Category: Semasa

  • Merayau di hospital minta duit kononnya bayaran bil isteri bersalin

    Merayau di hospital minta duit kononnya bayaran bil isteri bersalin

    MODUS operandi yang digunakan adalah ingin membayar bil isteri bersalin dengan mensasarkan hospital dan klinik di bandar ini untuk mendapatkan wang.

    Taktik itu didakwa digunakan seorang lelaki berusia sekitar 30-an yang menghampiri mangsa berbekalkan wajah sedih dan menangis sambil memberitahu tiada wang atau kewangan tidak mencukupi untuk membayar kos rawatan isteri yang bersalin.

    Difahamkan taktik itu dilakukan sejak beberapa bulan lalu dan sudah ramai yang menjadi mangsa termasuk seorang pengusaha butik pengantin, Siti Nurul Salsabila Mohd. Zaki, 27.

    Siti Nurul Salsabila mendakwa, kejadian itu menimpa adik lelakinya di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM), Kubang Kerian, Kelantan, dua minggu lalu.

    “Ketika itu kami sedang menunggu adik ipar bersalin dan didatangi lelaki terbabit yang ingin bercakap secara bersendirian dengan adik lelaki di satu penjuru.

    “Berasa tidak sedap hati, saya menghampiri mereka beberapa minit kemudian dan saya melihat adik sedang memegang telefon bimbit dan baru selesai memindahkan wang sebanyak RM190.

    “Sambil menangis, lelaki itu memberitahu dia tidak cukup wang untuk membayar bil isterinya bersalin dan berjanji akan membayar semula petang keesokan harinya,” katanya, lapor Harian Metro.

    Siti Nurul Salsabila berkata, mereka cuba menghubungi lelaki itu keesokan hari, namun gagal.

    Menyedari ditipu mereka membuat laporan di balai polis sebelum pihak polis memaklumkan sudah ramai yang terkena dengan lelaki berkenaan.

    Dia bertindak memuat naik hantaran bersama salinan laporan polis serta gambar lelaki itu di Facebook miliknya dengan tujuan mendapat makluman daripada sesiapa yang mengenali namun tidak menyangka menerima banyak komen termasuk daripada beberapa mangsa.

    “Sekurang-kurangnya hantaran saya itu dapat membantu orang lain berhati-hati agar tidak ditipu dan mengelakkan daripada membantu orang yang salah,” katanya.

    Komen turut diterima seorang suri rumah yang enggan dikenali memberitahu suaminya dihampiri lelaki yang sama ketika baru selesai mengambil wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di perkarangan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dua bulan lalu.

    “Lelaki itu merayu agar dibantu kerana ingin menjelaskan bil bersalin isterinya berjumlah RM140 tapi suami tidak memberi kerana wang yang dikeluarkan cukup-cukup untuk perbelanjaan sendiri.

    “Tidak lama selepas itu saya mendapat tahu lelaki itu sudah lama menjalankan kerja mencari wang dengan cara mudah di hospital dan ramai yang sudah menjadi mangsa,” katanya.

  • Polis tahan bapa pukul, tumbuk anak kembar

    Polis tahan bapa pukul, tumbuk anak kembar

    POLIS menahan seorang lelaki yang memukul dan menumbuk dua anak kembarnya di kediamannya di Klang, semalam.

    Lelaki itu ditahan selepas isterinya yang juga ibu mangsa mendakwa dua anak lelakinya yang juga pasangan kembar berusia 11 tahun telah dipukul, ditampar dan ditumbuk di bahagian muka serta badan oleh suspek pada 20 September lalu.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dalam kejadian pukul 7 malam itu, ibu mangsa turut dipukul selepas cuba menghalang tindakan suaminya itu.

    “Susulan itu, ibu mangsa telah membuat laporan Balai Polis Klang semalam.

    “Bertindak atas maklumat, pada hari yang sama pukul 7.30 malam, sepasukan polis dari Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan telah menahan suspek berusia 44 tahun di kediamannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, semakan mendapati suspek iaitu bapa kepada lima anak itu mempunyai tiga rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah.

    Katanya, motif kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan kanak-kanak itu yang didakwa sering keluar merayau dan pulang lewat ke rumah.

