Category: Semasa

  • Tak boleh elak jentera luar, calon PN sokong kempen berhemah

    Tak boleh elak jentera luar, calon PN sokong kempen berhemah

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Dr. Mohd. Mazri Yahya akur saranan supaya kempen dijalankan secara berhemah dan tertib.

    Mazri berkata pihaknya menyahut seruan Menteri Besar Johor Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi itu demi perpaduan rakyat di negeri ini.

    Bagaimanapun, katanya, pembabitan jentera luar negeri tidak dapat dielakkan kerana ia adalah lumrah bagi setiap kali PRK atau PRN.

    “Dalam mana-mana pilihan raya sekali pun, memang begitulah sama ada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan PN, perkara sama tetap akan dilalui.

    “Menariknya kerana kita baru selesai mengadakan PRN di enam negeri dan hanya dua sahaja PRK (Pulai dan Simpang Jeram Pulai), jadi jentera pasti tertumpu di Johor,” katanya menurut Berita Harian pada ceramah di Bakri malam tadi.

    Mazri akan berdepan Nazri Abdul Rahman yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan calon bebas S Jeganathan.

    PRK itu diadakan susulan kematian penyandang kerusi Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Jul lalu

  • TV Alhijrah pula diberi tekanan dalam siri sekatan terbaru terhadap media

    TV Alhijrah pula diberi tekanan dalam siri sekatan terbaru terhadap media

    SELEPAS beberapa siri sekatan terhadap beberapa portal berita dalam talian, cengkaman Putrajaya terhadap media berterusan dengan saluran penyiaran Islam kerajaan disiasat kerana menyiarkan semula rancangan realiti dari awal 2022 yang memaparkan kehadiran seorang pemimpin Pas yang pernah menjadi menteri hal ehwal Islam.

    TV AlHjirah, saluran televisyen tempatan di bawah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), menyiarkan tayangan semula “Hijrahkan Laguku”, pertandingan nyanyian Islamik yang pertama kali disiarkan pada Januari 2022. 

    Program itu turut menampilkan Datuk Idris Ahmad, Naib Presiden Pas yang ketika itu menjadi menteri yang menjaga agama Islam di Jabatan Perdana Menteri. 

    Pas adalah sebahagian daripada kerajaan Pusat dari Mac 2020 hingga November 2022, ketika Putrajaya berada di bawah gabungan Perikatan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Barisan Nasional.

    Pada Mei, hanya enam bulan selepas pertukaran kerajaan, Pengerusi TV AlHijrah Ab Halim Tamuri digantikan dengan bekas pensyarah undang-undang Khair Ngadiron. 

    Kerajaan juga mengumumkan pelantikan enam ahli lembaga pengarah baharu untuk syarikat penyiaran: Hakimah Mohd. Yusoff, Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Dzul Karnain Abdullah, Shamsul Qamar Abd. Rani, Azizuddin Ahmad dan Amran Idris. 

    Tayangan semula malam Sabtu lalu mendorong Fakhrurrazi Rashid, penyokong Pakatan Harapan (PH) yang sehingga baru-baru ini terikat dengan badan pemikir berkaitan DAP, mengkritik menteri hal ehwal Islam ketika ini, Datuk Na’im Mokhtar.

    “Patutlah orang Melayu masih percaya Pas masih kerajaan sekarang ke menteri agama tak berfungsi?” soalnya di Twitter.

    Kirimannya mendapat maklum balas segera daripada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, beliau sudah menghubungi pengurusan TV AlHijrah “untuk penjelasan dan tindakan”.

    Ini diikuti dengan kenyataan ringkas daripada stesen itu, yang mengumumkan pelancaran siasatan dalaman.

    “Penambahbaikan proses dalaman juga akan dilakukan oleh pihak TV AlHijrah agar perkara tersebut tidak berulang.”

    Namun kenyataan itu mendapat reaksi yang lebih tegas daripada Na’im, yang secara terbuka menegur stesen TV itu yang terletak di bawah bidang kuasanya, menuduh kakitangannya sebagai “kecuaian dan kerja secara sambil lewa”.

