Category: Semasa

  • Warganet kecewa PRU-15 musim tengkujuh, dakwa bebankan rakyat

    Warganet kecewa PRU-15 musim tengkujuh, dakwa bebankan rakyat

    PEMBUBARAN Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengundang kekecewaan rakyat yang berang dengan tempoh pelaksanaannya yang berlaku semasa musim tengkujuh.

    Tinjauan Warta Rakyat dalam ruangan komen berkaitan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, kebanyakan warganet menyifatkan pembubaran Parlimen ketika ini bukan setakat memenuhi impian pemimpin politik gila kuasa malah bakal membebankan rakyat.

    Seorang pengguna Facebook, Arechik Imma berkata, demi kuasa, kerajaan sanggup membebankan rakyat yang berkemungkinan besar mengalami bencana banjir.

    “Maka saya juga bubar UMNO dan BN (Barisan Nasional) dari kamus hidup saya.Parti yang sangat tak berhati perut.

    “Demi kuasa sanggup membebankan rakyat yang berkemungkinan besar menghadapi bencana banjir,” katanya.

    Bagi Saihatul Dewiah Kamsiran, semasa banjir adalah masa bagi penduduk terjejas menyelamatkan harta benda mereka.

    Katanya, ini sekali gus menyukarkan mereka keluar mengundi.

    “Maaf lah… kalau banjir memang tak pergi mengundi lah.Mangsa banjir sibuk nak selamatkan harta benda,” katanya.

    Senada dengan pendapat Saihatul Dewiah, Aziz Shamsudin menegaskan ramai pengundi tidak dapat keluar mengundi jika PRU-15 dilaksanakan pada musim tengkujuh.

    Malah dakwanya, pada tempoh itu dibimbangi berlakunya perbuatan khianat termasuk gangguan bekalan elektrik yang memungkinkan kewujudan pengundi hantu.

    “Ada tempat terpadam lampu dewan, kira semula,tong tidak bertambah,tapi menang, rupanya dah siap undi hantu dalam karung sampah,masa lampu terpadam,masa yang sama karung sampah dibawa,” dakwanya.

    Sementara itu, pengguna Facebook Sczu Yed mendakwa PRU-15 semasa musim tengkujuh menyusahkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang baru sahaja memulakan pengajian minggu lalu.

    “Tak kan ibu-bapa nak suruh diorang (anak mereka) balik mengundi.Siapa nak tanggung kos,” tegasnya.

  • DUN bawah BN bubar serentak pembubaran Parlimen – Zahid

    DUN bawah BN bubar serentak pembubaran Parlimen – Zahid

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) akan dibubarkan serentak dengan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Bagaimanapun katanya, DUN Melaka, Johor dan Sabah tidak akan dibubarkan kerana belum mencapai tempoh matang.

    “Kerajaan negeri di bawah BN sangat prihatin, bahawa kita tidak mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibebankan dengan perbelanjaan yang tinggi jika Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan secara berasingan.

    “Maka kami mengambil keputusan bahawa negeri-negeri yang berada di bawah BN tidak akan mengadakan PRN berasingan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-76 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

    Sebelum ini, Pakatan Harapan mengumumkan tidak akan membubarkan DUN di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan manakala Pas turut membuat keputusan sama di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata BN sentiasa bersiap sedia menghadapi PRU15 pada bila-bila masa.

    Beliau berkata Dewan Tertinggi BN memutuskan untuk mengekalkan lapan parti sebagai ‘friends of (mesra) BN’ dan sedang meneliti permohonan tujuh parti daripada ‘friends of BN’ itu untuk menjadi parti teras, sekali gus menjadi calon atas tiket BN pada PRU15.

    Tanpa mendedahkan nama parti berkenaan, beliau berkata BN sedang melihat kesesuaian parti-parti yang menawarkan calon itu sebelum merumus formula dalam mencapai keputusan bersama BN.

    Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Zahid berkata BN bersetuju untuk memasukkan kesemua manifesto yang dicadangkan MIC ke dalam manifesto BN dengan mengambil kira sumbangan masyarakat India kepada negara.

