TIMBALAN Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan Kelantan dilihat ketinggalan kerana kemajuannya hanya dibandingkan dengan Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.
Naib presiden Pas itu berkata kemajuan dan pembangunan Kelantan seharusnya dibandingkan dengan negeri setara dengannya seperti Pahang dan Negeri Sembilan.
“Sepatutnya Kelantan ini dibandingkan, contohnya Pahang dan Negeri Sembilan. Kalau kita banding dengan Selangor, KL dan Pulau Pinang, semua negeri ketinggalan. Kita kena faham, KL adalah ibu negara, Selangor pula dekat dengan ibu negara dan Pulau Pinang sudah lama maju. Negeri ini sudah ada kemudahan infrastruktur termasuk pelabuhan, jalan raya yang baik dan lebuh raya,” katanya pada diskusi Kelantan Maju 2028, lapor Harian Metro.
Beliau menjawab dakwaan pelbagai pihak bahawa Kelantan yang ditadbir Pas selama 33 tahun tidak maju kerana kurang pembangunan berbanding KL, Selangor dan Pulau Pinang.
Mendakwa kemajuan sesebuah negeri bukan disebabkan kerajaan memerintah, Mohd Amar merujuk Kelantan tidak maju walaupun ditadbir UMNO selama 12 tahun bermula 1978 hingga 1990.
“Sepatutnya UMNO memerintah selama 12 tahun Kelantan ini boleh ‘kejar’ Selangor dan Pulau Pinang sebab kerajaan negeri selari dengan kerajaan pusat. Kita tengok Gua Musang, masa UMNO memerintah 12 tahun setara mana (tidak) maju. Namun, hari ini daerah itu sudah ada kedai dan sebagainya kerana kita memerintah ini ada perancangan dan usaha.
“Jadi kita kena faham dan jangan komen jika tidak jelas dengan maksud dan takrif pembangunan,” katanya yang memberi contoh beberapa pembangunan di Kelantan seperti jalan raya, hospital, gedung-gedung perniagaan dan sekolah, selain lebuh raya yang sedang dibina.
DARIPADA seorang Menteri Kanan yang pernah memegang beberapa portfolio penting dalam Kerajaan Pusat, kini beralih bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Strategi UMNO Pulau Pinang mencalonkan Ketua Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bertanding di kerusi DUN Bertam itu boleh menjadi kelebihan kepada parti tersebut, atau tidak mustahil juga memakan diri.
Dari segi populariti, tiada siapa boleh menafikan Reezal Merican yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas cukup sinonim dengan kawasan tersebut termasuk di Bertam yang merupakan salah satu daripada DUN di bawah Parlimen berkenaan.
Namun, populariti itu tidak mampu menyelamatkan Reezal Merican daripada tsunami Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu yang mana beliau tewas kepada calon Pas, Dr. Siti Mastura Muhammad.
Bukan hanya Reezal Merican, tsunami PN di Pulau Pinang turut tidak mampu disekat calon Pakatan Harapan di Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang juga tewas di tangan calon Pas, Muhammad Fawwaz Mat Jan.
Sama ada di Kepala Batas atau Permatang Pauh, kedua-dua kerusi itu merupakan kerusi tradisi UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tidak pernah jatuh ke tangan parti lain dalam sejarah pilihan raya umum negara.
Namun, tsunami politik PN yang didorong oleh penolakan besar-besaran orang Melayu khususnya terhadap PH dan BN mencipta sejarah baharu dalam politik tanah air dengan terkuburnya dua parti dominan UMNO dan PKR di kawasan atau kubu kuat mereka sendiri di Pulau Pinang.
Dengan gelombang PN yang semakin kuat ketika ini terutamanya disebabkan banyaknya kepincangan serta kelemahan Kerajaan Perpaduan yang didokong PH dan BN di peringkat Pusat, tidak keterlaluan untuk diramalkan, Reezal Merican mungkin akan berdepan nasib serupa di kerusi DUN Bertam pada PRN akan datang.
Malah, jangkaan akan tewas itu bukan hanya terhadap beliau seorang, tetapi kesemua lima lagi calon UMNO juga dilihat tidak mampu mengekang penguasaan PN di kerusi yang akan ditandingi mereka.
