Category: Semasa

  • Sanusi dedah rancangan ‘kenakan’ beliau diatur enam bulan lalu

    Sanusi dedah rancangan ‘kenakan’ beliau diatur enam bulan lalu

    Oleh BADLISHAH MAT

    RANCANGAN untuk menangkap dan menjatuhkan kredibiliti Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dirancang sejak enam bulan lalu, dedah Menteri Besar Kedah itu.

    Muhammad Sanusi berkata, maklumat tersebut diterima daripada pelbagai pihak yang sejak awal-awal lagi memberi peringatan kepadanya susulan kritikan terbuka kepada pihak tertentu.

    “Plot untuk tangkap saya sudah dirancang sejak enam bulan lalu, saya tahu dah, saya ada ‘inteligent’ saya, orang pesan jaga-jaga ada orang nak buat (sesuatu) kepada saya.

    “Untuk keselamatan, saya ada pistol dalam kereta 24 jam, ada dua magazine, 14 peluru satu magazine, 24 jam berjaga-jaga takut orang buat jahat.

    “Tapi kalau orang tak buat jahat, saya tak buat jahat pada orang,” katanya pada Ceramah Gelombang Perikatan Nasional (PN) di Padang Awam Kuala Ketil di Baling, malam tadi.

    Dalam pada itu, Muhammad Sanusi kesal kerana permintaannya untuk mendapatkan salinan dua kertas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya tidak diberikan pihak pendakwaan selepas selesai proses di mahkamah.

    “Saya hormat rakan dalam Polis Diraja Malaysia, jangan salahkan polis kerana mereka jalankan tugas atas arahan atasan sampai ke menteri, mereka terpaksa. Tujuan ditangkap untuk menjatuhkan kredibiliti saya, nak tarik saya jatuh ke tanah.

    “Saya didakwa atas dua tuduhan, tetapi kertas pertuduhan tidak diberikan, saya hanya dibacakan dan saya mengaku tak salah, pendakwaraya kata kena beli dalam talian, tapi kemudian kertas pertuduhan jadi viral, tujuan untuk memalukan saya.

    “Saya keluar (mahkamah) angkat tangan, terus jahanam habis semua. Malam ini saya isytihar angkat tangan ini lawan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Anwar Ibrahim. Cicak mengkarung jangan datang, kamu bawa Anwar Ibrahim,” katanya.

  • Tunggang motosikal secara solo ke Makkah untuk tunai umrah

    Tunggang motosikal secara solo ke Makkah untuk tunai umrah

    WALAUPUN laluan udara sering menjadi pilihan umat Islam untuk ke Makkah, cara itu berbeza dengan Zulkepli Mo’minin, 55, yang tekad bermotosikal secara solo ke Tanah Suci bagi mengerjakan umrah.

    Ekspedisi melalui jalan darat itu dijangka mengambil masa 95 hari dengan jarak sejauh lebih 18,000 kilometer merentasi 11 negara antaranya Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran, Kuwait dan Arab Saudi.

    Zulkepli telah memulakan perjalanan solo itu sejak 8 Julai lepas dari Gombak, Selangor dan kini beliau telah sampai di Segi Tiga Emas, utara Thailand.

    Menurut bapa kepada lima orang anak itu beliau memilih ke Makkah dengan bermotosikal secara solo kerana ingin meneroka keindahan negara luar melalui setiap kawasan yang dilalui selain memberi peluang kepadanya untuk menginsafi kebesaran ciptaan Tuhan.

    “Mengembara secara solo sudah menjadi minat saya sejak dari sekolah lagi. Untuk kali ini, daripada saya mengembara ke merata tempat tanpa tujuan, baik saya mencabar diri pergi ke Makkah, kota paling suci bagi umat Islam.

    “Melalui permusafiran jalan darat ini jugalah saya berpeluang merasai jerih payah perjuangan orang-orang terdahulu yang bertebaran ke seluruh alam dalam menyebarkan agama Islam,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Pada kembara kali ini, Zulkepli menggunakan motosikal jenis Yamaha FZ150 miliknya yang telah berusia 10 tahun dengan beberapa modifikasi telah dilakukan termasuk menaik taraf enjin baharu sesuai dengan perjalanan jarak jauh.

