Category: Semasa

  • Selesaikan kes culik warga Palestin dalam 48 jam bukti ketangkasan PDRM

    Selesaikan kes culik warga Palestin dalam 48 jam bukti ketangkasan PDRM

    KEJAYAAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelesaikan kes penculikan seorang lelaki warga Palestin dalam tempoh 48 jam, memperlihatkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan itu dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata kejayaan PDRM dalam menyelesaikan kes penculikan berprofil tinggi itu, berikutan kepakaran dan ketangkasan yang dimiliki oleh pasukan berkenaan dalam menangani sebarang ancaman keselamatan.

    “Saya ingin ambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada PDRM di bawah kepimpinan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, yang telah berjaya menumpaskan sindiket yang terlibat dalam penculikan ini.

    “Selain itu, saya menyeru masyarakat untuk tidak mempolitikkan kes berkenaan, kerana ia bukan hanya melibatkan orang luar tetapi juga membabitkan warga tempatan,” katanya dalam rakaman video ringkas di laman Facebook rasminya malam ini.

    Hamzah berkata keselamatan adalah tanggungjawab bersama, maka semua pihak termasuk pemimpin parti-parti politik perlu bekerjasama dan memberikan semangat kepada PDRM untuk terus berjuang mempertahankan keselamatan negara.

    Pada 5 Okt, media melaporkan polis menyelamatkan Omar Z. M. Albelbaisy Raeda, 31, sehari selepas dia diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire, disyaki didalangi agensi perisikan Israel, Mossad.

    Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang dan Beranang di Selangor, serta di Melaka bermula 29 Sept hingga 4 Okt.

    Pada Jumaat lepas, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menculik Omar, bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit. – BERNAMA

  • Bekas pembantu Anwar, Yusoff Rawther menang saman fitnah RM200,000

    Bekas pembantu Anwar, Yusoff Rawther menang saman fitnah RM200,000

    MAHKAMAH Sesyen Shah Alam memerintahkan Setiausaha Akhbar Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul Tunku Abaidah membayar ganti rugi RM200,000 kerana memfitnah Yusoff Rawther.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Hakim Ishak Bakri Yusof berkata, Yusoff yang merupakan bekas pembantu penyelidik Anwar, membuktikan dakwaannya berhubung imbangan kebarangkalian.

    Peguam Yusoff, Tetuan Haniff Khatri Abdulla dalam kenyataan yang dikeluarkan petang tadi berkata, defendan juga diperintahkan membayar kos RM25,000 kepada Yusoff.

    Menurut kenyataan itu, Nashrul akan menerbitkan permohonan maaf dalam tempoh 45 hari dari hari ini dan kandungan itu perlu diterima oleh Yusoff.

    Beliau juga perlu menarik balik kenyataan media fitnahnya yang dikeluarkan pada 10 Jun 2019.

    Yusoff memfailkan saman itu pada 12 Sept 2019 atas dakwaan kenyataan akhbar yang dikeluarkan Nashrul menjatuhkan reputasinya di mata orang ramai.

    Selain saman fitnah terhadap Nashrul, Yusoff memfailkan satu lagi saman terhadap setiausaha politik Anwar ketika itu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bagi menuntut pampasan atas kecederaan yang didakwa dialaminya selepas serangan.

    Yusoff turut memfailkan saman terhadap Anwar atas dakwaan beliau melakukan serangan seksual terhadapnya 10 hari sebelum memenangi pilihan raya kecil Port Dickson pada 13 Okt 2018.

    Yusoff mendakwa mengalami trauma fizikal, psikologi dan sosial yang serius akibat kejadian itu.

    Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan kes itu belum selesai di mahkamah.