Pencalonan Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Dr. Shaikh Hussein Mydin di kerusi DUN Sungai Dua misalnya, juga dinilai tidak mampu memberi kejutan. Ini kerana selain disifatkan sebagai orang luar memandangkan beliau ialah Ketua UMNO Bahagian Bagan, Shaik Hussein juga pernah tewas ketika mewakili BN di kerusi Parlimen Nibong Tebal pada PRU-14.
Satu-satunya calon penyandang daripada UMNO iaitu Norhafizah Othman juga dilihat berdepan kesukaran untuk mempertahankan kerusi DUN Permatang Berangan.
Ini kerana kerusi DUN Permatang Berangan sama seperti kerusi DUN Sungai Dua yang akan ditandingi Shaikh Hussein terletak di bawah Parlimen Tasek Gelugor yang mana pada PRU-15, calon PN iaitu Datuk Wan Saiful Wan Jan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menang dengan majoriti cukup besar iaitu 12,252 undi.
Tiga lagi calon UMNO yang akan bertanding ialah Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal, Rashidi Zinol di DUN Sungai Acheh; Mohd. Naim Salleh (DUN Penaga) dan Ahmad Zaki Shah Shah Headan (DUN Teluk Bahang). Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai calon-calon ini kerana ini merupakan kali pertama mereka turun ke gelanggang pilihan raya umum.
Dengan gelombang PN yang masih menebal dalam kalangan rakyat, didorong oleh kelemahan dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan gabungan BN-PH sendiri di peringkat Pusat, maka kesemua calon UMNO yang akan bertanding di kerusi majoriti Melayu ini bakal berdepan cabaran cukup besar.
Apatah lagi dalam situasi ketika ini di mana penyokong dan ahli-ahli UMNO sendiri masih berasa kekok dan janggal dengan kerjasama parti itu dengan PH khususnya DAP, tidak mustahil calon-calon UMNO bukan hanya di Pulau Pinang malah di lima lagi negeri yang akan diadakan PRN, bakal berdepan dengan penolakan daripada penyokong setia mereka sendiri.
Sehingga kini, sebahagian besar penyokong setia UMNO khususnya di kawasan luar bandar tidak boleh menerima kerjasama UMNO dan PH khususnya DAP dalam Kerajaan Perpaduan meskipun pelbagai usaha dilakukan pemimpin UMNO untuk cuba menjernihkan serta memberi makna kepada kerjasama tersebut.
Stigma yang ditanam terhadap penyokong UMNO selama ini iaitu PH atau DAP adalah musuh UMNO terlalu menebal dan sukar dihapus dalam kalangan penyokong parti tersebut apatah lagi dalam tempoh hanya kira-kira lapan bulan selepas terbentuknya kerjasama antara kedua-dua parti terbabit.
Dengan realiti itu, tidak mustahil sebahagian penyokong setia UMNO memilih tidak akan mengambil bahagian dalam proses PRN di enam negeri kali ini sebagai tanda protes atau tidak bersetuju dengan keputusan pucuk pimpinan mereka memilih bekerjasama dengan PH dan DAP.
Atau mungkin lebih lantang, mereka menunjukkan rasa tidak puas hati itu dengan tindakan protes iaitu dengan bersama-sama menyertai majoriti pengundi Melayu khususnya dalam gelombang PN dan memberi sokongan kepada calon PN termasuk di Pulau Pinang.
BARISAN Nasional (BN) yang menampilkan 11 daripada 14 calon muka baharu di Kedah mungkin merasakan cara itu mampu memberi mereka kerusi untuk menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Bagaimanapun, cubaan untuk menawan hati pengundi Kedah dilihat tetap sukar walaupun mereka akan diketuai oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid selain kini bersama Pakatan Harapan (PH).
Ironinya, BN kini tiada langsung wakil rakyat di Kedah selepas tewas di kesemua 15 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berbanding PH yang masih ada seorang Ahli Parlimen.
Mahdzir walaupun berpengalaman di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu akan tetap berdepan cabaran besar untuk berkhidmat semula di situ apatah lagi beliau tewas di Parlimen Padang Terap sebelum ini.
Namun, masih ada yang menyifatkan bekas Naib Presiden UMNO itu ada ‘peluang kecil’ untuk membuat kejutan di kerusi yang mengangkatnya menjadi Menteri Besar Kedah ke-8 pada 2008. BN juga mengitar semula dua lagi calon yang tidak pernah menang pada pilihan raya sebelum ini iaitu Datuk Said Ali Syed Rastan (Bukit Lada) dan Datuk Asmadi Abu Talib (Merbau Pulas).
