Category: Semasa

  • Idris tidak pertahan kerusi Parlimen Besut

    Idris tidak pertahan kerusi Parlimen Besut

    TAN Sri Idris Jusoh memutuskan untuk tidak bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Besut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menjelaskan, keputusan itu bertujuan memberi laluan kepada calon muda untuk bertanding seiring dengan hasrat UMNO untuk meremajakan parti.

    Idris menegaskan, masa depan UMNO akan menjadi lebih bertenaga dan diminati ramai apabila parti dibarisi kepemimpinan yang lebih muda.

    “Saya sebenarnya sudah membuat keputusan untuk tidak bertanding sejak tahun 2013 bertujuan memberi laluan kepada pimpinan muda meneruskan legasi parti.

    “Saya menyatakan hasrat untuk tidak bertanding kepada Presiden UMNO dan Timbalan Presiden serta Setiausaha Agung, tetapi atas kehendak parti, saya akur untuk meneruskan khidmat dengan parti, sekali gus bertanding pada PRU14,” katanya.

    Berikutan keputusan itu, Idris yang juga Pengerusi FELDA mengesahkan, turut melepaskan jawatan Ketua Bahagian UMNO Besut kepada pimpinan baharu sebagai satu perancangan untuk berundur secara beransur dalam arena politik.

    “Saya bertanding di Parlimen Besut bermula tahun 1995 dan memenangi kerusi itu ketika berusia 40 tahun. Pada PRU 1999, saya sekali lagi dipilih parti untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) Jertih, tetapi gagal memenangi kerusi,” katanya.

    Idris sekali lagi diberi mandat untuk bertanding di DUN Jertih dan memenangi kerusi itu untuk dua penggal berturut-turut iaitu pada PRU 2004 dan 2008, sebelum kembali bertanding di kerusi Parlimen Besut dan memenangi kerusi pada 2013 dan 2018.

    “Usia saya sudah hampir mencecah 67 tahun dan sudah tiba masanya untuk saya memberi laluan. Saya ucapkan terima kasih kepada semua pengundi dan penyokong saya. Terima kasih kepada parti yang tanpa jemu memberi kepercayaan kepada saya sehingga hari ini,” katanya.

    Idris berkata, walaupun tidak bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Besut, beliau akan terus bekerja kuat dan membantu untuk memastikan BN terus menempa kemenangan dengan cemerlang pada PRU15.

  • Tindakan Syed Sobri tinggalkan Bersatu sudah dijangka

    Tindakan Syed Sobri tinggalkan Bersatu sudah dijangka

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TINDAKAN bekas Ketua Bahagian Bersatu Padang Terap, Datuk Syed Sobri Syed Hashim keluar daripada parti hari ini sudah dijangka dan bukanla sesuatu yang mengejutkan.

    Menurut Ketua Penerangan Bersatu Kedah, Khairul Anuar Ramli, tindakan dilakukan Syed Sobri sebelum ini juga tampak ‘berlainan’ daripada kebiasaan.

    Malah katanya, Syed Sobri sebelum ini sememangnya pernah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan parti sejak sekian lama.

    “Dalam Bersatu, kita ada saluran untuk menyalurkan sebarang rasa tak puas hati. Kita ada perjumpaan bulanan dan perkara itu boleh disuarakan melalui perbincangan. Disebabkan itu alasan menyatakan hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan adalah sesuatu yang janggal. Lagi pun rasa tidak puas hati itu dikatakan sudah timbul sejak sekian lama tetapi mengapa baru disuarakan pada musim pilihan raya?

    Khairul Anuar Ramli ketika mengadakan sidang akhbar berhubung tindakan Syed Sobri Syed Hashim keluar daripada Bersatu.

    “Jadi saya rasa ruang ini digunakan kerana kita berada dalam fasa untuk masuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Kita faham waktu ini adalah ruang yang berharga bagi orang politik yang ada agenda peribadi,” katanya pada sidang akhbar di Padang Terap hari ini.

    Beberapa jam sebelum sidang akhbar itu, Syed Sobri terlebih dulu mengumumkan pengundurannya daripada Bersatu.

    Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Kuala Nerang bagi penggal 2008 hingga 2013 itu turut mengumumkan penubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Masyarakat Padang Terap yang akan memberi sokongan kepada calon BN di Parlimen tersebut dalam PRU akan datang.

    Mengulas lanjut, Khairul Anuar turut menafikan dakwaan Syed Sobri kononnya lebih 1,000 ahli Bersatu turut menuruti jejaknya meninggalkan parti itu.

