Category: Semasa

  • Haramkan tangan undi BN: Hadi kata Annuar lebih tahu salah UMNO

    Haramkan tangan undi BN: Hadi kata Annuar lebih tahu salah UMNO

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Tan Sri Annuar Musa lebih mengetahui keburukan UMNO sehingga beliau ‘mengharamkan tangan’ pengundi di Kelantan memilih Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

    “Banyak yang kita tak tahu dia lebih tahu. Beliau melihat sendiri salah-silap UMNO,” kata Hadi selepas menghadiri program himpunan bicara buat mahasiswa.

    Kelmarin, Annuar yang juga pengerusi Muafakat Nasional (MN) mengingatkan rakyat Kelantan termasuk ahli UMNO di negeri itu ‘mengharamkan tangan’ mengundi calon BN dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN 12 Ogos ini.

    Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu dalam satu program di Kelantan berkata, undi BN di negeri berkenaan ibarat melabur saham kepada DAP.

    Annuar dipecat daripada UMNO pada 8 Dis tahun lalu selepas lantang mengkritik kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi.

    Mengulas dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bahawa plot menangkap dan menjatuhkan kredibilitinya dirancang sejak enam bulan lalu, Hadi secara ringkas berkata Sanusi, lebih mengetahuinya.

    Bagaimanapun, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, populariti Pas dan pengarah pilihan raya PN itu boleh dilihat berdasarkan respons umum.

    “Masyarakat tengok sendiri,” katanya, lapor FMT.

  • Aksi biadab The 1975: Fahmi perlu letak jawatan – Wan Saiful

    Aksi biadab The 1975: Fahmi perlu letak jawatan – Wan Saiful

    MENTERI Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil digesa untuk meletakkan jawatan serta-merta susulan aksi biadab yang dilakukan artis United Kingdom (UK), The 1975 semasa Festival Good Vibes 2023, kelmarin.

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang melakukan gesaan itu menegaskan, ini kerana Fahmi terbukti tidak kompeten menjalankan tanggungjawabnya sebagai menteri.

    Wan Saiful yang juga Ketua Portfolio Komunikasi dan Digital Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menegaskan, Fahmi wajib mengambil tanggungjawab atas aksi luar, lucah dan di luar tabii yang dipamerkan kepada anak muda semasa festival tersebut.

    “Kerajaan juga mesti mengambil tindakan undang-undang yang keras terhadap aksi luar tabii yang dilakukan di khalayak umum.

    “Jangan sekadar batalkan konsert sahaja.

    “Aksi luar tabii yang dipertontonkan kepada anak muda semasa Festival Good Vibes amat jauh bertentangan dengan nilai dan budaya negara kita,” katanya dalam kenyataan.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mendakwa Fahmi dijangka akan meletakkan kesalahan kepada orang lain.

    Beliau mendakwa, penjawat awam dalam agensi kerajaan mungkin akan menjadi mangsa untuk dipersalahkan Fahmi.

    “Menyalahkan orang lain adalah modus operandi biasa kerajaan yang tidak kompeten ini.

    “Sebagai kerajaan, sepatutnya aksi sebegini dihalang daripada berlaku.

    “Bukan sudah terhantuk baru terngadah tetapi kerajaan yang tidak kompeten ini gagal teruk sehingga nilai dan akhlak telah dilupakan,” katanya, lapor Utusan TV.

    Media melaporkan persembahan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 dihentikan selepas vokalisnya, Matt Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.

    Beliau didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

    Sehubungan itu, Fahmi mengarahkan penganjuran Festival Good Vibes 2023 yang sepatutnya berlangsung sehingga hari ini dibatalkan serta-merta.

    Fahmi menegaskan, pendirian kerajaan adalah jelas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.

  • Empat kedai di Terminal Larkin Sentral terbakar

    Empat kedai di Terminal Larkin Sentral terbakar

    SEBANYAK empat unit kedai di tingkat satu Terminal Larkin Sentral, Johor Bahru terbakar, pagi tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.50 pagi dan menjalankan operasi pemadaman dengan kekuatan 30 anggota.

    Beliau berkata kebakaran di premis jenis kekal itu melibatkan dua kedai buku yang musnah 90 peratus, satu kedai minyak wangi (70 peratus) serta satu kedai kosmetik dan herba (10 peratus).

