Category: Semasa

  • Kanak-kanak dua tahun lemas di air terjun

    Kanak-kanak dua tahun lemas di air terjun

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui lemas di kawasan air terjun Lata Rek, di Kuala Krai pukul 1.40 petang tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, mangsa, Mohd. Firdaus Yusof
    ditemui pada pukul 5 petang pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

    “Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.53 petang dan seramai sembilan anggota telah ke lokasi untuk kerja-kerja mencari dan menyelamat,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Bayi berusia 40 hari maut akibat sesak nafas

    Bayi berusia 40 hari maut akibat sesak nafas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG bayi lelaki meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas secara tiba-tiba di rumahnya di Taman Merbau dekat Tikam Batu, Kedah pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.50 pagi apabila bapa bayi tersebut menyedari anaknya yang berusia 40 hari, berdepan kesukaran untuk bernafas.

    “Tanpa menunggu lama, bapa bayi tersebut terus membawa bayi berkenaan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani dengan menaiki kereta sendiri.

    “Mangsa yang dibawa ke Jabatan Kecemasan bagaimanapun disahkan sudah meninggal dunia dipercayai ketika dalam perjalanan ke hospital berkenaan,” katanya.

    Tambahnya, pemeriksaan awal doktor terhadap tubuh bayi tersebut mendapati, tiada sebarang kesan kecederaan mahu pun unsur jenayah.

    “Kes tersebut setakat ini diklaisifikasikan sebagai mati mengejut dengan pihak hospital akan menjalankan bedah siasat terhadap jasad bayi berkenaan,” katanya.

  • Pasangan kekasih antara 4 ditahan edar dadah

    Pasangan kekasih antara 4 ditahan edar dadah

    SEPASANG kekasih merupakan antara empat individu yang ditahan polis dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah dalam beberapa serbuan di daerah Timur Laut, Pulau Pinang, pada 28 September lalu.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam operasi itu, pihaknya merampas dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan pil ekstasi dan eramin 5 yang kesemuanya bernilai lebih RM168,000.

    Menurut beliau, pasangan kekasih iaitu lelaki tempatan berusia 27 tahun dan wanita warga asing berusia 29 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah sebuah kondominium di Jelutong, pukul 2.30 petang.

    Dalam serbuan itu katanya, polis merampas sebanyak 65 gram MDMA dan enam biji pil eramin 5 daripada pasangan kekasih berkenaan.

    Serbuan itu jelas beliau, membawa kepada operasi kedua di sebuah lagi kondominium di Pengkalan Weld yang mana seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan bersama-sama 131 bungkusan pelbagai perisa serbuk minuman yang dicampur dadah MDMA seberat 3.085 gram dan ketamin (22 gram).

    Dengan penahanan suspek-suspek itu jelas beliau, polis berjaya mengesan seorang lagi ahli sindiket itu di Jalan Tunku Kudin 2, Gelugor.

    “Suspek ketika itu sedang memandu sebuah kereta jenis Nissan Almera dan ketika polis mahu menjalankan pemeriksaan ke atasnya suspek bertindak memecut kereta secara berbahaya.

    “Polis bertindak mengejar sejauh kira-kira lapan kilometer dan turut melepaskan tembakan sebanyak tujuh das ke arah tayar kenderaan suspek bagi memberhentikannya.

    “Hasil pemeriksan ke atas suspek, polis merampas sebanyak 123 biji pil ekstasi dan 10 peket ketamin mengandungi sebanyak 35.33 gram,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah Timur Laut, Georgetown hari ini.

    Jelas beliau, siasatan mendapati suspek berperanan membekalkan semua dadah kepada ahli sindiket lain sebelum mencampurkan dalam pelbagai minuman berperisa.

    Katanya, sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan penjualan dadah menerusi aplikasi WeChat dan bergiat aktif sejak Jun lalu.

    “Dadah jenis itu dipercayai dibekalkan di pusat-pusat hiburan di sekitar negeri ini dengan harga RM150 hingga RM250 sebungkus,” katanya.

    Dalam operasi sama tambah Soffian, polis turut menyita wang tunai sebanyak RM1,150 dan menyita dua buah kenderaan bernilai RM128,000.

