Category: Semasa

  • Silibus mata pelajaran sekolah dinilai semula selepas satu pusingan dilaksanakan – Radzi

    Silibus mata pelajaran sekolah dinilai semula selepas satu pusingan dilaksanakan – Radzi

    SILIBUS  mata pelajaran yang digunakan dalam sistem pendidikan sekolah rendah dan sekolah menengah di negara ini digunakan sejak 2017.

    Menteri Pendidikan Datuk Radzi Jidin, silibus yang diguna pakai itu adalah hasil kajian dan cadangan beberapa pihak termasuk guru-guru yang mempunyai kepakaran masing-masing.

    Beliau berkata, ketika ini Kementerian Pendidikan (KPM) sedang melakukan penilaian semula silibus sekolah rendah memandangkan tempoh pusingan penggunaanya hampir tamat.

    “Ini bukanlah sesuatu yang baharu. Menurut pendekatan selama ini yang digunakan, apabila silibus itu diperkenalkan ia akan melalui satu pusingan… maknanya untuk sekolah rendah silibus ini diperkenalkan pada tahun 2017.

    “Jadi ia akan digunakan dari 2017 hingga 2022, maka lengkaplah satu pusingan… yang Darjah Satu 2017 akan berada Darjah Enam pada 2022, lengkap satu pusingan… itu untuk sekolah rendah,” katanya kepada wartawan di Putrajaya hari ini.

     KPM juga katanya akan bersikap terbuka dengan segala pandangan dan idea daripada semua pihak termasuk guru dan juga ibu bapa dalam menentukan silibus pembelajaran yang akan digunakan.

    Beliau turut menasihatkan agar isu membabitkan silibus pembelajaran sekolah tidak dipolitikan oleh mana-mana pihak memandangkan ia membabitkan pendidikan pelajar di negara ini.

    Jelasnya beliau melihat ada kumpulan dan individu tertentu yang cuba menjadikan silibus pembelajaran sebagai isu politik dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan tidak lama lagi.

    Sabtu lalu, Mohd Fadli menerusi Facebook mendakwa dia akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

    Dia turut menyatakan bilangan murid di dalam kelas terlalu ramai, selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat.

    Menurut surat yang dimuat naik guru berkenaan, Mohd Fadli diberikan tempoh 21 hari untuk mengemukakan representasi kepada Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan bagi membela diri.

  • Radzi arah KSU KPM lapor SPRM siasat dakwaan Zaharin

    Radzi arah KSU KPM lapor SPRM siasat dakwaan Zaharin

    MENTERI Pendidikan Datuk Dr.Radzi Jidin mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian itu untuk membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat dakwaan bekas ahli UMNO,Zaharin Yassin berlaku penyelewengan dalam kontrak bekalan makan serta kebersihan bangunan serta kawasan.

    Dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini, Radzi berkata, memandangkan Zaharin mendakwa menerima aduan berhubung perkara itu dan menyebut nama beliau, Radzi mahu siasatan dijalankan segera.

    ‘Saya menerima hantaran video yang dibuat oleh Saudara Zaharin Yassin menyatakan bahawa terdapat aduan yang beliau terima tentang penyelewengan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan Surat Setuju Terima (SST) untuk kontrak bekalan makanan bermasak serta kebersihan bangunan dan kawasan.

    ‘’Memandangkan nama saya dan KSU KPM turut disentuh, saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha KPM untuk membuat laporan segera kepada SPRM supaya siasatan terhadap dakwaan tersebut dilaksanakan secepat mungkin. Saya juga berharap Saudara Zaharin dapat menyampaikan maklumat yang diterima beliau kepada SPRM,’’ katanya.

  • Keputusan Lembaga Tatatertib berhubung isu guru Mohd Fadli esok – Radzi

    Keputusan Lembaga Tatatertib berhubung isu guru Mohd Fadli esok – Radzi

    LEMBAGA Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan yang bersidang hari ini berhubung isu guru Matematik Mohd Fadli Mohamed Salleh akan memaklumkan keputusan dicapai kepada guru terbabit esok.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata keputusan akan diumumkan kepada Mohd Fadli melalui ketua jabatan guru Matematik itu sendiri.

    “Persidangan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan berhubung isu tersebut baru sahaja tamat  dan esok urus setia akan sampaikan keputusan kepada cikgu (Mohd Fadli),” katanya kepada pemberita semasa menghadiri program sukan ‘Touch’ di sini hari ini.

    Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali berkata Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan dijadualkan bersidang hari ini selepas menerima representasi yang dikemukakan oleh Mohd Fadli pada 14 Okt.

    Pkharuddin berkata surat yang diterima Mohd Fadli tidak membawa maksud hukuman telah dijatuhkan oleh Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan.

