Category: Semasa

  • Zahid nafi tidak bertanding dalam PRU-15

    Zahid nafi tidak bertanding dalam PRU-15

    ‘’SAYA belum terniat pun untuk melakukan yang sedemikian.”

    Itulah komen Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi apabila ditanya benarkah laporan sebuah akhbar bahawa beliau tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk.

    Sehubungan itu Pengerusi Barisan Nasional (BN) tersebut menegaskan, beliau tidak pernah terfikir untuk melakukan sedemikian dan tidak tahu bagaimana dakwaan seperti itu boleh timbul dan dari mana sumber kenyataan berkenaan diambil.

    “Saya tak tahu mana punca dan sumber yang menjurus (laporan) begitu. Saya fikir eloklah kita tanya pada orang itu atau kumpulan itu (yang membuat dakwaan) dan saya belum terniat pun untuk melakukan yang sedemikian (tidak bertanding PRU15),” katanya.

    Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Solidariti dan Kemakmuran serta Pelancaran Jentera BN PRU15 di Akademi Binaan Malaysia di Jenagor, di Kuala Berang hari ini.

    Akhbar Sinar Harian hari ini memetik sumber yang mendakwa  Ahmad Zahid tidak akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandangnya sejak empat penggal lalu dalam PRU15, sebaliknya diganti anaknya, Datuk Nurul Hidayah atau orang kanan beliau.

    Terdahulu, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan, berkata dakwaan kononnya Ahmad Zahid tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk pada PRU15 sebagai propaganda politik.

    “Saya tidak pernah dengar dan tiada kenyataan rasmi dari Presiden UMNO (tidak pertahan kerusi Parlimen Bagan Datuk). Saya anggap (laporan itu) hanya propaganda politik,” katanya seperti dilaporkan portal UMNO Online.

  • Pemimpin mahu kuasa, cari kekayaan dunia perosak, pengkhianat negara- Sultan Selangor

    Pemimpin mahu kuasa, cari kekayaan dunia perosak, pengkhianat negara- Sultan Selangor

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah mengingatkan bahawa pemimpin yang hanya mahukan kuasa dan mencari kekayaan dunia, akan menjadi perosak dan pengkhianat kepada rakyat dan negara.

    Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin turut menegaskan pemimpin yang khianat, menipu dan menyalahgunakan kuasa untuk mengumpul kekayaan diri, pasti akan dibenci oleh rakyat dan dikutuk oleh Allah SWT kerana boleh menjahanamkan negara.

    “Sesungguhnya pemimpin yang tidak menegakkan nilai integriti, kejujuran dan amanah, akan menyebabkan pemimpin itu sendiri terjerumus ke dalam aktiviti bersifat kemunafikan dan kemaksiatan, seperti amalan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan menyebarkan fitnah, yang mengakibatkan kerosakan sebuah kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” titah baginda.

    Sultan Selangor bertitah pemimpin yang berintegriti, jujur dan beramanah, bukan sahaja akan mengubah landskap dan ekosistem kehidupan bermasyarakat, bahkan akan memacu negara untuk mencapai matlamat yang telah dirangka, agar menjadi sebuah negara mampan, stabil, dihormati dan beridentiti.

    Sultan Sharafuddin bertitah junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW, telah menonjolkan dirinya sebagai ikon hamba Allah yang berintegriti tinggi, sehingga dikenali dengan gelaran ‘al-Amin’, iaitu ‘yang sangat dipercayai’ dalam kalangan masyarakat Islam ketika itu.

    Justeru baginda bertitah integriti berlandaskan nilai-nilai Islam yang berpaksikan kepada kekuatan akidah, syariah dan akhlak, adalah penyelesaian terbaik kepada kerosakan dan kemelut yang berlaku dalam diri, organisasi dan negara hari ini.

    “Sedarlah wahai pemimpin, janganlah kamu menjadi pengkhianat terhadap amanah yang diberikan,” titah baginda sambil menambah sifar jujur dan amanah hendaklah menjadi identiti yang sebati dalam diri pemimpin.

    Titah baginda golongan pemimpin hendaklah menyerlahkan bukan sahaja kelembutan budi bahasa, tetapi kemuliaan akhlak dari sudut kejujuran dan keikhlasan, serta boleh diyakini dan dapat dipercayai oleh rakyat bahkan mengundang kehormatan daripada negara-negara lain di dunia.

    — BERNAMA

  • Ahmad Faizal pertahan Tambun, alu-alukan mana-mana individu bertanding

    Ahmad Faizal pertahan Tambun, alu-alukan mana-mana individu bertanding

    DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu, akan mempertahankan kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Timbalan Presiden Bersatu itu membuat kenyataan tersebut, selepas malam tadi Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan bertanding di Parlimen itu.

