Category: Semasa

  • GTA bukan parti politik biasa, kata Tun M

    GTA bukan parti politik biasa, kata Tun M

    Gerakan Tanah Air (GTA) bukan parti politik biasa sebaliknya adalah gerakan rakyat yang biasanya tidak bersuara dalam politik, kata Pengerusi Penajanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    “Golongan tersebut (rakyat) adalah mereka yang tidak bersetuju dengan perkembangan politik dalam negara,” ujar bekas Perdana Menteri itu.

    “Mereka mendapati tidak ada satu pun parti politik yang memenuhi kehendak negara. Mereka berpendapat menyokong parti-parti yang ada tidak menghasilkan kerajaan yang mampu menyumbang kepada kestabilan dan kejayaan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau mendakwa, kecewa dengan keadaan politik dalam negara, ramai di antara mereka memilih untuk mengasingkan diri daripada politik malah ramai pula yang tidak akan mengundi.

    “Malangnya kerana tidak mengundi, kemenangan akan diperolehi oleh parti yang mereka tolak,” katanya.

    Jelasnya, dengan keadaan itu negara akan mengalami kedudukan yang lebih buruk dari sebelum pilihan raya umum (PRU).

    “Untuk mengadakan badan yang lebih menepati kehendak puak kecewa ini, parti politik biasa tidak sesuai. Satu gerakan rakyat diperlukan bagi menyatukan mereka yang tidak berparti.

    “Mereka perlu digabung dalam satu gerakan pencinta negara yang berpegang kepada keluhuran undang-undang dan kemajuan negara,” katanya.

    Dr. Mahathir berkata, GTA mewakili golongan berkenaan selain pemimpin dan ahli gabungannya bersih daripada segala jenayah serta tiada berkepentingan peribadi.

    “Dengan menggembleng rakyat yang cinta negara dan bertanding dalam PRU15, rakyat akan ada pilihan selain daripada parti politik biasa,” ujarnya.

    Ahli Parlimen Langkawi itu mendedahkan, calon-calon GTA dalam PRU-15 nanti akan terdiri daripada ahli badan bukan kerajaan (NG0), tokoh akademik, profesional dan parti politik.

    “Insya-Allah, dengan sokongan dari semua pencinta negara, GTA akan berjaya dalam PRU15 dan mendirikan kerajaan yang berpegang kepada keluhuran undang-undang, perlembagaan, kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Mangsa banjir di Batu Pahat menurun pagi ini

    Mangsa banjir di Batu Pahat menurun pagi ini

    JUMLAH mangsa banjir di Batu Pahat menurun kepada 232 orang setakat 8 pagi ini berbanding 236 orang yang direkodkan malam tadi.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam satu kenyataan memaklumkan, lokasi terjejas di daerah itu melibatkan Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Baru Sri Gading, Pekan Seri Gading dan Kampung Seri Tanjung.

    Menurut JPBD, kesemua mangsa terdiri daripada 67 keluarga itu ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gading di Batu Pahat yang dibuka sejak Rabu lepas.

    Banjir di daerah itu berlaku disebabkan pertembungan hujan lebat bermula 1.30 pagi hingga 5.30 pagi, Rabu lepas dan fenomena air pasang.

  • Askar wataniah putus kepala kereta dipandu bertembung trak tentera

    Askar wataniah putus kepala kereta dipandu bertembung trak tentera

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita putus kepala selepas kereta dipandu terlibat kemalangan dengan trak tentera dari kem Segamat dalam kejadian di Kometer 49.2 Jalan Muar-Segamat, Tangkak, pukul 4.30 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Mohd. Fadhil Minhat berkata, Nur Faezah Aminah Suib, 25, yang merupakan askar wataniah beralamat Durian Condong Bukit Kepong, Muar, maut di tempat kejadian.