    “Kecuaian dan kerja secara sambil lewa tanpa amalan ketelitian tidak dapat diterima dalam bidang penyiaran.”

    Kiriman tersebut tidak meredakan kemarahan penyokong PH di media sosial, yang kebanyakannya mendesak Na’im meletak jawatan kerana lambat menjalankan tugas.

    “Letak jawatan la. Kami bosan menteri agama lembab dan lemah,” tulis seorang pengguna media sosial.

    Dalam responsnya, Idris berkata, beliau sedih dengan reaksi kerajaan, sambil menambah tidak pernah menggunakan program itu untuk sebarang tujuan politik.

    “Saya hanya waktu itu menganugerahkan kepada artis-artis yang berhijrah, tiba-tiba keluar gambar saya. Saya waktu itu menteri, bukan pemimpin Parti Komunis Malaya,” katanya pada ceramah di Johor malam tadi.

    Sementara itu, kenyataan TV AlHijrah di Facebook menarik ratusan komen, yang kebanyakannya mempersoalkan cara pemimpin kerajaan bertindak semata-mata berhubung rakaman musuh politik yang muncul dalam program yang ditayangkan semula.

    “Kesian TV AlHijrah melayan menteri koyak,” tulis Mohd. Faisal Abdul Khanan.

    “Itu pun ambil peduli! Makin meluat pula, benda elok dan baik serta diminati ramai eloklah diulang siar,” kata Mohd. Firdaus Ahmad.

    “Siaran ulangan pun ada yang koyak ka?” tanya Abdul Aziz Yusoff Rantawi.

    “Hanya kerana beza politik,” kata Mohd. Taib Latip.

    Sebahagian besar pengulas sementara itu berkata, mereka tidak pernah menonton televisyen selama bertahun-tahun, dengan sesetengahnya mengatakan mereka tidak mengikuti saluran percuma.

    Insiden terbaru itu berlaku susulan siri sekatan terhadap saluran media di negara ini, yang terbaru ialah langkah menyekat TV Pertiwi, sebuah portal berita dalam talian yang mengkhususkan video pendek dan podcast politik lapor Malaysianow.

    Pada Jumaat, syarikat media itu enggan menurunkan enam kandungan berita, sebagai sebahagian daripada syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), agensi di bawah kementerian Fahmi yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini menggesa platform media sosial seperti X (dahulunya Twitter ) dan TikTok untuk mengeluarkan kandungan yang mengkritik kerajaan.

    Pada Jun, Fahmi mendapat kecaman hebat selepas portal berita MalaysiaNow disekat selama 48 jam. 

    SKMM enggan menjawab soalan yang diajukan berulang kali bagi mendapatkan penjelasan. 

    Bulan lalu, satu lagi laman sesawang isu semasa, UtusanTV, yang dikendalikan oleh bekas kakitangan syarikat media Utusan Melayu yang kini tidak beroperasi, turut disekat.

    SKMM juga melakukan sekatan capaian ke atas laman sesawang Malaysia Today yang dikendalikan oleh pengkritik kerajaan, Raja Petra Kamarudin, serta sebuah blog yang mengkhususkan kecurangan korporat dan kewangan yang dikendalikan oleh bekas ahli Parlimen DAP Wee Choo Keong.

  • PRK: 25 permit ceramah, kempen diluluskan

    PRK: 25 permit ceramah, kempen diluluskan

    SEBANYAK 25 permit ceramah dan kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor diluluskan polis, setakat semalam.

    Jurucakap Media PRK Johor, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintendan Ibrahim Mat Som memberitahu, daripada jumlah itu, 20 permit adalah di kawasan Parlimen Pulai, manakala lima lagi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

    “Bagi kawasan Parlimen Pulai, dua permit ceramah dan 18 permit kempen diluluskan manakala bagi kawasan Dun Simpang Jeram, dua permit ceramah dan tiga permit kempen sudah diluluskan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

    Beliau berkata, sehingga kini, tiada sebarang kertas siasatan yang dibuka.

    Pada masa masa, beliau menasihatkan supaya semua parti serta kumpulan penyokong menghormati antara satu sama lain serta tidak melakukan kerosakan terhadap poster, banner, bendera, kain rentang mana-mana parti politik dengan mencabut atau membakarnya.

