Category: Semasa

  • Ibu dedah perlakuan PU Azman terhadap anak

    Ibu dedah perlakuan PU Azman terhadap anak

    IBU kepada salah seorang mangsa kes amang seksual melibatkan pendakwah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman, mendedahkan yang tertuduh telah meminta anak lelakinya melumur minyak pada bahagian kemaluan remaja berkenaan.

    Saksi ketiga yang berusia 45 tahun itu berkata demikian di hadapan Hakim Datin Surita Budin pada prosiding hari pertama kes perbicaraan PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 42, di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.

    Menurutnya, dia mengetahui perkara berkenaan selepas diceritakan sendiri oleh anaknya yang ketika kejadian berusia 17 tahun dan ia berlaku pada 5 Februari 2022 di rumah PU Azman di Sendayan, Seremban, lapor Sinar Harian.

    “Anak saya cakap dia tak menipu. Dia duduk di ruang tamu kemudian PU Azman suruh ambil minyak di bilik tingkat atas rumah. Dia minta sapukan minyak itu di bahagian kemaluannya sebelum minta memasukkan kepadanya (PU Azman),” katanya.

    Kata suri rumah terbabit, dia mula mengetahui perbuatan terkutuk tertuduh selepas didedahkan dalam satu pertemuan yang diaturkan oleh guru sekolah anaknya pada 27 Ogos 2022.

    Jelasnya, dalam pertemuan yang berlangsung di sebuah hotel di Shah Alam itu, pendakwah bebas Firdaus Wong juga ada bersama.

    Selain itu beliau juga memberitahu, yang PU Azman berhasrat menjadikan anaknya sebagai anak angkat dan ia diketahui melalui perbualan kedua-duanya di aplikasi WhatsApp.

    “Anak saya kata nak pergi rumah PU Azman saja-saja. Dalam perbualan WhatsApp dia nak jadikan anak saya sebagai anak angkat.

    “Mulanya saya tidak percaya sebab PU Azman seorang selebriti, tetapi anak saya meyakinkan untuk pergi ke rumahnya,” katanya.

    Selain itu katanya, anaknya mula berhenti sekolah kerana berasa tertekan dengan insiden berlaku malah turut minta jangan diganggu.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Husni Fairos Ramly dan Goh Hsiao Tung manakala tertuduh pula diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad, Fahmi Adilah dan Norman Mohd Nasir.

    Sebelum ini Sinar Harian melaporkan PU Azman mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 dan 16 tahun pada Februari dan Julai 2022.

    Mengikut tiga pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal dengan melakukan perbuatan kelucahan melampau termasuk merangsang mangsa.

    Perbuatan itu dilakukan di ruang tamu dan tandas di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai 2022 antara jam 3 pagi hingga 5 pagi.

    Selain itu dia turut tidak mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan lain berhubung kesalahan jenayah seksual di Mahkamah Ampang, Klang dan Shah Alam.

  • Ketua Penerangan UMNO Kedah calon BN di Tanjung Dawai

    Ketua Penerangan UMNO Kedah calon BN di Tanjung Dawai

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Bekas Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin hari ini dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

    Pengumuman nama Shaiful yang juga bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah sewaktu beliau menjadi Menteri Besar, diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi

    Ketika ini Shaiful Hazizy memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO Negeri.

    “Dengan mandat yang diamanahkan oleh Pengerusi BN, maka diumumkan calon bagi kerusi DUN N26 Tanjung Dawai ialah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin. BN merakamkan penghargaan kepada Pakatan Harapan atas semangat perpaduan memberikan laluan kepada BN untuk bertanding di DUN Tanjong Dawai,” katanya.

    Shaiful Hazizy sebelum ini pernah menyatakan yang beliau tidak akan bertanding dalam PRN setelah tewas merebut kerusi Parlimen Merbok dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Beliau hanya meraih 16,691 undi di belakang calon Pakatan Harapan (PH), Nurin Aina yang mendapat 31,554 undi dan pemenang kerusi tersebut dari Perikatan Nasional (PN), Mohd Nazri Abu Hassan yang memperolehi 52,573 undi.

