Category: Semasa

  • Nelayan rugi RM284,000 diperdaya ‘kekasih’ 

    Nelayan rugi RM284,000 diperdaya ‘kekasih’ 

    SEORANG nelayan kerugian RM284,850 apabila diperdaya ‘kekasih’nya menerusi pelaburan mata wang kripto tidak wujud. 

    Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata Bahagian Siasatan Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian menerima laporan daripada lelaki berusia 27 tahun itu semalam.

    Beliau berkata kejadian berlaku pada November lepas apabila mangsa telah dihubungi suspek iaitu seorang wanita melalui aplikasi WeChat sebelum mereka berkenalan dan jatuh cinta.

    Katanya suspek telah menawarkan pelaburan mata wang kripto kepada mangsa dengan menghantar pautan melalui aplikasi tersebut pada Januari dan menjanjikan pulangan RM200,000 jika melabur RM30,000.

    “Akibat telah jatuh cinta dan terpedaya, mangsa mula membuat pelaburan melalui aplikasi mata wang kripto yang diberikan oleh wanita itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini, lapor BERNAMA.

    Mohd Yusri berkata mangsa membuat 99 kali transaksi pindahan wang secara dalam talian ke 21 akaun bank dari 6 Mac hingga 15 Julai lepas menggunakan wang simpanan, meminjam daripada ahli keluarga, rakan dan majikan melibatkan kerugian RM284,850. 

    Menurutnya setelah mangsa kehabisan wang, suspek tetap meminta dia untuk terus melabur membuatkan lelaki itu meminta agar wangnya dikembalikan, namun suspek memberi pelbagai alasan dan tidak lagi membalas mesej melalui aplikasi WeChat.

    “Mangsa rasa tertipu dan datang ke balai polis untuk membuat laporan. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Sehubungan itu, Mohd Yusri menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan ‘love scam’ dan pelbagai program pelaburan tidak wujud.

    “Jangan layan atau mudah percaya individu tidak dikenali di media sosial, selain semak dengan agensi berkaitan sebelum membuat sebarang transaksi dan hanya melabur di platform yang berdaftar dengan Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya.

  • ‘Kamu tak dapat ‘Gelombang Hijau’, kamu dapat Xi Jinping’ – kata bekas ADUN DAP

    ‘Kamu tak dapat ‘Gelombang Hijau’, kamu dapat Xi Jinping’ – kata bekas ADUN DAP

    SEORANG pemimpin DAP Pulau Pinang menyerang seorang individu dipercayai pemimpin paling kanan dalam partinya, sambil menyifatkan amaran yang dilaungkan baru-baru ini mengenai “gelombang hijau” hanyalah taktik untuk menakut-nakutkan rakyat negeri itu terhadap Perikatan Nasional (PN).

    Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy berkata bahaya yang lebih besar bagi Pulau Pinang ialah “maharaja” tertentu, yang dibandingkan dengan seorang pemimpin komunis Cina.

    “Istilah ‘gelombang hijau’ hanyalah untuk menakut-nakutkan rakyat. Ia hanya buat ‘maharaja’ bertambah kuat. Kamu (pengundi) tak dapat ‘gelombang hijau’, kamu dapat Xi Jinping,” katanya lapor Malaysikini sebagai berkata, merujuk kepada Presiden China yang terkenal sebagai pemimpin Parti Komunis China sejak 2013.

    Sementara itu, Satees berkata sepanjang menjadi wakil rakyat sejak 2018, beliau memperjuangkan pelbagai isu rakyat.

    “Dalam lima tahun, saya buat kerja lebih banyak daripada orang yang gagal selama 10 tahun. Saya tidak bawa kereta Vellfire dan bawa pemimpin ke sana sini. Saya tidak angkat beg pemimpin itu,” sindirnya.

    Beliau juga menolak penjelasan bahawa senarai calon baru bertujuan mengetengahkan calon lebih muda kerana beliau sendiri berusia 38 tahun. Sedangkan,ada yang dalam senarai calon itu berumur sehingga 58 dan 61 tahun.

    “Memang tiada keadilan dalam politik. Saya terima tetapi saya akan terus bersuara,” katanya.

    Satees berkata senarai calon ditentukan oleh “maharaja” tertentu, sambil menambah ia memudaratkan demokrasi.

