Category: Semasa

  • Anwar: Berehatlah sahabatku

    Anwar: Berehatlah sahabatku

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat terkesan dengan pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub sebentar tadi.

    Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai ‘seorang sahabat yang setia’.

    “Secara peribadi, ianya satu kehilangan besar buat diri saya dan keluarga, dan saudara Salahuddin teguh bersama dalam perjuangan yang panjang ini sehingga ke akhir hayat. Jasa dan budinya tentunya tidak termampu dibalas secara materi.

    “Beliau dikenali kerana punyai sikap keperibadian yang tinggi, sama ada kepada kawan mahupun lawan. Sosok yang kuat bekerja dan sangat taat pada amanah dan tanggungjawab.

    “Berehatlah, sahabatku.

    “Semoga Allah SWT memberi kesabaran yang tinggi buat keluargamu, mengampunkan segala dosamu dan semoga saudaraku Salahuddin diberikan tempat yang istimewa di sisi-Nya, Insya-Allah,” katanya dalam balas segera menerusi media sosial, lapor Malaysiakini.

    Terdahulu, anak kepada Allahyarham Timbalan Presiden Amanah itu, Fatihah Salahuddin mengumumkan bapanya telah menghadap Ilahi pada pukul 9.23 malam, 23 Julai 2023.

  • Salahuddin Ayub meninggal dunia

    Salahuddin Ayub meninggal dunia

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebentar tadi.

    Berita mengenai pemergian Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu disahkan anaknya, Fatihah Salahuddin di laman media sosial, Facebook.

    “Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub telah menghadap ilahi pada 9.23 malam, 23 Julai 2023,” katanya.

    Semalam Salahuddin menjalani pembedahan selepas dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

    Terdahulu beliau dilaporkan mengadu tidak sihat serta mengalami muntah-muntah ketika berada di Alor Setar malam kelmarin atas urusan kerja.

    Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Menteri KPDN, Syakirin Husnal berkata, jenazah sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah ibu Allahyarham di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian.

    Katanya, pihak Pejabat Menteri KPDN akan memberikan maklumat lanjut mengenai proses pengurusan jenazah dalam masa terdekat.

    “Sehubungan dengan itu, pihak keluarga Allahyarham ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak atas doa dan ingatan yang diberikan terhadap Allahyarham selama ini.

    “Keluarga Allahyarham juga ingin berterima kasih kepada semua doktor dan petugas di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama orang yang beriman,” katanya.

  • Salahuddin masih dirawat, berita kematian tidak benar

    Salahuddin masih dirawat, berita kematian tidak benar

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar malam ini.

    Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, beliau baru sahaja melawat Salahuddin dan diberikan perkembangan terkini oleh doktor berkaitan keadaan Ahli Parlimen Pulai itu sebentar tadi.

    “Kita bagi ruang kepada keluarganya, nampaknya keadaan beliau stabil dan kita mohon semua doakan yang terbaik kepada beliau agar diberikan kesembuhan.

    “Ketika ini doktor masih merawat beliau secara rapi,” katanya kepada pemberita di lobi HSB, sebentar tadi.

    Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Menteri KPDN, Syakirin Husnal meminta semua pihak berhenti menyebar dan mempercayai khabar angin kononnya Salahuddin sudah meninggal dunia.

    “Keadaan terkini beliau dilaporkan masih bernafas dan jantungnya masih berfungsi. Beliau masih dirawat di ICU HSB,” katanya.

    Tambah beliau, sebarang perkembangan terkini hanya akan dikeluarkan oleh pihaknya sahaja.

    Semalam, Salahuddin menjalani pembedahan selepas dimasukkan ke hospital berkenaan akibat pendarahan otak.

    Beliau sebelum itu mengadu tidak sihat serta mengalami muntah-muntah.

  • Berita kematian Salahuddin tidak benar – SUA

    Berita kematian Salahuddin tidak benar – SUA

    BERITA yang tersebar di media sosial berhubung kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub adalah palsu.

    Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Akhbar beliau, Nur Syakirin Husnal ‘Az’ Hari kepada media.

    “Berhenti menyebarkan dan mempercayai khabar angin.

    “Datuk Seri Salahuddin Ayub masih bernafas. Jantungnya masih berfungsi. Beliau kini berada di unit rawatan rapi (ICU),” katanya menerusi kenyataan ringkas hari ini, lapor Sinar Harian.

    Dalam mesej setakat pukul 8.46 malam itu, Nur Syakirin berkata, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan.

    Khabar kematian Salahuddin mula ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam media sosial pada Ahad ini.

