Category: Semasa

  • Masalah pekebun kecil getah dibincang dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini

    Masalah pekebun kecil getah dibincang dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini

    MASALAH harga komoditi getah di bawah paras harga siling yang dihadapi oleh penoreh getah dan pekebun kecil ketika ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, pada Rabu ini.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementeriannya dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah mengadakan perbincangan bersama pada Isnin lalu bagi menentukan inisiatif untuk meningkatkan pendapatan penoreh getah.

    “Kedua-dua kementerian ini ada kolaboratif dan perkara ini saya fikir nak selesaikan minggu ini juga, bukan minggu hadapan,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Universiti Utara Malaysia (UUM) Membina Kesejahteraan Rakyat (Mekar) 2022 di kampus UUM Sintok, hari ini.

    Turut hadir sama, Naib Canselor UUM, Profesor Haim Hilman Abdullah serta Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Negeri Kedah, Zainol Abidin Mohamad.

    Mahdzir berkata, pihaknya akan membentangkan hasil perbincangan tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada esok sebelum dibawa ke Mesyuarat Kabinet pada Rabu.

    Kerajaan katanya, memberi jaminan ada inisiatif tertentu yang sedang diusahakan untuk membantu pekebun kecil dan penoreh getah keluar daripada kemelut harga yang rendah.

    “Kadang-kadang kita terlepas pandang golongan penoreh dan hanya nampak pekebun kecil yang merupakan pemilik tanah semata-mata. Dalam hal ini, kedua-dua golongan tersebut wajar diberi perhatian,” katanya.

    Minggu lalu Mahdzir berkata, KPLB sedang merangka dua cadangan untuk diusulkan kepada Ismail Sabri bagi manfaat pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

    Dua syor tersebut ialah sama ada menaikkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 sekilogram atau melanjutkan tempoh Bantuan Musim Tengkujuh daripada tiga bulan kepada enam bulan.

  • Langgar kewajipan statutori: Majlis peguam gagal semak keputusan Mahkamah Persekutuan

    Langgar kewajipan statutori: Majlis peguam gagal semak keputusan Mahkamah Persekutuan

    MAJLIS  Peguam gagal menyemak keputusan terdahulu Mahkamah Persekutuan bahawa ia telah melanggar kewajipan statutorinya apabila membenarkan usul mengenai kelakuan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dibahaskan pada Mesyuarat Agung tahunan (AGM) badan itu ketika beliau bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Zabariah Mohd Yusof menolak permohonan Majlis Peguam tanpa kos selepas memutuskan bahawa mereka tidak berpuas hati bahawa ia adalah kes adalah kes yang sesuai bagi mewajarkan kuasa semakan dilaksanakan.

    Turut bersidang Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

    Zabariah berkata hujahan yang dikemukakan di hadapan mahkamah lebih menjurus kepada rayuan terhadap penemuan terdahulu Mahkamah Persekutuan dan panel semasa tidak mempunyai kuasa untuk mendengarnya.

    “Bukan tanggungjawab panel ini untuk mempertimbang sama ada panel terdahulu telah atau tidak membuat keputusan yang betul berdasarkan fakta dan undang-undang,” katanya sambil menambah bahawa perkara itu adalah berdasarkan pendapat dan tafsiran undang-undang.

    Beliau berkata tiada percanggahan dalam keputusan panel terdahulu yang, dalam menjawab persoalan undang-undang, telah menyelesaikan pertikaian serta isu utama iaitu pelanggaran kewajipan statutori Majlis Peguam dan isu lain tidak penting kepada rayuan itu.

    Pada Mac 2015, Muhammad Shafee menyaman Majlis Peguam, bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri VC George. Ketika itu, Thomas dan George adalah peguam.

    Beliau mendakwa Thomas telah menerbit dan mengemukakan usul pada 28 Feb 2015 untuk dibahaskan dalam AGM ke-69 Majlis Peguam pada 14 Mac tahun sama dan usul itu telah disokong oleh George.

    Usul itu berkaitan kelakuan Muhammad Shafee sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam rayuan kes liwat Anwar di Mahkamah Persekutuan yang mendakwa peguam itu telah melanggar peraturan profesion perundangan yang melarang beliau mengiklankan diri.

    Usul itu juga mendakwa Muhammad Shafee telah mengambil bahagian dalam jerayawara di seluruh negara dengan tujuan menghina seorang banduan yang telah disabitkan dan menarik perhatian kepada peranan beliau dalam sabitan terhadap Anwar.