    “Kemalangan berlaku semasa kereta Protom Saga dipandu mangsa dari arah Tangkak menghala ke arah Segamat, semasa tiba di Jalan Muar-Segamat melalui jalan berselekoh dan telah hilang kawalan lalu masuk ke jalan bertentangan dan melanggar trak berkenaan.

    “Mangsa putus kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat dibawa ke rumah mayat Hospital Tangkak untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

    Beliau berkata, pemandu trak berkenaan, Benny Jr Lind yang merupakan seorang tentera beralamat di Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia Kementah, Kuala Lumpur, tidak cedera.

    Seorang askar wataniah maut selepas kereta dipandu terlibat kemalangan di Jalan Muar-Segamat, Tangkak

    Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Pegawai Bomba Kanan II Zamri Ayob berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.42 petang.

    Susulan itu katanya, seramai lapan anggota dari BBP Tangkak dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Terdapat seorang mangsa yang tersepit dalam Proton Saga. Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi. Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 4.53 petang,” katanya.

  • Pesara tembak diri sendiri selepas tembak isteri di Jerantut

    Pesara tembak diri sendiri selepas tembak isteri di Jerantut

    SEORANG pesara Pejabat Perhutanan Jerantut ditemukan maut apabila menembak isterinya sebelum menembak diri sendiri selepas bertengkar berhubung agihan hasil jualan tanah di Kampung Machang Raja Labu, Jerantut, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt Mazlan Hassan, berkata isteri pesara berusia 67 tahun itu ditemukan oleh jiran yang mendengar dua das tembakan disusuli jeritan meminta tolong dari bahagian belakang dapur rumah pasangan itu sekitar jam 8 pagi.

    “Saksi kejadian menyatakan melihat mangsa terbaring kesakitan dan berdarah di pinggang lalu mengejarkan mangsa ke Hospital Jerantut.

    “Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia dan siasatan awal mendapati dia mengalami kecederaan di belakang rusuk kiri.

    “Suami mangsa berusia 73 tahun pula ditemukan di rumah dalam keadaan terduduk bersama selaras senapang patah dengan kecederaan di leher sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mazlan berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran selepas isterinya, juga seorang pesara Pejabat Perhutanan Jerantut, tidak memberikan agihan hasil jualan tanah kepada suaminya.

    Beliau berkata suami wanita itu mempunyai lesen senjata api dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    — BERNAMA

  • 3 maut, seorang parah, motosikal bergesel sebelum dilanggar bas ekspress

    3 maut, seorang parah, motosikal bergesel sebelum dilanggar bas ekspress

    TIGA lelaki pekerja ladang maut dan seorang wanita parah selepas dua motosikal yang ditunggang mereka bergesel dan tumbang sebelum dilanggar sebuah bas ekspres di Jalan Julau, Batu 12, Bintangor, dekat Sarikei, malam tadi.

    Mereka yang maut dikenal pasti sebagai pasangan adik beradik; Johny Jonathan, 19 tahun dan Mathew Many Jonathan, 25 tahun dari Rumah Andam Sedarat Simpang, Engkelili.

    Seorang lagi mangsa, Nelson Chendang, 21 tahun berasal dari Rumah Chendang, Sungai Majau manakala wanita yang parah berusia 21 tahun dari Sungai Mapai; kedua-duanya di Kanowit, lapor Astro AWANI.

     Menurut sumber polis, insiden berlaku sekitar jam 10.20 malam apabila motosikal yang ditunggang dan dibonceng keempat-empat mangsa sedang bergerak dari arah Jalan Simba menuju ke arah Julau.

    “Motosikal mereka kemudian telah bergesel dan terjatuh di atas jalan, menyebabkan sebuah bas ekspres yang membawa 30 penumpang yang berada di belakang mangsa gagal mengelak, lalu merempuh mereka,” katanya lagi.

    Sementara itu menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Hendery Ardimansah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut sekitar jam 10.24 malam.

    “Sebuah jentera dan sepasukan tujuh anggota kemudian segera diatur gerak ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor dan sebelum mendapati ketiga-tiga mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba dari Hospital Kanowit.

    Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian telah diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Sibu untuk prosedur bedah siasat.

    Manakala mangsa yang parah turut dikejarkan ke hospital yang sama.

    Punca nahas disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Pemandu bas yang berusia 52 tahun juga telah ditahan untuk membantu siasatan, sebelum dibebaskan kemudiannya, dengan jaminan polis.

  • ‘’Di hujung usia dia harus beri peninggalan yang baik…’’- kata Mahfuz kepada Hadi

    ‘’Di hujung usia dia harus beri peninggalan yang baik…’’- kata Mahfuz kepada Hadi

    PARTI Amanah Negara (Amanah) membidas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa ramai pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebagai ‘tidak beriman dan bermoral’.

    Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata tindakan Abdul Hadi yang didakwa cuba menanam kebencian boleh mencetuskan permusuhan dalam kalangan rakyat.

    Kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, amalan politik dalam negara seharusnya membawa kepada keharmonian, dan bukan membina masyarakat dengan pendekatan politik kebencian.

     “Apa yang dinyatakan oleh pihak Pas itu, ia (boleh) memberi ketakutan kepada masyarakat dan rakyat kepada PH dengan menanam bibit-bibit kebencian, dan saya fikir ini tidak menguntungkan masa depan negara kita.

    “Jadi saya nasihatkan kepada Presiden Pas (Abdul Hadi) supaya dia ingat di hujung-hujung usia ini, dia harus memberikan satu peninggalan yang lebih baik untuk generasi kita yang akan datang dan bukannya membawa politik kebencian yang boleh meruntuhkan negara kita.

    “Kita mesti membina Malaysia sebagai rumah kita bukan membina Malaysia ini dengan kemusnahan dan perbalahan atas bibit-bibit perkauman dan keagamaan yang sempit,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah di Seremban hari ini, lapor Astro AWANI.

    Semalam media melaporkan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata parti Islam itu tidak akan membentuk kerjasama dengan PH termasuk menerusi pendekatan khemah besar dalam pilihan raya umum.

    Dakwa beliau, ramai dalam kalangan PH yang tidak beriman dan bermoral, selain ia juga memperlihatkan parti gabungan pembangkang itu secara terbuka mengumpulkan ‘kumpulan pemberi dan penerima rasuah’.

    Sementara itu mengulas mengenai pembahagian kerusi dalam PH pula, Mahfuz berkata proses tersebut sedang dijalankan tetapi masyarakat harus bersedia untuk melakukan perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

    Amanah juga, kata beliau menyerahkan kepada Majlis Presiden dalam membuat ketetapan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.

    “Rakyat harus menolak politik yang membawa ancaman kepada negara kita iaitu politik kebencian, permusuhan serta politik yang meletakkan dia beriman, orang lain tak beriman,” ujarnya lagi.

  • Pemuda Amanah mahu tanding kerusi ‘gred A’ dalam PRU-15

    Pemuda Amanah mahu tanding kerusi ‘gred A’ dalam PRU-15

    PEMUDA Parti Amanah Negara (Amanah) mahu pucuk pimpinan parti mengutamakan kerusi ‘gred A’ atau kerusi ‘boleh menang’ diberikan kepada sayap itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ketua Pemuda Amanah Nasional Mohd Hasbie Muda berkata sayap itu menuntut agar kerusi yang diagih perlulah setanding dengan kerusi yang diberikan kepada rakan politik lain iaitu bersifat boleh menang (winnable).

    “Ada rakan sebut kekecewaan, parti lebih mudah melepaskan kerusi gred A kepada rakan, kepada sayap pemuda sendiri kerusi ‘national service’ sahaja diberikan. Jadi Pemuda nak kerusi yang sama.

    “Ada kepimpinan Pemuda kena ‘tebas lalang’ dulu (kalau nak bertanding), kawan-kawan (rakan politik) terus masuk je, tak payah tebas lalang, ini kita rasa pelik sikit,” katanya ketika menyampaikan pidato pada Konvensyen Pemuda Amanah Nasional sempena Konvensyen Amanah 2022 di sini hari ini.

