Category: Semasa

  • Bersatu Terengganu jangka agihan kerusi PN selesai tidak lama lagi

    Bersatu Terengganu jangka agihan kerusi PN selesai tidak lama lagi

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu menjangkakan pengagihan kerusi bersama komponen dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diselesaikan tidak lama lagi.

    Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata meskipun beberapa siri perbincangan telah dilakukan, namun ia masih belum disimpul rapi bagi menentukannya.

    Jelas Razali rudingan lanjut akan terus dilaksanakan bagi memutamadkannya walaupun sebelum ini pihaknya memaklumkan akan bertanding di kerusi yang dikuasai UMNO.

    “Memang masih kekal dengan cerita dulu, kita akan bertanding di kerusi UMNO.

    “Tapi dalam masa yang sama mungkin kita akan bincang jugak dengan Pas sebab Pas pun mungkin di kerusi-kerusi UMNO. Mungkin kita akan bincang di situ kemudian bahagi-bahagikan kerusi,” katanya, lapor SatuBerita.

    Beliau berkata senarai nama calon yang akan diketengahkan pada PRU-15 sudah diserahkan kepada pucuk pimpinan dan kini dalam proses fasa akhir.

    Jelas Razali lagi, Bersatu juga akan menampilkan muka baharu menerusi PRU itu nanti dan terus mengekalkan Datuk Rosol Wahid di Parlimen Hulu Terengganu.

    Terdahulu Bersatu Terengganu berhasrat untuk meletakkannya calonnya di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai Barisan Nasional (BN).

    Selain itu Bersatu Terengganu juga akan mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu serta meletakkan calonnya bertanding di kerusi Parlimen Besut.

  • PN sedia hadapi ‘keangkuhan’ UMNO selepas pembentangan bajet sia-sia, kata Azmin

    PN sedia hadapi ‘keangkuhan’ UMNO selepas pembentangan bajet sia-sia, kata Azmin

    KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menyifatkan pembentangan bajet minggu lepas sebagai langkah sia-sia berikutan tindakan Perdana Menteri membubarkan Parlimen semalam, memberi laluan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan ketika negara menghadapi musim tengkujuh dan banjir.

    Azmin yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, perkembangan politik baru-baru ini menunjukkan Umno gagal untuk bersama rakyat dalam situasi pemulihan ekonomi dan cuaca yang amat mencabar.

    “Pembentangan Bajet 2023 adalah sia-sia, membazir sumber tenaga dan masa anggota perkhidmatan awam yang telah berhempas pulas untuk mengerah fikrah dan tenaga bagi menyediakan belanjawan. 

    “Keutamaan kita seharusnya ditumpukan untuk membantu rakyat mengharungi cabaran semasa dan memulakan kehidupan yang lebih terjamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober, mengatakan ia akan mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil, kuat dan dihormati.

    PN kemudiannya berkata walaupun kekal berpendirian sekarang bukan masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya, namun gabungan itu menghormati keputusan Ismail, selaras dengan Perlembagaan dan perkenan yang diperoleh daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

    Dalam kenyataannya hari ini, Azmin berkata PN tidak akan gentar dengan ‘kedegilan dan keangkuhan’ UMNO.

    “PN akan menyertai pilihan raya dengan tekad untuk meneruskan agenda prihatin rakyat serta mengangkat martabat umat dan negara. 

    “PN beriltizam untuk terus mengorak langkah menjana kekayaan negara, memacu pertumbuhan ekonomi lestari, menyediakan peluang pekerjaan berkualiti, meningkatkan taraf kehidupan rakyat dan menjamin kemakmuran bersama,” katanya, lapor Satu Berita.

  • UMNO akan kalah PRU-15, rakyat tahu keburukan parti itu – Tun M

    UMNO akan kalah PRU-15, rakyat tahu keburukan parti itu – Tun M

    UMNO hanya akan menang apabila melakukan sogokan wang kepada pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti, dakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Dalam masa sama, Dr. Mahathir menyelar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa memetik kenyataannya tanpa memperincikan keseluruhan konteks.