    “Hal ini adalah satu perbuatan khianat dan menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    “Kami juga menasihatkan supaya setiap calon pilihan raya yang ingin mengadakan kempen, mengikuti peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 dan tidak menyentuh isu 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja dan kekalkan ketenteraman awam.

    “Tindakan akan diambil kepada semua pihak tanpa mengira parti jika menyentuh isu berkenaan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, sekiranya mempunyai sebarang permasalahan yang timbul, mana-mana pihak boleh merujuk kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya berlandaskan undang-undang yang sedia ada.

  • PRK Pulai: Hadi ulangi kerajaan boleh berubah bila-bila masa

    PRK Pulai: Hadi ulangi kerajaan boleh berubah bila-bila masa

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa bahawa keputusan memberangsangkan gabungan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai pada 9 September ini boleh menjadi pencetus kepada perubahan dalam kerajaan Persekutuan.

    Sebelum ini, pemimpin PN juga membuat dakwaan serupa menjelang enam pilihan raya negeri yang lalu.

    Beliau berkata, ada pihak yang mendakwa PRK Pulai tidak akan membawa sebarang perubahan di peringkat Persekutuan kerajaan hanya PRK.

    “Namun ia sebenarnya ada makna besar sebab ahli Parlimen yang menang nanti akan bercakap bagi pihak kita di Parlimen.

    “Apatah lagi PN memiliki jumlah kerusi agak besar di Parlimen… kerajaan boleh berubah bila-bila masa sahaja.

    “Kita memerlukan tambahan kerusi ini untuk banyak lagi… dan kita harap bersabar,” katanya kepada pemberita di Markas Pas Pulai, Johor Bahru malam tadi.

    Beliau seterusnya menyatakan harapan agar UMNO berubah fikiran dan pemimpinnya ‘bertaubat’.

    “UMNO yang insaf supaya berubah… kerajaan akan berubah pada bila-bila masa. Itu boleh berlaku. Jangan bimbang,” katanya lagi.

    Pada 7 Ogos lalu, Hadi mendakwa kemenangan PN dalam enam pilihan raya negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan akan membuka jalan kepada perubahan dalam pentadbiran kerajaan persekutuan.

    Semalam Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan mengibaratkan istilah ‘gelombang rakyat’ yang dicipta PN hanya sebagai cakap kosong yang dicipta pakatan pembangkang.

    Katanya, adalah tidak tepat untuk menggambarkan bahawa seluruh negara menyokong ‘gelombang’ tersebut apabila PN hanya menguasai empat negeri.

    Negeri yang dimaksudkan ialah Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    “Macam mana pula itu dipanggil gelombang rakyat? Malaysia ada 14 negeri, mereka (PN) dapat empat negeri sahaja. Kita ada 10 (negeri).

    “Takkan mereka tak tahu matematik, 10 jauh lebih banyak daripada empat.

    “Jangan nak kata itu gelombang rakyat, temberang diorang saja. Itu hanyalah ‘gelombang hijau’ yang tak sampai ke mana dan empat negeri itu sahajalah gelombangnya,” katanya.

    Ahmad, yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO, menyatakan keyakinan bahawa pengundi di Simpang Jeram dan Pulai akan bersikap rasional dalam membuat keputusan yang tepat untuk memilih wakil rakyat bagi kerusi DUN dan parlimen masing-masing.

    Kerajaan Persekutuan yang dianggotai parti Pakatan Harapan, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai majoriti besar di Parlimen, manakala PN hanya mempunyai 73 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

    PRK Simpang Jeram dan Pulai diadakan berikutan kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai, sehari selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

    Pertembungan tiga penjuru akan berlangsung bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, antara calon PH l, Ir. Nazri Abdul Rahman, calon PN, Dr. Mohd. Mazri Yahya, dan calon bebas S. Jeganathan.

    Sementara itu, di Pulai, Suhaizan Kaiat dari PH akan berdepan calon PN, Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.