    BN sebelum ini menangguhkan pengumuman calon bagi kerusi DUN tersebut.

    Terdapat spekulasi mengatakan kerusi DUN itu turut dimahukan PH untuk mereka meletakkan calon dari Parti Amanah Negara (Amanah) di situ.

  • Bantu syarikat keluarga dapat projek, penjawat awam, isteri direman 3 hari

    Bantu syarikat keluarga dapat projek, penjawat awam, isteri direman 3 hari

    SEPASANG suami isteri direman selama tiga hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dalam proses mendapatkan perolehan kerja melibatkan nilai ratusan ribu ringgit.

    Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009,lapor Bernama.

    Suspek yang juga penjawat awam berusia 30-an disyaki mengesyorkan syarikat milik ibu bapanya yang diuruskan oleh isterinya berusia 40-an, bagi mendapatkan perolehan kerja di sebuah jabatan kerajaan di Terengganu sejak 2019.

    Pasangan itu masing-masing ditahan pada 6 petang dan 3.30 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri.

    Dalam operasi semalam SPRM juga berjaya merampas beberapa kenderaan mewah milik pasangan tersebut yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes yang disiasat dan semuanya dianggarkan bernilai lebih RM100,000.

  • Saya jaga negeri bukan MBI, Sanusi jawab kepada Saifuddin

    Saya jaga negeri bukan MBI, Sanusi jawab kepada Saifuddin

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan status dua lelaki China yang dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bekerja dengan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah bukan berada di bawah tanggungjawabnya.

    Muhammad Sanusi berkata, meskipun berperanan  sebagai Pengerusi MBI Kedah, namun tidak ada kuasa eksekutif diperuntukkan terhadapnya dalam perbadanan tersebut.

    Katanya, beliau hanya berada dalam Panel Penasihat MBI yang turut dianggotai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri; Penasihat Undang-Undang, Pegawai Kewangan Negeri serta Pengarah Jabatan Perhutanan dan Pengarah Tanah dan Galian (PTG).

    “Saya tak ada maklumat, saya tak tau apa. Tak betul itu (tuduhan Saifuddin). Saya tak tau apa (sebab) MBI bukan ‘I MB’. MBI ini entiti berasingan dan urusannya lain.

    “Panel penasihat MBI bukan lembaga pengarah, cuma kita pantau (jika ada) apa-apa yang takut sensitif untuk ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengurusan. 

    “Kalau dibawa kepada kita, kita boleh bagi nasihat. Kalau tidak dibawa kita tak nasihatlah dan kita tak tahu operasi MBI,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Geran dan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bagi Daerah Yan di Guar Chempedak.

    Saifuddin sebelum ini meminta Muhammad Sanusi memberitahu status dan keberadaan dua lelaki warga China iaitu So Loi Fat dan Huang Zhiyi yang ditawarkan bekerja dengan MBI termasuk kontrak dan skop kerja mereka.

    Kata beliau, apa yang didedahkan itu hanyalah permulaan kepada siri pendedahan lain berhubung kecurian unsur nadir bumi (REE) di negeri Kedah.

    Mengulas lanjut, ujar Muhammad Sanusi, beliau hanya menjaga pentadbiran negeri dan bukan pentadbiran MBI yang dikendalikan oleh CEO, ketua pegawai kewangan dan berpuluh lagi perjawatan dalam perbadanan itu.

    “Nak tanya saya pasal pengurusan syarikat, saya tak tau. Cuma cubaan menteri itulah saya tau cubaan yang baik tapi gagal. Dialah duk menyamakan MB dengan MBI. 

    “Ada percubaan untuk membina naratif yang apa saja kesalahan nak dilonggok atas kepala MB. Saya malas nak jawab pasal dia mengarut, operasi sekecil-kecilnya suruh kita jawab. Saya mana tau, saya jaga negeri. Kita bukan jaga MBI,” katanya.

