Category: Semasa

  • Lima graduan wanita UiTM kemalangan dalam perjalanan ke majlis konvokesyen

    Lima graduan wanita UiTM kemalangan dalam perjalanan ke majlis konvokesyen

    LIMA graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang dalam perjalanan menghadiri majlis konvokesyen terlibat kemalangan di Kilometer 396 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Ulu Bernam, awal pagi ini.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.35 pagi dan mengerahkan anggota ke lokasi kejadian.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Noor Azam Khamis berkata, kemalangan melibatkan sebuah Proton Saga yang dinaiki lima graduan wanita berusia 21 tahun, telah terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

    “Akibat kemalangan tersebut seorang daripada mereka tersepit di bahagian hadapan dan mengalami kecederaan parah.

    “Empat lagi rakan mangsa pula mengalami kecederaaan ringan dan kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Noor Azam berkata, kesemua mangsa dipercayai akan menghadiri Majlis Konvokesyen di UiTM Shah Alam.

    “Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Astro Awani.

  • Dua pemancing selamat, sembilan hilang selepas bot karam

    Dua pemancing selamat, sembilan hilang selepas bot karam

    SEMBILAN pemancing hilang dan dua lagi selamat selepas ditemukan terapung, apabila bot yang mereka naiki karam di perairan Mukah.

    Menurut sumber, bot yang membawa 11 orang pemancing itu dipercayai keluar ke laut pada Isnin lalu dan karam 8.30 malam Selasa lalu.

    “Dua daripada pemancing itu ditemukan hanyut di perairan Mukah pada 5 petang semalam oleh kru kapal tunda, Capella yang dalam perjalanan dari Bintulu ke Kuching,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Jurucakap Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) pula ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan sedang mengumpul maklumat lanjut mengenainya.

    “Untuk makluman awal, MRSC Kuching menerima maklumat insiden sebuah bot bernombor pendaftaran SF2- 2837 karam bersama 11 mangsa di kedudukan lebih kurang 34 batu nautika dari barat laut Mukah.

    “Sehingga kini, hanya dua mangsa ditemukan selamat, manakala sembilan masih hilang. Sebarang perkembangan mengenainya akan kami maklumkan dari masa ke masa,” katanya.

  • KPLB berjaya lahirkan lebih 64,000 usahawan desa

    KPLB berjaya lahirkan lebih 64,000 usahawan desa

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berjaya melahirkan lebih 64,000  usahawan desa menerusi pelbagai agensi di bawahnya.

    Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bagi memastikan usahawan desa sentiasa berdaya maju dan kalis kemelesetan ekonomi, pelbagai bantuan seperti geran, pembiayaan, latihan dan pembangunan disediakan kementerian itu.

    “Bantuan disalurkan bagi memastikan usahawan  dapat meneruskan perniagaan mereka khususnya ketika negara berhadapan pandemik Covid19 dan krisis ekonomi yang melanda seluruh dunia.

    ‘’Tetapi mereka tidak boleh mengharapkan bantuan daripada kerajaan semata-mata. Mereka juga perlu memajukan perniagaan masing-masing dengan menggunakan pendekatan terkini seperti digitalisasi dalam perniagaan,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J@KPLB) di Putrajaya hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Pengasas Richworks International Sdn. Bhd., Datuk Dr. Azizan Osman.

    Mahdzir berkata, usahawan desa KPLB terbabit dalam pelbagai bidang perniagaan merangkumi empat sektor utama iaitu pembuatan, perkhidmatan, pertanian dan pelancongan desa.

    Beliau berkata, bagi memastikan usahawan desa memasarkan produk mereka secara terancang, KPLB memperkenalkan Program Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta KPLB (KU1J@KPLB) melibatkan kerjasama dengan Rickworks International Sdn. Bhd.

    Program berbentuk kejurulatihan dan mentor-mentee ini  menyasarkan usahawan desa mencapai sasaran jualan tahunan berjumlah RM1 juta yang pertama.  Aktiviti ini adalah salah satu daripada beberapa aktiviti sokongan keusahawanan yang telah dirancang di bawah Program Rural Business Challenge 2.0 (RBC 2.0).