    “Operasi pemadaman sedang dilakukan kerana masih terdapat bara di beberapa kawasan terjejas dan kita mahu memastikan api tidak merebak ke kawasan lain. Kebakaran tidak melibatkan mangsa disebabkan waktu kejadian masih belum ramai orang dan penumpang bas berada di terminal bawah.

    “Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula dari kedai buku, sebelum merebak ke tiga kedai lain dan kebakaran menjejaskan kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan 640 premis perniagaan yang terdapat di terminal ini,“ katanya kepada pemberita di terminal berkenaan.

    Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat.

    Ahmad Mukhlis berkata pihak pengurusan Terminal Larkin Sentral memaklumkan operasi perkhidmatan bas ekspres tidak terjejas dan akan beroperasi seperti biasa, manakala premis yang tidak terlibat dengan kebakaran akan kembali dibuka secara berperingkat.

    “Operasi pemadaman berdepan kesukaran kerana melibatkan kawasan dalam lot kedai, jadi perlu lebih berhati-hati. Ada kawasan terjejas turut melibatkan loteng yang runtuh,“ katanya sambil menambah nilai kerugian masih disiasat.

    Sementara itu, Mohd Hairi berkata kerajaan negeri menerusi Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) akan memberi sumbangan kecemasan berjumlah RM5,000 kepada peniaga yang premis mereka terjejas dalam kebakaran berkenaan bagi mengurangkan beban kerugian.

    “Selain sumbangan kecemasan, kerajaan negeri juga akan cuba bantu mereka yang terlibat menerusi pemberian geran ataupun pinjaman perniagaan. Pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) juga akan datang untuk sama-sama membuat penilaian kos kerugian.

    “Saya ucapkan terima kasih kepada bomba yang dapat mengawal kebakaran dengan pantas agar tidak merebak ke kawasan lain dan juga pihak polis yang berjaya mengawal keadaan di terminal ini daripada menjadi kecoh,“ katanya.

  • DAP terkilan kerusi DUN Dusun Tua diserah kepada BN

    DAP terkilan kerusi DUN Dusun Tua diserah kepada BN

    DAP mengakui sedikit terkilan keputusan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua yang disandang parti itu kepada calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya negeri (PRN) pada Ogos depan.

    Setiausaha Agung parti DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, bagaimanapun pihaknya perlu akur dengan keputusan tersebut kerana telah dimuktamadkan.

    Tambah Menteri Pengangkutan itu, beliau akan bincangkan perkara tersebut dalam Majlis Presiden PH pada Isnin ini.

    “Mungkin ada syarat pertukaran yang akan diletakkan dan sebagainya.

    “Tapi kita tidak puas hati, pimpinan parti dan akar umbi rasa terkilan dengan keputusan tersebut,” jelasnya lapor Sinar Harian.

    Pada Jumaat, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu hanya bertanding di 12 kerusi DUN Selangor bagi menghadapi PRN pada 12 Ogos depan.

    Untuk calon DUN Dusun Tua, BN mempertaruhkan Datuk Johan Abd. Aziz manakala DUN Gombak Setia pula, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerusi DUN Dusun Tua dimenangi oleh Edry Faizal Eddy Yusof dari DAP memperoleh majoriti undi sebanyak 10,422 ketika menentang Mohd. Zin (BN) dan Razaly Hassan (Pas).

  • Penghinaan dilakukan The 1975 berpunca daripada sikap berlembut tanpa sempadan

    Penghinaan dilakukan The 1975 berpunca daripada sikap berlembut tanpa sempadan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PENGHINAAN besar yang dilakukan oleh kumpulan muzik kumpulan rock, The 1975 dalam sebuah konsert baru-baru ini sebenarnya berpunca daripada sikap berlembut tanpa sempadan pihak tertentu hingga menyebabkan negara ini dihina oleh bangsa asing.

    Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, tindakan itu jelas mencemarkan imej Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

    Menurutnya, kumpulan itu sejak dari awal lagi tidak dibenarkan masuk ke negara ini atas apa jua alasannya.

    “Sikap berlembut tanpa sempadan menyebabkan akhirnya negara kita dihina orang asing.

    “Mereka bukan sahaja gagal menghormati pendirian menolak LGBT negara dengan aksi bercumbu sesama jenis di atas pentas bahkan mengeluarkan kenyataan yang merendah-rendahkan prinsip anti-LGBTQ yang diamalkan di negara ini.

