Category: Semasa

  • CPTPP berkuatkuasa hujung November – Azmin

    CPTPP berkuatkuasa hujung November – Azmin

    PERJANJIAN Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang diratifikasi Malaysia pada Jumaat lalu dianggap selesai dan akan mula berkuatkuasa pada 29 November ini.

    Lapor Harian Metro, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Malaysia adalah negara kesembilan yang meratifikasi perjanjian berkenaan.

    “Hasil Kajian Analisis Kos-Faedah (CBA) menunjukkan bahawa manfaat yang bakal dinikmati Malaysia menerusi penguatkuasaan CPTPP jelas mengatasi sebarang kos yang mungkin timbul.

    “Segala pindaan undang-undang berkaitan dengan Perjanjian CPTPP sudah selesai,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan asal Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mengenai status penyertaan Malaysia untuk CPTPP dan kemajuan untuk perjanjian perdagangan bebas lain.

    Mengenai perdagangan bebas lain, Mohamed Azmin memaklumkan, Malaysia dan Turkiye memeterai Protokol Perluasan Skop bagi perjanjian perdagangan bebas (FTA) pada 29 September lalu, merangkumi tiga bab baharu, iaitu Perdagangan Sektor Perkhidmatan, Pelaburan dan e-Dagang.

    Selain itu, pada Julai lalu, Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk mengadakan satu mesyuarat ‘stocktaking’ pada pertengahan bulan ini bagi menentukan hala tuju rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang tertangguh sejak 2012, berikutan kegagalan kedua-dua pihak untuk mencapai kesepakatan bagi isu sensitif.

    “Malaysia juga terbabit secara aktif dalam rundingan menaik taraf FTA serantau sedia ada bagi Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA), Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) dan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN atau ASEAN Trade in Goods Agreement (ATIGA).

    “Nilai tambah yang dirunding dalam perjanjian ini dijangka akan memberi manfaat tambahan kepada komuniti perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

    “Proses naik taraf ini juga bertujuan memastikan perjanjian ini kekal relevan dan mampu menangani cabaran persekitaran ekonomi global yang tidak menentu,” katanya.

    Menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH- Bagan) mengenai sejauh mana CPTPP akan dilaksanakan kerana ia akan memerlukan mandat kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang semakin hampir, Mohamed Azmin berkata, beliau yakin kerajaan yang dibentuk kelak akan bertanggungjawab kepada negara dan rakyat.

    “Saya yakin kerajaan yang akan dibentuk selepas PRU ini adalah kerajaan PN, jadi kita teruskan usaha ini,” katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN).

    Katanya, walaupun indikator ekonomi semakin baik, namun ia masih memerlukan sedikit masa supaya proses pemulihan benar-benar memberi kesan positif kepada rakyat.

    “Disebabkan itu, saya minta supaya usaha membubarkan Parlimen ini tidak dijalankan sekarang.

    “Bagaimanapun, jika pilihan raya diadakan dan Parlimen dibubarkan, saya percaya ini adalah perjanjian yang memberikan manfaat kepada negara dan rakyat,” katanya.

  • PRU-15 ketika musim tengkujuh tidak digalakkan – MetMalaysia

    PRU-15 ketika musim tengkujuh tidak digalakkan – MetMalaysia

    TINDAKAN mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika musim monsun timur laut sebagaimana gesaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak digalakkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

    Menurut Timbalan Ketua Pengarahnya, Dr Hisham Mohd Anip, banjir akan kerap berlaku di seluruh negara secara amnya pada tempoh monsun.

    “Dalam tempoh peralihan pun banyak tempat sudah banjir. Ada (kejadian) banjir di Perak dan Johor.

    “Jadi dari segi kesesuaian, ia tidak membantu untuk mengadakan pilihan raya,” katanya sebagaimana laporan MalaysiaNow.

    Musim monsun timur laut dijangka melanda negara pada November hingga Mac tahun depan dengan ketika ini Malaysia dalam fasa peralihan monsun selepas mengalami monsun barat daya.

    Dr Hisham dalam laporan itu memberitahu, negeri pantai barat juga semakin terkesan dengan kehadiran monsun timur laut berbanding tahun-tahun sebelum ini.

