Category: Semasa

  • KPLB peruntuk RM8.26 juta untuk LJK Fasa 10 dan BELB Sabah

    KPLB peruntuk RM8.26 juta untuk LJK Fasa 10 dan BELB Sabah

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sebanyak RM8.26 juta bagi pelaksanaan lampu jalan kampung dan bekalan elektrik luar bandar untuk memberi manfaat kepada 1.24 juta orang penduduk di Sabah.

    Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun berkata, menerusi peruntukan tersebut, sebanyak RM5.96 juta diperuntukkan bagi Program Pemasangan Lampu Kampung (LJK) manakala RM2.3 juta bagi pembaikan Stesen Janakuasa Diesel Penyusunan Semula Kampung (PSK) Kampung Balat dan Kampung Litang di Daerah Kinabatangan, Sabah.

    Menurutnya, Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) dilantik sebagai kontraktor projek berkenaan.

    “Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung (LJK) Fasa 10 di Sabah ini secara keseluruhannya melibatkan pemasangan sebanyak 5,000 unit lampu dengan pecahan 4,000 unit lampu jenis HPSV dan 1,000 unit lampu jenis LED.

    “Projek LJK ini dimulakan pada 7 Januari 2020 dan siap sepenuhnya pada 8 Disember 2021 manakala projek stesen janakuasa pula dimulakan pada 9 Mac 2022 dan berjaya disiapkan lebih awal iaitu pada 28 Julai 2022 berbanding tarikh siap asal iaitu 8 September 2022,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung (LJK) Tahun 2019/2022 Fasa 10 dan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Janakuasa Diesel Secara Berpusat PSK Kampung Litang dan Kampung Balat di Kota Kinabalu, Sabah.

    Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn. Bhd. Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Encik Mas Rizal Mohd Hilmi.

    Mengulas lanjut Ramlan berkata, bagi Projek BELB Janakuasa Diesel pula, setelah enam tahun projek siap, terdapat beberapa kerosakan yang berlaku berikutan dengan ‘wear and tear’ dan kerosakan berikutan gangguan hidupan liar.

    Justeru itu kata beliau, pihak SESB telah melaksanakan pembaikan dengan kos kontrak sebanyak RM 2.3 juta.

    Jelas beliau, pelaksanaan program itu juga dilaksanakan secara berperingkat-peringkat berdasarkan keperluan, keutamaan dan kos operasi serta penyenggaraan yang akan ditanggung oleh kerajaan secara berterusan.

    “Kita tahu terdapat cabaran dan halangan dalam menyiapkan projek ini terutamanya dari segi geografi dan keluasan memandangkan Sabah merupakan sebuah negeri yang luas dan mempunyai 24 buah Parlimen serta kawasan luar bandar yang banyak,” kata beliau.

    Sementara itu Ramlan berkata, kerajaan amat prihatin terhadap kelangsungan kehidupan masyarakat luar bandar.

    Justeru itu katanya, menerusi penyempurnaan kedua-dua projek ini sekali gus mampu meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk selain perniagaan setempat bagi meningkatkan pendapatan penduduk pada waktu malam dapat dilaksanakan.

    “KPLB juga akan meneruskan perancangan dan pelaksanaan projek-projek prasarana yang lain untuk dilaksanakan di Sabah menerusi projek-projek sambungan di bawah RMK-12 dan projek baharu menerusi Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Oktober nanti.

    “Sabah akan senantiasa mendapat perhatian daripada Kerajaan Persekutuan untuk pelbagai manfaat penduduk terutama bagi masyarakat luar bandar,” ujar beliau lagi.

  • RM843 juta dana 1MDB ‘dicuci’ dalam perusahaan minyak di Venezuela – Pendakwaan

    RM843 juta dana 1MDB ‘dicuci’ dalam perusahaan minyak di Venezuela – Pendakwaan

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa sebahagian daripada AS$340 juta (RM1.54 bilion) dana 1MDB disalurkan ke perusahaan penerokaan dan cari gali minyak melibatkan entiti yang dikaitkan dengan Petrosaudi International Limited (PSI) dan kerajaan Venezuela.