    Anwar sebelum ini adalah Ahli Parlimen Port Dickson selepas memenangi kerusi itu melalui pilihan raya kecil pada 13 Oktober 2018.

    Ahmad Faizal berkata, sebagai anak jati Tambun, beliau dan rakan sukarelawan serta pendokong Perikatan Nasional (PN) berpendirian, menjadi tanggungjawab dan kewajipan mereka untuk terus kekal berkhidmat di halaman sendiri.

    “Atas prinsip dan semangat demokrasi, saya turut mengalu-alukan mana-mana individu yang berhasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun.

    “Mudah-mudahan, kempen pada pilihan raya kali ini berjalan dengan telus dan adil, sekali gus memberi manfaat buat pengundi di Tambun serta seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) dan Pas, selepas menerima 38,661 undi, dengan majoriti 5,320 undi.

  • Caprice tetap nak saman Mydin

    Caprice tetap nak saman Mydin

    PENYANYI rap, Caprice tetap dengan pendirian untuk terus saman terhadap syarikat terkemuka, Mydin.

    Ini kerana katanya, hantaran dilakukan syarikat itu menerusi media sosial disifatkan sebagai berbaur sindiran.

    Dalam hantaran di Instagram Story, Caprice menjawab pertanyaan pengikutnya dan akan meneruskan dengan saman.

    “Ya (teruskan saman). Saya tak pernah sangka, orang yang kita hormati akan melakukan perkara serendah ini dengan membenarkan pasukan media sosialnya untuk menyindir dan perli saya.

    “Bagaimana nak nafikan sedangkan ruang komen memang ‘tag’ dan tahu itu mengenai saya,” tulisnya, lapor Harian Metro hari ini.

    Caprice juga mendakwa, syarikat itu dengan sengaja mengajak masyarakat untuk menyindirnya.

    “Sangat mengecewakan. Mereka tahu apa mereka buat dengan menggunakan ayat nama ‘cap’ dan ‘rice’. Tapi, buat-buat tak tahu.

    “Nak ajak orang perli, sindir, sila bos. Tanggunglah dosa itu. Ingat tua-tua, kita akan fikir kubur, tapi nak sangat ‘cool’ dan ‘in trend’. Sanggup kejar mata,” tulisnya.

    Caprice juga menutup ruang komen dalam hantarannya berkaitan syarikat itu di Instagram dengan alasan, dia adalah pihak yang memfailkan saman.

    “Sebagai pihak yang memfailkan kes, komen di hantaran peribadi mengenai Mydin boleh dibawa ke mahkamah. Sama juga, apa-apa komen yang ditulis oleh orang awam dari hantaran di akaun rasmi mereka, juga boleh dibawa ke mahkamah,” katanya.

    Semalam, akaun Twitter rasmi Mydin memuat naik ciapan menggunakan perkataan ‘cap’ dan ‘rice’, merujuk kepada produk jualan mereka iaitu topi dan beras.

    Kemudian, mereka juga memuat naik satu lagi ciapan berserta gambar cili, yang juga produk jualan mereka.

    Ciapan itu disambut baik oleh netizen termasuklah jenama telefon pintar Oppo yang bertanya, sama ada mereka menjual plastik yang tidak mudah koyak.

  • MetMalaysia keluar amaran ribut petir di 10 negeri

    MetMalaysia keluar amaran ribut petir di 10 negeri

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di 10 negeri hari ini.

    MetMalaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 2.20 petang tadi memaklumkan negeri yang terlibat ialah Kedah meliputi Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu; Pulau Pinang; Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar dan Batang Padang); Kelantan (Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang) serta Terengganu (Besut, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman).

    Selain itu, Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh dan Kuantan); Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau) dan Johor (Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru). 

    Di Sarawak pula meliputi Betong (Saratok dan Kabong), Sarikei, Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Kapit (Belaga), Bintulu, Miri (Telang Usan dan Marudi) dan Limbang, serta Tawau, Sandakan (Tongod, Kinabatangan dan Sandakan) dan Kudat (Pitas dan Kudat) di Sabah.

    Kenyataan itu memaklumkan keadaan cuaca itu berlarutan sehingga 7 malam ini.

  • Peningkatan varian baharu Omicron XBB dikesan – Khairy

    Peningkatan varian baharu Omicron XBB dikesan – Khairy

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai untuk tidak khuatir dengan subvarian Covid-19 baharu, Omicron XBB yang mula dikesan ketika ini.

