Category: Semasa

  • Skuad bom dikerah selepas Siti Kasim terima ‘ancaman’

    Skuad bom dikerah selepas Siti Kasim terima ‘ancaman’

    SKUAD bom polis dikerah susulan penemuan objek, yang dikhuatiri ancaman terhadap peguam terkenal, Siti Kasim.

    Siti ketika dihubungi berada di sebuah bengkel kenderaan di ibu negara.

    Menurutnya polis telah mengambil langkah-langkah awal.

    “Polis sudah ‘tutup’ kawasan ini dan saya belum ada kesempatan untuk membuat laporan polis,” katanya, lapor FMT.

    Terdahulu, Siti memuat naik video di Facebook memaparkan objek yang dipasang pada ampaian kenderaannya.

  • KPDN KL rampas barangan tiruan bernilai RM250,000 di Jalan Petaling

    KPDN KL rampas barangan tiruan bernilai RM250,000 di Jalan Petaling

    SEBANYAK 2,505 unit barangan tiruan bernilai RM250,000 dirampas di sembilan premis melibatkan enam stor serta tiga gerai di Jalan Petaling menerusi Ops PUTRA 3.0 yang dijalankan Selasa lalu.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, dalam serbuan tersebut, dua lelaki dan seorang wanita tempatan yang merupakan pemilik premis turut ditahan.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada barangan tiruan jenama terkenal yang dirampas dengan nilai keseluruhan RM250,000 selepas berjaya menyerbu premis perniagaan Jalan Petaling Kuala Lumpur dalam Ops Putra 3.0 ketika mengadakan sidang media di Stor Eksibit KPDN Segambut, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya, kesemua barangan tiruan berkenaan dipercayai diperoleh dari negara asing dan bagi jualan kepada pelancong yang datang ke Jalan Petaling.

    “Kesemua barangan yang disita ini adalah barangan tiruan yang berkualiti tinggi dan harga jualan bermula pada harga RM400 sehingga RM4,000 bagi seunit termasuk jam tangan, beg tangan, dompet, gelang serta cincin,” katanya dalam sidang media, hari ini.

    Sebahagian daripada barangan tiruan jenama terkenal bernilai RM250,000 yang dirampas selepas KPDN berjaya menyerbu premis perniagaan Jalan Petaling Kuala Lumpur dalam Ops Putra 3.0 di ketika mengadakan sidang media di Stor Eksibit KPDN Segambut, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barangan bagi kesalahan pertama dan RM30,000 bagi setiap barangan untuk kesalahan kedua serta berikutnya.

    Ariffin berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan undang-undang harta intelek di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 secara berterusan dalam membanteras penjualan barangan tiruan.

    Sebahagian daripada barangan tiruan jenama terkenal bernilai RM250,000 yang dirampas selepas KPDN berjaya menyerbu premis perniagaan Jalan Petaling Kuala Lumpur dalam Ops Putra 3.0 di ketika mengadakan sidang media di Stor Eksibit KPDN Segambut, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 79 kes harta intelek dengan nilai rampasan berjumlah RM2.5 juta melibatkan sitaan 48,500 unit barangan dibuat di ibu negara setakat ini.

    “Jumlah tangkapan di bawah Ops Jeriji 4.0 bagi tahun 2023 adalah 19 orang melibatkan kesalahan berkaitan harta intelek,” katanya, lapor Utusan TV.

  • Ibu 4 anak terlepas hukuman gantung edar dadah

    Ibu 4 anak terlepas hukuman gantung edar dadah

    SEORANG suri rumah yang terpaksa melahir dan membesarkan anaknya sehingga berusia 17 bulan di penjara, terselamat dari hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi di Seremban hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar kanabis seberat 237.86 gram, dua tahun lepas.

    Hakim Rohani Ismail membuat keputusan itu, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh R Devaki, 34, yang hamil lima bulan ketika ditahan pada 4 Ogos 2021, di akhir kes pendakwaan.