    Memetik laporan Malaysiakini, Timbalan pendakwa raya, Norinna Bahadun membuat hujahan lisan hari ini pada perbicaraan melibatkan tindakan undang-undang oleh kerajaan yang melarang PSI dan beberapa pihak lagi daripada menggunakan dana yang dipercayai berada dalam akaun yang diuruskan firma guaman di United Kingdom (UK), Clyde & Co LLP.

    Permohonan bagi perintah larangan itu menyasarkan PSI, pengarahnya Tarek Obaid, Petrosaudi Oil Services (Venezuela) Limited (Diperbadankan di Barbados) (juga dikenali sebagai PSOSL), Clyde & Co dan Temple Fiduciary Services Limited yang berpangkalan di UK.

    PSOSL ialah anak syarikat PSI.

    DPP menegaskan daripada berjuta-juta dolar AS yang ‘dicuci’ daripada dana 1MDB pada 2009, sekitar AS$185 juta (RM843 juta) digunakan oleh PSOSL bagi perusahaan minyak dengan Venezuela pada tahun 2010.

    Sebelum ini, pihak pendakwaan mendakwa pengubahan wang haram itu bermula apabila AS$700 juta (RM3.1 bilion) daripada AS$1 bilion (RM4.56 billion) untuk usaha sama antara 1MDB dan PSI telah dimasukkan ke akaun Good Star Limited yang diperbadankan di Seychelles.

    Good Star didakwa mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho (Jho Low), yang didakwa pihak pendakwaan telah mengatur penyelewengan dana daripada 1MDB dengan kuasa bekas perdana menteri, Najib Razak.

    Hujah ini dibangkitkan oleh pihak pendakwaan semasa perbicaraan rasuah terhadap Najib membabitkan penyelewengan RM2.28 bilion (10.39bilion) dana 1MDB.

    Norinna hari ini berhujah bahawa AS$185 juta (RM843 juta) daripada dana 1MDB diterima oleh PSOSL, yang menggunakan sebahagian daripadanya untuk membeli kapal gerudi Discoverer sebagai sebahagian daripada usaha sama minyak dengan Petroleos de Venezuela SA (PDVSA), iaitu syarikat minyak milik negara Venezuela.

    “Kami telah melihat dalam pertimbangan PDVSA dalam minit mereka, kami telah melihat ini dalam kontrak penggerudian, kami telah melihat ini dalam memorandum produk dalam mencari dana untuk bon, dan kami telah melihat ini dalam perjanjian bon global itu sendiri dan kita tahu asal usul wang PSOSL asalnya dana 1MDB,” kata Norinna.

    Prosiding di hadapan pesuruhjaya kehakiman Ahmad Shahrir Mohd Salleh disambung petang ini.

    Peguam Mohd Yusof Zainal Abiden mewakili Tarek yang merupakan seorang warga Arab Saudi, manakala Alex Tan mewakili PSI, PSOSL, dan Temple Fiduciary Services.

    Clyde & Co bagaimanapun tidak diwakili peguam.

    kerajaan Malaysia memfailkan tindakan undang-undang pada 14 Julai 2020, dengan mendakwa bahawa jumlah keseluruhan AS$340,258,246,87 di Clyde & Co adalah daripada pengubahan wang haram.

    Tindakan itu difailkan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUA).

    Menurut Jabatan Kehakiman AS, usaha sama itu didakwa menjadi platform untuk menyedut dana 1MDB.

    Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta dalam kes rasuah melibatkan SRC International berjumlah RM42 juta.

    SRC merupakan bekas anak syarikat 1MDB yang kemudiannya dipindahkan ke Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

    Najib juga pernah menjadi menteri kewangan, penasihat emeritus SRC dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

  • Sharil Hamdan patut selesai isu rakyat, bukan sibuk cari alasan

    Sharil Hamdan patut selesai isu rakyat, bukan sibuk cari alasan

    SHAHRIL Hamdan sepatutnya menggunakan kedudukannya sebagai Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri menyelesaikan isu rakyat termasuk menjayakan cadangan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

    Ketua Penerangan Armada Bersatu, Mohd. Ashraf Mustaqim Munir berkata, bagaimanapun Ketua Penerangan UMNO itu lebih banyak memberikan alasan dan berdolak-dalih mencari salah orang lain.

