Category: Semasa

  • Tiga remaja mengaku tidak bersalah rogol gadis

    Tiga remaja mengaku tidak bersalah rogol gadis

    TIGA remaja didakwa di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini atas empat pertuduhan merogol gadis bawah umur di Arau, Kangar dan Padang Besar, awal bulan ini.

    Tertuduh berusia 17 dan 16 tahun yang berasal dari Kangar dan Padang Besar mengakut tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Norhasliza Md. Ali.

    Berdasarkan pertuduhan pertama, remaja pertama berusia 17 tahun didakwa merogol remaja perempuan berusia 13 tahun di kawasan Hutan Bukit Nyatoh, Padang Besar kira-kira 11.30 pagi, 9 Oktober lalu.

    Malah, bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sama di pondok rumah di Beseri Dalam, Padang Besar kira-kira 7.30 malam, 10 Oktober lalu.

    Bagi remaja kedua yang juga berusia 17 tahun serta rakan subahat tertuduh pertama, dia didakwa merogol mangsa sama pada 12 tengah hari di tempat seperti pertuduhan pertama tertuduh pertama, lapor Harian Metro.

    Sementara pertuduhan seorang lagi remaja berusia 16 tahun, dia didakwa merogol mangsa sama di Arau pada 11.30 pagi, 8 Oktober lalu.

    Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda.

    Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perlis, Lee Jun Keong manakala tertuduh diwakili peguam Syed Saifulizan Syed Abd Razak.

    Mahkamah kemudian menetapkan 30 November hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Selain itu, mahkamah turut menetapkan jaminan sebanyak RM1,500 bagi tertuduh pertama manakala RM1,000 bagi tertuduh kedua dan ketiga.

  • ‘’Demi parti saya sedia tanding kawasan dulu BN kalah’’ – KJ

    ‘’Demi parti saya sedia tanding kawasan dulu BN kalah’’ – KJ

    PENYANDANG kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin memberi gambaran beliau akan mempertaruhkan nasib pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi yang dimenangi oleh parti lawan pada PRU14 lalu.

    Tanpa mendedahkan kerusi di Parlimen mana, Khairy berkata buat masa ini terdapat tiga pilihan kawasan yang sedang dipertimbangkan dan beliau secara terbuka menerima cabaran berkenaan.

    “Hampir sudah pasti saya akan dihantar ke kawasan yang dipegang oleh parti lawan, hampir pasti saya tidak akan dapat kerusi yang dianggap kerusi selamat dan kita tengok daripada pucuk pimpinan mana kerusi itu. InsyaAllah saya terima cabaran tersebut demi parti menggalas tanggungjawab untuk pergi mewakili parti saya di kawasan yang kita kalah, pelbagai negeri.

    “Perbincangan dengan pucuk pimpinan dah ada, keputusan kerusi mana belum lagi, masih dalam penilaian pucuk pimpinan perbincangan sedang berlangsung, tetapi hampir pasti saya dihantar ke kawasan yang dulu kalah lah. Nak kena cuba menang balik,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penyerahan Perantisiswa Keluarga Malaysia (Zon Selatan) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban pada Jumaat.

    Sebelum ini khairy mengumumkan memberi laluan kepada Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di Parlimen Rembau pada PRU15 nanti.

    Ia sekali gus menjadi teka-teki kerusi mana yang akan ditandingi Khairy nanti.

    Namun, tiga kerusi Parlimen lain di Negeri Sembilan yang disebut-sebut akan diwakili Menteri Kesihatan itu termasuk Kuala Pilah, Tampin dan Port Dickson.

    Kuala Pilah dan Tampin sebelum ini dikatakan antara kerusi kubu kuat BN di negeri itu, namun tewas pada PRU15 lalu.

  • Kes maut ditusuk pisau, polis segerakan siasatan

    Kes maut ditusuk pisau, polis segerakan siasatan

    POLIS akan menyegerakan siasatan kes kematian seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai tertusuk pisau pemotong sayur dibaling kakaknya.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata suspek berusia 18 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan dan memberi kerjasama penuh.

    Katanya, polis masih menunggu arahan lanjut daripada timbalan pendakwa raya.

    “Kita faham mereka adik-beradik, kita tunggu arahan timbalan pendakwa raya.

    “Laporan bedah siasat sudah ada, siasatan akan disegerakan dan jika sesuai dituduh, ia akan disegerakan.

    “Remaja perempuan berkenaan akan dirujuk menjalani kaunseling bagi tujuan pemulihan,” katanya ketika dihubungi, hari ini lapor BH Online.

    Dalam kejadian petang kelmarin, seorang pelajar lelaki tingkatan empat maut akibat tertusuk pisau dipercayai dibaling kakaknya yang belajar di tingkatan enam di Kampung Ulu Pulai di Ulu Choh, Iskandar Puteri.

    Proses bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebelum jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Ulu Pulai, Iskandar Puteri semalam.

