Category: Semasa

  • Muhyiddin sindir pemimpin tiada rasa malu buat salah

    Muhyiddin sindir pemimpin tiada rasa malu buat salah

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan akhlak yang runtuh menyebabkan seseorang itu tiada lagi perasaan malu apabila melakukan sesuatu yang salah tanpa ada pertimbangan.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) terbabit berkata, keadaan itu mengakibatkan perkara yang haram dihalalkan dan perbuatan yang salah dilakukan pula.

    “Kalau sebut akhlak itu, mestilah akhlak yang baik dan dalam situasi di negara kita ini, kita berasa cemas kerana akhlak umat kita, manusia kita, rakyat kita semakin hari semakin runtuh.

    “Ini menyebabkan sudah tiada lagi rasa malu bila melakukan sesuatu yang salah. Bila sampai satu tahap, tidak rasa malu buat apa sahaja tanpa ada pertimbangan, terutama jika babitkan pimpinan masyarakat dan politik atau pun kerajaan,” katanya sebagaimana lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dalam laporan itu berkata, sempena sambutan Maulidur Rasul hari ini, perkara yang harus ditekankan adalah bagaimana dapat memperbaiki budi pekerti dan akhlak sendiri serta kembali semula kepada asas yang telah terbina dengan agama Islam.

    “Saya ambil kesempatan untuk mengingatkan diri saya sebagai pemimpin, bekas Perdana Menteri serta sebagai bapa untuk saling mengingati supaya kembali kepada asal, iaitu (rujuk) bimbingan dan contoh tauladan terbaik daripada junjungan Nabi Muhamamd SAW.

    “Kalau peringkat akhlak kita sudah rosak, ia akan menyebabkan nilai hidup itu tidak bermakna lagi,” katanya.

    Katanya, asas pendidikan akhlak sudah terbina sejak dididik oleh ibu bapa dan di sekolah dengan ilmu pengetahuan, termasuk berkaitan adab, budi pekerti, tatusila dan budi bahasa bagi membentuk insan berakhlak mulia.

    “Ilmu amat penting untuk membolehkan kita tahu mana satu lebih baik, mana tidak baik dan mana satu yang dituntut serta ditegah agama. Jika seseorang itu memahami perkara berkenaan, maka amatlah penting dia menekankan soal akhlak yang baik sesama manusia.

    “Ada pihak mengaitkan akhlak yang runtuh dengan penyalahgunaan dadah sehingga ada pihak menyalahkan ibu bapa, tidak kurang juga menyalahkan sistem pendidikan dalam negara ini,” katanya.

    Muhyiddin menegaskan, apa pun sebabnya, kelemahan akhlak adalah amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja berlegar dalam kalangan anak muda, tetapi juga orang yang dewasa dan tua.

  • Semua ahli Parlimen Pas kekal sokong Ismail Sabri – Idris

    Semua ahli Parlimen Pas kekal sokong Ismail Sabri – Idris

    SEMUA 17 Ahli Parlimen Pas termasuk tujuh anggota eksekutif dalam pentadbiran kerajaan, kekal menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Naib Presiden PAS yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad semasa mengesahkan perkara itu menegaskan, semua Ahli Parlimen Pas tidak pernah menarik sokongan kepada Perdana Menteri.

    “Sokong (Perdana Menteri). Bila kami kata tak sokong?” katanya sebagaimana lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Pas masih kekal menyokong kepemimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, susulan penyerahan surat berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

    Penegasan Idris itu dibuat di sebalik tindakan 12 anggota Kabinet daripada Perikatan Nasional (PN), termasuk tiga menteri Pas, menyerahkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian tidak bersetuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PAS masih kekal menyokong kepemimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, susulan penyerahan surat berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong yang menyatakan pendirian tidak bersetuju PRU15 diadakan tahun ini.

    Beberapa pihak melihat surat itu sebagai menggugat keabsahan kerajaan dan sebagai tanda hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri kerana UMNO, parti yang dianggotai Ismail Sabri, memutuskan supaya PRU15 diadakan tahun ini.

    Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berpandangan keabsahan kerajaan ketika ini semakin berkurangan dengan tindakan 12 menteri Kabinet PN mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong, yang mengurangkan 40 peratus keabsahan kerajaan sedia ada.

    Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membangkitkan persoalan sama ada surat daripada anggota Kabinet BERSATU dan Pas itu boleh dianggap sebagai mereka hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri.

    Setiausaha Agung PN yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pula menegaskan pendirian PN yang tidak menyokong pembubaran Parlimen tahun ini, tidak boleh ditafsirkan sebagai gabungan itu hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri kerana kedua-duanya adalah isu berbeza.

  • Gajah naik bukit cari makanan, pindah habitat baharu – Perhilitan

    Gajah naik bukit cari makanan, pindah habitat baharu – Perhilitan

    TINDAKAN gajah yang bergerak secara berkumpulan menaiki kawasan berbukit adalah untuk mencari makanan dan berpindah ke habitat yang baru.

    Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, gajah biasanya bergerak secara berkumpulan ke kawasan yang lebih tinggi untuk mencari makanan.

    “Gajah bergerak ke kawasan berbukit untuk mencari makanan atau berpindah ke kawasan yang baharu.

    “Orang ramai diingatkan agar tidak mengganggu aktiviti pergerakan gajah ini dan menjauhkan diri daripada haiwan terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

    Baru-baru ini, terdapat dakwaan mengatakan kejadian gajah mendaki bukit sejak beberapa hari lalu memberi petanda awal bencana alam akan berlaku.

    Pada Selasa, tular rakaman video sekumpulan gajah dilihat bergerak ke atas bukit dipercayai di Simpang Kuala Betis ke Lojing, Gua Musang, Kelantan.

    Kemudian, pada Sabtu, tular pula sekumpulan gajah menaiki kawasan bukit di Tasik Kenyir, Terengganu.

    Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 1.40 tengah hari dan dirakam pengguna jalan raya yang melalui kawasan terbabit.

  • Bubar Parlimen: Tunggu dulu pengumuman rasmi – PM

    Bubar Parlimen: Tunggu dulu pengumuman rasmi – PM

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Ditanya berhubung pelbagai spekulasi tersebar mengenai pembubaran Parlimen, Perdana Menteri enggan mengesah atau menafikan kerana tidak mahu mencetuskan spekulasi baharu mengenai perkara itu.

    Beliau juga tidak memberi pengesahan sama ada pembubaran Parlimen akan dilaksanakan sebelum Bajet 2023 diluluskan, selain enggan memberi sebarang jaminan belanjawan negara akan diluluskan sebelum Parlimen dibubarkan.

    “Tak apa, kita tunggu dulu. Untuk pembubaran ini tunggu pengumuman. Apa pun saya cakap, akan ada spekulasi. Tunggu dulu.

    “Soalan ini (harap Bajet 2023 diluluskan sebelum pembubaran Parlimen) pun kalau saya jawab, dah ke arah spekulasi baharu. Tunggu dulu,” katanya sebagaimana lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai spekulasi berpanjangan berhubung pembubaran Parlimen yang dikhuatiri akan menjejaskan ekonomi negara.

    Ismail Sabri turut ditanya sama ada Bajet 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat kelmarin, akan diluluskan terlebih dahulu sebelum Parlimen dibubarkan bagi membolehkan PRU15 dilaksanakan.

    Khamis lalu, Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara.

    Bagaimanapun, spekulasi ketika itu mengatakan Perdana Menteri dijangka turut memohon pembubaran Parlimen dalam pertemuan berkenaan, di samping membincangkan mengenai Bajet 2023.

    Khabar angin mengatakan Perdana Menteri dijangka memohon perkenan baginda untuk pembubaran Parlimen tercetus susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Jumaat lalu yang membuat ketetapan supaya PRU15 diadakan tahun ini.

    Berdasarkan keputusan UMNO itu, ramai pihak berpandangan Parlimen perlu dibubar awal atau pertengahan bulan ini, kerana PRU15 berisiko diadakan pada musim tengkujuh dan banjir jika ia dibubarkan lebih lewat dari tempoh itu.

