PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan, sebuah helikopter dengan tujuh penumpang termasuk juruterbang, mengalami kemalangan di kawasan apron hangar Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAA) Subang, hari ini.
Kejadian jam 11.52 pagi di apron UniKL MIAT itu, membabitkan helikopter jenis Leonardo S.p.A AW189 dengan nombor pendaftaran 9M-BOF.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Norazman Mahmud, berkata helikopter berkenaan sedang menjalani ujian penerbangan di bawah kendalian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Beliau berkata, menara kawalan trafik udara Subang menerima laporan pada jam 11.52 pagi dan sebelum Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) bertindak segera menangani insiden berkenaan.
“Ada tujuh penumpang termasuk juruterbang dalam helikopter itu dan kesemuanya dilaporkan dalam keadaan stabil.
“Siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Berita Harian
RAMAI setuju bahawa PRN enam negeri ini perlu dijadikan medan untuk rakyat menunjukkan protes di peti undi terhadap prestasi kerajaan PH-BN yang begitu lemah dalam mentadbir negara dari pelbagai sudut.
Pimpinan kerajaan perlu diingatkan bahawa rakyat pada zaman ini bukanlah dapat diperbodohkan dengan sewenang-wenangnya kerana setiap kata-kata yang dilafazkan sebelum ini masih melekat kuat dalam minda mereka.
Antaranya janji mahu menurunkan harga minyak dalam masa 24 jam yang tidak terlaksana, Nyanyian hoi ya hoi oleh PH terhadap BN yang tidak lagi kedengaran kerana sudah menjadi teman mesra, formula menurunkan harga barang yang ‘hilang’ dan manipulasi penghapusan hutang peneroka Felda.
Banyak lagi jika hendak disenaraikan tapi beberapa contoh ringkas ini sahaja sudah cukup untuk menunjukkan bahawa rakyat amat tidak berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan yang memerintah pada waktu ini. Rakyat juga melihat pimpinan kerajaan lebih banyak berpolitik berbanding bekerja dan ia dapat dilihat apabila mereka bertungkus-lumus berkempen di enam negeri sedangkan kempen sebenar yang ditetapkan SPR ialah selepas hari penamaan calon 29 Julai ini.
Siang malam mereka sibuk politik, memburukkan musuh politik dan berkempen hinggakan pentas rasmi untuk program seperti Maal Hijrah di hadapan pelajar-pelajar tahfiz pun sanggup digunakan untuk bercakap soal politik.
Bukan itu saja, jentera kerajaan turut digunakan apabila program atas nama kementerian dianjurkan di negeri-negeri telibat PRN dengan pelbagai peruntukan yang dahulunya tindakan itu dipertikaikan oleh pimpinan PH sendiri.Kempen-kempen di universiti juga giat dilakukan yang secara jelas membuktikan pimpinan kerajaan benar-benar berada dalam kebimbangan mengenai sokongan terhadap mereka terutama daripada pengundi muda.
Begitulah ketaranya sikap pimpinan kerajaan yang cukup terdesak untuk meraih undi hinggakan peranan mereka selaku anggota pentadbiran nampaknya tidak dilaksanakan dengan baik seperti mana dicanangkan ketika menjadi pembangkang. Maka, daripada prestasi semasa kerajaan untuk mengemudi negara dengan baik pun sudah ada banyak kelompongannya, maka amatlah sukar untuk rakyat melihat kemampuan kerajaan untuk menunaikan janji manifesto lalu. Jauh api dari panggang!
Oleh sebab itu ramai tertawa dan menjadikan bahan jenaka apabila Anwar Ibrahim mengatakan Malaysia kini dipandang hebat oleh negara luar sejak PH-BN memerintah negara. Kenyataan syok sendiri itu sememangnya wajar dipertikaikan kerana ia tidak seiring dengan apa yang berlaku di dalam negara sepanjang lapan bulan Anwar menjadi Perdana Menteri.