    Jelasnya, tiga daripada suspek merupakan penganggur manakala seorang lagi bekerja sebagai pemandu e-hailling.

    “Kesemua mereka direman sehingga 7 Oktober ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • NGO mohon Agong tidak perkenan PRU tahun ini

    NGO mohon Agong tidak perkenan PRU tahun ini

    BEBERAPA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berharap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak memperkenan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini.

    Presiden Persatuan Anak Muda Johor, Wilayah Persekutuan dan Selangor, Najmudin Mahmood berkata, tindakan mahu menyegerakan PRU-15 hanyalah cita-cita politik sesetengah pihak.

    Malah, katanya sikap sebilangan ahli-ahli politik mahu menyegerakan PRU-15 merupakan tindakan tidak cakna nasib rakyat yang terbeban dengan masalah ekonomi, selain bencana banjir yang bakal melanda negara hujung tahun ini.

    “Rakyat mohon perkenan Tuanku menolak usaha menyegerakan PRU-15 dalam keadaan semua orang dihimpit kesusahan serta risiko bencana banjir yang bakal melanda negara,” katanya ketika dihubungi SatuBerita pada Isnin.

    Beliau diminta mengulas laporan media menyatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka menghadap Seri Paduka Baginda bagi mendapatkan perkenan membubarkan Parlimen.

    Ini susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang mahu PRU-15 diadakan pada tahun ini juga.

    Sementara itu Pengerusi Pertubuhan Ikatan Wanita Prihatin, Hamsatul Azura mengakui mandat perlu dikembalikan kepada rakyat, namun kebajikan rakyat lebih penting.

    “Kebajikan rakyat lebih penting daripada pilihan raya itu sendiri. PRU masih lagi boleh ditangguhkan sehingga tamat penggal pada tahun depan.

    “PRU-15 ini kita sebagai rakyat juga dapat tahu ianya sekadar kepentingan peribadi pemimpin yang ada bukan kepentingan untuk rakyat,” tambahnya.

    Sehubungan itu, beliau yakin Seri Paduka memiliki kebijaksanaan untuk membuat keputusan yang terbaik demi rakyat.

    “Andai kata Perdana Menteri menghadap Seri Paduka untuk mohon bubarkan Parlimen, saya percaya dan yakin Tuanku akan membuat pertimbangan yang terbaik demi memastikan kehidupan rakyat tidak terjejas,” katanya.

    Hamsatul berkata, antara faktor PRU-15 tidak wajar diadakan pada tahun ini kerana banyak pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir juga merupakan pusat mengundi, sekaligus menyukarkan proses bantuan kepada mangsa dan pengundian menjadi sukar.

    “Keduanya dari sudut perbelanjaan, kita semua tahu bahawa pilihan raya memerlukan perbelanjaan yang besar. Pada saya, adalah lebih baik sekiranya kos yang dikeluarkan oleh negara untuk PRU, ditumpukan untuk pemulihan serta untuk kegunaan bantuan kepada mangsa banjir kelak.

    “Ketiga adalah dari segi petugas. Jika berlakunya PRU, anggota keselamatan perlu bertugas di setiap saluran mengundi. Andai kata pada ketika itu ada bencana banjir, adakah pasukan-pasukan keselamatan boleh bertugas di dua tempat pada masa yang sama,” ulasnya lagi.

  • RM1 juta diperuntuk untuk program pintar botani TABIKA KEMAS

    RM1 juta diperuntuk untuk program pintar botani TABIKA KEMAS

    JABATAN Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memperuntukkan RM1 juta bagi melaksanakan program Pintar Botani melibatkan 500 buah TABIKA KEMAS di seluruh negara mulai tahun depan.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Modul Pintar Botani itu adalah aktiviti luar bilik darjah yang menerapkan aspek Sains dan Teknologi serta Amalan Gaya Hidup Sihat melalui makanan seimbang dan berkhasiat.