    “(Jika begini), mudah jadi penasihat ekonomi. Hanya ‘taichi’, terima hasil dan biar rakyat makin menderita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Shahril Hamdan yang menggesa Muhyiddin ‘cermin diri’ terlebih dahulu sebelum melabelkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai gagal.

    Muhyiddin sebelum itu memberikan pandangan supaya kerajaan bertindak lebih serius menangani isu kejatuhan nilai mata wang ringgit.

    Mohd. Ashraf berkata, ketika mengkritik Muhyiddin, Shahril banyak lupa tindak tanduk dan desakan-desakan Pemuda UMNO yang boleh menggugat ekonomi negara.

    “Dia lupa masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu, Pemuda UMNO yang kuat melalak suruh kerajaan tutup kilang, tutup kedai, tutup pejabat.

    “Muhyiddin tak tunduk kepada desakan Pemuda UMNO. Kilang-kilang, perusahaan dan perniagaan yang dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu tak ditutup.

    “Bagi yang perlu ditutup pula, banyak bantuan yang diberikan menerusi inisiatif Penjana, Pemulih, Pemerkasa dan Prihatin PKS.

    “Subsidi upah juga diberikan kepada syarikat untuk memastikan mereka dapat terus menggaji pekerja walaupun perniagaan terjejas,” katanya lapor SatuBerita.

    Mohd. Ashraf menambah, ini berbeza dengan situasi sekarang, apabila ekonomi sudah dibuka namun masih ada syarikat dan kilang tidak dapat beroperasi sepenuhnya, ladang sawit membusuk sebab tidak ada pekerja memetik buah.

    “Isunya sebab kekurangan tenaga kerja, tapi apa Perdana Menteri buat dan apa Shahril Hamdan sebagai pegawai ekonomi perdana menteri nasihatkan Perdana Menteri,” soalnya.

  • Syabu bernilai RM8.53 juta dirampas

    Syabu bernilai RM8.53 juta dirampas

    POLIS menahan seorang lelaki tempatan dan merampas dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM8.53 juta dalam satu serbuan Op Mohave di sebuah rumah di Segambut Dalam, di Kuala Lumpur, kelmarin.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur bersama JSJN Bukit Aman berjaya merampas 236 kilogram (kg) dadah dibungkus dalam bungkusan minuman teh cina.

    “Hasil soal siasat, polis menjalankan empat serbuan berasingan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Batu Gajah dan Tapah, Perak serta di Ulu Bernam, Selangor.

    “Di Bukit Mertajam seorang lelaki ditahan dalam serbuan ke atas sebuah kereta di hentian rehat, manakala serbuan di sebuah rumah di Batu Gajah berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan.

    Sebahagian dadah jenis syabu bernilai RM8.53 juta yang dirampas selepas polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam Ops Mojave ketika Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Polis menahan dua lelaki tempatan dalam satu serbuan di sebuah hentian rehat di sekitar Tapah dan seorang lelaki ditahan di Ulu Bernam dalam serbuan di sebuah kereta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

    Yahaya berkata, siasatan awal mendapati dadah terbabit diseludup masuk dari utara sebelum diedarkan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

    “Suspek ditahan dipercayai berperanan sebagai penerima dan pengedar. Kita percaya sindiket ini aktif sejak bulan Julai tahun ini.

    “Kebanyakan suspek ini menganggur, tetapi ada antara mereka bekerja sebagai pembantu kedai, dan bekerja sendiri untuk selindung kegiatan sebenar mereka,” jelas beliau.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Beliau berkata, semakan mendapati empat daripada suspek terbabit mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan narkotik dan lima daripada mereka didapati positif dadah.