     Pada 26 Mei 2016, Mahkamah Tinggi menolak saman Muhammad Shafee dan peguam itu juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 11 Okt 2018 yang menyebabkan beliau membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

    Pada 20 Okt 2021, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Muhammad Shafee dan memutuskan bahawa beliau berhak mendapat ganti rugi daripada Majlis Peguam serta memerintahkan agar kes itu dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk taksiran ganti rugi.

    Dalam keputusan terdahulu Mahkamah Persekutuan, Hakim Abdul Rahman Sebli berkata Majlis Peguam melakukan pelanggaran undang-undang yang jauh lebih serius apabila menyiarkan usul itu dalam laman sesawangnya dan membentangkan ia untuk resolusi pada AGM.

    “Ini bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi juga amat tidak adil serta begitu memprejudiskan perayu (Muhammad Shafee) kerana ia terjumlah kepada prapenghakiman kesalahan beliau sebelum prosiding tatatertib di hadapan Lembaga Tatatertib,” katanya.

    Pada 10 Feb 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan Anwar bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap beliau. Bagaimanapun, Anwar diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.

    Pada prosiding hari ini yang berlangsung secara dalam talian, peguam Lambert Rasa-Ratnam mewakili Majlis Peguam manakala Datuk S. Ambiga hadir bagi pihak Thomas dan Porres Royan bagi pihak George. Muhammad Shafee pula mewakili dirinya sendiri.

  • SPRM tahan pengarah universiti awam terima suapan kereta

    SPRM tahan pengarah universiti awam terima suapan kereta

    SEORANG pengarah bahagian pengurusan fasiliti sebuah universiti awam di Melaka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka hari ini atas dakwaan menerima suapan.

    Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Saad berkata lelaki berusia 50-an itu ditahan pada kira-kira 3 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM.

    “Lelaki berkenaan ditahan atas dakwaan menerima satu suapan harta alih iaitu sebuah kenderaan jenis Honda Accord 2.4 i-vtec yang dianggarkan bernilai RM174,500 daripada seorang pemilik syarikat kontraktor di Klang, Selangor sebagai dorongan untuk memperoleh tender terbuka bernilai RM1,654,350.

    “Dia ditangkap bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” menurutnya dalam satu kenyataan di Melaka.

    Beliau berkata permohonan reman ke atas lelaki itu akan dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh esok.

  • ‘Poster boy’ bukan jaminan Ismail Sabri jadi PM selepas PRU-15

    ‘Poster boy’ bukan jaminan Ismail Sabri jadi PM selepas PRU-15

    PENEGASAN Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) bukan jaminan beliau kekal menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurut Pensyarah Kanan Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali, ini kerana tiada inisiatif jelas dilihat dalam menjadikan Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri sekali lagi.

    “Persoalannya adakah Ahmad Zahid akan menepati janji? Ini bukan jaminan yang wajib dilaksanakan sebab antara Ahmad Zahid dan Ismail Sabri, tidak ada usaha atau inisiatif ketara dibuat supaya Ismail Sabri dilihat sebagai bakal Perdana Menteri selepas PRU-15.

    “Sebagai contoh, apa salahnya Ahmad Zahid serahkan jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) kepada Ismail Sabri kerana beliau adalah Perdana Menteri ketika ini.

    “Selepas itu, bincangkan pelan peralihan kuasa Ismail Sabri sebagai Presiden UMNO pada pemilihan parti akan datang,” katanya memetik laporan BH, hari ini.

    Semalam, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN mengesahkan Ismail Sabri kekal sebagai ‘poster boy’ calon Perdana Menteri BN pada PRU-15 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan Ismail Sabri akan dipilih sebagai Perdana Menteri jika parti itu memenangi PRU-15.

    Mazlan berkata, jaminan Ismail Sabri sebagai bakal Perdana Menteri penting kerana beliau perlu diberi peranan yang bukan sekadar memimpin gabungan BN tetapi juga dalam urusan berkaitan pilihan raya.

    “Katakanlah BN menang besar pada PRU-15, sebagai Presiden UMNO dan ketua parti majoriti, Ahmad Zahid sepatutnya menjadi Perdana Menteri.

    “Justeru, buat apa lantik seorang Naib Presiden sebagai Perdana Menteri, itu logik yang jelas.

    “Jadi seperti apa yang berlaku di Johor, akhirnya bekas Menteri Besar tak dilantik (semula), orang lain yang tak dijangka pula dilantik sebagai Menteri Besar. Saya fikir Ismail Sabri pun memahami situasinya sekarang,” katanya.