    “Semakan Bersatu Bahagian ini mendapati hanya empat orang saja dalam sidang akhbar tersebut yang benar-benar menjadi ahli parti,” katanya.

    Dalam pada itu, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Padang Terap, Mohd. Zharif Mohd. Zohdi memaklumkan, Syed Sobri sebenarnya sudah meletak jawatan pada 15 Oktober lalu.

    “Sebaik beliau meletakkan jawatan, kami telah mengadakan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian dan kesemua 21 AJK tersebut kekal bersama Bersatu hingga kini,” katanya.

  • ‘’Minta sungai pun akan diluluskan kumpulan terdesak’’ – Tuan Ibrahim

    ‘’Minta sungai pun akan diluluskan kumpulan terdesak’’ – Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan cadangan jawatan Timbalan Perdana Menteri diisi lebih daripada seorang calon termasuk daripada Sabah dan Sarawak sebagai janji ‘mi segera’.

    Sambil menyifatkan ia sebagai  langkah kumpulan terdesak mencari sokongan untuk menang pilihan raya, beliau berkata, cadangan itu cuma janji politik sekadar memenuhi permintaan parti politik di Sabah dan Sarawak.

    “Tawaran bersifat ‘mi segera’ adalah gambaran kumpulan terdesak. Saya yakin apa saja yang diminta kepada kumpulan terdesak ini, akan dijanjikan. Minta sungai pun mungkin diluluskan namun persoalannya apakah ia wajar dan baik untuk masa depan negara,” katanya lapor Berita Harian.

    Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjanji akan mewujudkan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

    Semalam, Ahmad Zahid ketika Perasmian Program Gelombang Biru BN Zon 3 Papar memaklumkan jawatan tiga Timbalan Perdana Menteriakan diwujudkan jika BN muncul dominan untuk membentuk kerajaan Persekutuan dengan jaminan wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung dilantik.

    Anwar pula mengumumkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri membabitkan seorang dari Semenanjung dan seorang mewakili Sabah atau Sarawak (Borneo).

    Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan tidak perlu disandarkan kepada keperluan bagi pembangunan sesuatu wilayah sebaliknya signifikan kepada seluruh negara.

    Katanya, jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri mestilah memikirkan kepada pembangunan seluruh negara.

    “Tidak perlu wujud jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi satu wilayah saja. Ia hanya akan menambah kos bagi kerajaan. Selama lebih 60 tahun kita merdeka, semua wilayah diberi perhatian sama. Bahkan kita telah wujudkan jawatan Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak,” katanya.

    Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, apa yang penting bukan jawatan, tetapi perancangan pembangunan dan peruntukan kewangan bagi membangunkan negeri yang miskin bukan hanya di Sabah dan Sarawak tetapi juga negeri di Semenanjung.

  • Kenakan hukuman berat pemandu mabuk sebabkan kematian

    Kenakan hukuman berat pemandu mabuk sebabkan kematian

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Pusat khususnya Kementerian Pengangkutan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenakan hukuman berat kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian orang yang tidak bersalah.

    Pegawai Pendidikan CAP, N. V. Subbarow berkata, kejadian baru-baru ini di mana seorang wanita pejalan kaki terbunuh dilanggar pemandu mabuk membuktikan pemandu mabuk tidak bimbang dengan undang-undang dan kehidupan orang lain.

    Menurut beliau, kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk sebelum ini juga sering dilaporkan dan insiden tersebut semakin meningkat tanpa rasa takut dalam kalangan pemandu mabuk.

    Tegas beliau, pihaknya menggesa bahagian penguat kuasa Kementerian Pengangkutan dan polis membuat sekatan jalan raya dengan kerap dan pemandu mabuk yang ditangkap tidak dibenarkan terus memandu.

    “Ahli keluarga pemandu mabuk juga mesti dipanggil untuk mengambil mereka dan pemandu mabuk harus dihentikan di tepi jalan sehingga ahli keluarganya tiba.

    “Ini adalah satu-satunya cara untuk memberi pengajaran yang baik kepada pemandu mabuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Media semalam melaporkan seorang wanita maut manakala seorang lagi parah selepas dilanggar pemandu kereta mabuk ketika melintas jalan di Jalan Banting-Kajang (Jalan Reko) berhampiran simpang masuk ke Taman Sri Langat, Kajang, Selangor.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, pemandu berkenaan dipercayai dari Kajang Sentral menuju pulang ke rumah di Taman Sri Langat, Kajang.