  • Didakwa seludup hidupan liar: Rakyat Malaysia diekstradisi ke AS

    Didakwa seludup hidupan liar: Rakyat Malaysia diekstradisi ke AS

    AMERIKA Syarikat (AS) mengekstradisi seorang rakyat Malaysia, Teo Boon Ching yang didakwa terlibat dalam kegiatan penyeludupan hidupan liar dan pengubahan wang haram.

    Teo (bergelar Datuk Seri) 57, didakwa terlibat dengan konspirasi menyeludup lebih 70 kilogram tanduk badak sumbu bernilai lebih US$725,000, menurut kenyataan Jabatan Kehakiman AS.

    “Teo didakwa atas satu pertuduhan bersubahat melakukan penyeludupan hidupan liar yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan dua pertuduhan pengubahan wang haram yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun.

    “Teo telah ditahan di Thailand pada 29 Jun atas permintaan AS menurut perjanjian ekstradisi dua hala,” menurut kenyataan itu.

    Dia diekstradisi ke AS pada Jumaat (7 Okt) untuk didakwa. 

    Terdahulu, pada Jumaat Teo dan entitinya telah dikenakan sekatan oleh Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) Jabatan Perbendaharaan AS.

    Kenyataan itu turut mendedahkan bahawa Teo ialah peneraju perusahaan jenayah transnasional yang berpangkalan di Asia serta menjalankan operasi penyeludupan tanduk badak sumbu berskala besar di Malaysia dan Thailand.

    “Ching (Teo) bertindak sebagai penyeludup khusus yang mengangkut tanduk badak sumbu dari pusat operasi pemburuan badak sumbu dari Afrika kepada pelanggan terutamanya di Asia. 

    “Dia juga mendakwa boleh membuat penghantaran tanduk badak sumbu ke AS,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • Surat menteri PN tangguh bubar Parlimen, tak timbul isu keabsahan kerajaan – PM

    Surat menteri PN tangguh bubar Parlimen, tak timbul isu keabsahan kerajaan – PM

    TIDAK timbul isu keabsahan kerajaan ketika ini susulan menteri Kabinet dari Perikatan Nasional (PN) mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menangguhkan pembubaran Parlimen, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata mengikut Perlembangaan Persekutuan, kerajaan akan hilang sokongan apabila Ahli Parlimen menarik sokongan hingga sokongan yang diterima kurang daripada 112 atau majoriti mudah.

    “Kalau sokongan Ahli Dewan Rakyat masih lagi utuh, tidak ada perubahan…jadi tidak ada lah isu yang mengatakan kerajaan tumbang.

    “Kalau menteri Kabinet tulis surat dia kata letak jawatan sekalipun, Kabinet masih berfungsi dan kerajaan masih berfungsi…tiada kesan pada keabsahan kerajaan kerana Ahli Parlimen masih memberi sokongan seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1444 Hijrah/ 2023 Masihi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

    Ismail Sabri berkata situasi kerajaan tumbang apabila Ahli Parlimen menarik sokongan boleh dilihat ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri dan seluruh Kabinet terpaksa meletakkan jawatan.

    Ismail Sabri berkata surat yang dihantar oleh menteri-menteri berkenaan adalah untuk meminta Parlimen tidak dibubarkan, namun kuasa untuk pembubaran adalah di bawah Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

    Terdahulu, Ismail Sabri mengiringi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke majlis itu.

    Pada Khamis, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) menyerahkan surat kepada Istana Negara bagi menyatakan ketidaksetujuan untuk Parlimen dibubarkan bagi melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada tahun ini.

    Kandungan surat itu agar PRU15 tidak dilaksanakan tahun ini sebaliknya menumpukan perhatian untuk persiapan menghadapi risiko banjir besar pada hujung November ini susulan fenomena Monsun Timur Laut.

    Surat berkenaan adalah hasil mesyuarat menteri serta Ahli Parlimen PN selepas menghadiri Majlis Makan Malam Pengerusi PN dan Penyerahan Watikah Ketua Badan Perhubungan Kawasan PN Selangor, di Glenmarie Shah Alam pada Rabu. – BERNAMA

  • PRU-15 ketika banjir beri peluang manipulasi kiraan undi

    PRU-15 ketika banjir beri peluang manipulasi kiraan undi

    KEPUTUSAN mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada musim tengkujuh memberi peluang kepada pihak tertentu memanipulasi kiraan undi selain membataskan hak pengundi keluar mengundi.

