Category: Semasa

  • PN tak pinggir masyarakat India jika menang PRU, kata Azmin

    PN tak pinggir masyarakat India jika menang PRU, kata Azmin

    PERIKATAN Nasional (PN) tidak akan meminggirkan usaha memperkasakan masyarakat India jika gabungan itu menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)

    Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PN tidak akan melupakan pengorbanan masyarakat India yang banyak berjasa dalam arus pembangunan negara.

    “Kaum India telah menyumbangkan banyak bagi pembangunan negara kita daripada aspek sosio ekonomi, pendidikan dan membawa kemakmuran kepada negara Malaysia yang kita cintai.

    “PN komited terhadap kebajikan masyarakat India bagi memastikan mereka membangun bersama sejajarkan dengan dasar kemakmuran bersama.

    “Saya memberi komitmen yang masyarakat India tidak akan terpinggir di bawah pimpinan Perikatan Nasional,” katanya dalam ucapan Perayaan Deepavali selepas menghadiri jelajah sumbangan Deepavali di Parlimen Gombak, lapor MalaysiaKini.

    Beliau berharap masyarakat India di Gombak dan seluruh Malaysia terus menyokong PN bagi meneruskan aspirasi kemakmuran bersama dengan moto ‘Melangkah Pasti, Bersatu Berbakti’.

    Terdahulu, penyandang kerusi parlimen Gombak selama tiga penggal itu berkata bahawa hampir RM1 juta dibelanjakan bagi masyarakat India di Gombak bagi tahun 2022.

    Azmin sebelum ini telah memberi bayangan akan mempertahankan kerusi parlimen itu pada PRU akan datang.

    Itu selepas Azmin berkata bersedia menentang bekas bosnya yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mempertahankan kerusi Gombak pada PRU ke-15 akan datang.

    Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata sanggup menentang isteri dan anak Anwar.

    Pada 2018, Azmin mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Abdul Rahim Pandak Kamaruddin dan calon PAS Khairil Nizam Khirudin dengan majoriti 48, 721 undi.

    Bagi parlimen itu, pengundi Melayu terdiri 77 peratus diikuti Cina dan India masing-masing 11 peratus dan lain-lain 1 peratus.

  • Wanita cemas lipan bara tumpang tidur bawah bantal

    Wanita cemas lipan bara tumpang tidur bawah bantal

    LENA seorang wanita bertukar cemas selepas seekor lipan bara ditemui menumpang tidur di bawah bantal ketika bangun untuk menyusukan anak.

    Dalam kejadian 5.30 pagi Jumaat lalu, Nursyahieda Zainal Asri, 32, terjaga selepas anak perempuannya, Nashreen Nelissa Hirul Faizi, 11 bulan, menangis kelaparan.

    Katanya yang menetap di Kluang, Johor, ketika bangun dalam samar-samar cahaya lampu bilik, tiba-tiba Nursyahieda merasakan ada sesuatu merayap di belakang badan sehingga ke kepala.

    “Saya berhenti sekejap susukan anak dan melihat sekeliling, tetapi tidak nampak apa-apa.

    “Sekali bila angkat bawah bantal, ada seekor lipan bara bersaiz besar,” ceritanya ketika dihubungi UtusanTV, hari ini.

    Nursyahieda berkata, dalam situasi cemas itu dia terus kejutkan suaminya.

    “Saya minta suami amik gunting, tapi dia nak guna penyepit.

    “Tiba-tiba lipan terlepas sebelum berjaya ditangkap dan suami kemudian membunuhnya,” ujarnya.

    Ceritanya lagi, dia tidak dapat meneruskan tidur dan akhirnya terpaksa duduk di sofa dekat ruang tamu kerana trauma akan kejadian tersebut.

    Malah, Nursyahieda sudah membersihkan kawasan rumahnya namun masih tidak menemui punca dari mana datangnya lipan itu.

    Katanya, ia insiden ini pertama berlaku.

    “Lepas kejadian itu, saya jadi susah nak tidur. Sekejap-sekejap terjaga dan periksa anak-anak serta suami sekiranya ada lagi kewujudan lipan tersebut,” katanya.