    Sebelum ini, Mohd Fadli mendakwa beliau berdepan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

    Beliau dalam hantaran di laman Facebook turut menyatakan bilangan murid di dalam kelas terlalu ramai selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat yang didakwa boleh memudaratkan kesihatan.

    Mengulas isu yang dibangkitkan oleh Mohd Fadli, Radzi berkata perkara yang diutarakan guru Matematik itu telah diambil tindakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

    Beliau berkata sebagai contoh isu beg berat yang menyaksikan KPM pada 6 Mac lepas telah memperkenal tujuh inisiatif bagi menangani perkara itu antaranya penyusunan jadual waktu dan pemasangan lokar.

    Radzi juga berkata silibus ketika ini adalah yang diperkenal pada 2017.

    “Saya telah jelaskan banyak kali yang KPM terbuka dan ambil pandangan semua pihak berhubung isu silibus ini, kita sentiasa semak silibus ini,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan ahli politik untuk tidak menggunakan isu silibus sebagai modal kempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

    “Ahli politik jangan politikkan isu silibus kerana KPM memang sentiasa semak silibus ini dan kita mahukan yang terbaik.

    “ …contohnya Undi18 dan silibus Matematik terlalu susah memang kita semak semula,” katanya sambil menambah KPM sentiasa bertemu guru bagi memperbaiki silibus pendidikan negara.

    — BERNAMA

  • ‘’Tiada isu antara saya dan Zahid’’ – PM

    ‘’Tiada isu antara saya dan Zahid’’ – PM

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mempunyai sebarang isu atau berlaku perpecahan seperti dakwaan atau tohmahan sesetengah pihak.

    Naib Presiden UMNO itu berkata adu domba mengenai perkara tersebut adalah lebih kepada misi untuk memecahkan mereka yang kelak menguntungkan pihak bertanggungjawab membuat tohmahan terutama pada musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

    “Saya beri jaminan tiada isu antara saya dan Ahmad Zahid Hamidi tetapi (wujud) ‘nasi-nasi tambah’ di luar sana sebenarnya kerana apabila kita berpecah, yang untung mungkin mereka.

    “Pepatah Melayu menyatakan ‘antan sama antan berlaga, ayam di tepi kekenyangan.’ Kita berlaga, dia untung. Jadi marilah kita bersatu, biarkan dia yang rugi,” katanya semasa melancarkan Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran BN di Kompleks UMNO Bagan Datuk hari ini yang dihadiri pelbagai lapisan pemimpin komponen, parti serta masyarakat setempat.

    Ismail Sabri berkata apabila timbul pelbagai perkara dan persepsi luar berkaitan fitnah perpecahan tersebut, beliau dan Ahmad Zahid duduk berbincang bagi menghentikan serta menepis persepsi jahat itu.

    Justeru, beliau berkata adalah penting bagi BN untuk terus bersolidariti mengukuhkan perpaduan yang ada agar tidak lemah diserang tohmahan mana-mana pihak khasnya kem pembangkang.

    Sementara itu Ismail Sabri berkata, Ismail Sabri berkata BN hadir pada PRU15 bukan sekadar untuk bertanding tetapi mahu menang dengan majoriti lebih besar agar mudah menguasai Putrajaya seterusnya membuat pelbagai keputusan bersama-sama parti komponen.

    “Kita kena pastikan BN menjadi parti dominan kerajaan yang akan dibentuk. Jika BN memenangi 30 hingga 40 kerusi sahaja, kita tidak akan kuasai Kabinet.

    “Sekurang-kurangnya 80 kerusi atau dua pertiga barulah kita ada kuasa kita dan orang akan dengar cakap kita. Kalau parti tidak kuat, tidak dominan, susah untuk kita membuat keputusan dan menguasai Putrajaya,” katanya.

    Beliau berkata pembubaran Parlimen adalah bagi memberi laluan kepada PRU15 supaya rakyat boleh memilih kerajaan baharu namun niat itu disalah erti oleh kem pembangkang.

    “Apabila bubar Parlimen, pembangkang sepatutnya seronok kerana pelbagai tuduhan dibuat tentang keabsahan kerajaan yang ada.

    “Jadi biar rakyat tentukan siapa jadi kerajaan. Tiba-tiba mereka tidak setuju dengan pembubaran Parlimen sehingga mahu diisytiharkan sebagai tidak sah di mahkamah. Saya tidak faham apa mereka mahu sebenarnya,” kata beliau.

    — BERNAMA

  • Inap desa jadi stor simpanan dadah diserbu, dadah bernilai RM10j dirampas

    Inap desa jadi stor simpanan dadah diserbu, dadah bernilai RM10j dirampas

    HELAH sindiket pengedaran dadah yang aktif di Lembah Klang dengan menjadikan rumah inap desa sebagai stor simpanan dadah berjaya dibongkar polis selepas pihak berkuasa itu menyerbu sebuah premis di Kajang, 13 Oktober lalu.

