Category: Semasa

  • Lapan individu tidak mengaku salah, salah guna kad petrol PDRM

    Lapan individu tidak mengaku salah, salah guna kad petrol PDRM

    LAPAN bekas pekerja di sebuah stesen minyak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kemaman hari ini atas dakwaan menyalahgunakan kad petrol milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Tertuduh Mohamad Amirul Izzat Mohamad, Md. Nazrul Khusairi Mohamad Ros, Muhamad Ikhwan Ruslan, Muhamad Aidil Mohd. Kamal, Muhamad Khairi Fakhri Abd. Karim, Khairul Fadhli Bahar, Abdullah Hassani Basri dan Iskandar Zulkarnain Adenan yang berusia lingkungan 23 hingga 32 tahun didakwa melakukan kesalahan itu ketika bekerja sebagai pembantu pam minyak di sebuah stesen minyak di Kemaman pada 2017.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman minimum enam bulan penjara, maksimum lima tahun penjara dan dikenakan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan, lapor Sinar Harian.

    Semua tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah setelah 45 pertuduhan ke atas mereka dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman dihadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dalam mencapai niat secara curang dan tidak jujur menggunakan kad inden milik PDRM bernilai antara RM50 hingga RM830.05 antara pukul 7 pagi hingga 3 petang pada Oktober hingga Disember 2017.

    Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin antara RM5,500 hingga RM30,500 setiap seorang dan menetapkan sebutan semula kes pada 7 November depan.

    Difahamkan kesemua tertuduh berdepan 138 lagi pertuduhan menjadikan keseluruhan 183 pertuduhan yang didakwa melibatkan kesalahan dibawah seksyen yang sama.

    Kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

  • Tidak rela berpisah, lelaki ugut culik dan pukul bekas kekasih

    Tidak rela berpisah, lelaki ugut culik dan pukul bekas kekasih

    TIDAK rela hubungan dengan teman wanita putus dan dihalang oleh bapa saudara, seorang lelaki bertindak mengugut mahu menculik dan memukul bekas kekasihnya.

    Ugutan didakwa dibuat oleh suspek berusia 22 tahun yang menghubungi bapa saudara bekas teman wanitanya berusia 35 tahun yang menetap di sebuah pangsapuri di Lembah Jaya Selatan, Ampang Jaya pada 15 September lalu.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bertindak atas laporan polis itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan suspek di sebuah restoran di Taman Larkin Perdana, Johor Bahru kelmarin.

    “Mereka berpisah sejak Disember 2020, namun suspek sering mengganggu dan mengugut bekas teman wanitanya yang berusia 20 tahun serta bapa saudara mangsa.

    “Bapa saudara wanita terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah kerana bimbang dengan keselamatan dirinya serta anak saudaranya,” katanya seperti dilaporkkan Satu Berita.

    Hasil siasatan mendapati, punca kejadian adalah perselisihan faham antara suspek dengan bekas teman wanitanya.

    “Semakan rekod jenayah juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah yang dikehendaki.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya,” jelasnya.

  • Suami isteri maut dalam kemalangan

    Suami isteri maut dalam kemalangan

    SEPASANG suami isteri l maut dalam kemalangan selepas kereta dinaiki mereka melanggar belakang sebuah lori di Jalan Wawasan, Bandar Baru Ampang, Ampang, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kemalangan berkenaan berlaku pada 2.50 pagi itu membabitkan Perodua Myvi dengan sebuah lori kontena.

    “Mangsa merupakan seorang lelaki warga India dan wanita tempatan.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca akibat kecuaian apabila wanita terbabit yang memandu gagal mengawal kenderaan hingga menyebabkan kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohamad Farouk berkata, kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Saksi bebas yang menyaksikan kejadian itu diminta untuk tampil menyalurkan maklumat berkenaan kejadian dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093,” katanya.

  • 14 kanak-kanak tadika terperangkap banjir

    14 kanak-kanak tadika terperangkap banjir

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BOMBA menyelamatkan 14 kanak-kanak dan lima guru selepas mereka terperangkap di dalam banjir di bangunan tadika di Kampung Mohd Amin, Larkin, Johor Bahru, hari ini.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 9.30 pagi.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Bomba Kanan II, Nazarudin Yusof berkata, tujuh anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.