  • Lelaki cederakan peniaga selepas kereta bergesel ditahan polis

    Lelaki cederakan peniaga selepas kereta bergesel ditahan polis

    POLIS menahan seorang lelaki dipercayai mencederakan seorang peniaga selepas kereta mereka bergesel di Kilometer 18, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Johor Bahru, semalam, setelah rakaman video insiden itu tular di media sosial sejak kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di tepi Jalan Putih, di Johor Bahru pada jam 4.50 petang bagi membantu siasatan.

    “Sabtu lepas tular video berdurasi sembilan saat memaparkan seorang individu dipukul di tengah lebuh raya, dan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 3.10 petang Jumaat lepas, ketika seorang lelaki berumur 57 tahun memandu kereta Mercedes-Benz yang dalam perjalanan dari Muar menghala ke Bukit Indah, apabila sebuah kereta Proton Saga di lorong mengubah laluan dan kedua-dua kenderaan itu bergesel.

    Katanya, sejurus kejadian, berlaku pertengkaran mulut dan pergaduhan yang mengakibatkan pemandu Mercedes itu dipukul dengan satu objek tumpul sehingga menyebabkan dia cedera di bahagian kepala dan lebam di tangan kiri.

    Rupiah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Peraturan 6 (1) Kaedah-kaedah lalulintas 1959.

  • PRU musim banjir: Amat kejam, tiada perikemanusiaan

    PRU musim banjir: Amat kejam, tiada perikemanusiaan

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman kesal dengan dengan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan parti tersebut sanggup meredah banjir jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam tahun ini.

    “Ini menunjukkan betapa kemaruknya Ahmad Zahid dan Barisan Nasional (B)N terhadap kuasa sehingga tidak kisah dan peduli mengenai kesusahan rakyat sewaktu bencana banjir.

    “Mana perikemanusiaan beliau (Ahmad Zahid) ketika mengeluarkan kata-kata ini? Bencana banjir bukan benda yang boleh dipandang ringan.

    “Rakyat kehilangan harta benda dan orang tersayang akibat bencana banjir. Amat kejam apabila seorang presiden parti dan juga ahli Parlimen yang susah berpenggal-penggal menjadi wakil rakyat mengeluarkan kenyataan begini,” katanya.

    Beliau yang mesra dipanggil Rara berkata demikian dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook miliknya.

    Menurutnya, masih ada lagi infrastruktur tidak dibaik pulih akibat bencana banjir yang melanda pada Disember tahun lalu.

    Tambah Young Syefura, bahkan ada penduduk yang masih belum mampu hidup seperti dahulu lagi.

    “Zahid Hamidi perlu malu dengan diri sendiri dan muhasabah. Jangan terlalu kemaruk sehingga sanggup memperjudikan keselamatan dan kebajikan rakyat ketika bencana.

    “Sepatutnya beliau perlu mendesak menteri-menteri BN untuk membuat persiapan rapi menghadapi banjir agar rakyat tidak terkesan dengan lebih teruk seperti tahun lepas,” kata beliau.

  • Bicara saman fitnah Zarina Anjoulie esok

    Bicara saman fitnah Zarina Anjoulie esok

    PERBICARAAN kes saman fitnah Norfaralinah Md Yunus atau Fara Mendoza terhadap pelakon Zarina Anjoulie ditetapkan Mahkamah Tinggi selama dua hari bermula 20 September ini.

    Peguam Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili Zarina atau Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul berkata, pada perbicaraan itu, Fara Mendoza akan memberi keterangan.

    “Anak guam, Zarina cuba menyelesaikan krisis undang-undang ini secara mediasi namun kedua-dua pihak tidak mencapai kata sepakat.

    “Sehubungan itu, mahkamah menetapkan esok dan lusa untuk prosiding perbicaraan saman ini,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Zarina, sebelum ini berjaya membatalkan penghakiman yang dimasukkan oleh Fara Mendoza di Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan.

    Ia berikutan dakwaan bahawa Zarina tidak menerima salinan saman secara peribadi dan menyangka peguam terdahulu yang dilantik membela nasibnya.

    Difahamkan, peguam terdahulu diserang strok dan firma guamannya sudah pun ditutup.

    Zarina kemudian membuat tuntutan balas terhadap saman Fara Mendoza.

    Pelakon itu menuntut ganti rugi RM3 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan perintah injunksi menghalang Fara Mendoza daripada membuat kenyataan fitnah pada masa hadapan.