    “Suspek juga dikatakan adalah seorang yang panas baran,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    “Terdapat kesan kecederaan lama ditemui di badan kedua-dua mangsa dipercayai akibat dipukul oleh suspek, namun tiada sebarang rawatan atau laporan polis dibuat berkenaan kejadian tersebut sebelum ini,” ujarnya.

    Tambah Hoong Fong, suspek yang juga bekerja sebagai pemandu lori itu kini direman empat hari sehingga Jumaat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi kesalahan penderaan terhadap kanak-kanak,” tegasnya.

  • Pelajar dikecam warganet rupanya remaja lembam

    Pelajar dikecam warganet rupanya remaja lembam

    SEORANG pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Besut, Terengganu yang dirakam hanya melihat dan tidak membantu bapanya yang terjatuh dari motosikal sehingga dikecam warganet dalam satu video tular baru-baru ini sebenarnya adalah remaja lembam.

    Video yang dimuat naik pengguna dikenali sebagai jai-99 di Tiktok itu menunjukkan seorang lelaki menghantar anak perempuannya di sekolah berkenaan dengan menaiki sebuah motosikal.

    Ketika mahu turun dari motosikal berkenaan, lelaki itu tiba-tiba terjatuh. Anaknya yang berada berhampiran dilihat terpinga-pinga dan tidak melakukan apa-apa sebelum seorang lelaki datang membantu.

    Bagaimanpun, tindakan pelajar itu menyebabkan dia menjadi mangsa kecaman warganet dan ada pula yang menuduh dia malu kerana bapanya hanya memiliki motosikal.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah dalam satu kenyataan menjelaskan, pelajar itu sebenarnya lembam dan juga tidak boleh membaca.

    “Mohon panjangkan perkara ini kepada pemilik TikTok ini untuk segera padamkan video ini dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga berkenaan. Ia amat mengguris hati kami.

    “Pelajar kita ini pelajar lembam dan lambat bertindak balas bila disuruh serta tak boleh membaca pun. Kasihan pelajar ini semua komen mengutuk kononnya malu dengan ayahnya,” kata kenyataan itu.

  • Bukan amalan pegawai berurusan terus dengan PM: Saksi

    Bukan amalan pegawai berurusan terus dengan PM: Saksi

    SAKSI pendakwaan ke-26 memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa, bukan menjadi amalan pegawai berurusan terus dengan Perdana Menteri biarpun mempunyai kebimbangan dalam projek usaha sama 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan Aabar Investment BVI Co.

    Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd. Desa berkata demikian selepas ditanya oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kertas cadangan projek tersebut.

    “Kertas cadangan bagi projek ini dilakukan secara tergesa-gesa,” kata Siti Zauyah, 63, ketika pemeriksaan balas dalam prosiding kes rasuah RM2.3 bilion dana 1MDB dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

    Bukan itu sahaja, kertas cadangan mengenai aliran tunai bagi projek itu tidak dilakukan secara usaha wajar.

    “Itu pertama kali tiada unjuran aliran tunai dibuat sedangkan ia sangat penting untuk meneliti sama ada pelaburan ini boleh menghasilkan keuntungan untuk membayar balik pinjaman,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Meskipun merasa bimbang dengan isu tersebut, beliau tidak pernah menyuarakan perkara itu kepada Najib.

    Ini kerana, ketika kejadian beliau yang bertugas sebagai Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA) Kementerian Kewangan mengakui mempunyai maklumat 1MDB yang sangat terhad.

    Menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, saksi ini berkata, selaku pegawai kanan kementerian kewangan, seseorang kakitangan tidak boleh melangkau pegawai atasannya dengan mengadu secara terus kepada Perdana Menteri.

    Sri Ram: Mengapa Datuk tidak mengadu terus kepada Najib mengenai tindakan 1MDB yang memaklumkan hanya berurusan dengan perdana menteri berhubung operasi dan hal ehwal syarikat?

    Siti Zauyah: Saya telah membangkitkan perkara itu kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, tetapi beliau beritahu tidak mahu terbabit.

    Sri Ram: Sebelum ini datuk ada beritahu bahawa Ketua Setiausaha Perbendaharaan, ketika itu, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah mengenai keperluan mendapatkan butiran lanjut daripada 1MDB.

    Siti Zauyah: Saya diarahkan supaya proses sahaja (kertas cadangan bagi surat sokongan).

    Sri Ram: Apa yang Datuk rasa, selepas Mohd. Irwan kata perkara itu mustahak dan ia merupakan arahan Perdana Menteri.

