Category: Semasa

  • Kes Rumah Bonda cabar tindakan sita dikembalikan ke Mahkamah Tinggi

    Kes Rumah Bonda cabar tindakan sita dikembalikan ke Mahkamah Tinggi

    MAHKAMAH Rayuan hari ini memerintahkan permohonan semakan kehakiman Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur yang lebih dikenali sebagai Rumah Bonda bagi mencabar tindakan Lak atau sita oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan terhadap premis berkenaan, dikembalikan untuk didengar di Mahkamah Tinggi.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said dalam keputusan sebulat suara berkata terdapat merit dalam rayuan Rumah Bonda dan mahkamah juga bersetuju permohonan itu akan didengar secara substantif.

    “Oleh itu, keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini diketepikan dan kebenaran diberikan kepada perayu untuk memulakan semakan kehakiman di mahkamah itu,” kata beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah dalam prosiding secara sidang video.

    Mahkamah turut menetapkan 8 Ogos ini untuk sebutan kes di Mahkamah Tinggi.

    Pada 15 Nov 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Rumah Bonda untuk mendapatkan kebenaran daripada mahkamah bagi memulakan semakan kehakiman terhadap tindakan Lak atau sita terhadap premis berkenaan di Taman Setapak, susulan dakwaan penderaan remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella selepas membenarkan bantahan Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan tersebut.

    Rumah Bonda selaku pemohon menerusi pengerusinya Siti Bainun Ahd Razali memfailkan permohonan itu pada 13 Ogos 2021 dengan menamakan Pengarah JKM Wilayah Persekutuan serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai responden pertama dan kedua.

    Antara lain, Siti Bainun mendakwa Notis Tindakan Lak yang dikeluarkan JKM pada 9 Julai 2021 terhadap pemohon dan pelaksanaan tindakan itu pada 12 Julai tahun sama adalah dipengaruhi desakan masyarakat susulan laporan media mengenai dakwaan berlaku penderaan terhadap Bella yang tular pada 5 Julai 2021.

    Siti Bainun mendakwa kedua-dua responden bertindak sedemikian sebagai suatu reaksi terburu-buru selepas desakan masyarakat yang menuntut JKM dan kerajaan mengambil tindakan tegas dalam kes itu sedangkan remaja tersebut tiada kaitan dan bukan penghuni Rumah Bonda.

    Beliau memohon deklarasi bahawa sepanjang masa itu, Rumah Bonda sedang dalam proses permohonan pendaftaran dengan JKM, justeru ia bukan sebuah rumah perlindungan atau pusat jagaan haram.

    Dalam prosiding hari ini, peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili Rumah Bonda berhujah bahawa kes itu berkepentingan awam dan mempunyai merit untuk didengar.

    Peguam itu berhujah, pihak perayu dalam proses mendaftarkan Rumah Bonda sejak awal 2019 dan borang serta surat sokongan yang ditandatangani oleh responden pertama dan kedua untuk tujuan pendaftaran telah dihantar kepada JKM Wilayah Persekutuan.

    “Pada masa itu, Jabatan Bomba telah meluluskan premis dan dua pihak lagi iaitu Jabatan Kesihatan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menetapkan tarikh untuk membuat pemeriksaan.

    “Namun, ketika itu negara mengalami pandemik COVID-19 menyukarkan dua agensi itu membuat pemeriksaan ke atas premis tersebut yang kemudiannya telah disita,” kata Asiah yang turut memaklumkan tindakan Lak itu dibuat secara terburu-buru selepas lima hari kes Bella tular di media sosial pada 5 Julai 2021.

    Peguam Kanan Persekutuan Nur Idayu Amir pula berhujah, dakwaan kes itu melibatkan kepentingan awam adalah tidak benar kerana tindakan Lak dilakukan selepas mendapati Rumah Bonda tidak berdaftar dengan JKM Wilayah Persekutuan dan beroperasi secara haram.

    “Tiada bukti menunjukkan penglibatan aktif responden kedua dalam membuat keputusan untuk menyita rumah kebajikan itu. Lak dibuka selepas perayu membayar kompaun,” katanya.

    Pada 3 Mei lepas, Mahkamah Sesyen memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara 12 tahun serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman apabila didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.