    Anggota bomba membantu memindahkan kanak-kanak dan guru tadika yang terperangkap akibat banjir di Kampung Mohd Amin, Larkin, Johor Bahru, hari ini

    “Seramai 14 kanak-kanak dan lima guru yang berada di tadika itu dilaporkan terperangkap dalam banjir. Anggota bomba bertindak memindahkan kesemua mereka ke tempat yang selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

  • Banjir, ribut di Johor:33 mangsa dipindahkan ke tiga PPS

    Banjir, ribut di Johor:33 mangsa dipindahkan ke tiga PPS

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 29 mangsa melibatkan 11 keluarga dari Kampung Sri Bengkal dan Kampung Bintang Peserai, Batu Pahat dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah itu hari ini.

    Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor dalam satu kenyataan memberitahu, semua mangsa dipindahkan ke PPS di Sekolah Agama Seri Bengkal yang dibuka pada pukul 8 pagi dan di Sekolah Kebangsaan (SK) Peserai yang dibuka pukul 12 tengah hari.

    “Mereka dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air. Banjir berlaku akibat hujan lebat beberapa jam bermula pukul 6.30 pagi tadi serta pertembungan air pasang,” menurut APM Johor dalam satu kenyataan, hari ini.

    APM Johor memaklumkan, selain Batu Pahat, beberapa kawasan di daerah ini turut dilanda banjir antaranya di Batu 10, Skudai; Kampung Dato Sulaiman Menteri dan Tabika Kemas di Skudai Kiri.

    Anggota APM membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Sri Bengkal dan Kampung Bintang Peserai, Batu Pahat, hari ini

    Jelasnya, banjir turut melanda Kampung Mohd Amin; Kampung Ubi; Kapung Tiram Duku; Kampung Peladang, Kampung Baru Muafakat; Kampung Pekajang dan Kampung Paya Mengkuang.

    “Tiada mangsa banjir dari Johor Bahru yang dipindahkan kerana kawasan yang dinaiki air telah surut. Namun pemantauan ke tempat kejadian dari masa ke semasa akan dilakukan,” jelas APM Johor.

    Dalam pada itu, APM Johor berkata, ribut berlaku di dua daerah melibatkan Kampung Sungai Naga di Api-Api, Air Baloi dan Parit Haji Omar di Kayu Ara Pasong (Pontian) dan Kampung Parit Jamil, Sabah Awor (Muar).

    Ribut berlaku di melibatkan Kampung Sungai Naga di Api-Api, Air Baloi dan Parit Haji Omar di Kayu Ara Pasong, Pontian, hari ini

    Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Johor dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Baru Muafakat, Gelang Patah.

    Menurut Komander Operasi dari BBP Iskandar Puteri, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Mohd Khairi Zainuddin, pihaknya menerima panggilan menyelamat dan memindahkan satu keluarga di kampung itu pada pukul 8.42 pagi.

    Beliau berkata, seramai 11 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua unitili dan dua bot terlibat dalam operasi itu.

    “Kita memindahkan keluarga itu yang terdiri daripada empat mangsa iaitu masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita dewasa selain seorang kanak-kanak lelaki dan satu bayi.

    “Mereka dipindahkan ke PPS di Dewan Raya Gelang Patah. Setakat ini operasi menyelamatkan mangsa banjir masih berjalan,” katanya.

  • Emak tidak tahu saya boleh melawak-Yassin Senario

    Emak tidak tahu saya boleh melawak-Yassin Senario

    YASSIN Yahya, 44, mendedahkan beliau seorang yang serius berbanding personalitinya sebagai pelawak popular yang dikenali orang ramai.

    Beliau yang dikenali menerusi sitkom Senario berkata, hanya kerjanya sebagai pelawak saja yang membuat orang terhibur sedangkan realiti dirinya sangat berbeza.

