Category: Semasa

  • UMNO yakin pandangan Kabinet berkait PRU-15 ‘selesai’ – Ahmad Maslan

    UMNO yakin pandangan Kabinet berkait PRU-15 ‘selesai’ – Ahmad Maslan

    SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpendapat, parti itu mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan selepas yakin isu pandangan Kabinet berhubung perkara itu sudah ‘diselesaikan’.

    “Keputusan mengadakan PRU-15 pada tahun ini juga dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden UMNO.

    “UNMO bukan mahu mengambil kuasa mahu pun mendahului Kabinet, namun oleh kerana perdana menteri adalah sebahagian pemimpin tertinggi parti, maka ia perlu membuat keputusan bersama.

    “Oleh kerana Perdana Menteri daripada UMNO, maka kita nyatakan pendirian berkaitan mengenai PRU-15. Yang akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan juga adalah perdana menteri.

    “Atas sebab itu, UMNO perlu buat keputusan yang memandu ke arah PRU-15, bukan parti lain. Kita harap panduan dibuat itu akhirnya berjaya membawa kepada pilihan raya diadakan.

    “Dalam urusan Kabinet itu tentunya sudah diselesaikan. Walaupun saya tiada dalam Kabinet, namun MKT (Majlis Kerja Tertinggi) ada diberi gambaran mesyuarat Kabinet,” katanya menurut FMT yang memetik laporan Berita Harian.

    Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata perdana menteri perlu berbincang terlebih dahulu dalam Kabinet berhubung pembubaran Parlimen bagi membolehkan PRU15 diadakan.

    Beliau dilaporkan berkata, Jemaah Menteri boleh memberikan pandangan berhubung perkara itu sebelum Perdana Menteri membawa cadangan itu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan.

    “Perdana menteri kena bawa ke Kabinet, biar Kabinet putuskan,” katanya.

    Jumaat lalu, MKT UMNO membuat ketetapan supaya PRU15 diadakan pada tahun ini.

    Ahmad dilaporkan, berkata susulan keputusan itu, perdana menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

  • Ismail Sabri ditekan supaya bersetuju PRU tahun ini?

    Ismail Sabri ditekan supaya bersetuju PRU tahun ini?

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mustahil berdepan tekanan oleh partinya sendiri terutamanya dari golongan kluster mahkamah, hingga menyebabkan beliau bersetuju untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), pada tahun ini.

    Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, percakapannya bersama beberapa pimpinan UMNO termasuk dalam kalangan mereka yang berada di Kabinet, tidak bersetuju supaya PRU diadakan pada tahun ini.

    Namun katanya, kalangan pemimpin itu mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta golongan tertentu dalam UMNO terus mendesak supaya PRU-15 segera diadakan.

    “Saya boleh spesifikkan siapa yang bercakap dengan saya mengenai hal itu termasuk dalam kalangan Menteri dan Timbalan Menteri. Beberapa hari lalu pun saya terserempak dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan saya tahu, beliau juga tidak bersetuju dengan perkara itu.

    “Perdana Menteri dalam kenyataannya semalam pun tidak membuat ketetapan bila tarikh pilihan raya tetapi kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan seolah-olah PRU berlangsung tahun ini juga dan disebabkan itu, tidak mustahil untuk UMNO turut menggantung Ismail Sabri seperti nasib dialami Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman serta Ketua Bahagian UMNO Alor Setar, Datuk Yusof Ismail,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika mengadakan lawatan ke Pejabat Jabatan Meteorologi Malaysia di Alor Setar, hari ini.

    Ahmad Maslan kelmarin mendakwa, Mesyuarat MT UMNO sepakat memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU-15 diadakan pada tahun ini juga.

    Ismail Sabri bagaimanapun ketika ditemui media semalam meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi berhubung perkara itu.

    Mengulas lanjut Mahfuz berkata, kenyataan dikeluarkan Ahmad Maslan itu seakan cuba mengikat Yang Dipertuan Agong supaya mengadakan PRU tahun ini sedangkan baginda memiliki kuasa untuk menerima atau menolak cadangan Perdana Menteri bagi tujuan itu.

    “Mereka tidak hanya memaksa Perdana Menteri malah turut memaksa Yang di-Pertuan Agong. Bagi saya, tindakan sedemikian adalah sesuatu yang tidak wajar,” katanya.

    Menjawab dakwaan Shahidan yang mendakwa pembangkang sengaja memainkan naratif banjir kerana mereka belum bersedia berdepan PRU-15, Mahfuz berkata, UMNO mungkin memiliki kelebihan sekiranya PRU diadakan dalam tempoh banjir atau hujan lebat kerana parti itu memiliki aset-aset kerajaan bagi membawa keluar penyokong tegar mereka.