    Dalam penghakimannya, Rohani berkata hasil penilaian daripada semua keterangan mendapati, pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan bahawa tertuduh mempunyai pemilikan dan pengetahuan terhadap dadah yang ditemui.

    “Setelah mendengar penerangan daripada saksi dan pendakwaan serta selepas menimbangkan hujahan dikemukakan oleh kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan pendakwaan gagal membuktikan satu prima facie ke atas tertuduh, oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri,” katanya.

    Rohani turut menasihatkan Devaki yang juga ibu kepada empat anak itu, supaya menjaga diri dan berhati-hati ketika berkawan.

    Mengikut pertuduhan, Devaki didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 237.86 gram di sebuah rumah di Bandar Dataran Segar, Port Dickson pada 7.30 malam, 4 Ogos 2021.

    Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(а) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

    Seramai lapan saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula sejak 17 April lepas.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Maleeha Syed Hussin, manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Wan Emyra Ismail.

    Haresh ketika ditemui pemberita memaklumkan, tertuduh melahirkan seorang anak lelaki ketika berada di Penjara Sungai Udang, Melaka dan membesarkannya di situ sehingga berusia setahun tujuh bulan.

    Sementara itu, Devaki melahirkan rasa kesyukuran kerana dibebaskan daripada tuduhan tersebut, selain akan menjadikan perkara itu sebagai iktibar.

  • Warga Pakistan mengaku tak bersalah cabul wanita Perancis

    Warga Pakistan mengaku tak bersalah cabul wanita Perancis

    SEORANG lelaki warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan mencabul kehormatan seorang wanita warga Perancis, Isnin lalu.

    Tertuduh, Muhammad Akhtar Ramzan, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu menggunakan kekerasan jenayah terhadap Luna Eve Waquet, 23, dengan maksud mencabul kehormatannya.

    Sinar Harian melaporkan, kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah penginapan di Medan Perhentian Medan Kidd dalam daerah Kinta sekitar pukul 11 malam pada 17 Julai 2023.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria manakala tertuduh diwakili Peguam R. Rajasegaran.

    Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 17 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Arul Kanda hantar representasi gugur rayuan kes pinda audit 1MDB

    Arul Kanda hantar representasi gugur rayuan kes pinda audit 1MDB

    BEKAS CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy mengemukakan surat representasi agar pihak pendakwaan menarik balik rayuan terhadapnya berhubung kes meminda laporan audit 1MDB.

    Peguam Arul Kanda, Jasmine Cheong mengesahkan kepada Bernama representasi itu telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam.

    Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan Arul Kanda daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB.

    Sementara itu, peguam Alaistair Brandah Norman yang mewakili Najib berkata pihaknya belum memfailkan representasi kepada AGC untuk menarik balik rayuan itu

    Pengurusan kes dijalankan hari ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan Nurul Azrina Mohamed Yusof yang menetapkan 28 Ogos bagi satu lagi pengurusan kes untuk AGC mengemas kini mahkamah mengenai status representasi Arul Kanda dan status rayuan pihak pendakwaan.

    Dalam prosiding pengurusan kes itu, Cheong mewakili Arul Kanda, Alaistair hadir bagi pihak Najib manakala Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee bagi pihak pendakwaan.

    Pada 3 Mac tahun ini, hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan (yang kini hakim Mahkamah Rayuan) telah membebaskan Najib dan Arul Kanda tanpa memanggil mereka membela diri.

    Hakim itu memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua mereka.

    Dalam alasan penghakimannya, Mohamed Zaini berkata dia telah memberikan penilaian maksimum di akhir kes pendakwaan dan mendapati tiada bukti menunjukkan atau membuktikan bahawa Najib secara jelas mengarahkan pindaan yang dibuat untuk membebaskan dirinya daripada sebarang liabiliti sivil atau jenayah.

    Dalam kes Arul Kanda, hakim mendapati dia (Arul Kanda) konsisten sepanjang keterangannya dan keterangannya serasi dengan keterangan lain yang dikemukakan.

    Najib, 70, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

    Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada 9 Mac lepas.

  • Kontraktor terowong dasar laut dakwa ditipu ahli perniagaan

    Kontraktor terowong dasar laut dakwa ditipu ahli perniagaan

    SEORANG saksi pendakwa raya dalam perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang berkata, kontraktor projek terpaksa mengambil tindakan selepas menyedari ia ditipu oleh ahli perniagaan.

    Bekas pengarah Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd, Ibrahim Sahari berkata, beliau dan rakan sekerja, Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli memaklumkan kepada mesyuarat lembaga pengarah bahawa syarikat itu telah ditipu oleh G Gnanaraja.

    “Peguam kami mengeluarkan notis tuntutan kepada Gnanaraja, meminta dia pulangkan RM19 juta,” tambahnya.

    Gnanaraja dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 2019 kerana menipu Zarul. Dia mengaku bersalah bagi tuduhan alternatif bawah Akta Syarikat.

    Saksi juga mengiyakan apabila ditanya oleh peguam pembela, Gobind Singh Deo sama ada beliau tahu Zarul ‘ditekan’ Gnanaraja supaya menyerahkan RM19 juta, yang dikatakan untuk menutup siasatan pengubahan wang ke atas syarikat itu.

    “Zarul beritahu saya,” kata Ibrahim, lapor FMT.

    Saksi juga berkata ‘mustahil’ sebahagian RM19 juta itu Gnanaraja berikan kepada orang lain.

    Ditanya sama ada Gnanaraja menyerahkan RM2 juta daripada RM19 juta itu kepada Lim Guan Eng, Ibrahim menjawab: “Saya tak boleh komen”.

    Saksi berkata dirinya sebelum ini dipanggil sebagai saksi dalam kes penipuan terhadap Gnanaraja di Shah Alam.

    Perbicaraan diteruskan pada 7 Ogos di hadapan Hakim Azura Alwi.

    Lim dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10 peratus daripada keuntungan projek terowong itu, dan untuk menerima RM3.3 juta daripadanya.

    Lim juga dituduh menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan negeri dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong itu.

  • ‘Anwar tak faham isu Felda, kenapa saya perlu minta maaf?’ – Muhyiddin

    ‘Anwar tak faham isu Felda, kenapa saya perlu minta maaf?’ – Muhyiddin

    “YANG kita bicarakan bukan tentang masalah Felda, kita cakap soal hutang peneroka, kenapa saya kena minta maaf dengan dia, (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) tak faham isu.”

    Demikian kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan gesaan Perdana Menteri yang menuntut beliau memohon maaf atas fitnah dilemparkan.

    Muhyiddin menegaskan, isu berhubung Anwar menandatangani dokumen berjumlah RM990 juta itu merupakan sebahagian pelupusan hutang Felda berjumlah RM8.3 bilion.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, apa yang beliau bangkitkan kepada Anwar termasuk mengemukakan surat tuntutan (LoD) adalah melibatkan pelupusan hutang peneroka, satu perkara berbeza.

    Jelas Muhyiddin, masalah hutang peneroka itu telah pun diselesaikan sewaktu beliau menjawat jawatan Perdana Menteri.

    Malah, kata beliau, perkara itu juga telah dibawa ke Parlimen dan dijawab sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang mengatakan perkara itu sudah dilaksanakan tetapi tidak diteruskan.

    “Mungkin Anwar tak faham. Waktu saya jadi Perdana Menteri, dalam tempoh beberapa bulan telah disediakan satu laporan iaitu Kertas Putih Felda dilaksanakan (Datuk Seri Mohamed) Azmin (Ali) sebelum itu. Kedua, kita bentuk satu jawatankuasa dipimpin Tan Sri Wahid Omar untuk kaji isu pokok Felda itu sendiri. Jadi dalam kajian itu antara lain adalah memperakukan supaya kita hapus kira hutang peneroka Felda.