    Namun katanya, berdasarkan model cuaca sedia ada, monsun timur laut yang bakal melanda tidak akan membawa cuaca yang ekstrem dengan paras hujan normal atau kurang dari normal.

    “Tidak ada satu model beri unjuran akan adanya jumlah hujan yang ekstrem dari segi kuantiti hujan bulanan.

    “Kita tak menjangka fenomena La Nina yang sedang berlaku akan mengakibatkan kita menerima hujan yang lebih banyak,” tambahnya.

    Menurut Hisham, MetMalaysia menjangkana kuantiti hujan yang melebihi kelaziman dijangka melanda utara dan timur Sabah pada Disember dan Januari.

    Di Pantai Timur Semenanjung sering menjadi keutamaan usaha pengurusan bencana ketika musim monsun, katanya tiada perubahan jumlah hujan yang signifikan akan melanda.

    Beberapa kawasan sudah mengalami banjir seperti di Pahang dan Johor membabitkan pemindahan ratusan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS).

    Katanya, berdasarkan corak hujan, negeri-negeri di Semenanjung Malaysia menerima hujan lebih awal daripada kedatangan monsun timur laut.

    MalaysiaNow sebelum ini melaporkan PRU15 akan berlangsung dalam keadaan banjir kilat dan ribut petir sekiranya diadakan selepas pertengahan November.

    Orang ramai melahirkan kegusaran berhubung desakan mengadakan PRU15 pada hujung tahun ini, selepas cakap-cakap mengenai pembubaran parlimen semakin hangat.

    Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pagi tadi melawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir sebelum dijangka menerima mengadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob petang ini.

    Desakan mengadakan PRU15 pada tahun ini diketuai oleh Zahid dan kepimpinan tertinggi UMNO.

    Penggal ke-14 sepatutnya tamat pada pertengahan tahun depan.

    Sebagai bantahan, kerajaan-kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga tahun depan.

  • Nelayan didenda RM11,000 miliki bahan letupan, tangkap ikan tanpa lesen

    Nelayan didenda RM11,000 miliki bahan letupan, tangkap ikan tanpa lesen

    SEORANG nelayan warga tempatan didenda RM11,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan termasuk memiliki bahan letupan, April lepas.

    Abdul Gafar Abdul Latif, 48, dituduh memiliki bahan letupan jenis emulex tanpa kebenaran di dalam sebuah vesel nelayan tempatan pada kedudukan 0.2 batu nautika dari Tanjung Selantai, Mersing, pada 18 April lepas.

    Menurut kenyataan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini, lelaki berkenaan yang dijatuhi hukuman semalam, didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, yang membawa hukuman  dipenjara tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Selain itu, Abdul Gafar juga didakwa menangkap ikan tanpa lesen serta memiliki peralatan menangkap ikan tanpa lesen pada hari yang sama pada pukul 11 malam.

    Pertuduhan menangkap ikan tanpa lesen mengikut Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (b) akta yang sama manakala memiliki peralatan menangkap ikan tanpa lesen merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11 (3) (b) Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (b) Akta yang sama.

    Bagi kedua-dua kesalahan itu, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

    Hakim Norsiah Ujang menjatuhi hukuman denda RM10,000 bagi pertuduhan pertama dan kedua, jika gagal berbuat demikian lelaki itu boleh dipenjara tiga bulan bagi pertuduhan pertama dan dua bulan untuk pertuduhan kedua.

    Selain itu, Norsiah turut mengarahkan tertuduh membayar denda RM1,000 bagi pertuduhan ketiga dan jika gagal membayarnya, boleh dipenjara satu bulan.

    Mahkamah mengarahkan barang kes seperti vesel, dan peralatan menangkap ikan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maritim Negeri Johor Azlan Bohari manakala Abdul Gafar tidak diwakili peguam.

  • Warga emas hilang beberapa hari ditemukan lemas

    Warga emas hilang beberapa hari ditemukan lemas

    SEORANG warga emas yang dilaporkan hilang sejak beberapa hari lalu ditemukan mauyatnya di sungai dekat Kampung Air Panas Gerik, di Gerik, hari ini.

    Pihak bomba telah menerima maklumat daripada pihak polis berkenaan mayat seorang lelaki berusia 60-an yang ditemukan terapung di sungai pada pukul 9.38 pagi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak memaklumkan, susulan itu sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik kemudiannya telah dikerahkan ke lokasi.