    Antara manifesto yang dicadangkan MIC adalah meminta komitmen daripada BN pelaksanaan kedua-dua Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sosio-ekonomi Masyarakat India (JKMPSI) dan Pelan Tindakan Masyarakat India 2.0.

    Sementara itu mengulas kerjasama BN dan Pas, Ahmad Zahid berkata BN berpendirian kerjasama dengan PAS perlu bersifat menyeluruh, dan menyifatkan cadangan kerjasama parti itu untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam PRU15 sebagai satu muslihat.

    “Kalau mahu bekerjasama, biarlah bekerjasama secara total, bukan kerana merundingkan kononnya ada kerusi bagi mengelak tiga penjuru,” katanya.

  • Agong kecewa perkembangan politik, zahir harapan PRU-15 sebelum Monsun Timur Laut

    Agong kecewa perkembangan politik, zahir harapan PRU-15 sebelum Monsun Timur Laut

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah manzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa dalam negara.

    Pada masa sama, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, Seri Paduka tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat memilih kerajaan yang stabil.

    Justeru, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam tempoh terdekat.

    Kata beliau, ia mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pada pertengahan November depan.

    “Seri Paduka menegaskan bahawa negara yang kukuh adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang berterusan demi kesejahteraan negara dan rakyat secara keseluruhannya.

    “Seri Paduka mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah khususnya bencana banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Ahmad Fadil memberitahu, Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Negara, semalam.

    Dalam sesi menghadap tidak berjadual pada pukul 12 tengah hari itu, Ahmad Fadil berkata, Perdana Menteri telah mengemukakan sembah permintaan beliau untuk perkenan Al-Sultan Abdullah bagi pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa hari ini, 10 Oktober.

    “Setelah memperhalusi permintaan tersebut, maka Seri Paduka selaras dengan kuasa-kuasa baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong seperti mana yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan telah memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi pembubaran Parlimen ke-14,” katanya.

    Parlimen sah dibubarkan berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada PRU-15.

    Pengumuman itu sekali gus menjawab spekulasi sejak minggu lalu bahawa Parlimen akan dibubarkan.

    Dalam perutusan khas pada pukul 3 petang tadi, Ismail Sabri memaklumkan perkara itu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

  • Kelantan tidak bubar DUN, kata Mohd Amar

    Kelantan tidak bubar DUN, kata Mohd Amar

    TIMBALAN Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, negeri itu kekal pendirian tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun kerajaan mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa hari ini.

    “Kita masih berpegang dengan keputusan yang dibuat parti sebelum ini.

    “Setakat ini keputusan parti sebagaimana yang dibuat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalan, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa tiga negeri yang diperintah PAS tidak akan bubarkan DUN walaupun Parlimen dibubarkan.

    “Keputusan itu masih terpakai, namun apa berlaku sehari dua lagi saya tidak tahu. Kita ada masa untuk bubar DUN paling cepat adalah pada Mac tahun depan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, hari ini.

    Ditanya sama ada pendirian Pas itu bakal menyusahkan rakyat yang perlu pulang berulang kali untuk mengundi, Mohd. Amar berkata, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang berlangsung ketika musim banjir lagi menyusahkan rakyat.

    “Saya difahamkan keputusan yang dibuat Perdana Menteri ini disebabkan desakan oleh parti,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada PRU-15.

    Perdana Menteri membuat pengumuman itu menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, menerusi siaran televisyen dan media dalam talian pada pukul 3 petang tadi.

  • Rakyat perlu ajar UMNO-BN sekali lagi

    Rakyat perlu ajar UMNO-BN sekali lagi

    PEMBUBARAN Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini membuktikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mengendahkan nasib dan nyawa rakyat apabila berkeras untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada musim banjir.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman berkata, perasaannya bercampur baur selepas mendengar pengumuman berkenaan dan menyifatkan UMNO dan BN hanya mementingkan hawa nafsu.

    “Saya menyeru rakyat Malaysia untuk menghukum keangkuhan UMNO-BN. Mari keluar beramai-ramai untuk tewaskan semula BN dan juga Perikatan Nasional (PN) yang telah menjadi sebab demokrasi negara ini tercalar akibat peristiwa Langkah Sheraton.