    Pada pilihan raya umum ke-15, Salahuddin memenangi kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti 33,174 undi, memperoleh 64,900 undi, mendahului calon BN, Datuk Nur Jazlan Mohamed (31,726 undi) dan calon PN Loh Kah Yong (20,677).

    Salahuddin turut mempertahankan kerusi Simpang Jeram pada pilihan raya negeri Johor Mac tahun lalu dengan meraih 8,749 undi menentang Zarul Salleh dari PN (6,350 undi), Lokman Md. Don dari BN (6,062 undi) dan Mahaizal Mahmor dari Pejuang (208 undi).

    Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya, terdapat 166,653 pengundi berdaftar, 165,799 pengundi biasa, 927 anggota polis dan pasangan, dan 26 pengundi pos luar negara di kawasan Parlimen Pulai.

    DUN Simpang Jeram mempunyai 40,379 pengundi berdaftar, 40,373 pengundi biasa, dan enam pengundi pos luar negara.

  • Zahid bimbang keputusan PRN berulang di PRK Johor, kata Idris Ahmad

    Zahid bimbang keputusan PRN berulang di PRK Johor, kata Idris Ahmad

    NAIB Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi seolah-olah bimbang Perikatan Nasional (PN) akan mengulangi prestasi sama dalam pilihan raya negeri (PRN) enam negeri pada 12 Ogos lalu, pada pilihan raya kecil (PRK) di Johor 9 September ini.

    Ini susulan kenyataan Zahid pada Sabtu lalu yang menyeru pengundi PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram memainkan peranan bagi mengelakkan ‘kebanjiran’ wakil rakyat parti komponen PN itu di Johor.

    Idris berkata, PRN enam negeri baru-baru ini menyaksikan PN mendapat sokongan padu pengundi Melayu yang mungkin menyebabkan Zahid bimbang UMNO terjejas jika tewas di tempat kelahiran parti tersebut iaitu di Johor.

    “Mungkin dia lebih rela orang Pakatan Harapan, terutama calon daripada Amanah, yang merupakan orang kuat menyokong DAP itu ‘membanjiri’ Johor berbanding Pas,” katanya menurut Sinar Harian.

    Idris berkata, sokongan pengundi khasnya dalam kalangan golongan muda ketika ini menunjukkan perkembangan positif dan mampu membawa perubahan dalam PRK di Johor.

    Beliau turut mempersoalkan kenyataan Zahid menyifatkan Pas umpama buluh runcing yang sentiasa bersedia menikam dari belakang.

    “Apa yang Pas tikam belakang UMNO? (Sebenarnya) Pas yang hulur tali perpaduan. Yang wujudkan perpecahan apabila UMNO sendiri tidak mahu duduk sekali dengan Bersatu dan Pas.”

    UMNO pernah menjalin kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14, namun berselisih selepas Pas bersetuju dimasukkan Bersatu dalam MN.

  • 70 peratus undi BN beralih, PH hilang Simpang Jeram, kata KJ

    70 peratus undi BN beralih, PH hilang Simpang Jeram, kata KJ

    PAKATAN Harapan (PH) mungkin hilang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada pilihan raya kecil (PRK) 9 September ini jika terdapat peralihan sebanyak 70 hingga 80 peratus undi Barisan Nasional (BN) kepada Perikatan Nasional (PN), kata Khairy Jamaluddin.

    Bagaimanapun, bagi Parlimen Pulai, bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, kerusi tersebut akan terus dipertahankan PH berdasarkan keputusan pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.

    “(Di Simpang Jeram) Jika undi BN pada PRN Johor sebanyak 6,062 ditambah undi PN (6,350) jadi 12,000…lebih banyak daripada PH dapat (8,749).

    “Jika tidak 100%, 70% hingga 80% peralihan undi BN ke PN sudah cukup (PH tewas di Simpang Jeram),” katanya dalam podcast Keluar Sekejap bersama bekas ketua penerangan UMNO, Shahril Hamdan

    Sementara itu, Shahril berkata, semakin ramai bekas penjawat awam menjadi calon PN termasuk Dr. Mohd. Mazri Yahya di Simpang Jeram, menunjukkan trend kakitangan kerajaan ketika ini memihak kepada pembangkang.