  • PKR calonkan Najwan umpama cakap tidak serupa bikin – Gerakan

    PKR calonkan Najwan umpama cakap tidak serupa bikin – Gerakan

    PEMILIHAN semula Najwan Halimi bertanding di Kota Anggerik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor memberi gambaran Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai parti yang ‘cakap tidak serupa bikin’.

    Ketua Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wong Chia Zhen berkata, Najwan belum dikenakan tindakan disiplin selepas mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap seorang calon PRN baru-baru ini.

    “Pemimpin PKR itu membuat hantaran berkenaan dalam satu kumpulan WhatsApp susulan pengumuman Parti Sosialis Malaysia (PSM) mencalonkan aktivis sosial, M. Sivaranjani untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru.

    “Baru-baru ini timbul kontroversi, Najwan mengeluarkan komen berbaur perkauman dan ucapan itu menyinggung perasaan rakyat terutamanya kaum India.

    “Ketika rakyat menunggu keputusan Lembaga Disiplin PKR untuk memutuskan tindakan disiplin, PKR mengumumkan pencalonan penggal kedua Najwan sebagai calon di Kota Anggerik.

    “Ini memang sikap kerajaan Madani, cakap tak serupa bikin dan bersikap angkuh, tidak kira apa keluhan rakyat, kepentingan politik diutamakan dulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, perkara sedemikian tidak akan berlaku dalam gabungan parti yang bernaung di bawah Perikatan Nasional (PN).

    “Kami (dalam PN) tidak akan membenarkan perkara ini berlaku apatah lagi menaikkan orang macam ini sebagai calon, ini terang-terang prejudis dan rasis terhadap kaum India,” katanya.

    Ujarnya, dalam satu Kongres PKR, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah berjanji untuk mempertahankan keadilan ke atas rakyat yang ditindas dan kata beliau negara ini adalah tempat untuk semua rakyat.

    “Inilah masanya untuk membuktikan tekad tersebut, bukan sekadar gimik di atas pentas sahaja.

    “Memandangkan kepimpinan parti PKR ambil sikap tidak endah, sekarang keputusan itu ada di tangan pengundi,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Polis kesan lelaki ketuk kereta guna topi keledar

    Polis kesan lelaki ketuk kereta guna topi keledar

    POLIS mengesan seorang lelaki yang mengetuk pintu sebuah kereta menggunakan topi keledar dalam satu insiden di Jalan Pokok Assam Tambahan, yang tular di media sosial.

    Ketua Polis Daerah Taiping Razlam Ab Hamid berkata pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berhubung kejadian itu semalam.

    “Kejadian dipercayai berpunca daripada kesalahan lalu lintas yang mana penunggang motosikal tersebut secara tiba-tiba mengetuk kereta mangsa dengan menggunakan topi keledar sambil memarahi mangsa hingga menyebabkan kerosakan pada bahagian pintu kereta,” katanya dalam kenyataan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    Terdahulu, video insiden itu berdurasi 42 saat tular di media sosial.

  • ‘Dato Malik’ ditahan SPRM

    ‘Dato Malik’ ditahan SPRM

    ABDUL Malik Dasthigeer, atau lebih dikenali sebagai Dato Malik telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan.

    Sumber yang rapat dengan individu itu berkata, dia ditahan awal pagi ini di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

    “Dia masih disoal siasat SPRM dan masih belum dibebaskan,” kata sumber itu, lapor FMT.

    Sumber dari SPRM turut mengesahkan perkara itu, sambil berkata, Malik sedang disoal siasat oleh pegawai agensi antirasuah itu

    Malik ialah pengasas dan pengerusi Malik Group of Companies, yang terdiri daripada Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Malik Maju Sdn Bhd, Malik Streams Properties Sdn Bhd, Malik Streams Antenna Movies Sdn Bhd, dan Malik Streams Production & Distribution.

    Beliau dikenali kerana membawa masuk artis dari India untuk membuat persembahan konsert Tamil di Malaysia.

  • Penyelia Felda didakwa seleweng bayaran wang peneroka

    Penyelia Felda didakwa seleweng bayaran wang peneroka

    PENYELIA Rancangan Tanah Felda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas dua pertuduhan salah guna kuasa dengan menyeleweng pembayaran wang kepada 25 peneroka tiga tahun lalu.

