Category: Semasa

  • PRU15: “Yang tamak kuasa ialah orang yang tiada kuasa”

    PRU15: “Yang tamak kuasa ialah orang yang tiada kuasa”

    NAIB Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mempersoalkan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa negeri-negeri yang tidak serentak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai tamakkan kuasa.

    “Ahmad Zahid barangkali tidak memahami maksud tamak kuasa ketika mengeluarkan kenyataan itu,” katanya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan dan menegaskan, sebetulnya, orang yang tiada kuasa itulah yang tamak.

    “Siapa tamak kuasa? Orang yang tiada kuasa nak kuasa itulah yang tamak… yang dah ada kuasa tamak apa?

    “Kita ini macam kontraklah, kontrak kita habis bulan Mei, kenapa nak ‘resign’ awal? Bukankah sampai bulan Mei penggal kita? Kenapa tak boleh sabar? Itu isunya,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, M. Ahmad Shazly Ramli dan rombongannya di pejabatnya, di Kota Bharu, hari ini.

    Dalam masa sama, Mohd. Amar tidak nampak kenapa UMNO mahu mengadakan pilihan raya tergesa-gesa sedangkan Perdana Menteri dan sejumlah menteri Kabinet dari parti tersebut selain kerajaan sedia ada stabil.

    Bahkan, kata beliau, pembangkang turut memberikan sokongan kepada pentadbiran sedia ada.

    Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, negeri-negeri pentdbiran Pakatan Harapan (PH) tamak kuasa kerana tidak membubarkan DUN mereka.

    Dakwa Ahmad Zahid, gabungan PH bimbang kehilangan kuasa menyebabkan mereka menuduh BN yang tamak kuasa.

  • Ibu, bayi maut kemalangan dua kenderaan

    Ibu, bayi maut kemalangan dua kenderaan

    IBU dan bayinya maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan yang bertembung di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di Ipoh, tengah hari tadi.

    Wanita berusia 23 tahun dan bayinya berusia tiga bulan yang menaiki kereta Perodua Myvi disahkan maut di lokasi kejadian.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan berhubung kejadian pada pukul 12.46 tengah hari sebelum anggota bergegas ke lokasi.

    “Kemalangan membabitkan kereta Perodua Myvi dan Mercedes Benz yang bertembung.

    “Terdapat tiga mangsa di dalam Perodua Myvi, seorang lelaki berusia 23 tahun cedera parah tersepit di bahagian pemandu, manakala dua mangsa lagi disahkan maut di lokasi kejadian oleh kakitangan perubatan yang tiba,” katanya dalam laporan Harian Metro.

    Jurucakap itu berkata, seorang mangsa lelaki dari kereta Mercedes Benz mengalami cedera ringan.

    Katanya, anggota bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan anggota (EMRS) memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum diserahkan kepada pihak kesihatan.

    “Manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    “Keseluruhan operasi tamat pada pukul 2.54 petang,” katanya.

  • Lelaki rentung dalam Perodua Kancil

    Lelaki rentung dalam Perodua Kancil

    SEORANG lelaki ditemui rentung di dalam sebuah kereta di Jalan BK 5/1 Bandar Kinrara, malam tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.35 malam.

    Beliau berkata, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Bomba tiba sembilan minit kemudian dan mendapati sebuah kereta jenis Perodua Kancil terbakar sepenuhnya dan terdapat seorang mangsa disyaki berbangsa Cina rentung di tempat duduk pemandu,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi tadi, lapor Utusan TV.

    Jelasnya, pihak bomba bertindak melakukan pemadam dengan menggunakan hos bomba.

  • Saman fitnah Ismail Sabri, Lokman Adam diarah fail pernyataan pembelaan hari ini

    Saman fitnah Ismail Sabri, Lokman Adam diarah fail pernyataan pembelaan hari ini

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Datuk Lokman Noor Adam menjawab saman yang difailkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadapnya, hari ini.

    Hari ini adalah tarikh akhir untuk Lokman memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman berhubung dakwaan menyiarkan kata-kata fitnah menerusi akaun media sosial.