    Mohd Hasbie Muda

    Dalam pada itu, Mohd Hasbie berkata Pemuda Amanah juga mengalu-alukan sebarang kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), namun menyerahkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk membuat keputusan.

     Beliau berkata sayap itu menerima apa sahaja keputusan sama ada penyertaan MUDA ke dalam PH sebagai sebahagian parti komponen atau kerjasama strategik.

    Mohd Hasbie juga mahu seluruh sayap dalam PH terus menggembleng usaha menarik undi golongan muda pada PRU15 nanti dan usaha itu tidak seharusnya dipertanggungjawabkan ke atas sayap Pemuda sahaja.

    Sementara itu, Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar sewaktu ditemui pemberita selepas merasmikan konvensyen itu berkata pucuk pimpinan parti akan menambah kerusi untuk golongan muda parti itu pada PRU15 nanti.

    “Kita juga akan pastikan kerusi yang ‘winnable’ diberikan kepada mereka,” katanya.

    — BERNAMA

  • Bayaran Fasa 3 dan rayuan BKM bermula Selasa ini – PM

    Bayaran Fasa 3 dan rayuan BKM bermula Selasa ini – PM

    PEMBAYARAN Fasa 3 dan rayuan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai Selasa ini secara berperingkat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Menurutnya pembayaran berjumlah RM2.2 bilion ini akan memanfaatkan seramai 8.7 juta penerima terdiri daripada penerima sedia ada kategori isi rumah, warga emas bujang atau tiada pasangan, bujang serta mereka yang telah lulus rayuan.

    Menurutnya keseluruhan pembayaran berkenaan dijangka selesai pada 27 Sept.

    “Kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan seluruh Keluarga Malaysia terutama ketika negara berdepan dengan cabaran kenaikan inflasi dan krisis geopolitik yang memberi kesan menyeluruh terhadap rantaian global. Bantuan Keluarga Malaysia merupakan komitmen berterusan kerajaan bagi meringankan beban golongan B40,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

     Perdana Menteri berkata untuk BKM Fasa 3, setiap penerima sedia ada bakal menerima sehingga RM900, manakala lebih 80,000 penerima yang diluluskan rayuan akan menerima sehingga RM2,350 mengikut kategori kelayakan, termasuk Bantuan Tunai Tambahan yang diumumkan kerajaan, Jun lepas.

    Ismail Sabri berkata sehingga bulan ini, sebanyak RM5.9 bilion disalurkan kepada penerima BKM melalui fasa pembayaran yang telah ditetapkan.

    Menurutnya, masih terdapat bayaran Fasa 4 berjumlah RM2.1 bilion yang akan disalurkan kepada individu yang layak pada Disember ini.

    “Kerajaan kekal komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar dengan aspek jaringan keselamatan sosial akan terus diberi tumpuan di dalam Bajet 2023,” katanya.

    Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai Selasa ini melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

    — BERNAMA

  • ‘’Ramai minta saya jadi PM lagi…’’ – Dr.Mahathir

    ‘’Ramai minta saya jadi PM lagi…’’ – Dr.Mahathir

    TUN Dr.Mahathir Mohamad mendakwa, masih ramai pihak yang mahu beliau menerajui negara sekali lagi.

    Bagaimanapun bekas Perdana Menteri berusia 97 tahun itu berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara tersebut.

    “Saya tak bersedia tapi banyak orang suruh, jadi waktu ini saya tak buat keputusan apa-apa. Saya tak tolak saya tak terima,” katanya ketika ditanya adakah beliau bersedia menjadi Perdana Menteri kali ketiga.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pejuanita Malaysia di Seri Kembangan, Serdang, hari ini.

    Untuk rekod, Dr.Mahathir menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali dengan dua gabungan politik berbeza dan di dua kerusi Parlimen berlainan.