    “Pihak kami menerima maklumat berkenaan seorang lelaki yang ditemukan terapung di sungai. Mangsa sebelum itu dipercayai hilang dan lemas beberapa hari lalu.

    “Pasukan bomba telah melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang ditemukan terapung kira-kira 5 meter dari tebing sungai.

    “Mangsa telah disahkan maut oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani.

    Katanya lagi, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Kamarul Ariffin Abdul Ghani.

  • Segera bantu PMKS agar tidak gulung tikar – Muhyiddin

    Segera bantu PMKS agar tidak gulung tikar – Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TAN Sri Muhyiddin menyuarakan kebimbangan lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan gulung tikar sekiranya kerajaan tidak membantu mereka terutama menerusi Bajet 2023.

    Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, ini kerana terdapat kira-kira 53 peratus dari 950,000 PKS berdaftar di Malaysia adalah perniagaan milik Melayu dan bumiputera.

    “Sekali lagi saya ingin menyaran pihak kerajaan untuk mengambil tindakan segera bagi meringankan beban mereka yang juga terkesan teruk akibat peningkatan kos yang mendadak.

    “Untuk memastikan proses pemulihan ekonomi yang sekata dapat dicapai, kerajaan harus memastikan sebanyak mungkin PMKS seluruh negara diberi ‘talian hayat’ untuk mampu bernafas dalam situasi ekonomi yang semakin mencabar.

    “Saya risau jika tiada langkah drastik yang diambil kerajaan terutamanya dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini, lebih banyak lagi PMKS yang terpaksa gulung tikar,” katanya dalam Faecbook miliknya, hari ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, apa yang lebih parah lebih ramai rakyat yang mungkin juga akan kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.

    Justeru kata bekas Perdana Menteri, jangan terhantuk baru tengadah dan sebab itu perlu dilakukan sesuatu dengan segera.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau terlibat perbincangan meja bulat bersama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), semalam.

    Perbincangan itu katanya, disertai Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob bersama Presiden DPMM, Abdul Halim Husin dan barisan pimpinan DPMM.

    “Perbincangan meja bulat bertumpukan isu dan cabaran daripada aspek pemulihan ekonomi negara serta cadangan penyelesaian dari perspektif DPMM. Pihak DPMM turut menyuarakan kebimbangan ahli-ahli terutamanya pengusaha perusahaan PMKS mengenai masalah aliran tunai.

    “Ini selari dengan saranan yang dibuat Majlis Pemulihan Negara supaya PMKS diberi moratorium khas berikutan sektor-sektor ini masih belum pulih sepenuhnya akibat pandemik COVID-19.

    “Situasi ini diburukkan lagi dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman ataupun OPR tiga kali berturut-turut oleh Bank Negara Malaysia pada tahun ini,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.

    Pihak DPMM juga katanya, juga menyuarakan kebimbangan ahli-ahli terhadap denda dan penalti pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri yang dikenakan kepada usahawan Melayu yang baru pulih disebabkan pandemik dan berharap pihak LHDN dapat memberi budi bicara dalam perkara ini.

  • Menteri PN utus surat kepada Agong bantah PRU15 tahun ini

    Menteri PN utus surat kepada Agong bantah PRU15 tahun ini

    ANGGOTA Kabinet Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dilaporkan menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah gesaan pemimpin UMNO yang mahu Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum lebih awal tahun ini.

    Seramai 12 menteri daripada kedua-dua parti itu melibatkan gabungan Perikatan Nasional (PN) menandatangani surat bertarikh 3 Oktober kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bagi menunjukkan Kabinet tidak sebulat suara mengenai keputusan membubarkan Parlimen.

    MalaysiaNow melaporkan, surat yang diterima Istana semalam, antara lain memetik ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai Monsun Timur Laut yang akan bermula tidak lama lagi dengan banjir dijangka melanda negeri-negeri di Malaysia terutama di pantai timur.

    Selain itu, surat itu turut memaklumkan mengenai tekanan ekonomi yang dihadapi oleh rakyat.

    Selain PN, gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) juga turut membantah sekeras-kerasnya sebarang tindakan untuk mengadakan PRU-15 lebih awal.