    Suspek direman enam hari sehingga 25 Oktober depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • JPJ kutip RM286 juta menerusi JPJeBID

    JPJ kutip RM286 juta menerusi JPJeBID

    SEBANYAK RM286 juta pendapatan berjaya dihasilkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daripada bidaan nombor pendaftaran atau plat kenderaan melalui inisiatif JPJeBid dalam tempoh kurang 10 bulan tahun ini.

    Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, sehingga Oktober lalu, sebanyak 124 siri nombor pendaftaran telah diperkenalkan melalui sistem e-bid itu dengan purata keuntungan sebanyak RM2.3 juta bagi setiap siri.

    Menurut beliau, sistem itu telah menjadi pemudah cara kepada orang ramai untuk membida nombor-nombor yang disukai mereka secara telus dan efektif.

    “Jika dahulu, orang Pulau Pinang tidak boleh bida nombor plat luar, tetapi sekarang boleh bida nombor mana-mana negeri termasuk Sarawak sekalipun secara dalam talian.

    “Sehingga kini, seramai 940,000 individu telah melayari JPJeBid dan kita yakin jumlahnya akan terus meningkat susulan sistem yang mesra pengguna,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita pada Majlis Amanat Khas dan Pelancaran Kaunter Pandu lalu JPJ Pulau Pinang di Seberang Jaya hari ini.

    Mengulas mengenai kaunter pandu lalu, Zailani berkata, inisiatif itu juga diperkenalkan JPJ bagi memudahkan urusan pelanggan menerusi tempoh transaksi yang singkat.

    Katanya, orang ramai boleh memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM); lesen memandu Malaysia (LLM); pertukaran lesen memandu percubaan (PDL) ke lesen memandu Malaysia (CDL) dan pembayaran saman terkini menerusi kaunter pandu lalu itu dalam masa kurang lima minit.

    Sehubungan itu kata beliau, pihaknya kini dalam usaha untuk memperluaskan lagi perkhidmatan tersebut ke Perak, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan dalam masa terdekat.

    “Bagi perkhidmatan terbaharu pula, kita akan sediakan 100 unit kios yang mesra golongan orang kurang upaya (OKU) dan akan ditempatkan di seluruh negara,” katanya.

  • Rokok, arak dan mercun seludup diisytihar sebagai kotak tisu

    Rokok, arak dan mercun seludup diisytihar sebagai kotak tisu

    ISYTIHAR barang seludup seperti rokok, arak dan mercun sebagai kotak tisu untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

    Namun, taktik licik satu sindiket penyeludupan itu yang cuba membawa barang seludup menggunakan kontena tersebut berjaya dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang.

    Barangan dagangan dari Vietnam itu kemudian berjaya dirampas dalam serbuan serta pemeriksaan oleh Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan dan Cawangan Siasatan Khas Zon Utara di sebuah gudang di Seberang Perai Tengah (SPT) pukul 6.30 petang, 4 Oktober lalu.

    Pengarah JKDM Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, ketika serbuan lima individu didapati sedang memunggah barang dagangan itu dari sebuah kontena.

    Menurut beliau, pemeriksaan lanjut menjumpai dua buah lori ‘bonded’ yang di dalamnya disorokkan 13.58 juta batang rokok dianggarkan bernilai RM1,086,400 dengan nilai cukai berjumlah RM9,071,440.

    Turut dijumpai ujar beliau, sebanyak 21,000 tin atau bersamaan 8,361.60 liter minuman keras dianggarkan bernilai RM41,808 (cukai RM195,466.75) manakala tujuh karton atau 280 peket mercun yang bernilai RM1,120 (nilai cukai RM728).

    “Semua barangan ini dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976 atas cubaan mengelakkan dengan fraudan duti eksais,” katanya dalam sidang akhbar di Butterworth hari ini.

    Tambah beliau, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau 10 kali ganda amaun duti eksais atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau amaun duti eksais atau RM500,000 yang mana lebih besar.

    Selain itu katanya, pesalah juga boleh dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali untuk kedua-dua pertuduhan tersebut.

    Dalam pasa itu, beliau menggesa orang ramai terus membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan sebagainya dengan tidak melibatkan diri dalam aktiviti tersebut.

    “Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh dibuat dengan menghubungi talian bebas tol JKDM di nombor 1-800-88-8855 atau datang ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat di semua negeri,” katanya.

  • Lima lelaki didakwa beri pinjaman wang tanpa lesen

    Lima lelaki didakwa beri pinjaman wang tanpa lesen

    LIMA lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen sejak Ogos lepas.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Chong Chee Siong, 28, Tan Kim Tai, 26, Chin Yong Xuan, 23, Sia Ming Yang, 32, dan Chong Chee Kim, 24, didakwa menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah dengan meminjamkan wang berjumlah RM6,300 berserta faedah kepada tiga individu di sebuah unit kondominium di Jalan Kuching, Taman Wahyu, di Kuala Lumpur antara 16 Ogos dan 19 Oktober lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara yang boleh sampai lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh memandangkan ia adalah kesalahan tidak boleh dijamin.

    “Namun sekiranya mahkamah ingin membenarkan ikat jamin, saya memohon jaminan RM30,000 untuk setiap pertuduhan bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai,” katanya.

