Category: Semasa

  • 204 mangsa banjir Batu Pahat ditempatkan di PPS

    204 mangsa banjir Batu Pahat ditempatkan di PPS

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BILANGAN mangsa banjir di Batu Pahat terus meningkat melibatkan 204 orang yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading setakat pukul 8 pagi tadi.

    Angkatan Pertahanan Awam (APM) Batu Pahat dalam satu kenyataan memberitahu, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 163 mangsa daripada 38 keluarga pada pukul 8 malam Rabu.

    “Punca banjir disebabkan pertembungan hujan lebat selama beberapa jam dan air pasang. Semua penempatan yang terlibat adalah dalam mukim Simpang Kanan, Parit Raja dalam Parlimen Sri Gading.

    “Kawasan terlibat Taman Sri Panchor; Kampung Sengkuang; Kampung Baru Sri Gading; pekan Seri Gading dan Kampug Seri Tanjung,” menurut kenyataan itu hari ini.

    APM memaklumkan, cuaca ketika ini cerah dan pemantauan di kawasan banjir terus dilakukan APM dan agensi berkaitan.

  • Dua nelayan hilang selepas bot terbalik, karam

    Dua nelayan hilang selepas bot terbalik, karam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA nelayan tempatan hilang manakala dua lagi terselamat selepas bot yang dinaiki terbalik sebelum karam dipukul ombak besar pada kedudukan 9.6 batu nautika barat daya Parit Hailam di Batu Pahat, pukul 5 petang semalam.

    Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd. Yunus berkata, pihaknya menerima aduan itu daripada orang awam sebelum Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat mereka.

    Menurutnya, berdasarkan maklumat awal kejadian, bot nelayan itu dikendalikan empat kru yang merupakan rakyat tempatan berbangsa Cina yang keluar ke laut untuk memukat ikan.

    “Keadaan cuaca yang buruk dan ombak besar telah menyebabkan bot terbalik seterusnya karam. Tekong bersama seorang nelayan berjaya menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari bot.

    “Mangsa yang terselamat ialah Te Chia Haur, 40, dan Tee Kian Muar, 33. Mereka telah diselamatkan bot nelayan tempatan yang berada berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, dua lagi nelayan, Te Chia Rong, 38, yang merupakan adik kepada Chia Haur, dan Chia Hock Neng, 60, tidak sempat menyelamatkan diri dipercayai sedang tidur semasa bot menarik pukat.

    Jelasnya, Chia Rong yang beralamat di Kampung Parit Botak, Senggarang, Batu Pahat semasa hilang memakai baju warna kuning dan berseluar pendek hitam.

    Sementara Hick Neng pula yang beralamat di Taman Impian, Rengit di Batu Pahat memakai baju hitam toada lengan dan seluar panjang warna biru, katanya.

    “Sejurus menerima maklumat, MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan Operasi pada pukul 8 malam tadi dan Bot Kilat 47 dari Zon Maritim Batu Pahat telah diatur gerak ke lokasi kejadian.

    “Ketika di lokasi, bot nelayan tersebut tidak kelihatan kerana telah tenggelam sepenuhnya. Mangsa yang selamat telah dipindahkan ke Bot Kilat 47 dan seterusnya dibawa pulang ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat untuk diserahkan kepada Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat,” katanya.

    Beliau menambah, pegawai perubatan sedang melakukan pemeriksaan sebelum kedua-dua mangsa diserahkan kepada keluarga masing-masing.

    Katanya, operasi mencari dua mangsa yang masih belum ditemui itu diteruskan pada pagi tadi dengan tambahan aset dan anggota Maritim Malaysia dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    “Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau penemuan boleh menghubungi talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999,” katanya.

  • Tiada lesen memandu jadi kesalahan tertinggi dalam operasi kenderaan perdagangan

    Tiada lesen memandu jadi kesalahan tertinggi dalam operasi kenderaan perdagangan

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 356 notis bagi kesalahan tiada lesen memandu menerusi Ops Tutup yang diadakan di dua lokasi di sekitar Seberang Perai Utara (SPU) malam tadi.

    Kesalahan itu merupakan yang paling tinggi dikesan pihak berkuasa berkenaan dalam operasi yang mensasarkan kenderaan perdagangan yang diadakan selama dua hari sejak kelmarin di Plaza Tol Sungai Dua (arah Selatan) dan Plaza Tol Juru (arah Utara).

    Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Adenan Mat Isa berkata, selain kesalahan tiada lesen sebanyak 198 notis turut dikeluarkan atas kesalahan teknikal manakala 113 notis berkaitan perlesenan kenderaan.

    Lebih mengejutkan kata beliau, pemeriksaan juga mendapati kelindan lori yang tidak mempunyai lesen turut menggantikan pemandu utama sekali gus membahayakan pengguna jalan raya lain.

    Mengulas lanjut beliau berkata, sebanyak 2,490 kenderaan diperiksa dan 445 daripadanya dikenakan tindakan manakala 766 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi tersebut.

    Katanya, operasi bersepadu terbabit turut disertai beberapa agensi lain antaranya JPJ Kedah dan Perlis; Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

    “Operasi ini dijalankan bagi memastikan kenderaan perdagangan layak berada di atas jalan raya dan benar-benar selamat dipandu bagi mengurangkan risiko kemalangan.

    “Kita memeriksa antaranya keadaan brek, tayar, enjin, asap dan komponen lain bagi memastikan kenderaan berat ini tidak akan rosak sehingga dikhuatiri menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu malam tadi.

    Dalam pada itu beliau menegaskan, JPJ Pulau Pinang akan terus menjalankan penguatkuasaan dan advokasi berhubung keselamatan di jalan raya bagi memastikan semua pengguna jalan raya dilindungi.

  • Twitter akan guna mahkamah desak Elon Musk muktamadkan pembelian

    Twitter akan guna mahkamah desak Elon Musk muktamadkan pembelian

    PEMEGANG saham syarikat gergasi media sosial, Twitter meluluskan perjanjian dengan Elon Musk dalam pembelian platform itu pada harga AS$44 bilion.

    Keputusan itu diumumkan sewaktu persidangan menerusi panggilan telefon yang ringkas dengan pelabur dari ibu pejabat Twitter di San Francisco.

    Ini bermakna, Twitter akan mendesak Elon Musk untuk memuktamadkan pembelian platform itu dengan menggunakan mahkamah, alpor Astro AWANI.

     Pada April, Twitter bersetuju untuk menjual syarikat itu kepada Musk yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc.

    Bagaimanapun, perjanjian itu tidak diteruskan kerana Twitter didakwa gagal mengemukakan bukti bahawa jumlah akaun ‘spam’ atau ‘bot’ merangkumi lebih rendah daripada lima peratus keseluruhan pengguna perkhidmatan media sosial itu.

    Musk kemudian enggan untuk meneruskan pembelian syarikat itu pada Julai, namun Twitter menegaskan bahawa Musk tidak boleh berundur daripada perjanjian itu.

    Kedua-duanya akan bertemu di Mahkamah Delaware pada Oktober dan semasa perbicaraan, hakim akan memutuskan sama ada Musk perlu membeli syarikat itu atau sebaliknya.

    Untuk rekod, Twitter kini bernilai AS$32 bilion, jauh di bawah tawaran AS$44 bilion daripada Musk.

  • Sammy Vellu meninggal dunia

    Sammy Vellu meninggal dunia

    BEKAS Presiden MIC, Tun S. Samy Vellu meninggal dunia hari ini.

    Berita itu dikongsi oleh Datuk Seri S. Subramaniam dialam Facebook rasmi beliau.

    Menurut Subramaniam, berita itu dimaklumkan anak Samy, S. Vell Paari, lapor Sinar Harian.

  • Kes culik ejen produk kosmetik: Azi diheret, keluarga diugut dengan pisau, pistol

    Kes culik ejen produk kosmetik: Azi diheret, keluarga diugut dengan pisau, pistol

    IBU kepada ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, 36, yang diculik di kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di Tumpat, semalam, trauma dan tidak dalam melupakan insiden itu yang berlaku depan matanya.

    Menurut Zahasnah Mohd. Zain, 75, hatinya luluh melihat anaknya atau dikenali sebagai Azi dilarikan beberapa lelaki dalam kejadian itu.

    “Luluh hati mak cik tengok anak diheret di depan mata, hanya Allah tahu sedihnya hati kenangkan nasib anak yang sehingga kini tak diketahui,” katanya ditemui di kediamannya, hari ini.

