Category: Semasa

  • Pemuda Pas  tolak Presiden Gerakan bertanding kerusi majoriti Melayu di Tasek Gelugor

    Pemuda Pas tolak Presiden Gerakan bertanding kerusi majoriti Melayu di Tasek Gelugor

    DEWAN Pemuda PAS Tasek Gelugor mendesak Presiden GERAKAN, Datuk Dominic Lau, supaya berundur dan tidak berangan-angan bertanding di kerusi majoriti Melayu di Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

    Peringatan terhadap pemimpin parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu dibuat menjelang pengumuman calon PN bagi PRN Pulau Pinang, malam esok.

    Naib Ketua Pemudanya, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar, memberi amaran jika Dominic masih berkeras bertanding di kerusi berkenaan, pihaknya bersama seluruh jentera akan menggerakkan perarakan besar-besaran calon Bebas di Telok Ayer Tawar dan Permatang Berangan pada penamaan calon, Sabtu ini., lapor Berita Harian.

    “Dewan Pemuda PAS Tasek Gelugor bersama pengundi di Permatang Berangan dan Telok Air Tawar akan memastikan kekalahan kepada calon GERAKAN di Telok Air Tawar dan calon BERSATU di Permatang Berangan jika tuntutan ini tidak dipenuhi.

    “Jangan sesekali bermain dengan api, nanti api itu sendiri akan memakan diri. Jangan cabar kesabaran Pemuda PAS!” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Terdapat tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Tasek Gelugor, iaitu Permatang Berangan, Sungai Dua dan Telok Ayer Tawar.

    PN yang dianggotai BERSATU, PAS dan GERAKAN akan mengumumkan calon mereka bagi PRN di enam negeri pada esok dan lusa.

    Pada 22 Jun lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memaklumkan gabungan itu sudah memuktamadkan rundingan kerusi di semua 245 kerusi DUN yang akan ditandingi, dengan BERSATU akan bertanding di 83 kerusi, manakala PAS di 126 kerusi dan GERAKAN di 36 kerusi.

  • Kerajaan dituntut penuhi janji semak semula akta lapuk media

    Kerajaan dituntut penuhi janji semak semula akta lapuk media

    TOKOH Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar menuntut supaya kerajaan memenuhi janji untuk menyemak semula akta-akta lapuk berkaitan profesion kewartawanan yang dilihat tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa.

    “Ini berikutan terdapat beberapa perundangan dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang menyekat kebebasan media di negara ini.

    “Saya mencadangkan supaya kerajaan memenuhi janji untuk memansuhkan akta (berkaitan profesion kewartawanan) tidak sesuai atau relevan yang boleh mengekang kebebasan media.

    “Seperti yang saya sebutkan tadi, ia melibatkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. (Jadi) saya fikir kerajaan harus menunaikan janji dalam soal ini (semak semula akta lapuk),” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Terdahulu, Johan ketika menyampaikan ucaptama dalam Forum Media Kebangsaan 2023 ‘Kemampanan Media: Melangkah ke Hadapan bagi Malaysia Pada Era Digital’ anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini turut membangkitkan isu sama.

    Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada Jun lalu dilaporkan berkata, kerajaan setakat ini tidak membincangkan isu pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

    Katanya, sekarang ini kerajaan menumpukan kepada pembentukan Majlis Media untuk membawa rang undang-undang berkaitan kepada peguam negara dan seterusnya Parlimen.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain, Johan turut mencadangkan supaya kerajaan melantik seorang wartawan menjadi Ahli Dewan Negara.

    Katanya, ia bagi membolehkan suara komuniti itu lebih didengari, di samping sebagai penghormatan kepada golongan wartawan di negara ini.

    “Saya cadangkan supaya kerajaan melantik seorang Senator dalam kalangan wartawan kerana saya fikir ini adalah satu penghormatan yang patut diberikan kepada kumpulan ini (wartawan).

    “Ini kerana kita memerlukan suara wartawan di Dewan Negara dan saya juga berasakan sudah sampai masanya juga untuk kerajaan memikirkan perkara ini (lantik seorang wartawan menjadi Ahli Dewan Negara),” katanya.

  • Kerajaan perlu tunjuk empati kepada doktor dipindahkan – MMA

    Kerajaan perlu tunjuk empati kepada doktor dipindahkan – MMA

    KERAJAAN perlu membenarkan pegawai perubatan yang berkhidmat dalam tempoh ditetapkan di Sabah dan Sarawak memohon pertukaran dan memastikan proses dijalankan secara telus.

    Ia antara gesaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dalam isu kebajikan doktor yang terbabit dalam pemindahan ke hospital atau klinik kerajaan di beberapa negeri yang turut dilihat memberi impak kepada sistem kesihatan awam.

