TUN Dr.Mahathir Mohamad menegaskan, perjuangan menentang kleptokrat dan penyamun negara adalah satu ibadah.
Justeru tegas bekas Perdana Menteri itu, sebagai pemimpin beliau tidak boleh duduk diam mengarah dan menyuruh orang melakukan tanpa beliau sendiri turut melakukannya.
‘’ jika saya mahu orang lain berjuang menentang kleptokrat dan penyamun-penyamun negara saya mesti turut serta. Selagi hidup saya akan terus berjuang dan perjuangan ini masih belum selesai,’’ katanya dalam satu klip video hari.
Beliau mengulas kritikan netizen dalam media sosial yang mempersoalkan kenapa mahu bertanding lagi mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi biarpun sudah berusia 97 tahu.
Dr.Mahathir berkata, beliau sedar ada yang persoal kenapa perlu bertanding lagi di dalam pilihan raya.
‘’Tidak kurang juga yang suruh saya duduk di masjid dan buat ibadat atau duduk di rumah bermain dengan anak cucu.Pertamanya, saya masih hidup dengan rahmat Allah. Bagi saya umur panjang beri peluang kepada saya untuk terus berjuang. Tidak ada perjuangan yang lebih baik selain daripada berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air,’’ katanya.
Sehubungan itu Dr.Mahathir berkata, beliau percaya perjuangan tersebut juga adalah satu ibadah.
‘’Seperti mana yang saya diwajibkan melakukan ibadah, sama ada di masjid mahupun ibadah-ibadah yang lain. Bagi saya perjuangan itu satu ibadah dan tiada persaraan apabila melaksanakan ibadah. Itu termasuklah meneruskan perjuangan. Sebagai pemimpin saya tidak boleh duduk mengarahd dan menyuruh orang melakukan sesuatu tanpa saya sendiri turut melakukannya.
SEORANG pemandu Perodua Bezza cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di laluan Tambak Johor-Singapura, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan melibatkan sebuah lori, sebuah treler, dan dua buah kereta jenis Toyota Mark X dan Perodua Bezza.
Beliau berkata, dalam kejadian pukul 9.07 pagi itu, sebuah lori muatan pasir dari arah Bangunan Sultan Iskandar ke Singapura telah hilang kawalan lalu melanggar Toyota Mark X.
“Akibat kejadian itu, Toyota Mark X kemudian merempuh sebuah treler lalu menyebabkan treler terdorong ke hadapan dan melanggar Perodua Bezza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, ekoran kejadian tersebut, pemandu Perodua Bezza telah tersepit dan berjaya dibawa keluar oleh pihak bomba.
“Mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi menerima rawatan manakala pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Tambahnya, semua kenderaan yang terlibat didaftarkan di Malaysia dan mangsa adalah warganegara tempatan.
Katanya, kes kini disiasat dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Hafiz Jaafar Mad Arif di talian 017-5919208.
PENARIK penarik kereta didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas tiga pertuduhan memiliki sepucuk pistol bersama peluru hidup dan pistol tiruan pada 27 September lalu.
Hendrawan Aswan, 34, mohon dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Colts MK IV 70 Automatic Caliber berwarna perak dengan menyalahi undang-undang.
Perbuatan itu dilakukan dalam sebuah kereta Proton Persona Proton Saga BLM di hadapan rumah No 476, Jalan Desa Bayan 14, Taman Desa Bayanmas Bukit Kayu Hitam, pada pukul 1.30 petang 27 September.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (PLB) Penalti Lebih Berat 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara bagi pertuduhan kedua tertuduh didakwa memiliki lima biji peluru jenis A USA 45 Auto yang disembunyikan di belakang katil di dalam bilik tidur di dalam rumah di lokasi, waktu dan tarikh sama.
Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara bagi pertuduhan ketiga Hendrawan didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan jenama 18C Tactical 9X19 berwarna hitam bersama satu kelopak pistol WE Tactical buatan Taiwan berisi dua butir peluru bebola besi diletakkan di dalam almari di ruang tamu rumah.
Bagi kesalahan itu dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dimana hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syifa Mohd hamzah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Nur Syifa tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana memiliki sepucuk pistol menyalahi undang-undang.
Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
PIHAK pendakwaan kes Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd mendakwa bekas perdana menteri itu diberikan perbicaraan adil dan tiada pratimbangan dalam rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata permohonan semakan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan dipohon Najib di bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 tidak mempunyai merit dan digunakan sebagai laluan untuk rayuan lanjutan serta penyalahgunaan proses mahkamah.
