Category: Semasa

  • Rasuah: Pengurus kanan syarikat pembinaan ditahan SPRM

    Rasuah: Pengurus kanan syarikat pembinaan ditahan SPRM

    SEORANG pengurus kanan syarikat pembinaan dan penyelenggaraan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menerima rasuah berjumlah RM72,000 bagi membantu proses pinjaman daripada sebuah agensi kerajaan berjumlah RM5 juta.

    Suspek lelaki berusia 53 tahun itu ditahan kira-kira 6 petang semalam di Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya bagi membantu siasatan.

    Menurut sumber, suspek tersebut dipercayai menerima wang rasuah itu daripada seorang pengarah urusan sebuah syarikat lain untuk membantu proses kelulusan permohonan pinjaman syarikat berkenaan.

    “Syarikat pembinaan dan penyelenggaraan tempat suspek berkhidmat itu merupakan anak syarikat agensi kerajaan tersebut,”kata sumber itu, lapor FMT

    Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Mohd Anuar Ismail, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

    Katanya, suspek juga telah dibebaskan dengan jaminan SPRM setelah selesai keterangan diambil.

  • ‘’Tak perlu pecat, kami pun ada maruah…boleh letak jawatan awal’’ – Latiff

    ‘’Tak perlu pecat, kami pun ada maruah…boleh letak jawatan awal’’ – Latiff

    ‘’Kami masih lagi anggota Kabinet sementara, belum terlambat untuk memecat kami. Mungkin Perdana Menteri Ke-9 boleh cipta sejarah pecat Kabinet ketika ‘masa kecederaan’.’’

    Demikian tegas Menteri di Jabatan Perdana (Tugas-Tugas Khas), Datuk Abd Latiff Ahmad yang tidak senang dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu memecat menteri yang tidak setuju dengan pembubaran Parlimen.

    Abdul Latiff menegaskan, Ismail Sabri tidak perlu mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana menteri boleh meletak jawatan lebih awal kerana mempunyai maruah.

    “Perkataan seperti “pecat menteri” walaupun itu kenyataan gurau dan sinikal, tidak perlu dicakapkan dałam program politik. Memang kita tahu Perdana Menteri mempunyai kuasa “hire and fire” (lantik dan pecat), namun kami pun ada maruah. Tidak perlu pecat kami, kami pun boleh letak jawatan lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan.

    Abdul Latiff mengulas kenyataan Ismail Sabri di Bagan Datuk yang menegaskan, kuasanya boleh memecat 12 menteri Perikatan Nasional (PN) yang mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Aging bagi membantah pembubaran Parlimen.

    “Saya bawa dalam (mesyuarat) Kabinet supaya Kabinet tahu niat saya (untuk) membubarkan Parlimen. Memanglah ada pelbagai pandangan, tetapi akhirnya saya membuat keputusan. Saya beritahu dia orang kalau ‘you all’ tak setuju, saya bubarkan saja Kabinet ini. Silap, patutnya saya pecat semua sekali, tapi saya tidaklah seperti itu. Saya orangnya baik, lemah lembut, tetapi bukan lembut,” kata Ismail.

    Pada 11 Oktober  lalu sehari selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen, Ismail Sabri dalam kenyataan  berkata, tindakan tidak wajar 12 menteri Kabinet yang mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong mencetuskan ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.

    Perdana Menteri berkata, tindakan menteri terbabit jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya diperkenan Yang di-Pertuan Agong, sekali gus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.

    Beliau berkata, bahkan sejak akhir-akhir ini ada dalam kalangan Jemaah Menteri yang membuat kritikan secara terbuka terhadap keputusan dan dasar kerajaan.

    “Malah, tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan musuh utama PN adalah Barisan Nasional (BN) mengundang bibit-bibit perpecahan, sedangkan partinya turut menganggotai kerajaan. Muhyiddin juga selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) pernah membuat kenyataan yang menyarankan supaya Parlimen dibubarkan keraan mendakwa kerajaan gagal dalam menguruskan negara dan ekonomi dengan baik,” katanya.