    Selain itu, motosikal yang ditunggang Zulkepli juga membawa bebanan bersama yang dianggarkan sebanyak 70 kilogram antaranya alat ganti motosikal, khemah, baju sejuk, makanan dan kit kecemasan.

    Zulkepli yang juga pengusaha tasbih berkata beliau menggunakan sebanyak RM70,000 hasil wang simpanannya untuk merealisasikan impiannya itu selain turut menerima sumbangan daripada orang ramai.

    “Kos paling mahal adalah untuk merentasi China selama 16 hari iaitu berbelas ribu kerana setiap pengembara yang membawa kenderaan ke negara itu perlu membayar kos pemandu pelancong yang akan menemani sepanjang perjalanan,” katanya.

    Ditanya bagaimana pemilihan laluan dilakukan, Zulkepli berkata beliau membuat persediaan sejak dua tahun setengah lepas termasuk banyak membuat rujukan dengan pengembara motosikal terdahulu dan menonton di YouTube ekspedisi sama yang pernah dilakukan sebelum ini.

    Orang ramai yang berminat mengikuti perkembangan kembara unik Zulkepli boleh layari Facebook rasminya, ‘Gombak ke Makkah 2023’ atau di TikTok ‘jiwakembara125’ yang dikemas kini dari semasa ke semasa.

  • Pemimpin DAP ingatkan jangan pandang mudah faktor Sanusi

    Pemimpin DAP ingatkan jangan pandang mudah faktor Sanusi

    SEORANG pemimpin kanan DAP berkata, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak boleh memandang mudah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kerana beliau mampu menarik undi daripada kerajaan perpaduan pada pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

    Pemimpin DAP enggan dinamakan itu berkata, insiden baru-baru ini menjadikan ‘Sanusi hero berbanding orang jahat’.

    “Penahanan Sanusi pada 3 pagi, beberapa jam sebelum beliau dijadualkan muncul di mahkamah bagi menghadapi tuduhan hasutan terhadap raja, mungkin tidak baik buat kerajaan perpaduan.

    “Sanusi sudah dikritik atas kenyataannya, tetapi penahanannya pada awal pagi menjadikannya hero bagi sesetengah orang,” katanya memetik laporan FMT.

    Polis berkata, Menteri Besar Kedah itu ditahan pada 3 pagi kerana mereka mahu memastikan beliaumuncul di mahkamah pada hari sama.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata Sanusi dan setiausahanya “menolak semua panggilan telefon” daripada polis, tetapi pemimpin Pas itu menafikan dakwaan berkenaan.

    Sementara itu, sumber berkata, kerajaan perpaduan memerlukan peratusan keluar mengundi sekurang-kurangnya 75% untuk berpeluang menawan negeri dikuasai pembangkang.

    “Cabaran PH-BN ialah memastikan pengundi bukan Melayu keluar mengundi. Jika mereka tidak dapat berbuat demikian, Selangor pun mungkin jatuh ke tangan Perikatan Nasional.

    “Kita akan hilang banyak kerusi dengan Sanusi memainkan ‘kad mangsa’. Beliau mendapat banyak sokongan orang Melayu bagi PN.”

    Dengan PN menjadi pilihan untuk mempertahankan Kedah, katanya, PH patut fokus kepada Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

    “Saya berada di lapangan di Kedah. Ramai pengundi kata mereka tiada sebab mengundi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan,” ujar beliau.

  • Polis sifat bom di kereta Siti Kassim cubaan bunuh

    Polis sifat bom di kereta Siti Kassim cubaan bunuh

    POLIS menggiatkan siasatan terhadap kes penemuan bom buatan sendiri pada kereta milik peguam kontroversi, Siti Zabedah Kassim atau lebih dikenali sebagai Siti Kassim.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyifatkan penemuan objek itu sebagai satu jenayah serius.

    Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, pihak polis juga sedang mengesan cap jari serta bukti-bukti berkaitan bagi siasatan lanjut dalam usaha menjejak pelakunya.

    “Ini satu kesalahan serius, ancaman bom umpama cubaan membunuh.

    “Pihak polis akan ambil tindakan agresif dalam siasatan ini. Jenayah sebegini tidak boleh dibiarkan kerana memberi peluang kepada individu tidak bertanggungjawab melakukan perkara sedemikian,” katanya ketika dihubungi.

    Susulan itu, Razarudin mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut dan kes berkenaan sedang diuruskan oleh Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 7 Akta letupan 1957.

    “Semuanya masih dalam siasatan,” katanya.

    Semalam, Amihizam mengesahkan objek mencurigakan yang ditemui di bahagian bawah kereta Siti Kassim adalah bahan letupan termampat (IED).

    Bagaimanapun, polis belum dapat mengesahkan sama ada bahan letupan itu masih aktif atau sebaliknya.

    Kelmarin, sepasukan pegawai Unit Pemusnah Bom (UPB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan ujian ke atas objek dalam dua botol plastik yang dipasang pada bahagian tayar belakang kereta Siti Kassim yang dihantar ke pusat servis di Jalan Maarof, Bangsar, di Kuala Lumpur.

    Siti Kasim mendakwa dua objek terbabit ditemukan dalam keadaan tersangkut di bahagian belakang tayar keretanya.

    Wanita itu menghantar kenderaannya untuk diselenggara kerana akan ke Kelantan bagi membantu menyelesaikan isu Orang Asli di negeri itu. 

  • Kapal karam: Wisma Putra sahkan 7 rakyat Malaysia selamat

    Kapal karam: Wisma Putra sahkan 7 rakyat Malaysia selamat

    WISMA Putra mengesahkan tujuh rakyat Malaysia menaiki kapal pelancong yang karam di kawasan perairan Pulau Komodo, Labuan Bajo, Indonesia semalam, dilapor selamat.

    Perkara itu disahkan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

    Menurutnya, semua mangsa dibawa ke hospital tempatan bagi pemeriksaan lanjut.

    “Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai insiden itu dan sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya.

    “Sebarang perkembangan terkini mengenai insiden akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata kenyataan yang disiarkan di Facebook Wisma Putra, hari ini, lapor Harian Metro.

    Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular boleh berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian +62 21 5224 947 dan +62 813 8081 3036 atau emel ke [email protected]

  • PH Menang…Aminuddin kekal MB, Kon Yeow terus jadi Ketua Menteri – Anwar

    PH Menang…Aminuddin kekal MB, Kon Yeow terus jadi Ketua Menteri – Anwar

    DATUK SERI Anwar Ibrahim mengumumkan sokongan kepada Datuk Serri Aminuddin Harun kekal menjadi Menteri Besar sekiranya berjaya mengekalkan kuasa pada PRN Negeri Sembilan.

    Presiden PKR berkata itu berkata, perkara tersebut sudah dikemukakan kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN).

    Katanya, perbincangan berhubung bakal calon Menteri Besar itu digambarkannya mengambil masa panjang.

    “Tetapi, setelah menyampaikan pandangan kita kepada Presiden UMNO…Pengerusi BN Zahid Hamidi dan menekankan untuk kelangsungan kerja kesinambungan dan rekod prestasi saudara Aminuddin Harun itu memuaskan. Wajar kita pertahankan beliau selaku menteri besar,” katanya dalam ucapan Malam Pengumuman Calon PKR, di Padang Awam MBSA, Shah Alam, malam ini, rapor FMT.

    Anwar berkata, ketika menjadi Ahli Parlimen Port Dickson banyak program rakyat dianjurkan Aminuddin.

    “Saudara Aminuddin yang saya kenal lama terutama apabila saya jadi Ahli Parlimen Port Dickson dan lebih banyak kerja dan besar program-program merakyatkan.