    Presiden MMA, Dr. Muruga Raj Rajathurai, berkata kerajaan juga perlu mempertimbangkan elaun penempatan yang munasabah untuk doktor yang telah diarahkan berpindah.

    Beliau berkata, pegawai perubatan yang terbabit juga perlu diberikan notis dengan jangka masa yang memadai untuk melapor diri dari tarikh surat penempatan, dengan dimaklumkan perincian yang jelas berhubung penempatan baharu.

    “Selain itu kerajaan perlu memastikan tiada gangguan perkhidmatan penjagaan kesihatan di mana-mana fasiliti kesihatan dan turut memudahkan penempatan semula.

    “Kerajaan perlu memastikan pemindahan ini tidak menjejaskan latihan kepakaran yang sedang dijalani mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Beliau turut meminta kerajaan menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan doktor.

    Katanya, walaupun penempatan diberikan berdasarkan keperluan setempat, cabaran perlu dihadapi apabila dipindahkan, masih perlu diberi perhatian sewajarnya.

    “MMA menggesa kerajaan menunjukkan empati kepada kumpulan doktor yang telah dipindahkan ke fasiliti kesihatan di negeri-negeri.

    “Terutama, membabitkan sebilangan doktor yang diarahkan berpindah dengan diberikan notis dalam jangka masa pendek,” katanya.

    Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa, memaklumkan proses pemindahan doktor yang mendapat penempatan tetap merangkumi semua tempat di seluruh negara sedang dilaksanakan.

    Katanya, pemindahan sekitar 1,000 petugas perubatan di sekitar Lembah Klang mulai akhir bulan ini tidak akan menjejaskan operasi fasiliti kesihatan di Lembah Klang.

  • Satu lagi laman sesawang kritik kerajaan disekat

    Satu lagi laman sesawang kritik kerajaan disekat

    SATU lagi laman sesawang yang lantang mengkritik kerajaan disekat, sebulan selepas akses ke atas portal berita MalaysiaNow dan blog Malaysia Today dihalang untuk sebahagian besar pembaca.

    Laman sesawang terbaru disekat itu, http://weechookeong.com/, adalah blog yang dikendalikan oleh bekas ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong, yang terkenal dengan kritikan lantangnya terhadap hubungan antara perniagaan utama dan ahli politik serta pendedahan tentang rasuah dalam sektor kewangan Malaysia.

    Sekatan itu, yang disedari Wee malam tadi, disahkan hari ini melalui mesej daripada hos pelayan yang mengatakan laman sesawang itu disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

    “Berdasarkan lampiran, hasil ping ke weechookeong.com menunjukkan alamat IP 175.139.142.25,” katanya, lapor MalaysiaNow.

    “Ini bermakna laman sesawang itu telah disekat oleh SKMM.” 

    Ia menambah bahawa pengguna beberapa penyedia perkhidmatan Internet (ISP) masih boleh mengaksesnya kerana SKMM melaksanakan sekatan secara berperingkat.

    Sehingga berita ini ditulis, laman sesawang itu tidak dapat diakses oleh pengguna sekurang-kurangnya dua ISP utama: Maxis dan Unifi.

    Sementara itu, Wee yang juga bekas ahli Parlimen DAP dan PKR dalam ciapan di Twitter menulis: “Big Brother Fahmi sedang memerhatikan kita.”

    “Kita sekarang hidup dalam era Mad Dah Ni!!” tambahnya, sambil menyindir slogan kerajaan Madani.

    SKMM, pengawal selia internet negara, diberi kuasa untuk mengarahkan ISP untuk menyekat laman sesawang yang ‘tidak diingini’.

    Dulu, sekatan sedemikian telah diperluaskan ke portal berita dan laman sesawang yang mengkritik kerajaan.

    MalaysiaNow disekat selama 48 jam dari 27 hingga 29 Jun lalu. 

    Pembantu kepada Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, yang menerajui kementerian yang menyelia SKMM, menafikan sebarang maklumat atau bertanggungjawab terhadap kejadian itu, manakala Fahmi sendiri dilaporkan berkata tiada arahan diberikan untuk menyekat mana-mana portal berita. 

    Mesej lanjut yang meminta penjelasan daripada beliau tidak dijawab, manakala SKMM juga gagal menjawab pertanyaan berulang kali daripada MalaysiaNow.

    Episod pada Jun adalah kali pertama dalam tempoh beberapa tahun di mana portal berita yang mempunyai akreditasi media disekat, selepas sekatan ke atas portal berita The Malaysian Insider pada 2016, yang dipercayai atas liputannya mengenai skandal 1MDB. 

    Menurut hos pelayan http://weechookeong.com/, SKMM biasanya menyekat laman sesawang kerana kandungan yang dilarang, sambil menambah bahawa isu tersebut berada di luar kawalannya. 