    Peguam Joshua Tan yang mewakili Ismail Sabri berkata anak guamnya juga perlu memfailkan jawapan terhadap pembelaan itu selewat-lewatnya pada 25 Okt.

    “Mahkamah menetapkan 25 Nov ini untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama selepas prosiding pengurusan kes hari ini secara dalam talian (e-Review) di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Haleez Hasnan.

    Pada 12 Sept lepas, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya Lokman dengan serta-merta memadamkan kesemua video yang didakwa memfitnahnya di akaun media sosial.

    Permohonan injunksi inter-parte (kedua-dua pihak) akan didengar pada 29 Nov ini.

    Ismail Sabri, 62, selaku plaintif memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya menerusi pada 8 Sept lepas dengan menamakan Lokman, 49, sebagai defendan.

    Dalam pernyataan tuntutan, Ismail Sabri mendakwa Lokman pada 22 Ogos lepas telah membuat kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif dalam satu video bertajuk “Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam”.

    Naib Presiden UMNO itu berkata kenyataan-kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif dimuat naik menerusi empat akaun media sosial milik defendan iaitu YouTube ‘Lokman Adam’, Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’, Instagram ‘lokmannooradam’ dan TikTok ‘datoklokmanadam’.

    Menurutnya, kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif telah berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas perdana menteri itu serta parti-parti politik lain yang bertentangan dengan UMNO untuk kekal sebagai perdana menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati parti itu.

    Ismail Sabri berkata beliau tidak pernah berjumpa Dr Mahathir dan parti-parti lain dengan membelakangkan atau mengkhianati UMNO untuk terus kekal sebagai perdana menteri.

    Pada 1 Sept 2022, Lokman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap kerajaan dan Ismail Sabri.

  • Warganet kritik hasrat Dr M bertanding, gesa bersara

    Warganet kritik hasrat Dr M bertanding, gesa bersara

    PENGUMUMAN Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) dikritik hebat warganet yang meminta bekas perdana menteri itu hanya menjadi mentor kepada pemimpin pelapis.

    Pengguna Facebook Rizan Radzi berkata, sudah tiba masanya pemimpin berusia 97 tahun itu memberi peluang kepada calon lebih muda untuk mewakili Parlimen Langkawi.

    “Kalau aku orang Langkawi, malu ada wakil rakyat seusia ini, seolah-olah Langkawi tak ada tokoh yang boleh diketengahkan. Memalukan,” kata Harun Mesra Indah dalam laporan Free Malysia Today.

    Uda Salleh pula berpendapat, pengundi di Langkawi perlu memilih calon lebih muda yang mampu membawa perubahan dan berkhidmat sepenuhnya kepada rakyat kawasan itu.

    “Tun M sudah tak relevan lagi dalam konteks pembangunan negara.”

    Tidak kurang juga ada yang menasihati beliau agar berlapang dada untuk bersara kerana jasa dan pengorbanan Mahathir membangunkan Malaysia sebelum ini tetap diingati rakyat.

    “Alangkah baiknya andai Tun M berlapang dada, menjadi pemimpin mentor di belakang kerajaan yang dipilih rakyat, saya yakin Tun akan lebih disanjung.

    “Sedih rasanya melihat Tun diherdik di Dewan Rakyat, sedangkan Tun sangat banyak jasanya pada kami rakyat bawahan,” kongsi Zull Saiddin.

    Bagaimanapun, seorang lagi netizen Adi Roza menyifatkan PRU-15 sebagai garisan penamat Mahathir dalam arena politik tanah air.

    “Nampaknya atuk (Mahathir) akan bersara sebagai Ahli Parlimen dengan kekalahan dalam pilihan raya.”

    Terdahulu, Mahathir yang juga pengerusi Pejuang berkata, beliau akan mempertahankan Langkawi pada PRU-15.

    Bekas perdana menteri itu memenangi kerusi Parlimen tersebut pada PRU14 pada 2018 di bawah Pakatan Harapan (PH)

    Pada 8 Mac lalu, Mahathir berkata beliau kekal dengan pendirian untuk tidak bertanding pada PRU15 berikutan faktor usia dan tahap kesihatannya yang belum pulih, selain memberi laluan kepada calon lebih muda.