    “Program ini adalah aktiviti mengindahkan persekitaran TABIKA KEMAS dengan mendidik kanak-kanak menanam pokok sayur-sayuran serta buah-buahan dan hasil tuaiannya boleh dimasukkan dalam menu makanan di TABIKA KEMAS yang disediakan oleh pembantu Pemaju Masyarakat Sukarelawan.

    ‘’Ini sekaligus menjadi usaha KEMAS untuk memastikan kanak-kanak mendapat zat makanan yang seimbang agar tahap kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak yang lebih baik selain mereka mendapat pengalaman yang menyeronokkan sepanjang belajar di TABIKA KEMAS,”

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Hari POTENSI KEMAS Peringkat Kebangsaan 2022 Edisi ke-17 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjong Malim semalam.

    Mahdzir berkata,, aktiviti di luar bilik darjah menerusi Modul Pintar Botani itu juga akan membantu pembentukan pemikiran kreatif dan sifat bekerjasama dalam kalangan kanak-kanak.

    Mahdzir Khalid melambai tangan kepada peserta yang menyertai Hari Potensi TABIKA KEMAS di Tanjong Malim, semalam.

    “Program Pintar Botani ini bukan sahaja dapat mengoptimumkan tanah dan menceriakan kawasan TABIKA malah menjadikan persekitaran TABIKA KEMAS lebih menarik dengan penyediaan landskap serta tumbuhan hijau seperti sayur-sayuran dan pokok buah-buahan yang akan ditanam.”

    Pada masa yang sama Mahdzir berharap Program Pintar Botani itu mendapat sokongan dan juga kerjasama para ibubapa dan juga penduduk sekitar premis TABIKA KEMAS.

    “Penglibatan program Pintar Botani ini berkonsepkan Keluarga Malaysia melalui penglibatan  pelbagai pihak seperti  Jawatankuasa Aktiviti TABIKA, ibu bapa dan penduduk setempat, agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, MARDI, Kementerian Kesihatan dan termasuklah Badan Bukan Kerajaan (NGO)”, katanya.

    Selain itu tambah Mahdzir, program Pintar Botani itu juga akan membolehkan Pemaju Masyarakat TABIKA KEMAS memberi pendedahan asas keusahawanan melalui aktiviti jual beli hasil tanaman.

    Sementara itu, seramai 1,000 orang kanak-kanak TABIKA dari seluruh negara menyertai Hari Potensi KEMAS bagi edisi kali ini.

    Program membabitkan pertandingan pelbagai acara sukan yang melibatkan kanak-kanak seawal usia 5 dan 6 tahun.

    Antara acara yang dipertandingkan termasuk futsal, bola jaring, gerak kreatif, rounders dan pelbagai lagi dengan format pertandingan mengikut negeri-negeri.

  • Muat naik kandungan sumbang, pelakon terkenal didakwa esok

    Muat naik kandungan sumbang, pelakon terkenal didakwa esok

    SEORANG pelakon terkenal tanah air dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang esok.

    Pertuduhan itu dipercayai berkaitan dengan tindakan artis tersebut memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial.

    Pendakwaan akan dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, lapor Sinar Harian.

    Pelakon yang juga model berusia 36 tahun itu berdepan dengan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

  • Mulut kebas punca Noh ludah – Pengurus Hujan

    Mulut kebas punca Noh ludah – Pengurus Hujan

    RENJATAN elektrik daripada mikrofon yang menyentuh wajah dibasahi peluh hingga mulut kebas, didakwa punca penyanyi, Noh Salleh meludah di pentas Konsert Hausboom Music 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor, kelmarin.

    Mengulas rakaman video memaparkan aksi Noh yang tular sejak malam tadi, pengurus kumpulan Hujan, Ahmad Ariffin Ahmad, berkata ketika itu, berlaku beberapa masalah teknikal yang didakwa menjejaskan persembahan Noh di pentas.

    “Noh sepatutnya tampil dengan gitar. Namun, disebabkan masalah teknikal, dia terpaksa menyanyi tanpa memetik gitar.

    “Pada masa sama, mikrofon dipegang mengalami masalah. Ketika meletakkan mikrofon berhampiran mulutnya, Noh terkena sedikit renjatan elektrik.