Negara luar wajar kagum dengan Malaysia sekiranya Anwar mampu pulihkan Ringgit ke tahap sama seperti Singapura, meningkatkan jumlah pelaburan secara luar biasa dalam masa singkat hingga menjadi contoh kepada negara jiran ASEAN yang lain.
Jika setakat apa yang berlaku pada waktu ini, tiada apa pun pencapaian yang dapat dibanggakan dalam dan luar negara. Atas sebab itu, rakyat perlu turun beramai-ramai pada 12 Ogos ini untuk mengundi bagi menolak calon-calon PH-BN kerana dengan berbuat demikian, satu signal kuat dapat disampaikan kepada kerajaan bahawa rakyat amat kecewa dengan tindak-tanduk kerajaan.
Mari sama-sama cipta sejarah melakukan perubahan dengan merampas Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan daripada PH dan kekalkan pemerintahan Kedah, Kelantan dan Terengganu kepada Perikatan Nasional (PN).
Jangan sesekali terpedaya dengan kata-kata ataupun janji-janji pilihan raya yang diucapkan pemimpin PH-BN kerana sejarah sebelum ini telah membuktikan bahawa segalanya hanya pembohongan semata-mata.
PARTI Gerakan Rakyat (Gerakan) Pulau Pinang mempersoalkan mengenai kewujudan papan iklan (billboard) Malaysia Madani yang memaparkan potret Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikesan hampir di keseluruhan kawasan di negeri itu.
Ketua Pasukan Media Sosial Gerakan Pulau Pinang, Andrew Ooi Ghee Oon berkata, pihak berkuasa berkaitan seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP); Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pejabat Daerah dan Tanah perlu menjelaskan mengenai tujuan sebenar kemunculan papan iklan berwarna merah tersebut.
Jelas beliau, sekiranya papan iklan itu bertujuan sebagai propaganda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini, ia tidak sepatutnya dipamerkan sebelum hari penamaan calon.
“Kita percaya jika papan iklan ini dipasang tanpa persetujuan individu yang digambarkan padanya iaitu Perdana Menteri, unit penguatkuasaan MBPP perlu mengambil tindakan segera.
”Kita juga akan membuat aduan dan bantahan kepada SPR berhubung perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar di Bayan Baru, Pulau Pinang hari ini.
Menurut Andrew, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak iaitu sekitar Bukit Jambul, pihaknya mengesan sekurang-kurangnya 19 papan iklan terbabit telah dinaikkan.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada Anwar menyedari mengenai papan iklan terbabit yang secara jelas memaparkan potret beliau.
Jelasnya, pada April lalu, Anwar telah mengarahkan pemasangan papan iklan baharu yang memaparkan wajahnya dan Malaysia Madani yang menggunakan peruntukan kerajaan dihentikan serta-merta.
“Ketika itu, Anwar tidak setuju papan iklan ‘Malaysia Madani’ dan potretnya digunakan pada papan iklan selain menyatakan dana yang digunakan untuk papan iklan tersebut boleh digunakan dengan cara yang lebih baik.
“Jadi, keadaan sekarang jelas bertentangan dengan kenyataan dan arahan Perdana Menteri sebelum ini,” katanya.
Dalam masa sama, tambah Andrew, Gerakan juga meminta pihak bertanggungjawab mendedahkan organisasi yang mendirikan papan iklan itu serta bilangan keseluruhan yang telah dinaikkan di seluruh Pulau Pinang.
“Mereka juga perlu menjawab adakah kesemuanya telah mendapat kelulusan rasmi untuk pemasangan?” katanya.
TAN Sri Muhyidin Yassin yakin 9.7 juta pengundi di enam negeri akan menjadikan pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini sebagai referendum rakyat menolak sebuah kerajaan yang gagal menunaikan amanah rakyat.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, seluruh rakyat, khususnya para pengundi sudah melihat kegagalan PH-BN di peringkat Persekutuan.
‘’Saya yakin mereka tidak akan mengulanginya dengan memilih sebuah parti yang ternyata gagal membela nasib rakyat dan mengurus negara untuk mentadbir enam negeri selepas hari pengundian pada 12 Ogos nanti.