    Dalam kejadian 5.10 petang semalam, Rosnazirah dikatakan dilarikan sekumpulan lelaki dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand sebelum kereta terbabit ditemui pukul 10 malam tadi.

    Zahasnah berkata, sehingga kini mereka sekeluarga masih masih trauma dengan apa yang berlaku dan terngiang-ngiang lagi suara anaknya meminta tolong ketika diheret sekumpulan lelaki itu.

    “Mak cik tak tahu apa sebenarnya berlaku kerana sehingga kini kami sekeluarga tidak terima sebarang panggilan, nak minta wang tebusan atau apa-apa. Mak cik sekarang terlalu sedih mengenangkan nasib anak kerana sehingga kini tidak mendapat sebarang khabar berita.

    “Mak cik hanya mampu berdoa supaya Rosnazirah ditemui selamat dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Menceritakan kejadian itu, Zahasnah baru selesai solat Asar sebelum didatangi sekumpulan lelaki yang bertanya mengenai anaknya.

    “Suami terus panggil anak yang ketika itu berada di dapur dan secara tiba-tiba, Rosnazirah diheret, tak sempat pakai selipar dan tudung.

    “Pak cik (suami) sempat bergelut beberapa minit walaupun lelaki itu mengeluarkan pisau, namun dia terpaksa mengalah sebaik lelaki itu mengeluarkan pistol sambil mengeluarkan kata-kata ugutan.

    “Ketika itu, ramai yang menyaksikan kejadian itu termasuk anak Rosnazirah yang menangis minta tolong, namun tiada siapa berani kerana lelaki itu ada pistol,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Ketika kejadian, katanya, terdapat lima lelaki semuanya, iaitu seorang menunggang motosikal, manakala empat lagi menaiki kereta.

    “Sebelum kejadian, saya perasan sebuah motosikal lalu lalang di kawasan rumah, mungkin dia datang memantau,” katanya.

    Adik mangsa, Mohd. Syarafi, 26, berharap kakaknya ditemui selamat dan menyerahkan perkara itu kepada pihak polis.

    Katanya, Roszanirah bekerja sebagai ejen produk kosmetik sejak tiga tahun lalu dan dia serta keluarga tidak pernah tahu sama ada kakaknya ada berhutang.

    “Kami sekeluarga akan mengadakan solat hajat dan besar harapan kami kakak dibebaskan dan pulang dengan selamat,” katanya.

    Dalam kejadian petang semalam, Rosnazirah dikatakan dilarikan sekumpulan lelaki dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand sebelum kereta terbabit ditemui jam 10 malam tadi.

  • Wanita pekerja pusat jagaan ditahan dera kanak-kanak OKU

    Wanita pekerja pusat jagaan ditahan dera kanak-kanak OKU

    POLIS menahan seorang wanita selepas dipercayai melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) di sebuah rumah jagaan di Kuala Terengganu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din, wanita berkenaan yang berusia 34 tahun dan juga kakitangan di pusat berkenaan ditahan di rumahnya, pukul 4.30 petang semalam.

    “Kanak-kanak lelaki yang berusia lima tahun itu dikatakan menjadi mangsa penganiayaan secara fizikal, antara Julai hingga Ogos lalu,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Beliau berkata, pihak pusat perlindungan sebelum ini membuat siasatan dalaman sebelum membongkar perbuatan suspek.

    “Susulan siasatan itu, kakitangan pusat jagaan tampil membuat laporan polis pada pukul 3.20 petang semalam,” katanya.

    Suspek katanya, kini direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Mangsa juga sudah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

  • Pembubaran Parlimen mesti dibincang semua parti gabungan, kata ahli MPT Bersatu

    Pembubaran Parlimen mesti dibincang semua parti gabungan, kata ahli MPT Bersatu

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof berkata, pembubaran Parlimen wajar dibincangkan bersama semua parti politik yang terlibat membentuk gabungan dalam kerajaan.

    Tegas beliau, selepas itu perlu sebelum mendapat persetujuan kabinet dan perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    “Perkara tersebut penting bagi mengelakkan berlakunya pertembungan ketika pembahagian kerusi.