    Tegas mereka, tumpuan harus diberikan kepada pemulihan ekonomi selepas pandemik, selain persediaan menghadapi banjir tahunan.

    Penggal Parlimen ke-15 dijadualkan tamat pertengahan tahun hadapan.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengesahkan bahawa beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

    Pertemuan itu bakal menjawab sama ada ia rutin biasa bagi menyembah maklum keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Kabinet termasuk Bajet 2023, atau pun turut mempersembahkan tarikh pembubaran Parlimen kepada baginda

  • Dua beranak didakwa pecah amanah

    Dua beranak didakwa pecah amanah

    DUA beranak didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan menggunakan dokumen palsu tujuh tahun lalu.

    Tertuduh Wong Yew Loong, 44, dan Lim Siew Kin, 69, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan pengarah sebuah syarikat pembekal pasir dan juga seorang ejen telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan harta yang diamanahkan ke atasnya iaitu dua bidang tanah iaitu PN 44192 Lot 5802 dan PN44193 Lot 5803 di Mukim Linggi, Port Dickson.

    Perbuatan itu dilakukan pada 8 Disember 2015, antara jam 11 pagi sehingga 2 petang di alamat Taman Rasah Jaya di Seremban lapor Sinar Harian.

    Berikutan itu tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

    Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih 20 tahun, sebat dan boleh juga dikenakan denda.

    Selain itu tertuduh berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu resolusi pengarah syarikat bertarikh 8 Disember 2015 untuk dua bidang tanah tersebut yang diketahui adalah palsu.

    Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian di Seremban pada 14 Februari 2017, antara pukul 10.16 pagi sehingga 10.21 pagi

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulfikri Mohd. Nasir memohon jaminan RM200,000 dikenakan terhadap tertuduh bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira nilai tanah terbabit yang masing-masing berjumlah RM600,000 dan RM500,000.

    Peguam, Cassandra Peter merayu jaminan RM5,000 untuk kedua-dua anak guamnya.

    Norshila kemudian menetapkan jaminan RM100,000 untuk Yew Loong manakala RM20,000 untuk Siew Kin dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport dan melapor diri di balai polis berhampiran dua kali setiap minggu.

    Tarikh untuk serahan dokumen 14 November ini.

  • 150 peserta CSR terkandas akibat jambatan runtuh, hujan

    150 peserta CSR terkandas akibat jambatan runtuh, hujan

    SERAMAI 150 orang peserta yang menyertai program tanggungjawab sosial (CSR) bersama masyarakat Orang Asli terkandas selama sehari di Pos Gob, Gua Musang, Kelantan disebabkan jalan rosak dan jambatan runtuh akibat hujan,

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff berkata, peserta termasuk kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), badan bukan kerajaan (NGO) dan doktor terkandas ketika dalam perjalanan ke Pos Gob melakukan khidmat sosial untuk masyarakat Orang Asli.

    Menurut Ab. Aziz, kumpulan itu terpaksa bermalam di lokasi kejadian sementara menunggu keesokan hari untuk balik semula ke Gua Musang.

    “Kita bermula di Pusat DUN Nenggiri pada malam semalam dengan 41 buah kereta bermula pukul 9 pagi. Semalam kita terkandas berhampiran Kampung Kajang, ada 15 kenderaan yang selebihnya terkandas di Kampung Gawin.

    “Semalam kita bermalam di Kampung Kajang dan selebihnya di Kampung Gawin. kita berlepas pulang hari ini untuk kembali ke destinasi masing-masing kerana misi kita untuk sampai ke Pos Gob,” katanya lapor Astro Awani.

    Sementara itu, peserta yang terlibat dalam Program ‘Bergagoh Ma Senoi Bek’ atau melawat kawasan perkampungan Orang Asli bersyukur apabila mereka berjaya kembali ke bandar Gua Musang selepas lebih 24 jam.

    “Pengalaman terkandas ketika menuju ke Pos Gob boleh dikatakan sangat ekstrem dan lasak dan boleh dikatakan kami semua hampir tersekat dan ia sangat menakutkan.

