Category: Semasa

  • PN,BN bertembung di 27 kerusi kritikal

    PN,BN bertembung di 27 kerusi kritikal

    PERTEMBUNGAN antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) di 27 kerusi kritikal tidak dapat dielakkan kerana keengganan UMNO berunding;

    Ketua Penerangan Bersatu,  Wan Saiful Wan Jan ketika mengesahkan perkara itu kepada portal FMT berkata, pembahagian kerusi antara komponen telah dimuktamadkan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

    “Ya (ada pertembungan dengan UMNO di 27 kerusi kritikal) sebab mereka (UMNO) tidak mahu berbincang. Kita kena ingat selama ini yang menyebabkan berlakunya perpecahan dan pertembungan apabila UMNO tidak mahu berbincang dalam rundingan kerusi tersebut. Apabila sikap itu diambil mereka, kita tidak ada pilihan kerana keputusan itu telah dibuat oleh UMNO sendiri.”

    Pada 19 Oktober lalu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat Mohd Zuhdi Marzuki berkata, Bersatu sudah diberitahu agar tidak berlaku pertembungan berlaku di 27 “kerusi kritikal” dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Beliau berkata, langkah ini bagi memastikan kerusi terbabit tidak jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) selepas BN dan PN memutuskan untuk tidak bekerjasama pada PRU ini.

    Sebanyak 27 kerusi Parlimen itu melibatkan 20 kerusi dimenangi PH susulan pertembungan Pas-UMNO, manakala baki tujuh kerusi berisiko jatuh ke tangan PH disebabkan kekalahan tipis gabungan pembangkang itu pada PRU14.

    Zuhdi mencadangkan kerusi terbabit dinamakan “kerusi Muafakat Nasional” bagi mengambil semangat penyatuan ummah yang digerakkan oleh dua parti terbesar Melayu itu.

  • Rogol berkumpulan, lapan remaja berdepan 18 pertuduhan

    Rogol berkumpulan, lapan remaja berdepan 18 pertuduhan

    LAPAN remaja yang didakwa terlibat dalam kes rogol berkumpulan melibatkan mangsa seorang gadis berusia 14 tahun pada 16 Oktober lalu bakal berdepan dengan 18 pertuduhan.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua suspek yang berusia 14 hingga 18 tahun itu akan dituduh bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan pertuduhan secara berasingan.

    Menurutnya, tujuh daripada mereka masih kanak-kanak semasa kejadian dan akan dituduh di Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Selasa ini.

    “Seorang lagi yang berusia 18 tahun akan dituduh di Mahkamah Seksyen Kota Bharu pada hari yang sama,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Media pada 18 Oktober lalu melaporkan lapan remaja lelaki ditahan reman tujuh hari di Mahkamah Majistret Bachok, Kelantan bagi membantu siasatan kes rogol berkumpulan ke atas seorang gadis bawah umur.

  • Wanita warga emas maut kereta dirempuh lori air batu

    Wanita warga emas maut kereta dirempuh lori air batu

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori air batu di Kilometer 47 Jalan Batu Pahat-Mersing, dekat sini Kluang, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Nor berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 1.45 petang melibatkan kereta Proton Waja dan lori berkenaan.

    “Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati Proton Waja dari arah Batu Pahat menghala ke Kluang dan lori pula dari arah bertentangan. Apabila sampai di tempat kejadian, lori itu disyaki hilang kawalan dan masuk laluan Proton Waja.

    “Akibat perlanggaran itu, wanita yang berada di tempat duduk penumpang hadapan Proton Waja, Ungku Zaidah Mansor, 72, berasal dari Mersing meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, pemandu Proton Waja, Md. Yunus Dhal, 70, juga beralamat di Mersing cedera di bahagian kepala dan tangan.

    Beliau memberitahu, pemandu lori, Wong Soon Hing , 61, pula cedera ringan dan seorang kanak-kanak lelaki, Afif Imran Shamsul, 2, yang berada di tempat duduk belakang Proton Waja luka di bawah dagu dan leher.

    Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi Mohd Nor berkata, sembilan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescua Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Sebaik sampai ke lokasi kemalangan, Ketua Operasi dari BBP Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Norhakim Mohamad Nordin mendapati kemalangan melibatkan kereta Proton Waja dan lori berkenaan.

    “Pemeriksaan mendapati tiga mangsa berada dalam kereta Proton Waja manakala seorang lagi ditemui dalam lori berkenaan. Kerja-kerja mengeluarkan mangsa Protan Waja dilakukan menggunakan peralatan khas,” katanya.