Bukan mahu memperkecil kewibawaan seseorang, tetapi penyertaan kali pertama Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kasim di Jeneri pula dilihat bukan lawan yang setanding untuk ‘beradu tenaga’ dengan ‘Panglima Perang’ Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Meskipun baru berusia 45 tahun, Muhamad Khizri perlu mencari lebih banyak pengalaman untuk bertembung dengan Muhammad Sanusi yang merupakan calon ‘Heavyweight’.
Sementara itu, langkah menyenaraikan lima calon wanita termasuk seorang daripada sayap Puteri UMNO tidak lebih sekadar mahu mengisi kuota gender dalam gabungan itu.
Peluang Hisham Suhaily Othman di Ayer Hangat; Datin Nor Hasita Md. Isa (Anak Bukit); Wan Mohalina Wan Mohammad (Pantai Merdeka) dan Suriati Che Mid (Kuala Ketil) agak sempit walaupun mereka Ketua Wanita UMNO di bahagian masing-masing.
Tambahan pula skuad Jalinan Rakyat dianggotai Wanita UMNO kini bukan lagi digeruni lawan selepas ‘sentuhan’ mereka layu pada PRU-15.
BN turut menampilkan tiga calon muka baharu di ‘pertengahan usia’ yang dilihat sukar untuk menembusi sokongan pengundi muda antaranya Zainol Abidin Mohamad (Bukit Kayu Hitam); Abdul Paris Abdul Hamid (Guar Chempedak) dan Datuk Ishak Mat (Bayu).
Sementara itu, tiga lagi calon BN yang berada dalam kategori ‘orang muda’ ialah Hayazi Azizan (Air Hitam); Mohamad Fadzil Zolkipli (Sungai Tiang) dan Nuraini Yusoff (Bandar Baharu).
Nuraini merupakan Ketua Puteri UMNO Kedah, Mohamad Fadzil bekas Ketua Pemuda UMNO Kedah dan Hayazi pula bekas Ketua Pemuda Bahagian Jerlun yang turut sama berdepan cabaran berliku.
SEORANG penonton patah hidung sehingga dimasakkan ke hospital selepas dipukul anggota Askar Timbalan Setia (JMF) semasa perlawanan akhir Piala FA antara Johor Darul Takzim (JDT) dan KL City di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri kelmarin.
Ketua Polis daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, mangsa yang berusia 30 tahun itu membuat laporan di Balai Lolis Sungai Besi di Kuala Lumpur pada pada pukul 11.50 pagi semalam.
Beliau berkata, mangsa mengesyaki dipukul oleh JMF.
“Mangsa telah pulang ke Kuala Lumpur dan mendapat rawatan, seterusnya ditahan di wad Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Keadaan mangsa baik dan stabil.
“Doktor mengesahkan mamgsa mengalami kecederaan patah hidung, pendarahan di kepala dan mata kanan serta lebam seluruh badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes dalam siasatan dan orang ramai yang melihat kejadian dikehendaki tampil ke bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk membantu siasatan.
Tambahnya, kes disiasat dibawah Seksyen 326 kanun keseksaan (cedera parah dengan menggunakan senjata atau benda lain yang merbahaya).
PRESIDEN Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia malam ini.
Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
“Saya merasa dukacita mendengar perkhabaran ini dan berdoa semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham dapat bersabar dan tabah melalui detik mendukacitakan ini,” katanya dalam catatan di laman Facebook.
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, menerusi laman Facebook, turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
“Semoga Allah mengampunkan segala dosanya dan mencucuri rahmat ke atasnya,” kata beliau.
ABDUL HADI AWANG
Pengerusi DAP Lim Guan Eng pula menyifatkan ketokohan dan jasa Salahuddin menyemai benih harapan untuk masa depan negara.
“Tidak terungkap kesedihan dengan pemergian sahabat dan rakan seperjuangan saya saudara Salahuddin Ayub. Salam takziah untuk keluarga beliau, semoga sabar menghadapi ujian ini,” katanya.