    “Tapi satu dalam sejuta dengan bantuan Rescue menyelamatkan kami, pengalaman yang amat mengujakan. Saya rasa amat kecewa tetapi nak buat macam mana, sudah ditakdirkan untuk terkandas di tepi itu,” jelas Mohd. Zaidatul Azizi Mohd. Zaidatul Azman.

    Walaupun terdapat beberapa kenderaan yang rosak dan terbalik, namun semua peserta tidak mengalami masalah kesihatan atau kecederaan.

  • Awie Wings kesal didakwa punca kerosakan akhlak rakyat Kelantan

    Awie Wings kesal didakwa punca kerosakan akhlak rakyat Kelantan

    PENYANYI Wings, Datuk Awie tampil menjelaskan isu mengenai penglibatan kumpulannya dalam sebuah konsert di Kelantan yang didakwa bertentangan dengan dasar pembangunan Islam dibawa sebuah parti politik yang memerintah negeri tersebut.

    Menurut Awie, tiada masalah sekiranya sedikit hiburan diberikan kepada rakyat negeri itu, malah beliau turut mengingatkan agar ahli politik tidak terlalu cepat menghukum sesuatu perkara.

    “Bagi saya mudah sahaja, kalau manusia itu betul-betul mahu berubah bukan setakat kepada sesuatu yang jahil, mengisi sedikit ruang untuk berhibur adalah tidak salah.

    “Untuk rakyat di sana, supaya tidak pergi ke seberang (Thailand) berhibur sehingga tidak tentu arah dan memberi kesan teruk, lebih baik duduk berhibur di negeri sendiri, lagi terjaga dan terjamin.

    “Jangan terlalu ekstrem menghalalkan atau mengharamkan sesuatu perkara itu, bagi peluang dan ruang untuk mereka merasa sebelum ada perkara negatif berlaku,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang media Konsert Naga Kramat di Ancasa Hotel, Kuala Lumpur, lapor Astro Awani.

    Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 53, kesal apabila penganjuran konsert berkenaan dijadikan isu sehingga dikatakan punca kerosakan akhlak rakyat di negeri berkenaan.

    “Jangan salahkan Wings yang hanya datang sehari dan buat persembahan di negeri itu, rakyat negeri itu terus itu jadi jahanam, tidak boleh begitu.

    “Ini sebenarnya permainan politik, jangan dengan penganjuran konsert begini dijadikan permainan politik, tidak elok.

    “Sebaliknya gunakan kelebihan ahli politik yang ada untuk membantu negeri itu menjadi lebih baik, agar rakyat terjamin.

    “Kalau nak cerita tentang masalah yang ada di situ, memang dah sedia ada banyak kes dah dengan pelbagai jenayah, itu yang perlu diambil kira bukan sebab konsert itu, lagipun konsert tersebut sudah ada SOP yang ditetapkan,” tambahnya.

    Terdahulu, sebuah parti politik di Kelantan mendakwa penganjuran konsert yang diberi nama Konsert Riuh Sokmo yang berlangsung September lalu, bertentangan dengan dasar ‘Membangun Bersama Islam’yang dibawa parti berkenaan.

    Selain Wings, konsert yang dihadiri lebih 20,000 pengunjung itu turut membariskan Datuk Ramli Sarip, Kugiran Masdo, Faizal Tahir dan ramai lagi.

    Dalam perkembangan terkini, Wings bakal tampil dalam Konsert Naga Kramat yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 22 Oktober depan.

    Tiket konsert mula dijual secara atas talian di www.ticket2u.com.my/nagakramat . Harga tiket mengikut kategori bermula dari RM244 (Bujang Senang), RM274 (Amok), RM364 (Misteri Mimpi Syakila) dan RM574 (Taman Rashidah Utama).

  • Mangsa pemerdagangan manusia perlu bantuan dana untuk pulang ke Malaysia

    Mangsa pemerdagangan manusia perlu bantuan dana untuk pulang ke Malaysia

    RAKYAT Malaysia yang berjaya melarikan diri selepas menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia terkandas di kaunter imigresen luar negara, tidak mampu pulang ke tanah air kerana tinggal sehelai sepinggang.

    Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Hishamuddin Hashim, mangsa penipuan pekerjaan ini akan dicaj bayaran tinggal lebih masa walhal mereka tidak mempunyai apa-apa lagi sama ada pakaian atau wang.

