekonomi negara.

    Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan, ramai rakyat yang bergantung kepada sektor ini untuk bekerja dan mencari sumber pendapatan yang mewakili hampir 50 peratus tenaga kerja.

  • Isu OPV jadi ‘bom jangka’ pada PRU15-Mujahid

    Isu OPV jadi ‘bom jangka’ pada PRU15-Mujahid

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    ISU kapal peronda luar pesisir (OPV), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang kini didesak supaya dijalankan siasatan akan menjadi bom jangka kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) , Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, isu berkenaan akan meledak dan memberi kesan kepada BN jika kelewatan atau masalah projek itu tidak dijelaskan secara telus serta terperinci.

    Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menuntut penjelasan kerana rakyat mahu tahu berkenaan projek tersebut yang sehingga kini gagal disiapkan walaupun RM500 juta sudah dibelanjakan.

    “Dalam isu ini saya tidak tuduh tapi buatlah forensik audit (terhadap projek berkenaan), apa masalahnya, kalau buat audit boleh lihat siapa ada kepentingan (dalam projek itu), kenapa RM500 juta dah keluar tapi tak siap lagi.

    “Saya cakap sebab ada bukti. Bekas Presiden Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Februari lalu. Pastinya kalau tidak ada jawapan, ini akan menjadi antara isu utama pada PRU15,” ujar Ahli Parlimen Parit Buntar itu.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan dan berdialog dalam Program Ramah Mesra Bersama Ngo-Ngo Melayu di Bandar Baru Uda di Johor Bahru, semalam.

    Turut hadir Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan Pemimpin Pesara Guru, Datuk Jemale Paiman.

    Media sebelum ini melaporkan, bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim membuat laporan polis ke atas Mujahid kerana memfitnahnya berkaitan kontrak OPV.

    Mujahid yang juga Pengerusi PH Perak berkata, isu OPV akan menjadi isu terbaharu sama seperti isu penyelewengan kes kapal tempur (LCS) yang dijangka menjadi isu hangat dan sukar ditepis BN pada PRU15.

    Berkenaan pertemuan berkenaan, beliau berkata, itu merupakan rangka lawatan dan jelajah program Inisiatif Melayu Bermaruah (IMB) bertujuan mengembalikan semula maruah orang Melayu kerana sejak akhir-akhir ini terdapat pemimpin kaum berkenaan terpalit dengan kes-kes rasuah.

    Jelas beliau, program anjuran Amanah itu akan menjelaskan kekeliruan dalam kalangan orang Melayu kerana beranggapan hanya UMNO parti yang boleh memimpin atau membela mereka.

    “Tetapi ternyata dengan apa yang berlaku, keruntuhan kepimpinan politik UMNO menyebabkan ruang yang kosong, di mana orang Melayu nak berpaut kepada kepimpinan, kuasa dan politik?

    “Maka itulah kita datang untuk menawarkan kepimpanan yang mempunyai maruah dan idea serta mempunyai nilai integriti supaya orang Melayu boleh berpaut kepada satu kepimpinan yang boleh membawa mereka keluar daripada kekeliruan sebelum ini,” katanya.

    Mujahid berkata, orang Melayu sudah terlalu lama didoktrinkan dalam fikiran mereka iaitu UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO sedangkan realitinya tidak begitu.

    “Apabila ada pihak lain yang menawarkan lebih baik, mereka akan kata ini khadam DAP dan anti Melayu sedangkan manipulasi itu tidak berpijak kepada satu kenyataan. Mereka cuba sebarkan ketakutan,” katanya.

    Tambah beliau, itu cabaran utama yang dihadapi Amanah untuk memperbetulkan persepsi songsang dan menerusi program IMB, penjelasan akan dilakukan termasuk memberi jaminan kepada mereka bahawa perkara yang ditakut-takutkan oleh UMNO tidak akan berlaku.

  • Kerajaan pertimbang moratorium khas untuk PMKS

    Kerajaan pertimbang moratorium khas untuk PMKS

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan mempertimbangkan mengenai pemberian moratorium khas untuk sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).

    Memetik laporan Berita Harian, Perdana Menteri berkata, untuk itu sesi perbincangan akan diadakan dengan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi serta Kementerian Kewangan.

    “Kita akan bincang …saya tidak boleh cakap sekarang…kita kena berbincang dengan Kementerian Keusahawanan dan Koperasi serta Kementerian Kewangan,” katanya ringkas kepada media, hari ini.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

    Ismail Sabri mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yasin, yang mencadangkan perkara itu memandangkan sektor itu masih belum pulih sepenuhnya dan ditambah dengan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

    Muhyiddin dilaporkan berkata, sektor PMKS kini menanggung beban hutang yang lebih tinggi dan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih.

    “Sektor PMKS penting kerana ia mewakili hampir 96 peratus kegiatan ekonomi negara.

    “Ramai rakyat yang bergantung kepada sektor ini untuk bekerja dan mencari sumber pendapatan. Hampir 50 peratus tenaga kerja di Malaysia bekerja dalam sektor ini,” katanya.