    “Namun saya fikir itu hanya salah satu faktor saja. Bagi saya, mereka mahu mengadakan PRU-15 segera hanya kerana nak selesaikan masalah kluster mahkamah saja,” katanya.

  • Ucapan selamat datang Sanusi undang keriuhan di media sosial

    Ucapan selamat datang Sanusi undang keriuhan di media sosial

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hanya mengucapkan ‘selamat datang ke utara’ di Facebook miliknya.

    Namun, hantaran itu tetap mencetuskan fenomena apabila pengikutnya mengaitkan dengan pertembungan Liga Super yang dinanti-nantikan peminat bola sepak tanah air.

    Meskipun Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah dinobatkan sebagai juara buat kali kesembilan berturut-turut di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor semalam, perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Alor Setar itu nanti akan tetap menjadi tumpuan ramai.

    “Assalamualaikum. Selamat pagi semua. Selamat datang ke utara,” demikian tulis Muhammad Sanusi sambil memuat naik sekeping gambar yang memaparkan beliau sedang tersenyum hari ini.

    Walaupun tiada penerangan lanjut, hantaran tersebut diteka warganet sebagai ucapan selamat datang kepada pasukan bola sepak Harimau Selatan yang akan berkunjung ke Stadium Darul Aman di Kedah pada Selasa ini.

    Perlawanan asal tersebut sepatutnya berlangsung pada 19 Jun lalu, namun terpaksa ditunda kerana memberi laluan kepada KDA yang sedang beraksi dalam saingan Piala AFC ketika itu.

    Muhammad Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebelum ini lantang bersuara mengenai beberapa ‘kepincangan’ dalam sukan kegemaran rakyat Malaysia itu yang dikaitkan dengan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

    Malah dalam ucapannya pada Khamis lalu, beliau menegaskan bukan sengaja menimbulkan ketegangan apabila dilihat sering mengkritik individu tertentu dalam arena bola sepak negara, sebaliknya memaklumkan tidak gentar untuk menyatakan kebenaran.

    “Saya bukan saja-saja cari pasai. Saya nak habaq kepada seluruh negara kalau badan tertinggi bola sepak takut kepada seorang sahaja, lagu (macam) mana bola sepak nak berkembang di tempat lain?

    “Bukan boleh takut dan kalau kita bersuara tentang hak dan kebenaran, bukan kita derhaka. Ini bukan pasal pemerintahan atau politik, ini pasal bola, itulah saya sendiri bercakap tentang bola sepak.

    “Ada orang tak faham, cakap Datuk Seri itu saja cari pasai. Saya cari pasai sebab ada pasai. Saya tak takut dengan siapa-siapa pun. Saya takut kat Tuhan saja. Jadi tuan-tuan ada mesej yang saya sedang sampaikan,” katanya.

    Maka, perlawanan antara KDA dan JDT nanti sudah tentu dianggap sebagai pertembungan sengit walaupun sebarang keputusan tidak akan memberi impak besar kepada kedua-dua pasukan dengan KDA kini berada di tangga keenam Liga Super.

  • Maritim Malaysia tahan lapan nelayan tempatan langgar syarat lesen

    Maritim Malaysia tahan lapan nelayan tempatan langgar syarat lesen

    Oleh BADLISHAH MAT

    LAPAN nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen dalam pemantauan Op Aman di kedudukan 0.4 batu nautika timur laut Pulau Bunting, Yan di Kedah semalam.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Bagan Tiang, Perak itu ditahan kira-kira pukul 11.13 pagi.

    Katanya, pemeriksaan yang dilakukan Maritim Malaysia mendapati, bot tersebut melakukan dua kesalahan dengan satu daripadanya adalah melanggar kawasan aktiviti perikanan yang telah ditetapkan.

    “Selain itu, lesen menangguk siput milik mereka juga telah tamat pada 2020,” katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar, Kedah, hari ini.

    Noor Azreyanti berkata, dianggarkan terdapat kira-kira 700 kilogram siput dalam bot tersebut ketika ditahan pihaknya.

    Dianggarkan terdapat kira-kira 700 kilogram siput dalam bot tersebut ketika ditahan pihak maritim

    Katanya, operasi pemantauan itu dijalankan berikutan aduan awam yang diterima Maritim Malaysia mengenai kehadiran beberapa bot nelayan tempatan yang bernombor pendaftaran dari negeri Perak di lokasi terbabit.