    Bagaimanapun, pada 30 Jun, Mahathir membuat pusingan U dengan menyatakan beliau sedia mempertahankan kerusi Langkawi sekiranya Pejuang tidak memiliki calon lain untuk bertanding di kawasan berkenaan.

  • Sultan Selangor titah segerakan projek rakyat sebelum bubar DUN, kata MB

    Sultan Selangor titah segerakan projek rakyat sebelum bubar DUN, kata MB

    SELANGOR mengekalkan keputusan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Istana Bukit Kayangan di Shah Alam hari ini.

    Dalam pertemuan tersebut, Sultan Sharafuddin menitahkan kerajaan negeri supaya menyegerakan projek berkepentingan rakyat seperti tebatan banjir dan pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam sebelum pembubaran DUN dilakukan.

    Amirudin berkata, susulan itu kerajaan negeri mengekalkan keputusan tidak membubarkan DUN susulan pembubaran Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

    “Menerusi perbincangan pada pertemuan lazim bersama Tuanku hari ini, kami bincang banyak perkara terutamanya mengenai pembangunan dan pengurusan ekonomi negeri.

    “Tuanku menasihatkan kita untuk menyegerakan (projek kepentingan rakyat), selesaikan apa yang patut sebelum pembubaran (DUN) dan kita akan kekal pada rancangan untuk membubarkan pada tahun hadapan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pintu utama Istana Bukit Kayangan di Shah Alam hari ini, lapor BH Online.

    Terdahulu, Amirudin tiba di Istana Bukit Kayangan bagi menghadap Sultan Selangor pada jam 10.05 minit pagi dan pertemuan itu berlangsung sekitar dua jam sebelum beliau meninggalkan istana.

    Beliau berkata, perbincangan bersama Sultan Selangor (mengenai keputusan pembubaran DUN) sudah lama dilakukan dan beliau juga sudah memberi gambaran bila ia akan dilaksanakan.

    “Justeru, Tuanku meminta supaya kita berbincang dengan pihak berkaitan supaya ia menjadi pilihan raya (Pilihan Raya Negeri) yang cekap kerana ia tidak dilaksanakan bersekali dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

    Mengulas lanjut, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri kini memberi tumpuan pada persiapan bajet yang dijadualkan dibentang pada 28 Oktober ini, bagaimanapun pihaknya mungkin melakukan perbincangan semula selepas tarikh pilihan raya diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Katanya, jika bajet dibentangkan ketika PRU, pegawai kerajaan negeri akan banyak bertugas sebagai pegawai pengurus dan petugas-petugas pilihan raya, justeru kelancaran bajet akan terganggu.

    “Kemungkinan kita akan tangguh (pembentangan bajet) sehingga habis PRU. Kita akan tengok dari sudut undang-undang dan sebagainya sebab tarikh pembentangan sudah ditetapkan pada 28 Oktober, bagaimanapun saya kena tunggu keputusan SPR,” katanya.

    Sementara itu, mengulas mengenai pencalonan pada PRU akan datang, Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor, berkata kebanyakan calon PH adalah penyandang, kecuali Ampang dan Gombak.

    Katanya, bagi PKR pula, perbincangan sudah dilakukan dan mereka akan turut menampilkan muka baharu dan calon muda untuk menambah kekuatan pada PKR dan PH.

  • Peguam Najib dilarang ‘simpan’, tangguh soal balas saksi

    Peguam Najib dilarang ‘simpan’, tangguh soal balas saksi

    MAHKAMAH Tinggi hari ini tidak akan membenarkan lagi peguam Datuk Seri Najib Razak ‘menyimpan’ dan menangguhkan untuk menyoal balas saksi pendakwaan dalam perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menegaskan jika selepas ini peguam Najib masih tidak bersedia untuk menyoal balas saksi, mahkamah akan menganggap saksi itu sudah disoal balas dan akan meneruskan dengan sesi pemeriksaan semula oleh pendakwaan.

    Sequerah mengeluarkan arahan itu ketika prosiding hari ini selesai mendengar keterangan saksi ke-40 pendakwaan, iaitu Bekas Pengarah Urusan AmInvestment, Kok Tuck Cheong pada sesi pemeriksaan utama.