    “Jika anda berada di Pulau Pinang, anda akan faham. Pulau Pinang adalah negeri barisan hadapan demokrasi Malaysia.  Apa yang saya lakukan adalah demi kepentingan negeri Pulau Pinang dan rakyat Pulau Pinang! Kami tidak memerlukan Maharaja di Pulau Pinang; kami perlu menggerakkan demokrasi!” tulis Satees dalam satu kiriman di Facebook.

    my.

  • Bersatu Hulu Selangor mahu Khairul Azhari jadi calon di Batang Kali

    Bersatu Hulu Selangor mahu Khairul Azhari jadi calon di Batang Kali

    BEBERAPA jam menjelang pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) malam ini, Bersatu Hulu Selangor membuat “tuntutan akhir” kepada pucuk pimpinan parti supaya meletakkan Khairul Azhari Saut sebagai calon PRN di Batang Kali.

    Tuntutan dibuat susulan spekulasi bekas ahli jawatankuasanya Muhammad Muhaimin Harith bakal dipilih calon PN di kerusi terbabit, yang bukan dicadangkan bahagian itu.

    Ketua Bersatu Hulu Selangor, Md Anuar Mohd Nor, berkata bahagian itu sebulat suara menyokong Khairul yang juga timbalannya memadangkan beliau antara orang lama parti dan bekerja keras untuk mengukuhkan parti.

    “Beliau juga mempunyai hubungan baik dengan rakan komponen PN dan pengundi bukan Melayu yang memberi kelebihan jika beliau dicalonkan pada PRN.

    “Saya berharap pihak pimpinan tertinggi mendengar dan mengambil kira pandangangan Bersatu Hulu Selangor,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT

    Semalam FMT melaporkan kekecewaan Bersatu Hulu Selangor terhadap pucuk pimpinan parti kerana meminggirkan peranannya dalam memutuskan calon PN di DUN Batang Kali pada PRN 12 Ogos ini.

    Menurut Anuar, rasa tidak puas hati itu menyebabkan ada ahli mengugut mahu menutup jentera dan meluahkan kemarahan di media sosial dengan memuat naik gambar mereka membakar dan memijak bendera PN.

    PN akan mengumumkan calon PRN Selangor di padang awam MBPJ Taman Medan, 8 malam ini.

    Pada PRU14 DUN Batang Kali dimenangi wakil Bersatu Harumaini Omar, namun beliau keluar parti susulan Langkah Sheraton dan menyertai Pejuang.

  • ’’Ada seseorang jadikan Pulau Pinang hak bapanya’’ – dakwa bekas ADUN DAP

    ’’Ada seseorang jadikan Pulau Pinang hak bapanya’’ – dakwa bekas ADUN DAP

    SEORANG  bekas ADUN DAP di Pulau Pinang yang digugurkan daripada PRN bulan depan mendakwa “seseorang” menjadikan negeri itu seperti harta persendirian mereka.

    Bekas  ADUN Bagan Dalam, Satees Muniandy menyamakan “seseorang” itu dengan maharaja dan mendakwa individu itu diberikan hak penuh untuk menentukan senarai calon DAP bagi PRN Pulau Pinang.

    “Mereka kata (alasan beberapa bekas ADUN digugurkan demi) pembaharuan, darah baharu dan lain-lain. Alasan sebenar ialah seorang individu mahu mengawal Pulau Pinang.

    “Malah, DAP negeri tiada kata putus langsung. Semua rakyat Pulau Pinang tahu ia keputusan seorang individu. Ada orang jadikan Pulau Pinang seperti harta bapanya,” katanya pada sidang media di Butterworth, lapor FMT.

    Semalam, DAP mengumumkan 19 calon bagi PRN Pulau Pinang, dengan tujuh bekas Adun digugurkan dan lima daripadanya adalah exco negeri.

    Selain seorang digugurkan atas alasan perubatan, Satees mendakwa beliau dan lima lagi tidak dicalonkan kerana mereka tidak berada dalam kem “maharaja”.

    Beliau turut mendakwa mereka digugurkan kerana lantang menyokong Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

    “Itu harga yang kami perlu bayar untuk menyokong seorang lelaki baik.”

    DAP turut menggugurkan Timbalan Ketua Menteri, P Ramasamy dan Exco Phee Boon Poh, Chong Eng, Yeoh Soon Hin serta Soon Lip Chee bagi PRN bulan depan.