    Tertuduh, Shahidi Ammar Abd Aziz, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

    Menurut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai pegawai badan awam iaitu Penyelia Rancangan Tanah (G19) yang berperanan sebagai Pegawai Pembayar di Pejabat Felda Pasoh 1, di Jelebu, telah menggunakan jawatannya itu berkait pelaksanaan pembayaran Bayaran Tunai Pendahuluan Tunai (PT) kepada 11 peneroka Felda terbabit untuk mendapatkan suapan untuknya sendiri.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan kesalahan sama bagi Bayaran Tunai Paysheet (PS) 09/2020 kepada 14 peneroka Felda sama.

    Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Felda Pasoh 1, pada September dan Oktober 2020, lapor Sinar Harian.

    Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

    Sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohammad mencadangkan wang jaminan RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di Pejabat SPRM Seremban.

    Shahidi Ammar yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan jaminan yang rendah memandangkan dia kini diisytiharkan muflis selain perlu menanggung seorang isteri dan enam anak yang masih kecil.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis pada Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

    Hakim turut menetapkan tarikh 24 Ogos bagi sebutan semula dan lantikan peguam.

  • PRN: PN umum calon pada Rabu, Khamis

    PRN: PN umum calon pada Rabu, Khamis

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mengumumkan senarai calon PRN secara berasingan mengikut negeri masing-masing.

    Pengarah Komunikasi dan Multimedianya, Datuk Razali Idris berkata, senarai calon bagi DUN Kedah, Pulau Pinang dan Selangor dijadual berlangsung esok malam.

    “Kedah diadakan di Kompleks Pas Kedah, manakala Pulau Pinang di Pejabat Pas Pulau Pinang, Pongsu Seribu sementara Selangor pula di padang awam MBPJ Taman Medan, Petaling Jaya pada jam 8 malam,” katanya, lapor FMT.

    Sementara itu, pengumuman calon bagi DUN Kelantan dan Terengganu akan dilakukan pada Khamis masing-masing di dataran Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu dan Masjid Rusila.

    “Bagi calon Kelantan, pengumuman calon akan bermula pada 9.30 malam manakala calon Terengganu akan diumumkan pada 8 malam,” katanya.

    Bagi DUN Negeri Sembilan, katanya, masa dan lokasi masih belum ditetapkan oleh pucuk pimpinan.

    “Calon di setiap negeri akan diumumkan oleh kepimpinan PN negeri masing-masing,” katanya.

  • NGO desak Hasnal lepas jawatan pesuruhjaya Suhakam

    NGO desak Hasnal lepas jawatan pesuruhjaya Suhakam

    JAWATANKUASA Pemandu CSO Platform for Reform menggesa Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican meletak jawatan pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) selepas diumumkan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN).

    NGO itu berkata pelantikan pemimpin politik ke jawatan penting dalam Suhakam menimbulkan persoalan mengenai kebebasan suruhanjaya itu dan keupayaannya berfungsi tanpa sebarang pengaruh luar.

    Menurutnya, keberadaan Hasnal dalam institusi Suhakam sesuatu yang membimbangkan apatah lagi partinya sebahagian daripada kerajaan hari ini, selain berpotensi dalam percanggahan kepentingan.

    “CSO Platform for Reform menyeru Pesuruhjaya Hasnal untuk menegakkan integriti Suhakam dengan segera meletakkan jawatan.

    “Langkah ini penting untuk melindungi kebebasan dan kredibiliti suruhanjaya itu dan menunjukkan komitmen terhadap promosi dan perlindungan hak asasi manusia tanpa sebarang kemungkinan kepada percanggahan kepentingan atau ‘conflict of interest’,” menurut kenyataan itu.

    Pada 21 Julai, BN mengumumkan Hasnal sebagai calon parti itu bagi DUN Kuang di Selangor.

    Pengumuman itu menerima reaksi negatif daripada bekas anggota suruhanjaya itu yang turut mendesak Hasnal melepaskan jawatan pesuruhjaya beliau.

    Bekas pesuruhjaya, Jerald Joseph berkata, Hasnal mesti segera mengambil tindakan sedemikian.

    Semakan dalam laman sesawang mendapati Hasnal masih lagi pesuruhjaya.

    Hasnal antara pesuruhjaya Suhakam dilantik pada Julai tahun lalu, bersama Noor Aziah Awal, bekas presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan, Nordin Ibrahim, Dr Chew Chee Ming, Mary @ Mariati Robert, serta Nazira Abdul Rahim.

