Category: Semasa

  • 3 polis ditahan disyaki terima rasuah RM3,000

    3 polis ditahan disyaki terima rasuah RM3,000

    TIGA anggota polis ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret, Georgetown, Pulau Pinang kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM3,000, baru-baru ini.

    Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret Mohd. Hadi Hakimi Harun selepas dipohon pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Difahamkan, dua anggota polis itu yang berpangkat Koperal berusia 38 dan 36 tahun dan seorang Konstabel berusia 20 tahun itu bertugas di Balai Polis Bukit Mertajam, dekat sini.

    Dalam pada itu, sumber SPRM memberitahu, kira-kira pukul 7.15 malam pada 20 Julai lalu, kereta peronda polis telah menahan seorang lelaki yang menaiki motosikal di Jalan Berapit, Mengkuang, Bukit Mertajam.

    Katanya, ketiga-tiga suspek telah membuat pemeriksaan dan mendapati cukai jalan motosikal dinaiki lelaki itu telah tamat tempoh selain dia turut memiliki sebungkus air ketum dan beberapa kotak rokok.

    “Ketiga-tiga suspek ditangkap kerana disyaki telah menerima wang rasuah berjumlah RM3,000 daripada individu tersebut sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan yang dilakukannya,” katanya.

    Tambahnya, ketiga-tiga suspek itu ditahan oleh SPRM kira-kira pukul 7.25 petang semalam di Pejabat SPRM Pulau Pinang di Georgetown.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ASPRM 2009.

  • Umat Islam tonton konsert The 1975 perlu minta keampunan Allah SWT

    Umat Islam tonton konsert The 1975 perlu minta keampunan Allah SWT

    MUFTI Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menasihatkan umat Islam yang telah menonton konsert kumpulan kontroversi, The 1975 dinasihatkan supaya memohon keampunan daripada Allah SWT.

    Menurut beliau, ia sebagai menzahirkan perasaan kesal walaupun mereka tidak dikira melakukan dosa kerana tidak dapat menjangkakan tindakan tidak bermoral yang dilakukan di hadapan mereka.

    Tegas beliau, agama Islam tidak sama sekali menentang hiburan termasuk konsert muzik, drama, filem dan seumpamanya.

    Namun, katanya, apa yang ditentang dan dilarang oleh Islam adalah hiburan dan apa jua aktiviti seni yang boleh merosakkan fikiran dan kelakuan penonton atau peminat.

    Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, sejarah tamadun Islam tidak pernah menyaksikan sebarang konflik antara agama dan kemajuan termasuk dalam bidang kesenian dan hiburan.

    “Apa yang Islam sarankan adalah semua pihak hendaklah sama-sama berusaha ke arah pembinaan masyarakat yang baik, adil dan bersih.

    “Tidak wajar bagi sebuah negara yang ingin membangun generasi penerus yang dinamik dan progresif membawa masuk budaya luar yang boleh merosakkan nilai-nilai moral yang amat diperlukan untuk pembangunan dan kemajuan,” katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

    Tambah Wan Salim, dengan mempamerkan kelakuan tidak sopan oleh vokalis kumpulan berkenaan serta kritikannya terhadap undang-undang Malaysia di dalam konsert tersebut, maka jelas kumpulan The 1975 berniat serong terhadap Malaysia yang rakyatnya masih menghormati nilai-nilai akhlak murni.

    Dalam masa sama, katanya, pihak penganjur festival juga telah membuat akujanji akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap konsert tersebut.

    ”Sehubungan itu, Kementerian Komunikasi dan Digital berhak membatalkannya dan tidak boleh dipersalahkan,” katanya.

    Pada Sabtu lalu, kerajaan mengarahkan penganjuran festival muzik kumpulan The 1975 di Kuala Lumpur dibatalkan selepas vokalis kumpulan berkenaan, Matt Healy, bertindak mencium rakan sejantina yang juga gitaris kumpulan itu di atas pentas.