    “Mereka yang ditahan berusia antara 17 hingga 56 tahun. Kesemua individu terlibat serta barangan dirampas terdiri daripada bot, enjin berserta hasil tangkapan yang keseluruhannya bernilai RM21,050 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah,” katanya.

    Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen.

    “Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Pihak kami mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dengan maklumat boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.

  • DAP akan lawan UMNO di kerusi tambahan pada PRU-15

    DAP akan lawan UMNO di kerusi tambahan pada PRU-15

    DAP dijangka mendapat kerusi Parlimen tambahan di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

    Namun beliau memberi bayangan kerusi tambahan tersebut merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu.

    Tanpa mendedahkan nama kawasan Parlimen itu, beliau menjelaskan, perkara itu sudah dipersetujui menerusi rundingan bersama pimpinan parti Pakatan Harapan (PH) yang lain.

    “Memang DAP Perak akan diperuntukkan tambahan kerusi Parlimen, tetapi mana satu kerusi ataupun nama kerusi, saya tunggu bersama rakan-rakan PH sebagai tanda penghormatan kepada Majlis Pimpinan untuk kita umum secara bersama.

    “Saya boleh melaporkan kepada perwakilan pada hari ini, DAP Perak akan bertanding tambahan kerusi Parlimen dan tambahan kerusi Parlimen ini, kita akan lawan calon UMNO, kita akan masuk kawasan majoriti pengundi Melayu,” katanya.

    Beliau berkata dmeikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Negeri Perak ke-21 di sebuah hotel di Ipoh, hari ini.

    Dalam pada itu, Anthony berkata, PH akan menjadikan Perak sebagai tumpuan utama pada PRU-15 nanti untuk memastikan mereka kembali merampas negeri itu.

    Jelasnya, Perak merupakan negeri yang penting sebagai usaha mewujudkan koridor negeri bagi PH selepas mereka berjaya menguasai Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

    “Koridor ini bukan sahaja dari segi politik. Kita nak bentuk satu konsep pembangunan yang baharu supaya keempat-empat negeri ini kalau kita kuasai bersama kita ada kerjasama strategik kerana keempat-empat negeri ini ada potensi ekonomi yang cukup besar.

    “DAP bersama rakan-rakan komponen mesti usaha sedaya upaya merangka sebarang strategi yang paling penting untuk kita menang dan bentuk kerajaan Perak dalam PRU15 ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, ketika sidang akhbar selepas konvensyen berkenaan, Anthony berkata, jumlah tambahan kerusi dan lokasi hanya akan diumumkan secara bersama oleh pimpinan tertinggi PH.

    Menurutnya, selain kerusi Parlimen, DAP juga sedang berunding untuk menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.

  • MKT UMNO sepakat buat PRU-15 tahun ini, rakyat Terengganu cemas ‘Empangan Tasik Kenyir pecah’?

    MKT UMNO sepakat buat PRU-15 tahun ini, rakyat Terengganu cemas ‘Empangan Tasik Kenyir pecah’?

    DUA isu penting yang sedang hangat diperkatakan oleh kebanyakan pihak sekarang ini ialah mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan kemungkinan banjir besar yang bakal melanda negara khususnya melibatkan penduduk di Pantai Timur.

    Isu PRU-15 kembali hangat diperbualkan setelah Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam kelmarin memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU-15 diadakan pada tahun ini juga.

    Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dipetik sebagai berkata, berdasarkan keputusan tersebut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong.

    Malah, menurut Ahmad Maslan, perkara itu adalah selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

    Selain itu beliau menegaskan keputusan mesyuarat berkenaan merupakan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal lagi untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 setelah runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akibat persengketaan dalaman politik sesama mereka.

    Susulan keputusan MKT UMNO berhubung PRU-15, pelbagai pihak khususnya daripada parti pembangkang mengecam tindakan tersebut dan menyifatkan UMNO hanya mementingkan diri sendiri.

    Sebelum ini kecaman pernah dibuat pihak pembangkang selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengatakan partinya sanggup berdepan dengan pilihan raya walaupun jika diadakan pada musim banjir.

    Begitulah betapa dahsyatnya politik di negara kita sekarang ini.

    Apa yang penulis dapat simpulkan, kebanyakan orang politik lebih mementingkan soal peribadi dengan bertindak sesuka hati sehingga sangup mengetepikan kepentingan dan juga nyawa rakyat.