    “Ini terhasil kerana wajahnya dibasahi peluh dan air menyebabkan mulutnya kebas. Bagi mengalih rasa sakit, Noh secara spontan meludah di atas pentas.

    “Dakwaan konon Noh meludah ke arah penonton tidak benar. Sebaliknya, dia meludah atas pentas.

    “Jarak antara pentas dan penonton juga kerana dipisahkan besi penghadang, jadi tidak mungkin (ludah) terkena penonton.

    “Jika Noh ludah ke atas, mungkin tempias air liur kena kepada penonton. Sebab itu, Noh tunduk.

    “Namun, jika ada yang terkena tempias ludah Noh, kami mohon maaf kerana perkara itu tidak disengajakan,” katanya, lapor BH Online.

    Sejak malam tadi, tular rakaman video memaparkan aksi Noh meludah di atas pentas ketika membuat persembahan.

    Aksi Noh mengejutkan peminat yang tertanya-tanya mengapa bekas suami usahawan dan aktivis masyarakat, Mizz Nina menunjukkan gelagat sedemikian.

    Sebelum ini, Noh menimbulkan kekecohan apabila tampil dengan sebatang rokok di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW).

    Ariffin berkata, suasana pada konsert itu panas hingga berlengas.

    “Sebelum naik ke pentas, kita sudah buat (kemaskan) rambut Noh. 

    Tetapi dengan 13,000 penonton dan dewan yang panas seperti sauna dan berlengas, tidak mungkin Noh dapat kekalkan imej itu.

    “Biar apapun, kami berterima kasih kepada orang ramai yang prihatin dan sentiasa ingin tahu perkembangan Noh serta mendoakan kesejahteraannya.

    “Mungkin Noh tampak serabut kerana kami sedang membuat persiapan Konsert Hujan Rumah Kita pada 5 November depan,” katanya.

    Ariffin berharap orang ramai tidak membuat telahan dan tuduhan bukan-bukan terhadap Noh hanya atas rakaman video viral itu.

    Sementara itu, ditanya apakah kontroversi itu menjejaskan jualan tiket Konsert Hujan Rumah Kita yang bakal berlangsung di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam, Ipin berkata, setakat ini sambutan tiket menggalakkan.

    “Sekarang, boleh dikatakan setiap minggu ada sahaja konsert atau festival muzik berlangsung.

    “Jadi, sedikit sebanyak beri kesan kepada penjualan tiket konsert Hujan. Namun, bukanlah bermakna tiket Hujan tidak terjual, cuma beri sedikit impak.

    “Ini secara tidak langsung memberi tekanan kepada kami yang rancak memikirkan bagaimana hendak tampil dengan konsert berbeza,” katanya.

  • Air mata kegembiraan sambut kepulangan ejen produk kosmetik yang diculik

    Air mata kegembiraan sambut kepulangan ejen produk kosmetik yang diculik

    EJEN jualan produk kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim yang diculik sekumpulan lelaki di rumahnya di Tumpat, pada 13 Sept, hari ini diserahkan polis kepada ahli keluarganya di Jalan Kelochor, Kota Bharu.

    Kepulangan Rosnazirah, 36, disambut dengan tangisan kegembiraan oleh kedua ibu bapa serta anggota keluarganya yang lain, termasuk anak perempuannya yang berusia 13 tahun.

    Turut mengiringi ketibaan mangsa adalah Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun serta pegawai-pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

    Muhamad Zaki berkata dengan penyerahan mangsa kepada keluarganya, kes dianggap sudah selesai dan kejayaan itu menunjukkan kesepaduan masyarakat dalam menangani permasalahan seperti ini.

    “Ini adalah kejayaan hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan, Bukit Aman dan rakan setugas dari negara jiran.

    “Kita tahu mangsa ditahan penculik melebihi 20 hari dan mungkin pengalaman dialami mangsa meninggalkan kesan emosi dan kejutan kepadanya. Sebaiknya kita berilah ruang kepadanya dan keluarga buat masa sekarang,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan mangsa kepada keluarganya hari ini.