    Lapot portal BeritaBersatu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata banyak perkara boleh terjadi ketika cuaca buruk berlaku terutama kertas undi rosak serta peti undi hilang, sekali gus memberi kesempatan pihak tertentu menang.

    Malah katanya, sekiranya berlaku banjir, kemungkinan ramai pengundi tidak dapat menunaikan tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang diingini apabila tidak dapat pulang, malah ada yang terputus hubungan jalan untuk keluar mengundi.

    Lebih teruk lagi, katanya, kebanyakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) mungkin akan ditenggelami banjir terutama kawasan yang mudah dilanda bencana itu.

    “Kesan daripada ini, bukan saja peratusan mengundi rendah, malah mana-mana parti yang menang sebenarnya tidak dapat mandat sepenuhnya oleh rakyat.

    “Akhirnya, selepas PRU15, kerajaan yang ditubuhkan tidak stabil, menyebabkan ramai rakyat yang selayaknya keluar mengundi tidak dapat mengundi akan mengadakan protes.

    “Bagi BERSATU, mengadakan PRU15 dalam keadaan ‘huru-hara’ (cuaca buruk) adalah sesuatu yang tidak sihat kerana sudah pasti hak mengundi ramai rakyat tidak dipenuhi,” katanya, baru-baru ini.

    Mengulas lanjut, Mohamed Farid yang juga Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu berkata, PRU adalah satu kunci terbesar apabila Malaysia adalah negara demokrasi berparlimen.

    Katanya, Perdana Menteri seharusnya memikirkan masa sesuai untuk mengadakan PRU, bukannya tergopoh-gapah menyebabkan hak memilih rakyat hilang.

    “Walaupun isu memanupulasi undi jarang berlaku, tapi risiko cukup tinggi untuk berlaku ketika PRU15 diadakan dalam keadaan banjir, ribut, serta hujan lebat.

    “Kita kena ambil kira perkara ini dan BERSATU menolak sekeras-kerasnya untuk mengadakan PRU15 pada musim tengkujuh,” katanya.

  • Pilihan raya musim banjir kerja gila – Rafizi

    Pilihan raya musim banjir kerja gila – Rafizi

    GESAAN individu tertentu untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada musim banjir dianggap sebagai satu ‘kerja gila’.

    Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, tindakan itu dilihat sebagai mementingkan diri tanpa memikirkan kesusahan yang dialami rakyat.

    “Perkiraan ‘dia’ hanyalah untuk kembali ke Putrajaya. Dia tidak kisah orang nak tenggelam ke, rumah orang nak rosak ke, dia tidak kisah.

    “Sepatutnya di tempat lain, kalau kita tahu bencana akan tiba, seluruh negara tumpu kepada usaha nak bantu orang.

    “Itu sebab utama kita sendiri memang lantang dan saya merasakan ini kerja gila. Semua tahu banjir berlaku tiap-tiap tahun,” katanya semalam.

    Menurut Rafizi dalam laporan itu, sekiranya diadakan pilihan raya, ia bukan sahaja menyusahkan pengundi malah kakitangan awam termasuk pasukan keselamatan yang telah melakukan persediaan banjir.

    “Soalnya adalah pegawai kerajaan seperti tentera, polis, pegawai-pegawai pejabat daerah. Mereka ini yang sebenarnya bermesyuarat setiap minggu untuk persediaan banjir.

    “Kalau bubar (Parlimen) masuk musim tengkujuh, segala tumpuan dan persediaan akan beralih kepada PRU kerana mereka juga yang akan mengendalikan pilihan raya.

    “Mereka yang jaga keselamatan, mereka juga yang kena jaga ketua tempat mengundi dan lain-lain,” katanya.

    Rafizi berkata, gesaan sedemikian akan memberi persepsi negatif terhadap ahli politik.

    “Sebab itu orang tidak suka dengan ahli politik kerana dia tidak fikirkan lain hanya fikirkan dirinya sahaja. Yang penting dia mahu masuk dalam kerajaan balik.