    Itu cerita bab politik, tetapi apa yang lebih menggerunkan apabila penulis semalam ada menerima wash App daripada beberapa pihak berhubung persediaan rakyat Terengganu sekiranya berlaku kejadian empangan Tasik Kenyir di Hulu Terengganu pecah.

    Wash App berkenaan pada awalnya dikongsikan oleh salah seorang pemimpin masyarakat yang hanya menggunakan nama Poksu yang hadir ke taklimat khas Bencana Tasik Kenyir di ILP Marang.

    Menurut Poksu, kejadian yang bakal berlaku cukup menggerunkan, cuma cukuplah jika poksu khabarkan sentiasa bersiap siaga dan ikutlah arahan daripada pihak berkuasa jika diminta.

    Dikhabarkan kata Poksu mungkin dalam bulan November 2022 hingga Mac 2023 akan berlaku banjir besar.

    Amat dibimbangi banjir ini akan mengakibatkan kebocoran pada pintu keluar atau air buang di Tasik Kenyir yang kini masih dalam pembaikian akibat kerosakan semasa banjir Februari 2022.

    Dalam taklimat yang disampaikan pihak pengurusan Bencana itu menurut Poksu, jika berlaku kebocoran, dalam masa 5 hingga 8 jam benteng Tasik Kenyir akan mula pecah dan kepala air yang menakung air seluas 360 km akan melanda hampir semua kawasan Hulu Terengganu, Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

    Kawasan Marang bakal menjadi laluan pokok-pokok tumbang di mana Wakaf Tapai, Tambak Baru bakal ditenggelami air setinggi lima hingga enam meter manakala Pekan Bukit Payung pula air meningkat setinggi 16 meter.

    Bagaimanapun dalam taklimat tersebut, pihak pengurusan bencana meminta orang ramai tidak panik, sebaliknya diminta sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan sebarang kemungkinan.

    Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat pula meminta agar orang ramai tidak panik dengan kenyataan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengenai kemungkinan ‘Empangan Kenyir pecah’ pada musim Monsun Timur Laut kali ini kerana ia hanyalah bersifat ramalan segala kebarangkalian dan tidak bermaksud akan benar-benar berlaku.

    Hafiah berkata, taklimat NADMA sebelum ini adalah sebagai pemberitahuan persediaan dan pelan pihak berkuasa berhubung segala kemungkinan.

    Katanya, pelan tindakan itu sudah tersedia selepas NADMA menjangkakan hujan berlaku terlalu lebat dan limpahan air keluar dalam jumlah yang banyak.

    Justeru beliau berharap orang ramai jangan panik kerana Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengatakan bahawa empangan Tasik Kenyir masih terkawal dan tidak akan pecah.

    Sebaik menerima dan membaca washapp dan penjelasan tersebut penulis termenung seketika memikirkan apa akan terjadi kepada rakyat Terengganu sekiranya mala petaka ini benar-benar berlaku?

    Persoalannya, adakah pemimpin politik kita sedia maklum tentang perkara ini dan apakah tindakan yang sedang mereka lakukan?

    Sepatutnya kebimbangan rakyat seperti ini perlu diberikan keutamaan berbanding ketetapan dan keghairahan untuk mengadakan PRU-15.

    Ia penting kerana ketika rakyat sedang melalui musibah mereka tidak lagi berminat memikirkan hal sekeliling, apatah lagi keluar untuk membuang undi.

  • Ular sawa seberat 20 kilogram ditemui dalam mesin basuh

    Ular sawa seberat 20 kilogram ditemui dalam mesin basuh

    SEORANG pelanggan pusat dobi layan diri menemui seekor ular sawa berukuran 1.8 meter seberat 20 kilogram dalam mesin basuh di premis berkenaan di Taman Impian Emas, Johor Bahru semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Suhaimi Mohd. Jamal berkata, pelanggan melaporkan kejadian itu kepada pemilik premis yang kemudian menghubungi anggota bomba.

    Katanya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan itu pada pukul 9.41 pagi.

    “Menurut komander operasi, mereka menemukan seekor ular sawa berukuran 1.8 meter seberat 20 kilogram yang berada di dalam mesin basuh di kedai itu.

    “Anggota di lokasi menangkap ular berkenaan dengan menggunakan penjerut dan dilepaskan di kawasan jauh dari penempatan orang awam,” katanya, lapor BH Online.

    Menurut Suhaimi, reptilia yang ditemui itu tidak berada dalam keadaan agresif ketika cuba ditangkap.