Gambar: FMT
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengutuskan ucapan takziah kepada keluarga Salahuddin sambil berterima kasih atas usaha dan keringat Allahyarham ketika berkhidmat untuk negara.
“Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.
Syed Saddiq berkata, bagaimanapun MUDA mempunyai kelebihan menerusi sokongan dalam kalangan pengundi lebih muda dan lebih tua daripada umur tersebut. – Gambar fail/BERNAMA
Salahuddin, 61, menghembuskan nafas terakhir pada 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
KEMENTERIAN Pengangkutan telah mengatur penerbangan khas bagi membawa pulang jenazah Datuk Seri Salahuddin Ayub dari Alor Setar ke Johor Bahru untuk dikebumikan di kampung halamannya.
Menterinya, Loke Siew Fook berkata, penerbangan khas itu menggunakan pesawat Malaysia Airlines (MAS), malam ini.
“Saya telah menerima khabar duka ini kira-kira satu jam lalu daripada pegawainya dan saya telah aturkan untuk penerbangan khas membawa jenazah dari Alor Setar ke Johor Bahru.
“Pesawat MAS akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11 malam ini dan dijangka tiba di Alor Setar, pukul 1 pagi sebelum pesawat akan terus bergerak ke Johor Bahru,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengenalan Calon Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, di Seremban.
Sebelum ini, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Syakirin Husnal dalam kenyataan memaklumkan, jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah ibu Allahyarham di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai, Johor.
Sementara itu, Loke yang juga setiausaha Agung DAP berkata, kehilangan Salahuddin memberi kesan kepada kepada kepimpinan PH kerana disifatkan sebagai seorang pemimpin amat disayangi dan mempunyai prinsip perjuangan disegani.
“Beliau seorang pejuang dan pemimpin PH yang sangat disanjungi dan disayangi atas prinsip perjuangan yang tak pernah tinggalkan rakan dalam parti.
“Beliau juga telah melaksanakan tugas dengan cukup baik selain banyak inisiatif dilakukan bagi membantu rakyat seperti Menu Rahmah,” katanya, lapor FMT.
UCAPAN belasungkawa dan bacaan Al-Fatihah mencurah-curah daripada pelbagai pihak atas pemergian Allahyarham Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Presiden PASas, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut mengucapkan takziah atas pemergian Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu.
“Takziah kami ucapkan kepada seluruh ahli keluarga almarhum.
“Semoga Allah mengampunkan segala dosanya dan mencucuri rahmat ke atasnya,” katanya pada satu kenyataan.
Sebelum bergiat secara langsung dalam politik, Salahuddin merupakan aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pada awal 1980an.
Allahyarham kemudiannya menyertai Pas dan dari 1983 ke 1987 merupakan Naib Yang Dipertua Pas Pontian.
Salahuddin juga berkhidmat dua kali sebagai ahli Parlimen Pas di Kubang Kerian.
Pada 2015, allahyarham ikut mengasaskan Amanah, parti yang sebahagian besarnya dianggotai oleh bekas pemimpin Pas.
Sementara itu, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu pada maklum balas segera di media sosial berpesan kepada semua ahli dan penyokong Amanah supaya bersabar.
Mohamad juga meminta mendoakan roh Allahyarham Salahuddin ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta amal baktinya diterima di sisi Allah SWT.
“Malam ini adalah malam yang paling menyedihkan buat seluruh ahli dan penyokong Parti Amanah Negara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pembangkang l, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dalam menyampaikan ucapan takziah berkata, Menteri Kos Sara Hidup itu merupakan seorang yang dihormatinya.
“Walaupun berbeza idealogi politik, Allahyarham Salahuddin merupakan tokoh yang saya hormati. Beliau merupakan sosok pimpinan yang matang, progresif dan pragmatik.
“Kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Salahuddin, saya faham kehilangan orang yang tersayang bukanlah sesuatu yang mudah tetapi bersabarlah dengan ujian Allah SWT,” katanya pada hantaran di media sosial.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke ketika berceramah pada majlis PH di Negeri Sembilan malam ini, menyebut penghargaan terhadap pelbagai usaha Allahyarham Salahuddin seperti inisiatif Rahmahnya.
Perkara ini benar-benar membantu rakyat, kata Loke.
Salahuddin meninggal dunia malam ini selepas beliau dikejarkan ke hospital di Alor Setar pada hari Jumaat dan doktor mengesan beliau mengalami pendarahan otak.
