PERMOHONAN semakan berhubung kes rasuah dihadapi Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad akan didengar pada Isnin depan.
Menurut peguam pasangan itu, M. Athimulan: “Permohonan berkenaan akan didengar secara bersama di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid.
“Kami akan memfailkan permohonan supaya kedua-dua notis usul semakan terbabit didengar bersama pada 17 Oktober ini,” katanya memetika laporan Berita Harian, hari ini.
Pada Jumaat lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Athimulan supaya notis usul membabitkan Zizie Izette dipindahkan ke hadapan Azhar.
Mengikut permohonan asal, notis usul semakan berhubung kes Bung Moktar, didaftarkan di hadapan Azhar dan akan didengar pada 17 Oktober ini, manakala kes Zizie Izette pula sepatutnya didengar di hadapan Sequerah.
Bung Moktar, 64, dan Zizie Izette, 44, memfailkan notis usul untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September lalu, yang memerintahkan mereka membela diri terhadap pertuduhan rasuah berkaitan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Pada 23 September lalu, Sequerah membenarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette untuk menangguhkan prosiding bela diri di Mahkamah Sesyen, selepas mereka memfailkan notis usul untuk menyemak dan mengetepikan keputusan mahkamah berkenaan.
Permohonan untuk semakan itu dibuat dengan alasan hakim perbicaraan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta, apabila memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga didakwa menerima suapan RM337,500 daripada perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar bawah nama Zizie Izette, yang pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya.
BARISAN Nasional (BN) mengambil kesempatan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam musim banjir supaya bantuan kepada mangsa banjir nanti akan memberi kelebihan dan keuntungan politik kepada mereka semasa berkempen.
Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA), Mahdzir Ibrahim berkata, itu merupakan strategi licik BN dalam usaha meraih undi.
Bagaimanapun Penyelaras Parlimen Parit Sulong itu berkata, keputusan sudah dibuat dan PRU15 perlu diadakan juga dalam musim tengkujuh.
“Parlimen telah dibubarkan dan rakyat serta parti-parti politik tidak ada pilihan lain dan terpaksa mengharungi pilihanraya umum ini dengan pelbagai kesulitan.
“Saya ingin menyeru kepada semua rakyat agar sentiasa berwaspada dimusim tengkujuh yang bakal tiba.
“Pada masa sama, teruskan kewajipan semua sebagai warganegara yang prihatin untuk beramai-ramai keluar mengundi dan memilih parti yang benar-benar bersih untuk ditabalkan menjadi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menghormati hak Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen kerana itu sudah ditetapkan dalam proses politik negara ini.
Namun demikian katanya, seluruh rakyat merasa sedikit terkilan dengan keputusan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak menghiraukan keresahan rakyat memandangkan musim banjir akan tiba bila-bila masa malah di beberapa kawasan sudah banjir.
Parlimen sah dibubarkan berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada PRU-15.
Pengumuman tersebut sekali gus menjawab spekulasi sejak minggu lalu bahawa Parlimen akan dibubarkan.
Dalam perutusan khas pada jam 3 petang semalam, Ismail Sabri memaklumkan perkara itu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
APABILA Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai mengumumkan pembubaran Parlimen pemimpin parti politik kecuali Barisan Nasional (BN) bertalu-talu mengkritik keputusan tersebut. Manakala dalam media sosial pula, UMNO khususnya Presidennya, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menjadi sasaran serangan.
Majoriti rakyat tidak percaya bagaimana UMNO boleh memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen ketika Monsur Timur Laut sedangkan bencana banjir kini berada di ambang pintu.
Ketika pemimpin UMNO gembira, rakyat berdukacita. Mereka masih teringat apa yang berlaku pada tahun 2021 apabila bencana itu melanda. Dilaporkan, lapan negeri terjejas, 54 maut dan 21 hilang manakala lebih 71,000 hilang tempat tinggal.
Kita hanya mampu meramalkan bahawa banjir mungkin akan berlaku pertengahan November tetapi bagaimana kalau ia berlaku lebih awal. Ketika ini beberapa negeri sudah terjejas dengan banjir kilat dan mangsa dipindahkan.