    Siti Zauyah: Saya anggap ia sebagai satu arahan.

    Dalam keterangan sebelum ini, saksi itu memberitahu mahkamah, 1MDB perlu mendapatkan surat sokongan daripada kerajaan untuk mengumpul dana AS$3 bilion bagi tujuan projek usaha sama dengan dengan Aabar Investment BVI Co.

    Katanya, kertas cadangan mengenai keperluan 1MDB untuk mendapatkan surat sokongan disediakan oleh Kementerian Kewangan dan dibentangkan di Kabinet sebelum diluluskan Jemaah Menteri.

    Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung lagi.

  • Wanita kongsi tangkap layar perbualan Ebit Lew, gambar lucah – Saksi

    Wanita kongsi tangkap layar perbualan Ebit Lew, gambar lucah – Saksi

    PERBICARAAN kes Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, bermula hari ini dengan Mahkamah Majistret Tenom dekat Sabah mendengar keterangan pakar motivasi yang membantu seorang mangsa gangguan seksual membabitkan pendakwah selebriti itu.

    Mohd Fairuz Abu, 37, memberitahu mahkamah bahawa seorang wanita yang menggunakan nama samaran menghubunginya melalui aplikasi WhatsApp selepas beliau memuat naik hantaran mengenai seorang pendakwah terlibat dalam kes gangguan seksual di laman sosial Facebook pada 26 Julai tahun lepas.

    “Pada awalnya, beliau tidak memperkenalkan diri dan menyebut namanya. Beliau bertanya siapa individu yang saya maksudkan dalam hantaran itu.

    “Apabila saya sebut hantaran itu berkaitan Ebit Lew maka wanita tersebut terus berkongsi tangkap layar perbualan Ebit Lew dengannya dan juga gambar lucah yang diberi oleh Ebit melalui WhatsApp,” katanya di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria.

    Saksi itu berkata beliau turut menghantar tangkap layar yang dikongsi mangsa kepada individu bernama Firdaus Wong yang sedang mengendalikan kes sama membabitkan tertuduh dan wanita lain.

    Ketika ditanya Zahida tindakan selepas menghantar tangkap layar itu kepada Wong, Mohd Fairuz berkata pada 27 Julai tahun lepas, beliau menghubungi wanita tersebut menerusi panggilan telefon untuk mendengar kronologi penuh gangguan terhadapnya.

    “Pada awalnya, beliau takut-takut dan berasa tidak selamat untuk berkongsi namun selepas saya menenangkannya, barulah beliau kongsikan dari A-Z (daripada awal hingga akhir).

    “Saya mencadangkan kepada wanita itu untuk membuat laporan polis tetapi beliau takut dan berkata ‘saya ni orang kecil saja. Ebit Lew orang besar. Jadi saya tak nak buat laporan,” katanya.

    Mohd Fairuz berkata wanita itu kemudian meminta tempoh untuk berbincang dengan suaminya sebelum membuat laporan polis pada 7 Ogos tahun lepas.

    Saksi itu berkata beliau pernah bertemu secara peribadi dan mampu mengecam wanita tersebut yang hadir di mahkamah dengan kawalan ketat.

    Mohd Fairuz turut mengecam Lew.

    Pendakwah selebriti itu berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lepas. 

    Lew, 37, didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.- BERNAMA

  • PN adakan ‘Jelajah Prihatin’ di seluruh negara

    PN adakan ‘Jelajah Prihatin’ di seluruh negara

    PERIKATAN Nasional akan mengadakan program ‘Jelajah Prihatin’ di seluruh negara dalam masa terdekat.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program itu akan melibatkan semua pemimpin gabungan berkenaan.

    Menurutnya, perkara itu antara yang dipersetujuinya dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu pertemuan malam tadi.

    “Kita (PN) bersetuju utk mengadakan program Jelajah Prihatin di seluruh negara dengan membabitkan semua pemimpin PN

    “Program ini maksudnya. Kita turun ke bawah dan menyampaikan pandangan, harapan dan apa yang kita buat sebagai parti kalau kita membentuk kerajaan,” katanya pada sidang media hari ini.

    Pertemuan selama dua jam di kediaman Muhyiddin itu turut dihadiri Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin manakala Pas turut disertai Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Mengulas mengenai pertemuan itu, Muhyiddin berkata, Bersatu dan Pas juga setuju untuk segera memuktamadkan pengagihan kerusi bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

    Katanya, Pas akan diwakili Ahmad Shamsuri manakala Bersatu diwakili Ahmad Faizal.

