Category: Semasa

  • PRU-15: Bilik gerakan SPRM diwujudkan di setiap negeri

    PRU-15: Bilik gerakan SPRM diwujudkan di setiap negeri

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka bilik gerakan di setiap negeri bagi memberi kemudahan kepada orang ramai menyalurkan salah laku yang berlaku sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

    Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dalam laporan Berita Harian berkata, amalan membuka bilik gerakan itu sudah dilakukan pada PRU sebelum ini dan akan diselaraskan di Ibu Pejabat SPRM.

    “Susulan pembubaran Parlimen, kita menyediakan bilik gerakan pada PRU-15 dan semuanya diselaraskan di bilik gerakan utama di ibu pejabat bermula sekarang.

    “Jadi, jika ada sebarang isu berkaitan rasuah sepanjang PRU-15 ini, kami akan bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam lapran itu hari ini.

    Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Debat Antirasuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di Nilai, hari ini.

    Sementara itu, Norazlan dalam ucapannya berkata, pembabitan mahasiswa dalam acara debat membolehkan mereka lebih arif dan memahami isu berkaitan rasuah serta usaha dilaksanakan.

    “Sebahagian usul diberikan kepada pendebat sebenarnya antara cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan dan SPRM ke arah penambahbaikan usaha pencegahan rasuah dalam negara ini.

    “Sebahagian usul lagi adalah isu semasa berkaitan rasuah yang sering diperdebatkan dalam kalangan warga maya berasaskan sumber yang tidak tepat dan akhirnya disalah erti, seterusnya mewujudkan persepsi negatif terhadap SPRM dan kerajaan,” katanya.

  • Rakyat perlu ajar BN pada PRU-15

    Rakyat perlu ajar BN pada PRU-15

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGUNDI perlu menolak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk mengajar mereka yang sering meletakkan kepentingan politik melebihi kesejahteraan rakyat.

    Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Johor, Azrol Rahani berkata, BN sudah beberapa kali membelakangkan kepentingan rakyat contohnya mengadakan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika pandemik Covid-19 sebelum ini.

    Beliau berkata, terkini BN tidak peduli untuk mengadakan PRU15 dalam masa tengkujuh dan secara sinis ‘mengalu-alukan’ keputusan itu.

    “Parti yang menentang pilihan raya semasa banjir adalah penakut. Semua orang tahu faktanya. Memang masuk akal jika pilihan raya dijalankan tahun ini walaupun pada musim banjir, tiada yang pelik dan mengejutkan. Kita semua yakin yang BN mampu.

    “Jika mereka mampu bercatur dengan nyawa sebelum ini dengan PRN Sabah, Melaka dan Johor walaupun Covid-19 masih berleluasa, tiada yang pelik jika kali ini mereka boleh bercatur nyawa rakyat yang sedang dan akan berdepan banjir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sehubungan itu Azrol berharap rakyat khususnya pengundi sedar dengan permainan politik yang dimainkan UMNO ketika ini.

    “Yang pelik adalah kita beranggapan BN, parti yang mengangkat dan menjunjung golongan korup, mencuri, dan salah guna kuasa akan memikirkan kepayahan yang akan dihadapi rakyat semasa banjir melanda negara.

    “Selepas semua yang kita sudah tahu tentang BN, kita tidak lagi harus mengharapkan mereka akan ambil berat kebajikan rakyat,” katanya.

    Menurut beliau, kesan banjir akan mengakibatkan harta awam musnah, peniaga-peniaga kecil tidak dapat mencari rezeki, pelajar tidak dapat ke sekolah, buku-buku rosak, bekalan makanan terputus dan tanaman petani rosak.

    Bukan itu sahaja katanya, ternakan juga mati, kayu balak masuk rumah, rumah hanyut dan kehilangan nyawa, semua itu akan menelan kerugian sehingga berbilion Ringgit.

    Itu adalah antara faktor utama pembangkang termasuk Muda menentang PRU-15 dijalankan semasa musim banjir, katanya.

    “Kerana itulah walaupun Parlimen sudah dibubar dan pilihan raya tidak lagi dapat dielakkan, Muda tetap akan membuka bilik gerakan banjir dan menyeru semua sukarelawan untuk bersama bagi membantu semua yang terkesan sebagai persediaan,” ujar beliau.