Biarpun penulis antara yang kecewa PRU-15 terpaksa diadakan pada musim tengkujuh namun dari satu segi penulis berpendapat ia ada hikmahnya. Jangan lupa firman Allah SWT;
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (QS. Al Baqarah: 216).
Imbas kembali sejak merdeka pada tahun 1957 hingga 2018, politik negara tidak habis-habis ‘dicaturkan’ oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN). Walaupun pada Mei 2018, rakyat yang menolak rasuah dan salahguna kuasa menamatkan pemerintahan 60 tahun BN.
UMNO dan BN ‘menjaja’ mengatakan mereka tumbang kerana pendakwaan terpilih dan fitnah parti lawan tetapi apa yang berlaku di mahkamah membuktikan sebaliknya.
Namun begitu UMNO kembali ‘berkuasa’ apabila Muhyiddin Yassin menjemput parti itu dan Pas membentuk kerajaan bagi menghalang DAP daripada berkuasa. Ia memandangkan ketika Kerajaan Pakatan Harapan, karenah DAP dikatakan menjadi punca Dr.Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.
Apabila sudah berada dalam kerajaan sepatutnya pemimpin UMNO bersyukur tetapi nafsu politik segelintir pemimpinnya khususnya yang berada di luar kerajaan dan mempunyai agenda politik peribadi tidak terhenti.
Ketika Muhyiddin dengan dibantu oleh menteri kanan daripada UMNO bertungkus lumus menangani pandemik Covid-19 termasuk menghulurkan bantuan berbilion ringgit bagi memulihkan ekonomi serta kehidupan rakyat serta disusuli pula dengan pembentukan Pelan Pemulihan Negara (PPN) – (yang menjadi punca negara berada dalam pada keadaan hari ini), 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Ringkas cerita, walaupun kehilangan kuasa Perdana Menteri, Muhyiddin bersama ahli-ahli Parlimen Bersatu lain tetapi menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri. Dan ketika beberapa pemimpin UMNO menyebar dakyah mereka kononnya kerajaan tidak stabil sebab diganggu oleh Bersatu dalam Kabinet. Ismail Sabri tampil menjelaskan, kerajaan stabil dan tiada pertembungan besar antara anggota Kabinet walaupun berbeza parti.
Tetapi pemimpin UMNO menekan dan mendesak, Perdana Menteri untuk memohon pembubaran Parlimen supaya PRU-15 diadakan atas alasan kerajaan tidak stabil, tetapi tersirat mereka mahu menyingkirkan Bersatu daripada kerajaan , walaupun Presiden Bersatu yang menjemput mereka menjadi kerajaan ketika mereka ‘tersungkur di kaki rakyat; dalam PRU-14.
Berdasarkan rentetan ini, ia membuktikan arena politik negara akan terus tidak stabil selagi ada segelintir pemimpin UMNO yang terus menjadi ‘dalang’ mencaturkan perjalanan politik negara demi kepentingan politik peribadi dan kemaruk untuk kembali berkuasa seperti mana pandangan banyak pihak.
Sampai bila negara ini harus melihat hanya satu parti sahaja yang kononnya mampu membawa kestabilan dan kemakmuran sedangkan akibat tindakan segelintir pemimpinnya maruah negara tercemar di mata dunia akibat perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.
Di negara-negara lain, parti-parti seumpama itu sudah lama ‘dibenamkan’ walaupun mereka pernah berpuluh-puluh tahun berada dalam tampuk kekuasaan.
Atas sebab itulah, penulis melihat pembubaran Parlimen ini ada rahmatnya. Inilah peluang untuk rakyat menggunakan kuasa keramat mereka untuk ‘membenamkan’ UMNO daripada menjadi watak utama dalam arena politik negara.
Selama ini segelintir pemimpin UMNO begitu yakin rakyat tetap bersama mereka kononnya kerana hanya mereka boleh mewujudkan kestabilan politik dan kemakmuran negara. Tetapi sejarah sudah membuktikan, UMNO yang mencetuskan ketidakstabilan apabila berada di dalam kerajaan, biarpun bertaraf ‘menumpang’.
UMNO lupa rakyat sekarang adalah generasi baru. Rakyat sekarang mahu politik baru. Mereka mahu pemimpin yang bebas dari rasuah dan kes mahkamah. Bukan terlibat dalam skandal kewangan yang menjatuhkan maruah negara dan melakukan rasuah serta salahguna kuasa apabila berkuasa.