    “Rakyat perlu ajar mereka, tiada apa yang lebih berkuasa daripada kuasa rakyat. Rakyat perlu ingatkan mereka bahawa kuasa rakyat menentukan segalanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, beliau juga menyeru rakyat keluar menjalankan tanggungjawab pada PRU-15 untuk menghukum pihak yang mementingkan diri.

    “Ayuh rakyat Malaysia. Keluar mengundi. Bela nasib dan maruah negara yang semakin tercalar akibat kerakusan hawa nafsu pemimpin gila kuasa.

    “Saya, Young Syefura Othman, bersedia menghadapi PRU-15 dan ingin mengajak anda semua untuk bersama-sama Pakatan Harapan dan humbankan BN dan PN ke lembah yang mereka tidak mungkin akan bangkit kembali,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Parlimen bubar, kerajaan sementara tadbir negara

    Parlimen bubar, kerajaan sementara tadbir negara

    NEGARA kini ditadbir oleh kerajaan sementara, dan segala urusan urusan kerajaan akan dijalankan oleh kerajaan berkenaan selepas Parlimen dibubarkan hari ini. 

    Pakar perlembagaan yang juga Pensyarah Undang-undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata berdasarkan kepada Konvensyen Perlembagaan, kerajaan sementara atau ‘caretaker government’ akan memerintah sesebuah negara bermula daripada pembubaran Parlimen sehingga kepada penubuhan kerajaan baru selepas Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

    Beliau berkata tiada sebarang formaliti diperlukan untuk pembentukan kerajaan sementara kerana ia terbentuk dengan sendiri sebaik Parlimen dibubar.

    “Di Malaysia kita tiada panduan bertulis, tapi kita sepatutnya mengguna pakai amalan konvensyen Perlembagaan yang sesuai dengan sistem demokrasi berparlimen dengan had-had tertentu,” katanya kepada Bernama di sini. 

    Teka teki mengenai bila Parlimen dibubar bagi memberi laluan kepada PRU15 terjawab selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini..

    Muhammad Fathi berkata antara had itu termasuk sekatan ke atas kuasa badan eksekutif, dengan peranan mereka hanya terhad kepada peranan pentadbiran asas untuk memastikan kelancaran hal ehwal pentadbiran kerajaan.

    Berikutan itu, beliau berkata Perdana Menteri dan ahli kabinet tidak harus dibenarkan membuat keputusan dasar utama yang berkemungkinan melakukan sesuatu yang dibuat oleh kerajaan yang baharu, membuat pelantikan ke jawatan penting atau membuat kontrak atau aku janji yang memberi kesan besar.

    Selain itu, Muhammad Fathi berkata kerajaan sementara tidak dibenarkan menggunakan dana dan jentera kerajaan untuk iklan politik semasa tempoh berkempen dalam PRU.

    Bagi Ahli Majlis Profesor Negara Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood prinsip utama kerajaan Persekutuan ialah tiada perbelanjaan boleh dibuat jika ia tidak diluluskan Parlimen.

    Bekas Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berpandangan Perdana Menteri yang menerajui kerajaan sementara juga tidak sepatutnya melantik pembantu kerana kerajaan boleh berjalan dengan sokongan dan bantuan penjawat awam di bawah Ketua Setiausaha Negara.

    Ditanya mengenai tempoh mandat kerajaan sementara, Nik Ahmad Kamal berkata terdapat pandangan mengatakan bahawa kerajaan sementara masih berfungsi selagi belum ada kerajaan baharu dilantik manakala pendapat lain mengatakan bahawa kerajaan sementara ini tamat apabila sampai hari mengundi.

    “Saya lebih cenderung kepada pendapat pertama kerana jentera kerajaan seharusnya terus berfungsi semasa hari pilihan raya, dan selepas, sehinggalah kerajaan baharu dilantik dengan Perdana Menteri yang baharu mengangkat sumpah,” katanya.- BERNAMA

    PRU15, Ismail Sabri, Perdana Menteri, kerajaan sementara, konvensyen perlembangaan

  • ‘Jaga UMNO, jangan campur urusan Bersatu’

    ‘Jaga UMNO, jangan campur urusan Bersatu’

    AHLI Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Muhammad Faiz Na’aman mengingatkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya menjaga UMNO dan jangan sibuk dengan Bersatu.