  • Kadang-kadang UMNO tidak fikir panjang, kata Hamzah

    Kadang-kadang UMNO tidak fikir panjang, kata Hamzah

    BERSATU menyifatkan tindakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menetapkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini sebagai tidak mematuhi peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

    Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata ini kerana keputusan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 perlu dibuat selepas mendapat pandangan daripada Jemaah Menteri.

    Katanya, walaupun Perdana Menteri mempunyai kuasa menasihatkan Yang di-Pertuan Agong berkenaan perkara itu tetapi beliau perlu mendapatkan pandangan anggota Kabinet terlebih dahulu.

    “Apakah itu tujuan dan matlamat mereka? Saya tak tahulah… yang pentingnya dalam Perlembagaan bahawa Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen setelah berbincang dengan anggota Kabinet.

    “Apabila sudah sampai waktu untuk kerajaan membubarkan Parlimen, mungkin kerana sudah adanya keperluan untuk rakyat melantik atau mencari kerajaan yang baharu.

    “Kalau kerajaan yang ada hari ini baik, sepatutnya diteruskan sehingga tamat tempoh,” katanya pada sidang media selepas dialog awam Program Kita Demi Negara Siri Kedua Zon Sabah bertempat di pekarangan Stadium Likas, Kota Kinabalu, hari ini.

    Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan MKT UMNO membuat ketetapan PRU15 diadakan tahun ini.

    Mengulas lanjut, Hamzah berkata UMNO perlu peka bahawa kerajaan dibentuk hari ini bukan diterajui sebuah parti dominan, sebaliknya terdiri daripada pelbagai parti politik sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan pembubaran Parlimen.

    “Jadi kena fikir panjanglah. Kadang-kadang UMNO tidak berfikir panjang dan ini masalah. Saya pula fikirkan kepentingan rakyat kerana segala apa yang kita lakukan adalah untuk kepentingan rakyat.

    “Visi kita adalah untuk memastikan negara kita menjadi antara negara terbaik di dunia yang mana semua di seluruh dunia datang untuk melawat, duduk dan memajukan negara ini bersama undang-undang yang dipercayai serta diyakini,” katanya lapor BH Online.

  • DAP mahu Anwar tanding di Perak pada PRU-15

    DAP mahu Anwar tanding di Perak pada PRU-15

    DAP Perak mengalu-alukan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, ketokohan Anwar amat diperlukan dalam usaha memenangkan PH di negeri berkenaan

    “Berdasarkan rekod tiga pilihan raya umum sebelum ini, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi oleh parti bertanding amat tipis dan seimbang.

    “Oleh kerana itu sebagai pengerusi DAP Perak, demi membantu Perak menang, saya hari ini mengalu-alukan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di negeri Perak.

    “Jika beliau datang, saya yakin bukan sahaja beliau akan menang tetapi akan membantu kita memenangi semula kerajaan negeri Perak. Jangan lupa, negeri Perak ini sudah tiga penggal 50-50,” katanya ketika berucap sempena Konvensyen Tahunan DAP Perak kali ke-21 di Ipoh, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Hadir menyempurnakan konvensyen itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

    Sementara itu, mengulas perkara sama ketika sidang akhbar selepas konvensyen, Kor Ming berkata, DAP tidak menetapkan lokasi khusus untuk Anwar bertanding.

    Katanya, pelawaan tersebut dibuat untuk memberi kelebihan kepada negeri Perak jika Anwar menjadi Perdana Menteri.

  • Bersatu mahu kepimpinan UMNO ambil kira kepentingan rakyat sebelum bubar parlimen

    Bersatu mahu kepimpinan UMNO ambil kira kepentingan rakyat sebelum bubar parlimen

    PARTI Bersatu mahu kepimpinan UMNO mengambil kira kepentingan rakyat sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada  Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata UMNO tidak seharusnya menumpukan perhatian kepada usaha mendapatkan kuasa pemerintahan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira keadaan cuaca, kesiapsiagaan anggota keselamatan dan perbelanjaan negara sekiranya PRU15 diadakan.

    “Bersatu ingin kerajaan memberi fokus kepada persiapan untuk mengadakan PRU. Apakah cukup anggota polis, adakah dengan enam negeri yang telah mengatakan tidak akan mengadakan PRU pada tahun ini akan meningkatkan perbelanjaan negara?

    “Perkara ini perlu diambil perhatian yang serius, kerana kita bukan tertumpu untuk mendapatkan kuasa pemerintahan, tetapi juga kepentingan rakyat sebagai satu perkara paling utama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelepasan Program KBS Trail Run “Love Nature for Our Future” 2022, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang mahu Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.

    Jumaat lepas, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata berdasarkan cadangan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.