    Menterinya, Khairy Jamaludin berkata, meskipun tidak menolak kemungkinan kes membabitkan varian itu akan meningkat dalam tempoh beberapa minggu akan datang, namun ianya tidak membawa kepada peningkatan kemasukan ke hospital dan kematian.

    Beliau berkata, pegawai berkaitan juga sedang membuat unjuran berhubung perkara berkenaan, bagaimanapun setakat ini KKM tidak bercadang untuk melakukan sebarang sekatan termasuk mewajibkan semula pemakaian pelitup muka.

    “Buat masa ini saya tidak ada apa-apa rancangan untuk kembalikan apa-apa sekatan, Singapura juga telah mengatakan tidak ada apa-apa rancangan tetapi menteri Singapura telah memaklumkan dan ada berhubung dengan saya bahawa beliau tidak tolak kemungkinan pelitup muka boleh dikembalikan di Singapura.

    “Untuk di Malaysia belum lagi, saya tidak melihat keputusan tersebut buat masa ini tetapi seperti mana yang saya selalu pesan buat rakyat Malaysia, fasa peraihan ke endemik ini mesti mengambil kira mutasi virus.

    “Ini kepada varian baharu, kalau datang varian baharu yang mungkin boleh meningkat kebolehjangkitan dan juga kesan dan gejala, maka kita kena semak balik tetapi setakat ini tidak, tetapi kalau kata peningkatan kes harian, saya rasa akan berlaku,” katanya, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penyerahan Perantisiswa Keluarga Malaysia (Zon Selatan) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban hari ini.

    Terdahulu, media melaporkan subvarian baharu Omicron XBB mula dikesan di Amerika Syarikat (AS) pada 15 September lalu, dan ia dikatakan bersifat sangat kebal dan mudah menular.

    Laporan juga menyebut virus itu kini menular di negara-negara benua Asia termasuk di Singapura dan merebak dengan lebih cepat daripada varian Covid-19.

    Mengulas lanjut ujarnya, sebagai langkah keselamatan, orang ramai terutama warga emas dan mereka berisiko tinggi disyorkan memakai pelitup muka terutama ketika berada dalam kumpulan yang ramai.

    Selain itu katanya, beliau akan turut memastikan perjalanan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berjalan dengan lancar terutamanya sepanjang tempoh berkempen.

  • Mahkamah tetapkan 25 Nov putuskan permohonan Tommy Thomas batal saman Najib

    Mahkamah tetapkan 25 Nov putuskan permohonan Tommy Thomas batal saman Najib

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur menetapkan 25 Nov untuk keputusan permohonan bekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Tommy Thomas bagi membatalkan saman yang difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan salah guna jawatan awam kerana mendakwanya atas pertuduhan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Hakim Datuk Ahmad Bache menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak bagi permohonan Thomas untuk membatalkan saman tersebut. Peguam Yudistra Darma Dorai mewakili Najib manakala Alan Adrian Gomez mewakili Thomas.

    “Keputusan permohonan itu ditetapkan pada 25 Nov, pukul 9 pagi,” kata hakim.

    Sebelum itu, Yudistra berhujah bahawa Thomas mempunyai sejarah ‘menyerang’ Najib yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang.

    Peguam itu berkata Thomas yang dilantik sebagai AG pada 2018, bertemu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2015 untuk membincangkan mengenai Najib yang dikatakan sebagai ‘penipu’ serta pada 2016 Thomas mendakwa Najib tidak sesuai menjadi Perdana Menteri.

    Beliau berkata Thomas membuat komen demikian terhadap Najib semasa beliau menjadi AG, dalam bukunya, My Story: Justice in the Wilderness.

    Sementara itu, Gomez berhujah bahawa pertuduhan berkaitan 1MDB bukan ‘pendakwaan politik’ dan tidak digugurkan walaupun selepas tempoh Thomas sebagai AG berakhir pada Februari 2020.

    “AG Tan Sri Idrus Harun meneruskan pertuduhan itu. Beliau mempunyai budi bicara untuk menggugurkan pertuduhan tetapi tidak berbuat demikian,” katanya.

    Thomas, melalui notis permohonan untuk membatalkan saman itu yang difailkan pada 18 Nov 2021, antara lain mendakwa jika saman Najib diterus dan dibicarakan, ia akan menyebabkan kes jenayah yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi tergendala.

    Pada 22 Okt 2021, Najib memfailkan saman tersebut yang mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia selari dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

    Najib, 69, mendakwa beliau telah dituduh secara salah di mahkamah dalam kes yang membabitkan 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta pengubahan wang haram di bawah Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

    Beliau memohon satu deklarasi bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam dan ganti rugi RM1.9 juta termasuk fi rundingan untuk pasukan audit bagi menyemak dokumentasi dalam penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya.