  • Parlimen sudah bubar, permohonan Najib cabar Jabatan Penjara tak lagi relevan

    Parlimen sudah bubar, permohonan Najib cabar Jabatan Penjara tak lagi relevan

    PERMOHONAN Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencabar keputusan Jabatan Penjara yang enggan membenarkan beliau menghadiri sidang Dewan Rakyat kini bersifat akademik kerana Parlimen sudah dibubarkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

    Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC), berkata oleh itu, Najib tidak seharusnya dibenar meneruskan permohonan semakan kehakimannya susulan pembubaran Parlimen pada 10 Okt lepas.

    “Ini boleh dilihat daripada pelbagai laporan berita dan paling penting, pengisytiharan mengenai pembubaran Parlimen telah pun diwartakan,” katanya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

    Beliau berkata demikian ketika membantah permohonan Najib untuk memperoleh kebenaran bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara.

    Katanya dakwaan dan aduan yang menjadi asas semakan kehakiman Najib tidak lagi boleh dipertahan manakala relif yang dipohon terhadap responden sudah bersifat akademik dan tidak mempunyai kesan praktikal. 

    Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula berhujah bahawa permohonan anak guamnya masih relevan kerana ia boleh berlaku pada masa akan datang. 

    “Sehingga hari ini, kita tidak tahu sama ada beliau (Najib) masih lagi calon prospektif sebagai Ahli Parlimen Pekan.

    “Tidak mustahil anak guam saya menyaman Jabatan Penjara kerana hak beliau untuk menghadiri Parlimen telah dinafikan,” katanya.

    Ahmad Kamal menetapkan 27 Okt ini untuk memutuskan permohonan Najib.

    Pada 5 Okt lepas, Najib, 69, memfailkan permohonan menamakan kerajaan, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara sebagai responden pertama hingga ketiga.

    Dalam permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden ketiga (Komisioner Jeneral Penjara) yang tidak membenarkannya mengakses kepada pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja-kerja Parlimen, perundangan dan pengundi kawasannya.

    Najib juga memohon perintah untuk mengetepikan keputusan responden ketiga itu yang tidak membenarkannya menghadiri Parlimen pada tarikh persidangan yang dijadualkan.

    Dalam afidavit sokongannya, Najib berkata keputusan responden pertama dan ketiga yang menolak permohonannya atas alasan keselamatan telah disampaikan kepadanya melalui Pejabat Penjara Kajang pada 28 Sept.

    Najib juga menyatakan bahawa keengganan responden pertama dan ketiga untuk membenarkannya mengakses kepada pegawai dan pembantunya bagi tujuan perkara berkaitan Parlimen serta pengundinya dan tindakan tidak diambil oleh responden kedua adalah tindakan tidak munasabah atau tidak rasional.

    Najib berkata menurut Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan, beliau mempunyai kewajipan perlembagaan untuk melaksanakan tugasnya dengan berkesan dan sebagai Ahli Parlimen dalam mewakili pengundi Pekan. – BERNAMA

  • “Saya ini nampak nyanyuk ke?” – Dr Mahathir

    “Saya ini nampak nyanyuk ke?” – Dr Mahathir

    PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa beliau masih layak menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) meskipun sudah berusia.

    Beliau menegaskan, segala tugas dapat diteruskan beliau seperti biasa.

    “Saya ini nampak nyanyuk ke? Saya boleh jawab tak soalan ‘you’ (pemberita). Ialah memang kebiasaannya orang umur 97 tahun sudah nyanyuk.

    “Tetapi adakah anda melihat saya sebagai (nyanyuk),” soalnya pada sidang media di Putrajaya hari ini, lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata demikian mengulas mengenai cakap-cakap orang ramai yang mempersoalkan keputusannya menjadi calon bagi mengekalkan kerusi Parlimen Langkawi.

    Keputusan Mahathir untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU15) akan datang didakwa tidak mendapat sambutan.

    Kerjaya politik Dr Mahathir menjangkau lebih 75 tahun dan beliau berkhidmat dua kali sebagai perdana menteri negara, dari 1981 hingga 2003 dan dari Mei 2018 hingga Februari 2020.