    “Zahid (Hamidi) kata, saya kata UMNO akan menang, tetapi dia tidak teruskan dengan apa yang menyusul kenyataan itu yang mana saya cuma kata UMNO akan menang kerana mereka akan sogok wang kepada pengundi.

    “Jadi jika kali ini pengundi menolak wang daripada UMNO, UMNO tidak akan menang dan sebaliknya saya yakin pengundi sekarang sedar akan keburukan UMNO dan mereka tidak akan mengundi bagi pihak UMNO dan kenyataan saya ialah UMNO akan kalah,” katanya dalam satu muat naik video di media sosial miliknya, memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Semalam, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dilaporkan berkata, Dr. Mahathir sepatutnya tahu majoriti orang Melayu kembali kepada UMNO kerana telah sedar kesilapan mereka lakukan pada PRU14.

  • Penyelia didakwa culik, bunuh teman wanita

    Penyelia didakwa culik, bunuh teman wanita

    PENYELIA tapak pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kajang, hari ini atas dua tuduhan menculik dan membunuh teman wanitanya, bulan lalu.

    Namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Lai Jai Loon, 27, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli dan Syahrul Sazly Md. Sain.

    Pengakuan tidak direkodkan kerana kes itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan pertama, Lai dengan niat mendapatkan wang tebusan sebanyak RM40,000, didakwa menahan Ho Mei Ling, 27, dengan cara melarikannya secara salah di hadapan rumah di Jalan Kenari 1, Taman Kenari, Lenggeng, Negeri Sembilan pada 3.50 petang, 25 September 2022.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati, boleh dikenakan sebatan jika disabitkan.

    Tertuduh turut didakwa membunuh dan menyebabkan kematian wanita sama di tepi Jalan Bukit Tekali, Batu 14, Hulu Langat, di Kajang pada 3.50 petang, 25 September hingga 3 petang, 27 September 2022.

    Lai didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Afiqah Abdul Ghaffar dan Nurul Husna Amran, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudian menetapkan 17 November depan untuk sebutan semula kes.

    Media sebelum ini, melaporkan mayat wanita dipercayai mangsa culik ditemui dalam gaung di Bukit Tekali, Hulu Langat, Selangor pada 27 September lalu.

    Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff dilapor berkata, mangsa yang disyaki dibunuh itu ditemui orang awam pada 3.30 petang dan pemeriksaan lanjut dibuat berdasarkan kad pengenalan dan dokumen yang ditemukan bersamanya serta pengecaman ahli keluarga.

    Terdahulu, polis menerima laporan daripada sepupu mangsa sehari selepas wanita itu dilarikan di kawasan rumahnya di Broga, Lenggeng, Negeri Sembilan selain mendakwa turut menerima WhatsApp meminta sejumlah wang tebusan.

    Siasatan awal mendapati mangsa dan lelaki itu dipercayai pasangan kekasih yang berkenalan melalui laman sosial sejak awal tahun ini dan motif pembunuhan disyaki ada kaitan dengan hutang.

  • Terima upah RM1,000 bawa daun ketum dari Kedah ke Kelantan

    Terima upah RM1,000 bawa daun ketum dari Kedah ke Kelantan

    SEORANG pekerja kilang sanggup menerima upah RM1,000 untuk membawa sebanyak 450 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM4,500 dari Kedah ke Kota Bharu, Kelantan.

    Namun, usahanya itu sia-sia apabila suspek yang berusia 30 tahun berkenaan ditahan polis ketika sedang memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Bukit Mertajam, Pulau Pinang Jumaat lalu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, lelaki itu ditahan selepas polis mengesan kenderaan MPV itu dipandu dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 5.30 pagi.