  • Lantik Speaker bukan ADUN, syarat DAP serah kerusi Dusun Tua kepada UMNO

    Lantik Speaker bukan ADUN, syarat DAP serah kerusi Dusun Tua kepada UMNO

    DAP berkata parti itu mencadangkan agar Speaker DUN Selangor dilantik dari kalangan bukan ADUN, sebagai pertukaran kerana menyerahkan kerusi DUN Dusun Tua kepada UMNO.

    Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, mereka juga mencadangkan penyandang DUN Banting Lau Weng San sebagai calon Speaker.

    “Ketika kami diminta serahkan Dusun Tua, syarat kami adalah kami cadangkan bukan ADUN sebagai speaker DUN. Dan kami cadangkan Lau (untuk jawatan itu),” katanya ketika diminta mengulas keputusan DAP untuk menyerahkan DUN Dusun Tua kepada UMNO dalam PRN akan datang.

    Loke berkata demikian ketika sidang media mengumumkan calon DAP untuk PRN Selangor, di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur hari ini. Weng San tidak akan mempertahankan kerusinya dalam PRN ini.

    Beliau berkata syarat itu disampaikan kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH Anwar Ibrahim yang setuju dengan perkara itu. Dusun Tua disandang oleh Edry Faizal Eddy Yusof.

    Kerusi itu merangkumi 63 peratus pengundi Melayu, diikuti 28 peratus pengundi Cina, India (tujuh peratus) dan lain-lain (dua peratus).

    Terdahulu, Loke berkata ada pemimpin DAP yang “kecewa” kerana terpaksa melepaskan Dusun Tua kepada UMNO tetapi mereka akan akur dengan keputusan itu.

    Sementara itu, portal FMT melaporkan, Loke berkata, bekas ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah yang digugurkan DAP daripada bertanding pada PRN bulan depan dicadangkan sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang.

    Ean Yong yang juga Timbalan ketua DAP Selangor menyandang kerusi DUN Seri Kembangan selama tiga penggal bermula 2008 dan pernah menjadi Exco Kerajaan Selangor.

    Beliau digantikan Wong Siew Ki yang dipindahkan dari DUN Balakong.

    “Beliau (Ean Yong) akan ditugaskan dalam tugasan di peringkat Persekutuan, saya telah mencadangkannya (dilantik) sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang,” katanya.

  • REE : Sanusi sahkan pegawai kanan ditahan SPRM bantu siasatan

    REE : Sanusi sahkan pegawai kanan ditahan SPRM bantu siasatan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengesahkan salah seorang pegawai kanannya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

    Bagaimanapun menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu, beliau tidak mengetahui mengenai butiran penahanan tersebut termasuk kes yang sedang disiasat.

    “Saya pun hanya dimaklumkan pagi ini yang dia ditahan bagi membantu siasatan, bukan ditahan kerana bersalah. Saya tak tahu dia salah apa tetapi tak apalah, bagi siasatan selesai dulu.

    “Dia pun tak maklum apa-apa, mungkin dia tak boleh nak maklumkanlah kot. Usaha-usaha itu makin hari, makin rancak nampaknya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan geran dan lesen pendudukan sementara (LPS) bagi daerah Yan di Guar Chempedak, Kedah, hari ini.

    Media hari ini melaporkan mengenai penahanan pegawai kanan tersebut bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

    Difahamkan lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira pukul 8 malam tadi di Pejabat SPRM Alor Setar kerana didakwa meminta rasuah berjumlah RM1 juta daripada seorang pemilik syarikat. Individu ditahan itu kemudiannya direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17 dan 23, Akta SPRM 2009.

    SEMENTARA itu Muhammad Sanusi tidak menolak kemungkinan tangkapan tersebut ada kaitan dengan penahanan terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) sebelum ini.

    “Saya rasa macam itu sebab itu satu-satunya hasil daripada ‘brain storm’ Pakatan Harapan (PH) untuk merebahkan PN iaitu menggunakan isu REE. Tak apalah, buatlah dan kita tak ada masalah apa-apa.