  • Bekas MB Pahang umum bersara

    Bekas MB Pahang umum bersara

    BEKAS Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob mengumumkan persaraannya pada penggal ini selepas memberikan khidmat kepada rakyat lebih 36 tahun.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai itu berkata, telah diberikan kepercayaan menjadi wakil rakyat di DUN Pelangai selama lapan penggal dan pernah mentadbir Pahang apabila mendapat mandat sebagai Menteri Besar Pahang selama 19 tahun.

    “Kita semua sedia maklum, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang akan dibubarkan dalam sedikit masa lagi.

    “Saya menganggap ini ucapan terakhir dalam dewan sebelum bersara sepenuhnya,” katanya ketika berucap pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Kuantan hari ini.

    Beliau turut merakam penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang pernah bersama dengannya dalam mentadbir Pahang selama beliau mencurahkan khidmat dan baktinya.

    Adnan turut melahirkan rasa syukur kerana Pahang kini ditadbir kerajaan yang baik di bawah pimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dalam meneruskan legasi untuk membantu rakyat.

    “Pahang bernasib baik mendapat hamba Allah bernama Wan Rosdy, anak (kelahiran) Lipis menjadi Menteri Besar. Wan Rosdy merupakan seorang yang mempunyai perangai (temperament) baik maknanya tidak beremosi, tidak marah, tidak mudah teruja (excited) semacam sesetengah orang.

    “Harap agar Wan Rosdy dapat meneruskan perkhidmatan cemerlang dan saya berbangga dengan kebolehan YAB Menteri Besar dalam menambah baik dan melakukan perkara-perkara baharu dengan dibantu oleh kepimpinan negeri.

    “Saya percaya Wan Rosdy dapat mengemudi BN pada pilihan raya ini dan insya-Allah dapat membentuk kerajaan Negeri Pahang,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

  • PRU-15:Mas Ermieyati sedia pertahan kerusi Masjid Tanah

    PRU-15:Mas Ermieyati sedia pertahan kerusi Masjid Tanah

    DATUK Mas Ermieyati Samsudin sedia mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan berbuat demikian sekiranya pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) memberikan mandat kepadanya.

    “Meskipun setakat ini Bersatu belum membuat sebarang keputusan berhubung calon-calon yang diputuskan, namun pimpinan parti telah memberi bayangan bahawa ahli Parlimen parti akan dicalonkan semula di kerusi sedia ada.

    “Dengan kudrat yang ada, saya akan sedaya upaya cuba untuk menawan hati pengundi termasuk merancang strategi dan siap siaga mengharungi Pilihan Raya Umum (PRU) dalam musim banjir.

    “Sesiapa pun yang dicalonkan mana-mana pihak tidak semestinya Barisan Nasional (BN) sahaja, dari mana-mana parti kita bersedia hadapi, buat persiapan, dapatkan sokongan dan sebagainya,” katanya.

    Mas Ermieyati berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Masjid Tanah di Masjid Tanah, Melaka, hari ini.

    Beliau berkata, gerak kerja dan komitmen yang diberikan sepanjang tempoh empat tahun setengah sebagai wakil rakyat Bersatu akan menjadi kayu ukur sokongan pengundi.

    “Walau apa pun pasang surut berlaku dalam politik tanah air, tapi saya tidak pernah tinggalkan tugas dan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah.

    “Saya kira itu menjadi rekod pencapaian saya kalau diberi kepercayaan pucuk pimpinan untuk saya berada lagi di Masjid Tanah,” kata beliau lagi yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang)

    Jelas beliau, PRU akan datang ini memperlihatkan pertambahan pengundi dalam parlimen itu dari lebih 50,000 pengundi kepada 69,098 pengundi manakala pengundi muda bawah 40 tahun kira-kira 51 peratus.

    “Jadi banyak isu-isu yang menghimpit mereka terutama sekali isu ekonomi, pekerjaan dan isu-isu sosial.

    “Kita perlu tengok bagaimana untuk kita atasi masalah ini dan selari dengan gerak kerja apa yang telah saya lakukan sepanjang jadi Ahli Parlimen,” ujar beliau, sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

    Pada PRU-14 beliau yang bertanding atas tiket BN menang dengan 22,898 undian ketika menentang bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Dr. Sabirin Jaafar mewakili PKR dan calon Pas, Mohd. Nasir Othman.

    Selain Mas Ermieyati, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf turut disebut-sebut akan dicalonkan untuk kerusi itu.

  • Sultan Nazrin belum beri perkenan pembubaran DUN Perak

    Sultan Nazrin belum beri perkenan pembubaran DUN Perak

    JANGKAAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan hari ini nyata meleset apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah masih belum memberi perkenan berhubung perkara itu.

    Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebarang ketetapan mengenai permohonan pembubaran DUN yang dikemukakan beliau kepada Sultan Nazrin pada hari ini akan diumumkan selepas baginda berkenan membuat keputusan.

    “Belum dapat perkenan (Sultan Nazrin) lagi untuk DUN dibubarkan,” katanya dalam laporan Harian Metro.

    Saarani dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh berkata, Sultan Nazrin bertitah bahawa baginda mengambil maklum mengenai permohonan yang dikemukakan dan akan membuat pertimbangan sewajarnya.

    “Oleh demikian sebarang ketetapan mengenai permohonan pembubaran DUN akan diumumkan selepas Tuanku (Sultan Nazrin) berkenan membuat keputusan,” katanya.

    Ditanya mengenai jangkaan akan dipanggil menghadap semula oleh Sultan Nazrin bagi keputusan permohonan pembubaran DUN itu, Saarani tidak mengetahuinya.

  • Lelaki cederakan isteri dipenjara 24 bulan

    Lelaki cederakan isteri dipenjara 24 bulan

    SEORANG lelaki dihukum penjara selama 24 bulan oleh Mahkamah Majistret di Marang, hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya.

    Tertuduh, Ahmad Zughairi Mohd Zuki, 36, mengaku bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa yang berusia 36 tahun di hadapan sebuah rumah di Bukit Payung di Marang, pada 7.45 malam pada 3 Mei lalu.

    Tertuduh mengulangi kesalahan sama masing-masing di dua lokasi berasingan di Bukit Payung di Marang, pada 15 Julai dan 22 Julai lalu.

    Bagi setiap kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A KK.

    Harian Metro melaporkan, sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama.

    Tertuduh dijatuhi hukuman penjara masing-masing lapan dan 10 bulan bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

    Bagaimanapun, tertuduh hanya menjalani hukuman penjara 10 bulan selepas mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh sabitan iaitu hari ini.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Othman Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam, Che Amir Che Musa.

  • Bersatu, Pas mungkin tukar kerusi strategi menang PRU-15

    Bersatu, Pas mungkin tukar kerusi strategi menang PRU-15

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menolak kemungkinan berlaku pertukaran kerusi dengan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

    Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pertukaran kerusi berkenaan sebagai strategi gabungan itu untuk memenangi PRU15.

    “Selama kami berbincang dengan parti komponen dalam menghadapi PRU-15, perkara penting adalah untuk memastikan pemimpin semua komponen boleh menang kawasan yang akan kita calonkan.

    “Pertukaran kerusi dahulunya mungkin dimenangi Bersatu, kini mungkin Pas perlukannya. Ianya menentukan pemimpin berkenaan boleh menang di kawasan-kawasan itu,” katanya pada taklimat Op Banjir di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

    Ditanya sama ada Pas benar-benar komited untuk bersama PN, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan parti itu masih bersama mereka.

    “Rundingan adalah sesuatu strategi yang diperlukan dalam pilihan raya. Ia adalah sesuatu isu yang berbeza,” katanya.

    Media pada 23 September lalu melaporkan pengagihan kerusi membabitkan parti komponen PN bagi menghadapi PRU-15 hampir selesai dan akan dimuktamadkan, lapor Berita Harian.

  • Pas tidak gelojoh bubarkan DUN, tidak takut hilang kuasa

    Pas tidak gelojoh bubarkan DUN, tidak takut hilang kuasa

    UMNO tidak seharusnya gopoh membuat cabaran kepada Pas agar membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, serentak dengan pembubaran Parlimen.

    Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Mohamad Kamal Mohamad dalam laporan Berita Harian berkata, Pas lebih memikirkan kepentingan serta kemaslahatan rakyat dan akan membuat keputusan yang sewajarnya.

    Menurut beliau, Pas bukan takut hilang kuasa dan tidak timbul takut untuk menghadapi pilihan raya.

    “Pas Kelantan pasti akan membuat keputusan yang saksama dalam soal ini, termasuk menegaskan pentingnya penyatuan ummah.

    “Tidak timbul soal takut menghadapi pilihan raya, apa lagi jika mempersoalkan dapatan kajian yang dikemukakan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan (Datuk Mohd Amar Nik Abdullah) berkaitan penolakan undi anak muda terhadap Barisan Nasional (BN).