    “Presiden UMNO itu perlu menyelesaikan masalah dalaman parti berkenaan bukannya sibuk melobi ahli Bersatu untuk keluar parti.

    “Zahid kena muhasabah diri bahawa beliau sendiri terpalit dengan kes pendakwaan mahkamah.

    “Ahli akar umbi UMNO sendiri tidak setuju dengan cara beliau membawa parti itu termasuk gesaannya yang mahu mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir pada Persidangan Parti Bersatu Bahagian Segambut, Kuala Lumpur hari ini.

    Turut hadir Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Mahathir Md. Rais.

    Muhammad Faiz berkata, bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff bukanlah pengasas Bersatu seperti yang didakwanya.

    “Kebanyakan dasar dalam Bersatu bukan datang dari beliau (Rais) sebaliknya semua kepimpinan tertinggi Bersatu yang menyokong kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika parti itu masih di bawah Pakatan Harapan (PH),” katanya.

    Sementara itu, nada yang sama turut disuarakan oleh Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Dr. Chong Fat Full yang beranggapan Presiden UMNO sudah kering idea untuk berpolitik.

    “Ahmad Zahid sebenarnya sudah hilang arah, dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan dikala akar umbi UMNO itu sendiri sebenarnya sudah tidak dapat menerima kepimpinannya lagi,” katanya.

    Tambahnya lagi, jentera Bersatu sudah bersiap sedia jika pilihan raya umum hendak diadakan.

    “Akar umbi, sayap Bersatu sudah bersedia sebaik mungkin untuk memenangkan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum akan datang,” kata beliau.

    Ahmad Zahid hari ini melontarkan persoalan kepada ahli-ahli Bersatu bilakah mereka akan bertindak keluar daripada parti.

    Kenyataan itu dikeluarkan Zahid berikutan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff mengumumkan keluar parti berkuat kuasa Jumaat lepas.

  • Dua termasuk warga emas ditahan seludup arak

    Dua termasuk warga emas ditahan seludup arak

    DUA lelaki termasuk seorang warga emas ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai melibatkan rampasan bernilai RM112,218.60 di sebuah premis di kawasan Bukit Pasir, Muar, semalam.

    Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, suspek masing-masing berusia 47 dan 62 tahun itu ditahan Pasukan Task Force Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Muar serta Pasukan Risik Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 6 Bakri menerusi Op Kontraban kira-kira pukul 4 petang.

    “Kita telah merampas 137 karton arak mengandungi 3,288 tin dan 55 karton mengandungi 1,120 botol bernilai kira-kira RM104,218.60, selain sebuah kereta Proton Waja bernilai RM8,000.

    “Jumlah nilai rampasan keseluruhan adalah RM112,218.60,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kedua-dua lelaki tempatan itu ditahan reman selama lima hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

  • 43 rumah hangus, 200 penduduk di Kudat hilang tempat tinggal

    43 rumah hangus, 200 penduduk di Kudat hilang tempat tinggal

    KIRA-KIRA 200 penduduk Kampung Tanjung Kapur di Kudat hilang tempat tinggal selepas 43 rumah jenis tidak kekal hangus dalam kebakaran awal pagi ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah berkata 21 anggota bersama tiga jentera memadam kebakaran bergegas ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran itu pada pukul 2.28 pagi.

    “Pemadaman dijalankan menggunakan dua saluran daripada sumber air pili bomba. Kebakaran dapat dikawal pada pukul 4.21 pagi sebelum operasi ditamatkan pada 6.43 pagi ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Operasi oleh abggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat dan BBP Kota Marudu itu turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan Bomba Sukarela Kampung Air dan Sabah Electricity Sdn Bhd.

    Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

  • Ismail Sabri umum pembubaran Parlimen, beri laluan PRU-15

    Ismail Sabri umum pembubaran Parlimen, beri laluan PRU-15

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Berikutan kenyataan penuh beliau yang dibacakan dalam satu perutusan khas berhubung pembubaran itu:

    Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
    Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia

    Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT pemilik segala kurnia, kerana dengan
    rahmat dan keizinan-Nya, saya dapat menyampaikan perutusan khas pada petang yang penuh barakah ini.

