Category: Semasa

  • Bubar Parlimen ‘masa terdekat’: Adakah UMNO derhaka?

    Bubar Parlimen ‘masa terdekat’: Adakah UMNO derhaka?

    KEPUTUSAN Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bahawa PRU-15 mesti diadakan dalam masa terdekat membelakangkan kuasa budi bicara Yang Di-Pertuan Agong dalam soal pembubaran parlimen, kata Setiausa Agung DAP Anthony Loke.

    “Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara bahawa kenyataan terbuka berkenaan pembubaran parlimen dikeluarkan sebelum pun perdana menteri menghadap untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

    “Bukankah ini satu tindakan derhaka terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong,” soalnya sebagaimana lapor Malaysiakini.

    Loke berkata, keputusan MKT UMNO yang diumumkan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Ahmad Maslan malam tadi “bersifat angkuh, tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.”

    “Kata kunci dalam kenyataan (Ahmad Maslan) tersebut bahawa pembubaran parlimen mesti diadakan dalam masa terdekat dan pilihan raya diadakan pada tahun ini juga iaitu dalam tempoh masa tiga bulan berbaki seolah-olah merupakan satu pra-syarat yang telah ditetapkan oleh MKT Umno terhadap Yang di-Pertuan Agong tanpa mengambil kira bahawa Perkara 40(1) juga perlu dibaca bersekali dengan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

    Malam tadi, Ahmad Maslan berkata “pembubaran parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan pada tahun ini juga.”

    “Berdasarkan keputusan (UMNO) ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan,” kata setiausaha agung Umno.

    Loke berkata DAP akan menjunjung dan menghormati sepenuhnya keputusan KDYMM Yang di-Pertuan Agong dalam soal membubarkan Parlimen selaras dengan prinsip dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

    “DAP menaruh kepercayaan bahawa Yang di-Pertuan Agong akan menggunakan budi bicara dan kebijaksanaan Baginda untuk membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

    Bagaimanapun, Loke menjelaskan Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan pula “amat jelas memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen.”

    “UMNO juga perlu diingatkan bahawa mereka hanya mempunyai 38 Ahli Dewan Rakyat ketika ini daripada jumlah 222 orang atau hanya 17 peratus yang membentuk Parlimen Malaysia.

    “UMNO tidak boleh dibenarkan untuk bertindak sewenang-wenangnya seolah-olah mereka masih merupakan parti majoriti terbesar di parlimen pada hari ini,” kata setiausaha agung DAP itu lagi.

    Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa budi bicara kepada Yang di-Pertuan Agong seperti berikut;

    Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

    (a) melantik seorang Perdana Menteri;

    (b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;

    (c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu, dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.

  • 261 mangsa sindiket penipuan kerja telah dibawa pulang – Kementerian Luar

    261 mangsa sindiket penipuan kerja telah dibawa pulang – Kementerian Luar

    SERAMAI 261 orang mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja warganegara Malaysia telah berjaya diselamatkan sehingga kini.

    Menurut kenyataan Kementerian Luar pada Sabtu, jumlah terbaharu itu melibatkan 171 orang mangsa yang telah dibawa balik ke Malaysia dan baki seramai 90 orang masih menunggu proses penghantaran pulang.

    Penerbangan AirAsia AK535 pada 30 Sept adalah penerbangan terkini yang membawa pulang 13 lagi mangsa.

    Pihak Kementerian Luar dan Perwakilan Malaysia di negara-negara yang terlibat terus komited dalam menjalinkan hubungan kerjasama erat dengan Kerajaan negara-negara yang berkenaan bagi menggiatkan usaha mengesan, menyelamat dan membawa pulang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket ini ke tanah air dengan selamat.

    “Orang ramai sentiasa dinasihatkan supaya segera membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Luar sekiranya ada di antara ahli keluarga mereka menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

    “Kementerian Luar sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan kebajikan Keluarga Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara,” tambah kenyataan itu.