    “Waktu itu kita dah umum dan dilaksanakan. Awalnya saya nak tahu betul ke Anwar kata saya tak buat, dia sahaja yang umumkan. Saya periksa dengan banyak pihak. Benar, sudah pun dihapus kira pada 2021. Semua data dalam rekod kita,” katanya dałam wawancara bersama  UtusanTV.com

    Mengulas lanjut, Muhyiddin menjelaskan, apa yang dibangkitkan Anwar adalah melibatkan penerbitan sukuk berjumlah RM9.9 bilion sebagai jaminan kerajaan kepada Felda.

    Katanya, RM9.9 bilion itu diberikan kepada Felda dalam tempoh 10 tahun.

    “RM990 juta itu diberi kepada Felda untuk memulihkan agensi itu. Ia bagi meningkatkan hasil, mengambil alih syarikat FGV dan sebagainya dalam tempoh 10 tahun. Ia supaya Felda dapat dipulihkan dan peneroka dapat pendapatan yang lebih baik. Kita tidak bicara pun soal itu tetapi soal hutang lapuk peneroka. Cuba la tanya menteri dia. Tanya Ketua Pengarah atau Pengerusi Felda.

    ”Saya kadang-kadang malu ada Perdana Menteri yang tidak faham dan selepas itu tohmah saya sedangkan saya tak lakukan kesalahan. Saya dah buat yang terbaik dan perkara itu dah dilaksanakan.Jadi jawablah kepada peguam saya, bukan dia suruh saya jawab. Saya dah jawab berkali-kali tapi dia tak faham,” katanya.

    Terdahulu, Muhyiddin dalam kenyataan menegaskan akan meneruskan tindakan saman fitnah ke atas Perdana Menteri berhubung isu hutang peneroka Felda.

    Ia selepas Anwar dikatakan gagal mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka kepada Muhyiddin dalam tempoh 24 jam seperti mana yang terkandung dalam surat tuntutan (LOD) yang dihantar peguamnya kepada Perdana Menteri.

    Menurut Muhyiddin, dokumen yang dikeluarkan Anwar, hari ini bukanlah berkenaan pelupusan hutang peneroka Felda seperti yang dimintanya dalam LOD tersebut.

    Pagi semalam, Anwar mengemukakan dokumen ditandatanganinya bagi meluluskan pelupusan hutang Felda berjumlah RM8.3 bilion.

    Sehubungan itu, Perdana Menteri mendesak Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh untuk memohon maaf atas fitnah dilemparkan.

    Kelmarin, Muhyiddin mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Anwar berhubung kenyataan mengenai pelupusan hutang peneroka FELDA, selain menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Perdana Menteri.

    LOD disediakan firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership bertarikh 18 Julai 2023 (Selasa) itu dihantar ke dua alamat Anwar iaitu di kediamannya di Kajang, Selangor dan Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

    Dalam pada itu LOD terbabit turut menuntut Perdana Menteri untuk mengemukakan surat atau dokumen yang beliau tandatangan sebagai Menteri Kewangan pada akhir Jun 2023 bagi meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion dalam tempoh 24 jam selain menarik balik kesemua kenyataan fitnah dan memadamkan penyiaran dari akaun Facebook serta laman web, platform ia disiarkan.

    Anwar juga dituntut membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis, menyiarkan yang sama di akaun Facebook dan semua platform kenyataan berkenaan disiarkan.

  • Tun Mahathir mohon mahkamah arah Anwar kemuka dokumen kes saman

    Tun Mahathir mohon mahkamah arah Anwar kemuka dokumen kes saman

    TUN Dr. Mahathir Mohamad sudah memfailkan permohonan, meminta Mahkamah Tinggi mengarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengemukakan dokumen yang dirujuk dalam pernyataan pembelaan beliau dalam kes saman fitnah mereka yang sedang berjalan.

    Bekas Perdana Menteri itu mahu Anwar mengemukakan dokumen mengenai dakwaan isu menyelamatkan Konsortium Perkapalan Bhd (KPB) oleh Petronas dan Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) pada 1997.

    Selain itu, kontrak oleh Telekom Malaysia Bhd kepada Opcom Cables Sdn Bhd (2003), lesen fabrikasi oleh Petronas kepada Kencana Petroleum Bhd (2002) dan laporan berkaitan permintaan Perwaja Steel Bhd untuk mendapatkan dana daripada kerajaan (1998).