    Bukan itu sahaja, Healy turut memegang botol arak di atas pentas selain membuat kenyataan menghina undang-undang Malaysia berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

  • Semakan fakta: Kenyataan Maybank sebut ‘dasar PM tidak jelas’ sahih

    Semakan fakta: Kenyataan Maybank sebut ‘dasar PM tidak jelas’ sahih

    SATU kenyataan yang dikeluarkan oleh Maybank Investment Bank dalam e-mel kepada pelanggannya bulan ini, yang seolah-olah mengkritik dasar ‘tidak jelas’ kerajaan baru-baru ini dikongsikan secara meluas di media sosial.

    Ini selepas Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkongsi paparan skrin e-mel itu di Twitter.

    Bagaimanapun, penyokong pakatan kerajaan mendakwa imej e-mel itu telah diubah suai dan bank pelaburan itu tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

    Semakan oleh JomCheck, sebuah sekutu pemeriksa fakta Malaysia, mendapati imej yang dikongsi oleh ahli Parlimen Pas itu adalah sahih.

    Maybank Investment Bank sememangnya ada menghantar e-mel tersebut kepada pelanggannya pada 20 Julai.

    E-mel itu, yang menjemput pelanggan ke webinar, bertajuk: “Sentimen positif daripada pembentukan kerajaan perpaduan tahun lepas tidak akan berterusan ke tahun baharu.

    “Dasar PM yang tidak jelas dan ketidaktentuan dalam kestabilan kuasa juga membawa kepada kebimbangan pasaran.”

    Seterusnya, ia menyebut bahawa keadaan akan ‘bertambah baik’ pada separuh kedua tahun ini, dengan Bajet 2024 dan pilihan raya negeri mungkin membawa kejutan positif.

    Kekeliruan mengenai kesahihan e-mel itu berpunca daripada fakta bahawa bank itu menghantar satu lagi jemputan ke webinar yang sama, pada 21 Julai.

    Dalam e-mel 21 Julai, kenyataan mengenai “dasar PM yang tidak jelas dan ketidaktentuan dalam kestabilan kuasa” telah dikeluarkan.

    Akibatnya, ramai yang mengulas hantaran Syahir dengan hanya merujuk kepada e-mel 21 Julai dan menuduh beliau sebagai menyebarkan maklumat yang salah.

    Syahir, dalam ciapannya yang mendapat lebih 54,000 tontonan, tidak menjawab tuduhan itu.

    Maybank Investment Bank, ketika dihubungi oleh rakan kongsi JomCheck, enggan mengulas.

    Malaysiakini adalah sebahagian daripada sekutu pemeriksa fakta Malaysia JomCheck.

    Melalui JomCheck, rakyat Malaysia boleh mengemukakan permintaan untuk menyemak fakta yang didakwa dengan menghantar mesej WhatsApp ke talian 017-477 6659 (teks WhatsApp sahaja, tiada panggilan) atau melalui pautan berikut.

  • Kajian PN: Sokongan bukan Islam naik dari 1 ke 7 peratus

    Kajian PN: Sokongan bukan Islam naik dari 1 ke 7 peratus

    KAJIAN Perikatan Nasional (PN) mendapati bahawa sokongannya di kalangan masyarakat Cina dan India di Semenanjung Malaysia telah meningkat melebihi 1 peratus berbanding yang diperolehi semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Datuk Dr. Dominic Lau dalam satu wawancara Malaysiakini memberitahu, bahawa sokongan di kalangan masyarakat bukan Melayu di Selangor, misalnya, telah meningkat kepada sekitar 6 peratus dan 7 peratus.

    “Jika kita mahu PN menang semasa pilihan raya enam negeri, kita bukan sahaja perlu mengekalkan sokongan orang Melayu tetapi juga meningkatkan sokongan bukan Melayu dan bukan Islam,” katanya.