    Media melaporkan, Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan HSB sekitar pukul 10.15 malam Sabtu setelah mengalami mual dan muntah-muntah.

    Beliau disahkan mengalami pendarahan otak sebelum menjalani pembedahan semalam.

  • Dr. Zaliha, Mohamad Sabu lawat Salahuddin

    Dr. Zaliha, Mohamad Sabu lawat Salahuddin

    MENTERI Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa melawat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar hari ini.

    Beliau dilihat hadir lebih kurang pukul 8.11 malam di pekarangan hospital disambut oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Datuk Dr. Othman Warijo.

    Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pula tiba sambil diiringi Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh pada pukul 8.50 malam.

    Difahamkan, beberapa pimpinan dari Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka hadir termasuklah Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.

    Hari ini Sinar Harian melaporkan anak perempuan kepada Salahuddin, Siti Fatihah memohon agar ruang diberikan kepada pihak keluarga sahaja untuk melawat bapanya.

    Siti Fatihah berkata, perkara itu adalah atas nasihat doktor dan permintaan ahli keluarga, sekali gus menghargai segala sokongan dan doa.

    Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan HSB pukul 10.15 malam Jumaat dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah, sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.

    Salahuddin juga telah selamat menjalani pembedahan pagi semalam dan berada dalam keadaan stabil di HSB.

  • PRN: Tengku Zafrul digesa letak jawatan Bendahari UMNO, BN Selangor

    PRN: Tengku Zafrul digesa letak jawatan Bendahari UMNO, BN Selangor

    AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz digesa melepaskan jawatan sebagai Bendahari UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor setelah tidak tersenarai sebagai calon parti itu menjelang pilihan raya negeri (PRN).

    Ketua Pemuda UMNO Kota Raja, Mohd. Zaffarollah Mohd. Nordin berkata, tidak wajar Tengku Zafrul terus memegang jawatan utama parti sedangkan telah disisihkan daripada keputusan penting.

    Dakwanya, Tengku Zafrul juga tidak dilibatkan dalam rundingan kerusi dan strategi parti di peringkat negeri.

    “Pemuda UMNO Kota Raja berharap Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Zafrul dapat melepaskan jawatan Bendahari UMNO dan BN Selangor.

    “Memegang jawatan tetapi disisihkan daripada keputusan penting menunjukkan pelantikan sebagai bendahari sekadar kosmetik semata-mata tanpa tanggungjawab yang signifikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Zaffarollah berkata, walaupun kecewa Tengku Zafrul tidak dicalonkan pihaknya akan membantu Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi kerusi di kawasan itu.

    “Walaupun kecewa dengan keputusan parti tidak mencalonkan Tengku Zafrul dalam PRN kali ini, kami di Pemuda UMNO akan tetap membantu calon-calon PH yang bertanding di Kota Raja,” katanya lapor Sinar Harian.

    Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akur apabila nama beliau tidak tersenarai sebagai calon dalam PRN Selangor.

  • Ular gergasi di Elmina?

    Ular gergasi di Elmina?

    SEEKOR ular dipercayai ular sawa bersaiz gergasi didakwa ditemui di sekitar kawasan Elmina, Shah Alam.

    Difahamkan, video yang memaparkan reptilia itu sedang menjalar di satu kawasan berbukit dirakam oleh penduduk setempat.

    Video berkenaan kemudian dikongsikan dalam Twitter pemilik akaun @yayaaazmi semalam.

    Dalam ciapannya, dia berkata “Ular sawa/anaconda jumpa dekat area Elmina. Recorded by one of the residents (Dirakam oleh salah seorang penduduk) dan posted (dikongsikan) dalam group community Denai Alam.

    “Seram weh besar macam ini, bukan setakat orang ni, lembu kambing pun dia telan ni.”

    Malah, dalam ciapan itu, dia memberitahu tiada perkembangan lanjut mengenai penemuan ular gergasi berkenaan setakat ini.

    Sementara itu seorang lagi pengguna Twitter turut mengesahkan kesahihan penemuan reptilia berkenaan.

    “Betul…. budak-budak basikal pun nampak semalam. Di Elmina Green katanya,” tulisnya, lapor portal Buletin TV3.

    Sementara itu, rata-rata pengguna lain melahirkan kebimbangan memandangkan reptilia tersebut ditemui berdekatan taman perumahan dan kawasan riadah.

    “Dahsyat. Besar sangat ni mat. Dah macam dalam movie Anaconda dah saiz dia tu. Ni manusia dia boleh telan ni. Tengok kepala dia tu besar mana.

    “Elmina ni kawasan sawit… time saya kecik kawasan Elmina tu pokok je. Elmina pun tengah nak buat belah baru… jadi habitat ular sawa terancam. Hope dapat settle secepat mungkin, besar ni,” komen netizen.