    Peguam Luqman Hakim Azhar, yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan minimum dalam lingkungan RM10,000 bagi setiap pertuduhan untuk setiap tertuduh dan memaklumkan anak guamnya bersedia menerima syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah.

    Hakim M Bakri Abd Majid membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan berserta syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

    Mahkamah menetapkan 21 November untuk sebutan semula kes.

  • ASP mengaku tidak bersalah ubah wang haram RM20,000

    ASP mengaku tidak bersalah ubah wang haram RM20,000

    SEORANG pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas dua pertuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram melibatkan RM20,000.

    Ameyrudin Ahmad Zuki, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menyembunyikan wang berjumlah RM10,000 yang merupakan hasil aktiviti haram ke dalam akaun rakannya, Shahirudin Mohamad, melalui tiga transaksi deposit di Bank Islam Malaysia Bhd Kepala Batas.

    Pertuduhan kedua pula, dia didakwa menyembunyikan wang hasil aktiviti haram dalam jumlah yang sama juga ke dalam akaun milik Shahirudin, melalui tiga transaksi deposit di Malayan Banking Bhd Kepala Batas.

    Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan pada 4 Ogos 2018.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama.

    Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Shahrom Idris memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan kerana mengambil kira tahap keseriusan kes yang melibatkan anggota polis, namun peguam Ameyrudin, Y Yogeswaran memohon jaminan sebanyak RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

    Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 20 Disember untuk sebutan semula kes.

  • Kanak-kanak maut dihempap besi tiang gol

    Kanak-kanak maut dihempap besi tiang gol

    SEORANG kanak-kanak lelaki maut dihempap besi tiang gol dalam kejadian di padang bola Pekan Manggatal di Kota Kinabalu, semalam.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari, murid Tahun Lima itu mengalami kecederaan di bahagian kepala.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, ketika kejadian bapa mangsa yang juga pengadu berada di lokasi untuk melihat aktiviti sukan tahunan sekolah.

    “Pengadu ternampak sekumpulan murid berkumpul dan bertindak menghampiri sebelum memdapati anaknya dalam keadaan terbaring kerana dihempap besi tiang gol.

    “Guru yang berada di lokasi telah menghubungi talian kecemasan 999 dan anak pengadu dihantar ke Hospital Likas dengan menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia kerana kecederaan di kepala,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Zaidi berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

    “Kematian mangsa dipercayai berpunca akibat kemalangan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Pengurus hartanah didakwa campak kucing dari tingkat 15

    Pengurus hartanah didakwa campak kucing dari tingkat 15

    SEORANG pengurus hartanah didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas satu pertuduhan mencampak seekor kucing dari tingkat 15 sebuah pangsapuri, Isnin lalu.

    Tertuduh, Cham Kam Kin, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat ke atas seekor kucing dengan mencampakkannya dari tingkat 15 hingga menyebabkan kematian haiwan itu di sebuah pangsapuri di Jalan PJS 8/9 di sini pada jam 7.30 malam, 17 Oktober lepas.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan, lapor Sinar Harian.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

    Chan Kam Kin, 44, dituduh atas kesalahan melakukan khianat terhadap seekor kucing dengan mencampakkan haiwan itu dari tingkat 15 sebuah apartment ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Kailash Sharma merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menyara seorang anak berusia lapan tahun.

    Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Zhafran Rahim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Januari 2023 untuk sebutan kes.

    Pada Rabu lalu, media melaporkan seorang lelaki diberkas selepas didakwa mencampak seekor kucing dari tingkat 15 sebuah pangsapuri di Jalan PJS 8/9 di Petaling Jaya.

  • Lelaki kudung tangan didakwa bunuh gelandangan warga emas

    Lelaki kudung tangan didakwa bunuh gelandangan warga emas

    SEORANG lelaki yang mengalami kudung tangan kanan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan membunuh seorang warga emas gelandangan, Ahad lalu.

    Chin Ling Sin, 51, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Jesseca Daimis dan tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

    Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu yang juga seorang gelandangan didakwa membunuh Leong Chow Wah, 67, di lorong tepi sebuah restoran di Jalan Leng Sin Nam, Ipoh dalam daerah Kinta antara pukul 4.50 pagi hingga 5.50 pagi pada 16 Oktober 2022.

    Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatimah Hannah Abd Wahab manakala tertuduh belum diwakili peguam, lapor Sinar Harian.

    Mahkamah kemudian menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula bagi laporan kimia dan laporan bedah siasat.

    Media pada Ahad lalu melaporkan, mayat lelaki warga emas dipercayai gelandangan ditemukan dengan kesan luka di dagu di tepi tangga dekat kaki lima kedai di Jalan Leong Sim Nam.

    Lelaki terbabit ditemukan orang awam sekitar pukul 5.22 pagi dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pakar klinikal Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh di lokasi kejadian.

    Pemeriksaan awal ke atas tubuh lelaki itu mendapati terdapat kesan luka pada dagu disebabkan senjata tajam dan calar pada kedua-dua tangan.