Rakyat tidak boleh dibuai lagi dengan ‘mantera’ hanya satu parti sahaja boleh memimpin negara ini. Rakyat mahukan pemimpin profesional daripada pelbagai kaum, politik perkauman sudah lapuk.
Justeru itu, rakyat tidak perlu terlalu berdukacita dengan pembubaran Parlimen ini, sebaliknya anggap ia sebagai pembuka jalan untuk ‘merehatkan’ UMNO dan BN daripada menjadi ‘pecatur’ arena politik negara. Lagipun UMNO pun tidak habis-habis bercakap soal mahu mengembalikan mandat kepada rakyat dan sekarang mandat itu sudah dikembalikan, jadi terserahlah kepada rakyat membuat keputusan.
Walaupun UMNO yakin mereka boleh menang disebabkan mendakwa parti-parti lawan sedang berkeceramuk tetapi mereka jangan sesekali merendah-rendahkan pemikiran rakyat dalam menentukan kerajaan.
Kepada rakyat pula, inilah peluang mereka untuk membuat keputusan terbaik untuk negara bagi tempoh lima tahun akan datang. Tersilap pilih, mereka akan merana 5 tahun akan datang. Inilah masa untuk memberi pengajaran kepada pemimpin yang beria-ia mahu pilihan raya ketika rakyat berada dalam kesusahan.
PENDUDUK dikejutkan dengan kejadian ban pecah di dua lokasi sekitar Tanjong Karang, pada jam 7.30 pagi tadi.
Kejadian tersebut tular dalam Facebook gambar dan video memaparkan situasi limpahan air di dua lokasi sekitar Tanjong Karang.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, dua lokasi yang terjejas itu adalah Pekan Tanjong Karang dan Jalan Masjid Baroh.
“Kejadian menyebabkan berlaku limpahan air naik ke jalan raya dan kawasan berhampiran. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat ban pecah susulan kerja-kerja menaik taraf benteng.
“Pada masa sama, paras air di sekitar lokasi berada pada kedalaman antara 0.3 hingga 0.9 meter,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Bagaimanapun, katanya tiada pemindahan mangsa dilakukan setakat ini.
“Pihak bomba akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku,” katanya.
MENTERI Besar Pahang memaklumkan kerajaan negeri masih belum menerima tarikh untuk menghadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, pada ketika ini kerajaan negeri tetap berfungsi seperti biasa.
“Saya belum dapat tarikh Tuanku (Tengku Hassanal) lagi, hendak menghadap belum dapat lagi.
“Jangkaan tarikh menghadap? Saya tidak boleh anggaran (bila tarikh mengadap) kerana belum dapat perkenan untuk menghadap (Tengku Hasanal) lagi. Mana boleh saya mendahului Tuanku,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin mengumumkan Parlimen dibubarkan selepas mendapat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ditanya mengenai calon, Wan Rosdy menjelaskan, senarai calon untuk bertanding pada PRU-15 masih belum diputuskan.
“Calon, nanti dulu kerana masih diperingkat akhir kerja-kerja pemilihan. Manifesto? Kita boleh anggap Bajet (Bajet Pahang 2023) itu sebagai manifesto,” ujar beliau.
Pada PRU-14, terdapat 42 kerusi DUN di Pahang dan 25 daripadanya dimenangi BN, sembilan Pakatan Harapan dan Pas (lapan).
MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menyembah maklum keputusan kerajaan negeri tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pembubaran Parlimen.
Amiruddin tiba di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam pada pukul 10.05 pagi dan dijangka memberi taklimat kepada Sultan Sharafuddin berhubung keputusan kerajaan negeri tidak membubarkan DUN, lapor Sinar Harian.
Media semalam melaporkan, Amirudin memaklumkan, beliau akan menghadap Sultan Sharafuddin hari ini untuk memberikan taklimat berkenaan perkara itu.
Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor berkata, PH kekal pendirian tidak mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) PRU-15 pada tahun ini dengan mengambil risiko kemungkinan banjir.
Pada Rabu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiga negeri PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini seperti diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden.