    Menurut Mohd Fauzi, semua mangsa yang cedera dihantar menggunakan EMRS dan ambulan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang untuk rawatan.

  • Lantik dua TPM wakili Sabah, Sarawak:Apa maksud tersirat?

    Lantik dua TPM wakili Sabah, Sarawak:Apa maksud tersirat?

    Oleh DATUK DR. MARZUKI MOHAMAD

    PENGERUSI Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berjanji jika BN menang PRU-15, dua orang Timbalan Perdana Menteri akan dilantik masing-masing bagi mewakili Sabah dan Sarawak.

    Ini satu tawaran yang menarik.

    Dalam sistem politik negara kita, Timbalan Perdana Menteri dilantik oleh Perdana Menteri. Pengerusi mana-mana parti politik tidak ada kuasa untuk melantik Timbalan Perdana Menteri.

    Yang kita diberitahu, calon Perdana Menteri daripada BN ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Tetapi yang membuat janji ini ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi BN.

    Apakah ada maksud tersirat di sebalik janji ini?

    Adakah ini bermaksud Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah calon PM sebenar daripada parti BN?

    Adakah ini bermaksud, sebagai Pengerusi BN yang satu-satunya ada kuasa untuk memberi watikah kepada calon-calon BN, beliau hanya akan memberi watikah kepada penyokong-penyokong setianya sahaja?

    Adakah ini bermaksud, apabila calon-calon ini menang dalam pilihanraya, mereka akan memberi sokongan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai PM, bukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob?

    Adakah ini bermaksud, jika BN menang dalam PRU-15, buat pertama kali dalam sejarah, Malaysia akan mempunyai seorang PM yang sedang berhadapan dengan pendakwaan jenayah rasuah di mahkamah?

    Adakah ini juga bermaksud, agenda pertama Perdana Menteri selepas mengangkat sumpah jawatan pada 20 November 2022 bukan untuk membela nasib rakyat, tetapi untuk melepaskan dirinya daripada pendakwaan di mahkamah?

    Yer lah…antara tugas rasmi PM yang baru dilantik ialah untuk melakukan kunjung hormat ke atas rakan sejawat di luar negara.

    Tak syoklah kalau tiba-tiba PM kena bergegas balik untuk hadir perbicaraan di mahkamah.

    Saya tanya jer…

    Penulis adalah Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Ke-8

  • Feri bawa 547 penumpang terkandas di Kuala Kedah

    Feri bawa 547 penumpang terkandas di Kuala Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBUAH feri yang membawa seramai 547 penumpang, terkandas di alur pelayaran Kuala Kedah, berhampiran Jeti Penumpang Kuala Kedah sejak kira-kira pukul 4.15 petang tadi.

    Menurut Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bh., Kapten Baharin Baharom, ketika ini pihaknya masih menanti laporan daripada kapten Feri Bahagia 98 yang terkandas itu.

    Mengikut laporan awal diterimanya, Baharin memaklumkan kejadian itu berlaku ketika air laut berada pada paras 1.7 meter iaitu paras yang masih selamat untuk feri belayar.

    “Kejadian itu boleh disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya feri tidak mengikut laluan asal atau laluan tersebut dihalang oleh kerja-kerja pengerukan laut yang masih berjalan.

    “Kami masih menanti laporan lanjut mengenai kejadian itu,” katanya.

    Feri tersebut yang tersangkut di beting lumpur

    Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.55 petang tadi.

    “Laporan awal diterima menyatakan feri tersebut yang tersangkut di beting lumpur,” katanya.

    Dalam pada itu Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak memaklumkan, feri itu terkandas di lokasi kejadian akibat air surut.

    Menurut maklumat ditrima, terdapat beberapa penumpang mengalami sesak nafas dan bantuan perubatan berjaya diberikan terhadap penumpang terlibat.

    Sehingga kini katanya, proses membawa keluar semua penumpang masih giat dijalankan.

  • Bekas pekerja kandang lembu bunuh majikan

    Bekas pekerja kandang lembu bunuh majikan

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    SEORANG majikan wanita maut ditetak bekas pekerjanya sendiri di Jalan Ladang Sungai Labis, Segamat, pukul 10 pagi Rabu lalu.

    Wanita berusia 35 tahun itu ditetak dengan parang di leher dan beberapa anggota badan oleh lelaki berusia 45 tahun terbabit.

    Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, kejadian bermula dengan pertengkaran mulut dan pergaduhan dipercayai disebabkan dendam lama.