    “Saya relaks saja dan suruh semua yang dipanggil beri keterangan, untuk beri kerjasama. Apa yang ‘depa’ mahu, kita cerita dan kita tak ada apa nak dibimbangkan. Selama kita benar, tak ada apa yang perlu dikhuatirkan. Jangan takut, jangan gentar kerana kita bukan bangsa penunduk,” katanya.

    Dengan penahanan pegawai kanan tersebut, SPRM setakat ini sudah menahan empat individu termasuk CEO MBI, pengarah syarikat dan pembantu pemilik syarikat bagi membantu siasatan kes tersebut.

  • Cabaran menanti PH-BN tidak boleh dipandang ringan – Tok Mat Hasan

    Cabaran menanti PH-BN tidak boleh dipandang ringan – Tok Mat Hasan

    CABARAN yang bakal ditempuh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak boleh dipandang ringan semua pihak, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Timbalan Pengerusi BN itu berkata meskipun yakin negeri yang dikuasai PH di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan itu mampu terus dipertahankan menerusi kerjasama BN pada PRN kali ini, namun dinamika politik hari ini menuntut semua pihak berkerja keras untuk mencipta kemenangan.

    Mengambil analogi perlawanan bola sepak yang menampilkan strategi berbeza bagi perlawanan yang berlainan, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata perkara sama juga berlaku dalam politik yang memerlukan pendekatan berbeza.

    “Semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) corak dan strateginya lain dan dalam PRN kali ini juga perlukan satu pendekatan yang lain, tidak boleh sama maka cabaran yang kita akan hadapi juga lain. Di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, tiada masalah untuk kita pertahankan.

    “Walaupun kita mempunyai peluang untuk merampas Kelantan, Terengganu dan Kedah, namun kita perlu bekerja lebih kuat untuk cuba merampasnya…paling tidak sekurang-kurangnya menambah bilangan kerusi kita di negeri-negeri itu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan mahu semua pihak berkempen secara matang serta mengelakkan daripada politik dan kempen tidak sihat sepanjang PRN berlangsung.

    “Kalau dalam kempen pun kita dah buka habis semua pekung, dikhuatiri pihak-pihak di luar negara yang berhasrat untuk melabur di negara kita berasa bimbang untuk melabur.

    “Dengan adanya pelaburan, sudah tentu ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan membantu meningkatkan ekonomi negara,” katanya.

    Sementara itu, Mohamad yang telah dinamakan sebagai calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan berkata biarpun telah lama mewakili kawasan berkenaan, namun ia bukan tiket untuknya berasa selesa.

    “Setiap kali pilihan raya pasti cabarannya berlainan. Saya tak boleh mengambil ringan dan tetap perlu bekerja kuat untuk memastikan kemenangan,” katanya.

    Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan telah mewakili DUN Rantau selama empat penggal sejak 2004.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di keenam-enam negeri itu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai hari pengundian manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.

  • Perlu simpanan KWSP RM240,000 ‘bersara bermaruah’ – Ahmad Maslan

    Perlu simpanan KWSP RM240,000 ‘bersara bermaruah’ – Ahmad Maslan

    RAKYAT di negara ini perlu mempunyai simpanan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekurang-kurangnya RM240,000, untuk bersara pada usia 55 tahun secara bermaruah.

    Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata anggaran simpanan caruman berkenaan, membolehkan seseorang untuk menampung kehidupan bagi tempoh 20 tahun selepas bersara, dengan kadar perbelanjaan RM1,000 sebulan.

    “Sekiranya seseorang berpencen pada umur 55 tahun, ditambah 20 tahun kehidupan selepas berpencen menjadikan keseluruhannya ialah 75 tahun, iaitu merupakan jangka hayat rakyat Malaysia,” katanya selepas lawatan ke Ibu Pejabat KWSP Kota Bharu, lapor Bernama.

    Ahmad berkata antara cadangan yang diketengahkan kepada rakyat untuk menambahkan caruman simpanan mereka ialah dengan melakukan caruman secara sukarela, menerusi caruman i-saraan KWSP.