    Sementara itu, Mahathir menafikan pernah meminta bantuan daripada Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk “menyelamatkan” dirinya daripada parti komponen Pakatan Harapan.

    “Tak pernah, tak ada pun ,” katanya.

    Semalam, Tengku Adnan Tengku Mansor mendakwa bekas perdana menteri Dr Mahathir “hanya topeng dan boneka” dalam kabinet PH.

    Dakwa Tengku Adnan, Mahathir meminta pertolongan dengannya kerana tidak tahan dengan Amanah dan DAP.

  • TH komited teruskan bantuan kewangan haji tahun depan

    TH komited teruskan bantuan kewangan haji tahun depan

    TABUNG Haji (TH) akan meneruskan bantuan kewangan haji secara bersasar tahun depan bagi memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan yang paling memerlukan.

    Agensi itu menerusi satu kenyataan berkata, memaklumkan langkah itu diambil biarpun kos haji Muassasah dijangka terus meningkat kepada RM31,000 seorang pada tahun depan, berbanding RM28,632, tahun ini.

    “Bagi persiapan musim haji tahun depan, TH sedang membuat penilaian dan penelitian atas semua aspek operasi yang merangkumi keperluan jemaah haji sebelum berlepas, kebajikan semasa di Tanah Suci sehinggalah mereka kembali semula ke tanah air,” katanya lapor Berita Harian, hari ini.

    Dalam kenyataan sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dipetik sebagai berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan TH untuk memberikan perkhidmatan terbaik dengan kos yang berpatutan kepada jemaah haji Malaysia.

    Bagi perjalanan haji tahun ini, beliau berkata, TH berjaya mengurus perjalanan kesemua jemaah haji dengan baik.

    “Tahun ini, saya sempat meninjau persediaan haji TH di Kompleks Haji Sepang dan kemudian melihat sendiri bagaimana petugas TH mengurus dan menyantuni jemaah haji yang mempunyai pelbagai kerenah ketika di tanah suci, terutama ketika Masya’ir,” katanya.

    Sementara itu, TH memaklumkan kejayaan operasi haji musim ini adalah hasil sokongan penuh diberikan pelbagai pihak terutama agensi kerajaan dan swasta.

    “TH sudah menerima sumbangan bernilai RM1.8 juta daripada 12 organisasi melalui program Sahabat Korporat TH yang turut membantu melancarkan urusan ibadah jemaah haji Malaysia.

    “Sumbangan itu adalah dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan asas jemaah haji seperti beg beroda, beg sandang, tikar jemaah, sejadah, bahan bacaan seperti buku doa, peralatan kesihatan dan kelengkapan harian,” katanya.

  • Siasatan terhadap Mohd Nazlan: Permohonan peguam, aktivis didengar 10 Nov

    Siasatan terhadap Mohd Nazlan: Permohonan peguam, aktivis didengar 10 Nov

    MAHKAMAH Persekutuan menetapkan 10 Nov untuk mendengar permohonan dua peguam dan seorang aktivis berhubung persoalan undang-undang berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

    Antara persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada badan siasatan jenayah termasuk SPRM hanya dibenarkan secara sah untuk menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang telah digantung tugas menurut Perkara 125 (5) Perlembagaan Persekutuan.

    Persoalan lain ialah sama ada Pendakwa Raya mempunyai kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim-hakim yang berkhidmat menurut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

    Kedua-dua persoalan itu dinyatakan oleh Nur Ain Mustapa, Sreekant Pillai dan Haris Fathillah Mohamed Ibrahim dalam saman pemula mereka terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, SPRM dan Kerajaan Malaysia bagi menuntut perisytiharan bahawa siasatan yang dijalankan terhadap Mohd Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

    Peguam Wong Ming Yen, yang mewakili ketiga-tiga plaintif, ketika dihubungi berkata Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Firdaus Sidqi Sharil Azli hari ini menetapkan 14 Nov untuk pengurusan kes sementara menunggu permohonan merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan didengar pada 10 Nov.