    “Suspek tidak lagi bekerja selama dua bulan di kandang lembu milik mangsa.

    “Berlaku pertelingkahan antara mereka. Suspek yang menaiki sebuah motosikal menetak mangsa dengan sebilah parang dan terus melarikan diri dari lokasi kejadian.

    “Bagaimanapun, motif sebenar kejadian itu masih dalam siasatan lanjut,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat di Segamat, hari ini.

    Antara barang yang dirampas pihak polis selepas menahan suspek pada malam kelmarin

    Beliau berkata, suspek ditahan di sebuah kafe di sekitar Labis kira-kira 10 malam kelmarin lalu, manakala seorang lagi lelaki berusia 37 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Parang dipercayai digunakan ketika kejadian, seutas rantai emas, seutas tali warna kekuningan, telefon bimbit dan dua unit kamera litar tertutup (CCTV) antara bukti ketika kejadian itu juga sudah ditemukan,” katanya.

    Menurutnya, suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap serta miliki satu rekod jenayah juga dua rekod lampau berkaitan dadah, selain pernah menggunakan motosikal Honda dilaporkan hilang pada 23 Mac 2020 lalu di Labis.

    Katanya, kedua-dua suspek direman enam hari sehingga 27 Oktober depan.

    Beliau memberitahu, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat untuk bedah siasat.

    “Polis turut menyeru hentikan menyebar maklumat tular yang boleh mengganggu siasatan dan dakwaan mangsa dibunuh kerana kes samun tidak tepat,” katanya.

  • PRU15: Gerakan jangka tanding lebih banyak kerusi

    PRU15: Gerakan jangka tanding lebih banyak kerusi

    PARTI Parti Gerakan, antara komponen Perikatan Nasional (PN) menjangkakan akan diberi lebih kerusi untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bulan depan.

    Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, parti itu juga berkemungkinan diberi lebih banyak kerusi Parlimen di Pulau Pinang berdasarkan pengalaman dan sumbangan Gerakan selama 39 tahun di negeri itu.

    “Semasa rundingan walaupun Gerakan adalah parti bukan etnik tetapi persepsi di bawah PN, kawasan yang bukan Melayu dan bukan Muslim akan diberi kepada Gerakan kerana kekuatan parti ialah kerusi campuran,” katanya kepada media selepas melancarkan bilik gerakan PRU15 PN Parlimen Puchong Kuala Lumpur, hari ini.

    Gerakan mendominasi Pulau Pinang selama 39 tahun bermula 1969 dan menyertai komponen BN selepas 1974.

    Pemerintahan Gerakan di Pulau Pinang berakhir selepas tewas kepada Pakatan Harapan (PH) dalam PRU12 pada 2008 dan parti itu meninggalkan BN pada 2018 selepas kalah di semua kerusi ditandinginya di seluruh negara.

    Sementara itu, Dominic yang tewas dua kali di Parlimen Batu memberi bayangan untuk bertanding di Pulau Pinang kerana ingin kembali memimpin dan bangkit semula di negeri itu.

    Beliau juga mengingatkan pemimpin Gerakan agar tidak mengutamakan kerusi tradisi kerana objektif utama parti ialah memenangkan PN.

    Dominic berkata, rundingan pembahagian kerusi di peringkat PN telah hampir selesai dengan beberapa lagi kerusi dalam penilaian terakhir sebelum senarai lengkap calon yang akan mewakili PN diumumkan dalam masa terdekat.

  • PRU-15: Bersatu, Pas boleh gegar kubu kuat UMNO 

    PRU-15: Bersatu, Pas boleh gegar kubu kuat UMNO 

    Armada Bersatu yakin kerjasama Bersatu dan Pas di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) boleh menggegarkan kubu kuat UMNO.

    Exco Armada Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid berkata kerjasama itu mampu meraih sokongan pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    “Kami akan menawarkan pilihan yang sangat bagus untuk orang Melayu kerana kami bersama Pas. Pas dikenali dengan mempunyai pengundi tegarnya dan (memimpin) beberapa negeri kubu kuat.

    “Saya fikir kerjasama antara Bersatu dan Pas mewujudkan pilihan hibrid untuk orang Melayu kerana terdapat pelbagai jenis orang Melayu di luar sana – ada yang sangat Islamik, ada yang lebih liberal dan ada yang berada di tengah-tengah kedua jenis itu.

    “Bersatu menarik minat masyarakat yang berbeza. Mereka yang dahulunya menyokong UMNO, yang agak tidak Islamik, mereka kini mempunyai pilihan (dengan Bersatu).