  • Keputusan Anwar beli peranti internet satelit Starlink ‘tidak masuk akal’

    Keputusan Anwar beli peranti internet satelit Starlink ‘tidak masuk akal’

    KEPUTUSAN Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membeli 40 unit peranti internet Starlink untuk dipasang di universiti di seluruh negara menjadi tanda tanya bukan sahaja melibatkan kaedah pesanan itu dibuat, tetapi juga mengenai daya saing dalam kedua-dua kualiti dan harga penyedia perkhidmatan internet satelit Amerika Syarikat (AS) tersebut berbanding perkhidmatan internet tempatan.

    Dalam media sosial, ramai yang mempersoalkan isu ini mengenai bagaimana keputusan itu dibuat tanpa melalui prosedur yang betul termasuk sama ada liputan yang ditawarkan Starlink berbaloi dengan kos yang tinggi berbanding jalur lebar dan sambungan internet mudah alih di seluruh negara. 

    Mereka juga mempersoalkan mengapa kampus universiti diberi liputan Starlink, sedangkan mereka sudah mempunyai sambungan internet yang mencukupi.

    “Penggunaan Starlink harus ditumpukan kepada menghubungkan mereka yang tidak dapat berhubung. Bukan untuk tempat yang mempunyai infrastruktur dan akses yang tersedia,” kata Arul Prakkash dalam satu kiriman di Facebook, lapor MalaysiaNow.

    “Kebanyakan kawasan kampung Orang Asli, kampung, luar bandar, sekolah, Sabah dan Sarawak memerlukan akses itu. 

    “Jadi menteri dan kerajaan sepatutnya lebih tahu. Mereka tahu ini. Tetapi mahu menumpang nama Elon Musk dan Tesla.

    “Pendekatan populis tidak berdasarkan data,” katanya merujuk kepada pertemuan 25 minit secara maya bilionair dari AS itu dengan Anwar awal tahun ini juga menarik publisiti tidak sepatutnya.

    Starlink merupakan perkhidmatan internet satelit yang dikendalikan oleh SpaceX milik Musk, menyediakan liputan berasaskan satelit ke lebih 56 negara, dengan rancangan sedang dijalankan untuk mengembangkannya kepada perkhidmatan telefon mudah alih. 

    Sementara itu, analisis yang diterbitkan laman sesawang hal ehwal semasa tempatan Soya Cincau mempersoalkan kewajaran kerajaan membeli Starlink apabila perkhidmatan gentian optik dan jalur lebar mudah alih sudah menawarkan sambungan yang boleh dipercayai di seluruh negara pada harga yang jauh lebih rendah. 

    Peranti internet Starlink

    “Jika anda melihat pada kos bulanan sahaja, Starlink lebih mahal berbanding jalur lebar gentian optik dan pelan 5G tanpa wayar di pasaran,” katanya sambil memberi contoh pelbagai pakej internet yang ditawarkan di Malaysia.

    “Memandangkan satelit adalah sumber terhad, Starlink juga mempunyai Dasar Penggunaan Adil dan kualiti perkhidmatan boleh terjejas berikutan cuaca buruk.”

    Portal itu mengatakan rangkaian Digital Nasional Berhad yang dilancarkan pada 2020 oleh perdana menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menaik taraf infrastruktur digital negara membuahkan hasil selepas dua tahun, dengan lebih ramai rakyat Malaysia mempunyai akses kepada jalur lebar yang lebih pantas.

    Menjelang akhir tahun lepas, pelan itu mencapai sasaran liputan 4G kepada 97% penduduk, dengan lebih 7.74 juta premis mempunyai akses kepada jalur lebar gentian optik, meningkat daripada hanya 4.96 juta pada September 2020.

    Kelajuan internet termasuk perkhidmatan mudah alih pula pada purata 43.46Mbps, jauh melebihi sasaran asal 35Mbps kepada 4G dan 5G.

    “Perkhidmatan Jalur Lebar Satelit Starlink sangat bagus untuk kawasan yang tidak mempunyai akses kepada gentian optik atau liputan 4G/5G dan anda boleh mendapatkan internet berkelajuan tinggi jika anda berada dalam jejak liputan satelit. Tetapi anda perlu membayar lebih daripada pilihan internet lain,” kata laporan itu.