    “Malangnya, penghinaan besar ini berlaku di dalam negara ini sendiri. Apakah kita tidak mempunyai maruah untuk dipertahankan?” soalnya.

    Tambahnya, PAS Kedah meletakkan suatu jaminan dengan tegas bahawa tidak akan ada sebarang konsert daripada artis pro-LGBT mahupun sebarang bentuk usaha ke arah menormalisasi ideologi berkenaan di negeri Kedah.

    “Ini adalah prinsip amar ma’ruf nahi munkar yang wajar dipikul bersama oleh seluruh rakyat Kedah insyAllah.

    “Seharusnya semua pihak bertegas dengan gelombang normalisasi LGBT yang masuk dengan pelbagai pintu kerosakan. Keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan negeri Kedah harus dipelihara daripada tercemar dengan budaya songsang yang merosakkan,” katanya.

  • Salahuddin stabil, masih di ICU

    Salahuddin stabil, masih di ICU

    MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub kini stabil walaupun masih agak kritikal di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, kata Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa.

    Katanya, pasukan perubatan sedang memantau rapi kesihatan Salahuddin selepas menjalani pembedahan semalam.

    “Alhamdulillah, pembedahan semalam berjaya. Sama-sama kita doakan kesihatan beliau, insya-Allah sihat seperti sedia kala.

    “Beliau masih berada di unit rawatan rapi (ICU) HSB dan insya-Allah saya juga akan melawat beliau hari ini,” katanya selepas merasmikan Program Madani Afiat & One Hour Malaysia Clean Up peringkat Terengganu di Program Perumahan Rakyat Padang Hiliran, Kuala Terengganu.

    Zaliha bagaimanapun enggan mendedahkan punca pendarahan otak dialami Ahli Parlimen Pulai itu, Utusan Malaysia.

    Semalam, setiausaha akhbar Salahuddin, Syakirin Husnal dalam kenyataan memaklumkan menteri itu dikejarkan ke wad kecemasan kira-kira 10.15 malam Jumaat selepas mengalami mual dan muntah-muntah.

    Katanya, Salahuddin disahkan mengalami pendarahan otak oleh pakar di HSB.

  • PRN: 2,829 pegawai, anggota polis pastikan kelancaran penamaan calon Sabtu ini

    PRN: 2,829 pegawai, anggota polis pastikan kelancaran penamaan calon Sabtu ini

    SERAMAI 2,829 pegawai dan anggota polis Pulau Pinang akan bertugas pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu pada Sabtu ini, bagi memastikan perjalanan proses tersebut lancar dan aman.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua pegawai dan anggota itu akan ditugaskan di 23 pusat penamaan calon yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan tiada elemen yang boleh mencetuskan kegusaran awam berlaku.

    Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak mematuhi peraturan dan arahan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa sepanjang proses penamaan calon itu berlangsung kelak.

    Tambah Kok Chin, polis juga melantik pegawai pemantau PRN di setiap daerah bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan lancar.

    “Selain itu, Ops Cantas juga telah bermula dua hari lalu dan akan berterusan sehingga selesai PRN dan setakat ini tiada tangkapan dibuat.

    “Saya sendiri akan turun padang bersama ketua-ketua jabatan dan ketua polis daerah bagi meninjau kawasan-kawasan yang kita kenal pasti sebagai kawasan panas (hot spot) pada PRN bagi melihat persiapan serta memastikan keselamatan semua,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.

    Dalam pada itu, Kok Chin mengingatkan penyokong parti-parti yang bertanding mematuhi nasihat, peraturan dan arahan yang telah ditetapkan oleh SPR serta polis sepanjang hari penamaan calon berlangsung.

    Ujarnya, calon-calon yang akan bertanding juga perlu mengikuti serta mematuhi SOP ketika proses penamaan calon berlangsung.

    Menurut beliau, perjalanan PRN di negeri itu akan berjalan dengan aman sekiranya semua pihak mematuhi arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

    “Kita juga sedang meneliti sekiranya terdapat keperluan untuk menutup mana-mana jalan ketika proses penamaan calon berlangsung,” katanya.

  • Polis bongkar makmal proses heroin, 2 lelaki ditahan

    Polis bongkar makmal proses heroin, 2 lelaki ditahan

    KEGIATAN satu sindiket mengedar dadah yang menjadikan sebuah rumah sebagai makmal memproses dadah jenis heroin terbongkar selepas dua lelaki ditahan Polis Pulau Pinang di negeri itu dan di Bandar Baharu, Kedah, Jumaat lalu.