    “Saya dimaklumkan pada peringkat awal, seramai 67 orang usahawan desa telah memohon bagi menyertai program ini. Daripada jumlah itu, seramai 52 orang usahawan desa melepasi saringan awal. Seterusnya tapisan akhir dibuat dan seramai 25 orang usahawan terpilih untuk mengikuti aktiviti bimbingan KU1J@KPLB ini,’’ katanya.

    Kesemua peserta akhir yang  terpilih akan dibimbing dan diberi tunjuk ajar secara fizikal dan maya selama 12 bulan bagi mencapai jualan tahunan sebanyak RM1 juta dalam tempoh 6 bulan hingga setahun.

    Melalui tempoh berkenaan mereka akan didedahkan mengenai pengurusan pemasaran, pematuhan, operasi, kepimpinan, pembangunan perniagaan dan aktiviti mentoring.

  • Kereta melayang, ‘terbang’ depan rumah peneroka

    Kereta melayang, ‘terbang’ depan rumah peneroka

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH kereta terbabas sebelum ‘terbang’ lalu menjunam ke halaman sebuah rumah di cerun bukit dalam kejadian di Jalan Aman, Felda Lok Heng Selatan, Kota Tinggi semalam.

    Pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan melalui media sosial pada pukul 7.30 petang.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora, siasatan mendapati sebuah kereta Nissan Sentra itu hilang kawalan yang dipandu seorang pemuda Felda tersebut berusia 22 tahun.

    “Semasa dalam perjalanan pulang ke rumah di jalan tersebut kereta ituterjunam dan menghentam bumbung sebuah rumah sebelum jatuh ke halaman rumah.

    “Akibat kemalangan tersebut pemandu berkenaan mengalami kecederaan kecil di dahi. Kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal keretanya dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, semasa kemalangan keadaan cuaca cerah manakala lalu lintas pula tidak sibuk.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan semasa memandu hingga menyebabkan kemalangan.

  • Penuntut antarabangsa miliki bahan pornografi kanak-kanak ditahan

    Penuntut antarabangsa miliki bahan pornografi kanak-kanak ditahan

    POLIS menahan seorang penuntut antarabangsa kerana disyaki memiliki bahan pornografi kanak-kanak di Seremban, Negeri Sembilan, Isnin lepas.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata penahanan lelaki berumur 24 tahun yang menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi itu merupakan hasil kerjasama antara PDRM dengan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat.

    Beliau berkata pemeriksaan polis menemukan sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak dalam komputer riba dan telefon bimbit milik lelaki terbabit.

    Menurutnya, hasil siasatan mendapati lelaki terbabit menggunakan aplikasi media sosial untuk berkomunikasi dan memerangkap mangsa serta melakukan ugutan (sextortion) bagi mendapatkan bahan berunsur seksual daripada mangsa yang terdiri daripada kanak-kanak di luar negara.

    “Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini untuk dituduh di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini-BERNAMA

     

  • Tidak perlu prejudis Muda mahu sertai PH

    Tidak perlu prejudis Muda mahu sertai PH

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIDAK perlu prejudis dengan hasrat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) untuk bersama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd. Aziz berkata, keikhlasan parti itu tidak wajar dipertikaikan dan pihaknya sedia bertemu mana-mana pihak dalam PH untuk memberi penjelasan sekiranya masih ada keraguan.

    “Kita terbuka untuk berjumpa menerusi meja rundingan, sekiranya ada apa-apa persoalan kita terus selesaikan segala keraguan yang ada.

    “Saya faham keraguan itu. Saya faham bila mana-mana parti baharu nak sertai gabungan yang sudah terbentuk, keraguan itu akan ada,” katanya dalam sidang akhbar menolak PRU-15 ketika banjir di Kampung Kangkar Tebrau, Johor Bahru, semalam.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa mengulas kenyataan beberapa ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meragui hasrat Muda mahu sertai PH pada PRU-15.

    Semalam, PH dalam satu kenyataan memaklumkan akan menubuhkan jawatankuasa rundingan bagi membincangkan permohonan keanggotaan Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk bekerjasama dengan gabungan itu secara rasmi pada PRU-15.

    Amira Aisya menjelaskan, hasrat Muda untuk bersama-sama PH bukan baharu malah sejak awal pendaftaran parti berkenaan sudah bergerak bersama-sama gabungan tersebut dalam pelbagai bentuk.