    Beliau menerima banyak aduan daripada masyarakat bukan Melayu, terutamanya mengenai kegagalan kerajaan perpaduan menunaikan janji-janji, khususnya dalam menangani inflasi, selepas tujuh bulan memerintah.

    “Jika kamu tidak gembira, undi PN. Jika kamu tidak berpuas hati, undi PN,” kata Lau.

    Gerakan akan meletakkan 36 calon, kebanyakan mereka di kawasan majoriti bukan Melayu pada pilihan raya akan datang di empat negeri.

    Lau tidak dapat mendedahkan senarai kerusi yang akan diperuntukkan kepada parti itu dan memaklumkan bahawa PN hanya akan mendedahkan butirannya pada 27 Julai.

    Jelasnya, walaupun jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada setiap parti telah dimuktamadkan, namun masih terdapat kemungkinan pertukaran pada saat akhir.

    Parti itu menaruh harapan yang sangat tinggi untuk pilihan raya kali ini, kerana tidak pernah memenangi satu pun kerusi sejak 2013.

    Bagaimanapun, Lau agak berterus terang apabila ditanya jika ini adalah matlamat parti untuk pilihan raya kali ini.

    “Kita akan pecahkan telur, lagi banyak lagi baik,” katanya.

    Lau menjelaskan bahawa cabaran terbesar Gerakan ialah meyakinkan orang ramai untuk menyokong mereka, walaupun mereka bercakap benar.

    “(Sebaliknya) sekalipun DAP berbohong, orang akan percaya. Ini cabaran terbesar kita,” katanya.

    Sebagai contoh, Lau menyebut ucapan kontroversi Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa Kedah yang diperintah Pas merobohkan kuil Hindu dan memberi amaran bahawa masalah yang sama boleh timbul di Pulau Pinang jika PN berkuasa di sana.

    Susulan itu, Ketua Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong menyangkal kenyataan Lim dan mendakwa empat kuil Hindu di Pulau Pinang telah dirobohkan antara 2008 dan 2016.

  • Bayi 11 bulan maut disyaki tersedak susu

    Bayi 11 bulan maut disyaki tersedak susu

    BAYI perempuan 11 bulan dilaporkan maut dipercayai tersedak susu ketika dijaga pengasuhnya di Rumah Awam Ayer Molek, Melaka semalam.

    Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zaidah, 35, berkata, dia dimaklumkan pengasuh kira-kira 11 pagi bahawa anaknya tidak sedarkan diri dan badannya kebiru-biruan.

    “Saya memintanya segera bawa anak ke klinik berhampiran sementara saya bergegas ke sana,” katanya menurut Berita Harian.

    Menurutnya, beliau menghantar anaknya ke rumah pengasuh kira-kira 7.30 pagi sebelum pergi bekerja di Sungai Udang, manakala suami bekerja di Pulau Gadong.

    Beliau berkata, anaknya dijaga pengasuh sejak berusia empat bulan dan setakat ini hospital belum mengesahkan punca kematian kerana perlu menunggu laporan lengkap bedah siasat.

    Jenazah anaknya kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Titian Bintangor, Alor Gajah kira-kira 10.30 malam tadi.

    Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit mengesahkan kejadian itu dan setakat ini kes diklasifikasikan mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat.

  • Kekosongan kerusi Pulai dimaklum pada SPR

    Kekosongan kerusi Pulai dimaklum pada SPR

    DEWAN Rakyat memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Pulai susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

    Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata selaras Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR hendaklah mengisi kekosongan kerusi itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan terbabit.

    “Saya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat telah mengemukakan pemberitahuan bertarikh 25 Julai kepada pengerusi SPR bahawa Salahuddin Ayub meninggal dunia pada Ahad 23 Julai,” katanya dalam kenyataan.

    Bagi pihak Parlimen, Johari turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.

    Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada 9.23 malam kelmarin, selepas ditidurkan susulan pembedahan akibat pendarahan otak.