    Kedua-dua lelaki tempatan yang juga penganggur berusia 27 dan 30 itu ditahan dalam serbuan berasingan dalam operasi terancang bermula kira-kira pukul 10 malam Jumaat lalu dan berakhir 7 pagi semalam itu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalam operasi itu, polis turut merampas dadah bernilai RM135,250 serta pelbagai peralatan memproses dadah.

    Jelas beliau, kedua-duanya suspek yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau membabitkan dadah serta jenayah itu ditahan di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah restoran di Simpang Ampat, Pulau Pinang.

    Kok Chin menunjukkan dadah dan peralatan memproses bahan terlarang tersebut dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, di Georgetown hari ini

    Ujarnya, ketika pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan dinaiki suspek, polis menjumpai sebanyak 22 bungkusan heroin seberat 10 kilogram (kg) dan syabu (6.25 gram) yang kesemuanya bernilai RM135,250.

    “Susulan penahanan dua suspek itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah tidak berpenghuni dipercayai menjadi makmal memproses dadah di Bandar Baharu, Kedah.

    “Dadah jenis heroin ini dipercayai diproses di rumah terbabit dan dua suspek tersebut kemudian akan mengedarkannya untuk pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.

    Menurut Kok Chin, hasil risikan mendapati sindiket itu bergiat aktif memproses dan mengedar dadah sejak awal tahun ini dan mendapatkan bekalan dadah dari negara jiran sebelum memprosesnya di rumah.

    Katanya, polis kini sedang giat mengesan beberapa lagi ahli sindiket tersebut yang dipercayai turut mempunyai kepakaran memproses heroin yang disyaki masih berada di sekitar Pulau Pinang serta di negeri jiran.

    “Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 28 Julai ini dan kes disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • RM13 juta bukan wang rasuah, CEO MBI Kedah jelaskan perkara sebenar

    RM13 juta bukan wang rasuah, CEO MBI Kedah jelaskan perkara sebenar

    Oleh BADLISHAH MAT

    KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah, Muhamad Sobri Osman menafikan tuduhan RM13 juta yang dikaitkan dalam penangkapannya sebagai hasil rasuah dan salah guna kuasa berkaitan unsur nadir bumi (REE).

    Beliau menegaskan nilai tersebut adalah pelaburan yang dibuat oleh pengurusan MBI terdahulu, malah pihaknya sedang berusaha mendapatkan kembali wang berkenaan.

    Muhamad Sobri berkata, beliau diamanahkan untuk menjaga perbadanan tersebut bagi membantu melonjak ekonomi negeri.

    “Negeri kita miskin, saya mencari sumber baharu kepada Kedah, saya bekerja bersungguh-sungguh dan kita menemui REE,” katanya ketika berucap pada Ceramah Gelombang Perikatan Nasional (PN) di Padang Awam Kuala Ketil di Baling, malam tadi.

    Rabu lalu, Muhamad Sobri dan seorang pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terbabit salah guna kuasa dalam sektor perlombongan membabitkan nilai RM13 juta.

    Beliau menjelaskan telah terlibat secara langsung dalam urusan REE termasuk berusaha mendapatkan prosedur operasi standard (SOP) daripada kementerian berkaitan sejak tiga tahun lalu.

    “Saya tak berhenti jumpa Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk kita dapat kelulusan tapi tak berhasil.

    “Malangnya ada orang datang mencuri (REE) dan pencuri sudah ditangkap serta didakwa. Tiba-tiba dikaitkan kita mencuri dan Menteri Besar kononnya melindungi kita dan bukti yang dikemukakan adalah surat PTG kepada MBI Kedah,” katanya.

    Katanya, ketika menerima surat daripada PTG berkaitan kompaun dikenakan, beliau berjumpa pengarah jabatan itu agar tidak diletakkan nama MBI kerana ia akan mencemarkan nama baik MBI dan Menteri Besar.

    Bagaimanapun, perkara itu tidak boleh dilakukan memandangkan MBI Kedah merupakan pemegang lesen sah kawasan ladang hutan yang berlaku kecurian.

    “Perkara ini sudah dijelaskan Menteri Besar, namun enggan diterima pihak yang mendakwa berlaku rasuah dalam MBI. Saya tanya Pengurus Kewangan MBI yang disoal SPRM mengenai RM13 juta, dia kata tak tahu, (pegawai SPRM) yang temubual pun tak tahu nak ambil keterangan apa,” katanya.