    Ismail Sabri membuat kenyataan itu selepas tindakan memohon pembubaran Parlimen dikecam hebat oleh rakyat memandangkan negara akan berhadapan dengan musim banjir depan.

    Dua hari selepas membuat kenyataan pertama, pada 13 Oktober Ismail Sabri berkata, beliau tidak menyalahkan 12 menteri PN itu.

    Beliau berkata, walaupun perbuatan itu disifatkan sebagai tidak wajar, menteri terbabit hanya mengikut arahan parti masing-masing.

    “Seperti yang dikatakan (Menteri Dalam Negeri) Datuk Seri Hamzah Zainudin, semalam, ia juga adalah hasil keputusan parti. Ini bermakna, dia bergantung pada keputusan parti, ada pengaruh daripada Presiden parti, dan menteri Kabinet daripada Bersatu tidak boleh dipisahkan dengan pengaruh terbabit.

    “Maknanya, dia menerima arahan daripada Presiden parti. Parti arahkan tulis surat. Walaupun tidak wajar, mereka tulis surat kerana arahan daripada parti. Ini diakui oleh Hamzah, dan tidak salahkan mereka mengikut arahan parti, sebab itu adalah arahan parti,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pembukaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), di Shah Alam.

  • Pengeluaran tender balak di HSK: Peka anggap PH hipokrit

    Pengeluaran tender balak di HSK: Peka anggap PH hipokrit

    SEBUAH pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan kekecewaan mereka terhadap pengumuman Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan yang membuka tender membalak dalam kawasan hutan simpan kekal (HSK) di negeri terbabit.

    Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) dalam satu kenyataan berkata, ketika negara dilanda pelbagai bencana alam akibat kegagalan pengurusan hutan, Negeri Sembilan sepatutnya melindungi khazanah alam negeri supaya menjadi benteng perlindungan daripada ancaman pemanasan global dan perubahan iklim yang menjana cuaca ekstrim sekarang.

    “Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim boleh dikatakan hipokrit kerana membiarkan pembalakan di negeri pentadbiran mereka,” kata Peka, lapor Malaysiakini hari ini.

    Peka berkata, sebelum ini Anwar selaku ketua pembangkang pernah meminta NGO berkaitan alam sekitar menghantar soalan berkaitan kepadanya untuk dibangkitkan di Dewan Rakyat.

    Anwar juga kata Peka, pernah menjemput NGO alam untuk menghadiri Simposium Pemanasan Global dan Perubahan Iklim di Parlimen, namun pada masa sama Negeri Sembilan yang ditadbir PH sendiri mempromosikan tender “mengeluarkan balak di hutan simpan kekal” di negeri berkenaan.

    Mengiringi kenyataan Peka itu ialah iklan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan mengenai notis bertarikh 5 Okt lalu yang mempelawa tawaran kontrak untuk mengeluarkan balak dari beberapa petak di hutan simpan Lenggeng dan hutan simpan Gapau.

    Notis itu menyatakan, tender tersebut melibatkan kawasan seluas 94.66 hektar atau bersamaan dengan lebih 130 padang bola sepak.

    Menurut notis tersebut, tender berkenaan adalah untuk membuka laluan kepada kerja-kerja pembinaan jalan di antara Kampung Ganu dan Ulu Beranang.

    Tawaran untuk tender berkenaan hendaklah dikemukakan sebelum tengah hari 26 Okt ini.

  • Ismail, Muhyiddin, Anwar mampu terajui negara – Musa Hitam

    Ismail, Muhyiddin, Anwar mampu terajui negara – Musa Hitam

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disifatkan sebagai pemimpin yang mampu menerajui negara ini.

    Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam ketika menggariskan nama terbabit berkata, tiga pemimpin itu dilihat memiliki kualiti, daya tahan serta karisma dalam memimpin negara mengharungi cabaran kini.