    Kejadian tersebut turut dikongsikan dalam laman TikToknya dan sehingga kini ditonton lebih 1.5 juta kali.

    Tinjauan UtusanTV di ruangan komen mendapati rata-rata warganet berkongsi pengalaman yang sama berdepan serangga berbisa itu.

    “Sy baru je kena camni. Tidur depan tv layan movie. Pastu rase bergerak kt leher. Bangun2 besar cmtu lah atas bantal. Dgn baby kt sebelah duk tdur,” kata Fatinsofia7000.

    “Srs dh fobia kena lipan dulu smpai masuk hospital sebab malam tk nampak pegi pijak lipan tu smpai kaki bengkak, smpai jdi fobia dh skrng,” tulis Anis.

    “Jangan mcam tu bang…dia boleh terbang taw..Sya pernah kena dh…nasib Allah lindung Sya elak sikit ja …tkot tngok pun,” komen Nurul Eyda.

  • Polis berkas suspek tembak polis simpanan, AJK UMNO

    Polis berkas suspek tembak polis simpanan, AJK UMNO

    LELAKI berusia 35 tahun ditahan polis susulan kes tembak yang mencederakan anggota sukarelawan simpanan polis dalam kejadian di Jalan Aur Duri, Kampung Seberang Pasir Mas, di Kota Bharu, malam tadi.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

    “Pihak polis menerima laporan kejadian sekitar pukul 11.30 tengah malam tadi, daripada pihak Hospital Pasir Mas (HPM) yang memaklumkan seorang lelaki cedera akibat ditembak.

    “Berdasarkan laporan, mangsa sempat menelefon rakanya bagi memaklumkan bahawa dia ditembak dan berada di Kedai Nasi Lemak 43, Salor, di Kota Bharu, untuk meminta bantuan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Katanya, mangsa dihantar ke HPM menggunakan ambulan sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II bagi rawatan lanjut.

    “Kita dimaklumkan bahawa mangsa cedera pada paru-paru kanan dan kini keadaan mangsa masih ditidurkan,” katanya.

    Muhamad Zaki berkata, motif kejadian masih dalam siasatan.

    Terdahulu, mangsa, Kamarul Fadzreen Kamaruzaman, 30, yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda UMNO Ketereh ditembak oleh individu tidak dikenali pada dada sebelah kanan ketika menunggang motosikal.

    Mangsa dilaporkan masih menunggang motosikal sejauh 100 meter selepas ditembak, menuju ke sebuah kedai makan berdekatan untuk meminta bantuan.

  • Wanita maut dirempuh pemandu mabuk

    Wanita maut dirempuh pemandu mabuk

    WANITA maut manakala seorang lagi wanita parah selepas dilanggar pemandu kereta mabuk ketika melintas jalan di Jalan Banting-Kajang (Jalan Reko) berhampiran simpang masuk ke Taman Sri Langat, di Kajang, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kaunter aduan pejabat pertanyaan Balai Polis Trafik Kajang terima panggilan memaklumkan kejadian kemalangan itu pada jam 8.15 malam.

    “Dalam kejadian ini pemandu dari Kajang Sentral menuju pulang ke rumah di Taman Sri Langat.

    “Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu terbabit melanggar dua wanita yang sedang melintas jalan kemudian melanggar dua kereta yang diletakkan di hadapan sebuah restoran.

    “Akibat daripada kemalangan itu, seorang mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Serdang manakala seorang lagi mangsa yang turut cedera parah menerima rawatan di Hospital Kajang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pemandu dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk menjalani ujian saringan awal kandungan alkohol.

    “Hasil ujian yang dijalankan terhadap pemandu adalah positif di bawah pengaruh alkohol.

    “Polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar bagaimana kemalangan berlaku, sama ada terdapat unsur lain,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Mana-mana individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan di Kajang atau menghubungi terus pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mohd Feaisal Mokhtar di talian 012-9454655 bagi membantu siasatan,” katanya.

  • PRU-15: PN yakin menang 4-0 di Larut

    PRU-15: PN yakin menang 4-0 di Larut

    SETIAUSAHA Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin yakin Perikatan Nasional (PN) mampu mencipta kemenangan di semua empat kerusi termasuk tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Larut.