    KPB, kini dikenali sebagai Pos Logistics Bhd, dimiliki anak Mahathir, Mirzan manakala Mokhzani dan Mukhriz, juga merupakan pemegang saham dalam Opcom.

    Mokhzani mengasaskan Kencana Capital Sdn. Bhd., yang kemudiannya menjadi Kencana Petroleum Bhd.

    Mahathir juga mahu Anwar mengemukakan dokumen berkaitan yuran guaman yang dibayar kepada dua firma guaman, Lewis & Co dan VK Lingam & Co.

    Peguamnya, Rafique Rashid Ali memberitahu pemberita bahawa Pesuruhjaya Kehakiman Zaharah Hussain telah mengarahkan peguam kedua-dua pihak memfailkan penghujahan mereka pada 8 Sept sebelum mahkamah membuat keputusan pada 2 Oktober.

    Mahathir menyaman Anwar atas kenyataan yang dibuat pada Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 18 Mac yang menggelarnya sebagai rasis dan mengatakan beliau memperkayakan keluarganya ketika memegang jawatan.

    Mahathir dalam samannya, mendakwa kenyataan Anwar dibuat atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri, oleh itu ia mempunyai kesan lebih teruk terhadapnya berbanding kenyataan sama yang dibuat rakyat biasa, lapor FMT.

  • Pelajar perempuan maut terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolah

    Pelajar perempuan maut terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolah

    SEORANG pelajar perempuan Tingkatan Satu di sebuah sekolah menengah di Melaka maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat dua sekolah itu hari ini.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata mangsa ditemukan oleh tukang kebun dalam keadaan terlungkup di kaki lima bangunan sekolah itu pada 2.31 petang.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati kelas mangsa berada di tingkat dua bangunan sekolah tiga tingkat itu.

    “Kejadian dipercayai berlaku di tingkat dua bangunan tersebut selepas pasukan penyiasat menemukan kasut pelajar terbabit di kaki lima aras sama sekolah terbabit.

    “Tiada saksi yang nampak mangsa terjun atau terjatuh dan tiada kesan perbuatan jenayah di sekitar kawasan,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

    Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan motif kejadian masih disiasat.

  • Dua kertas siasatan kes jual tanah kerajaan Terengganu dibuka, kata Azam

    Dua kertas siasatan kes jual tanah kerajaan Terengganu dibuka, kata Azam

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuka dua kertas siasatan berhubung salah guna kuasa kes penjualan tanah kerajaan Terengganu sebelum tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) ditetapkan.

    Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau tidak tahu bila kes tersebut akan selesai.

    Beliau memberitahu, pertama, siasatan berkenaan tanah yang dijual badan kebajikan kepada persatuan isteri Exco masih dalam siasatan.

    “Kedua jual kepada Exco kemudian jual kepada badan lain lagi. Kedua-duanya kita ada buka kertas siasatan.

    “Kita masih jalankan siasatan. Jadi jangan paksa kami siap (kertas siasatan) sebelum PRN pula, siasatan kita jalan cara adil, belum siap lagi apapun,” katanya pada sidang media, di Kuala Terengganu, hari ini.

    Sebelum ini, media melaporkan sebidang tanah di kawasan bandar seluas 11,299 meter persegi di Batas Baru bernilai RM29.3 juta dijual kepada Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa’) pada harga RM500,000.

    Azam berkata, pihaknya telah merekodkan keterangan daripada beberapa pihak namun beliau tidak pasti sama ada keterangan Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar telah diambil.

    Sementara itu, Azam memberitahu, Bilik Gerakan SPRM akan dibuka negeri-negeri yang terbabit dengan PRN untuk menerima maklumat dan memberi arahan kepada pegawai suruhanjaya itu.

    “Kini masyarakat lebih peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang membabitkan salah laku calon yang bertanding,” katanya lapor MalaysiaGazette.