    Ini susulan Op Leslie yang dilancarkan polis sehingga membawa kepada penahanan lima suspek sekali gus membawa kepada rampasan 213 kilogram syabu dan 33 kilogram pil erimin 5 bernilai RM10.1 juta.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, serbuan bermula pukul 12 tengah hari hingga 3.15 petang itu dijalankan hasil maklumat susulan tangkapan lima individu di sebuah kondominium di Taman Desa, di Kuala Lumpur, 13 Oktober lalu.

    “Lanjutan itu, kami membuat serbuan di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun.

    “Dalam serbuan kedua di hadapan pos pengawal sebuah taman perumahan di Bandar Damai Perdana, Kajang pula, kami menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

    Azmi berkata, hasil tangkapan itu, pihaknya membuat serbuan di sebuah unit kediaman inap desa di Bandar Damai Perdana sebelum menemui 206 bungkusan teh Cina mengandungi dadah jenis syabu seberat 213 kilogram (kg) dan 112,000 pil erimin 5 seberat 33 kg.

    “Kami turut membuat sitaan harta membabitkan wang tunai sebanyak RM70,000 dan dua kereta jenis Toyota Altis serta sebuah Kia Forte.

    “Ini menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dadah yang boleh dibekalkan kepada 538,000 penagih itu serta sitaan harta berjumlah RM10.1 juta,” katanya.

    Beliau berkata, siasatan awal dilakukan mendapati sindiket berkenaan menjadikan inap desa itu sebagai stor simpanan dadah sejak dua bulan lalu.

    “Kami percaya sindiket ini sentiasa mengubah lokasi simpanan dadah yang dipercayai diperoleh dari utara tanah air bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

    “Setakat ini, kami percaya dadah berkenaan dipasarkan di sekitar Lembah Klang. Namun, siasatan lanjut sedang dijalankan sama ada ia dijual bagi pasaran luar Lembah Klang atau luar negara,” katanya.

    Mengulas lanjut Azmi berkata, semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek berkenaan mempunyai rekod berkaitan dadah selain ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methaphetamin.

    “Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari hingga 21 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Rogol adik ipar: Pemandu lori dipenjara 20 tahun, 20 sebatan

    Rogol adik ipar: Pemandu lori dipenjara 20 tahun, 20 sebatan

    SEORANG pemandu lori dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 20 kali sebatan, selepas gagal dalam rayuan mengenepikan sabitan atas dua pertuduhan merogol adik iparnya.

    Panel Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah, menolak rayuan lelaki itu selepas mendapati rayuannya itu tidak mempunyai merit.

    Bagaimanapun, mahkamah membenarkan rayuan lelaki berusia 33 tahun itu untuk mengurangkan tempoh hukuman penjara daripada 15 tahun kepada 10 tahun bagi setiap sabitan.

    Ketika menyampaikan keputusan itu, Hakim Kamaludin menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan sebat 10 kali terhadap lelaki itu bagi setiap sabitan dan mengarahkan hukuman itu dijalankan secara berturut-turut, menjadikan lelaki itu dikenakan hukuman penjara 20 tahun.

    Sebelum ini Mahkamah Sesyen pada 3 Julai 2019 mendapati lelaki itu bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan 20 sebatan kerana merogol seorang remaja berusia 14 tahun dalam dua kejadian berasingan dalam sebuah rumah di Pasir Puteh, Kelantan pada Februari 2018 dan 19 April 2018.

    Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 kali sebatan untuk setiap pertuduhan dan mengarahkan beliau menjalaninya secara berturut-turut.

    Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, iaitu barang siapa melakukan rogol ke atas seseorang perempuan di mana hubungan perempuan itu dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan, untuk berkahwin dengan perempuan itu, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari lapan tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan bolehlah dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan.

    Sebelum Mahkamah Tinggi pada 23 Nov tahun lepas, juga menolak rayuan lelaki itu.

    Mengikut bukti dikemukakan pihak pendakwaan, lelaki tersebut merupakan bekas suami kepada kakak mangsa dan pasangan itu telah bercerai enam tahun selepas kejadian rogol itu dilaporkan kepada polis.

    Dalam penyataan pembelaannya, lelaki itu berkata beliau ada bertemu dengan mangsa pada kedua-dua tarikh tersebut, namun menafikan telah merogol remaja itu.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, manakala pembelaan oleh peguam Datuk Geethan Ram Vincent dan Eu Kah Mun. – BERNAMA

  • Strategi ‘Kita Jaga Kita’ elemen penting Perikatan Nasional – Faiz Na’aman

    Strategi ‘Kita Jaga Kita’ elemen penting Perikatan Nasional – Faiz Na’aman

    STRATEGI  ‘kita jaga kita’ adalah elemen terpenting bagi memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), khususnya di 27 kerusi kritikal yang ditandingi. 