    “Saya fikir dengan Bersatu akan menyertai pilihan raya bersama Pas, kita benar-benar boleh menggegarkan kubu kuat Melayu UMNO,” katanya kepada Penerangan Bersatu hari ini, lapor portal Berita Bersatu.

    Beliau mengulas mengenai calon PN di Kelantan akan menggunakan logo Pas untuk pilihan raya akan datang.

    Ini akan melibatkan dua pimpinan Bersatu, Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

  • Syed Saddiq sampaikan hasrat pada PH mahu pertahan Muar

    Syed Saddiq sampaikan hasrat pada PH mahu pertahan Muar

    PRESIDEN Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah menyampaikan hasrat kepada pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di kerusi Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Syed Saddiq yang merupakan penyandang kerusi berkenaan berkata beliau mahu mempertahankan kerusi dimenanginya itu kerana berasa terhutang budi kepada warga Muar yang memberikannya peluang untuk berkhidmat sebagai ahli parlimen pada PRU14.

    Pada PRU14, Syed Saddiq yang merupakan calon PH daripada Bersatu menewaskan penyandang kerusi parlimen Muar Datuk Seri Razali Ibrahim (Barisan Nasional) dan Abdul Aziz Talib (Pas) dengan majoriti 6,953 undi.

    “Namun saya tidak mahu mendahului perkara itu kerana menghormati proses rundingan bersama sahabat PH, tetapi saya telah pun menyampaikan niat saya untuk mempertahankan kerusi Muar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Malam Mesra Muo di Muar malam tadi.

    Sebelum ini Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan gabungan itu akan menjalin kerjasama dengan Muda dalam PRU15.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 Nov ini dengan penamaan calon ditetapkan pada 5 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov. – Bernama

  • PRU-15:Saifuddin sedia pertahan Indera Mahkota

    PRU-15:Saifuddin sedia pertahan Indera Mahkota

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Pahang, Saifuddin Abdullah hampir pasti mempertahankan kerusi parlimen Indera Mahkota yang dimenanginya pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, namanya sudah dicadangkan oleh PN Bahagian Indera Mahkota kepada pucuk pimpinan untuk bertanding semula di kerusi berkenaan.

    “Kalau ikut bahagian saya (Bersatu Indera Mahkota) dan PN Indera Mahkota, mereka mencadangkan saya bertanding semula di sini (parlimen Indera Mahkota).

    “Saya bersedia untuk bertanding semula, apa-apa pun, bergantung kepada keputusan yang akan dibuat oleh majlis tertinggi PN,” katanya ketika ditemui media selepas program gerai prihatin rakyat peringkat PN Indera Mahkota di Kuantan, hari ini.

    Program itu menawarkan pakej barangan dapur merangkumi beras, minyak masak, ayam segar, bawang dan kentang pada harga RM30.

    Saifuddin memenangi kerusi parlimen Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 10,950 undi.

    Beliau yang ketika itu mewakili Pakatan Harapan (PH) mendapat 28,578 undi menewaskan calon daripada Barisan Nasional (BN), Dr. Johan Mat Sah (17,628 undi) dan calon Pas, Nasrudin Hassan Tantawi (17,515 undi).

    Ketika diminta mengulas mengenai calon menteri besar jika PN Pahang berjaya menumbangkan kerajaan Pahang yang kini diterajui UMNO, Saifuddin berkata, kemungkinan besar calon dari Pas akan mengisi jawatan itu.

    “Dalam PN (Pahang), kita tak berebut untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau parlimen dan kalau dikira, saya (Bersatu) pengerusi PN Pahang, tetapi kerusi DUN paling banyak ditandingi calon daripada Pas.

    “Kebiasaanya, parti yang paling banyak kerusi DUN akan dipilih sebagai MB (menteri besar), jadi boleh dikatakan, calon MB adalah daripada Pas,” katanya lapor MalaysiaKini.

    Saifuddin turut memaklumkan penyerahan watikah kepada semua calon PN Pahang akan diadakan beberapa hari sebelum hari penamaan calon.

    “Biasanya watikah ini diberikan beberapa hari sebelum penamaan calon, bagi PN Pahang, kita bukan saja serah watikah, kita juga akan meminta semua calon parlimen dan DUN angkat sumpah ikrar untuk tidak terlibat dalam rasuah,” katanya.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis mengumumkan tarikh penamaan calon untuk PRU15 ditetapkan pada 5 November, manakala tarikh untuk pengundian awal 15 November dan tarikh mengundi pula pada 19 November ini.