    Bekas ADUN Pulau Tikus, Chris Lee menarik diri atas sebab kesihatan.

    Satees mempertahankan prestasinya sebagai ADUN dengan berkata, beliau aktif turun padang dan menyertai banyak perbahasan penting di DUN.

    Sebagai pembantu Ramasamy, katanya, beliau tidak tahu dakwaan Ramasamy menemui Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

    Satees berkata, ancaman lebih besar kepada Pulau Pinang bukanlah sokongan “gelombang hijau” kepada PN, tetapi “maharaja” itu sendiri.

    Katanya, beliau tidak bercadang menemui Muhyiddin, tetapi sedia “bekerja dengan sesiapa saja yang mengutamakan kepentingan Pulau Pinang”.

  • 15 ketua cawangan Amanah tolak calon DUN Paroi

    15 ketua cawangan Amanah tolak calon DUN Paroi

    KIRA-kira 15 Ketua Cawangan Amanah di Paroi, Negeri Sembilan, memberi isyarat untuk tidak akan keluar mengundi pada 12 Ogos nanti, jika parti itu tidak menukar calon pilihan yang diumumkan sebelum ini.

    Mereka membantah pencalonan Ketua Wanita Amanah Negeri Sembilan, Norwani Ahmat pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, dan mahu penyandangnya Mohamad Taufek Abd Ghani dikekalkan.

    “Kami memang tak dapat terima Norwani dan sekiranya bukan YB Taufek dipilih sebagai calon, saya tidak akan keluar mengundi. Kalau dia (Norwani) yang bertanding DUN Paroi, saya tak tahu macam mana dia nak menang,” kata Ketua Cawangan Amanah Bandar Seremban Selatan, M Kalai Selvan yang dipetik akhbar Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, beliau juga tidak kisah dipecat daripada parti kerana lantang bersuara mengenai pendirian akar umbi. 

    Katanya, apa dilakukan adalah jalan akhir bagi memastikan kepimpinan parti membuat perubahan calon dalam tempoh berbaki empat hari sebelum penamaan calon.

    Ketua Amanah Taman Sri Kasih, Mokhtar Hassan turut senada dengan Kalai Selvan dan menjangkakan lebih ramai lagi yang akan mengambil tindakan protes.

    “Saya boleh katakan Norwani sebagai seorang ketua yang tidak mengambil berat terhadap ketua cawangannya. Malah kewibawaannya dalam DUN Paroi tidak memuaskan sedangkan YB Taufek sudah dikenali dan menunjukkan prestasi baik,” kata Mokhtar.

    Ini bukan kali pertama pemilihan calon pilihan raya PH menjadi isu di Negeri Sembilan.

    Sebelum ini, ADUN Ampangan Mohamad Rafie Abdul Malek membidas kepimpinan PKR berhubung keputusan tidak mencalonkannya bagi mempertahankan kerusinya pada PRN 12 Ogos ini.

    Menurut Rafie yang juga Exco Kerajaan Negeri, umum mengetahui beliau bertungkus lumus membantu rakyat di kawasan itu dan membangunkan negeri secara amnya.

    Beliau kemudian menuduh “individu tertentu” berusaha  untuk menyingkirkannya daripada pentadbiran Negeri Sembilan.

    Rafie, yang juga Timbalan Ketua Cawangan PKR Seremban, memenangi kerusi Ampangan pada 2018. PKR mengumumkan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman akan bertanding pada PRN kali ini.

  • Kumpulan peguam dakwa Fahmi salah guna kuasa isu poster tular

    Kumpulan peguam dakwa Fahmi salah guna kuasa isu poster tular

    SEBUAH kumpulan peguam hari ini mendakwa Fahmi Fadzil menyalahgunakan kuasanya sebagai menteri dalam mengarahkan laporan dibuat kepada sebuah agensi di bawah bidang kuasanya berhubung poster yang menuduhnya mengarahkan penyokong kerajaan mencipta naratif jahat untuk menyalahkan PAS dalam isu pembatalan Festival Good Vibes 2023 baru-baru ini.

    Lawyers for Liberty (LFL) dalam satu kenyataan berkata tindakan itu adalah “konflik kepentingan dan penyalahgunaan kuasa yang jelas bahawa seorang menteri mengarahkan atau menggerakkan pihak berkuasa di bawahnya untuk melakukan siasatan ke atas poster yang dikatakan fitnah terhadap dirinya”.