  • Inspektor polis dituduh terima suapan

    Inspektor polis dituduh terima suapan

    ANGGOTA polis berpangkat Inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, tahun lalu.

    Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohammad Soffi Jalal, 40, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.

    Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohammad Soffi yang bertugas sebagai Pegawai Siasatan dan Perundangan di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, didakwa secara rasuah meminta suapan untuk dirinya berjumlah RM5,000 daripada seorang individu berusia 30 tahun di pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu, pada 28 Februari 2021.

    Itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap individu berkenaan yang membuat aduan palsu iaitu kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan (KK).

    Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 atas kesalahan rasuah iaitu memperoleh suatu suapan berjumlah RM7,000 daripada individu sama, di pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Lahad Datu, pada 4 Mac 2021.

    Memetik laporan Harian Metro, itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap individu berkenaan yang membuat aduan palsu iaitu kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan (KK).

    Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan serta beberapa syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserah kepada mahkamah, tertuduh dikehendaki lapor sebulan sekali di pejabat SPRM Lahad Datu selain dilarang mendekati atau mengganggu saksi.

    Bagaimanapun, peguam Edward Paul yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan mengambil kira faktor anak guamnya yang berkemungkinan akan digantung tugas selain mempunyai tanggungan seorang isteri yang tidak bekerja dan dua anak.

    Menurutnya, anak guamnya juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan selain tidak mempunyai sebarang halangan atau risiko untuk menghadiri perbicaraan.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 (deposit sebanyak RM5,000) dengan seorang penjamin dan dikehendaki melaporkan diri dua bulan sekali di Pejabat SPRM Lahad Datu, selain syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

    Mahkamah juga menetapkan 1 Disember depan sebagai sebutan semula kes.

  • Polis tahan pengawal keselamatan dera anak angkat

    Polis tahan pengawal keselamatan dera anak angkat

    POLIS menahan seorang pengawal keselamatan kerana mendera anak angkatnya dalam kejadian di Pangsapuri Seri Mutiara semalam .

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek merupakan lelaki warga tempatan berumur 30 tahun.

    “Siasatan dijalankan mendapati pengadu iaitu seorang wanita tempatan berumur 19 tahun bertengkar dengan kakaknya selepas menegur perbuatan pasangan suami isteri itu yang memarahi anak angkat mereka pukul 7 petang kelmarin.

    “Pengadu turut mendakwa pernah melihat mangsa dipukul oleh suspek,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, mangsa merupakan kanak-kanak lelaki berumur empat tahun yang dijaga oleh pasangan terbabit.

    “Mangsa dijaga pasangan itu sejak berumur lima bulan selepas diserahkan oleh seseorang yang tidak dikenali secara suka rela.

    “Mangsa mengalami kecederaan di bahagian badan dan kaki serta kesan luka di bahagian kemaluan dipercayai didera dengan menggunakan tangan oleh suspek,” katanya.

    Menurutnya, mangsa kini mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.

    “Siasatan dijalankan membawa kepada penangkapan seorang lelaki yang merupakan ayah angkat kepada mangsa dan suspek direman lima hari bagi siasatan lanjut.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

  • TNB siap siaga hadapi musim banjir

    TNB siap siaga hadapi musim banjir

    TENAGA Nasional Berhad (TNB) menyenaraikan lebih 2,500 kakitangan daripada Bahagian Rangkaian Pembahagian untuk menganggotai Pasukan Kecemasan Keselamatan sebagai persiapan menghadapi bencana banjir.

    Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, kakitangan terbabit akan bertugas 24 jam bagi memastikan pengurusan bekalan tenaga elektrik teratur dan meminimumkan kerosakan pepasangan elektrik demi keselamatan orang ramai.

    Beliau berkata bantuan logistik di negeri sering dilanda banjir sudah disiapkan termasuk 296 set janakuasa bergerak; 227 set janakuasa kecil mudah alih 5kW/2.5kW; 279 buah lori; 885 kenderaan pacuan empat roda; 38 buah bot dan 108 lampu limpah.

    Selain itu, Wan Nazmy berkata pusat pemindahan sementara (PPS) juga akan diperiksa bagi memastikan bekalan elektrik berada dalam keadaan baik.

    “TNB bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah serta akan membuka bilik gerakan di negeri-negeri yang dilanda banjir untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini mengenai bekalan elektrik,” katanya.

    Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika banjir dinasihatkan agar segera menghubungi TNB di talian 15454 atau Facebook TNB Careline untuk tindakan lanjut.