”Saya menyeru seluruh pengundi termasuk yang berada di luar kawasan agar balik mengundi beramai-ramai pada 12 Ogos ini bagi memastikan referendum rakyat ini berjaya mencapai matlamatnya, insya-Allah,’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau.
Dalam Kenyataan itu Muhyiddin turut memaklumkan malam tadi beliau menyertai hampir 100,000 rakyat Kelantan dalam Program Munajat Rakyat Kelantan, Pakat Pertahan Kelantan dan Amanat Pimpinan di Stadium Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.
Kata beliau, turut bersama saya ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Tan Sri Annuar Musa serta ramai lagi kepimpinan tertinggi PN peringkat nasional dan negeri.
‘’Lautan manusia pada malam tadi mengingatkan saya kepada pemandangan gelombang kebangkitan rakyat yang hampir sama ketika menghadiri beberapa program di Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini. Apa yang membuat saya terharu ialah orang ramai masih setia berada dalam stadium bagi mendengar amanat daripada barisan kepimpinan walaupun hujan lebat di pertengahan program. Terima kasih rakyat Kelantan!,’’ katanya.
Muhyiddin berkata, beliau percaya ia merupakan petanda jelas kebangkitan rakyat yang sudah bosan dan kecewa dengan keadaan negara yang gagal diurus dengan baik oleh kerajaan campuran PH-BN.
NAIB Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah menerima secara terbuka sokongan yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atau Tun M kepada Perikatan Nasional (PN) ketika ini.
Kehadiran negarawan ulung tersebut menyampaikan ucapan buat kali pertama di pentas Pas pada program Munajat Rakyat Kelantan: Ppakat Pertahan dan Amanat Pemimpin di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu malam tadi memberi gambaran parti seolah-olah sudah memaafkan kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Saya harap dengan kemasukan beliau (Tun M) bersama kita (PN) dapat membersihkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini,” katanya selepas diminta mengulas kehadiran buat kali pertama Dr.Mahathir berceramah di atas pentas Pas, lapor Sinar Harian.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, Pas sentiasa terbuka menerima mana-mana individu yang sudah berubah untuk bersama-sama dengan perjuangan Pas.
Katanya, berkait soal sejarah semua orang ada sejarahnya.
“Kalau dalam sejarah Islam, semua orang yang masuk Islam sebelum itu mempunyai banyak masalah (dengan Islam) sebagai contoh lawan Nabi.
“Namun selepas pembukaan Kota Makkah, Abu Sufian, Khalid Al-Walid dan Wahsyi telah masuk (memeluk) Islam. Kalu kita tengok, Wahsyi bunuh bapa saudara Nabi (Hamzah Abu Mutalib. Jadi bila dia (Tun M) sudah berubah kita terima. Sejarah tu nak buat macam mana,” katanya
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia untuk berdepan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda.
Kata Muhyiddin, beliau tidak takut untuk berdepan Anwar walaupun telah disaman sebanyak RM200 juta.
“Tidak mengapa, biarlah kita pergi mahkamah kerana saya tidak bersalah,” katanya ketika berucap pada Program Munajat Rakyat Kelantan Ppakat Pertahan dan Amanat Pimpinan di Stadium Sultan Muhammad IV, di Kota Bharu malam tadı, lapor Sinar Harian.
Menurut beliau, Anwar tidak faham untuk membezakan antara penghapusan hutang dan sukuk.
Katanya, ketika beliau mentadbir kerajaan, masalah Felda yang dialami termasuk terdapat pengurusan tidak cekap, pendapatan merosot sehingga hutang tidak boleh dibayar.
“Ia membabitkan jumlah hutang seluruh negara hampir RM12 bilion. Ketika itu, kami mengambil keputusan membantu peneroka Felda pada 2021 dengan menghapuskan hutang sebanyak RM8.3 bilion. Namun Perdana Menteri kata saya cakap bohong, sedangkan saya tidak pernah bohong kerana saya ada bukti,” katanya.