    “Di rumah, emak terkejut saya menjadi anggota Senario. Ia memang di luar pengetahuannya. Saya ingat lagi kali pertama episod pembabitan saya dengan Senario ditayangkan. Saya takut nak tengok TV dengan emak, tapi saya nak tengok reaksi dia apabila tonton saya bersama Senario ketika itu.

    “Saya nampak anak matanya waktu tengok cerita Senario. Emak panggil saya dengan panggilan Anje. Dia tanya ini kau ke, sambil tunjuk ke arah TV,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Yassin ditemui di program Fiesta Market Celebrity sempena Pameran Datuk Sudirman Hj Arshad Warisan Sudir: Tribute Kepada Penghibur No 1 Asia di sebuah pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang, di Kuala Lumpur.

    Dalam program itu, seramai 16 selebriti antaranya Syanie, Riezman Khuzaimi, Azan Scan, Norli Tamam, Azlee Khairi dan Yassin membuka gerai menjual produk keperluan bermula kelmarin hingga hari ini.

    Bercerita lanjut, Yassin akhirnya mengaku wajah yang muncul di kaca TV itu adalah dirinya sekali gus membuatkan ibunya terkejut.

    “Emak kata kenapa dalam TV saya kelakar sedangkan kalau di rumah mulut saya macam ada mutiara. Maksudnya di rumah saya pendiam.

    “Saya tak tahu nak jawab apa, tapi saya mengaku saya seorang yang serius melaksanakan sesuatu kerja,” katanya.

  • Tumbuk adik hingga retak tulang marah disindir

    Tumbuk adik hingga retak tulang marah disindir

    GARA-GARA tidak berpuas hati disindir, seorang lelaki tergamak menumbuk muka adiknya itu sehingga retak tulang di bawah mata pada 5 September lalu.

    Kejadian itu berlaku semasa suspek, 27, sedang berbincang dengan ibunya sebelum berselisih faham dengan adiknya, 20, di kediaman mereka di Pandan Perdana di Ampang Jaya.

    Mangsa dipukul sehingga rebah dan pitam sebelum dihantar ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan selepas mengalami kecederaan teruk di muka.

    Doktor yang merawatnya kemudian membuat laporan polis selepas melihat kecederaan teruk dialami mangsa.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, susulan itu, polis mengesan suspek dan menahannya di Skudai, Johor kelmarin.

    “Siasatan mendapati punca kejadian akibat berlaku perselisihan faham antara adik beradik dan suspek direman bagi membantu siasatan.

    “Semakan juga mendapati memiliki tujuh rekod jenayah lampau tidak dikehendaki berkaitan dadah,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

  • PN Johor gesa tangani isu pelajar IPT tinggalkan kampus

    PN Johor gesa tangani isu pelajar IPT tinggalkan kampus

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN digesa segera mencari jalan isu pelajar di di institusi pengajian tinggi (IPT) awam yang dijangka menamatkan pengajian masing-masing akibat dihimpit dengan kos sara hidup dan krisis kewangan individu.

    Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, isu itu serius dan kerajaan perlu mencari jalan segera menangani isu tersebut kerana kekangan kewangan sekali gus tidak mampu membiayai yuran pengajian serta perbelanjaan harian mereka.

    Beliau yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor itu menyifatkan bantuan kewangan mahupun material kepada pelajar terlibat dapat menyelamatkan masa depan dan potensi mereka daripada tercicir atau sia-sia.

    “Bagi PN Johor, membiarkan isu ini berlarutan bakal merugikan negara dari aspek ketirisan bakat dan sumber manusia bahkan kepakaran sekiranya mereka gagal menamatkan pengajian seterusnya masuk ke alam pekerjaan.

    “Kami yakin jumlah sebenar pelajar tercicir mungkin lebih ramai berbanding laporan 30,000 pelajar di universiti awam yang gagal menamatkan pengajian ketika pandemik COVID-19 pada 2020 dan 2021 seperti diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Julai lalu.