    Katanya, polis turut menyita empat buah kenderaan jenis Toyota Alphard, Ford Ranger, Perodua Axia dan Perodua Bezza serta merampas barang kemas.

    “Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan RM8.96 juta.

    “Kesemua suspek merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 24 hingga 47 tahun direman tujuh hari bermula Ahad untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB),” katanya, lapor Sinar Harian.

  • RM20,000 duit minyak ‘dibazirkan’ kerana maklumat palsu

    RM20,000 duit minyak ‘dibazirkan’ kerana maklumat palsu

    GARA-gara panggilan kecemasan yang dipercayai palsu berhubung kejadian bot karam di perairan Batu Putih dekat Johor Bahru, Maritim Malaysia terpaksa menanggung kos bahan bakar bernilai lebih RM20,000 apabila melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa, semalam.

    Menurut Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam, secara keseluruhan pihaknya mengerah sebanyak empat aset dalam operasi terbabit.

    Katanya, ia termasuk tiga bot dan sebuah kapal yang digunakan selepas menerima maklumat kejadian bot karam.

    “Maritim Malaysia kini masih dalam proses mengesan individu yang membuat panggilan kecemasan memaklumkan berlaku kejadian bot karam.

    “Kejadian seumpama ini kali pertama terjadi,” katanya kepada Berita Harian.

    Semalam, dilaporkan Maritim Malaysia menamatkan operasi carilamat bagi mengesan mangsa bot karam yang dikatakan berlaku di perairan Batu Putih pada awal pagi semalam selepas tiada sebarang bukti kejadian ditemukan.

    Maritim Malaysia juga tidak menolak kemungkinan panggilan yang diterima Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru adalah palsu.

    Berdasar panggilan itu, bot membawa 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) dilaporkan karam pada kedudukan 9.5 batu nautika tenggara Tanjung Penyusop semalam.

    Bagaimanapun sehingga pukul 7.30 petang semalam tiada sebarang penemuan atau bukti berlakunya kejadian bot karam. Pemantauan dan pencarian dilakukan di lokasi dengan keluasan 26.52 batu nautika persegi.

    Pihak berkuasa Singapura dan Indonesia juga tidak melaporkan sebarang kejadian bot karam seperti yang diterima MRSC Johor Bahru.

  • Penipuan kerja luar negara dibincang dalam Kabinet esok

    Penipuan kerja luar negara dibincang dalam Kabinet esok

    PENDEKATAN baharu termasuk cadangan mewujudkan jawatankuasa khas di peringkat ASEAN, bagi membendung sindiket penipuan kerja di luar negara melibatkan warganegara Malaysia, akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok (Rabu).

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah mengarahkan beliau untuk melihat isu tersebut dan kerajaan yang memandang serius mengenainya akan mengambil tindakan tertentu, bagi memastikan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa diselamatkan.

    “Isu ini memerlukan kerjasama mendalam dengan semua pihak dan ia akan diselesaikan secara lebih holistik esok (dalam mesyurat Kabinet),” katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan keluarga mangsa penipuan kerja, serta beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.

    Antara NGO yang hadir adalah Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang diwakili Setiausaha MHO Datuk Hishamuddin Hashim dan Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) diwakili presidennya Tan Sri Musa Hassan.

    Semalam, sekumpulan NGO menghantar memorandum kepada perdana menteri, bagi memohon bantuan serta campur tangan kerajaan dalam menyelesaikan isu sindiket penipuan kerja di luar negara melibatkan warganegara Malaysia.

    Setakat semalam, Wisma Putra memaklumkan mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja yang berjaya diselamatkan adalah seramai 143 orang, daripada 158 kes yang dilaporkan.

    Ditanya adakah kerajaan akan menyekat pergerakan rakyat Malaysia bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa sindiket, Abdul Latiff berkata kerajaan tidak mempunyai hak untuk menyekat pergerakan orang ramai.

    “Kita tidak mempunyai punca kuasa untuk sekat rakyat Malaysia tetapi jika ingin mengembara, maklumkanlah kepada ahli keluarga masing-masing.