    Beliau menegaskan dalam keadaan dunia begitu mencabar sekarang, negara amat memerlukan kepimpinan bertaraf dunia.

    “Ketika ini, negara kita sangat kekurangan pemimpin-pemimpin yang mampu berdepan pelbagai cabaran dunia kini. Malaysia sangat memerlukan pemimpin berkualiti, berpengalaman dan tabah berani dalam menghadapi apa jua cabaran yang datang.

    “Sekarang nampaknya memang kita mengalami kekurangan pemimpin yang boleh dikatakan ‘top class’.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob GAMBAR: Warta Rakyat

    “Saya hendak membuat satu analisis. Pemimpin pilihan peribadi saya yang saya lihat mampu memimpin negara dalam keadaan mencabar ini ada tiga nama, iaitu Ismail Sabri, Muhyiddin dan Anwar. Mereka ini berkebolehan memimpin negara dalam keadaan sekarang yang penuh kecelaruan,” katanya lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada Program Bicara Tokoh: Kecelaruan Politik Malaysia anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Johor, di Kota Tinggi hari ini.

    Hadir sama ialah Yang Dipertua MUBARAK Johor, Datuk Abdullah Md Ali.

    Seterusnya, Musa yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO turut menamakan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebagai pemimpin muda berpotensi.

    Katanya, beliau tertarik pada MUDA dan ideologi Syed Saddiq.

    “Saya berpeluang bercakap dengan dia (Syed Saddiq). Dia ada idea bagus, ini pandangan saya tanpa prejudis dan tidak berpihak. Saya lihat dia ada keterujaan dan idealisme tersendiri. Orang di luar memang berkata macam-macam mengenai dia. Namun pada saya, dia mewakili golongan pemimpin masa depan.

    “Dia juga ada pengikut ramai. Untuk dia menang kerusi atau mendapat dua tiga kerusi menerusi MUDA, bukan satu masalah,” katanya.

    Dalam pada itu, Musa berkata, kecelaruan politik yang sedang dialami negara disifatkan ibarat ‘politik kartun’.

    “Saya hendak cakap terus-terang, setiap kali saya menghadapi kritikan (daripada orang luar), berikutan keadaan politik dalam negara yang bercelaru ini, mereka cakap keadaannya seperti ‘politik kartun’.

    “Keadaan politik negara macam hiburan pula, jadinya dengan kita (ahli politik) diketawakan,” katanya.

  • ‘Peluru BN’: Bukti niat jahat hasil siasatan buku Tommy

    ‘Peluru BN’: Bukti niat jahat hasil siasatan buku Tommy

    BEKAS Presiden Majlis Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan berkata pengakuan Perdana Menteri sementara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mencemarkan hasil siasatan terhadap buku bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

    Ia susulan kenyataan Ismail Sabri mengenai keinginannya supaya laporan hasil siasatan pasukan petugas khas itu digunakan sebagai ‘peluru Barisan Nasional’ (BN) untuk menyerang Pakatan Harapan (PH), kata Ambiga menurut Mkini.

    Beliau dipetik sebagai berkata serangan terhadap bekas peguam negara berkenaan adalah sesuatu yang baharu dan tidak pernah terjadi sebelum ini.

    Ambiga juga menganggap langkah diambil Ismail Sabri tersebut sebagai suatu bentuk serangan ke atas pentadbiran sistem kehakiman negara.

    “Untuk mengakui ia (laporan siasatan) memang disediakan untuk menjadi peluru politik membuktikan wujud niat jahat di sebaliknya.

    “Sebarang siasatan yang dijalankan kini tercemar kerana ini jelas merupakan penindasan politik,” kata Ambiga melalui Twitter yang dipetik MKini.

    Dalam perhimpunan BN di Bagan Datuk semalam, Ismail Sabri mengakui dia bersetuju menyahklasifikasi laporan siasatan Putrajaya terhadap buku Thomas, My Story: Justice in the Wilderness, agar ia boleh dijadikan ‘peluru politik’ bagi menyerang PH, lapor Mkini.