    Malah, ada yang seakan tidak percaya dengan video terbabit.

    “Betul ke AI ni?” kata salah seorang pengguna.

    Ada juga yang berharap, ular tersebut ditangkap dan dipindahkan ke habitat asalnya atau kawasan lain yang lebih sesuai.

    “Hopefully the snake dipindahkan somewhere else very far away dalam hutan. It definitely not their fault,” seorang lagi pengguna yang membalas ciapan asal.

    Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengesahkan tidak menerima laporan mengenai kejadian itu.

  • SPRM Sabah tumpas sindiket menyamar pegawai kanan, 7 ditahan

    SPRM Sabah tumpas sindiket menyamar pegawai kanan, 7 ditahan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menumpaskan sindiket penyamaran sebagai pegawai kanan suruhanjaya itu dan pegawai kanan kepada menteri dalam negeri, baru-baru ini.

    Menurut sumber, modus operandi sindiket terbabit dipercayai menggunakan penyamaran untuk menipu mangsa, kononnya mereka boleh menyelesaikan kes disiasat agensi penguat kuasa.

    Sindiket itu mengakibatkan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit, tambahnya.

    Menurut sumber, tujuh individu warga tempatan berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan hasil serbuan berdasarkan risikan oleh SPRM dan polis.

    “Proses permohonan reman bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan akan dibuat terhadap mereka di Mahkamah Khas Rasuah, Kota Kinabalu esok,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy, yang mengesahkan penahanan itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Beliau juga menyeru kepada orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sindiket ini agar tampil memberikan kerjasama kepada pihak SPRM.

  • Pejabat Zuraida nafi ada kaitan kes penipuan bernilai RM4 juta

    Pejabat Zuraida nafi ada kaitan kes penipuan bernilai RM4 juta

    PEJABAT Timbalan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Datuk Zuraida Kamaruddin menafikan dakwaan berhubung kes penipuan bernilai RM4 juta dan mempunyai kaitan dengan individu yang dikenali sebagai Adam Rosly Abdullah.

    Pengurusan pejabat berkenaan berkata, pihaknya tidak pernah melantik Adam Rosly Abdullah, mana-mana individu atau kumpulan untuk bertindak menjadi wakil mereka apabila melibatkan sebarang urusan.

    “Justeru itu, kami tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang tindakan yang telah atau akan dibuat oleh individu berkenaan yang jelas tidak mempunyai apa jua kaitan dengan kami.

    “Sekiranya anda adalah mangsa penama di atas atau pernah dihubungi oleh mana-mana pihak yang mengaku sebagai wakil pejabat Zuraida, sila hubungi pihak kami dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Baru-baru ini, terdapat dakwaan berlakunya satu penipuan sehingga melibatkan nilai RM4 juta yang dikaitkan dengan pejabat Zuraida dan dipercayai didalangi oleh seorang individu dikenali sebagai Adam Rosly Abdullah.

    Sebarang pertanyaan, pengesahan dan aduan mengenai perkara itu boleh diajukan melalui emel [email protected].

  • Mayat nelayan ditemu dalam perut buaya

    Mayat nelayan ditemu dalam perut buaya

    PENCARIAN seorang nelayan warga emas hilang dipercayai dibaham buaya di Sungai Kampung Mas-Mas Nasib Kita pada Rabu lalu, berakhir dengan penemuan mayat lelaki itu dalam perut seekor buaya.

    Ketua Bomba Tawau Jemishin Ujin, berkata operasi mencari mangsa, Addi Bangsa, 60, dilakukan bersama Jabatan Hidupan Liar.

    “Pada hari keempat operasi, pasukan Perhilitan menjumpai seekor buaya yang dipercayai membaham mangsa dan bertindak menembak haiwan itu seterusnya membelah perutnya lalu mendapati benar terdapat mangsa di dalam perut haiwan itu.

    “Pengecaman identiti mangsa dilakukan oleh ahli keluarganya dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.

    Sementara itu, Pegawai Jabatan Hidupan Liar Tawau Primus Lambut, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan buaya jantan dianggar seberat 800kg serta berukuran 4.26 panjang itu ditembak awal pagi tadi di kawasan laut, kira-kira 1.5km dari lokasi mangsa dilaporkan dibaham buaya.

    “Kami telah menerima maklumat daripada pihak bomba pada hari kedua operasi dan mengarahkan anggota supaya membantu operasi pencarian,” katanya.

    Sebelum ini dilaporkan kehilangan nelayan itu disedari ahli keluarganya kira-kira 4 pagi, Rabu lalu.