    “Secara amnya, pelajar yang terlibat bukan sahaja dari universiti awam bahkan universiti dan pelbagai IPT swasta termasuk kolej universiti, kolej, pusat kemahiran teknikal serta institut latihan vokasional,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Jelasnya, mereka bukan sahaja gagal melunaskan yuran pengajian malah tidak mampu membayar deposit rumah sewa, tiada wang membeli makanan serta gagal membayar sewa bulanan dan kos pengangkutan.

    Menurut beliau, pelajar tersebut dibebani pelbagai kos sara hidup yang tinggi khususnya bagi kampus di Lembah Klang.

    Justeru katanya, PN Johor mendesak KPT memberi perhatian khusus isu itu kerana tindakan kementerian dan universiti jika hanya membuat kajian bagi mengenal pasti puncanya adalah tidak bermakna atau akan menyelesaikan masalah tersebut kecuali jika ada tindakan proaktif.

    PN Johor juga khuatir ramai pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gagal menyambung pengajian ke IPT kerana tidak mampu membayar yuran pendaftaran manakala biasiswa pula lewat diluluskan, katanya.

    “Kita juga tidak dapat membayangkan bagaimana kecewanya ibu bapa serta nasib dan masa depan pelajar tercicir tersebut termasuk mereka yang berada pada tahun akhir pengajian,” ujar Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor itu.

    Dalam isu pelajar IPT keciciran, terpaksa meninggalkan kampus ataupun digantung pengajian ini, beliau berkata, PN bukan berniat mahu memanipulasi atau mengeksploitasi keadaan tetapi harus diberi keutamaan untuk diselesaikan jika diberi mandat menerajui kerajaan sekali lagi selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.

    Beliau menyarankan KPT berunding dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi mencari kaedah pembiayaan segera atau mengambil tanggungjawab membantu kewangan pelajar terlibat memandangkan prestasi institusi itu mengutip bayaran balik kebelakangan ini adalah tinggi.

    “Ketika dipengerusikan Datuk Wan Saiful Wan Jan sebelum ini, PTPTN merekodkan prestasi kutipan bayaran balik yang amat memberangsangkan dan sebahagian dana itu boleh disalurkan kepada pelajar yang memerlukan yang rata-rata adalah Melayu,” ujarnya.

  • Rombongan PM ke New York 30 orang? Berapa kos? PMO mesti jawab – Salahuddin

    Rombongan PM ke New York 30 orang? Berapa kos? PMO mesti jawab – Salahuddin

    KERAJAAN digesa memberi penjelasan berhubung jumlah rombongan yang terlalu ramai mengikut Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke New York.

    Gesaan itu dibuat Timbalan Presiden Parti Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menyifatkan jumlah pegawai dan pemimpin politik UMNO dibawa mengikut PM menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terlalu ramai.

    “Pejabat perdana menteri mesti jawab secara rasmi kos rombongan UMNO ini,” kata Salahuddin dalam ciapan di akaun Twitternya.

    Terdahulu, portal Malaysiakini mendedahkan beberapa nama pemimpin UMNO yang mengikuti PM ke New York.

    Dalam pada itu, pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad memberi sindiran pedas berhubung isu rombongan beberapa pemimpin UMNO yang mengikut rombongan tersebut.

    Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu memuat naik hantaran menyindir kepada rombongan yang bersama Ismail Sabri ke Amerika Syarikat.

    “Takkan mesyuarat War Room UMNO Malaysia diadakan di New York sempena UNGA (Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-77).

    “Tak betullah berita di medsos (media sosial) kononnya Naib Presiden kita, Datuk Seri Khaled Nordin dan SUA (Setiausaha Agung UMNO), Datuk Seri Ahmad Maslan, pergi ke New York.

    “Tahniah kerana meletakkan kerja parti di atas syiok sendiri berada di New York,” katanya dalam hantaran di Facebook, lapor SatuBerita.

    Khaled dan Ahmad sebelum ini dikatakan mengikut Ismail Sabri ke Amerika Syarikat, bagaimanapun dalam hantaran dimuat naik Shahrir menunjukkan kedua-dua mereka menghadiri mesyuarat ‘war room’ di PWTC semalam.