    “Sebagai contoh kita menyuarakan isu-isu rakyat bersama-sama PH. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Presiden Muda) di peringkat Parlimen sering bersama blok pembangkang apabila membuat keputusan contohnya bersama PH semasa membuat keputusan tentang bajet,” katanya.

    Menurutnya, Muda tetap akan bekerjasama dengan PH pada PRU-15 walaupun tidak diterima secara rasmi dalam gabungan tersebut dan akan memastikan tiada pertembungan kerusi antara Muda-PH.

    Namun katanya, fokus Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu adalah jelas iaitu segala perbincangan tertumpu untuk memastikan kerjasama Muda dengan PH menjadi realiti.

    “Apa sahaja keputusan kita akan pastikan tidak akan ada pelanggaran kerusi, itu objektif paling utama hadapi PRU15. Apa pun kita nak pastikan jika kita tidak diterima secara rasmi pun dalam PH, kita akan pastikan kerjasama itu masih ada, sekiranyalah,” ujar beliau.

    Tambahnya, permohonan Muda untuk bekerjasama itu menampakkan perkembangan baharu apabila semalam, komponen PH iaitu PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menerima wakil Muda dan PSM untuk perbincangan tersebut.

  • Kabinet tidak sentuh tarikh PRU, bincang persiapan banjir – Takiyuddin

    Kabinet tidak sentuh tarikh PRU, bincang persiapan banjir – Takiyuddin

    MESYUARAT Kabinet hari ini tidak menyentuh tarikh pilihan raya umum ke-15 (PRU15), sebaliknya hanya membincangkan persiapan berdepan banjir dijangka bermula Oktober, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan.

    Katanya, perbincangan Kabinet tertumpu kepada persediaan menghadapi banjir berikutan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi (METMalaysia).

    “Mengikut maklumat METMalaysia pada Oktober akan berlaku banjir sama ada awal atau akhir bulan, kita tidak pasti.

    “Jadi kita perlu membuat persiapan. Jika banjir berlaku, semua akan terbabit. Pasukan petugas khas, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), agensi berkaitan, Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang buat persiapan termasuk pusat pemindahan sementara,” katanya menurut Berita Harian.

    Isnin lalu Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata cadangan untuk mengadakan PRU15 dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

    Beliau dilaporkan berkata akan membawa pendapat semua pihak berhubung bila PRU15 patut diadakan.

    Dalam pada itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berpandangan lebih baik PRU15 tidak diadakan dalam tempoh terdekat.

    “Bagi kita (PAS) lebih baik PRU15 tidak diadakan kerana sudah ada indikator akan berlaku banjir lebih awal,” katanya.

    Pada 16 Sept, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata perjumpaan lima pemimpin tertinggi Umno bagi membincangkan berkenaan PRU15 diadakan pada 30 Sept, selepas dibatalkan pada 17 Sept.

    Katanya, mesyuarat itu akan diadakan pada 8 malam dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan bermesyuarat pada malam sama.

    Lima pemimpin tertinggi itu adalah Presiden Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga naib presiden – Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri.

  • Bekas Setiausaha Akhbar Zahid diasak bertalu-talu oleh pihak pendakwaan

    Bekas Setiausaha Akhbar Zahid diasak bertalu-talu oleh pihak pendakwaan

    BEKAS Setiausaha Akhbar Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diasak bertalu-talu oleh pihak pendakwaan semasa disoal balas mengenai bidang tugasnya pada perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas timbalan perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi di sini.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran menyoal Mejar Jeneral (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican berulang kali setelah saksi pembelaan itu tidak menjawab soalan tersebut secara khusus.

    Raja Rozela mencadangkan kepada Fadzlette bahawa tugas untuk meminta penyata kad kredit dan cek daripada Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly,  bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, adalah di luar bidang kerjanya sebagai setiausaha akhbar.

    Bagaimanapun, Fadzlette, 60, tidak menjawabnya secara khusus menyebabkan Raja Rozela menyoal lagi serta mempersoalkan tindakan saksi itu yang dikatakan tidak boleh menjawab, sedangkan ia soalan yang mudah.

    Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid kemudian bangun dan berkata cara Raja Rozela mengemukakan soalan seolah-olah menakut-nakutkan saksi.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bagaimanapun berkata Raja Rozela tidak menakut-nakutkan saksi dan membenarkan pihak pendakwaan mengemukakan soalan tersebut.