    Selain itu, Zarina menuntut supaya Fara Mendoza menarik balik kenyataan fitnah yang dibuat dan membuat permohonan maaf.

    Beliau juga menuntut kos tindakan dan relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

  • Bapa didakwa jadikan dua anak hamba seks

    Bapa didakwa jadikan dua anak hamba seks

    SEORANG bapa yang menjadikan dua anak kandung berusia 15 dan 19 tahun sebagai hamba seks sejak tujuh tahun lalu didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas 28 pertuduhan termasuk merogol dan melakukan seks luar tabii.

    Tertuduh berusia 56 tahun itu mengaku bersalah selepas dibacakan semua pertuduhan itu oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

    Sepanjang prosiding tertuduh yang memakai baju-T hitam serta berseluar panjang warna coklat kelihatan sugul di kandang pesalah dan hanya menundukkan kepala.

    Ketika disoal Nariman beberapa kali sama ada tertuduh benar-benar faham pertuduhan dan hukuman bakal diterima termasuk 10 sebatan wajib bagi setiap pertuduhan rogol biarpun usianya sudah melebihi 50 tahun, tertuduh menyatakan faham dan tetap mengaku bersalah.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-13 tertuduh didakwa merogol anak kandungnya kini berusia 19 tahun yang mana perhubungan antara mereka tidak dibenarkan undang-undang untuk berkahwin.

    Semua kesalahan itu dilakukan antara 24 September 2015 hingga 31 Disember 2018 pada masa berbeza di rumah mereka.

    Bagi pertuduhan ke-14 hingga ke-28, tertuduh yang bekerja sebagai penyelia syarikat pemegang pelaburan didakwa atas lapan pertuduhan merogol anak keduanya kini berusia 15 tahun; lima pertuduhan melakukan hubungan seks dengan menggunakan objek tanpa kebenarannya dan masing-masing satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa.

    Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu tempat sama pada tarikh dan masa berlainan antara 4 Mei 2019 hingga 5 September 2022.

    Bagi kesalahan merogol, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukum penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta 10 sebatan jika disabitkan.

    Pertuduhan melakukan seks menggunakan objek dikemukakan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun dan denda serta sebat.

    Kesalahan amang seksual fizikal pula didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama seksyen 16 akta sama dan jika disabitkan boleh dipenjara sehingga 30 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

    Bagi kesalahan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii, bapa kepada lima anak itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

    Sementara itu, di Mahkamah Majistret tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan berasingan melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan ketakutan terhadap isterinya berusia 47 tahun dengan mengatakan mahu membunuhnya dan anak-anak di tempat sama, pukul 11 pagi, 5 September lalu.

    Dia didakwa melakukan kesalahan Seksyen 506 kanun sama, membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya (mendatangkan ketakutan) dan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali (ugutan bunuh).

    Hakim Nariman dan Majistret Mazana Sinin bagaimanapun menangguhkan esok untuk fakta dan hukuman terhadap tertuduh selepas dipohon Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari dan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob yang menjalankan pendakwaan berasingan bagi menyediakan fakta kes.

    Terdahulu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi semua 29 pertuduhan sementara menunggu keputusan hukuman esok.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan mahkamah dia tiada wang untuk membayar ikat jaminan selain menghidap pelbagai penyakit termasuk, sakit kulit kronik, sakit jantung, diabetes dan darah tinggi.

    Berikutan tidak mampu membayar ikat jamin, tertuduh yang beristeri dua itu kemudiannya ditahan polis sementara menunggu keputusan hukuman esok.

  • UMNO parti dangkal jika bubar Parlimen ketika banjir

    UMNO parti dangkal jika bubar Parlimen ketika banjir

    UMNO adalah sebuah parti yang dangkal sekiranya membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ketika musim banjir pada akhir tahun ini, kata Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Ir. Izham Hashim.

    “Menjadikan musim banjir sebagai pesta pilihan raya sangat tidak masuk akal apatah lagi sanggup meredah banjir semata-mata untuk berkempen.

    “Saya masih ingat lagi saat kami meredah banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 bagi menyelamatkan nyawa dan harta benda. Ia tidak seindah seperti yang Presiden UMNO, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi bayangkan ini.

    “Kenyataan ini menunjukkan UMNO terpisah jauh dari derita rakyat,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Ahmad Zahid semasa melancarkan jentera pilihan raya Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata, bahawa gabungan itu bersedia untuk berkempen semasa banjir jika Pilihan Raya Umum diadakan pada musim tengkujuh.