    Beliau mengakui telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tengku Jaafar, untuk menyiarkan laporan itu di laman web kerajaan.

    “Saya dah beri ‘peluru’… contohnya kita sudah dedahkan kepada umum tentang laporan oleh jawatankuasa khas, menyiasat Tommy Thomas.

    “Saya dah beri peluru banyak-banyak. Saya sudah minta kepada menteri undang-undang supaya keluarkan dalam laman web Menteri Undang-Undang di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) secara terperinci mengenai apa dilakukan dan kesalahan-kesalahan oleh Tommy Thomas,” katanya menurut Awani.

    Sebelum ini, laporan 822 muka surat itu dibentangkan kepada Kabinet pada 30 September lalu selepas pasukan petugas itu menyelesaikan siasatan terhadap dakwaan dalam buku Tommy.

    Antara lain, Tommy didakwa tidak mempunyai pengalaman untuk mengendalikan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan satu-satunya penyelesaian yang diambilnya untuk menangani kelemahannya ialah melantik peguam luar.

    Pasukan itu juga berpendapat Tommy mungkin melanggar undang-undang dan peraturan termasuk Seksyen 124I dan 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 23 Kanun Keseksaan Malaysia, Akta Suruhanjaya Rasuah, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, dan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

    Susulan itu, Polis Diraja Ma­laysia (PDRM) dilapor mencadangkan Tommy didakwa di mahkamah, dan telah mengemukakan empat kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) berhu­bung dakwaan salah laku bekas Peguam Negara itu.

  • Polis panggil Tommy Thomas, Jeyakumar rakam percakapan

    Polis panggil Tommy Thomas, Jeyakumar rakam percakapan

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael Jeyakumar Devaraj yang didakwa menyentuh isu berbaur perkauman dalam sebuah forum, bulan lepas.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata mereka akan dipanggil untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat.

    “Siasatan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

    Sebelum ini, dilaporkan polis menerima aduan mengenai kenyataan Tommy dan Dr Jeyakumar dalam ucapan mereka di forum bertajuk Dark Forces Towards GE15 yang diadakan pada 17 Sept lepas anjuran Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di sini.

    Kedua-duanya merupakan antara ahli panel forum itu. – BERNAMA

  • Tak jadi lawan anak murid, Anwar kembali ke Permatang Pauh?

    Tak jadi lawan anak murid, Anwar kembali ke Permatang Pauh?

    TEKA-teki kerusi Parlimen bakal ditandingi Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bakal terjawab tidak lama lagi selepas difahamkan beliau sudah memuktamadkan keputusannya.

    Presiden PKR itu sebelum ini masih mengintai kerusi Parlimen yang sesuai untuk ditandinginya, malah terdapat cabaran agar beliau bertanding di tempat anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk tetapi tidak diambil serius disebabkan mahu menjaga hubungan baik antara kedua-dua mereka.

    Terbaharu, sebuah portal melaporkan Anwar hampir pasti tidak akan kekal bertanding di Port Dickson sebaliknya bakal kembali ke kerusi lamanya di Permatang Pauh pada PRU-15 ini.

    “Sebagai calon perdana menteri, mereka (ahli strategi PKR) sedar perlu ada simbol untuk menunjukkan Anwar mempunyai sokongan orang Melayu.

    “Dengan memilih Permatang Pauh, Anwar bukan sahaja menunjukkan beliau akan kembali ke kawasan pengundinya, bahkan mendapat sokongan Melayu,” menurut laporan MalaysiaNow yang memetik sumber dalaman berhubung keputusan untuk meletak Anwar di Permatang Pauh.

    Untuk rekod, Anwar sebelum ini dikatakan berhasrat bertanding di kerusi Tambun dan juga tempat bekas Timbalan Presiden PKR di Gombak.