    “Oleh itu, saya amat mengesyorkan agar anda menghubungi SKMM secara terus untuk mendapatkan maklumat lanjut dan penjelasan mengenai penyekatan itu,” katanya.

  • Isteri ugut sodok mulut suami guna pisau ditahan polis

    Isteri ugut sodok mulut suami guna pisau ditahan polis

    SEORANG wanita warga asing ditahan polis selepas mengugut suaminya menggunakan sebilah pisau di Taman Tasik Tambahan, Ampang pada 6 Julai lalu.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, dalam kejadian pukul 6 pagi itu, mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun telah berselisih faham dengan suspek.

    Beliau berkata, suspek telah meminta wang sebanyak RM5,000 daripada mangsa untuk pulang ke kampung.

    “Mangsa yang bekerja sebagai peniaga mengatakan tidak mempunyai wang yang diminta sebelum suspek mengacukan pisau ke arah muka mangsa.

    “Suspek juga mengatakan akan sodok mulut mangsa dengan pisau tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, suspek berusia 34 tahun dan bekerja sebagai pembantu kedai itu ditahan pada pukul 9 malam kelmarin di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

    Turut dirampas sebilah pisau yang digunakan semasa kejadian.

    “Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan bebas dari kesalahan dadah,” ujarnya, lapor Utusan TV.

    Suspek kini direman selama empat hari sehingga Khamis dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

  • Pereka grafik didakwa sebabkan kematian teman wanita

    Pereka grafik didakwa sebabkan kematian teman wanita

    SEORANG pereka grafik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian teman wanitanya dua minggu lalu.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Sean Edward Kenneth Quinn, 30, yang sekadar mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin, pagi ini.

    Pengakuan tertuduh tidak direkodkan memandangkan kes itu adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Utusan TV.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian kekasihnya yang merupakan seorang penolong pengurus sebuah restoran, Nurin Najmina Mohd Radzuan berusia 25 tahun.

    Sorang pereka grafik, Sean Edward Kenneth Quinn, 30, dituduh menyebabkan kematian teman wanitanya ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Sareeka Balakrishnan sementara tertuduh yang juga berdarah kacukan Kanada itu diwakili oleh Vivek Sukumaran.

    Mahkamah menetapkan 25 September depan bagi sebutan semula kes.

    Beberapa jam sebelum kejadian, mangsa dan tertuduh difahamkan bertengkar sebelum mangsa ditemui tidak bernyawa dipercayai terjatuh dari tingkat 10 kondominium itu.

  • Bekas CEO bebas tuduhan suapan bekal kurma sempena Ramadan

    Bekas CEO bebas tuduhan suapan bekal kurma sempena Ramadan

    BEKAS Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS) hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mendapatkan suapan untuk bekalan Kurma For Ramadan Gift, empat tahun lepas.

    Hakim Suzana Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Wafiy Abd Aziz, 38, pada akhir kes pendakwaan.

    “Sehubungan itu mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu dan wang jaminan (RM12,000) dikembalikan,” katanya.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa manakala tertuduh diwakili peguam Baljit Singh Sidhu.

    Perbicaraan kes itu bermula pada Ogos 2021 dengan 24 saksi pendakwaan memberikan keterangan.

    Wafiy didakwa menggunakan jawatan itu untuk mendapatkan suapan, dengan meluluskan bayaran baucar EMGS bertarikh 3 Jun 2019 berjumlah RM12,175 kepada Mileeya Enterprise untuk bekalan daripada sebuah syarikat yang dimiliki saudara tertuduh.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di EMGS Jalan Mayang Sari Kuala Lumpur pada 3 Jun 2019.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

  • SPRM siasat bekas menteri berhubung tahanan ahli perniagaan

    SPRM siasat bekas menteri berhubung tahanan ahli perniagaan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyoal-siasat seorang bekas menteri kabinet bagi membantu siasatan berhubung penahanan dua ahli perniagaan yang terkenal dalam mengedar filem India dan membawa masuk artis dari negara itu untuk membuat persembahan di Malaysia.

    Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa seorang ahli perniagaan yang juga adalah seorang ahli politik dari Negeri Sembilan itu turut ditahan dalam operasi tersebut.

    Suspek yang adalah ahli sayap bukan anggota sekutu Perikatan Nasional itu sebelum ini mengumumkan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya negeri akan datang.

    Malaysiakini telah menghubungi menteri kabinet berkenaan untuk mendapatkan ulasan.

    Bagi dua suspek pertama, FMT menamakan seorang daripada mereka sebagai Abdul Malik Dasthigeer, pengasas dan pengerusi Malik Group of Companies, yang terdiri daripada Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Malik Maju Sdn Bhd, Malik Streams Properties Sdn Bhd, Malik Streams Antenna Movies Sdn Bhd, dan Malik Streams Production & Distribution.

    Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa suspek kedua pula adalah juga pengedar filem yang pada awal tahun ini mengadakan konsert yang menampilkan komposer muzik Tamil terkemuka dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tetamu utama.