    “Jika ingin bekerja, boleh semak dengan pelbagai agensi di kedutaan negara yang ingin dituju… majikan Malaysia mempunyai industri di negara ASEAN lain banyak,” katanya.

    Sementara itu, Musa yang juga bekas Ketua Polis Negara berkata beliau telah berhubung dengan pihak polis di Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), bagi mendapatkan  maklumat lanjut mengenai sindiket berkenaan dan berharap bahagian berkenaan juga dapat membantu siasatan dan menyelamatkan mangsa.- BERNAMA

  • Ketua Geng Alif Buntal lakukan 13 jenayah ketika lolos parol

    Ketua Geng Alif Buntal lakukan 13 jenayah ketika lolos parol

    KETUA ‘Geng Alif Buntal’ yang melarikan diri daripada perintah pengawasan parol pada bulan lepas, sempat melakukan 13 kes jenayah termasuk mencuri enam buah motosikal, sebelum dia berjaya diberkas semula Ahad lepas.

    Lelaki berusia 22 tahun berasal dari Kuala Besut itu, sebelum ini menjalani proses parol di Damansara, Kuala Lumpur, namun melarikan diri pada 10 Ogos lalu.

    Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata suspek kemudiannya berjaya ditahan semula di tapak Pasar Borong Kampung Lampu, Kuala Besut pada 2 pagi.

    “Suspek dipercayai melakukan kes curi enam motosikal dan enam kes pecah rumah dengan nilai kerugian kira-kira RM59,000, serta satu kes kekerasan jenayah sepanjang tempoh kurang dua bulan dia diburu kerana melarikan diri dari parol.

    “Siasatan awal mendapati suspek melakukan kegiatan tersebut bersama dua lagi rakannya yang masih bebas di sekitar daerah Besut dan Setiu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, Besut hari ini.

    Abdul Rozak berkata susulan penangkapan suspek beberapa siri serbuan dan rampasan telah dilakukan termasuk di sekitar Pasir Putih, Kelantan dan pihaknya juga sudah mengenal pasti dua rakan suspek dikenali sebagai Mat Chah dan Mat Daha.

    “Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menemui dan merampas semula enam buah motosikal jenis Honda EX5, termasuk sebuah motosikal yang kali terakhir dicurinya di rumah seorang guru di Taman Alor Lintang pada 14 Sept.

    “Polis turut merampas tiga unit komputer riba dan dua telefon bimbit yang dipercayai dicuri dari rumah mangsa,” katanya yang memberitahu suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau.

    Abdul Rozak berkata modus operandi suspek ialah memecah masuk rumah atau mencuri motosikal ketika penghuni tiada di rumah dan menggunakan pemutar skru untuk menghidupkan motosikal.

    Beliau berkata polis akan memohon sambungan reman terhadap suspek yang akan tamat hari ini, bagi melengkapkan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 379A kanun sama kerana curi kenderaan.

  • Cebisan tulang, baju ditemukan di lokasi 2 pekerja kuari dikhuatiri tertimbus

    Cebisan tulang, baju ditemukan di lokasi 2 pekerja kuari dikhuatiri tertimbus

    CEBISAN tulang dan baju serta bangkai jengkaut ditemukan hari ini di lokasi dua pekerja kuari yang dikhuatiri tertimbus pada Mac lepas di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak Azmi Osman berkata bangkai jengkaut itu ditemukan pasukan pencari dan penyelamat melibatkan pihaknya, polis dan juga pasukan Jabatan Mineral dan Geosains pada 11.45 pagi tadi manakala cebisan tulang dan baju ditemukan kira-kira setengah jam kemudian.

    “Bangkai jengkaut serta cebisan baju tulang dan baju pada kedalaman 10 hingga 15 kaki (3.05 hingga 4.6 meter) pada jarak titik pencarian sebelum ini.