    Pengarah LFL Zaid Malek menambah bahawa Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mahupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak boleh digunakan untuk kepentingan peribadi.

    “Memandangkan menteri sendiri yang memulakan perkara itu secara terbuka, ia memberi tekanan yang tidak wajar kepada agensi penguatkuasaan dan menjejaskan keadilan siasatan. Ini sepatutnya difahami dengan jelas oleh Fahmi,” katanya lampor MalaysiaNow.

    Poster yang tular di media sosial itu mendakwa Fahmi memberi arahan supaya PAS diketengahkan sebagai parti ekstremis dalam usaha untuk mengalihkan perhatian daripada kesalahan yang dilakukan selepas meluluskan permit kepada kumpulan rock dari UK, The 1975, untuk membuat persembahan di Malaysia. 

    Fahmi berkata pada 24 Julai lalu KKD mengarahkan agar laporan dibuat mengenai perkara itu kepada SKMM dan polis. 

    Zaid berkata, sebagai menteri, Fahmi bertanggungjawab menegakkan hak kebebasan bersuara seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan dan memuhasabah dirinya daripada “menggunakan kuasa untuk menafikan hak ini”.

    “Beliau tidak boleh sesuka hati menggunakan pihak berkuasa di bawah bidang kuasanya untuk menundukkan pengkritik politiknya kepada siasatan jenayah. 

    “Fahmi tidak mempunyai keistimewaan untuk terlepas daripada kritikan atau menggunakan jentera kerajaan untuk membersihkan namanya sendiri,” katanya.

    Tambahnya, Fahmi bebas memfailkan saman sivil kerana memfitnah mereka yang bertanggungjawab ke atas poster itu.

    Zaid berkata tiada asas undang-undang untuk melibatkan pihak penguat kuasa bagi membersihkan dakwaan yang dibuat terhadap menteri itu.

    “Sememangnya, terdapat bau Stalinisme mengenai perlakuan menteri seperti ini. Badan penguatkuasaan tiada urusan yang mengganggu ‘kecederaan’ kepada ‘imej’ kerajaan pimpinan Pakatan Harapan. Dalam semua keadaan, imej kerajaan bukanlah alasan yang wajar untuk mengehadkan kebebasan bersuara dalam apa jua cara sekali pun,’’ katanya.

  • 2 suspek anggota sindiket ‘ah long’ ditahan

    2 suspek anggota sindiket ‘ah long’ ditahan

    POLIS Pulau Pinang menahan dua lelaki yang disyaki menjalankan aktiviti pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’ di Bandar Perda, Bukit Mertajam, semalam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suspek berusia 22 dan 28 tahun itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak tahun lepas.

    Katanya, susulan tangkapan itu, polis turut merampas beberapa peralatan berkaitan termasuk pelbagai telefon bimbit, kad nama, buku latihan, kertas putih, kad urusniaga dan buku bil.

    “Semakan lanjut mendapati, kedua-dua tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM250,000 sehingga RM1 juta atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah beliau, polis akan terus berusaha untuk memerangi kegiatan pinjaman wang tanpa lesen bagi memastikannya dibanteras habis-habisan.

  • ‘’Kalau saya curi duit, tunjuk la bukti’’ – Mahathir cabar Anwar

    ‘’Kalau saya curi duit, tunjuk la bukti’’ – Mahathir cabar Anwar

    BEKAS  Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering menuduh tetapi enggan mendedahkan bukti apabila diminta.

    Kata Dr Mahathir, Ahli Parlimen Tambun itu perlu menunjukkan bukti-bukti kukuh dan bawa pada perbicaraan di mahkamah sekiranya ingin mendakwa beliau mencuri wang atau harta daripada rakyat.

    “Dia kata dia ada bukti berkotak-kotak, tulisan-tulisan bukti pun ada. (Anwar kata) akan tunjuk tetapi bila saya minta tunjuk dia kata tidak boleh, rahsia. Kalau awak ada (bukti) tunjuk la pada saya. Tunjuk (bukti) saya curi duit sebab kita tahu ada orang curi duit, dihadap ke mahkamah, dibicara dan dimasukkan di dalam penjara. Kalau saya curi duit, tunjuk (bukti) secara terang yang saya curi duit, boleh bawa saya pergi mahkamah adakan perbicaraan,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika di Townhall Bicara Negarawan dan Agamawan untuk Rakyat Malaysia di Dewan i-City Convention Centre, i-City Central Walk malam tadi.