    Syarikat suspek kedua juga mengedarkan filem biografi Perdana Menteri ‘Anwar: The Untold Story.’

    Menurut sumber, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

    Sumber itu mendedahkan bahawa agensi antirasuah itu telah membekukan aset bernilai lebih RM300 juta sementara menunggu siasatan.

    Lebih 30 individu termasuk ahli keluarga dan rakan suspek telah dipanggil untuk disoal siasat.

  • Tragedi Pos Tohoi: Kerajaan bayar RM1.2 juta kepada keluarga tujuh pelajar Orang Asli

    Tragedi Pos Tohoi: Kerajaan bayar RM1.2 juta kepada keluarga tujuh pelajar Orang Asli

    KERAJAAN akan membayar RM1.2 juta sebagai penyelesaian penuh terhadap saman yang difailkan keluarga Orang Asli berhubung kehilangan tujuh anak mereka dari asrama sekolah di Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan, lapan tahun lepas.

    Berdasarkan terma penyelesaian yang direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas semalam, kedua-dua pihak mencapai persetujuan bahawa pihak defendan (kerajaan) membayar sebanyak RM1.2 juta dan kos RM60,000 sebagai jumlah penyelesaian penuh dan muktamad bagi kes itu.

    Penyelesaian penuh dan muktamad kes itu juga adalah tanpa sebarang perakuan liabiliti daripada semua defendan-defendan.

    Selain itu pihak ketiga (syarikat insurans) bersetuju membayar RM150,000 termasuk kos sebagai penyelesaian penuh dan muktamad bagi semua kes saman itu.

    Peguam dan aktivis Siti Kassim, yang sepatutnya hadir sebagai saksi pertama dalam perbicaraan ketika dihubungi berkata, penyelesaian itu dipersetujui selepas perbincangan antara wakil kerajaan dan peguam keluarga di luar mahkamah sebelum perbicaraan.

    Pada 2018, plaintif memfailkan saman itu terhadap sembilan defendan atas perlanggaran kewajipan Perlembagaan, kewajipan statutori dan kewajipan fidusiari menyebabkan tujuh kanak-kanak Orang Asli yang bersekolah di Sekolah Rendah Pos Tohoi, Gua Musang hilang selama 47 hari.

    Mereka menamakan kerajaan Malaysia, Menteri Pendidikan, Ketua Pengarah Pelajaran, guru besar sekolah, warden asrama, Menteri Kemajuan Luar Bandar, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli, Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Daerah Gua Musang sebagai defendan.

    Tujuh mangsa terdiri daripada enam perempuan dan seorang lelaki, melarikan diri dari asrama sekolah pada 23 Ogos 2018 kerana takut dihukum selepas berenang di sungai tanpa kebenaran.

    Daripada tujuh itu, hanya Norieen Yaakob, ketika itu 11, dan Miksudiar Aluj, yang berumur 12 tahun semasa kejadian, terselamat, selepas mereka hilang selama 47 hari di dalam hutan berhampiran.

    Adik Norieen, Haikal, 8; Ika Ayel, 9; Juvina David, 7; Linda Rosli, 8, ditemui meninggal dunia selepas 47 hari manakala Sasa Sobrie, 8, tidak ditemui.

    Plaintif diwakili beberapa peguam antaranya Datuk Gurdial Singh Nijar, Andrew Yeap dan Tan Hooi Ping manakala Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi mewakili semua defendan.

  • 2 lelaki, seorang wanita ditahan positif dadah di pusat hiburan

    2 lelaki, seorang wanita ditahan positif dadah di pusat hiburan

    POLIS Pulau Pinang menahan dua lelaki dan seorang wanita di sebuah pusat hiburan, di Georgetown kelmarin kerana disyaki positif dadah jenis THC dan Benzo.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mereka yang berusia antara 22 hingga 27 tahun itu ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut yang menjalankan operasi di pusat hiburan itu kira-kira pukul 2.15 pagi.

    Jelas beliau, dalam pemeriksaan di dalam pusat hiburan tersebut, polis telah menahan seramai 50 lelaki dan 35 wanita tempatan untuk dijalankan pemeriksaan air kencing.

    “Hasil ujian air kencing itu mendapati dua lelaki serta seorang wanita terbabit positif pelbagai jenis dadah iaitu THC dan Benzo,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut Soffian, kesemua tangkapan ditahan reman mengikut Seksyen 117 kanun prosedur jenayah selama satu hari pada hari sama untuk siasatan dan telah dijamin polis.

    Ujar beliau, kes disiasat di bawah seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan pengawasan bagi tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih dari tiga tahun.

    “Orang ramai dinasihatkan tidak terlibat dengan aktiviti penggunaan dadah semasa mengunjungi pusat hiburan,” katanya.