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan arwah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai seorang yang baik dan budiman.
Menurutnya, terlalu banyak kenangan antara mereka berdua terutamanya ketika sama-sama berjuang dalam Pas ketika masing-masing masih muda.
Meskipun tidak mengalirkan air mata, Muhammad ada ketikanya kelihatan sebak ketika ditemui di lobi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebentar tadi.
“Mewakili kerajaan negeri, saya mengucapkan takziah kepada isteri, anak-anak dan seluruh ahli keluarga beliau. Bagi saya, Salahuddin seorang yang sangat budiman dan baik hati.
“Kami sudah berkawan lama iaitu sejak 1997 dan beliau pun pernah beberapa kali tidur di rumah saya. Kalau datang ke kawasan saya, beliau akan tidur di rumah saya.
“Hubungan kami sejak dari muda. Sama-sama naik bas dari Pudu Raya, jalan kaki menuju ke Greenwood untuk ke Markas Pas di Taman Melewar dan sama-sama tidur di pejabat. Kenangan dengan saudara Salahuddin cukup banyak,” katanya.
Tambahnya, beliau amat menghormati Salahuddin dengan kedua-dua mereka memiliki persamaan iaitu hadir dari keluarga susah.
“Bagi saya Salahuddin seorang yang ‘cool’ dan kami saling memahami kerana beliau pun bukan dari keluarga senang,” katanya.
“Kita bersimpati kepada keluarga dan kebetulan beliau sakit di Kedah. Mungkin kerana tugasan yang banyak namun kita ucap terima kasih kepada usaha beliau untuk menangani harga barang. Beliau bekerja keras untuk itu dan kita menghargai semuanya,” katanya.
ALLAHYARHAM Datuk Seri Salahuddin Ayub telah membiasakan diri untuk memaafkan semua orang yang menyakitinya pada setiap malam, kata bekas Timbalannya, Sim Tze Tzin.
Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata, itulah antara amalan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) dalam kehidupan sehariannya.
“Sim, kamu tahu kenapa saya reda dan senang hati setiap hari?
“Setiap malam, sebelum saya tidur, saya maafkan semua musuh saya dan orang yang menyakitkan hati saya. Barulah saya tidur.
”Ini ajaran bekas bos saya, Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada saya. Beliau begitu baik hati dan peramah,” katanya pada hantaran dalam Facebook miliknya, malam ini.
Salahuddin meninggal dunia di hospital malam ini, dua hari selepas beliau dikejarkan ke hospital berikutan mengalami pendarahan otak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu kembali ke rahmatullah pada usia 61 tahun.
Sim sebelum ini merupakan timbalan Salahuddin ketika Ahllahyarham menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari 2018 hingga 2020.
Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata, beliau sempat menziarahi bos lamanya itu di hospital petang tadi dan menangis sepanjang perjalanan pulang dari Alor Setar ke Pulau Pinang.
PAS menyifatkan pemergian Datuk Seri Salahuddin Ayub merupakan kehilangan besar kepada negara.
Parti tersebut dalam hantaran di Twitter, Pas Pusat berkata, walaupun berbeza perjuangan, namun jasa serta sumbangan Allahyarham dalam Pas sebelum ini sentiasa dikenang.
“Pemergian ini pastinya menjadi satu kehilangan besar buat negara.
“Meskipun berbeza wadah perjuangan, jasa serta sumbangan beliau dalam Pas akan sentiasa dikenang,” demikian menurut hantaran itu.
Hantaran itu turut mendoakan kesejahteraan dan keampunan kepada Allahyarham.
Salahuddin pernah menjadi Naib Presiden Pas sebelum Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).
Sementara itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas dan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Salahuddin.
“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya yang juga Menteri Besar Kedah, lapor FMT.
Dalam pada itu, kehilangan Salahuddin disifatkan kehilangan besar kepada Johor, kata bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.
Katanya, jasa dan khidmat baktinya pasti akan dikenang selamanya.
“Segala jasa dan khidmat bakti beliau kepada masyarakat serta negara pasti dikenang sampai bila-bila.
“Pemergian Allahyarham yang juga Ahli Parlimen Pulai merupakan satu kehilangan besar kepada masyarakat khususnya di negeri Johor,” katanya di Facebook.