    Muhamad Sobri turut memaklumkan, semua kelulusan yang diberikan oleh MBI Kedah kepada syarikat yang meneroka REE di Bukit Enggang, Sik tidak mempunyai kaitan dalam urusan politik atau parti.

    “Dalam kes ini cuba dikaitkan dengan kelulusan yang diberikan saya kepada syarikat tertentu yang mana syarikat ini ada beri sumbangan dana politik kepada Pas. Mereka nak beri sumbangan saya kata jangan bagi di pejabat, nak bagi pergi ke pejabat parti, jangan campur aduk urusan politik dan pentadbiran.

    “Maka mereka bawa duit dan cuba beri di Kompleks Pas sejumlah RM1 juta, bukan beri kepada saya tapi parti yang terima,” katanya.

    Bagaimanapun Muhamad Sobri menjelaskan, wang tersebut dipulangkan semula oleh pimpinan kerana setelah diteliti ianya dikhuatiri membahayakan pihaknya.

    “Takut dijadikan alasan kita meluluskan sesuatu sedangkan tak ada kaitan, maka parti memutuskan pulangkan sumbangan tadi. Jadi bagaimana nak dikaitkan dengan kelulusan yang diberikan dengan sumbangan yang dipulangkan balik berkenaan,” katanya.

  • JBPM jalankan siasatan dalaman nahas helikoper ketika belum terbang

    JBPM jalankan siasatan dalaman nahas helikoper ketika belum terbang

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung nahas melibatkan helikopter miliknya di Subang semalam.

    JBPM dalam satu kenyataan memberitahu, Bahagian Pengurusan Korporatnya, Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian yang berlaku ketika helikopter masih belum memulakan penerbangan.

    Jelas JBPM, pihaknya akan mengambil tindakan susulan selaras dengan dapatan serta arahan dan prosedur semasa yang berkuat kuasa.

    Menurut kenyataan itu, helikopter berkenaan menjalani pengujian enjin dan sistem pesawat yang merupakan prosedur biasa yang dilaksanakan setelah pesawat menjalani penyelenggaraan berkala, pada 11.40 pagi.

    “Setelah beberapa ketika pesawat berada dalam pengujian tersebut, berlaku kemalangan ke atas pesawat yang mana pada ketika itu ia masih belum membuat penerbangan.

    “Keadaan cuaca semasa kejadian dilaporkan mendung, tanpa sebarang halangan di tempat kejadian,” menurut kenyataan itu hari ini.

    Semalam, media melaporkan tiga pegawai JBPM dan empat jurutera selenggara terlibat dalam nahas helikopter di Dispersal Universiti Kuala Lumpur, Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (kawasan apron UniKL MIAT) Hangar dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

    Nahas pada 11.45 pagi itu melibatkan helikopter model Agusta AW189 milik JBPM dengan nombor pendaftaran 9M-BOF yang ketika kejadian sedang menjalani ujian penerbangan.

    JBPM berkata, pesawat terbabit dikendalikan oleh Komander Pesawat, Timbalan Penguasa Bomba II Hasrizal Kamaruzzaman.

    Beliau dibantu Penolong Kanan Penguasa Bomba Che Muhammad Azlan Che Mohammad (juruterbang) dan seorang Air Quartermaster, Pegawai Kanan Bomba I Fua’ad Jamaluddin.

    Selain itu, empat kru senggaraan daripada Syarikat Galaxy Aerospace Sdn Bhd turut berada di dalam pesawat iaitu ketua jurutera Muhammad Mohd. Taib, jurutera avionik Ahmad Zhafri Mohd. Nor dan dua pelatih, masing-masing Mohammad Zhafir Mohammad dan Ryan Xavier Julius.

    “Kesemua anak kapal dan kru senggaraan yang terlibat mendapat rawatan dan pemeriksaan awal di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

    “Mangsa dilaporkan tidak mengalami apa-apa kecederaan kecuali seorang kru senggaraan yang mengadu sakit pinggang dan diarah membuat pemeriksaan lanjut di klinik kesihatan berhampiran.

    “Setelah pemeriksaan rapi dibuat, beliau dibenarkan pulang dan dilaporkan dalam keadaan selamat,” katanya, lapor Astro Awani.