Category: Semasa

  • KPM komited tingkat kecekapan kepimpinan sekolah – Radzi

    KPM komited tingkat kecekapan kepimpinan sekolah – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha untuk meningkatkan kecekapan kepimpinan sekolah selari dengan elemen dan nilai murni.

    Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ini termasuk penerapan dan amalan ajaran Islam termasuk menekankan kepentingan kepimpinan yang bersih, amanah, prihatin dan pada masa yang sama cekap dan profesional.

    “Ingatlah bahawa generasi yang hebat akan sentiasa melahirkan generasi seterusnya yang lebih hebat.

    “Apabila diberi amanah, laksanakan sebaiknya demi memastikan pendidikan terbaik untuk anak-anak,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

    Pengetua dan Guru Besar sekolah menengah agama merakam gambar kenangan bersama Dr Radzi.

    Pada hantaran itu, beliau berkongsi kehadirannya pada Majlis Perasmian Multaqa Pengetua dan Guru Besar Sekolah Agama KPM ke-6 tahun 2022 di Subang Jaya malam tadi.

    Majlis itu turut disertai 400 orang Pengetua dan Guru Besar serta pegawai KPM.

    Mengulas lanjut, Radzi menjelaskan, dalam konteks pengurusan sekolah agama, peranan pengetua dan guru besar amat penting dalam menerajui kepimpinan sekolah dan melancarkan pelaksanaan dasar pendidikan.

    Menurutnya, mereka juga berperanan membentuk generasi baharu dengan peribadi yang baik dan berilmu pengetahuan.

    “Saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua pengetua dan guru besar SMKA (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama) dan SABK (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan).

    “Semoga terus istiqamah dan komited dalam membentuk generasi baharu dengan peribadi yang baik dan berilmu pengetahuan,” tambahnya.

  • Bapa dipercayai bunuh bayi tiga bulan ada lapan rekod jenayah

    Bapa dipercayai bunuh bayi tiga bulan ada lapan rekod jenayah

    LELAKI yang dipercayai membunuh bayi lelakinya berusia tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Padang Hang, Alor Setar pada Isnin lepas, mempunyai lapan rekod jenayah lampau termasuk kes dadah.

    Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata suspek berumur 28 tahun itu sedang ditahan reman selama tujuh hari hingga 17 Okt ini.

    “Kita percaya suspek telah terlibat dengan penagihan dadah ini sejak dua, tiga tahun lepas dan dia mempunyai lapan rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan lain-lain,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes penemuan mayat bayi itu.

    Semalam, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir dalam satu kenyataan media memaklumkan polis menerima panggilan telefon berhubung penemuan mayat bayi lelaki berusia tiga bulan di dalam sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Padang Hang pada Isnin.

    Hasil siasatan membawa kepada tangkapan seorang lelaki yang juga bapa kepada bayi itu di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Lintang dekat Padang Hang pada hari yang sama.

    Sementara itu, Wan Hassan berkata dua lagi anak suspek yang berusia lima dan satu tahun yang dijaga ahli keluarga lain kini berada di bawah pengawasan polis serta sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

    “Kita bimbang ada elemen gangguan seksual, sebab itu mereka dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan setakat ini masih belum dapat keputusan lagi. Bayi lelaki itu maut dipercayai akibat kecederaan di bahagian kepala disebabkan oleh hentakan benda tumpul.

    “Dipercayai terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di dalam rumah suspek, sekiranya benar polis akan buat rampasan bagi membantu siasatan kes,” katanya.

  • Gerakan gesa Pulau Pinang turut bubar DUN elak pembaziran tenaga, wang

    Gerakan gesa Pulau Pinang turut bubar DUN elak pembaziran tenaga, wang

    PARTI Gerakan menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow perlu serius mempertimbangkan untuk mengadakan pilihan raya negeri dengan PRU-15 pada masa yang sama bagi mengelak menyusahkan rakyat dan membazirkan wang.

    Beliau yang juga Timbalan Presiden Gerakan Pusat berkata, pilihan raya negeri serentak itu juga bagi memastikan tidak berlaku pembaziran tenaga kerja, sumber material dan sumber sosial.

    “Ia juga bagi memberi peluang yang adil kepada penduduk Pulau Pinang untuk membangunkan sistem demokrasi tanpa perlu keluar mengundi untuk pilihan raya negeri dalam tempoh tiga atau empat bulan lagi.