    Langganan Starlink berharga AS$120 (kira-kira RM549) sebulan, sebagai tambahan kepada perantinya berharga AS$599 (kira-kira RM2,738).

    Menurut laporan itu, mengambil contoh kepada perkhidmatan Starlink di Filipina, syarikat itu menawarkan langganan kira-kira RM226 sebulan manakala perantinya dijual pada harga kira-kira RM1,675.

    Namun, menurut portal itu dengan kelajuan muat turun antara 25Mbps dan 100Mbps, ia masih “jauh berbanding apa yang anda boleh dapatkan daripada perkhidmatan 5G dan jalur lebar gentian optik di Malaysia”.

    “Jika anda melihat kos bulanan sahaja, Starlink lebih mahal berbanding pelan jalur lebar gentian optik dan 5G tanpa wayar semasa di pasaran.

    “Jelas sekali, jalur lebar gentian optik adalah kaedah terbaik kerana ia menyediakan internet tanpa had sebenar dengan kebolehpercayaan terbaik pada harga yang jauh lebih rendah. Rangkaian mudah alih 4G dan 5G ialah pilihan terbaik seterusnya jika anda tidak mempunyai akses kepada gentian optik.”

    Pendedahan itu menghangatkan lagi perdebatan di media sosial sama ada ‘keputusan segera’ Anwar membeli 40 unit Starlink sebagai masuk akal atau pun tidak, di mana 10 daripadanya akan diagihkan untuk kampus UiTM.

    Satu kiriman di media sosial berkata kampus-kampus ini sudah pun menggunakan gentian optik khusus untuk keperluan internet mereka.

    “Bukan jalur lebar biasa. Tiba-tiba membawa sesuatu yang lebih rendah daripada jalur lebar biasa. Seseorang di SKMM mungkin perlu mendidik menteri kita tentang teknologi,” tulis Fendi Fauzi, merujuk kepada suruhanjaya yang ditugaskan memantau perkhidmatan internet Malaysia di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital yang diketuai oleh Fahmi Fadzil.

    “Alangkah malangnya Malaysia mempunyai menteri komunikasi dan multimedia yang buta keupayaan teknologi seperti yang kita sedia ada,” tulis Rafik Majid.

    “Jadi anda memberikan internet yang lebih perlahan dengan harga yang lebih tinggi? Dan khususnya kampus mana? Berikannya kepada kampus di Sabah/Sarawak dan kita akan lihat sama ada satelit Elon akan berfungsi dengan baik,” kata Shahira Khairi.

    Komen lain pula berbaur sindiran terhadap keputusan Anwar. 

    “Membazir. Semak dulu, tanya dulu boleh atau tidak,” kata seorang pengguna media sosial. 

    “BNPL – Beli Sekarang Pikir Nanti,” menyertai komen pengguna lain, dan seorang lagi: “Itulah yang kami panggil pembelian impuls.” 

    “Kenapa beli Ford Bronco generasi sebelumnya sedangkan anda sudah memiliki Land Cruiser terbaru. Tidak cerdik. Bukan?” kata lagi satu komen. 

    Dalam pada itu, John Wong mempersoalkan sikap berdiam diri universiti yang sepatutnya menentang ‘langkah membazir’ itu. 

    “Apatah lagi ia menunjukkan pemahaman yang lemah tentang teknologi. Terutamanya profesor di universiti-universiti ini yang tidak membantah keputusan membazir ini. Ini adalah contoh yang bagus tentang budaya membazir.”

    Sementara itu, Shahid Bolsen, seorang warga AS yang kerap menyiarkan ulasan video mengenai isu hangat di beberapa negara, turut mengkritik pembelian Starlink. 

    “Ia sebenarnya tidak lebih pantas daripada perkhidmatan jalur lebar tetap yang disediakan oleh syarikat internet Malaysia. Dan ia jelas lebih mahal. Starlink juga terkenal kurang dipercayai.” 

    Katanya pembelian itu tidak masuk akal, sambil menambah ia menunjukkan bahawa “ia benar-benar mewakili arah yang salah”.

    “Anda membayar lebih untuk internet yang lebih perlahan dan kurang dipercayai daripada syarikat asing untuk menggantikan internet yang lebih pantas dan lebih dipercayai daripada pembekal domestik? Mengapa? Kerana Elon Musk adalah nama yang berprestij?” 

    “Apabila Starlink datang ke Nigeria, orang ramai teruja sama seperti Anwar teruja. Tetapi kos sebulan ternyata terlalu tinggi untuk orang yang tinggal di kampung dan kawasan luar. Mengapa anda tidak mengutamakan syarikat anda sendiri?”

  • Presiden Gerakan lapor polis dakwa akaun Twitter digodam

    Presiden Gerakan lapor polis dakwa akaun Twitter digodam

    PRESIDEN Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Datuk Dr. Dominic Lau membuat laporan polis mendakwa akaun Twitternya digodam berhubung ciapan tidak sensitif susulan kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, DatuK Seri Salahuddin Ayub.

    “Saya telah hadir ke Balai Polis Sri Hartamas bagi membuat laporan polis mengenai akaun Twitter saya digodam oleh individu tidak dikenali,” katanya di Twitter, lapor FMT.

    Beliau turut menegaskan tidak pernah pernah memuat naik ciapan kontroversi berbunyi berbunyi: “Kalau saya tanding PRK Pulai ok tak?”, merujuk kepada kawasan Parlimen diwakili Salahuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram.

    Semalam, pengguna media sosial membidas Lau atas dakwan catatan itu yang dipadamkan kemudian.

    Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah, pada 9.23 malam Ahad selepas ditidurkan apabila menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

    Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu meninggalkan isteri, Datin Seri Fatimah Taha dan enam anak terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan.

    Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah dimaklumkan berhubung kekosongan kerusi Parlimen Pulai susulan kematian Salahuddin.

    Katanya, SPR perlu mengadakan PRK bagi mengisi kekosongan itu dalam tempoh 60 hari selaras Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan.

  • Jocelyn Chia terus perlekeh Malaysia, persoal kenapa The 1975 tidak diburu polis antarabangsa

    Jocelyn Chia terus perlekeh Malaysia, persoal kenapa The 1975 tidak diburu polis antarabangsa

    PELAWAK kontroversi kelahiran Singapura, Jocelyn Chia sekali lagi memperlekeh Malaysia dalam kenyataan terbaharunya susulan tindakan biadap kumpulan muzik dari British, The 1975 baru-baru ini.

    Jocelyn yang kini menetap di Amerika Syarikat (AS) mengalu-alukan The 1975 yang kini memasuki senarai sebagai orang yang disenarai hitam oleh kerajaan Malaysia seperti yang dikenakan padanya.

    Tidak cukup dengan itu, Jocelyn juga mempersoalkan kenapa The 1975 tidak dikesan oleh polis antarabangsa (Interpol) iaitu tindakan yang sama dibuat pihak berkuasa Malaysia ke atasnya.

    “Selamat datang Matty Healy ke dalam senarai yang disekat oleh Malaysia. Bagaimanapun, mana arahan supaya dia ditahan dan Interpol digesa mengesan di mana dia berada kerana dikatakan melanggar undang-undang Malaysia ketika berada di negara itu?

    “Adakah Malaysia telah melonggarkan (undang-undang sedia ada)… atau apa sebenarnya…,” tulis Jocelyn dalam ciapan menerusi akaun Twitternya, @JocelynChia, lapor Astro Awani.

    Pada Jun lalu, Jocelyn dikecam pelbagai pihak kerana menjadikan kes kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia, MH370 sebagai modal dalam persembahan komedinya di AS.

    Kecaman bukan hanya datang daripada pelbagai pihak di Malaysia, bahkan, kebiadapannya turut dikecam oleh banyak di negara kelahirannya, Singapura.

    Kumpulan muzik The 1975 pula dikecam teruk kerana dikatakan memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain berkelakuan lucah dan membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) semasa mengadakan persembahan di Good Vibes Festival di Sepang, pada Jumaat lalu.

    Susulan itu, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) membuat keputusan menyenaraihitamkan kumpulan muzik British, The 1975 daripada membuat sebarang persembahan di negara ini.

    Menurut JK-PUSPAL, tindakan itu diambil berikutan The 1975 telah menghina, memperlekehkan undang-undang negara dan melanggar tatasusila rakyat Malaysia ketika mengadakan persembahan.