    Malaysiakini menamakan lapan pemimpin UMNO yang mengikut Ismail Sabri, antaranya Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof; Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor dan Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz.

    Keberadaan para pemimpin UMNO itu di bandar raya New York diketahui umum apabila mereka sendiri menguar-uarkannya melalui hantaran di media sosial. Antara pemimpin yang memuat naik gambar masing-masing di Facebook ialah Wan Rosdy, Ab Rauf, dan Jefridin.

    Penyertaan pemimpin UMNO dalam rombongan Ismail Sabri itu mengundang spekulasi kerana ia berlaku ketika pemimpin utama parti berkenaan mendesak Ismail Sabri supaya segera mengadakan pilihan raya umum (PRU).

    Ismail Sabri berada di New York bagi menyampaikan ucaptama di PBB yang berlangsung semalam.

  • Alu-alukan Khairy bertanding di Alor Setar pada PRU-15

    Alu-alukan Khairy bertanding di Alor Setar pada PRU-15

    UMNO Bahagian Alor Setar tiada masalah dan terbuka jika Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin memutuskan untuk bertanding di Parlimen Alor Setar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ketua Bahagiannya, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, pihaknya mengalu-alukan Khairy yang turut dianggap sebagai tokoh dan aset penting masa depan negara malah menjadi kelebihan besar untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali merampas Parlimen berkenaan daripada Pakatan Harapan (PH).

    “Saya ada dengar juga KJ (Khairy) nak mai (mahu datang) bertanding di (Parlimen) Alor Setar dan saya amat mengalukan, perkara yang paling penting adalah UMNO yang bertanding. Siapa calon itu saya sentiasa ‘open’ sebab saya orang meniaga, politik nombor dua, meniaga nombor satu.

    “(Tetapi) kalau ada calon, contohnya macam KJ, (itu memang kelebihan untuk kita sebab) dia aset negara. Kalau dia bersetuju untuk datang bertanding di (Parlimen) Alor Setar, ‘welcome’, kita memang alukan. Jadi kita pun boleh bernaung di bawah payung yang besar,” ujarnya.

    Mohd. Yusof berkata demikian ketika sidang media selepas Program Ramah Mesra dan Jualan Harga Patut peringkat Parlimen Alor Setar di Shahab Perdana semalam.

    Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan telah mengadakan berbincangan dengan Khairy berhubung perkara berkenaan.

    Jelasnya, pelawaan daripada UMNO Alor Setar dibuat memandangkan keluarga Ahli Parlimen Rembau itu juga berasal dari kawasan Parlimen itu.

    Bagaimanapun, menurut beliau, terdapat juga kemungkinan Menteri Kesihatan itu menolak pelawaan berkenaan dan kekal bertanding di Negeri Sembilan.

    “(Saya) ada (berhubung dengan KJ) dan berbincang sedikit sebanyak. Saya (sangat) ‘welcome’, saya kata, ‘boss’ kalau you fikir sesuai, saya setuju sahaja. Saya pun memang menjemput dia, sebab dia pun dengan Kedah bukanlah lari banyak. Emak dia pun orang sini, orang Alor Setar, jadi dia kalau tak ada tempat lain, (boleh bertanding di sini).

    “Tetapi mungkin dia tak mai kot, jauh… Mungkin dia selesa di Negeri Sembilan. Ramai juga bagi dia tawaran sebab dia aset negara dan kita perlukan dia pada masa depan,” ujarnya.

    Terdahulu, selepas mengesahkan tidak akan bertanding di Parlimen Rembau pada PRU-15 untuk memberi laluan kepada Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, Khairy mengakui beliau bimbang memikirkan masa depan kerjaya politiknya.

    Menurut Ahli Parlimen Rembau itu, sehingga sekarang beliau masih belum mempunyai kawasan untuk bertanding dalam PRU yang akan datang.

    Sebelum ini, Khairy secara berseloroh mengatakan akan bertanding di Kedah pada PRU-15 kelak.

    Tambahnya, adalah tidak mustahil untuk perkara itu berlaku kerana ibunya berasal dari Kedah.