Bagaimanapun Ismail Sabri mengesyorkan Ketua-ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor mengambil tindakan sewajarnya iaitu membubarkan DUN masing-masing pada tarikh yang sama.
YANG di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk menangguhkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ke satu tarikh yang lebih bersesuaian sekiranya berlaku bencana banjir semasa proses pengundian.
Menurut penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia, G. Manimaran, penangguhan itu perlu berlaku contohnya Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menangguhkan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Perak dan Sabah sebelum ini.
Jelasnya, ini susulan krisis kesihatan yang melanda negara, walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh-tarikh penting pilihan raya.
“Satu lagi saya melihat mungkin masih ada ruang untuk mengelakkan mengadakan pilihan raya waktu banjir. Kalau kita melihat kepada situasi atau pengalaman kita semasa Covid-19, di mana beberapa PRK walaupun SPR telah menetapkan tarikh, tetapi atas perkenan Tuanku, PRK ditangguhkan kerana krisis kesihatan.
“Kalau kita mengambil terjemahan kepada kemungkinan tersebut pada hari ini, jika SPR menetapkan tarikh pilihan raya katakan pada awal bulan November, kemudian musibah banjir berlaku dan impaknya tidak dapat dielakkan,” ujarnya yang juga merupakan bekas wartawan.
“Saya rasa masih ada pilihan untuk menangguhkan tarikh pengundian kepada satu tarikh yang kondusif kepada semua pihak. Saya rasa masih ada ruang perkara itu dan Tuanku boleh buat keputusan sedemikian,” katanya kepada Astro Awani dalam segmen Menjelang Malaysia Memilih hari ini.
Mengulas lanjut, Manimaran berkata, keputusan memperkenankan pembubaran Parlimen bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan oleh Seri Paduka Baginda, tetapi kerana rasa kecewa terhadap perkembangan politik, Al-Sultan Abdullah terpaksa berbuat demikian.
Selain itu, beliau berpandangan Seri Paduka Baginda mahu mandat kerajaan diteruskan sehingga tahun depan (tamat penggal).
Begitu pun, disebabkan desakan dan tuntutan pihak-pihak tertentu, ujar Manimaran Al-Sultan Abdullah dilihat tiada pilihan melainkan memperkenankan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen.
Dalam pada itu, Manimaran menambah tumpuan ketika ini juga adalah untuk melihat pendirian beberapa kerajaan negeri sama ada akur untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau sebaliknya.
Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah berkenan mengisytiharkan darurat bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen (P.054) Gerik, Perak, Bahagian Pilihan Raya Negeri (N.66) Bugaya, Sabah serta Parlimen Batu Sapi, sekali gus membatalkan pilihan raya kecil kerusi berkenaan.
Seri Paduka Baginda kemudian berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan di kawasan-kawasan berkenaan berkuat kuasa 6 Oktober lalu.
Dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 6 Oktober yang disiarkan oleh Jabatan Peguam Negara, pembatalan itu berikutan Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa keperluan kesemua ordinan dan proklamasi darurat berkenaan yang diisytiharkan susulan wabak penyakit berjangkit Covid-19 telah berakhir.
POLIS mengesan enam kain rentang yang tertulis ayat berbentuk provokasi ditujukan terhadap UMNO berhubung bakal calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang digantung di enam lokasi awam sekitar Kota Tinggi.
Kain rentang tersebut antaranya tertulis ‘PRU15 Masa Untuk Anak Watan P156’, ‘Dah 30 Tahun Org Luar Salam Perjuangan’, ‘Belia Felda Tolak Calon Luar’ dan UMNO Gagal!!!Lahirkan Pemimpin Watan UBAH’!!!
Dipercayai kain rentang tersebut ditujukan kepada pucuk pimpinan parti itu supaya tidak memilih bekas seorang Menteri Besar Johor yang dikatakan akan bertanding di Parlimen Kota Tinggi.
Bekas Menteri Besar Johor itu memilih kawasan Kota Tinggi kerana selamat selepas kalah teruk pada PRU-14 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang ditandinginnya sebelum ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan itu.
“Samalam, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Tinggi telah berjaya mengesan enam tempat awam yang digantung kain rentang mengenai ketidakpuasan hati penduduk mengenai isu politik dan calon PRU-15.