    Pada 19 Julai lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan mereka untuk merujuk persoalan undang-undang itu ke Mahkamah Persekutuan selepas memutuskan mahkamah tersebut adalah forum tepat dan sesuai untuk mendengar serta memutuskan isu yang boleh memberi kesan terhadap badan kehakiman secara keseluruhan.

    Saman pemula yang difailkan pada 6 Mei lepas menyaksikan ketiga-tiga plaintif menuntut deklarasi bahawa SPRM tidak berhak atau dihalang daripada menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang berkhidmat kecuali jika mereka digantung menurut Perkara 125 (5) Perlembagaan Persekutuan atau dipecat menurut Perkara 125 (3) Perlembagaan Persekutuan.

    Mereka juga memohon perisytiharan bahawa Pendakwa Raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim-hakim yang berkhidmat.

    Melalui afidavit sokongan, ketiga-tiga plaintif berkata media melaporkan bahawa SPRM telah memulakan siasatan terhadap Mohd Nazlan berkaitan dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun bank beliau berikutan laporan yang dibuat kepada badan itu.

    Mereka mendakwa siasatan SPRM terhadap hakim itu adalah satu pelanggaran oleh cabang Eksekutif terhadap kebebasan badan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa.

    Mohd Nazlan, yang mendengar kes Datuk Seri Najib Tun Razak dan mensabitkan bekas Perdana Menteri itu dengan pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, telah membuat laporan polis berhubung artikel berita yang mendakwa beliau sedang disiasat mengenai isu wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya. – BERNAMA  

  • PRU-15: Penganalisis jangka 19 November tarikh ideal mengundi

    PRU-15: Penganalisis jangka 19 November tarikh ideal mengundi

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) bakal mengumumkan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) esok.

    Menjelang pengumuman tersebut, penganalisis politik, Prof Ahmad Martadha Mohamed menjangkakan tarikh paling ideal untuk dilaksanakan hari pengundian adalah pada 19 November ini.

    Jangka masa tersebut, jelas Ketua Kluster, Tadbir Urus dan Integriti, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu wajar kerana SPR perlu memberikan tempoh masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk semua parti politik membuat persedian termasuk berkempen.

    “Tarikh 19 November itu saya jangkakan satu tarikh yang paling sesuai kerana saya jangkakan penamaan calon akan berlaku pada awal November dan 14 hari itu diberikan untuk parti mengadakan kempen.

    “Jadi sudah tentu tarikh yang saya lihat paling sesuai memandangkan pengumuman akan dibuat esok, dan tempoh-tempoh yang akan diberikan. Maka, 19 November itu bagi saya satu tarikh yang saya rasa ideal untuk SPR mengumumkan tarikh pilihan raya,” katanya kepada Astro AWANI dalam segmen Menjelang Malaysia Memilih.

    Mengulas lanjut, Ahmad Martadha dalam laporan itu berkata, faktor penentuan hari pengundian yang jatuh pada hujung minggu khususnya Sabtu penting dalam mempengaruhi peratusan keluar mengundi.

    Bagaimanapun, beliau berpandangan, SPR perlu mengambil kira dua faktor penting iaitu kesiapsiagaan kerajaan dalam menghadapi musim tengkujuh dan persiapan parti-parti dalam mengatur gerak kerja menjelang PRU15.

    “Bagi saya sudah tentu bulan 12 (Disember) bukan bulan yang sangat sesuai untuk diadakan pilihan raya umum kerana kita tahun bulan 12 adalah musim tengkujuh dan negeri Pantai Timur dan sebahagian negeri Pantai Barat (akan menghadapi banjir).