    “Saya ceramah setiap malam, berkempen, jaga jentera sampai sudah tiga kali mimpi Parlimen bubar, letih,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Rafizi mengesahkan PKR akan bertanding di Parlimen Tapah pada pilihan raya kali ini.

    “PKR akan bertanding balik di Parlimen Tapah termasuk kerusi Ayer Kuning dan Chenderiang. Jadi buat yang terbaik supaya kita menang kali ini.

    “Kalau pun tidak menang, pastikan ada perubahan dan lonjakan yang cukup baik. Perak secara keseluruhannya tunggu masa kita ambil alih sebagai kerajaan Pakatan Harapan (PH),” jelas beliau.

  • Anugerah Maulidur Rasul kebangsaan: Mizz Nina antara penerima

    Anugerah Maulidur Rasul kebangsaan: Mizz Nina antara penerima

    SELEBRITI, Syazrina Azman atau lebih dikenali sebagai Mizz Nina dipilih antara penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1444H/2022M, bagi kategori Ikon Aktivis Kemanusiaan.

    Lapor Berita Harian, tokoh korporat, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir diumumkan penerima Anugerah Perdana, manakala Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), Prof Datuk Dr Azizan Baharudin menerima anugerah bagi Ikon Sains dan Peradaban.

    Penerbit Eksekutif (Pengisian Kandungan Islam) TV3 dan TV9, Ahmad Noor Sulaiman (Ikon Media Islam); Pengasas Kumpulan Zikay, Datuk Mohd Khay Ibrahim (Ikon Korporat Islam), pesara guru Tadika, Chee Hoi Lan (Ikon Ibu Sejati-Keluarga Malaysia) dan pakar kaunseling, Hushim Salleh (Ikon Kaunselor dan Motivasi).

    Penganugerahan itu diumumkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff ketika Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur.

    Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan penganugerahan itu kepada semua penerima Anugerah Perdana dan Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan.

  • ‘Janji macam-macam, satu pun tak dapat’ – Veteran ATM

    ‘Janji macam-macam, satu pun tak dapat’ – Veteran ATM

    PRESIDEN Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM), Mior Rosli Mior Mohd Jaafar melihat Belanjawan 2023 seakan tidak memihak golongan pesara tentera.

    Memetik laporan Malaysiakini, Mior menyoal janji-janji Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein terhadap kebajikan para veteran.

    “Sebelum bajet, menteri pertahanan sebut macam-macam janji akan masuk belanjawan… tapi satu pun tak masuk,” katanya.

    Mior Rosli (gambar, bawah) juga mendakwa bajet yang dibentangkan langsung tidak menitikberatkan hak yang dituntut mereka.

    “Sebenarnya Bajet 2023 tidak menyentuh satu pun apa yang kami tuntut dari hak kami dari sudut undang-undang,” jelasnya kepada Malaysiakini.

    Tambahnya lagi, bajet yang dibentangkan tidak memenuhi kepuasan hati pihaknya, malah peruntukan yang diberi dilihat tiada khusus kepada mereka.

    “Pesara tentera tidak ada peruntukan apa-apa, nak puas hati macam mana?

    “Kalau bajet kata veteran dapat tambang separuh harga.. sudah 30 tahun kami dapat tambang kereta api separuh harga.

    “Bukan kami je dapat, semua warga emas pun dapat,” ujarnya lagi.

    Belanjawan 2023 memperuntukkan diskaun 50 peratus kepada veteran (ATM) dan pesara polis yang menggunakan pengangkutan awam bawah kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), tahun depan.

    Peruntukan melalui inisiatif MyWIRA itu dijangka memanfaatkan kira-kira 21,000 pemegang kad veteran ATM dan kad pesara polis di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang serta Pulau Pinang.

    September lalu, kira-kira lebih 100 veteran ATM berkumpul di hadapan bangunan Jabatan Perdana Menteri bagi menuntut hak kebajikan mereka.

    Antara tuntutan yang dibuat adalah berkenaan penyelarasan pencen dapat serta mendesak kerajaan mengkaji semula pencen hilang upaya terhadap veteran yang cedera perang dan semasa bertugas.