    “…tidak ada ruang sehingga ada orang menyatakan menteri besar ini sukar ditemui atau tidak disantuni,” katanya.

    Terdahulu, beliau yang juga pengerusi Pakatan Harapan turut menyokong Chow Kon Yeow kembali menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, mengambil kira rekodnya membangunkan negeri itu.

  • DAP  akui terkilan kerusi DUN Dusun Tua diberi kepada BN

    DAP  akui terkilan kerusi DUN Dusun Tua diberi kepada BN

    DAP mengakui sedikit terkilan keputusan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua yang disandang parti itu kepada calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya negeri (PRN) pada Ogos depan.

    Memetik laporan sebuah portal, Setiausaha Agung parti DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, bagaimanapun pihaknya perlu akur dengan keputusan tersebut kerana telah dimuktamadkan.

    Tambah Menteri Pengangkutan itu, beliau akan bincangkan perkara tersebut dalam Majlis Presiden PH pada Isnin ini.

    “Mungkin ada syarat pertukaran yang akan diletakkan dan sebagainya. Tapi kita tidak puas hati, pimpinan parti dan akar umbi rasa terkilan dengan keputusan tersebut,” jelasnya.

    Pada Jumaat, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu hanya bertanding di 12 kerusi DUN Selangor bagi menghadapi PRN pada 12 Ogos depan.

    Untuk calon DUN Dusun Tua, BN mempertaruhkan Datuk Johan Abd Aziz manakala DUN Gombak Setia pula, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerusi DUN Dusun Tua dimenangi oleh Edry Faizal Eddy Yusof dari DAP memperoleh majoriti undi sebanyak 10,422 ketika menentang Mohd Zin (BN) dan Razaly Hassan (Pas).

    DUN Selangor mempunyai 56 kerusi dengan kedudukan terkini kerusi sebelum pembubaran ialah PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Parti Amanah Negara – enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (dua), manakala Pas, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.

    Menurut Anthony Loke, DUN Dusun Tua adalah antara kerusi dalam rundingan PH dan BN untuk PRN di Selangor namun pihaknya tidak memberi sebarang keputusan bagi menyerahkan kerusi tersebut.

    “Itu antara kerusi yang deadlocked maksudnya kita tiada keputusan tapi memang kita tidak berikan tapi akhirnya keputusan muktamad diserahkan oleh kepada Pengerusi PH dan Pengerusi BN untuk diputuskan.

    “Datuk Seri Anwar telahpun menyerahkan dua kerusi di Selangor kepada pihak BN menjadikan jumlah kerusi BN bertanding di negeri itu adalah 12 kerusi iaitu DUN Dusun Tua yang disandang DAP dan Gombak Setia, disandang PKR,” ujarnya.

  • PEJUANG tak sertai PRN, tumpu kukuhkan parti untuk PRU-16  – Mukhriz

    PEJUANG tak sertai PRN, tumpu kukuhkan parti untuk PRU-16  – Mukhriz

    PARTI Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mengambil pendirian tidak akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini.

    Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata parti itu sebaliknya akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan kedudukan bagi menyertai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

    Ditanya sama ada jika diberi peluang bertanding dalam PRN oleh Perikatan Nasional (PN), Mukhriz berkata, untuk tempoh tiga minggu akhir sudah agak terlewat untuk pihaknya mempertimbangkan sebarang tawaran sedemikian.

    Mengakui ada usaha bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk PEJUANG bertanding, pihaknya masih belum menerima maklum balas rasmi dari PN mengenai perkara itu.

    “Lebih baik kami (PEJUANG) tumpu kepada memperkukuhkan parti dan kekal berprinsip terhadap perjuangan,” katanya pada  sidang media selepas Program Amanat Presiden bersama pimpinan negeri dan sayap parti di Kuala Lumpur, lapor Berita Harian.

    Mukhriz berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada Dr Mahathir berhubung PEJUANG untuk tidak bertanding dalam PRN akan datang.