    “Kesilapan dalam isu berkenaan akan memberi kesan kepada penyatuan ummah yang telah dicapai sebelum ini.

    “Kita perlu sedar bahawa kerajaan hari ini merupakan kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Tegas beliau, kegagalan penyatuan ummah hanya akan merugikan dan menguntungkan pihak lain.

    Kenyataan itu dibuat susulan laporan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijangka mengadakan pertemuan bersama lima pimpinan tertinggi (Top 5) UMNO bagi membincangkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU1-5) yang berkemungkinan diadakan lebih awal sebelum pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober depan.

    Perbincangan itu turut melibatkan rakan komponen UMNO yang lain dalam gabungan BN seperti parti MCA dan MIC.

    Pada masa yang sama, Mohd. Redzuan turut mengingatkan kerajaan agar menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan pemulihan ekonomi negara.

  • Mayat lelaki tidak dikenali ditemukan di Sungai Bidut

    Mayat lelaki tidak dikenali ditemukan di Sungai Bidut

    MAYAT seorang lelaki yang tidak mempunyai pengenalan diri ditemukan oleh orang ramai di tepi Jalan Tanjung Maling, Sungai Bidut di Sibu, hari ini.

    Pemeriksaan awal pihak polis, yang menerima maklumat tersebut pada 9.24 pagi, mendapati lelaki itu tidak mempunyai tanda suntikan BCG pada kedua-dua lengannya.

    “Tiada kesan kecederaan luaran di tubuh si mati serta tiada unsur jenayah dikesan di tempat kejadian setakat ini,” kata Ketua Polis Sibu ACP Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataan.

    Menurut beliau, bedah siasat akan dilakukan bagi menentukan punca kematian dan kes setakat ini diklasifikasi sebagai kematian mengejut.

    Beliau meminta mana-mana saksi, individu, waris atau majikan yang mempunyai maklumat berhubung penemuan itu atau kehilangan ahli keluarga atau pekerja, untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat ASP Binsin Lunjong di talian 017-8025675.

  • Keputusan empat ADUN Pulau Pinang pinda saman 6 Oktober

    Keputusan empat ADUN Pulau Pinang pinda saman 6 Oktober

    MAHKAMAH Tinggi di George Town sini menetapkan 6 Oktober untuk keputusan sama ada membenarkan permohonan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk meminda saman pemula (OS) mereka bagi menghalang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang daripada meluluskan usul untuk mengosongkan kerusi mereka.

    Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Md Arshad menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat hari ini berhubung permohonan ADUN tersebut.

    “Keputusan itu akan disampaikan melalui e-mel kepada kedua-dua pihak pada 6 Oktober, dengan e-semakan untuk arahan lanjut berkaitan OS, memandangkan kedua-dua peguam berpejabat di Kuala Lumpur,” katanya.

    Semasa prosiding, peguam Datuk D. P. Naban, yang mewakili ADUN tersebut berkata permohonan itu difailkan atas alasan undang-undang antilompat parti negeri itu tidak mengikut perlembagaan.

    “Ia melanggar kebebasan bersuara mereka kerana jika mereka bersuara secara berbeza, mereka mungkin dipecat daripada parti mereka dan terpaksa mengosongkan kerusi di bawah Perkara 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang,” katanya.

    Sementara itu, peguam Surendra Ananth, yang mewakili defendan (Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (DUN) dan Speakernya Datuk Law Choo Kiang) memberitahu mahkamah bahawa jika pindaan OS itu dibenarkan, ia akan melambatkan lagi kes dan pendengaran OS.

    Beliau berkata permohonan itu sebagai taktik untuk melengahkan kes.

    Pada 2020, empat ADUN – Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) – memfailkan OS terhadap kedua-dua defendan itu untuk mencabar perlembagaan Perkara 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, dan menghalang empat kerusi berkenaan daripada diisytiharkan kosong, menurut Perkara 14A(1).

    Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

    Pada 12 April lepas, Azizan membenarkan permohonan defendan untuk merujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi memutuskan keperlembagaan undang-undang antilompat parti negeri itu.

    DUN Pulau Pinang dan speaker mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan persoalan sama ada Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah tidak sah kerana tidak konsisten dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan berpersatuan.

    Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada 3 Ogos memutuskan bahawa Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.