    Untuk menangani isu sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara secara lebih bersepadu dan menyeluruh, mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah telah berlangsung secara dalam talian pada 27 Sept 

    Mesyuarat turut dianggotai oleh sembilan Kementerian atau Agensi lain iaitu Jabatan Perdana Menteri (JPM); Jabatan Peguam Negara (AGC); Kementerian Dalam Negeri (KDN); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Imigresen Malaysia (JIM); Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM); Kementerian Sumber Manusia (KSM); Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

    Antara cadangan, tindakan yang telah dan akan dilaksanakan Mesyuarat Jawatankuasa Khas ini adalah, antaranya mengadakan pertemuan dengan Ketua-ketua Perwakilan negara-negara yang terlibat pada 30 Sept.

    Ketua-ketua Perwakilan asing yang berkenaan telah menyatakan komitmen Kerajaan masing-masing untuk memberikan kerjasama erat dalam menangani isu ini.

    Ketua-ketua Perwakilan Malaysia di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand juga telah diminta untuk terus berusaha menyelesaikan isu ini secara cepat dan tuntas.

    Kementerian Luar bersama-sama PDRM juga kini menyelaraskan usaha bagi membolehkan kerjasama yang lebih erat di antara PDRM dengan pihak berkuasa negara-negara yang berkenaan melalui pertemuan khusus bagi menangani isu ini.

    Kementerian Luar juga telah mengadakan perbincangan dengan pihak K-KOM untuk menyediakan Pelan Komunikasi yang lebih komprehensif dalam memberikan pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai serta golongan sasaran supaya tidak mudah terpedaya dan terjebak dalam sindiket ini.- BERNAMA

  • PM akan hadap Agong cadang tarikh bubar Parlimen

    PM akan hadap Agong cadang tarikh bubar Parlimen

    UMNO mahu PRU tahun ini juga

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini juga.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di Kuala Lumpur malam ini.

    Berikut kenyataan penuh beliau;

    Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang berlangsung pada malam ini, 30 September 2022 bersamaan 4 Rabiul Awal 1444 Hijrah dan dipengerusikan oleh  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid  Hamidi, Presiden UMNO telah mencapai beberapa ketetapan berikut:

    1.         Pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan pada tahun ini juga. Berdasarkan keputusan ini, YAB Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

    2.         Keputusan Mesyuarat ini adalah berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat Pandemik Covid-19  setelah runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan kerana persengketan dalaman politik sesama mereka.

    3.         Sehubungan itu, semua jentera parti di setiap peringkat adalah diarahkan untuk memuktamadkan segala persiapan yang telah dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran sehinggalah kepada tarikh Pilihan Raya Umum ke-15.

    4.         UMNO percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat bagi membolehkan mandat sebenar diperolehi, maka sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup mereka, disamping beberapa usaha pembaharuan institusi ke arah mewujudkan tadbir urus yang lebih baik buat negara.

    5.         Mesyuarat juga menyambut baik keputusan Kabinet yang mengarahkan siasatan lanjut dan tindakan perundangan segera dilaksanakan oleh agensi-agensi penguat kuasa berkaitan bagi menyiasat salah laku bekas Peguam Negara Tommy Thomas. Mesyuarat juga menggesa agar Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Buku Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice In the Wilderness” untuk segera didedahkan kepada umum. 

    Ini penting bagi memulihkan imej dan integriti institusi kehakiman serta kedaulatan undang-undang negara, seperti contoh yang terdapat di dalam muka surat 342 buku tersebut yang berkemungkinan melanggar Seksyen 32 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.

    6.         UMNO juga menjunjung titah KDYMM Sultan Johor pada 15 Mei 2022 lalu, yang mahukan laporan siasatan pasukan petugas khas dalam isu kedaulatan Batu Putih untuk segera dibentangkan dan didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan soal maruah dan kedaulatan negara.