    Hamzah yang juga penyandang kerusi Parlimen Larut berkata, gelombang yang ditunjukkan pengundi-pengundi terhadap semangat PN adalah lebih ikhlas dan jujur untuk menentukan masa depan negara yang lebih baik.

    “Di Larut ini kita yakin untuk menang 4-0 pada PRU nanti.

    “Semangat Larut ini akan kita bawa ke Parlimen di sekeliling kawasan kita ini supaya kita dapat memenangi seberapa banyak kerusi yang ada dalam negeri Perak,” katanya dalam ucapan di program Pelancaran PN Larut di Pekan Selama, Laurt, lapor Berita Bersatu.

    Ucapan itu mendapat sorakan hampir 8,000 penyokong parti yang hadir.

    Turut hadir, Timbalan Pengerusi PN Perak yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria, Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Pengerusi PN Larut, Mohd. Akmal Kamarudin.

    Parlimen Larut mempunyai tiga kawasan DUN iaitu Selama dan Kubu Gajah yang kini disandang wakil rakyat PAS serta Batu Kurau disandang wakil rakyat BN.

  • Bertembung tarikh PRU-15, Siti tangguh konsert di Persada Johor

    Bertembung tarikh PRU-15, Siti tangguh konsert di Persada Johor

    KONSERT A Night To Remember Bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza Live At Persada Johor yang sepatutnya berlangsung pada 18 dan 19 November depan dipinda ke tarikh baharu.

    Mengumumkan perkara itu menerusi laman Instagram (IG), Siti berkata, perubahan dibuat disebabkan 19 November adalah tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    “Alhamdulillah. Persada Johor sudah pun mengumumkan tarikh baharu iaitu 16 dan 17 Disember depan.

    “Mengikut tarikh asal untuk persembahan hari kedua saya jatuh kepada hari mengundi.

    “Kepada peminat yang membeli tiket pada tarikh 18 dan 19 November depan boleh berhubung dengan penganjur atas perubahan tarikh baharu ini,” tulis Siti.

    Selain Siti, konsert itu turut menampilkan penyanyi Aina Abdul dan Khai Bahar dan menyasarkan kehadiran 5,000 peminat.

    Kali terakhir penyanyi Aku Bidadari Syurgamu itu menjayakan konsert di Johor Bahru kira-kira 10 tahun lalu.

    Sementara itu, menerusi halaman rasmi kelab peminat, Sitizone Official Page di Facebook (FB), pengurus Siti, Rozi Abdul Razak mengumumkan tarikh penganjuran Konsert Music Of The Soul di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 5 dan 6 November depan dikekalkan.

    “Persembahan Music Of The Soul di Dewan Plenari KLCC tidak mengalami perubahan, memandangkan tarikh mengundi pada 19 November depan,” katanya memetik laporan BH Online.

  • Sedar Pejuang lemah, punca Tun M ingin kerjasama dengan PH

    Sedar Pejuang lemah, punca Tun M ingin kerjasama dengan PH

    TUN Dr. Mahathir Mohamad menawarkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas sedar parti diasaskannya, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak mempunyai kekuatan di kawasan pedalaman selain di bandar.

    Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Wong Chen berkata, hasrat Dr. Mahathir juga dilihat tidak memberi sebarang kelebihan kepada PH dan hanya menguntungkan Gerakan Tanah Air (GTA) dengan Pejuang menjadi tunjang utama.

    “Ini juga kerana kedua-dua parti itu mempunyai matlamat serta asas yang berbeza, sekali gus tidak memberikan sebarang nilai tambah kepada gabungan berkenaan.

    “Dr. Mahathir mahu bertemu Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas menyedari GTA berada pada kedudukan lemah untuk berdepan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) secara solo.

    “Nampak jelas bahawa Pejuang memang ada isu. Dia kurang kuat, ada masalah di pedalaman dan di kawasan bandar.

    “Contohnya di (pilihan raya negeri) Johor, Pejuang tak dapat lima peratus pun undi. Dr. Mahathir memang dia strategis, jadi dia buat tawaran (kerjasama). Tapi ini memang tawaran berpolitik.