    Hasil pemeriksaan tambah beliau, pihaknya menjumpai sebanyak 45 beg plastik warna hitam berisi daun ketum dengan anggaran berat 45 kg yang diletakkan di bahagian belakang MPV terbabit.

    “Bekalan ketum itu diperolehi dari Kedah dan suspek dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum meneruskan pemanduan ke Kota Bharu, Kelantan.

    “MPV terbabit turut disita untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah SPT hari ini.

    Tambah beliau, siasatan juga mendapati suspek menggunakan MPV yang disewa untuk membawa ketum itu dan sindiket terbabit aktif dalam kegiatan pengederan ketum sejak Ogos lalu bagi pasaran negeri Pantai Timur.

    Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif sebarang bahan terlarang, namun mempunyai tiga rekod kesalahan lampau melibatkan penyalahgunaan dadah.

    “Suspek direman selama enam hari bermula 7 Oktober lalu sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

  • Tun M pertahankan kerusi Parlimen Langkawi

    Tun M pertahankan kerusi Parlimen Langkawi

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu memenangi kerusi Parlimen Langkawi ketika PRU-14 pada 2018, lapor Free Malaysia Today (FMT) hari ini.

    Pada sidang media, Mahathir juga berkata, gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) masih belum berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (JPP), oleh itu, parti komponen GTA yang lain akan bertanding di bawah Pejuang.

    Beliau juga merupakan Pengerusi GTA dan sebelum ini pernah dua kali menjadi Perdana Menteri.

  • Kerajaan sementara jangan lulus projek, guna aset awam ketika kempen PRU-15

    Kerajaan sementara jangan lulus projek, guna aset awam ketika kempen PRU-15

    KETUA Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil mengingatkan jemaah menteri supaya tidak menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) walaupun masih kekal dalam kerajaan sementara.

    Beliau berkata, Perdana Menteri dan barisan Kabinet sementara perlu memulangkan semula aset kerajaan dan tidak mengumumkan sebarang ‘hadiah pilihan raya’ ketika berkempen.

    “Jemaah menteri diingatkan agar tidak menandatangani kontrak projek terutama berskala besar atau berkepentingan awam ketika ini.

    “Prinsip-prinsip ini sewajarnya menjadi rukun kerajaan sementara, terutama untuk elak salah guna kuasa, rasuah, dan persepsi salah,” katanya dalam Facebook miliknya, lapor Free Malaysia Today (FMT) hari ini.

    Semalam, Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali, berkata Kabinet kini berfungsi sebagai kerajaan ‘caretaker’ atau kerajaan sementara dengan mesyuarat jemaah menteri masih boleh dijalankan seperti biasa.

    Pun begitu, beliau berkata, Jemaah Menteri tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar baharu walaupun masih boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal pentadbiran negara.

    Zuki berkata, Kabinet juga boleh meneruskan pelaksanaan dasar dan keputusan yang telah dibuat terlebih dahulu sebelum Parlimen dibubarkan.

    Kenyataan itu dikeluarkan susulan perdana menteri dalam perutusan khasnya mengumumkan pembubaran Parlimen penggal ke-14, semalam, bagi memberi laluan kepada (PRU-15).

  • Pembubar Parlimen selepas pembentangan Bajet 2023 tidak wajar

    Pembubar Parlimen selepas pembentangan Bajet 2023 tidak wajar

    MEMBUBARKAN Parlimen sejurus selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 atau Bajet 2023 yang dibentangkan pada Jumaat lalu adalah tidak wajar.

    Perkara itu ditegaskan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.

    Tegasnya, rakyat kini menilai taktik tersebut memandangkan segala pengumuman dalam Bajet 2023 tidak lagi boleh diguna pakai.

    “Dalam soal bagaimana Bajet tersebut hendak diperkirakan, hendak kita jawab dahulu soalan yang amat berat iaitu adakah masa untuk mengadakan Pilihan Raya ke-15 (PRU-15) ini tepat berkaitan dengan hak serta asasi kepentingan rakyat di bawah.”