    7.         Mesyuarat MKT menerima perletakan jawatan Tan Sri Zulhasnan Rafique sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO dan merakamkan ucapan terima kasih atas khidmat yang telah beliau berikan.  Sebagai penggantinya, mesyuarat bersetuju untuk melantik Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO yang baru.

    8.         Adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat MKT memecat Datuk Zaharin Mohd Yasin daripada menjadi ahli UMNO berkuat kuasa serta merta mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 kerana melanggar Etika Ahli UMNO di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

    9.         Mesyuarat MKT juga mengambil maklum berkenaan kunjungan Tuan Guru Tan Sri H Abdul Hadi bin Awang, Presiden Pas bertemu dengan Presiden UMNO baru-baru ini.

  • ‘Top 5’ UMNO capai kata sepakat – Tok Mat

    ‘Top 5’ UMNO capai kata sepakat – Tok Mat

    MESYUARAT membabitkan lima pemimpin tertinggi UMNO atau dikenali ‘Top 5’ hari ini berjaya mencapai kesepakatan untuk kebaikan parti itu bergerak ke hadapan.

    Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bagaimanapun tidak memperincikan kesepakatan yang dicapai oleh Top 5 itu di sebalik cakap-cakap mengenai pembubaran Parlimen mahu pun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Alhamdulillah, perbincangan bersama kepimpinan Top 5 parti tengahari tadi berlangsung dengan baik.

    “Dapat capai kesepakatan untuk kebaikan parti bergerak kehadapan,” tulisnya di Facebook.

    Mesyuarat melibatkan Top 5 UMNO itu yang difahamkan berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur terlebih dahulu dikongsi Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi akaun Facebook miliknya.

    Top 5 UMNO merujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden iaitu Ismail Sabri, Mohamed Khaled serta Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Sebelum ini, UMNO memaklumkan perkara berkaitan tarikh pilihan raya umum akan dibincangkan dalam kalangan Top 5 parti itu.

    Malam ini, MKT UMNO akan bermesyuarat, antaranya bagi membincangkan isu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Bulan lalu, Ismail Sabri memberi bayangan beliau akan berjumpa ‘top five’ UMNO untuk membincangkan tarikh PRU15 sebelum pembentangan Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini.

  • Bayi ditinggalkan depan rumah warga emas

    Bayi ditinggalkan depan rumah warga emas

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    SEORANG bayi lelaki yang baru dilahirkan ditinggalkan depan rumah seorang warga emas di Kampung Tawakal, Kempas, Johor Bahru pada 20 Ogos lalu.

    Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, bayi itu ditinggalkan dalam keadaan masih bertali pusat dengan tubuhnya dibaluti kain batik diletakkan dalam kotak.

    “Bayi ini semasa ditinggalkan berusia dua atau tiga hari. Diselamatkan penduduk kampung itu yang menyedarinya pada pukul 12.40 tengahari.

    “Bayi berkenaan kemudian dirawat di Bahagian Kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru. Pada ketika itu keadaan bayi ini agak membimbangkan kerana ketika itu diserang sawan dan mengalami masalah pernafasan.

    “Bagaimanapun selepas menjalani rawatan, keadaan bayi berkenaan beransur baik dan disahkan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan yang kronik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Adnan berkata, buat sementara bayi berkenaan yang dinamakan sebagai Ayden ditempatkan di Yayasan Orphan Care Johor Bahru mulai 26 September lalu hingga 24 Oktober ini.

    “Pelindung kanak-kanak akan mengurus pendaftaran kelahiran bayi berkenaan dan membincangkan penempatannya pada masa depan,” ujar beliau.

    Bagi tujuan itu katanya, JKM meminta bantuan orang ramai bagi mengesan waris bayi itu bagi membincangkan kebajikan dan keperluannya.