“Pendapat pemohon (Najib) bahawa kes ini merupakan kes yang sesuai dan sewajarnya untuk Mahkamah Persekutuan menggunakan kuasa dan bidang kuasa sedia ada di bawah Peraturan 137 adalah salah dan tidak bermerit.
“Fakta dan hal keadaan kes ini tidak membolehkan penggunaan Peraturan 137 memandangkan kes ini tidak menunjukkan hal keadaan yang luar biasa untuk semakan dilakukan kecuali bidang kuasa ini disalahgunakan sebagai laluan untuk rayuan lanjutan,” katanya dalam afidavit jawapan difailkan untuk menjawab afidavit sokongan Najib yang diikrarkan pada 6 Sept lepas.
Mohd Ashrof, yang memfailkan afidavit jawapan itu pada 7 Okt lepas, berkata bidang kuasa sedia ada pada mahkamah tidak seharusnya digunakan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan berdasarkan merit sebaliknya akan menyebabkan tiada proses litigasi yang muktamad.
“Kes ini (semakan Najib) bukanlah kes luar biasa yang semakan semula boleh dibenarkan. Oleh itu permohonan semakan ini wajar ditolak oleh mahkamah,” katanya.
Mohd Ashrof berkata tiada alasan untuk pemohon terperanjat atau terkejut apabila Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan dan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi.
Katanya, Mahkamah Persekutuan mendapati bahawa hukuman yang dikenakan terhadap pemohon tidak berlebihan dan mengesahkan sabitan dan hukuman.
“Pihak responden (Timbalan Pendakwa Raya) juga tidak mencabar kadar hukuman dikenakan ke atas pemohon. Oleh itu, saya menyatakan bahawa tiada apa-apa tidak sah di sisi undang-undang dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan berhubung hukuman dikenakan ke atas pemohon oleh Mahkamah Persekutuan,” kata Mohd Ashrof.
Najib, 69, memfailkan permohonan bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya itu kerana menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International.
Beliau turut memohon agar diberi kebenaran menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lepas yang menolak rayuannya dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, atau penjara lima tahun.
Secara alternatif, Najib memohon agar rayuan itu didengar semula oleh korum Mahkamah Persekutuan yang baharu dan terdiri sekurang-kurangnya daripada tujuh hakim.
Najib, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, juga memohon penangguhan pelaksanaan sabitan dan hukuman sementara menunggu pendengaran permohonan semakan itu.
Afidavit Najib yang difailkan bagi menyokong permohonan itu menyatakan bahawa beliau benar-benar percaya dan telah dinasihatkan oleh peguam caranya bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan boleh disemak mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
SEORANG pengarah dan bekas timbalan pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu pembekalan makanan haiwan.
Sumber SPRM memberitahu, kedua-dua individu tersebut direman selama seminggu sehingga Rabu depan.
“Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Tuan Mohd Izdham Naim Che Ani di Mahkamah Majistret di Kota Bharu hari ini.
“Pengarah Maqis yang berusia 44 tahun itu ditahan pukul 8.45 malam tadi di pejabat SPRM Kelantan di sini.
“Lelaki itu direman bermula hari ini sehingga Rabu depan untuk siasatan lanjut,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Menurut sumber, bekas timbalan pengarah Maqis berusia 55 tahun ditahan pukul 7 malam kelmarin di pejabat SPRM Kelantan.
Sumber berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan selepas dipercayai berpakat dengan pembekal bagi mengemukakan tuntutan yang mengandungi butiran matan palsu berhubung pembekalan makanan haiwan kepada Maqis Kelantan pada Januari dan Mac lalu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana membuat tuntutan palsu.
INDIVIDU yang disahkan positif COVID-19 dengan tahap kesihatan yang tidak kritikal akan dibenarkan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, berkata bagaimanapun mereka masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti.
Beliau berkata, pihaknya sudah bermesyuarat dengan SPR bagi mengesyorkan beberapa cadangan untuk dimasukkan di dalam SOP bagi mengelak penularan wabak itu, sekali gus memastikan pilihan raya berjalan lancar.
“Kementerian Kesihatan (KKM) memang bekerjasama dengan SPR setiap kali ada PRU untuk keperluan perkhidmatan kesihatan dan sebagainya.
“Kita telah mengesyorkan beberapa cadangan untuk dimasukkan sebagai SOP pada PRU-15 kepada SPR dan ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Antara SOP itu adalah pemakaian pelitup muka, pelindung muka (face shield) dan penggunaan cecair pencuci tangan pembasmi kuman, selain ada saluran khas untuk mereka.