    “Saya mengatakan ini sebagai seorang neutral, yang mempengerusikan dan mengepalai Senat Malaysia. Oleh kerana hal ini adalah hal kenegaraan, dan kepekaan kita terhadap kehidupan,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Dalam pada itu, Rais berpendapat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar menerima hakikat bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini perlu diadakan dalam tempoh yang segera.

    Walaupun tidak bersetuju dengan pembubaran parlimen ketika ini, Rais pada masa sama berpandangan banyak perkara berkait periuk nasi rakyat tidak dapat diselesaikan selagi Parlimen tidak dibentuk.

    “Pergelutan untuk mengadakan PRU ini bukanlah kehendak rakyat, sebaliknya kehendak pihak yang ada kepentingan dalam soal-soal yang bertemu dengan nasib mereka pada masa akan datang, ini soal politik,” katanya.

    Bagaimanapun menurut beliau, perkara ini harus menjadi satu mata pelajaran, panduan dan sempadan bagi rakyat Malaysia agar tidak keterlaluan apabila berpolitik dan tidak hanya melihat kepada sbelah pihak sahaja.

  • DUN Perlis bubar selepas bentang RUU Anti Lompat Parti:MB

    DUN Perlis bubar selepas bentang RUU Anti Lompat Parti:MB

    METERI Menteri, Besar Datuk Seri Azlan Man memberitahu, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis akan dilakukan selepas pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada sidang DUN, Khamis ini.

    Jelasanya, itu akan dibentangkan terlebih dahulu pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Persidangan Kelima DUN Perlis ke-14 pada hari berkenaan.

    “Khamis ini kita akan mengadakan sidang DUN yang bertujuan untuk membawa pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri yang berkaitan mengenai ahli DUN dengan parti politik yang berkenaan supaya ia bersesuaian dengan pindaan yang dilakukan oleh perlembagaaan negara.

    “Insyaallah, saya akan mempersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, tarikh yang bersesuaian untuk dibuat pembubaran DUN supaya kita dapat mengadakan Pilihan Raya Negeri bersekali dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di peringkat persekutuan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Dokumen Tanah Hak Milik Kerajaan di Negeri Perlis di Felda Chuping, di Padang Besar, hari ini.

    “Kita harapkan Undang-Undang Tubuh Negeri yang kita buat pindaan ini akan terpakai kepada wakil rakyat yang akan terpilih dalam PRU-15 ini,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Terdahulu, Azlan menyerahkan dokumen tanah kepada 447 peneroka asal Felda Chuping.

    Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, ADUN Chuping, Asmaiza Ahmad serta wakil agensi FELDA dan Jabatan Tanah dam Galian Negeri Perlis.

  • Suami isteri ditahan bersama 29 ketulan mampat ganja

    Suami isteri ditahan bersama 29 ketulan mampat ganja

    SEPASANG suami isteri yang aktif mengedar dadah jenis ganja ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Malwira, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, kira-kira pukul 11 malam, Rabu lalu.

    Ketika ditahan, polis turut merampas sebanyak 29 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat 30 kilogram (kg) bernilai RM75,000.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suspek masing-masing merupakan lelaki tempatan dan wanita warga asing berusia 32 dan 36 tahun itu didapati aktif mengedar dadah berkenaan sejak Mei tahun lalu.

    Jelas beliau, dalam serbuan itu, polis turut menyita sebuah kereta jenis Hyundai Santa Fe, dua utas gelang tangan, seutas rantai leher dan sebentuk cincin menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan sebanyak RM103,270.

    “Saringan air kencing kedua-dua suspek bagaimanapun negatif dadah, namun salah seorang daripadanya memiliki satu rekod kesalahan lampau,” katanya dalam sidang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT hari ini.

    Tambah beliau, kedua-dua suspek direman selama seminggu bermula 5 Oktober lalu sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1951.