    Orang ramai boleh menghubungi Pelindung Kanak-kanak, Zaid Ikhwan Lim di talian 07-2232606 atau 07-2232607 bagi menyalurkan maklumat.

  • Polis buru 5 lelaki rosakkan kereta guna batang besi

    Polis buru 5 lelaki rosakkan kereta guna batang besi

    POLIS kini mengesan lima lelaki warga tempatan yang bertindak merosakkan sebuah kereta dengan menggunakan batang besi.

    Kejadian berlaku di hadapan sebuah pasar raya di Taman Setia Indah, Johor Bahru, 12 tengah hari tadi.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian terbabit dipercayai berpunca kerana salah faham ketika mangsa membunyikan hon tanpa sengaja.

    Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 24 tahun pada pukul 1.55 petang.

    “Suspek telah menyemburkan serbuk pemedih mata ke arah mata mangsa dan memukul kepala menggunakan topi keledar serta memecahkan cermin kereta hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, empat lelaki yang tidak dikenali disyaki rakan suspek telah datang dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

    “Rakan suspek kemudian memecahkan cermin kereta belakang, cermin kanan dan kiri serta bonet hadapan dengan menggunakan dua batang besi panjang,” ujarnya.

    Akibat daripada insiden tersebut, mangsa mengalami cedera bengkak di bibir, lebam di tangan kanan, sakit pada leher dan belakang badan.

    Sehubungan itu, kes kini disiasat di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Salaihudin Azual Razali di talian 013-7290763.

  • Gempar harimau kumbang masuk dalam rumah

    Gempar harimau kumbang masuk dalam rumah

    PENDUDUK di sekitar Jalan TPS 3/2, Taman Pelangi, Semenyih, Selangor, digemparkan dengan kehadiran seekor harimau kumbang yang berkeliaran di sekitar kawasan perumahan berkenaan, hari ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, salah seorang penduduk membuat panggilan kecemasan sejurus haiwan liar itu masuk ke dalam kawasan rumahnya sekitar pukul 3.32 petang.

    “Setelah membuat ‘size up’ didapati benar terdapat seekor harimau kumbang berada di tempat parkir rumah pemanggil.

    “Anggota bomba membantu membuat pengosongan di sekitar ruang parkir berkenaan dan memasang jaring khas sebelum pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menjalankan kerja-kerja membidik ubat pelali,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Norazam berkata, sejurus selesai diberikan ubat pelali, anggota bomba membantu Perhilitan mengangkat harimau kumbang tersebut ke dalam sangkar khas.

    Katanya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan haiwan liar itu diserahkan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.

  • Mayat wanita mangsa culik ditemukan dalam gaung

    Mayat wanita mangsa culik ditemukan dalam gaung

    MAYAT wanita dipercayai menjadi mangsa culik pada Ahad ditemukan dalam gaung di Bukit Tekali, Hulu Langat, Selangor pada 27 Sept lepas.

    Ketua Polis Negeri Sembilan DCP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata mangsa berusia 27 tahun yang disyaki dibunuh itu ditemukan orang awam kira-kira 3.30 petang.

    “Pemeriksaan lanjut ke atas mayat berkenaan mendapati mangsa merupakan kes culik sedang disiasat berdasarkan kad pengenalan dan dokumen yang ditemukan bersamanya serta pengecaman ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Dzaffir berkata terdahulu, pihaknya menerima laporan daripada sepupu mangsa sehari selepas wanita itu dilarikan di kawasan rumahnya di Broga, Lenggeng di Seremban selain mendakwa turut menerima WhatsApp meminta sejumlah wang tebusan.

    Beliau berkata susulan penemuan mayat wanita itu, seorang lelaki yang juga pekerja swasta berusia lingkungan 20-an ditahan di Ampang, Selangor pada Selasa lepas bagi membantu siasatan.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dan lelaki itu dipercayai pasangan kekasih yang berkenalan melalui laman sosial sejak awal tahun ini dan motif pembunuhan disyaki ada kaitan dengan hutang.