  • Kerjasama UMNO, DAP tidak mampu bertahan lama – Noh

    Kerjasama UMNO, DAP tidak mampu bertahan lama – Noh

    BEKAS pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Noh Omar menjangkakan kerjasama UMNO bersama DAP dalam Pakatan Harapan (PH) tidak akan mampu bertahan lama.

    Noh yang dipecat UMNO dan kini menyertai Perikatan Nasional (PN) berkata ,sejarah sudah membuktikan sebelum ini tiada mana-mana parti Melayu yang akan dapat bertahan lama dengan DAP kerana tidak tahan dengan tuntutan parti tersebut.

    “…. Dan saya salah seorang yang tak bersetuju bila bawa dalam mesyuarat Majlis Tertinggi untuk UMNO nak kerjasama dengan Pakatan Harapan.

    “Saya tak bersetuju. Saya cakap dekat setengah jam, saya berhujah. Saya kata fikirlah, tak ada mana-mana parti yang berteraskan Melayu ini yang boleh lama dengan DAP,” katanya semasa berucap pada ceramah PN di Sungai Burong malam tadi.

    Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, kerjasama parti Melayu seperti Semangat 46, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan DAP sebelum ini berakhir dengan kegagalan dan akhirnya terpaksa menamatkan hubungan politik.

    “…Akhirnya kawan dengan DAP kena kencing. Betul? Pas pun sama. Bersatu semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad pun tidak boleh tahan dengan DAP,” katanya lapor portal AgendaDaily.

    Noh juga membidas pihak pengkritik yang menuduhnya sebagai pengkhianat kerana menentang UMNO sekarang, walhal realitinya pengkhianat sebenar adalah Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    “Perhimpunan Agung UMNO dan putuskan No Anwar, No DAP… Tiba-tiba Presiden UMNO boleh paksa tandatangan sebagai Ahli Parlimen surat akuan bersumpah (SD) supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri.

    “Saya kata, gila apa engkau ini? Baharu sahaja kata No Anwar, No DAP tapi sekarang suruh saya tandatangan sokong (Anwar).

    “Jadi siapa pengkhianat sebenar? Saya ke pengkhianat?” ujarnya lagi.

    Untuk rekod, Zahid membawa UMNO bekerjasama dengan PH yang terdapatnya DAP dan memberi sokongan kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri (PMX).

    Tanpa sokongan Zahid, sudah pastinya Anwar tidak dapat menjadi PM dan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).

    Zahid ketika ini sedang berdepan 47 pertuduhan kes rasuah yang masih lagi dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

  • Dr.Ganja’ terlepas tali gantung, dipenjara 9 tahun tetapi bebas selepas hukuman dari tarikh tangkapan

    Dr.Ganja’ terlepas tali gantung, dipenjara 9 tahun tetapi bebas selepas hukuman dari tarikh tangkapan

    SEORANG pesara tentera yang digelar ‘Dr Ganja’ terlepas tali gantung selepas Mahkamah Tinggi meminda 16 pertuduhan mengedar ganja seberat 77.48493 kilogram dan 14.647 liter kepada memiliki dadah.

    Tertuduh, Amiruddin @ Nadarajan Abdullah, 64, juga menghadapi 18 pertuduhan menanam pokok ganja, empat pertuduhan memiliki ganja dan satu pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan.

    Hakim Julia Ibrahim menjatuhkan hukuman penjara berjumlah sembilan tahun terhadap 39 pertuduhan itu yang dilakukan di sebuah rumah di Kampung Delek Dalam, Klang, pada jam 12.30 tengah hari, 26 Mei 2017.

    Bagi 39 pertuduhan itu, Amiruddin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1), Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama, lapor Bernama.

    Julia turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun masing-masing bagi pertuduhan mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 39A(1) manakala hukuman penjara sembilan tahun bagi Seksyen 39A(2) dan enam bulan penjara untuk pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a).

    Beliau memerintahkan Amiruddin menjalani hukuman penjara secara serentak bagi kesemua pertuduhan itu mulai tarikh tangkapan pada 26 Mei 2017.