    “Sudah tentu saya lihat walaupun pengumuman akan dibuat esok, dan pengumuman penamanaan dan hari pengundian juga akan ditentukan tetapi bagi saya SPR akan mengambil kira tempoh dekat (notis pembubaran) yang telah diberikan dan membuat pengumuman dan pada masa yang sama memberi peluang dan ruang kepada parti politik untuk melaksanakan gerak kerja mereka,” tambahnya lagi.

    SPR akan mengadakan mesyuarat khas esok (20 Oktober) bagi membincangkan dan menentukan tarikh penting bagi PRU15.
    Mesyuarat khas itu juga akan membincangkan dan menentukan tarikh penting bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah dan tiga negeri yang membubarkan DUN iaitu Pahang, Perlis dan Perak.

  • Rakyat Israel, Nas Daily masuk Malaysia guna pasport Caribbean

    Rakyat Israel, Nas Daily masuk Malaysia guna pasport Caribbean

    RAKYAT Israel dan pempengaruh terkenal Nuseir Yassin didapati mempunyai dua kerakyatan dengan memasuki negara ini menggunakan pasport Caribbean pada 16 Oktober lalu

    Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil siasatan, Nuseir didapati memasuki Malaysia menggunakan pasport Saint Kitts and Nevis, sebuah negara dalam Caribbean.

    “Individu terbabit tidak bersalah dari segi akta imigresen negara ini kerana memiliki pasport yang tulen dan dikeluarkan negara pengeluar.

    “Dia (Nuseir) juga tidak melakukan kesalahan sama ada dalam sistem imigresen ataupun Interpol,” katanya lapor Harian Metro.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kekeliruan orang ramai terhadap individu rakyat Israel yang masuk ke negara ini, selepas tular individu berkenaan di Melaka, baru-baru ini.

    Nuseir yang juga video blogger terkenal itu berada di Malaysia selama 12 jam.

    Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, sekiranya Nuseir menggunakan pasport Israel, sudah tentu dia tidak akan berjaya melepasi pintu masuk negara ini.

    “Ini kerana Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Perlu dijelaskan, dia juga tidak melakukan sebarang kesalahan mengikut peraturan imigresen dan sebab itu kelulusan mengikut pas pelancong diberikan pada 16 Oktober lalu.

    “Dia keluar dari negara ini pada hari yang sama iaitu 16 Oktober,” katanya.

  • Bidaan nombor pendaftaran DEN kutip RM3.6 juta – JPJ Kelantan

    Bidaan nombor pendaftaran DEN kutip RM3.6 juta – JPJ Kelantan

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mencatatkan kutipan RM3.26 juta hasil bidaan siri pendaftaran DEN dalam tempoh lima hari, kata Pengarahnya Mohd Misuari Abdullah.

    Beliau berkata bidaan itu dibuka bermula 13 sehingga 17 Okt lepas dengan menyasarkan jumlah kutipan RM2.6 juta.

    “Selepas bidaan menerusi aplikasi JPJeBID ditutup jumlah kutipan melangkaui jangkaan yang disasarkan.

    “Bilangan pengguna berdaftar dengan JPJeBID seramai 938,751 dengan keseluruhan pembida seramai 4,473,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Misuari berkata DEN 8 mencatatkan bidaan paling tertinggi dengan harga tertinggi RM98,888.

    “Bidaan paling banyak adalah DEN 1305 dengan harga bidaan tertinggi RM6,200 melibatkan 20 pembida,” katanya.

    Beliau berkata mana-mana pendaftaran yang berjaya dibida mesti didaftarkan pada kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat dikeluarkan JPJ negeri atau cawangan.

    “Baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada umum untuk dibeli oleh orang awam mengikut harga minimum.

    “Orang awam yang berminat untuk mendapatkan baki nombor pendaftaran ini boleh berurusan di pejabat JPJ negeri atau cawangan dan disarankan memiliki ID mySIKAP awam bagi mendapatkan senarai nombor semasa yang masih belum didaftarkan lagi,” katanya.