    Ahmad Dzaffir berkata lelaki yang negatif dadah hasil ujian saringan air kencing itu ditahan reman selama 15 hari bermula 28 Sept untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12 Akta Penculikan 1961.

  • Polis siasat dakwaan penculikan di Johor Bahru

    Polis siasat dakwaan penculikan di Johor Bahru

    POLIS menyiasat dakwaan berlakunya kes penculikan di dua kawasan di Bandaraya Johor Bahru seperti yang tular di aplikasi WhatsApp, semalam. 

    Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Supt Fariz Ammar Abdullah berkata pihaknya mengesan satu mesej yang mendakwa berlaku kes cubaan menculik seorang pelajar sekolah tadika di Bandar Baru Uda di Johor Bahru.

    Katanya, hantaran itu turut menyatakan bahawa kes penculikan sering berlaku di Taman Perling dan Bandar Baru Uda yang terletak di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.

    “Polis telah mengenal pasti individu yang memuat naik hantaran berkenaan dalam satu kumpulan WhatsApp yang dipercayai disertai oleh sekumpulan individu dan komuniti setempat, polis telah melawat tempat kejadian dan beberapa individu telah ditemu bual. 

    “Hasil siasatan mendapati tiada sebarang aduan tentang berlakunya kejadian tersebut dan tiada individu yang tampil ke hadapan bagi mengesahkan adanya cubaan menculik atau kehilangan anak seperti didakwa kumpulan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya mesej tular yang boleh menggugat ketenteraman awam. 

    Fariz Ammar berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita tidak sahih.

    “Mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” tambahnya.  

  • Jangan cuba heret BERSATU masuk politik sempit, Fayhsal tempelak Asyraf

    Jangan cuba heret BERSATU masuk politik sempit, Fayhsal tempelak Asyraf

    BEKAS Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P. Waytha Moorthy tidak pernah menjadi anggota Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) dan tidak seharusnya diambil sebagai pusat rujukan untuk sebarang pendirian oleh parti itu.

    Ketua Armada BERSATU Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad kamal berkata, adalah melucukan apabila Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memetik kata-kata seorang mantan menteri untuk menggambarkan BERSATU ingin sabotaj kerajaan hari ini dengan menolak Belanjawan 2023.

    “BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) secara tegas menolak sebarang pilihan raya ketika negara sedang bergelut dengan risiko banjir dan kemelesetan ekonomi global seperti yang diberi amaran oleh Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

    “Beberapa Dewan Undangan Negeri di bawah PN juga tidak akan dibubarkan.

    “Ini bagi membolehkan persiapan dibuat bagi menghadapi bencana, memastikan ekonomi negara terus berkembang agar rakyat tidak kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan. Bagi BERSATU, kepentingan rakyat sentiasa keutamaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, Asyraf menyifatkan pihak yang menolak Bajet 2023 seperti menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Asyraf berkata, tindakan ugut-mengugut seperti itu juga mampu memberi persepsi negatif kepada pemain industri serta pelabur dari dalam dan luar negara.

    Sebelum ini media melaporkan, bekas Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P Waytha Moorthy mendakwa parti teras PN iaitu BERSATU mungkin tidak menyokong Bajet 2023 ekoran pertembungan Ismail Sabri dengan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kemudiannya kenyataan itu dipetik Asyraf.

    Namun, Wan Ahmad Fayhsal berkata sebenarnya, pihak yang bersungguh-sungguh mahu pilihan raya diadakan awal ialah Asyraf dan bos-bosnya sendiri, bukanlah parti BERSATU atau PN.

    “Hanya mereka yang saban hari bercakap soal pilihan raya.

    “Kebajikan dan nyawa rakyat ditolak ketepi, nafsu pemimpin parti diangkat tinggi.

    “Jangan cuba heret BERSATU masuk ke dalam politik sempit seperti ini,” katanya.