    Kali pertama bersama Barisan Nasional (BN) semasa beliau menjadi Ahli Parlimen Kubang Pasu. Dr.Mahathir menjadi Perdana Menteri mulai 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003. Kali kedua pula dengan ‘musuh’ BN – Pakatan Harapan mulai 10 Mei 2018 hingga 1 Mac 2020 ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Langkawi.

    Mengenai PRU-15, beliau yang juga Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) berkata, GTA akan bergerak berasingan.

    Beliau berkata GTA juga tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang terlibat rasuah ataupun terlibat mendirikan kerajaan melalui pintu belakang.

    “Kita berasingan. Kita telah ada satu gerakan dinamakan Gerakan Tanah Air yang mencantumi parti politik Melayu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan daripada ahli akademik dan profesional yang cinta kepada negara.

    “…dan mereka ingin berjuang dalam politik untuk kembalikan negara kepada dahulunya yang dikenali sebagai Asian Tiger yang bersih, cekap dan amanah,” katanya.

    Mengenai status pendaftaran GTA kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), beliau berkata perkara itu dijangka diketahui bulan hadapan.

    “Kita menunggu bulan depan baru pihak RoS akan putuskan sama ada GTA akan didaftar. Jadi saya harap janganlah didaftarkan sehari sebelum bubar kerajaan supaya kita ada masa untuk menyiapkan GTA untuk PRU-15,” katanya.

    GTA telah menghantar permohonan logo dan pendaftaran parti itu kepada RoS pada 6 September lepas dengan empat parti gabungan di bawahnya iaitu Pejuang, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).

    Mengulas mengenai Belanjawan 2023, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata ia perlu diluluskan sebelum PRU-15 diadakan bagi mengelakkan timbul permasalahan pada masa hadapan kerana kebarangkalian berlaku perubahan dalam dasar belanjawan tersebut jika kerajaan kini tewas PRU-15.

    “Kita berhadapan kemungkinan PRU-15 diadakan maka terpulang kepada pihak kerajaan putuskan sama ada mereka akan meluluskan bajet dahulu sebelum adakan PRU-15 atau adakan PRU15 sebelum (meluluskan) bajet. Kalau adakan PRU-15 sebelum bajet maka akan timbul banyak masalah pada masa hadapan,” katanya.

  • Taman Tema Upin Ipin dibina tahun depan, biarpun tanpa sokongan Khazanah

    Taman Tema Upin Ipin dibina tahun depan, biarpun tanpa sokongan Khazanah

    TAMAN tema watak animasi paling popular, Upin dan Ipin akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

    Kerja-kerja  pembinaan taman tema antarabangsa di tapak 30 ekar di Cyberjaya dan menelan belanja sebanyak RM400 juta itu akan bermula Januari tahun depan dan dijangka siap pada tahun 2025.

    Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md Radzi berkata, projek itu adalah hasil inspirasi yang diperolehi daripada lawatan beliau dan timnya ke hampir semua taman tema terkemuka seluruh dunia termasuk Disneyland dan Universal Studios di Amerika Syarikat serta Harry Potter Studios di London.

    Namun begitu di sebalik kegembiraan impian akan menjadi kenyataan, Burhanuddin kecewa kerana Khazanah Nasional – syarikat pelaburan milik penuh kerajaan – tidak memberi sokongan kepada projek itu apabila dicadangkan pada 2008.

    Dalam temubual bersama portal FMT, beliau berkata, sebaliknya, Khazanah memilih untuk membayar royalti yang tinggi apabila membawa masuk harta intelek (IP) dari luar negara seperti Lego dan Hello Kitty di Johor.