    “Adalah kuasa mutlak Ketua Menteri Pulau Pinang untuk membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya negeri dengan menasihati Yang Dipertua Pulau Pinang supaya membubarkan DUN.

    “Kon Yeow tidak perlu patuh kepada keputusan pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Tong Keong, jika alasan tidak mengadakan pilihan raya negeri pada masa sama dengan PRU-15 semata-mata untuk mengelakkan banjir dan bukan kerana agenda politik, maka orang ramai akan tertanya-tanya sama ada PH juga tidak akan menyertai PRU-15.

    “Apa bezanya jika PH hanya menyertai pilihan raya Parlimen tetapi tidak menyertai pilihan raya negeri,” soalnya.

    Beliau turut menarik perhatian yang mana banjir monsun pada setiap akhir tahun secara amnya lebih teruk di negeri-negeri Pantai Timur berbanding negeri lain.

    “Mungkin hujan akan berlaku di Pulau Pinang, tetapi ia tidak begitu serius sehinggakan pilihan raya tidak boleh diadakan,” katanya.

  • MPN,MASA anjur Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial esok

    MPN,MASA anjur Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial esok

    MAJLIS  Pemulihan Negara (MPN) bersama Institut Masa Depan Malaysia buat julung kalinya akan menganjurkan Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial, di Putrajaya, esok

    MPN dalam satu kenyataan berkata, seminar itu menampilkan barisan pembentang kertas penyelidikan dan moderator terkemuka bagi mengupas isu dan berkongsi hasil penyelidikan mereka dalam seminar ini.

    Perasmian dan ucaptama akan disempurnakan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi MPN merangkap Pengerusi MASA. Seminar akan bermula pada 7.30 pagi hingga 5 petang. Mereka yang mahu menyertai seminar itu boleh mendaftar menerusi pautan: https://bit.ly/SeminarKebangsaanPemulihanNegara

  • SPRM tahan wanita sogok pegawai PGA RM800

    SPRM tahan wanita sogok pegawai PGA RM800

    SEORANG wanita yang cuba menyogok wang sebanyak RM800 kepada pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) supaya tidak diambil tindakan undang-undang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pukul 5.40 petang semalam.

    Wanita tempatan berusia lingkungan 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah Cawangan Tawau.

    Menurut sumber, suspek cuba mengelak daripada dikenakan tindakan kerana cuba membawa keluar barang kawalan ke Filipina.

    Suspek dipercayai memberi wang rasuah berjumlah kira-kira RM800 kepada pegawai PGA yang sedang bertugas di Pulau Mataking, Semporna.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu berkata, kes disiasat mengikut seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

    “Tiada permohonan reman dibuat dan suspek dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin pada hari yang sama.

    “Hasil tangkapan ini adalah kerjasama antara PGA dan SPRM Sabah Cawangan Tawau dalam usaha membanteras rasuah di kawasan berkenaan,” ujarnya memetik laporan Sinar Harian.

    Sehubungan itu, Karunanithy mengingatkan orang ramai supaya tidak menawarkan atau memberi sebarang bentuk sogokan kepada pejawat awam khususnya pegawai penguat kuasa kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

    “Penjawat awam juga wajib membuat laporan kepada SPRM sekiranya timbul sebarang aktiviti sogokan kerana kegagalan untuk berbuat demikian juga akan dikenakan tindakan mengikut Akta SPRM 2009,” katanya.

  • Bubar Parlimen musim Deepavali bukti MIC ‘pak turut’ UMNO

    Bubar Parlimen musim Deepavali bukti MIC ‘pak turut’ UMNO

    PEMBUBARAN Parlimen pada musim Deepavali membuktikan MIC sekadar menjadi ‘pak turut’ kepada kehendak UMNO, kata Timbalan Ketua Setiausaha Pengelola Parti Keadilan Rakyat (PKR), Thiban Subramaniam.

    Thiban berkata dia amat kecewa dan kesal kerana pembubaran Parlimen ini berlaku hanya dua minggu sebelum perayaan Deepavali.

    “MIC yang seringkali melaungkan mereka adalah pejuang masyarakat India, kini bersekongkol dengan pemimpin UMNO yang rakus kuasa serta menjadi ‘pak turut’.

    “Pembubaran parlimen semasa perayaan Deepavali jelas membuktikan #KeluargaMalaysia Ismail Sabri hanya retorik politik,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaKini.