    “Kita sokong keputusan Anwar. Ramai anggota parti pun memang tak suka bergabung dengan Dr. Mahathir. Matlamat kita berbeza kerana dia parti perkauman dan kita parti pelbagai kaum, jadi asasnya dah berlainan,” lapor Berita Harian.

    Wong sebelum ini dilaporkan, berkata politik gabungan adalah lebih baik untuk Malaysia, berbanding penguasaan dominan satu parti pelbagai kaum, kerana ia lebih bermanfaat untuk demokrasi.

    Ditanya sama ada keputusan menolak kerjasama dengan GTA bakal memberi kesan kepada peluang PH untuk menang dalam PRU-15, Wong berpendapat bahawa GTA tidak mampu menyumbang tambahan undi kepada PH.

    Jelasanya, ini berikutan rakyat yang menyokong GTA lebih cenderung kepada politik perkauman dan undi itu hanya akan berputar sekitar parti yang memperjuangkan perkara sama, iaitu UMNO dan Bersatu.

    “UMNO itu parti hak Melayu. Bersatu pun lebih kurang sama, Pejuang pun sama. Undi orang yang menyokong Pejuang tak akan pergi kepada PH.

    “Dia akan pergi kepada UMNO, Bersatu. Jadi dari segi perkiraan matematik, apakah logiknya kita bekerjasama? Undi penyokong dia tak berpindah kepada PH. Jadi pendirian parti betul,” katanya.

  • Wakil rakyat PKR tak pertahan kerusi Parlimen Alor Setar

    Wakil rakyat PKR tak pertahan kerusi Parlimen Alor Setar

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SELEPAS hanya sepenggal di Alor Setar, wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chan Ming Kai mengesahkan yang beliau tidak akan kembali untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

    Ming Kai yang sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Simpang Pulai di Perak dan ADUN Indera Kayangan di Perlis berkata, beliau dimaklumkan yang dirinya tidak lagi akan dicalonkan PKR untuk mana-mana kerusi dalam PRU.

    Katanya, sebelum ini beliau sememangnya bercadang memberi laluan untuk orang lain bertanding di Parlimen Alor Setar dan mencabar di kerusi yang belum dimenangi gabungan pembangkang seperti Bagan Datuk, Gombak, Ampang atau Pagoh.

    “Namun setakat ini parti hanya memutuskan untuk meletakkan calon baru di Alor Setar saja.

    “Saya dimaklumkan tidak akan dicalonkan lagi oleh parti untuk mana-mana kerusi dalam PRU akan datang,” katanya.

    Tambahnya, beliau menghormati serta menerima keputusan parti tersebut dan berterima kasih kepada rakyat dan semua anggota parti yang memberi sokongan terhadapnya.

  • PN Kelantan umum calon PRU-15 pada 3 November ini

    PN Kelantan umum calon PRU-15 pada 3 November ini

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mengumumkan senarai semua calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 3 November ini.

    Pengarah Pilihanraya PN negeri, Zulkifli Mamat berkata, calon berkenaan melibatkan 14 kawasan Parlimen di negeri berkenaan.

    “Bagi menghadapi PRU-15 PN Kelantan akan menggerakkan 27,200 jentera parti yang akan memainkan peranan sepanjang tempoh berkempen.

    “Pada masa yang sama PN juga akan mengaktifkan 544 bilik gerakan Unit Daerah Mengundi (UDM) bagi melancarkan gerak kerja sepanjang tempoh berkenaan,” katanya semasa merasmikan bilik gerakan media PN Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

    Menurut beliau, kempen secara bersemuka menjadi tunjang utama dalam meraih sokongan pengundi untuk memilih PN.

    “Pendekatan ini secara tidak langsung mampu mendekatkan parti dengan rakyat,” katanya sebagimana dilaporkan Sinar Harian.

    Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Condong itu berkata, pelancaran jentera PN akan turut dilakukan pada 3 November ini.