    Beliau berkata setakat Jun, lebih 500,000 pencarum di seluruh negara telah melakukan caruman di bawah caruman i-saraan KWSP, selain pada masa yang sama kerajaan berhasrat penyertaan berkenaan dapat dimaksimumkan.

    “Kita ingin memastikan penyertaan maksimum rakyat menerusi caruman ini, terutamanya mereka yang berada dalam sektor tidak formal iaitu peniaga, nelayan, pesawah, petani, penoreh getah dan sebagainya. Malah, mereka yang bekerja kerajaan juga disyorkan untuk mencarum, walaupun mereka mempunyai pencen.

    “Melalui caruman ini juga pencarum layak menerima insentif yang ditawarkan oleh Kerajaan sebanyak RM300 maksima secara tahunan, sekiranya mereka mencarum sekurang-kurangnya RM2,000 setahun, selain dividen sehingga mencecah lima peratus,” katanya.

    Ahmad Maslan berkata sebanyak 26 Kaunter Bergerak KWSP turut di lancarkan pada 4 Julai lalu di Wilayah Timur, terutama di kawasan pedalaman untuk menghebahkan mengenai caruman berkenaan selain perkara berkaitan.

    “Menerusi kaunter bergerak itu, pencarum mahupun orang ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat persaraan serta pengiraan simpanan persaraan, bagi membantu menilai kecukupan simpanan apabila bersara nanti sekali gus untuk mendapatkan persaraan yang lebih baik,” katanya.

  • Jenazah Salahuddin selamat dikebumikan

    Jenazah Salahuddin selamat dikebumikan

    JENAZAH  Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub selamat dikebumikan pada pukul 12.05 tengah hari tadi di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat, Pontian hari ini.

    Terdahulu, jenazah Ahli Parlimen Pulai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram itu disembahyangkan sebanyak lima kali di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot, Serkat termasuk diimamkan oleh anak sulungnya Iskandar Zulkarnain Salahuddin, 37, dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Ribuan rakan politik, saudara mara, sahabat handai dan orang ramai hadir di masjid berkenaan serta di tanah perkuburan bagi memberi penghormatan terakhir kepada  Allahyarham yang amat dedikasi dalam memperjuangkan nasib rakyat terutama berkaitan kos sara hidup.

    Antara yang turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Komunikasi Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Senator Fuziah Salleh.

    Terdahulu, Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam tadi (Ahad) setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

    Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu meninggalkan isteri Datin Seri Fatimah Taha dan enam anak terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan.

  • Bom di kereta Siti Kasim umpama cubaan bunuh – Ketua Polis Negara

    Bom di kereta Siti Kasim umpama cubaan bunuh – Ketua Polis Negara

    KETUA  Polis Negara Razarudin Husain berkata penemuan bom buatan sendiri di bahagian bawah kereta milik peguam yang juga aktivis hak asasi manusia Siti Kasim “umpama cubaan bunuh”.

    Katanya, polis kini giat mengesan suspek melalui cap jari dan bukti lain berkaitan.

    “Penemuan objek bom itu adalah satu jenayah serius dan ancaman terbabit umpama cubaan membunuh. Siasatan lanjut dijalankan polis kontinjen Kuala Lumpur,” katanya lapor Harian Metro

    Beliau berkata, polis mengambil tindakan agresif dalam siasatan dan tidak akan membiarkan individu tidak bertanggungjawab melakukan jenayah sedemikian.

    “Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi berkaitan kes berkenaan yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

    Terdahulu, Ketua Polis Brickfields, Amihizam Abdul Shukor, mengesahkan dua objek ditemui di bahagian bawah kereta Siti Kasim di pusat servis kenderaan di Jalan Maarof, Bangsar, adalah alat letupan termampat (IED).

    Amihizam dilaporkan berkata, ia berdasarkan siasatan dilakukan Unit Pemusnah Bom (UPB).

    Jumaat lalu, Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kassim dalam siaran langsung di Facebook mendakwa keretanya diletakkan objek menyerupai bom.

    Peguam itu berkata, dia menyedari objek diletakkan di bahagian tayar ketika menghantar kenderaannya ke pusat servis pada 12 tengah hari.