“Jadi, kita tengah bincang dengan SPR. Pihak SPR akan buat pengumuman dan KKM membantu dari segi pelaksanaan pilihan raya,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Hari Penglihatan Sedunia Tahun 2022 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu, Terengganu, hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, kehadiran individu yang positif itu juga akan dipantau ketat oleh kakitangan KKM yang akan bertugas di pusat mengundi di seluruh negara.
“Kakitangan kementerian juga akan menjadi sebahagian petugas PRU-15 nanti untuk memastikan perjalanannya selamat dan lancar,” katanya.
Dr. Noor Hisham berkata, tiada sebarang larangan untuk mana-mana individu yang belum mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 untuk mengundi pada PRU-15 nanti.
“Risiko jangkitan itu tetap ada bagi individu yang telah disuntik vaksin namun kesannya apabila dijangkiti sudah pasti berbeza.
“Tahap serius bagi mereka yang belum menerima vaksin mungkin lebih tinggi apabila dijangkiti berbanding individu yang sudah lengkap divaksin,” katanya.
PEMBERIAN bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang telah dinaikkan kepada RM3.50 dan RM4 mulai bulan ini tidak akan terjejas walaupun Bajet 2023 belum diluluskan Dewan Rakyat.
Jaminan itu disuarakan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin yang mengatakan kenaikan kadar itu tidak menggunakan peruntukan untuk tahun hadapan.
Sebaliknya, Radzi menjelaskan, ia menggunakan dana sedia ada untuk tahun ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi meneliti kaedah pelaksanaan terbaik untuk tahun ini.
“Kita sedang kaji dan melihat di peringkat kementerian tentang apakah pendekatan yang kita akan gunakan.Apabila kita akan laksanakan untuk tahun ini, ada peruntukan telah disediakan.
“Secara umumnya, kita sedang berbincang (jumlah) peruntukan tersebut. Biasanya bila diumumkan itu telah ada peruntukan untuk perkara tersebut dan akan duduk bincang semula dengan Kementerian Kewangan apakah kaedah pelaksanaan untuk tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat pelepasan peserta Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) peringkat ketiga Putrajaya – Genting Highlands di Dataran Putrajaya, hari ini.
Minggu lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 mengumumkan kenaikan kadar bantuan RMT buat semua penerima berkuat kuasa bulan ini.
Menurut beliau, kadar RMT dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk murid-murid di Semenanjung.
Kadar RMT untuk murid-murid di Sabah, Sarawak dan Labuan pula akan ditambah daripada RM3 kepada RM4.
Sejumlah RM777 juta disediakan iaitu peningkatan signifikan berbanding RM280 juta pada 2020.
Lebih 800,000 murid dan 7,300 pengusaha makanan serta pembekal susu tempatan akan menerima manfaat daripada penambahbaikan bantuan RMT itu.
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan tempat Datuk Suraya Yaacob yang dikosongkan bagi jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan digantikan individu lain selepas ini.
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri sudah menerima surat peletakan jawatan secara rasmi daripada Ketua Penerangan UMNO Kedah itu hari ini.
Beliau pada masa sama turut memaklumkan, tidak diberitahu alasan sebenar Suraya berbuat demikian.
“Suraya sudah serahkan fail-fail berkaitan portfolionya dan kita rancang untuk penggantian Exco baharu,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Sungai Petani, Kedah hari ini.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi ketika ditanya sama ada peletakan jawatan Suraya disebabkan spekulasi bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang itu akan bertanding kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), beliau menjawab ada kemungkinan disebabkan perkara tersebut.
Terdahulu, Suraya dalam kenyataan akhbar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Kedah yang berkuat kuasa serta-merta.
Beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah atas perkenan baginda melantiknya ke jawatan tersebut.
Ucapan terima kasih turut dirakamkan kepada barisan Exco dan kerajaan negeri serta agensi dan jabatan yang berkaitan dengan portfolionya selama ini.
SEPASANG kekasih yang juga graduan universiti ditahan bersama 58 kilogram (kg) dadah dikenali sebagai ‘mushroom’ atau ‘magic mushroom’ dianggarkan bernilai RM1.4 juta dalam serbuan polis terhadap sebuah kondominium di Jalan Seri Wangsa, Wangsa Maju di sini, Selasa lalu.
Pasangan suspek berusia 29 dan 30 tahun ditahan dalam Op Grace, hasil maklumat dan risikan terhadap kegiatan mereka selepas dikesan aktif menjual dadah dalam bentuk rokok dan cecair vape menerusi media sosial sejak tiga bulan lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, berkata dalam operasi bermula jam 6.30 petang, kedua-dua suspek pada mulanya ditahan di lobi kondominium berkenaan bersama 1kg ‘mushroom’.