    Apabila tiba giliran peguam bela menyoal balas saksi terbabit, peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed bangun dan memaklumkan bahawa saksi itu akan disoal balas peguam utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

    Bagaimanapun seperti dinyatakan pembelaan pada minggu lalu, peguam itu mengendalikan kes lain hari ini.

    Katanya, beliau tidak bersedia untuk menyoal balas Tuck Cheong pada peringkat ini.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, perkara menangguhkan menyoal balas saksi menyebabkan pihaknya berdepan kesukaran dalam mengendalikan perbicaraan dengan lebih berkesan kerana pada masa sama tidak boleh memanggil saksi lain.

    “Bukannya kami duduk saja dalam (perbicaraan ini) tanpa membuat apa-apa. Kami juga kena buat pelarasan.

    “Esok saya ada perbicaraan di mahkamah lain, tetapi selepas ia berakhir, saya akan terus datang ke sini,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Sequerah kemudian berkata bahawa mahkamah tidak akan membenarkan lagi saksi ‘disimpan’ dan soal balas ditangguhkan.

    “Apa kita hendak buat sekarang sehingga tengah hari ini? Masa sejam dua ini terbuang begitu saja. Kamu (pembelaan) ada pasukan besar, dan Encik Wan kamu lebih daripada berkeupayaan untuk soal balas saksi kerana sudah biasa dengan fakta dalam kes ini.

    “Perkara ini kamu kena ambil maklum. Saya tidak akan benarkan permintaan (tangguh soal balas saksi) lagi selepas ini,” katanya.

    Wan Aizuddin kemudian berkata, beliau akan memaklumkan arahan Sequerah kepada Muhammad Shafee untuk tindakan selanjutnya.

    Perbicaraan bersambung petang ini.

    Najib, 69, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

  • Ismail Sabri ‘poster boy’ hanya boneka, senang ‘diperintah’ Zahid

    Ismail Sabri ‘poster boy’ hanya boneka, senang ‘diperintah’ Zahid

    PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tetap berada di ‘kerusi pemandu’ walaupun Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi ‘poster boy’ semasa kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) termasuk jika diangkat sebagai calon Perdana Menteri.

    Menurut Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, Ismail Sabri bukanlah individu berkuasa ketika menjadi perdana menteri, bahkan naib presiden UMNO itu merupakan ‘patung atau boneka’ yang bergerak atas perintah Zahid.

    “Sejak dari awal lagi kehendak Datuk Seri Ismail, selaku perdana menteri, untuk menangguhkan PRU-15 hingga ke tahun depan, tidak berhasil.

    “Maka, keputusan tarikh PRU-15 diputuskan mengikut kepentingan parti dan peribadi Datuk Seri Zahid. Episod ini mendedahkan kedudukan sebenar Datuk Seri Ismail Sabri, iaitu seorang perdana menteri patung atau boneka yang bergerak dan bersuara di atas perintah dan keputusan dibuat UMNO pimpinan presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, Zahid didakwa akan menentukan jalan dibuka seluasnya bukan sahaja demi kepentingan dirinya, malah bagi Najib Razak untuk kembali berkuasa.

    “Oleh itu rakyat semua perlu sedar bahawa perjuangan menolak kleptokrat yang diusahakan dengan jayanya semasa PRU14 masih belum selesai,” katanya memetik laporan FMT.

  • Bilangan penganggur Ogos turun, kadar pengangguran kekal 3.7 peratus

    Bilangan penganggur Ogos turun, kadar pengangguran kekal 3.7 peratus

    JUMLAH penganggur pada Ogos tahun ini menunjukkan penurunan kepada 612,000 orang berbanding 620,700 orang pada Julai tahun yang sama.

    Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bagaimanapun memaklumkan, kadar pengangguran pada Ogos 2022 kekal pada 3.7 peratus.

    Lapor Astro Awani, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kedudukan pasaran buruh pada bulan Ogos 2022 kekal stabil berikutan prestasi ekonomi yang semakin baik dan memberangsangkan.

    “Aktiviti perniagaan serta sosial terus beroperasi seperti biasa telah membolehkan ekonomi pulih semula dengan lebih kukuh dan keperluan tenaga buruh semakin meningkat.