    “Cebisan tulang dan baju yang ditemukan itu masih belum dapat dipastikan milik siapa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Dalam kejadian pada 8 Mac lepas, dua pekerja kuari yang dipercayai tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

    Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati kerja-kerja pencarian sedang dijalankan oleh pasukan mencari dan menyelamat ketika ini. – BERNAMA

  • Pelajar 16 tahun maut dalam perjalanan menonton wayang

    Pelajar 16 tahun maut dalam perjalanan menonton wayang

    SEORANG pelajar Tingkatan 4 menimggal dunia maut selepas motosikal ditunggangi terbabit kemalangan di Jalan Pokok Mangga di Melaka malam tadi, semasa mahu menonton wayang.

    Dalam kejadian pukul 9.16 malam itu, mangsa, Muhammad Ammar Syahmi Rosli, 16, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan dan kepala.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, nahas membabitkan motosikal dan tiga kereta.

    “Kemalangan berlaku apabila mangsa dari arah Malim menghala ke Dataran Pahlawan untuk menonton wayang dipercayai berlanggar dengan Mercedes-Benz E230 dari arah Klebang yang hendak masuk ke simpang Taman Sri Pandan.

    “Rempuhan mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian sebelum kereta dipandu lelaki berusia 67 tahun itu kemudian merempuh Honda Accord dan Proton Aeroback.

    “Pemandu ketiga-tiga kereta bagaimanapun tidak cedera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Christopher, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca kemalangan.

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

  • Pulang sehari sebelum hari bekerja dikira ‘perjalanan kerja’, putus mahkamah

    Pulang sehari sebelum hari bekerja dikira ‘perjalanan kerja’, putus mahkamah

    SEORANG pekerja yang dalam perjalanan dari kampung halamannya ke tempat kerja di bandar lain layak bagi tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana dianggap membuat “perjalanan kerja”, putus Mahkamah Rayuan.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, panel tiga hakim semalam memutuskan bahawa kecederaan yang dialami oleh N Sathiaseelan dalam kemalangan pada Ahad dianggap sebagai kecederaan pekerjaan bawah Seksyen 24(1)(a) Akta Perkeso 1969, walaupun ia berlaku pada hari cutinya.

    Keputusan penting itu dibuat sebulat suara oleh panel yang dianggotai Lee Swee Seng, Vazeer Alam Mydin Meera dan Nazlan Ghazali.

    Peguam mewakili Sathiaseelan, M Manoharan berkata, Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa Akta Perkeso harus ditafsirkan secara meluas dan bebas dalam konteks tanggungjawab sosial korporat, membolehkan pekerja membuat perjalanan ke tempat kerja mereka dari kampung halaman pada hujung minggu.

    Sathiaseelan, yang bekerja sebagai juruteknik kanan di Infineon Technologies Sdn Bhd di Kulim, Kedah, terbabit dalam kemalangan ketika pulang ke tempat kerjanya pada 16 Okt 2016 selepas menghabiskan hujung minggu di rumahnya di Ipoh.

    Manoharan berkata, kemalangan itu mengakibatkan juruteknik itu mengalami beberapa kecederaan dan kecacatan. Sathiaseelan memohon tuntutan hilang upaya sementara daripada Perkeso tetapi ditolak.

    “Perkeso menolak tuntutannya atas alasan bahawa kecederaan yang dialami dalam kemalangan itu (tidak layak dianggap sebagai) kecederaan pekerjaan bawah akta itu,” kata Manoharan.

    Beliau berkata, rayuan Sathiaseelan ditolak oleh lembaga Perkeso yang menegaskan tuntutan itu tidak sah kerana kemalangan berlaku dalam perjalanan pada hari cutinya.

    Sathiaseelan kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Ipoh, seperti yang diperuntukkan bawah Akta Perkeso, tetapi rayuan tersebut turut ditolak.

    “Mahkamah itu memutuskan bahawa perjalanannya pada Ahad tidak berkaitan dengan pekerjaannya, bahawa beliau tidak membuat perjalanan atas arahan majikan, dan perjalanan itu semata-mata atas sebab peribadi,” kata Manoharan.

    Sathiaseelan kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan, yang menyampaikan keputusannya semalam.