    “Saya kata pada mereka (Khazanah) jika kita bangunkan Taman Tema Upin dan Ipin, kita tak kenakan royalti tinggi, sebab ini harta intelek (IP) milik saya sendiri. Biar kita sama-sama membangun dan (dengan) keuntungannya nanti kita (boleh) bangunkan tenaga kerja, kita (boleh) buka peluang pekerjaan yang begitu banyak. Tapi (Khazanah) tak percaya,” katanya

    Burhanuddin berkata Khazanah ketika itu lebih cenderung kepada pengusaha taman tema watak animasi yang tidak mempunyai kelangsungan dari segi daya tarikan.

     “Hello Kitty tak terkenal pun di Jepun. Dia hanya menjual barangan dan dia tak ada siri (animasi kartun) tv. Saya pergi (taman tema) Sanrio Puroland, Hello Kitty di Tokyo, Jepun, dua jam saya naik teksi, cari tempat itu.

    “Pemandu teksi di Tokyo pun tak kenal. Bila saya pergi dengan isteri sekitar jam 3 petang, hanya ada dua famili (di dalam taman tema). Ini yang kita tanya macamana Khazanah boleh ambil dia (Hello Kitty) untuk dibangunkan (taman tema) di sini?,” soalnya.

    Beliau turut ‘bingung’ apabila Khazanah memilih melabur jutaan ringgit dalam Taman Tema Legoland.

     “Legoland tak ada IP. IP dia batu (bongkah lego) sahaja. Jadi, jika nak bawa karakter lain contoh Star Wars, kena bayar (royalti) lagi pada Disney. Tiket (Legoland) hampir RM200. Siapa yang larat nak pergi?,” tegasnya.

    Pada Mac 2019, media melaporkan kerajaan Johor tidak menolak kemungkinan membeli Legoland Malaysia Resort (Legoland Malaysia) susulan laporan Khazanah merancang menjual taman tema itu.

    Manakala Taman Tema Hello Kitty Town di Iskandar Puteri, Johor, dilaporkan ditutup 31 Dis 2019.

    Burhanuddin berkata beliau tidak putus asa apabila Khazanah ‘menolak’ projeknya. Malah usahanya mendapatkan sokongan dan bantuan agensi awam dan kerajaan negeri lain turut buntu.

    Namun, tidak lama kemudian, beberapa pihak lain mula menunjukkan minat untuk bersama syarikatnya membangunkan taman tema berkenaan. Tapak untuk projek itu misalnya, diperuntukkan oleh Cyberview Sdn Bhd.

    “Siapa yang datang membantu (dari segi kewangan) kita terima. Baru-baru ini MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) dah datang (jumpa kita). TERAJU (Unit Peneraju Agenda Bumiputera) pun dah datang,” kata beliau tanpa mengulas lanjut.

    Upin dan Ipin kini mempunyai 16.1 juta pelanggan di Youtube dan menjadi saluran pertama di Malaysia meraih ‘Diamond Play Button’ dengan lapan bilion jumlah tontonan setakat 2020.

    Laman Facebook Upin Ipin Les’ Copaque juga berjaya meraih 15 juta tanda suka (likes).

    Justeru, Burhanuddin yakin apabila dibuka, Taman Tema Upin dan Ipin mampu menarik ramai jumlah pengunjung berulang (repeat visitors) dalam jumlah besar yang akan menjadi kunci kejayaan sesuatu taman tema.

    “Kita boleh tarik rakyat Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina, dan kemungkinan dari India ke Taman Tema Upin dan Ipin. Setiap kali mereka datang, mereka akan menyumbang tukaran mata wang untuk negara. Sektor pelancongan boleh hidup (kembali),” katanya.

    Burhanuddin berkata, Taman Tema Upin dan Ipin akan turut menampilkan siri animasi terbitan Les’ Copaque selain Upin dan Ipin iaitu Pada Zaman Dahulu dan Puteri.

    Antara tarikan yang bakal ditawarkan ialah Rumah Opah, taman interaktif Upin dan Ipin, ‘fun park’, Terowong Mistik, Rumah Hijau daripada siri Pada Zaman Dahulu, Taman Maze, pawagam Interaktif 4D dan medan selera yang bertemakan Warung Muthu.