    “Jadi ia akan disegerakan, maknanya sudah sampai peringkat pembahagian kerusi,” tambahnya.

  • 45 PATI warga Bangladesh, Myanmar diberkas

    45 PATI warga Bangladesh, Myanmar diberkas

    JABATAN Imigresen Pulau Pinang menahan seramai 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) atas pelbagai kesalahan dalam serbuan di sebuah kilang membuat plastik dan kotak di Juru hari ini.

    Dalam operasi yang turut disertai Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Shah Inor Shahbudin itu, terdapat beberapa PATI cuba melarikan diri ke dalam semak namun berjaya diberkas anggota penguat kuasa.

    Menurut Shah Inor, kesemua PATI yang ditahan termasuk beberapa wanita berusia antara 20 hingga 35 tahun itu merupakan pekerja warga asing dari Myanmar dan Bangladesh.

    Katanya, mereka yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, menyalahgunakan pas lawatan, tinggal lebih masa dan sebagainya.

    Sehubungan itu jelas beliau, kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

    “Sasatan lanjut mendapati ada dalam kalangan PATI ini telah bekerja di kilang itu sejak tiga tahun lalu, manakala sebahagian yang lain baru bekerja antara tiga bulan lalu,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu hari ini.

    Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan PATI berkenaan masuk ke negara ini melalui ‘jalan tikus’ memandangkan mereka tidak dapat memberi jawapan tepat berkenaan cara mereka masuk ke negara ini.

    Ujarnya, kesemua tahanan itu dihantar ke Pusat Tahanan Ibu Pejabat Imigresen Pulau Pinang di Seberang Jaya untuk siasatan lanjut.

    Dalam masa sama, beliau menjelaskan, majikan yang menggajikan pekerja asing itu juga akan disiasat dan dikenakan tindakan sekiranya gagal menyediakan kesemua dokumen berkaitan pengambilan pekerja berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan.

  • Kes Syed Saddiq: Pendakwaan selesai kemuka kes, hujahan 6 Okt ini

    Kes Syed Saddiq: Pendakwaan selesai kemuka kes, hujahan 6 Okt ini

    PIHAK pendakwaan dalam perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini selesai mengemukakan kes selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya menutup kes selepas tiga pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Mohd Syahmeizy Sulong, Nurul Hidayah Kamarudin dan Asbi Munip yang dipanggil semula untuk disoal balas pasukan pembelaan selesai memberi keterangan.

    “Pendakwaan menawarkan 13 saksi kepada pihak pembelaan,” kata Wan Shaharuddin yang mengetuai pasukan pendakwaan.

    Antara 13 saksi itu ialah Pegawai Forensik SPRM Moses Lawrence dan Wan Zulkifli Wan Jusoh, rakan-rakan Syed Saddiq iaitu Mohamed Amshar Aziz, Nurali Nadzwan dan Muhammad Suhaimi Yahya.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid kemudian memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis pada Jumaat atau selewat-lewatnya Isnin depan.

    Mahkamah Tinggi itu turut menetapkan 6 dan 7 Okt ini untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan, sebelum memutuskan sama ada Syed Saddiq dibebaskan daripada pertuduhan itu atau diperintahkan untuk membela diri.

    Pada perbicaraan kes itu yang bermula 21 Jun lalu, pihak pendakwaan telah memanggil 30 saksi antaranya ibu dan bapa Syed Saddiq, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff serta bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Rafiq Hakim Razali.

    Pada prosiding hari ini, Syed Saddiq diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Haijan Omar.

    Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

    Ahli Parlimen Muar itu juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

  • Reman bapa dera anak kandung disambung

    Reman bapa dera anak kandung disambung

    Oleh BADLISHAH MAT

    REMAN seorang pekerja kilang yang disyaki mendera anak kandungnya di Taman Desa Jaya, Sungai Petani di Kedah yang berusia tujuh tahun disambung selama lima hari bermula esok hingga 2 Oktober ini.

    Perintah sambung reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Fadzlina Musa hari ini sebaik lelaki terbabit di bawa ke mahkamah dari lokap polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

    Suspek berusia 29 tahun sebelum ini telah direman selama enam hari yang berakhir hari ini selepas dia ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, proses sambung reman itu dilakukan bagi membolehkan pihaknya melengkapkan siasatan terhadap kes terbabit.