    “Bilangan tenaga buruh pada Ogos 2022 semakin kukuh dengan peningkatan sebanyak 30,500 orang atau bersamaan dengan peningkatan 0.2 peratus kepada 16.63 juta orang berbanding 16.60 juta orang pada Julai 2022.

    “Justeru, kadar penyertaan tenaga buruh terus merekodkan peningkatan sebanyak 0.1 mata peratus kepada 69.7 peratus pada bulan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, bilangan penduduk bekerja pada bulan Ogos 2022 terus stabil dengan merekodkan peningkatan sebanyak 39,300 orang atau 0.2 peratus kepada 16.02 juta orang (Julai 2022: 15.98 juta orang).

    Jelas Mustapa, kerajaan akan terus melaksanakan inisiatif bagi memastikan kadar pengangguran kekal rendah termasuklah dengan meneruskan insentif penggajian kepada majikan dan memudah cara pencarian pekerjaan.

    Antara 1 Januari 2022 hingga 30 September 2022, seramai 58,550 orang telah mendapat manfaat di bawah Program JaminKerja – Insentif Penggajian.

    Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga telah berjaya melakukan penempatan pekerjaan untuk 143,643 orang dalam tempoh yang sama.

  • Bajet 2023 adalah umpan PRU-15, sandiwara politik BN

    Bajet 2023 adalah umpan PRU-15, sandiwara politik BN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menyifatkan Bajet 2023 sebagai umpan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Justeru Ketua Armada Johor, Muhammad Shamsuddin Paijan mengingatkan pengundi supaya tidak tertipu dengan taktik licik UMNO dan BN itu.

    Muhammad Shamsuddin berkata, Armada Johor menyifatkan bajet itu sebagai umpan kerana BN sedar pembubaran Parlimen dibantah sebahagian besar rakyat, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

    “Mereka tidak bersetuju dengan pembubaran Parlimen yang akan memaksa PRU-15 diadakan dalam musim tengkujuh ini.

    “Perkembangan mutakhir ini jelas mendedahkan kebobrokan pemimpin UMNO yang tidak peduli kepentingan rakyat apabila mempolitikkan Bajet 2023 dan mempertaruhkan keselamatan rakyat dengan tetap membubarkan Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen dalam satu perutusan khas selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika beliau mengadap baginda.

    Beliau berkata, BN akan menjadikan bajet itu sebagai bahan kempen politik dan mengugut pengundi jika tidak memilih mereka pada PRU-15, bajet tersebut tidak akan dilaksana.

    Rakyat katanya, perlu berfikiran matang dalam menilai perkara itu serta tidak mensia-siakan undi mereka.

    Muhammad Shamsuddin, rakyat perlu menggunakan kuasa undi untuk memilih kerajaan yang berwibawa, berintegriti serta mendokong keprihatinan rakyat seperti diperjuangkan Perikatan Nasional (PN).

    “Kami yakin BN akan gunakan Bajet 2023 sebagai modal kempen kerana Perdana Menteri secara terbuka telah meminta rakyat memberi kemenangan kepada BN pada PRU-15 supaya janji dalam Bajet 2023 yang dibentangkan di Parlimen, Jumaat lalu dapat dilaksanakan.

    “Kami melihat kenyataan Perdana Menteri itu berbaur ‘ugutan, paksaan atau tekanan’ kepada pengundi supaya menyokong dan memenangkan calon BN atau sebaliknya rakyat tidak mendapat bantuan termasuk wang tunai jika BN tewas dalam PRU-15,” katanya.

    Beliau tidak menafikan Bajet 2023 itu adalah bajet pilihan raya kerana merupakan bajet terbesar dalam sejarah negara sedangkan kerajaan mempunyai komitmen yang besar dengan kemampuan yang terbatas.

    Katanya, bajet itu sukar untuk diterjemahkan dan sekadar ‘sandiwara politik’ BN bagi mengaburi mata rakyat daripada mengetahui perbuatan dan niat mereka yang lebih utama iaitu membubarkan Parlimen bagi membuka laluan PRU-15 diadakan dalam tempoh 60 hari.