Satu daripada enam kain rentang berbentuk provokasi yang digantung di jalan masuk ke sebuah Felda di Kota Tinggi
“IPD Kota Tinggi memberi amaran keras akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mana-mana pihak yang ingin menggantung sebarang kain rentang atau sebagainya perlu mengemukakan permohonan terlebih dahulu kepada Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT).
Namun beliau mengingatkan mana-mana individu atau kumpulan tidak mencetuskan provokasi yang akan mengganggu gugat keamanan daerah itu.
“Polis boleh mengambil tindakan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan ini,” tegasnya.
TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, zaman kehebatan Barisan Nasional (BN) sebagai satu-satunya penyelamat suara Melayu Islam sudah berlalu.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, tidak harus BN dipandang lagi sebagai penyelamat kerana pada masa ini adalah era gabungan parti politik berkenaan.
Menurutnya, negara ini sudah tidak boleh tersungkur jatuh ke dalam kolam yang lebih dalam yang menyusahkan usaha menyelamat pada masa akan datang.
“Jadi bukannya BN, tidak harus dipandang BN sebagai penyelamat. Satu-satunya suara Melayu Islam yang suaranya hebat zamannya sudah berlalu.
“Sekarang ini zaman Perikatan Nasional di mana gabungan Pas, Bersatu dan Gerakan serta dua lagi dari Sabah, Ini penentu hala tujunya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran PN Peringkat Negeri Pahang di Temerloh.
Muhyiddin pada masa sama berkata, tindakan UMNO menekan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mengakibatkan Parlimen dibubarkan ketika negara memasuki musim tengkujuh.
Tegas beliau, PN tidak pernah takut menghadapi PRU namun ia tidak sewajarnya diadakan pada penghujung tahun ketika sejarah membuktikan banjir mengakibatkan ramai terjejas tambahan rakyat masih belum pulih dampak pandemik Covid-19.
“PRU-15 ini boleh ditangguhkan kerana tempoh penggal kerajaan berbaki hingga Jun atau Julai depan ketika musim monsun tamat pada Mac.
“PRU-15 pada musim tengkujuh hanya mengakibatkan peratusan keluar mengundi terjejas tidak sampai 60 peratus yang mengikut perkiraan BN, mereka boleh menang pilihan raya itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, timbul dakwaan apabila BN menang PRU-15 dan melantik Perdana Menteri daripada parti itu, wujud kemungkinan pemimpin itu memainkan peranannya menentukan pemimpin UMNO terpalit pendakwaan rasuah di mahkamah terselamat.
“Agaknya begitulah pertimbangan mereka dan ini soal nafsu ini soal diri sendiri bukan soal rakyat bukan soal kebajikan tak diambil kira langsung,” tegas beliau.
KABINET yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berfungsi sebagai kerajaan sementara atau “caretaker” dengan Mesyuarat Kabinet masih boleh dijalankan seperti biasa walaupun Parlimen telah dibubarkan hari ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Bagaimanapun, beliau berkata Kabinet tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar walaupun masih boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal pentadbiran negara.
“Menteri dan timbalan menteri berfungsi seperti biasa dalam kerajaan ‘caretaker’ cuma tidak boleh membuat keputusan mengenai dasar dan polisi baharu,” katanya ketika diminta memberi pandangan mengenai fungsi Kabinet ekoran pembubaran Parlimen.
Mohd Zuki berkata Kabinet juga boleh meneruskan pelaksanaan dasar dan keputusan yang telah dibuat terlebih dahulu sebelum Parlimen dibubarkan.
Beliau berkata keadaan ketika ini berbeza dengan pentadbiran terdahulu apabila Perdana Menteri meletak dan melepaskan jawatan pada 2020 dan 2021.
Mohd Zuki berkata ketika itu apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudian Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan, Kabinet mereka secara serta-merta terbubar.
Namun, katanya dalam keadaan sekarang, hanya Parlimen sahaja yang dibubarkan.
“Jemaah Menteri masih lagi boleh bermesyuarat terutama apabila berlaku bencana dan sebagainya,” katanya.
Perdana Menteri petang tadi dalam perutusan khasnya mengumumkan pembubaran Parlimen Penggal Ke-14 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).- BERNAMA