    Disebabkan itu, MHO dan Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) bersetuju menubuhkan Tabung Kemanusiaan, Selamatkan Rakyat Malaysia untuk membantu menguruskan logistik mangsa selepas diselamatkan sehinggalah melunaskan kompaun tinggal lebih masa kepada imigresen negara terlibat, dan seterusnya berlepas pulang ke tanah air.

    “Ada dua kumpulan mangsa. Pertama, mangsa yang ahli keluarganya mempunyai keupayaan untuk membayar kompaun, membayar duit makan. Alhamdulillah, itu yang kita nampak (mereka) boleh balik sekarang ini.

    “Yang balik ini semua, yang mampu bayar kompaun. Keluarga tolong bayarkan. Ada juga yang tak balik lagi sebab tak mampu bayar kompaun,” katanya kepada media ketika menunggu ketibaan empat mangsa pemerdagangan manusia di KLIA, lapor Free Malaysia Today (FMT), hari ini.

    Hishamuddin dan Presiden MCCC, Musa Hassan kelmarin mengumumkan penubuhan tabung kemanusiaan untuk membantu menguruskan logistik mangsa pemerdagangan manusia sama ada di Laos, Kemboja ataupun Myanmar, yang berjaya melarikan diri sebelum pulang ke negara ini dengan selamat.

    Menurut Hishamuddin, rata-rata mangsa yang berjaya diselamatkan tinggal sehelai sepinggang dan mereka tiada wang untuk membayar hotel (tempat persembunyian) mahupun makan minum, sebelum selamat tiba di Malaysia.

    “Apabila mangsa diselamatkan, mereka akan diletakkan di balai polis tapi tak boleh duduk lama. Mereka boleh duduk satu atau dua hari kemudian mereka perlu dipindahkan dan duduk di hotel. Kebanyakan mangsa ini sehelai sepinggang, mereka tak ada duit.

    “Mereka berhadapan dengan masalah tempat tinggal, makanan (tak ada). Setelah mereka selamat, mereka akan dibawa ke pihak imigresen. Maka, ketika itu akan berlaku kiraan berapa lama mereka ‘overstay’. Sama ada mereka masuk secara tidak sah, mereka kena bayar kompaun tertentu,” tegasnya.

    Hishamuddin memberitahu pihaknya sebelum ini meminta secara terbuka kepada kerajaan Malaysia untuk menyediakan dana bagi membantu pengurusan logistik mangsa yang berjaya diselamatkan, namun tiada perkembangan memberangsangkan.

    “Kerajaan Malaysia (patut) berikan bantuan dana kepada mangsa. Ini situasi yang tak sama dengan orang yang (dengan sengaja) pergi ‘overstay’, ini situasi mereka menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Mana ada mangsa yang ada duit,” tegasnya.

    Sementara itu, Musa yang juga bekas Ketua Polis Negara memberitahu, atas keperluan mendesak, tabung kemanusiaan itu terpaksa dilancarkan sebagai inisiatif ‘rakyat menjaga rakyat’.

    “Saya sebagai NGO sebelum ini tak pernah minta duit kat sesiapa pun. Kerajaan pun saya tak pernah minta. Tetapi kerana ini kita nak membantu masyarakat yang telah teraniaya jadi kita terpaksa membuat tabung ini untuk membantu.

    “Duit ini juga boleh bantu orang di Kedutaan Malaysia di negara tertentu, kerana mereka pun kekurangan kewangan nak buat kerja (menyelamatkan mangsa),” katanya.

    Mereka yang berminat membuat sumbangan, boleh menghubungi talian hotline MCCC 01129050000.

    MHO sebelum ini lantang mendesak kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob lebih proaktif menyelamat dan membebaskan kira-kira 3,000 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Laos, Kemboja dan Myanmar.

    Mereka juga menghantar memorandum membantah tindakan berdiam diri kerajaan Myanmar berhubung isu berkenaan, namun tidak mendapat respons positif setakat ini.

    NGO itu dan MCCCC juga bercadang ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Putrajaya hari ini untuk melaporkan berkaitan sikap Myanmar yang seolah-olah membenarkan negaranya menjadi hab pemerdagangan manusia di rantau Asean.