  • Rakyat perlu diingatkan tentang keburukan pemimpin UMNO

    Rakyat perlu diingatkan tentang keburukan pemimpin UMNO

    MENJADI tanggungjawab rakyat yang cinta pada bangsa dan negara untuk memperingati pengundi akan keburukan pemerintahan UMNO di bawah pimpinan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan sekutunya, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Menurut Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang juga Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), jika kerajaan UMNO tidak ‘ditamatkan’, Malaysia akan mengalami keadaan yang lebih teruk, malah pemulihan mungkin tidak dapat dilakukan.

    Justeru, menurutnya lagi, kesemua kesalahan dan kegagalan UMNO perlu didedah supaya rakyat yang cinta negara dan bangsa akan menolak parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Kepimpinan UMNO tidak senang mendengar serangan terhadap parti itu. Konon serangan disebabkan percubaan menutup kegagalan penyerang.

    “Sebenarnya serangan terhadap UMNO disebabkan khuatir parti kleptokrat ini memenangi PRU-15 dan mendiri kerajaan kleptokrasi.

    “Jika keburukan UMNO tidak didedah besar kemungkinan pengundi tidak fikir panjang dan undi UMNO seperti biasa.

    “Apatah lagi kepimpinan UMNO amat berjaya menutup perbuatan salah mereka dengan mendakwa ahli dan penyokong tidak perlu malu apabila melaku kesalahan.

    “Dengan sifat ini kesalahan Presiden UMNO yang sudah dipenjara dan dikena denda RM210 juta bukanlah sesuatu yang tidak baik dan perlu dirasai malu oleh ahli dan penyokong UMNO.

    “Oleh itu jangan malu apabila menyokong UMNO, apatah lagi sokongan akan dibalas dengan sogokan wang.

    “Pedulikan apa akan terjadi kepada negara apabila puak kleptokrat ‘Cash is King‘ memerintah sekali lagi,” dakwa Dr. Mahathir dalam satu kenyataan, hari ini seperti dilaporkan Astro Awani.

    Mengulas lanjut, Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, Malaysia telah menjadi negara separuh maju sehingga dikenali sebagai Harimau Asia, namun apabila Najib menjadi Perdana Menteri, beliau menolak khidmat untuk bangsa dan negara.

    ‘Dr. Mahathir turut mendakwa bagi menjayakan kepercayaan ‘cash is king’ atau ‘wang adalah raja’ Najib mencurahkan berbillion ringgit kepada UMNO dan rakyat secara percuma.

    “Daripada mana datang dana yang besar ini? Mudah sahaja. Najib dirikan 1MDB syarikat milik kerajaan bermodal RM1 juta dan syarikat meminjam lebih dari RM40 billion dengan faedah yang tinggi.

    “Sebahagian dari wang ini dimasukkan dalam akaun peribadi Najib dan wang inilah yang diagih kepada pemimpin dan bahagian UMNO dan mereka pun tutup mata terhadap kesalahan Najib memasukkan wang yang dipinjam oleh 1MDB ke dalam akaun peribadinya.

    “Sebaliknya mereka teruskan sokongan mereka kepada Najib. Pengundi dalam PRU juga disogok oleh Najib supaya UMNO menang.

    “Najib mungkin percaya bahawa melalui sogokan ini ia akan kekal sebagai Perdana Menteri dan sebagai Perdana Menteri ia boleh halang tindakan undang-undang terhadap pencurian wang 1MDB milik Kerajaan.

    “Tetapi dalam PRU-14, Najib kalah dan tidak lagi dapat sembunyi jenayah yang dilakukan dan kekalahan BN juga membongkar bermacam-macam jenayah dan salah guna kuasa yang dilakukan semasa pemerintahan UMNO dan Najib,” ujarnya.

    Dr. Mahathir berkata, prestasi pencapaian Malaysia merosot sehingga dikenali oleh dunia sebagai negara kleptokrasi iaitu negara pencuri yang dipimpin oleh pencuri, malah Malaysia tidak lagi menjadi Harimau Asia.

    “Di masa yang sama, politik Malaysia menjadi tidak stabil dengan kerajaan-kerajaan yang lemah yang tidak cekap.

    “Prestasi Malaysia merosot teruk, dan kewangan Malaysia tertekan kerana bayaran hutang yang bertimbun,” dakwanya lagi.