    Kelmarin, Presiden UMNO itu dilaporkan berkata, sekiranya ditakdirkan PRU15 diadakan hujung tahun meskipun beberapa negeri sering dilanda banjir dalam tempoh tersebut, jentera Pemuda gabungan politik itu tetap bersedia mengharunginya.

    Dalam pada itu, Izham dalam satu kenyataan berasingan dalam Facebook miliknya berkata, kerajaan Selangor telah bersiap siaga menghadapi musim banjir yang dijangka akan berlaku pada November hingga Disember ini.

    “Informasi dan amaran banjir juga akan dikeluarkan dari masa ke semasa,” menurut Izham yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor.

  • Ibu yakin anak masih hidup, diculik lima tahun lalu

    Ibu yakin anak masih hidup, diculik lima tahun lalu

    SEORANG ibu masih berharap kepulangan anaknya selepas dipercayai diculik dan dibawa lari ke Thailand lima tahun lalu.

    Wan Shahrizal Wan Zulkifli, 55, bagaimanapun percaya anaknya, Mohd. Aiman Zafri, 29, masih hidup.

    Memetik Astro Awani, Wan Shahrizal berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk mencari anak ketiga daripada empat beradik itu termasuk memohon bantuan golongan agama dan pelajar tahfiz melakukan solat hajat dan istikharah.

    “Ketika saya berkunjung ke Pattani, ada individu mendakwa pernah melihat kelibat Mohd. Aiman tetapi kunjungan kami sehingga ke Pattani gagal menemuinya,” katanya.

    Kisah penculikan Mohd Aiman oleh individu yang dipercayai anggota kumpulan sindiket pernah mendapat liputan media pada 2018.

    Mohd. Aiman dilaporkan dibawa lari oleh kumpulan penjenayah kira-kira pukul 11.30 malam di Jalan Taman Maju di Kota Bharu pada 5 Julai 2017 ketika bersama isterinya pulang dari bekerja.

    Berkongsi kisah itu, Wan Shahrizal memberitahu, seminggu selepas itu, kumpulan terbabit meminta wang tebusan berjumlah RM50,000 namun keluarganya hanya dapat membayar RM22,000.

    Katanya, mereka meletakkan duit berkenaan di satu perhentian bas di Batu Karang, Rantau Panjang sekitar pukul 5 petang pada 14 Julai 2017 sebagai bayaran pertama.

    “Selang beberapa hari penjenayah meminta wang lagi berjumlah RM5,000 namun saya hanya mampu menyediakan RM2,000 dengan memasukkan wang berkenaan melalui akaun bank milik isteri salah seorang rakan Mohd. Aiman.

    “Kesemua panggilan meminta wang tebusan itu menggunakan nombor telefon Thailand. Selepas membayar wang yang diminta, sehingga kini mereka tidak menghantar anak saya seperti yang dijanjikan,” jelasnya lagi.

    Kata wanita itu lagi, sepanjang kehilangan anaknya, tujuh laporan polis sudah dibuat.

    “Saya tidak menolak kemungkinan Aiman dan rakannya dikenali sebagai ‘Pok Wae’ ada kaitan dan mempunyai hutang dengan kumpulan tertentu, tetapi Aiman tidak pernah menceritakan masalah itu sehingga dia dibawa lari,” katanya.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu pada waktu itu, Superintendan Noor Halim Nordin berkata, suspek yang dikenali sebagai Ahmad Syazwan Ayub, dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

    Katanya, siasatan lanjut menunjukkan suspek utama berkenaan bersama-sama empat lagi lelaki membawa mangsa ke pekan Sungai Golok selepas kejadian itu.

    Ceritanya lagi, polis juga telah menahan empat lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 26 tahun yang merupakan kenalan kepada mangsa pada waktu kejadian itu.

    “Walaupun bantuan Interpol dan pihak berkuasa Thailand membantu mengesan Aiman dan rakannya Pok Wae, sehingga kini kedua-dua individu berkenaan masih gagal dikesan,” jelasnya.

    Wan Shahrizal memberitahu, anak tunggal Mohd Aiman, Muhamad Rayan Rizki ketika kejadian baru berusia dua tahun lebih dan kini tinggal bersama ibunya, Nur Azra Syazwani Abdullah.

    “Muhamad Rayan kini sudah berusia tujuh tahun dan selalu bertanya serta memberitahu rindu untuk bertemu bapanya,” katanya.