Terdahulu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mahu Muhyiddin meminta maaf dan membayar pampasan RM200 juta kerana menjejaskan reputasi beliau berhubung dakwaan fitnah membabitkan isu pelupusan hutang peneroka Felda.
Melalui jawapan terhadap surat tuntutan Muhyiddin menerusi firma guamannya SN Nair & Partners, menyatakan Anwar akan memulakan tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri itu jika tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh 24 jam daripada tarikh surat jawapan berkenaan.
Surat jawapan terbabit dialamatkan kepada firma guaman, Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership yang mewakili Muhyiddin.
PENGHIJRAHAN bekas pemain bola sepak kebangsaan, Baddrol Bakhtiar dari atas padang ke arena politik membawa misi yang amat penting untuk beliau iaitu mahu mempertahankan kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Bekas Ketua pasukan bola sepak Kedah dan Sabah itu berkata, keputusan untuk terjun ke bidang politik juga adalah bagi memperjuangkan agama serta bangsa.
Baddrol yang kini berusia 35 tahun berkata, penghijrahan daripada seorang pemain bola sepak profesional ke dunia politik itu juga hadir daripada hatinya bersempena sambutan Maal Hijrah tahun ini.
“Pertamanya saya ingin perjuangkan agama serta bangsa. Saya juga ingin pertahankan individu yang orang dok serang sekarang ini dan beliau juga tenang bertahan iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor. Itu sebab saya terhutang hati untuk perjuangkan Muhammad Sanusi dan pertahankan negeri Kedah ini di bawah beliau,” katanya ketika berucap dalam Program Sembang Santai Geng Muda di Kampung Lubuk Perong, Padang Terap, malam tadi.
Program yang dihadiri ramai anak muda itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Mohd. Radzi Md. Amin dan seorang lagi legenda bola sepak Kedah, Muhammad Radhi Mat Din.
Baddrol dan Muhammad Radhi ketika ini disebut-sebut antara calon yang akan diketengahkan Perikatan Nasional (PN) di dua kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah tidak lama lagi.
Muhammad Radhi sebelum ini pernah bertanding mewakili Pas di Parlimen Pokok Sena pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun tewas kepada penyandang ketika itu, Datuk Mahfuz Omar.
Sementara itu, Baddrol berkata, keputusan dibuatnya diakui di luar jangkaan dan perkara itu dapat dilihat melalui kesedihan yang tergambar pada malam terakhir beraksi bersama Sabah FC ketika mereka menewaskan Sri Pahang FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu Sabtu lalu.
“Sebab itu malam terakhir saya di Sabah ketika bersama Rizal Ghazali (rakan sepasukan sejak di Kedah), tak boleh tahan. Malah dia pun tanya, betulkah mu (kamu) nak tinggalkan aku dalam loghat Balingnya. Saya minta maaf pada Rizal dan katakan mungkin sampai di sini sahaja perjuangan saya dalam bola sepak,” katanya.
Menjawab soalan hadirin sama ada beliau akan dicalonkan untuk bertanding dalam PRN, Baddrol berkata beliau percaya kepada takdir tuhan.
“Kalau kita ikhlas, jujur dalam perjuangan atau bidang diceburi, insya-Allah tuhan bantu. Malam ini saya terharu dengan anak-anak muda yang hadir dan rasa teruja serta lebih bersemangat untuk perjuangkan apa yang saya impikan selama ini. Saya juga menyeru penduduk kampung di sini supaya memilih pemimpin yang ada sifat kepimpinan dan mendengar keluhan rakyat selama ini,” katanya.
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan selamat menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pagi ini.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau dimaklumkan perkembangan itu oleh pengawal pengiring Salahuddin.
Katanya, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan untuk pemantauan seterusnya.
“Salahuddin selamat menjalani pembedahan pagi tadi. Beliau dimasukan ke bilik pembedahan kira-kira pukul 3.30 pagi dari wad kecemasan. Saya tidak pasti berapa lama pembedahan berlangsung tapi dimaklumkan oleh pengawal pengiring beliau sekitar 8 pagi tadi bahawa pembedahannya berjaya,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Akhbar kepada Menteri KPDN, Syakirin Husnal memaklumkan Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
Semalam, Salahuddin menghadiri beberapa program di negeri ini antaranya Majlis Perasmian Persatuan Pengampit Minyak Masak Melayu Zon Utara dan Langkawi Borong Edar serta Majlis Perasmian Jelajah Jualan Rahmah Kedah dan Jelajah Townhall bersama Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM).