    1. Terlebih dahulu, izinkan saya menjunjung kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, bersama seluruh perkenan Raja-Raja Melayu, atas pelantikan saya sebagai
      Perdana Menteri Malaysia Ke-9, dalam keadaan negara yang sangat mencabar tatkala itu.
    2. Pada kesempatan ini, izinkan juga saya menzahirkan setingi-tinggi terima kasih kepada seluruh Keluarga Malaysia kerana menyokong dan mendokong saya selama ini, dalam melunaskan amanah serta tanggungjawab sebagai Ketua Kerajaan.
    3. Mengambil ibrah firman Allah S.W.T dalam surah Ali-Imran ayat 54; yang bermaksud; “Dan mereka merancang, Allah juga merancang, dan Allah sebaik-baik perancang.” Tanggal 21 Ogos 2021, saya ditakdirkan Ilahi menerajui pentadbiran negara.
    4. Betapa besar amanah dan tanggungjawab yang dipikul, besar jugalah usaha dan ikhtiar yang digalas. Pada waktu itu negara diselubungi tri-lema; pandemik COVID-19 yang sedang mengganas, bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia, ditambah pula dengan kelesuan ekonomi dan politik yang bergelora.
    5. Meskipun acapkali diasak pelbagai cabaran, tohmahan serta fitnah, namun Alhamdulillah dengan kehendak yang Maha Berkuasa, Kerajaan andal menghadapi mehnah dan tribulasi, dalam perjuangan membawa negara ke landasan pemulihan kesihatan, politik dan ekonomi – demi memulihkan kesejahteraan hidup Keluarga Malaysia dan kemakmuran negara.

    Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

    1. Kerajaan ini bertanggungjawab dan sentiasa membuat perancangan yang teliti dalam semua perihal. Ketika
      negara berhadapan krisis kesihatan misalnya, Kerajaan meletakkan kepentingan Keluarga Malaysia di atas segalagalanya.
    2. Terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan seluruh Keluarga Malaysia, yang sentiasa memberikan
      sokongan ampuh dalam membantu Kerajaan membendung penularan COVID-19.
    3. Di atas kejayaan tersebut, Malaysia telah melangkah memasuki fasa peralihan ke endemik pada tanggal 1 April 2022, yang membolehkan pembukaan semula sempadan negara selepas lebih dua tahun ditutup.
    4. Justeru, kita sepatutnya sama-sama berkongsi rasa bahagia dan bangga apabila negara berjaya keluar dari pandemik, bahkan Malaysia diiktiraf sebagai negara yang terbaik di Asia Tenggara, dalam mendepani cabaran COVID-19.
    5. Keberhasilan ini sekali gus, menyaksikan pembukaan semula pintu ekonomi dan merancakkan kembali aktiviti pelbagai sektor. Ia bukti kukuh komitmen Kerajaan dalam usaha menangani pandemik serta menarik balik sekatan pergerakan yang menjejaskan kehidupan seharian.
    6. Pun begitu, pemulihan kesihatan dan ekonomi yang terus mengukuh ini, tidak terkecuali daripada berdepan ketidaktentuan politik yang terus menggugat kestabilan. Umpama peribahasa; empang sampai ke seberang, dinding sampai ke langit.
    7. Parlimen Penggal Ke-14 melakarkan warna suram kepada landskap politik negara. Belum pernah terpateri dalam sejarah, berlakunya pertukaran tiga Perdana Menteri dan Kerajaan memerintah bersilih ganti dalam penggal yang sama. Ini memberi dampak memburuk terhadap sosiopolitiko-ekonomi.
    8. Begitupun, percakaran tanpa henti antara pemain politik dapat dikekang daripada berterusan dengan membawa mereka ke meja rundingan, bagi meredakan keadaan. Kami mencari kebersamaan, bukan perbezaan. Kami mencari kesepakatan, bukan perpecahan.
    9. Natijah semangat Keluarga Malaysia berteraskan Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran diterjemahkan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, antara Kerajaan dan pembangkang. Ternyata, limpahan hikmah dan rahmatNya memanfaatkan seluruh Keluarga Malaysia.
    10. Berkat kesepakatan ini, Kerajaan telah berjaya melaksanakan beberapa transformasi yang signifikan, antaranya;

    i. Pindaan Perlembagaan Berkenaan Larangan Ahli
    Dewan Rakyat bertukar Parti.