    Mazri adalah bekas pegawai di Kementerian Kesihatan dan pakar bedah vaskular dan endovaskular.

    “Trend penjawat awam semakin jelas memihak kepada PN bukan sahaja PRN (enam negeri) tetapi berlaku di PRU15.

    “Banyak saluran tunjuk tentera memihak kepada PN. Sesetengah tempat polis pihak pada PN dan kerusi penjawat awam di Putrajaya dimenangi PN,” katanya, lapor FMT.

    PRK Pulai dan Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi itu kerana kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan undi awal pada 5 Sept dan 9 Sept ini sebagai hari pengundian.

  • Kapal terbang pergi haji pun ciptaan manusia, kata Hadi

    Kapal terbang pergi haji pun ciptaan manusia, kata Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini menggunakan analogi perjalanan ke Makkah menaiki kapal terbang ‘ciptaan manusia’ yang menurutnya mesti digunakan untuk menegakkan agama.

    Abdul Hadi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor, yang berhujah bahawa konsep parti Islam adalah ciptaan manusia dan oleh itu umat Islam tidak dipaksa untuk memberikan sokongan.

    “Ada ciptaan manusia yang mesti digunakan untuk agama. Macam kapal terbang yang manusia cipta boleh digunakan untuk pergi haji.

    “Nak pergi Makkah pun kena naik kapal terbang itu yang manusia buat bukan jalan kaki. Parti ini ciptaan manusia tapi untuk menegakkan agama dan bangsa,” kata Abdul Hadi ketika sidang media di Pusat Gerakan Pas Pulai di Johor Bahru hari ini, lapor Malaysiakini.

    Minggu lalu, Wan Salim berkata, seorang Muslim tidak akan berdosa jika mereka memilih untuk menyokong mana-mana parti politik selain parti yang disifatkan sebagai ‘parti Islam’.

    Berita Harian memetik Wan Salim sebagai berkata bahawa sikap taksub kerap mendorong seseorang dalam menyamakan antara rekaan manusia dengan ciptaan Allah.

    Pada masa itu, Wan Salim berkata demikian berikutan Menteri Besar Kelantan, Nassuruddin Daud menyifatkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Kelantan sebagai orang ‘yang menentang perjuangan Islam’.

    Abdul Hadi membuat analogi itu selepas menghadiri ‘Dialog Rakyat’ bersama pengundi Pulai, yang dianjurkan oleh Pas bahagian tempatan sebagai sebahagian daripada kempen calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar.

    Turut hadir ialah Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Dr. Radzi Md Jidin.

  • Dominic sokong Modul 40 hadis hanya untuk pelajar Islam

    Dominic sokong Modul 40 hadis hanya untuk pelajar Islam

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyokong usaha mengajar modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi selagi ia hanya diperkenalkan di peringkat sekolah agama Islam dan tidak sesekali diperluaskan kepada pelajar bukan Islam.

    Presiden parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, kenyataan awal daripada pihak yang berkenaan mengenai perkara itu adalah terlalu makro sekali gus mewujudkan kegelisahan orang ramai terutamanya kepada ibu bapa dan pelajar bukan Islam.

    “Masalah yang sering dihadapi di bawah kerajaan hari ini adalah mereka gagal dalam proses penerangan dan sering menimbulkan kegelisahan kepada orang ramai.”

    Beliau percaya bahawa setiap elemen kerohanian dan keagamaan perlu diterapkan dalam silibus pendidikan, perkara itu jelas.

    “Apa yang penting adalah proses penerangan berkenaan dengan pendekatan tersebut.

    “Cuma diharapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berpegang kepada kenyataan menterinya dan memberi jaminan tidak memperluaskan modul ini kepada pelajar bukan Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

    KPM dalam kenyataan memaklumkan program rintis Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi akan dilaksanakan dengan melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara.

    Pelaksanaan modul itu disasarkan kepada guru dan murid beragama Islam sahaja bertujuan memupuk semangat ihsan, kasih sayang dan memperkasakan kefahaman agama.