    Raja Rozela yang memohon maaf mengenai perkara itu berkata itu adalah cara biasa beliau mengemukakan soalan dan hanya menggunakan suara normalnya sahaja.

    Raja Rozela: Saya cuba bercakap dengan lebih manis, saya minta maaf kalau saya cakap kasar, tetapi Datuk (Fadzlette) tidak menjawab soalan lagi. Setuju atau tidak saya katakan bukan bidang kuasa Datuk untuk minta penyata bank dan cek daripada Mejar Mazlina kerana Datuk hanya setiausaha akhbar yang hanya membuat teks ucapan.

    Fadzlette: Tidak setuju.

    Terdahulu, Fadzlette dalam pernyataan saksinya berkata beliau tahu tentang isu-isu kecuaian Mazlina kerana Ahmad Zahid pernah memaklumkan kepadanya dan mengarahkannya memantau tindakan wanita itu kerana pangkat beliau (Fadzlette) lebih tinggi dalam angkatan tentera.

    “Saya memaklumkan kepada Mejar Mazlina berkenaan pesanan yang disampaikan oleh Ahmad Zahid itu. Saya pernah meminta Mejar Mazlina untuk menunjukkan penyata-penyata kad kredit dan cek-cek yang disediakan sebelum dibawa untuk ditandatangani oleh Ahmad Zahid,” katanya.

    Selain itu, Fadzlette berkata Mazlina melakukan kesalahan ingkar perintah melebihi 10 kali, namun tiada aduan dibuat terhadapnya dan hanya dimaklumkan kepada Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Perdana Menteri.

    Fadzlette yang merupakan Pengarah Media kepada Presiden UMNO itu kemudian bersetuju dengan cadangan Raja Rozela bahawa tiada tindakan dikenakan terhadap Mazlina di bawah Akta Angkatan Tentera 1972.

    Mengenai pengurusan kewangan Ahmad Zahid, Fadzlette berkata beliau tidak pasti sama ada Mazlina diarahkan oleh Ahmad Zahid untuk menguruskan kewangan peribadi beliau (Ahmad Zahid) termasuk kad kredit.

    “Saya tidak tahu Mejar Mazlina mendapat kebenaran daripada Datuk Seri (Ahmad Zahid) untuk membayar kad kredit dan menggunakan cop tandatangannya,” katanya pada prosiding membela diri Ahmad Zahid atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi (YAB).

    Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bersambung esok.

    — BERNAMA

  • PRU tidak sesuai ketika musim banjir – Khairy

    PRU tidak sesuai ketika musim banjir – Khairy

    PILIHAN  Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan ketika musim banjir kerana banyak faktor perlu diambil kira, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata selain faktor kesihatan, Kementerian Kesihatan (KKM) berpandangan banyak perkara penting perlu diambil kira antaranya aspek tenaga kerja dan keselamatan rakyat pada musim banjir.

    “Sebab pertama adalah tenaga kerja kerana banyak tenaga kerja yang diperlukan untuk pilihan raya malah pada bulan monsun pun ramai yang perlu dikerahkan untuk menjaga pusat pemindahan sementara (PPS), jaga keselamatan rakyat dan jaga pemindahan.

    “Kedua, dari segi kemudahan… PPS banyak diadakan di sekolah dan ia (sekolah) juga jadi pusat buang undi (bagi pilihan raya),” katanya semasa temu bual Setahun Pencapaian Sebagai Menteri Kesihatan di bangunan KKM di Putrajaya hari ini.

    Khairy juga berkata akan berlaku peningkatan penyakit bawaan air yang memerlukan rawatan daripada pihak KKM dan penyakit lain seperti demam, selesema dan sebagainya akibat keadaan cuaca.

    “Maka pandangan KKM memanglah daripada segi kesesuaian diadakan pilihan raya waktu musim banjir ini, tak sesuai,” kata Ahli Parlimen Rembau itu ketika diminta mengulas sama ada PRU15 sesuai diadakan ketika musim banjir.

    Pada 17 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata tarikh pembubaran Parlimen akan diumumkan tidak lama lagi untuk memberi laluan kepada PRU15.

    Ditanya sama ada KKM mengemukakan cadangan waktu yang sesuai untuk mengadakan PRU15 kepada kerajaan, Khairy berkata perkara itu ada dibincangkan secara umum namun ia terpulang kepada Perdana Menteri.

    Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November yang mendorong kepada banjir besar pada penghujung bulan itu.

    MetMalaysia menjangkakan impak cuaca yang dialami lebih signifikan memandangkan monsun timur laut yang aktif pada tempoh itu sekali gus risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

    — BERNAMA

  • ‘’Tiada layanan istimewa, Najib perlu fisioterapi’’ – Khairy

    ‘’Tiada layanan istimewa, Najib perlu fisioterapi’’ – Khairy

    DATUK Seri Najib Tun Razak dipindahkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras di Kuala Lumpur kerana memerlukan fisioterapi.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, bekas Perdana Menteri itu, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah, tidak diberikan layanan istimewa.

    Bagaimanapun beliau tidak memberikan butiran mengenai penyakit Najib.

    Khairy turut mendedahkan, beliau mengarahkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) menjalankan siasatan terhadap ciapan Twitter yang didakwa dibuat oleh salah seorang doktor yang merawat Najib dan mendedahkan maklumat mengenainya.

    “Tiada layanan istimewa. Terdapat permintaan oleh timbalan pendakwa raya supaya prosiding ditangguhkan supaya Najib boleh menerima rawatan perubatan yang diperlukan. Berikutan itu, beliau dirujuk ke HKL di mana beliau dirawat untuk keadaan kesihatannya dan menjalani beberapa ujian.

    “Sekarang susulan itu, dia dirujuk ke Hospital Rehabilitasi Cheras kerana rawatan susulan yang memerlukan fisioterapi.

    “Dan sebahagian daripada itu sudah tentu untuk mengajarnya bagaimana untuk melakukannya sendiri, kerana dia akan dibenarkan keluar sebaik sahaja pakar berpuas hati bahawa dia tidak lagi perlu masuk wad,” katanya lapor Malaysiakini.

    Khairy berkata Najib akan dihantar pulang ke Penjara Kajang sebaik saja pakar berpuas hati dengan keadaannya.

    “Saya tidak boleh menjawab bila, kerana itu akan mengganggu proses. Terpulang kepada pakar,” tambahnya.

    Khairy berkata akses Najib kepada kemudahan perubatan adalah selaras dengan prosedur operasi standard kementerian, di mana layanan sama turut diberikan kepada banduan lain yang memerlukannya.

    Hari ini, Jabatan Penjara dalam satu kenyataan mengesahkan khabar angin bahawa Najib telah dihantar ke HRC untuk rawatan, dan berkata ia dilakukan selaras dengan Akta Penjara dan Peraturan Minimum Standard Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Rawatan Penjara (Peraturan Mandela).

    Mengulas lanjut, Khairy berkata beliau tidak dapat mendedahkan butiran mengenai keadaan kesihatan Najib kerana protokol privasi pesakit KKM.

    “Kita melaksanakan ini supaya tidak ada pertikaian daripada mana-mana pihak, daripada pihak keluarga Najib, malah Najib sendiri, bahawa tidak ada rawatan yang diberikan kepada beliau.

    “Jadi kita telah menyediakan semua rawatan yang diperlukan dan semua pemeriksaan yang diminta,” katanya.

    Menurut Khairy, pakar perubatan akan mengadakan persidangan dengan Najib dan keluarga dalam masa terdekat bagi menjelaskan keadaan dan pelan rawatannya, selepas itu dia akan dihantar semula ke Penjara Kajang.

    Sementara itu, mengenai kes ciapan Twitter, Khairy berkata HKL telah melancarkan siasatan berhubung perkara itu untuk menentukan sama ada ia benar-benar dihantar oleh salah seorang pegawai perubatannya.

    Kata Khairy, jika terbukti benar, pegawai berkenaan boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut garis panduan KKM.

    “Semua di KKM memang kita perlu mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan. Sebarang maklumat terperinci tentang kesihatan mana-mana pesakit termasuklah banduan yang berada bawah rawatan KKM mestilah disimpan kerahsiaannya.

    ” Dalam hal tersebut, dalam kes yang dirujuk, saya telah pun minta Pengarah HKL untuk siasat kes, dan jika didapati ada pelanggaran tata etika, maka tindakan disiplin boleh diambil terhadap pegawai yang berkenaan,’’ katanya.