    ii. Pindaan Perlembagaan Berkaitan Perjanjian
    Malaysia 1963 (MA63)

    iii. Akta Anti Gangguan Seksual

    Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

    1. Pandemik COVID-19 yang melanda negara pada awal tahun 2020, mengakibatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup 5.5 peratus. Penguncupan paling besar sejak Krisis Kewangan Asia 1997-1998.
    2. Namun, Kerajaan dengan langkah-langkah responsif dan proaktif telah berjaya membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi. Terbaharu, Bank Dunia menyemak semula unjuran KDNK negara bagi tahun 2022 kepada 6.4 peratus, berbanding 5.5 peratus yang diunjurkan pada Mac lalu.
    3. Alhamdulillah, Malaysia diiktiraf sebagai negara ke-18 paling aman di dunia daripada 163 negara, dan kedua di Asia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) 2022, yang menjadi ukuran utama kedamaian global di dunia. Ini merupakan pencapaian terbaik Malaysia sejak GPI diperkenalkan pada 2008.
    4. Dalam tempoh hanya setahun, Kerajaan Keluarga Malaysia berjaya kembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh. Kadar pengangguran telah menurun untuk 12 bulan berturut-turut, iaitu 3.7 peratus pada Julai 2022, berbanding 4.8 peratus pada Julai 2021.
    5. Pelaburan Langsung Asing (FDI) juga meningkat dengan ketara. Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, kita mendapat RM47.4 bilion berbanding sepanjang tahun lepas kita hanya memperoleh RM48.1 bilion.
    6. Keyakinan dan minat pelabur terhadap Malaysia tidak meningkat secara tiba-tiba, sebaliknya ia didorong langkah proaktif Kerajaan yang melaksanakan dasar-dasar mesra pelabur.
    7. Ini termasuklah perjanjian bilateral yang dimeterai pada setiap misi saya ke luar negara, yang menjadikan Malaysia antara destinasi utama pelaburan dunia.
    8. Jumlah perdagangan negara juga meningkat sebanyak 33.1 peratus kepada RM1.87 trilion bagi tempoh Januari – Ogos 2022, berbanding RM1.41 trilion pada tahun sebelum ini.
    9. Pada Jumaat lalu, Bajet 2023 bertemakan; Keluarga Malaysia Makmur Bersama dibentangkan di Dewan Rakyat. Ia merupakan bajet yang terbesar dalam lipatan sejarah negara.
    10. Dengan nilai RM372.3 bilion, ia membuktikan iltizam Kerajaan dalam memastikan tiada siapa pun yang dipinggirkan. Seawal usia dalam kandungan, sehingga ke usia emas, dari peniaga di ceruk desa sehinggalah ke konglomerat di tengah kota. Semuanya akan memperoleh limpah nikmat daripada bajet ini.

    Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

    1. Dengan ini dimaklumkan, bahawa tengah hari semalam, saya telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembah warkah permintaan kepada Baginda, mengenai pembubaran Parlimen Ke-14.
    2. Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara Baginda dengan
      memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022.
    3. Saya mengesyorkan Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya, bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masingmasing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum Peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri telah
      memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masingmasing.
    4. Ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos. Sementara itu, penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon, dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
    5. Diindang ditampi beras, dipilih antah satu-satu. Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan Kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.
    6. Proses ini berlandaskan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan, sejak negara mencapai kemerdekaan.
    7. Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suarasuara yang selama ini meratib keabsahan Kerajaan, Kerajaan pintu belakang dan Kerajaan tebuk atap.
    8. Semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka, untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik.
    9. Akhir kalam, dengan penuh keinsafan, pengharapan dan tawakal, saya mendoakan semoga seluruh Keluarga
      Malaysia dan negara sentiasa dipayungi rahmat, dilimpahi berkat.
    10. Semoga disuburkan hati kita untuk terus mendokong agenda besar pencapaian kemakmuran serta kemajuan Malaysia yang tercinta.

    Sekian,

    Wabillahi Taufik Wal Hidayah
    Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.