    Sementara itu, Mohd Misuari berkata sepanjang tempoh pelaksanaan sistem JPJeBID yang diperkenalkan bermula siri DDP sehingga DEM, JPJ Kelantan mencatatkan jumlah kutipan RM40,147,112. – BERNAMA

  • ‘Mereka bukan ahli PKR’ -Fahmi

    ‘Mereka bukan ahli PKR’ -Fahmi

    PKR menafikan dua daripada 11 individu yang ditahan dan dihadapkan ke mahkamah kerana menculik seorang warga Palestin yang didakwa atas arahan agensi perisikan Israel Mossad, adalah ahli parti itu.

    Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, berkata dakwaan tular di media sosial mengaitkan pasangan suami isteri itu dengan PKR adalah tidak benar.

    Tegasnya, tindakan kedua-dua individu itu memuat naik gambar bersama bendera PKR di media sosial adalah pilihan dan kebebasan individu untuk menyokong mana-mana parti politik namun tiada kaitan dengan PKR.

    “Semalam, tular di media sosial dakwaan bahawa dua individu yang ditahan itu adalah anggota PKR atau ada kaitan dengan parti. Individu itu didakwa punyai hubungan dengan Mossad. Saya sahkan dua individu itu iaitu Nidarayahu Zainal dan Raibafie Amdan bukan anggota mana-mana Cabang PKR dan tiada kaitan dengan parti.

    “Berhubung gambar individu itu mengangkat bendera PKR atau gambar akaun Facebook dengan logo PKR sekitar 2018, ia tindakan dan pilihan individu terbabit dan tidak ada kaitan sama sekali dengan parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Pada 14 Oktober lalu, seramai 11 individu termasuk seorang wanita dihadapkan di Mahkamah Majistret atas dakwaan menculik seorang warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit, bulan lalu.

    Semua tertuduh iaitu Edy Ko’im Said, 40; Mohamad Norakmal Hassan, 41; Dody Junaidi, 42;, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 39; Mohamad Naziree Mustapha, 39; Faizull Hardey Mohd Isa, 40; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 25; Mohamad Sufian Saly, 23; dan Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 21; selain Nidarahayu, 34, dan Raibafie, 39.

    Mereka didakwa dengan niat bersama menahan Omar Z M Albelbaisy Reeda, 31, dengan cara tidak berpatutan untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat untuk membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

    Semalam, NST dalam laporannya mendakwa ejen Mossad memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik rakyat Palestin yang mereka percaya sebagai aset Briged Hamas al-Qassam.

    Menurut laporan itu, Mossad dipercayai merekrut aset tempatan untuk membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di Malaysia, termasuk dalam kes penculikan dua lelaki Palestin dipercayai aset Briged Hamas al-Qassam di ibu negara, baru-baru ini.

    Dalam operasi di tengah-tengah ibu negara, akhbar itu mendakwa, pasukan perisik memintas dua warga Palestin sejurus selepas jam 10 malam pada 28 September, apabila kedua-duanya mahu memasuki kenderaan diletakkan berhampiran Jalan Yap Kwan Seng, di sini.

    Sebelum ini, seramai 18 individu lelaki dan wanita warga tempatan serta warga Indonesia diberkas antara 29 September sehingga 4 Oktober lalu dalam beberapa siri serbuan di Lembah Klang dan Melaka selepas terbabit dalam kes culik seorang lelaki warga Palestin di Jalan Yap Kwan Seng, di sini, pada 28 September lalu.

    Mangsa yang dipercayai ahli perniagaan itu bagaimanapun berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan yang dijalankan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

    Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dilaporkan berkata, pihaknya sedang berusaha mengenal pasti kemungkinan wujud pembabitan agensi perisikan luar dalam kes penculikan warga Palestin di ibu negara pada 28 September lalu.

    Berdasarkan siasatan awal, pihaknya setakat ini tidak mempunyai maklumat mengenai wujudnya pembabitan Mossad dalam kes berkenaan.