Menurut Mahfuz, Ahli Parlimen Pulai itu dikejarkan ke wad kecemasan HSB kira-kira pukul 10 malam tadi selepas mengadu tidak sihat ketika berada di hotel penginapannya.
“Beliau sepatutnya menghadiri program ceramah dengan saya, tapi tidak dapat hadir kerana tidak sihat sebelum dikejarkan ke wad kecemasan,” katanya.
BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam tadi menyeru pengundi agar memberi kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri 12 Ogos nanti.
Berucap pertama kali atas pentas PN di Kota Bharu, malam tadi, Dr.Mahathir berkata, PN perlu menyapu bersih dan menang di keenam-enam negeri terbabit.
“Kita akan ada PRN, ada enam buah negeri akan ada PRN. Saya harap dapat sapu bersih. Kita semua orang Mlelayu, ramai yang berkata orang Melayu berpecah dan tak mungkin bersatu, tapi malam ini dapat lihat pemimpin part-parti Melayu berkumpul di sini kerana nak memperjuangkan nasib dan masa depan negara.
“Tidak mudah kita nak serahkan kepada orang lain kerana kita juga ada kebolehan untuk mentadbir. Suatu masa dulu kita digelar ‘harimau Asia’, hari ini sudah jadi ‘kakistokrasi’,” katanya yang menyifatkan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kerajaan kakistokrasi, lapor Malaysiakini.
Turut hadir pada program Malam Munajat Pakat Pertahan Pas Kelantan itu Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan barisan kepimpinan PN peringkat pusat dan negeri.
Sementara itu Dr Mahathir berkata, beliau sangat berharap orang Melayu akan keluar mengundi seramai yang mungkin bagi memberikan kemenangan buat PN di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Katanya ada sesetengah orang Melayu kini enggan keluar mengundi kerana bosan dengan percaturan politik tetapi ia perlu diatasi bagi mengelak parti lawan memenangi PRN yang dianggapnya sebagai “tidak layak” menjadi kerajaan.
“Jika kita tidak keluar, ia seperti kita memberi undi kepada mereka yang tidak layak untuk mendapat kemenangan dan mendirikan kerajaan,” katanya.
Dalam ucapan itu bekas Ahli Parlimen Langkawi tersebut turut menyatakan kegembiraan kerana berpeluang datang ke Kelantan dan menyaksikan pembangunan hebat di negeri itu, termasuk adanya bangunan “pencakar langit.”
“Saya bersyukur dapat bersama dan berada di stadium malam ini yang menunjukkan bahawa kita orang Melayu masih mempunyai kekuatan.
“Saya juga gembira kerana hari ini saya dapat datang ke Kelantan dan amat gembira kerana dapat menziarah tempat Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz (Nik Mat) dan keluarganya.
“Tokoh sudah mencipta perjuangan parti Pas dan perjuangan kebangsaan orang Melayu di negara kita ini. Saya amat gembira dapat ke Kelantan dapat lihat pembangunan di Kelantan. Bangunan pencakar langit pun sudah ada di Kota Bharu,” kata Dr.Mahathir.
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub telah disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar, kata Setiausaha Akhbar Menteri Nur Syakirin Husnal.
Menerusi kenyataan pagi ini, beliau berkata Salahuddin kini sedang menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
“Pihak keluarga Datuk Seri Salahuddin Ayub mengucapkan terima kasih atas semua doa, sokongan dan ingatan kepada beliau,” katanya.
Semalam, Salahuddin dikejarkan ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan pada pukul 10.15 malam selepas mengalami meal dan muntah-muntah.
Sebarang perkembangan mengenai kesihatan Salahuddin akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, menurut kenyataan itu.