    Jelasnya polis akan terus membantu mangsa termasuk bantuan di segi psikologi dan berharap agar masyarakat jangan memperkatakan hal yang negatif melibatkan mangsa.

    Katanya orang ramai perlu mengambil iktibar daripada kejadian ini dan berharap perkara sama tidak menimpa ke atas orang lain.

    “Apa yang penting kita berikan ruang kepada mangsa dan keluarga untuk menenangkan diri,” katanya.

    Dalam kejadian 13 Sept lepas, mangsa diculik oleh beberapa lelaki dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat pada pukul 5.10 petang.

    Mangsa disyaki dilarikan ke negara jiran melalui pangkalan haram di Kuala Jambu, Tumpat ekoran penemuan kereta yang digunakan suspek.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dalam kenyataan sebelum ini berkata mangsa diselamatkan melalui kerjasama dan perkongsian maklumat dan perisikan antara PDRM dengan Polis Diraja Thailand yang berjaya mengesan lokasi keberadaan mangsa di negara itu.

  • ‘Najib boleh hadir sidang Parlimen jika….’ – Azhar Harun

    ‘Najib boleh hadir sidang Parlimen jika….’ – Azhar Harun

    AHLI Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, yang sedang menjalani hukuman penjara ketika ini, boleh menghadiri sidang Dewan Rakyat jika mendapat kebenaran daripada Jabatan Penjara.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, menjelaskan beliau tidak mempunyai kuasa untuk memberi kebenaran kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) itu untuk hadir kerana Najib berada di bawah jagaan Jabatan Penjara.

    “Mengenai kehadiran Yang Berhormat Pekan, ia bukan di bawah kuasa saya langsung. Jika beliau hadir, maka beliau tidak perlu meminta kebenaran saya untuk masuk ke Dewan.

    “Persoalannya sekarang, adakah beliau boleh hadir? Itu bukan di bawah kuasa saya kerana ia bukan di bawah jagaan saya. Jadi, penjara mempunyai hak penjagaan beliau, maka terpulang kepada pihak penjara untuk melepaskan beliau daripada penjagaan itu.

    “Mengikut kefahaman saya, jika pihak penjara melepaskan beliau daripada penjagaan, maka pihak penjaralah yang menetapkan syarat pelepasan itu. Sekali lagi, bukan juga kuasa saya,” katanya, lapor BH Online.

    Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) yang membangkitkan cadangan supaya Najib dibenarkan hadir ke Parlimen, namun dengan tangan bergari, kerana beliau masih lagi seorang Ahli Parlimen.

    Perkara 48, Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang itu boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika disabitkan kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun, dan denda lebih RM2,000.

    Bagaimanapun, jika petisyen pengampunan difailkan dalam tempoh 14 hari dari sabitan dan hukuman, atau selepas pelupusan mana-mana rayuan atau prosiding mahkamah berhubung sabitan dan hukuman, kehilangan kelayakan itu hanya berkuat kuasa apabila petisyen itu dilupuskan, mengikut Perkara 48(4)(c).

    Najib telah memfailkan pengampunan diraja dalam tempoh 14 hari selepas sabitan itu.

  • Polis tahan pengasuh selepas terdapat lesan gigitan di muka bayi

    Polis tahan pengasuh selepas terdapat lesan gigitan di muka bayi

    SEORANG pengasuh wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kecederaan dialami bayi perempuan berusia lapan bulan di Taman Putra, Ampang, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 43 tahun ditahan selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat ibu mangsa sehari sebelum itu.

    “Berdasarkan laporan, ibu mangsa menyedari anaknya mengalami kecederaan dengan kesan gigitan pada muka dan kesan pulasan pada kedua-dua telinga.

    “Ibu mangsa kemudian membawa anaknya ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohamad Farouk berkata, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai enam anak asuhan berusia tiga bulan hingga dua tahun selain mempunyai anak kandung yang tinggal bersama iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan berusia 16 dan lapan tahun.

    “Siasatan awal mendapati kecederaan dialami mangsa dipercayai berpunca daripada anak asuhan yang lain menggigit muka bayi berkenaan ketika suspek keluar dari rumah.

    “Suspek direman selama empat hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.