    Bagaimanapun, kerusi tersebut berisiko memandangkan penyandang kedua-dua kerusi tersebut dilihat masih berpengaruh dan mempunyai penyokong kuat.

    Walaupun terdapat pelbagai spekulasi berhubung kerusi mana Anwar akan bertanding, terdapat juga cadangan yang mahu Ketua Pembangkang itu melawan anak muridnya di Bagan Datuk.

    Umum mengetahui hubungan baik kedua-dua cikgu dan anak murid tersebut, ia memandangkan sebelum ini tular klip audio mesra mereka berbincang strategi politik semasa mahu menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    Permatang Pauh, kerusi luar bandar di Pulau Pinang, dianggap sebagai kubu tradisi Anwar.

    Beliau membuat penampilan sulung di Parlimen sebagai pemimpin muda UMNO pada 1982 selepas menang di kerusi itu.

    Selepas dipecat daripada kerajaan pada 1998, kerusi itu ditandingi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada tahun berikutnya.

    Wan Azizah kekal mempertahankan kerusi itu sehingga 2008, selepas beliau meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen untuk membenarkan suaminya bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

    Pada pilihan raya 2018, ketika Anwar sedang menjalani hukuman penjara kedua atas kesalahan liwat, kerusi itu ditandingi oleh anak sulungnya Nurul Izzah.

    Namun, pada tahun yang sama presiden PKR yang mendapat pengampunan diraja tidak kembali ke kerusi tersebut sebaliknya memaksa Pilihan Raya Kecil Port Dickson bagi membolehkan beliau membuat kemunculan semula di Parlimen pada 2018.

  • Didapati tak bersalah, Cikgu Fadli ucap syukur, terima kasih

    Didapati tak bersalah, Cikgu Fadli ucap syukur, terima kasih

    “SAYA bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan kepada saya tidak kira bangsa dan agama kerana mereka faham dan tahu saya dizalimi,” kata guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh dalam reaksinya selepas didapati tidak bersalah oleh Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan terhadap tiga pertuduhan ke atasnya.

    Mohd Fadli atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli menjelaskan, maksud dizalimi itu ialah tidak sepatutnya tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat dikenakan ke atasnya, walaupun mungkin ada salah silap daripada pihaknya sendiri.

    Beliau yang kini tular berikutan lantang membicarakan kepincangan sistem pendidikan di negara ini bagaimanapun berkata, perjuangannya untuk merubah silibus pembelajaran yang dakwanya terlalu tinggi dan tidak sesuai akan diteruskan.

    “Itu adalah perjuangan asal saya dan saya mahukan perubahan dalam pendidikan. ‘Kerosakan’ itu perlu dibaiki tetapi bukan semuanya ‘rosak’, kerana masih ada yang baik lagi.

    “Saya juga mengucapkan terima kasih kepada peguam, Nor Zabetha Muhamad Nor yang mewakili saya dalam kes ini,” kata guru sekolah rendah di Gombak, Selangor itu lapor Harian Metro.

    Sementara itu, satu surat daripada Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan mendedahkan yang mana ia memutuskan ketiga-tiga pertuduhan terhadap Mohd Fadli didapati tidak bersalah dan dibebaskan daripada tindakan tatatertib.

    Surat berkenaan ditandatangani Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

    Cikgu Fadli, guru sekolah rendah di Gombak, Selangor tiga hari lalu berkongsi surat tindakan diterimanya di Facebook, susulan kelantangan beliau membantah silibus subjek Matematik bagi murid sekolah rendah, yang disifatkan terlalu tinggi dan tidak berpadanan dengan keupayaan pelajar.

    Beliau juga sebelum ini kerap menyuarakan kebimbangan mengenai berat beg sekolah yang terpaksa ditanggung murid, akibat kepadatan jadual pembelajaran.