    Pada Khamis lalu, media melaporkan seorang murid darjah satu cedera di badan, muka, siku, telinga dan bibir disyaki menjadi mangsa dera bapa kandungnya di Taman Desa Jaya, di sini sejak Julai lalu.

    Perkara itu terbongkar apabila disedari oleh guru di sekolahnya termasuk tindakan mangsa memakai jaket ketika dalam kelas.

    Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan pemeriksaan perubatan di badan mangsa mendapati dia menjadi mangsa dera dan kini ditempatkan diwad untuk rawatan susulan.

    Polis kemudian menahan bapa kandung mangsa dan hasil siasatan lelaki itu mengaku memukul anaknya menggunakan rotan, batang penyapu dan senduk plastik sejak dua bulan lalu dengan alasan dia terpaksa bertindak demikian kerana anaknya didakwa degil dan hiperaktif.

    Mangsa yang merupakan anak tunggal itu sebelum ini dijaga neneknya di Tanjung Dawai tetapi dibawa tinggal bersama bapanya dan ibu tiri sejak setahun lalu serta bersekolah di Pekan Lama, di Sungai Petani.

  • Bajet 2023: KPWKM harap 30 peratus peningkatan peruntukan – Rina

    Bajet 2023: KPWKM harap 30 peratus peningkatan peruntukan – Rina

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berharap terdapat peningkatan peruntukan sekurang-kurangnya 30 peratus bagi kementerian itu menerusi Belanjawan 2023, kata Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun.

    Beliau berkata ini kerana bagi Belanjawan 2023, negara sedang berada dalam fasa pemulihan ekonomi, justeru KPWKM perlu diberi ruang terutama bagi usaha memperkasa golongan wanita dalam pelbagai bidang.

    “Kita harap ada peningkatan (Bajet 2023 untuk KPWKM). Memang, saya gesa setiap kali jumpa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mengenai bajet ini kerana jika diberi peluang saksama kepada wanita maka sekali gus dapat membantu keluarga mereka serta ekonomi negara.

    “Malah ada menurut kajian dibuat mendapati sekiranya ada banyak penglibatan wanita (dalam sektor ekonomi) turut akan dapat meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis prapelancaran Sidang Kemuncak Kepemimpinan Wanita Dunia 2023 (WWLS 2023), hari ini.

    Pada Bajet 2022, KPWKM menerima peruntukan sebanyak RM2.682 bilion dengan peningkatan 4.56 peratus berbanding tahun sebelumnya.

    Selain itu, Rina berkata antara cadangan yang dibawa kepada kerajaan adalah untuk memperkasa Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021 (AGS 2021) dengan aspek pelaksanaannya dapat diadakan secepat mungkin.

    “…dan ia juga bergantung kepada peruntukan bajet dan sebagainya,” katanya dan menambah kementeriannya juga bercadang untuk meneruskan program Wanita Bangkit@KPWKM menerusi bajet berkenaan.

    Beliau turut berharap supaya usaha memperkasa wanita menerusi Bajet 2023 bukan sahaja dipertingkat menerusi KPWKM tetapi juga kementerian lain yang juga mahu membantu golongan itu dengan program berkaitan wanita.

    Bajet 2023 akan dibentang 7 Okt ini.

    Sementara itu, mengulas WWLS 2023 yang akan berlangsung pada 2 dan 3 Mac tahun depan, Rina berkata program anjuran KPWKM bersama Women Leadership Foundation (WLF) itu merupakan platform untuk menyatukan para pemimpin wanita dari seluruh dunia, buat julung kalinya.

    Beliau berkata persidangan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu, akan membincangkan peranan dan kepimpinan wanita dalam isu kesihatan, sains dan teknologi, pendidikan, perniagaan, kewangan, pentadbiran dan alam sekitar.

    “Bertemakan ‘New Norms, Fresh Hopes, Big Dreams’ ia bertepatan dengan fokus negara dan selari dengan hasrat Keluarga Malaysia dalam menunjukkan semangat serta agenda untuk wanita bangkit selepas pandemik COVID-19, khususnya memartabatkan peranan wanita dalam menerajui kepimpinan keluarga dan juga dalam komuniti,” katanya.