“Berikutan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah unit kondominium di situ yang menjadi tempat tinggal pasangan itu, kita menemui sejumlah besar dadah terdiri 57kg ‘mushroom’ dalam beberapa guni, 17.7 gram ganja (RM885) serta 23 botol cecair vape (RM3,450) mengandungi dadah.
“Turut ditemui, 2.9kg serbuk dan 27.8 liter cecair kimia untuk memproses dadah serta pelbagai peralatan dan mesin untuk menghasilkan barang terlarang itu dan wang tunai RM300 dengan jumlah keseluruhan rampasan RM1.5 juta,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Sebahagian dadah jenis syabu bernilai RM2.8 juta yang dirampas selepas polis berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah ketika Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
Menurut Yahaya, semakan mendapati suspek lelaki yang juga seorang pemegang ijazah dalam bidang Sains Komputer membeli bekalan dadah ‘mushroom’ dari luar negara dari pembekal yang menjual bahan itu menerusi ‘dark web’.
“Bekalan dadah dibeli secara dalam talian dari sebuah negara di utara dan kemudian diproses menjadi rokok dan cecair vape di unit kondominium terbabit sebelum memasarkannya melalui media sosial dan untuk pelanggan di luar Lembah Klang, mereka menggunakan khidmat kurier.
“Suspek lelaki didapati mempelajari cara-cara memproses ‘mushroom’ sebagai rokok dan cecair vape melalui dalam talian. Teman wanitanya pula yang berkelulusan Diploma Pengurusan Hotel sebagai pembantu,” katanya lapor Berita Harian.
Yahaya berkata, hasil ujian saringan urin mendapati kedua-dua suspek negatif dan semakan mendapati suspek lelaki mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes dadah.
Katanya, semakan mendapati harga terkini sebatang rokok mengandungi 0.5 gram ‘mushroom’ dijual antara RM100 hingga RM150.
Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menahan lima individu termasuk seorang wanita asing menerusi Op Paloma dalam serbuan berasingan di Taman Desa di Kuala Lumpur, pada Selasa lalu dan merampas syabu dianggarkan bernilai RM1.3 juta.
Yahaya berkata, dua suspek lelaki tempatan berusia 30 dan 35 tahun ditahan dalam serbuan ke atas sebuah kereta di hadapan pos pengawal kondominium terbabit bersama sekilogram syabu.
Sebahagian dadah jenis mushroom yang dirampas selepas polis berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah ketika Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
“Lanjutan serbuan pertama, polis menyerbu sebuah unit rumah di kondominium sama dan menahan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga China berusia 28 hingga 60 tahun serta merampas 34kg dadah jenis syabu serta wang tunai RM3,470.
“Semakan mendapati empat suspek lelaki, masing-masing mempunyai dua rekod kesalahan jenayah dandadah, manakala ujian saringan urin mendapati kesemua suspek positif dadah,” katanya.
Menurut Yahaya, sindiket ini dipercayai memperoleh bekalan dadah dari negara jiran di utara dan dibawa ke ibu negara untuk edaran sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.
Katanya, kesemua suspek daripada kedua-dua kes ini kini direman tujuh hari sehingga 18 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini di peringkat akhir untuk menyenaraikan calon yang akan bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Naib Presidennya, Datuk Dr Radzi Jidin.
“Senarai calon sedang diteliti di peringkat akhir dan kita pilih calon terbaik yang boleh membawa kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN),” katanya yang juga pengerusi jawatankuasa pemilihan calon parti kepada media selepas melancarkan Le Tour de Langkawi (LTdL) Peringkat Ketiga Putrajaya-Genting Highlands di Putrajaya hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa 10 Oktober untuk memberi laluan kepada PRU15 selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin (tengah) bergambar bersama sebahagian pelumba pada Majlis pelepasan para pelumba Jelajah Berbasikal Le Tour De Langkawi (LTDL) 2022 di Dataran Putrajaya, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
Ditanya adakah beliau akan bertanding pada PRU15, Radzi yang juga Menteri Kanan Pendidikan berkata, beliau menunggu keputusan parti mengenai perkara itu.
“Insya-ALLAH apa sahaja diumum parti saya akan patuh dan apa yang parti minta saya akan buat,” katanya.
Radzi pada PRU14 bertanding di kerusi Parlimen Ketereh namun kalah kepada Tan Sri Annuar Musa. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Senator pada 17 Julai 2018. – Bernama