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman, berkata memandangkan jalan ke arah rundingan membabitkan ketiga-tiga parti Melayu terbesar, iaitu UMNO, Pas dan Bersatu sukar dicapai, maka tumpuan perlu diberikan untuk mengukuhkan kerjasama membabitkan semua parti yang bekerjasama melalui PN. 

    “Secara peribadi, saya berpandangan patut wujud rundingan (UMNO, Pas, Bersatu) dari awal lagi. Namun, ia mungkin agak terlewat terutama apabila Bersatu sudah isytihar BN sebagai musuh utama dalam PRU ini, manakala UMNO pula melaungkan ‘No PPBM’ dalam Perhimpunan Agung UMNO selama dua tahun berturut-turut. 

    “Saya fikir, Pas perlu realistik dalam hal ini bahawa Bersatu tidak akan berkompromi dengan UMNO yang didominasi kluster mahkamah,” katanya lapor Berita Harian.

    Beliau saranan pihak tertentu, termasuk penganalisis politik supaya UMNO-BN, Pas dan Bersatu-PN berunding sebelum penamaan calon bagi mengelakkan pertembungan di 27 kerusi kritikal. 

    Rundingan itu dikira penting dalam usaha mengelakkan 27 kerusi panas itu menjadi milik PH, seperti berlaku pada PRU-14. 

    Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, pengukuhan kerjasama gabungan PN, terutama bagi menambat hati rakyat adalah usaha paling ideal untuk dilakukan ketika ini. 

    “Penting untuk menambat hati rakyat supaya menolak pihak yang ultra liberal dan korup dalam PRU ini. 

    “Kita patut jaga sesama kita, jangan fikir pasukan lain. Perlu realistik dan ikut ketetapan kepemimpinan tertinggi Perikatan Nasional melalui musyawarah dalam Majlis Tertinggi PN,” katanya.

  • Dua remaja maut, motosikal bergesel di lebuh raya

    Dua remaja maut, motosikal bergesel di lebuh raya

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA remaja lelaki maut dalam kemalangan melibatkan empat motosikal di Kilometer 111.3, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan dekat Sungai Petani, Kedah, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu mengakibatkan kedua-dua mangsa yang berusia 19 dan 16 tahun maut di lokasi kejadian.

    Katanya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

    “Siasatan awal dijalankan mendapati kesemua motosikal tersebut ditunggang secara laju dalam jarak dekat sebelum hilang kawalan dan bergesel sesama sendiri.

    “Kejadian itu mengakibatkan motosikal berkenaan terbabas ke tengah-tengah laluan lebuh raya dengan dua daripada mereka meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

    Tamabhnya, dua lagi mangsa yang berusia 18 dan 19 tahun, dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bagi mendapatkan rawatan.

    Katanya seorang daripada hanya mengalami kecederaan ringan dan ditempatkan di zon hijau manakalah seorang lagi turut mengalami kecederaan parah menyebabkannya dimasukkan ke zon kuning.

    “Mayat kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke unit forensik HSAH untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Lelaki Korea Selatan cedera, terjatuh dari puncak air terjun

    Lelaki Korea Selatan cedera, terjatuh dari puncak air terjun

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki warganegara Korea Selatan cedera di bahagian tulang belakang dan beberapa anggota badan setelah terjatuh dari puncak air terjun Telaga Tujuh, dekat Gunung Mat Chincang dekat Langkawi, tengah hari tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1 tengah hari.

    “Jarak daripada kaki Gunung Mat Chincang ke puncak tersebut dianggarkan 90 meter dan mengambil masa sejam untuk didaki. Setibanya di lokasi, didapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang dan serviks.

    “Pihak bomba terlebih dulu memberi rawatan awal kepada mangsa dikenali sebagai Hyun Seung, 52, di lokasi. Dia kemudiannya dibawa turun menggunakan pengusung,” katanya.

    Tambahnya, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan lanjut.

  • Juruteknik mengaku bersalah tumbuk adik

    Juruteknik mengaku bersalah tumbuk adik

    SEORANG juruteknik mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas pertuduhan menumbuk muka dan lengan adik perempuannya minggu lepas.

    Majistret Syahrul Sazly Md Sain membenarkan Muhamad Farhan Mat Sahid, 31, diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Nov ini untuk menjatuhkan hukuman dan penyediaan fakta kes.

    Muhamad Farhan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nadiah Husna, 24, dengan menumbuk di muka dan kedua-dua lengan wanita itu di sebuah rumah di Taman Rakan di sini, 11 malam 13 Okt lepas.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran mencadangkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana bapanya mengalami strok dan ibunya baru dibenarkan keluar hospital. – BERNAMA