    Selepas menjatuhkan hukuman Julia mengarahkan tertuduh yang ditahan di penjara pada 26 Mei 2017 dibebaskan hari ini.

    Julia, ketika menyampaikan keputusan di akhir pembelaan, berkata hukuman itu dikenakan selepas mempertimbang hujahan pendakwaan dan rayuan pihak pembelaan.

    Beliau berkata sebagai bekas tentera, Amiruddin pastinya faham dan tahu akan kewujudan ADB, walaupun kesalahan dilakukan didorong rasa terdesak menggunakan ganja sebagai rawatan alternatif untuk merawat penyakit yang dihadapinya.

    “Diharapkan hukuman ini dapat menjadi pencegah kepada orang lain yang mempunyai cadangan dan niat yang serupa (menggunakan dadah tanpa kebenaran untuk merawat penyakit),” katanya.

    Seramai 17 saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula sejak 8 April 2019.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala tertuduh diwakili peguam Sangeet Kaur Deo dan Pravin Mahentharan.

    Pada 28 Jan 2022, Mahkamah Tinggi memerintahkan Dr Ganja itu membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kesemua 39 pertuduhan di bawah ADB 1952.

  • Mayat  dalam but kereta : 6 lelaki warga Indonesia didakwa bunuh rakan senegara

    Mayat  dalam but kereta : 6 lelaki warga Indonesia didakwa bunuh rakan senegara

    ENAM lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegara mereka awal bulan ini. 

    Pusidin, Mohammad, Mohammad Sawi, Marhadi, Marco dan Ahmad yang berusia antara 19 hingga 46 tahun menggangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Reza Azhar Rezali. 

    Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh Dul Safik di sebuah bilik di Jalan Kemuning Batu 8, Shah Alam sekitar jam 10 malam pada 2 Julai lepas, rapor BERNAMA.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman manakala kesemua tertuduh yang bekerja sebagai buruh diwakili peguam Muhammad Hidhir Mustapa. 

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Sept bagi serahan laporan kimia dan forensik. 

    Media sebelum ini melaporkan mayat lelaki Indonesia berusia 47 tahun ditemukan dengan keadaan berbungkus plastik hitam dan terikat dalam but sebuah kereta pada 4 Julai lepas selepas orang awam menghidu bau busuk daripada kenderaan terbabit yang ditinggalkan tepi jalan di Taman Orkid, Seksyen 30, Shah Alam. 

  • Tiga maut, lapan cedera dalam kemalangan libat tiga kereta di Pekan

    Tiga maut, lapan cedera dalam kemalangan libat tiga kereta di Pekan

    TIGA termasuk dua warga emas maut manakala lapan cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kereta di KM65, Jalan Kuantan-Segamat di Pekan hari ini. 

    Mereka yang meninggal dunia ialah Ayub Zakaria, 66, yang memandu kereta Toyota Vios dan penumpangnya Podziah Daharun, 65, kedua-duanya beralamat di Segamat, Johor serta penumpang Perodua Myvi Muhammad Azrin Ahmad Nazri, 19, dari Sungai Lembing di sini. 

    Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata kejadian kira-kira 11.20 pagi itu turut melibatkan sebuah kereta Perodua Alza yang dinaiki tiga lelaki, lapor Bernama.

    “Kemalangan berlaku apabila kereta Alza dari Segamat ke Kuantan disyaki hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Myvi, yang turut dilanggar Vios dari arah Segamat ke Kuantan,” katanya dalam kenyataan. 

    Beliau berkata lapan yang cedera terdiri daripada dua penumpang Alza, pemandu dan tiga penumpang Myvi serta dua penumpang Vios, kesemuanya berusia lingkungan 20 hingga 72 tahun.

    Pemandu Alza bagaimanapun tidak cedera. 

    Katanya mayat dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat manakala yang cedera turut dirawat di hospital sama dan kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.