  • Imigresen cekup ejen seludup PATI negara jiran

    Imigresen cekup ejen seludup PATI negara jiran

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warga Kemboja disyaki ejen penyeludup migran ditahan bersama lima pendatang asing tanpa izin (PATI) di Terminal Bas Shah Alam, Shah Alam, kelmarin.

    Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, mereka semua ditahan dalam satu operasi khas.

    “PATI berkenaan dikenakan bayaran sekitar RM5,000 ke RM6,000 setiap seorang oleh ejen di negara jiran.

    “PATI yang diseludup dipercayai baharu masuk ke negara ini secara tidak sah melalui ‘lorong tikus’ di sempadan Malaysia-Thailand.

    “Pasukan operasi telah mengesan sekumpulan 6 orang warga asing yang disyaki ejen dan PATI yang diseludup berada di dalam terminal bas dan menahan mereka sejurus keluar dari terminal sekitar jam 7 petang,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Khairul Dzaimee berkata, kesemua PATI berkenaan menaiki bas ekspres dari negeri berhampiran sempadan ke Shah Alam sebelum dibawa ke Kuala Lumpur.

    Menurutnya, hasil soal siasat mendapati mereka masuk ke dalam negara pada 15 Oktober lalu menggunakan jalan yang tidak diwartakan.

    “Semakan ke atas ejen warga Kemboja mendapati beliau telah masuk ke negara ini pada Julai dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).

    “Sindiket ini dikesan mula beroperasi sejak pintu sempadan negara mula dibuka semula selepas ditutup akibat pandemik Covid-19,” jelasnya.

    Beliau berkata, lelaki warga Kemboja berusia 47 tahun itu dipercayai menerima upah sekitar RM300 hingga RM500 daripada ejen di negara jiran untuk menguruskan kemasukan PATI terbabit.

    “Kesemua PATI berusia lingkungan 18 hingga 44 tahun dan ejen berkenaan ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/63,” ujar beliau.

  • ‘Tak perlu heboh diri keturunan nabi’ – Idris

    ‘Tak perlu heboh diri keturunan nabi’ – Idris

    TIADA keperluan untuk individu yang mendakwa dirinya berketurunan Rasulullah SAW untuk memaklumkan identitinya di khalayak ramai, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

    Menurutnya, tidak mendatangkan sebarang kesan signifikan jika bertemu dengan individu tersebut.

    Beliau berkata, masyarakat sepatutnya belajar untuk menyayangi Rasulullah SAW, keluarga baginda dan mencintai al-Quran seperti yang diajarkan.

    “Tiada makna pun kalau kita dapat bertemu anaknya, tidak memberikan apa-apa kesan pun.

    “Jadi perkara ini menimbulkan kekeliruan, kekeruhan dan kadang-kadang tidak mempunyai faedah dari segi konsep.

    “Sepatutnya kita bincang bagaimana untuk sayangi nabi, keluarga baginda dan baca al-Quran,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian selepas program Multaqa Murabbi Ummah (MMU) Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

    Dalam pada itu, Idris menasihatkan golongan yang dikatakan taksub kepada individu terbabit untuk memahami ilmu asas agama dengan betul.

    “Yang penting, kita berselawat kepada nabi dan sayangkan keluarganya.

    “Jangan kita hina isteri dan keluarga nabi, jadi bila ada polemik begini, ia menyusahkan semua orang,” katanya.

    Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan pihaknya masih belum mendapatkan laporan lengkap daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung golongan agama yang mendakwa dirinya keturunan nabi.

    “Perkara ini banyak dibincangkan secara meluas tapi kita perlu buat siasatan yang adil. Saya percaya kredibiliti pegawai kita (JAIS),” katanya.

    Sebelum ini media melaporkan JAIS akan menyiasat kumpulan agamawan yang didakwa datang daripada keturunan Rasulullah SAW.

    Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ia susulan pembatalan majlis agama daripada kumpulan berkenaan di negeri-negeri lain seperti Terengganu, Kelantan, Kedah dan Melaka yang didakwa meragukan.