    Semalam, Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan pembubaran parlimen ke-14, memberi laluan kepada pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari.

    Thiban menambah bahawa terdapat desas-desus yang mengatakan kemungkinan besar penamaan calon akan diadakan pada 22 Oktober, iaitu dua hari sebelum perayaan Deepavali.

    “Dalam kesibukan menyambut perayaan Deepavali, kempen PRU pula akan dimulakan tanpa menghiraukan calon mahupun pengundi masyarakat India.

    “Dalam ucapan perutusan khas pembubaran Parlimen, Ismail Sabri telah mendabik dada melaungkan slogan #KeluargaMalaysia yang kononnya mengambil kira kepentingan semua rakyat Malaysia.

    “Namun, realitinya pimpinan UMNO dan Barisan Nasional langsung tidak menghiraukan dan menghormati sentimen dan kepentingan masyarakat India yang bakal menyambut perayaan Deepavali,” katanya.

    Thiban juga berkata pembubaran Parlimen tidak akan berlaku sewaktu sambutan Aidilfitri mahupun Tahun Baru Cina kerana ia akan membawah impak negatif kepada UMNO dan BN.

    “Namun tindakan mereka membelakangkan sambutan Deepavali jelas membuktikan mereka langsung tidak mempedulikan undi masyarakat India,” katanya.

  • Polis jumpa mayat reput ketika siasat lokasi kereta terbabas elak kelibat

    Polis jumpa mayat reput ketika siasat lokasi kereta terbabas elak kelibat

    POLIS menemukan satu mayat reput ketika menjalankan siasatan terhadap kemalangan kereta yang terbabas berhampiran persimpangan lampu isyarat Pekan Tambun di Ipoh, pagi ini.

    Mayat dipercayai perempuan yang sudah reput sejak beberapa hari itu, ditemui hanya pada kira-kira tiga meter dari kereta Proton Satria Aeroback yang terbabas ke dalam longkang berdekatan.

    Difahamkan sebelum penemuan mayat, pada kira-kira pukul 5 pagi sebuah kereta yang dipandu oleh seorang anggota tentera dari arah Hulu Kinta terbabas ke dalam longkang berkenaan.

    Anggota tentera berkenaan dikatakan cuba mengelak suatu kelibat yang melintas di hadapan keretanya sebelum terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri jalan.

    Bagaimanapun, dalam kejadian itu anggota tentera itu hanya cedera ringan, lapor Berita Harian.

    Anggota polis trafik yang kemudiannya datang ke lokasi kira-kira 5.30 pagi untuk menjalankan siasatan sebelum turut menemui mayat reput di sekitar kawasan kemalangan.

    Ketika menjalankan siasatan berkenaan, anggota polis dikatakan terhidu bau busuk sebelum menemukan mayat reput berhampiran kenderaan yang terbabas.

    Maklumat penemuan itu dilaporkan kepada Balai Polis Tambun berhampiran dan mayat kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk proses bedah siasat.

    Difahamkan, proses bedah siasat akan dijalankan pada sebelah petang bagi mengenal pasti identiti mayat dan punca kematian.

    Tinjauan wartawan di lokasi mendapati siasatan dijalankan oleh pihak polis dan forensik PDRM di lokasi kejadian dan mayat reput sudah dibawa keluar daripada lokasi.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

  • Banjir melanda Johor Bahru, satu PPS dibuka

    Banjir melanda Johor Bahru, satu PPS dibuka

    HUJAN lebat lebih dua jam pada 7 malam tadi menyebabkan satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Johor melibatkan daerah Johor Bahru.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan memaklumkan setakat 8 pagi ini, seramai 17 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkah ke PPS selepas rumah mereka dinaiki air.

    “Kesemua mangsa dari Kampung Paya Kenangan di sini ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara yang dibuka pada 10.30 malam tadi,” menurut kenyataan itu.

    Menurut JPBD, paras air Sungai Skudai, Kampung Pasir di sini menunjukkan bacaan 0.3 m iaitu paras waspada selain cuaca di Mersing dan Kota Tinggi dilaporkan hujan, manakala lapan daerah lain mendung hari ini. 

  • Guru KAFA mengaku tidak bersalah hempas murid hingga patah kaki

    Guru KAFA mengaku tidak bersalah hempas murid hingga patah kaki

    SEORANG guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Marang, Terengganu hari ini atas pertuduhan mencederakan anak muridnya sehingga patah kaki kanan pada tiga bulan lalu.

    Tertuduh, Ahmad Mursyidin Abdullah, 37, yang berasal dari Bukit Payong di Marang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

    Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mencederakan anak murid lelakinya yang merupakan murid tahun tiga dengan mengangkat dan menghempas mangsa ke atas kerusi kayu sehingga patah kaki kanan, memetik laporan Berita Harian.

    Tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah sekolah KAFA di Bukit Payung di sini pada pukul 4.15 petang, 6 Julai lalu.

    Ahmad Mursyidin didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Pada 14 Julai lalu media melaporkan seorang ibu mahu pembelaan terhadap anak lelakinya berusia sembilan tahun yang didakwa dicederakan tertuduh hingga patah kaki pada 6 Julai lalu.

    Insiden itu didakwa memberi kesan trauma kepada mangsa sebelum ibu bapanya membuat laporan polis pada 8 Julai lalu.

  • Perdana Menteri disaman kerana bubar Parlimen

    Perdana Menteri disaman kerana bubar Parlimen

    PENYANDANG Parlimen Klang, Charles Santiago, menfailkan saman pemula terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan pembubaran Parlimen yang dibuat Perdana Menteri kelmarin.

    Saman pemula berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, bertujuan menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada menjalankan Pilihan Raya Umum (PRU).

    Berdasarkan salinan saman pemula yang difail dan dilihat BH, Charles menuntut supaya satu deklarasi bahawa kuasa yang terletak pada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 55(2), Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilaksanakan mengikut Perkara 40(1) dan (1A).

    Perkara 55(2) membabitkan Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

    Peruntukan Perkara 40(1) pula menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

    Sementara (1A) adalah sewaktu menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

    Charles juga menuntut satu deklarasi bahawa permintaan Defendan Pertama kepada Yang di-Pertuan Agong pada 9 Oktober 2022 untuk pembubaran Parlimen ke-14 adalah menyalahi Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan kerana permintaan itu tidak dibuat berdasarkan nasihat, atau berdasarkan kuasa am, Jemaah Menteri dan oleh itu terbatal dan tidak sah.

    Beliau juga menuntut satu deklarasi bahawa pembubaran Parlimen ke-14 pada 10 Oktober 2022 seperti yang dimaklumkan melalui P.U.(A) 320 tidak mengikut Perkara 55(2) dibaca bersama Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan dan tidak mempunyai kesan undang-undang.

    Justeru, Charles menuntut satu deklarasi bahawa defendan ketiga iaitu SPR, tidak mempunyai asas undang-undang untuk mengambil apa-apa langkah mengadakan PRU termasuk, tetapi tidak terhad kepada, pengeluaran mana-mana writ bawah Seksyen 12, Akta Pilihan Raya 1958 dan pengeluaran sebarang notis bawah Peraturan 3(1), Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

    Beliau juga memohon suatu perintah dikeluarkan Mahkamah Tinggi untuk menghalang defendan ketiga dan ejen, pengkhidmat dan/atau pekerjanya daripada mengambil sebarang langkah untuk mengadakan PRU berdasarkan kepada pembubaran itu termasuk, tetapi tidak terhad kepada, pengeluaran sebarang writ bawah Seksyen 12, Akta Pilihan Raya 1958 pengeluaran mana-mana notis bawah Peraturan 3(1), Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 dan/atau daripada memberi kesan kepada mana-mana writ atau notis sedemikian jika dikeluarkan.

    Beliau turut menyertakan afidavit sokongan yang antara lain menyatakan antara fakta menyokong saman pemula berkenaan termasuk banjir yang melanda pada Disember 2021 serta bantahan parti-parti yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan dalam situasi ketika ini.

    Sementara itu, Charles ketika dihubungi mengesahkan tindakan terbabit, sambil memaklumkan akan mengeluarkan satu kenyataan media mengenainya hari ini.

    “Salam. Saya akan hantar kenyataan dalam masa terdekat,” katanya secara ringkas lapor Berita Harian.

    Kelmarin, Perdana Menteri mengumumkan beliau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen Ke-14.

    Ia selaras Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, apabila Yang di-Pertuan Agong bertindak menurut budi bicara baginda untuk memperkenankan permintaan itu.