    “Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor, seharusnya lebih terbuka untuk menerima dapatan kajian yang dinyatakan itu atau jika ada boleh sahaja untuk “cross check” melalui kajian yang dijalankan sendiri oleh beliau atau dapatan lain yang memuaskan hati,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan Noor Hariri, yang mencabar kerajaan negeri supaya membubarkan DUN Kelantan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilangsungkan secara serentak.

    Noor Hariri berkata, parti itu tidak perlu takut untuk mengadakan pilihan raya serentak jika yakin sokongan rakyat terhadap mereka kukuh.

    Mengulas lanjut, Mohamad Kamal berkata, PAS tidak segelojoh pihak yang mengecewakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah, tetapi membuat pertimbangan demi kepentingan dan kemaslahatan rakyat.

  • Bekas Pengarah Jakoa mengaku salah palsukan dokumen

    Bekas Pengarah Jakoa mengaku salah palsukan dokumen

    BEKAS Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Negeri Sembilan dan Melaka serta pengarah syarikat didenda di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen tuntutan majlis makan berjumlah RM13,200, enam tahun lalu.

    Kedua-dua tertuduh, Mohd. Irwan Redzuan Abdullah, 45, dan Haslin Abdul Razak, 47, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

    Tertuduh pertama, Mohd. Irwan iaitu bekas pemilik syarikat Salju Asli Enterprise dijatuhi hukuman denda RM8,000.

    Sementara tertuduh kedua pula, bekas Pengarah Jakoa Negeri Sembilan dan Melaka, Haslin dienda RM5,000.

    Sekiranya gagal membayar denda, kedua-dua tertuduh masing-masing boleh dikenakan penjara lima dan empat bulan.

    Bagaimanapun, mereka membayar denda terbabit, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, mereka dengan niat bersama dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu invois Salju Asli Enterprise nombor SA2016/10 untuk tuntutan perkhidmatan makan dan minum sempena Majlis Ramah Mesra Pengarah Jakoa bersama penduduk Kampung Orang Asli Bukit Payung, Alor Gajah, Melaka yang mana tertuduh mempunyai sebab mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

    Kesalahan tersebut dilakukan di Pejabat Jakoa Negeri Sembilan/Melaka pada 6 Disember 2016.

    Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

    Terdahulu, dalam prosiding kes Mohd. Irwan yang diwakili peguam Iszam Ismail memohon hukuman ringan kerana dia kini hanya bekerja sebagai penoreh getah selepas syarikat ditutup selain perlu menyara lima anak berusia empat hingga 22 tahun.

    Sementara itu, Haslin yang diwakili peguam Abdul Hamid Manon Abdullah juga memohon hukuman ringan dengan alasan mempunyai empat anak masih kecil serta bersekolah malah sepanjang perkhidmatan menjalankan tugas dengan cemerlang.

    Mahkamah juga menetapkan wang RM13,200 milik Kelab Sukan dan Kebajikan Jakoa dilucut hak kepada kerajaan Malaysia melalui Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

  • Kapal OPV 1 APMM tiada masalah

    Kapal OPV 1 APMM tiada masalah

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menafikan dakwaan sebuah kapal peronda baharu miliknya mengalami masalah, berikutan video merakamkan kapal itu berada dalam keadaan condong.

    Ketua Pengarahnya, Zubil Mat Som dalam laporan Free Malaysia Today berkata, Kapal Peronda Luar Pesisir 1 (OPV 1) itu tidak mengalami sebarang masalah semasa dilancarkan.

    “Kapal itu berada dalam keadaan baik,” katanya yang turut berkongsi gambar terbaharu kapal itu yang berlabuh berhampiran limbungan.

    Kapal OPV 1 dilancarkan di limbungan TH Heavy Engineering (THHE), Pelabuhan Klang pada Isnin lalu, tetapi video menunjukkan kapal itu senget tersebar di media sosial.

    Pengurus Besar THHE, Azizul Hanafee Zain berkata, kejadian itu berlaku ketika pekerja memotong kabel besi yang dipasang untuk menyokong struktur di bawah kapal.

    “Apabila kabel di satu bahagian dipotong, ia menyebabkan kapal itu ditarik ke arah lain.

    “Kami memang menjangkakan keadaan ini. Kedudukan kapal kembali normal selepas semua kabel dipotong,” katanya.

    OPV1 dijadualkan menjalani beberapa ujian dan sesi latihan bersama kru selama tiga bulan sebelum ditugaskan ke Beting Patinggi Ali di Sarawak pada awal 2023.