    Tambah Dominic, sebagai rakyat berbilang kaum dan agama, semua pihak perlu memahami konteks kesederhanaan dan menghormati pendekatan keagamaan masing-masing.

    “Selagi sesebuah pengajian tidak menimbulkan kesulitan kepada yang lain, tidak salah mereka (yang Islam) menghayati asas kesucian menghimpunkan panduan kehidupan dan dipercayai membantu pembentukan akhlak generasi muda Islam lebih baik.

    “Saya berharap KPM akan mendekati pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dengan penerangan perancangan, impak dan perjalanannya,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

  • PN menang di Parlimen Pulai bantu ubah kerajaan – Hadi Awang

    PN menang di Parlimen Pulai bantu ubah kerajaan – Hadi Awang

    PARLIMEN Pulai akan menjadi permulaan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menambah jumlah kerusi sekali gus mengukuhkan kedudukan di Dewan Rakyat, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai itu menurutnya yang juga Timbalan Pengerusi PN, akan memastikan referendum rakyat dibawa ke Putrajaya sekali gus memberi gambaran isyarat penting perubahan kerajaan.

    “Ada yang dakwa PRK Pulai ini, tak jadi apa sebab kecil sahaja. Namun ia sebenarnya ada makna besar sebab Ahli Parlimen yang menang nanti akan bersuara bagi pihak kita (PN) di Parlimen.

    “Apatah lagi PN memiliki jumlah kerusi agak besar di Parlimen, kerajaan boleh berubah bila-bila masa sahaja. Kita memerlukan tambahan kerusi ini (Parlimen Pulai) dan beberapa lagi (kerusi) jadi kita harap bersabar.

    “Kita juga minta ahli UMNO yang insaf juga supaya berani berubah. Ini kerana kerajaan akan berubah pada bila-bila masa, itu boleh berlaku, jangan bimbang,” katanya ketika berucap pada sesi dialog rakyat di Pejabat Pas Pulai, Johor Bahru, hari ini.

    Hadir sama, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin; Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd. Syahir Che Sulaiman yang juga Ahli Parlimen Bachok; Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan calon PN bagi Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sebelum ini, Abdul Hadi mendakwa kemenangan PN dalam PRN tersebut membolehkan perubahan di peringkat Pusat berlaku.

    Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, momentum gelombang PN mulai dirasai pada PRK Pulai dan DUN Simpang Jeram, berdasarkan sambutan pengundi ketika ceramah dan kempen diadakan.

    “Setakat ini, perkembanganya sangat positif dengan sambutan bila kita (PN) mengadakan ceramah dan kempen rumah ke rumah.

    “Maklum balas daripada pengundi juga sangat baik membuktikan gelombang PRU15 tidak berhenti malah dapat dilihat dengan nyata pada PRN di enam negeri dan kini di dua PRK Johor,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Hadis 40 Imam Nawawi: Pas akan adakan dialog bersama Gerakan

    Hadis 40 Imam Nawawi: Pas akan adakan dialog bersama Gerakan

    PAS akan mengadakan majlis dialog bersama Gerakan bagi memberi penjelasan mengenai pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah agama.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas sentiasa berhubung dengan Gerakan dalam membincangkan mana-mana isu berbangkit.

    “Kita akan adakan dialog (dengan Gerakan), ini bukan kali pertama. Ia sentiasa dibuat. Itu (isu modul) cuma satu isu sahaja, banyak isu-isu lain (yang juga diperbincangkan),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program dialog bersama rakyat Parlimen Pulai di Taman Tampoi Utama di Johor Bahru hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Pas akan memberi penjelasan mengenai modul itu kepada Gerakan yang mempertikaikan pelaksanaannya.

    Hari ini, Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Pas menyokong penuh inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan modul di 289 sekolah kerajaan secara rintis kepada guru dan murid beragama Islam.

    Pada 19 Ogos lepas, KPM melancarkan modul hadis itu yang bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah, antara lain untuk menerapkan kefahaman agama dan memupuk semangat kasih sayang khususnya dalam kalangan guru dan pelajar beragama Islam.

    Program rintis modul itu akan dilaksanakan di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara.