Category: Semasa

  • Kerajaan setuju pengambilan 10,000 pekerja asing Sri Lanka

    Kerajaan setuju pengambilan 10,000 pekerja asing Sri Lanka

    JEMAAH Menteri bersetuju bagi pengambilan 10,000 pekerja asing dari Sri Lanka dengan mengambil kira keadaan negara tersebut yang dilanda krisis ekonomi ketika ini. 

    Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata kerajaan Sri Lanka telah mengemukakan permohonan rasmi untuk membekalkan tenaga kerja dan memohon kuota sebanyak 10,000 pekerja.

    Beliau berkata Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Sept lepas bersetuju bagi pengambilan pekerja tersebut dan ia merupakan antara usaha kerajaan untuk membantu negara Sri Lanka yang sedang berdepan krisis ekonomi terburuk di negara itu.

    “Saya menggesa pihak industri dan majikan untuk memberi sokongan kepada niat murni kerajaan ini dengan menggajikan pekerja asing dari Sri Lanka bagi mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor yang dibenarkan untuk pengambilan pekerja asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Saravanan, majikan yang telah diberi kelulusan kuota dan telah menyelesaikan bayaran levi boleh merebut peluang tersebut. 

    Beliau berkata sehingga 14 Sept lepas, bayaran levi telah dibuat bagi 416,634 permohonan pekerja asing. 

    Saravanan berkata majikan yang berminat untuk mengambil pekerja asing boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran KSM ([email protected]) atau Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia ([email protected]) untuk maklumat lanjut. – BERNAMA

  • Kes rasuah: 59 kakitangan universiti awam, swasta ditahan SPRM

    Kes rasuah: 59 kakitangan universiti awam, swasta ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 59 kakitangan universiti awam dan swasta dengan 49 daripadanya didakwa di Mahkamah antara 2017 dan Ogos tahun ini, atas kesalahan rasuah.

    Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata kes itu melibatkan sejumlah RM1,323,203.68 wang haram iaitu RM1,311,403.68 daripada universiti awam dan RM11,800 universiti swasta.

    Beliau berkata antara kes itu melibatkan seorang pengarah universiti awam yang ditahan baru-baru ini, didakwa menerima sebuah kereta sebagai dorongan untuk membantu sebuah syarikat mendapatkan tender bernilai RM1.6 juta dan seorang profesor universiti yang turut ditahan berhubung dakwaan tuntutan palsu melibatkan dana penyelidikan RM66,000.

    “Insiden rasuah seperti sogokan, penyalahgunaan kuasa, tuntutan palsu dan lain-lain kesalahan kewangan berlaku di universiti awam dan swasta kita,” katanya dalam ucaptama pada majlis pelancaran Rangka Kerja Pencegahan Rasuah di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Gombak di sini, hari ini.

    Beliau berkata segala bentuk amalan rasuah seperti penyalahgunaan kuasa dan penipuan akreditasi dalam pendidikan tinggi memberi implikasi besar terhadap reputasi institusi dan mengurangkan nilai teras yang cuba diajar kepada penuntut iaitu kejujuran.

    Mengenai UIAM, Norazlan berkata ia dinilai sebagai agensi berisiko sederhana pada 2020 tetapi ia tidak bermakna universiti awam itu bebas daripada sebarang amalan rasuah.

    “Sejak 2017 hingga Ogos 2022, kami hanya mempunyai dua kes terhadap kakitangan UIAM. Berdasarkan rekod, saya percaya UIAM telah dikendalikan dengan rejim tadbir urus yang agak ketat dan tidak hairanlah jika ia bertujuan untuk memastikan sifar rasuah dengan pengenalan Rangka Kerja Pencegahan Rasuah bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

    Rangka Kerja tersebut menggariskan prinsip dan tatacara universiti terhadap amalan rasuah dalam menjalankan perniagaannya bagi memastikan ahli lembaga pengarah, pihak berkuasa universiti dan semua kakitangan menjunjung nilai-nilai murni dan integriti ke arah mencapai visi dan misinya.- BERNAMA

  • Lagi cebisan tulang ditemukan di tapak kuari

    Lagi cebisan tulang ditemukan di tapak kuari

    PASUKAN penyelamat menemukan lagi beberapa cebisan tulang dipercayai milik seorang lagi mangsa dalam insiden runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai- Cameron Highlands, dekat Ipoh, tengah hari ini.

    Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris, cebisan tulang itu ditemukan berhampiran dengan lokasi kedua bangkai jengkaut yang dijumpai semalam.

    “Ketika kerja-kerja pencarian di lokasi runtuhan batu itu dilakukan bersama pihak kuari, kita telah menemukan cebisan tulang di lokasi bangkai jengkaut kedua sekitar pukul 12 tengah hari.

    “Operasi pencarian hari ini telah dimulakan pada jam 8 pagi dengan kekuatan 10 anggota termasuk seorang pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai,” katanya kepada Astro Awani.

    Bagaimanapun, beliau berkata, kerja-kerja penggalian bagi melebarkan kawasan carian terpaksa ditangguhkan sementara pada pukul 12.45 tengah hari ekoran hujan lebat, namun, bersambung semula sejam selepas itu selepas hujan mulai reda.

    Semalam, media melaporkan, dua bangkai jengkaut dijumpai di lokasi dua mangsa tertimbus dalam insiden runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai di sini sejak Mac lalu.

    Turut ditemukan berhampiran bangkai jengkaut adalah rangka tulang, rambut dan pakaian disyaki milik salah seorang mangsa.

    Kejadian runtuhan batu di tapak kuari pada 8 Mac lalu sekitar pukul 9.15 pagi mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

  • Gagal jawab kerja sekolah, bapa tak sengaja bakar anak hidup-hidup

    Gagal jawab kerja sekolah, bapa tak sengaja bakar anak hidup-hidup

    SEORANG bapa di Pakistan membakar anaknya hidup-hidup selepas kanak-kanak itu tidak menyiapkan kerja sekolahnya pada 14 September lalu.

    Kejadian kejam tersebut berlaku di pangsapuri keluarga itu apabila  Nazir Khan geram selepas anaknya yang berumur 12 tahun tidak menyiapkan tugasan sekolah.

    Nazir menyimbah minyak tanah ke atas Shaheer dan membakar mancis dengan niat untuk menakutkan anaknya supaya dapat menyiapkan tugasan sekolah lebih cepat namun, secara tidak sengaja api menyambar tubuh kanak-kanak itu,

    Ibunya, Shazia yang berada di dapur mendengar jeritan anaknya dan melihat suaminya dalam keadaan panik.

    Mereka cuba untuk menyelamatkan Shaheer dengan mencampak kain dan baju untuk memadam kebakaran itu.

    Shaheer cedera parah dengan kesan melecur yang teruk dan dihantar ke hospital berdekatan tetapi meninggal dunia dua hari kemudian.

    Nazir Khan

    Menurut pegawai polis tempatan, Salim Khan, Nazir naik darah selepas anaknya ingin bermain layang-layang daripada menyiapkan kerja sekolah.

    Bapanya bertindak dengan tegas dan memaksa anaknya membuat tugasan tersebut namun ketika ditanya tentang soalan dalam tugasannya, Shaheer memberikan jawapan yang ‘tidak memuaskan’.

    Selepas kejadian tersebut, Shazia mengambil dua hari untuk berkabung sebelum memfailkan kes menentang suaminya.

    Pada 17 September, Nazir ditahan dan akan dihadap ke mahkamah pada 24 September.

  • Dadah bernilai RM20.56 juta dirampas, lima lelaki ditahan

    Dadah bernilai RM20.56 juta dirampas, lima lelaki ditahan

    POLIS berjaya merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM20.56 juta selain menumpaskan dua sindiket pengedaran dan pemprosesan dadah dengan penahanan lima lelaki tempatan dalam beberapa serbuan berasingan di Ampang Jaya, Serdang dan Petaling Jaya, minggu lalu.

    Dadah seberat 299.33 kilogram (kg) yang dirampas itu membabitkan heroin base, pil erimin 5, methamphetamine, ganja, pil ecstasy dan caffein.

    Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed GAMBAR: Warta Rakyat

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang itu adalah dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, JSJN Bukit Aman, Johor serta Negeri Sembilan.

    Menurutnya, bagi sindiket pertama, JSJN Selangor bersama JSJN Bukit Aman menjalankan operasi pada pukul 6.45 petang, 13 September lalu, sebelum menahan dua lelaki berumur 32 dan 35 tahun di tempat letak kereta berdekatan sebuah pasar raya di Ampang.

    Dengan tangkapan itu katanya, polis berjaya merampas empat ketulan mampat bahan disyaki dadah jenis heroin base dianggarkan 1.54 kilogram.

    “Kemudian, seorang lelaki berumur 35 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes ini ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Kinrara, Puchong,” katanya dalam sidang media sebagaimana lapor Harian Metro.

    Kata laporan itu lagi, Arjunaidi berkata, pada pukul 9.15 malam hari sama, dengan dipandu arah dua suspek, polis menyerbu sebuah rumah di kawasan Sri Damansara.

    “Siasatan lanjut mendapati, polis menjumpai 112 ketulan mampat disyaki heroin base dengan anggaran berat 43.48 kg serta 89,500 biji pil erimin 5 anggaran berat 27.2 kg di dalam sebuah Mercedes,” katanya.

    Bagi serbuan sindiket kedua pada 15 September pula katanya, polis menangkap dua lelaki berumur 23 dan 27 tahun di sebuah rumah dipercayai dijadikan makmal memproses dadah di Damansara Perdana, Petaling Jaya jam 6.10 petang.

    “Pemeriksaan di rumah terbabit, polis menemui 355 bungkusan disyaki heroin (anggaran berat 134.19 kg), 54 bungkusan disyaki methamphetamine (anggaran berat 59.04 kg) dan 20 ketulan mampat daun kering disyaki ganja (anggaran berat 20 kg).

    “Polis turut menemui 15,830 biji pil erimin 5 (anggaran berat 4.56 kg), tujuh bungkusan disyaki pil ecstasy (anggaran berat 3.19 kg) dan enam bungkusan disyaki caffeine (anggaran berat 6.12 kg)

    “Selain itu, polis turut menjumpai bahan dan peralatan memproses dadah seperti empat botol plastik ‘accetone’, satu botol plastik ‘ethanol’, mesin memproses dadah, corong besi serta pelbagai peralatan menghasilkan dadah,” katanya.

    Beliau berkata, dadah bernilai RM20.56 juta itu dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang dan selatan tanah air.

    Menurutnya, tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 yang mana polis turut menyita aset sindiket bernilai RM152,001.

    “Aset yang disita termasuk dua kereta iaitu Nissan Impul dan Audi, lima motosikal iaitu Ducati, Honda ADV, Yamaha RXZ, Yamaha Y15ZR dan SYM juga topi keledar Shoei.

    “Polis turut menyita tiga jam tangan bernilai RM5,000 serta wang tunai RM5,001,” katanya.

    Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula sehari selepas ditangkap dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Jika sabit kesalahan, akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan,” katanya.

  • Upah RM10,000 bunuh suami, lakon aksi rompakan jayakan rancangan

    Upah RM10,000 bunuh suami, lakon aksi rompakan jayakan rancangan

    SEORANG wanita dipercayai sanggup membayar upah sebanyak RM10,000 kepada kumpulan pembunuh upahan untuk menyamar sebagai perompak untuk ‘melakonkan’ aksi rompakan sebelum membunuh suaminya.

    Ia rancangan jahat wanita berusia 37 tahun itu yang dipercayai melakukan adegan rompakan palsu bagi tujuan menuntut pampasan insurans bernilai jutaan ringgit.

    Memetik laporan Harian Metro, plot pembunuhan dirancang rapi suspek wanita berkenaan di kediamannya di Taman Aneka Baru, Sungai Udang di Klang, Khamis lalu.

    Sumber berkata, isteri mangsa sebelum itu melaporkan kepada polis kediaman mereka dirompak sekumpulan lelaki yang turut menikam mati suaminya.

    Bagaimanapun, soal siasat polis terhadap wanita terbabit membongkar rancangan licik dilakukannya.

    Sumber berkata, terdapat percanggahan keterangan direkodkan daripada wanita terbabit menyebabkan dia akhirnya mengaku merancang pembunuhan itu.

    “Wanita itu yang disoal siasat mengaku mencari khidmat pembunuh upahan itu menerusi kenalan lelaki dan membayar wang pendahuluan kepada pembunuh upahan terbabit.

    “Pada mulanya dia memberi alasan melakukannya (rancangan membunuh suami) kerana tertekan sering dipukul mangsa. Namun siasatan mendapati wanita itu sudah menaik taraf jumlah insurans sebelum kejadian (bunuh) berlaku,” katanya, semalam.

    Kelmarin, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung satu pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki yang menyebabkan seorang daripadanya terbaring berlumuran darah di kawasan rumah berkenaan jam 2.14 pagi Khamis lalu.

    “Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan seorang lelaki berusia 41 tahun sudah meninggal dunia akibat 14 kesan tikaman,” katanya.

    Arjunaidi berkata, isteri mangsa memaklumkan, dua lelaki berpakaian serba hitam dan memakai topeng serta bersenjatakan pisau masuk ke rumahnya melalui pintu hadapan sebelum menikam suaminya hingga menyebabkan kematian.

    “Dakwa wanita itu, perompak menggeledah bilik dan rumah sebelum mengambil pelbagai beg tangan berjenama, barang kemas serta wang tunai sekitar RM40,000 dan melarikan diri menggunakan kereta BMW. Dianggarkan jumlah kerugian dialami kira-kira RM100,000,” katanya.

    Bagaimanapun, polis menahan wanita itu sekitar pukul 10 malam, tidak sampai 24 jam selepas polis menerima laporan berhubung insiden kejadian rompakan itu.

    Beliau berkata, suspek dipercayai membuat perancangan untuk membunuh suaminya sendiri kerana dendam.

    “Dia berkomplot bersama empat lelaki berumur 20 hingga 36 tahun yang ditahan polis antara Jumaat lalu hingga kelmarin di sekitar daerah ini serta Senawang, Negeri Sembilan,” katanya.

    Beliau berkata, wanita terbabit dan empat suspek direman sehingga 22 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan dengan senjata.

  • Mahkamah arah sebahagian pernyataan bertulis saksi Ahmad Zahid dibuang

    Mahkamah arah sebahagian pernyataan bertulis saksi Ahmad Zahid dibuang

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan sebahagian daripada tiga perenggan dalam pernyataan saksi bertulis Pengarah Media Presiden UMNO, Mejar Jeneral (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican dibuang.

    Memetik laporan Sinar Harian, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas pasukan pendakwaan membuat pemohonan agar perenggan 16 hingga 30 pernyataan saksi pembelaan kedua itu diketepikan, pada Isnin lalu.

    Ketika prosiding kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Sequerah berkata, tiga daripada 34 perenggan itu perlu dikeluarkan sementara selebihnya dibenarkan untuk dibaca dalam prosiding kes ini.

    Menurutnya, maklumat yang perlu dipadamkan iaitu menyentuh kredibiliti bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, iaitu Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly membabitkan keseluruhan perenggan 18 dan ayat terakhir bagi 17 serta 22.

    “Selain daripada tiga perenggan itu, mahkamah mendapati maklumat lain adalah berkaitan dengan fakta secara langsung kepada isu yang membentuk teras kes pembelaan ini.

    “Oleh itu, sebahagian besar perenggan yang terkandung dalam pernyataan saksi ini, bukan perkara sampingan, sebagaimana mengikut Seskyen 153 Akta Kererangan 1950,” katanya.

    Susulan itu beliau berkata, pernyataan saksi akan diterima dengan tidak memprejudiskan hak pendakwaan untuk meminta perenggan atau bahagian mana yang perlu dibuang, pada akhir kes itu melalui hujahan kes,” katanya.

    Menyentuh isu bantahan sama, yang mungkin akan dibangkitkan bagi saksi-saksi lain, Sequerah berkata, kedua-dua pihak boleh menyerahkan hujahan di akhir kes ini.

    Pada Isnin, pasukan pendakwaan memohon kepada mahkamah, agar 15 perenggan dalam pernyataan bertulis saksi pembelaan kedua, Fadzlette yang kini bertugas sebagai Setiausaha Akhbar Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO itu, dikeluarkan.

    Raja Rozela berkata, mereka mengemukakan bantahan terhadap pernyataan itu kerana ia dianggap boleh merosakkan kredibiliti Mazlina selaku saksi ke-90 pendakwaan.

    Beliau berkata, pembelaan berulang kali membangkitkan isu bahawa Mazlina adalah saksi yang tidak boleh dipercayai dalam perbicaraan sebelum ini.

    Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

  • Volkano lumpur bukan petanda bencana

    Volkano lumpur bukan petanda bencana

    LETUSAN gunung berapi lumpur di Taman Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu, Ahad lalu bukan petanda bencana seperti letusan gunung berapi boleh berlaku di Sabah.

    Salah faham mengenai ‘gunung berapi’ itu dijelaskan dua Felo Penyelidik Geologi Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Hardianshah Saleh dan Prof Dr Baba Musta sebagai menjawab pelbagai pertanyaan awam berhubung fenomena itu.

    Lapor Harian Metro, penyelidik geologi UMS itu berkata, letusan gunung berapi lumpur atau volkano lumpur adalah fenomena yang biasa berlaku di Sabah dan kewujudannya boleh ditemui di beberapa kawasan di negeri ini.

    “Namun, apa yang lebih penting adalah fenomena volkano lumpur bukanlah suatu petanda bencana seperti letusan gunung berapi boleh berlaku pada masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Berdasarkan peta lokasi volkano lumpur yang dikongsikan NDRC, selain di Tabin, Lahad Datu, kewujudan gunung berapi lumpur juga ditemui di beberapa tempat di Sandakan dan Kunak di pantai timur, manakala di daerah Kuala Penyu bagi kawasan pantai barat.

    Laporan itu berkata, secara geologi, kedua-dua penyelidik itu menerangkan bahawa volkano lumpur bukanlah fenomena yang sama dengan volkano atau letusan gunung berapi.

    “Walaupun istilah ‘volkano’ secara terjemahannya adalah letusan gunung berapi, namun volkano lumpur ini jauh sekali daripada memuntahkan bahan cairan lava seperti letusan gunung berapi yang umum ketahui.

    “Volkano lumpur hanya ‘meminjam’ istilah volkano untuk menjelaskan mekanisme bahan lumpur yang dipaksa keluar daripada bawah tanah untuk ke permukaan,” katanya.

    Mereka menjelaskan, fenomena itu terjadi disebabkan tekanan beban atas (overburden pressure) terhadap lapisan kaya dengan bahan lumpur yang terbentuk jauh di bawah permukaan tanah.

    Tekanan itu, katanya memaksa bahan lumpur dalam bentuk cecair bersama gas metana keluar ke permukaan bumi menerusi sesar, retakan atau zon lemah pada batuan.

    Bagi kawasan Lahad Datu, katanya zon sesar atau lemah terdiri daripada batuan hancur atau istilah geologi dikenali sebagai ‘melange’.

    “Fenomena ini juga sering kali dirujuk sebagai diapir lumpur (Mud diapir) yang mempunyai mekanisme sama namun tidak memuntahkan lumpur sehingga ke permukaan,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah NDRC UMS, Prof Madya Dr Carolyn Melissa Payus berkata, penerangan yang lebih jelas dan saintifik mengenai fenomena itu penting, terutama daripada pusat penyelidikan seperti NDRC agar tidak menimbulkan kebimbangan pihak awam.

    Katanya, Pusat Penyelidikan NDRC giat melaksanakan aktiviti libat sama bagi memberikan pendidikan awam, termasuk selepas bencana gempa bumi yang melanda Sabah pada 2015.

    “NDRC bukan setakat sebagai pusat rujukan untuk orang awam, tetapi juga sebagai ‘focal point’ untuk penyelidikan yang berkait dengan Sains Alam Sekitar dan Bencana serta Pengurusannya, terutamanya di Sabah,” katanya.

    Klip video berdurasi kira-kira 10 saat yang memaparkan letusan gunung berapi lumpur di Tabin, Lahad Datu seperti tular di laman sosial beberapa hari lalu sedikit sebanyak menimbulkan kegusaran kepada masyarakat umum.

    Ramai warga maya yang beranggapan fenomena itu berkait secara langsung dengan letusan gunung berapi yang mungkin boleh berlaku pada bila-bila masa selain mengaitkannya dengan kejadian gempa bumi kuat yang berlaku di di luar negara.

  • Dua ditahan bergaduh dipercayai angkara burung RM10,000

    Dua ditahan bergaduh dipercayai angkara burung RM10,000

    POLIS menahan dua individu susulan pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki yang didakwa berkaitan kecurian burung di Kampung Pantai Kundor di Kota Bharu, semalam.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kedua-duanya berusia 38 dan 44 tahun diberkas selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 8.33 malam.

    Katanya, pihaknya juga sudah mengenal pasti individu lain yang terbabit dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.

    “Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan satu video berdurasi 24 saat yang tular di aplikasi WhatsApp pada 8 malam tadi, memaparkan pergaduhan sekumpulan individu di Kampung Pantai Kundor.

    “Setakat ini dua orang ditangkap bagi membantu siasatan. Usaha mengesan dan menangkap suspek lain sedang giat dijalankan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Terdahulu, video tular itu menunjukkan sekumpulan individu bergaduh termasuk menggunakan kayu kerana didakwa seorang lelaki mencuri burung yang bernilai hampir RM10,000.

    Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi berkaitan kejadian dan mereka yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Ismail di talian 019-2454124 atau 09-7752200.

  • Mahkamah beri menteri 14 hari putuskan pendaftaran parti veteran

    Mahkamah beri menteri 14 hari putuskan pendaftaran parti veteran

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memberi tempoh 14 hari kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk memutuskan rayuan sebuah parti politik berasaskan veteran supaya didaftarkan secara rasmi.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Peguam Lim Wei Jiet berkata, Parti Kemakmuran Negara berjaya dalam permohonan semakan kehakiman terhadap Hamzah semalam.

    Lim berkata, pengasas parti itu memohon Jabatan Pendaftaran Pertubuhan untuk mendaftarkan parti itu pada 9 Mac 2021, tetapi permohonan itu ditolak pada 16 Mac.

    Katanya, pengasas itu kemudiannya merayu kepada menteri dalam negeri pada 25 Mac lalu, tetapi tiada keputusan dibuat selepas hampir enam bulan.

    “Dalam saman itu, pengasas terbabit mendakwa penangguhan sedemikian tidak munasabah, menyalahi undang-undang dan melanggar hak untuk menubuhkan persatuan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    “Mahkamah mengarahkan menteri itu membuat keputusan berhubung rayuan itu dalam tempoh 14 hari,” kata Lim dalam kenyataan.

    Dalam pada itu, Lim memberitahu FMT, menangguhkan rayuan yang dibuat pihak benar-benar berminat menubuhkan parti politik adalah “tidak demokratik, tidak adil dan tidak munasabah”.

    Beliau berharap Hamzah akan mempercepatkan rayuan oleh pihak yang mahu menubuhkan parti politik kerana ia akan memberi mereka masa untuk bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya.

    “Anak guam saya adalah veteran yang sudah berkorban dan menghabiskan kebanyakan masa dalam hidup mereka untuk mempertahankan keselamatan negara ini, dengan sebahagian daripada mereka berkhidmat sejak pemberontakan komunis.

    “Untuk memaksa mereka menunggu dan naik turun mahkamah pada usia mereka menunjukkan rasa tidak hormat terhadap pahlawan ini yang sudah berkhidmat kepada negara selama 30, 40 tahun.”

    Parti itu diketuai Brig-Gen (B) Abdullah Mohamed yang terbabit dalam operasi menentang komunis pada 1970-an dan 1980-an.

    Pengasas lain ialah veteran dari tentera darat, laut dan udara.