    “Berundur setapak bukan bererti berundur selamanya, kita akan terus menegakkan prinsip perjuangan parti. Kami (PEJUANG) bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir bahawa undi Melayu tidak seharusnya dipecahkan,’ katanya.

    Tambah beliau, jika ada tawaran saat akhir untuk bertanding dalam PRN, pihaknya dengan rendah diri terpaksa menolaknya.

    Mukhriz berkata, keputusan untuk tidak bertanding itu diputuskan di mesyuarat exco PEJUANG minggu lalu.

    Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak menghalang jentera parti itu turun padang dan membantu calon parti lain.

    “Kami tidak halang, tetapi jangan guna nama PEJUANG secara rasmi. Itu hak mereka secara individu, namun tidaklah sehingga mereka naik ke pentas dan berceramah untuk parti lain,” katanya.

  • Peniaga cedera bungkusan meletup di belakang restoran

    Peniaga cedera bungkusan meletup di belakang restoran

    SEORANG peniaga cedera di muka dan badan akibat letupan bungkusan yang diletak di belakang sebuah restoran di Jalan Pantai Chenang, di sini, hari ini.

    Dalam kejadian jam 10.27 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun dilaporkan cedera selepas bungkusan itu meletup secara tiba-tiba, sebaik mangsa membukanya.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata mangsa adalah seorang pemegang kad Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

    “Difahamkan, mangsa mengusahakan kedai makan terbabit dengan menyewa bahagian belakang restoran.

    “Letupan itu menyebabkan mangsa cedera di muka dan badan sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Maliha menggunakan ambulans untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Shariman berkata, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan sedar dan stabil.

    “Unit Pemusnah Bom dan Unit Anjing Pengesan (K9) turut digerakkan ke lokasi untuk membuat siasatan dan mengesan suspek yang melakukan jenayah terbabit.

    “Polis juga sedang mengenal pasti motif kejadian,” katanya.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

  • Kastam rampas 250 kilogram dadah bernilai RM18.2 juta di Kompleks Kargo KLIA

    Kastam rampas 250 kilogram dadah bernilai RM18.2 juta di Kompleks Kargo KLIA

    JABATAN  Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas lebih 250 kilogram (kg) dadah jenis 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan ketamin yang keseluruhannya bernilai RM18.2 juta di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Selasa lepas.

    Pengarah Kastam Datuk Zazuli Johan berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, JKDM menyita 18 kotak dengan 12 daripadanya mengandungi bungkusan plastik lutsinar dengan bahan ketulan kristal disyaki MDMA seberat 232.05 kg dianggarkan bernilai RM17 juta.

    “Ia merupakan penemuan terbesar kastam melibatkan MDMA, jumlah tersebut boleh menghasilkan kira-kira 1.5 tan ekstasi. Selain itu, turut ditemukan satu kotak mengandungi bungkusan plastik dengan bahan serbuk kristal putih disyaki ketamin seberat 20.55 kg (RM1.2 juta) manakala lima kotak lagi ialah cakera brek kereta,” katanya pada sidang media di Nilai hari ini, lapor BERNAMA.

    Beliau berkata sindiket terbabit mengisytiharkan barang berkenaan sebagai aksesori kereta sedangkan di dalamnya terdapat kotak mengandungi dadah berbahaya, sebagai modus operandi bertujuan mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

    Zazuli berkata siasatan awal mendapati dagangan berkenaan dimport dari sebuah negara di Eropah dan kemudian mendarat di Kompleks Kargo KLIA sebagai destinasi terakhir dan bekalan dadah itu adalah untuk pasaran di dalam negara.

    Menurutnya, hasil risikan mendapati pengimport berkenaan menggunakan maklumat palsu dalam dokumen pengimportan sehingga menyukarkan tangkapan dibuat ke atas pengimport dagangan terbabit.

    “Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan untuk mengesan suspek yang dipercayai warga tempatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    Beliau menyeru orang awam untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dadah dan barangan lain seperti rokok, minuman keras dan mercun dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam terdekat dengan identiti mereka akan dirahsiakan.