    Pada Isnin, media melaporkan Anwar memberi amaran kepada seorang pemimpin politik sama ada memulangkan semula harta yang didakwa dicuri atau bersedia untuk disiasat.

    Perdana Menteri itu berkata, beliau akan mengarah pihak berkuasa untuk menyiasatnya sekiranya pemimpin tersebut gagal berbuat demikian.

  • Penjawat awam rugi RM677,565 ditipu sindiket panggilan telefon

    Penjawat awam rugi RM677,565 ditipu sindiket panggilan telefon

    SEORANG penjawat awam berusia 40-an di Kepala Batas, Pulau Pinang berputih mata selepas wangnya sebanyak RM677,565 lesap dipercayai akibat terpedaya dengan sindiket ‘phone scam’ kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, mangsa mula terjerat dengan sindiket itu selepas menerima panggilan daripada seorang individu yang mengaku daripada pihak Pos Laju.

    Jelasnya, suspek berkenaan mendakwa kononnya terdapat bungkusan atas nama mangsa yang berisi kad pengenalan dan lima keping kad bank sebelum panggilan mangsa disambungkan kepada seorang ‘pegawai polis’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

    “Mangsa kemudiannya dimaklumkan oleh suspek kononnya terlibat dengan kes dadah dan pengubahan wang haram.

    “Mangsa diminta untuk memberikan maklumat perbankan dan memindahkan wang bagi mengelakkan daripada ditangkap,” katanya kepada pemberita di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Tambah Mohd. Asri, takut dengan dakwaan itu, mangsa kemudiannya melakukan beberapa transaksi pindahan wang ke enam akaun bank yang diberikan suspek bermula 7 Jun sehingga 4 Julai lalu.

    Bagaimanapun, ujar beliau, mangsa hanya disedari ditipu selepas membuat semakan melalui aplikasi Semak Mule dan mendapati keenam-enam akaun bank yang digunakan suspek mempunyai rekod bersabit kes penipuan.

    “Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

    Dalam pada itu, Mohd. Asri menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan panggilan telefon yang diterima daripada mana-mana individu mahupun agensi kerajaan serta swasta berhubung apa juga kesalahan yang disabitkan.

    “Lakukan semakan dan pengesahan dengan agensi terlibat dan ingin saya tegaskan, sebarang siasatan yang dijalankan pihak polis tidak hanya dilakukan menerusi panggilan telefon.

    “Polis juga tidak akan mengarahkan mana-mana individu untuk melakukan sebarang transaksi pembayaran ketika siasatan sedang berjalan,” katanya.

  • Tiga sekeluarga termasuk bayi maut kemalangan di LPT2

    Tiga sekeluarga termasuk bayi maut kemalangan di LPT2

    TIGA sekeluarga termasuk bayi berusia dua bulan maut dalam kemalangan setelah kereta dinaiki terbabas di Kilometer 375.8, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Bukit Besi, Dungun pada petang semalam.

    Mangsa, Nik Muhammad Zayyan Irfan Zulhilmi Ismail bersama ibunya, Raja Nurhanani Nabila Raja Hussin, 23 dan neneknya, Noreha Mohamed, 53 meninggal dunia dalam nahas yang berlaku kira-kira jam 6.25 petang.

    Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah, berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 7.30 malam.

    Katanya, sebelum kejadian, lima sekeluarga itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Kelantan untuk menghantar Raja Nurhanani dan bayinya pulang ke Kem Tentera Darat Batu 10, Kuantan.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira dipandu adik mangsa, Raja Haikal Najmi dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar kotak pembetung yang berada di sebelah kiri jalan lalu terbalik,” katanya labor Sinar Harian.

    Susulan itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan kesemua mangsa.

    Baharudin memberitahu, Nik Muhammad Zayyan bersama neneknya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, katanya Raja Nurhanani yang merupakan penyelia asuhan meninggal dunia jam 10.30 malam ketika menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Hulu Terengganu.

    “Dua lagi mangsa yang merupakan adik kepada Raja Nurhanani iaitu Raja Haikal Najmi, 20, patah kaki sebelah kanan dan Raja Nurhumairaa Nadzirah, 17, patah bahu sebelah kiri. Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan,” katanya.

    Menurut Baharudin, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.