    Dalam pada itu, Subbarow turut mencadangkan lesen pemandu mabuk dibatalkan seumur hidup jika menyebabkan kematian kepada orang lain yang tidak bersalah.

    “Kita menggesa polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk terus memeriksa pemandu mabuk ini pada setiap hujung minggu.

    “Orang yang tidak bersalah tidak sepatutnya dibunuh oleh pemandu mabuk ini,” katanya.

  • Pemandu maut kepala terhentak selepas terjun keluar dari lori

    Pemandu maut kepala terhentak selepas terjun keluar dari lori

    SEORANG lelaki maut akibat cedera di bahagian kepala selepas terjun keluar dari lori yang dipandunya ketika sedang terbabas di Kilometer 56 Jalan Gua Musang-Lojing, di Gua Musang malam tadi.

    Mangsa dikenali sebagai Badrul Hisham Kamaruddin, 24, berasal dari Machang.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kejadian berlaku kira-kira 9.15 malam ketika mangsa memandu lori yang membawa muatan buah sawit.

    “Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu dipercayai hilang kawalan semasa menuruni bukit. Mangsa yang dikatakan cuba menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari kenderaan terbabit dipercayai telah terhentak kepala pada permukaan jalan dan mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sik berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazah telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

    — BERNAMA

  • Mahathir-Anwar hanya watak lama dalam politik Malaysia

    Mahathir-Anwar hanya watak lama dalam politik Malaysia

    Oleh BADLISHAH MAT

    NARATIF politik Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berkisar kepada kepentingan rakyat, sebaliknya hanya membabitkan karier politik masing-masing, kata Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Naib Presiden UMNO itu berkata, kedua-dua ahli politik itu hanyalah watak lama yang sudah berpuluh tahun dihidangkan kepada rakyat.

    Justeru, kata beliau adalah perkara biasa bagi mana-mana parti yang bertanding memiliki impian untuk menang dengan meletakkan pelbagai strategi termasuk bekerjasama dalam pilihan raya.

    “Dr. Mahathir dengan Anwar adalah nama yang telah berpuluh-puluh tahun (dalam politik). Bergaduh pun sejak tahun 1998 sampai sekarang. Lepas itu sekejap baik, sekejap tak baik, cium mulut lepas tu tak cium mulut.

    “Rakyat nampak sekejap awak duduk sekali kononnya nak berkhidmat untuk rakyat tetapi 22 bulan semua orang tahu apa yang Pakatan Harapan (PH) buat? Lepas itu mereka berpisah buat (haluan) masing-masing.

    “Ini kerana impian mereka bukan untuk memelihara rakyat, tetapi cerita pasal politik sahaja. Aku nak ‘bunuh’ kau, kau nak ‘bunuh’ aku itu sahaja tak ada cerita lain,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Daerah Padang Terap di Kuala Nerang, Padang Terap hari ini.

    Beliau yang juga penyandang Ahli Parlimen Padang Terap mengulas kemungkinan kerjasama sekali lagi antara Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) dan Pengerusi PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Mahdzir berkata, pelaksanaan pilihan raya kali ini sepatutnya membawa agenda lebih besar daripada rencana politik kedua-dua individu berkenaan kerana ia melibatkan pembinaan negara.

    Tambahnya, sudah tiba masa untuk rakyat memberi ruang kepada ahli politik lain memacu negara selepas kedua-dua pemimpin berkenaan terlalu kerap muncul untuk merebut kuasa sejak puluhan tahun lalu.

    Malah, beliau yakin dengan kebijaksanaan rakyat untuk menilai jalan cerita dibentangkan Dr. Mahathir dan Anwar sejak puluhan tahun lalu.

  • BN bakal bentuk kerajaan dengan PH selepas PRU15?

    BN bakal bentuk kerajaan dengan PH selepas PRU15?

    PENDIRIAN Barisan Nasional (BN) untuk tidak mengadakan sebarang rundingan dengan Pas selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menimbulkan cakap-cakap tentang kemungkinan gabungan ditunjangi UMNO itu bakal menubuhkan kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) sekiranya tiada pihak memperoleh majoriti jelas.

    Penganalisis dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Ahmad Martadha Mohamed bagaimanapun berkata, parti-parti komponen PH dilihat mempunyai perjuangan dan ideologi berbeza dengan BN dan gandingan antara kedua-dua gabungan ini hampir mustahil untuk dilakukan.

    “PKR memang menidakkan kepentingan orang Melayu manakala DAP pula parti yang tidak akan diterima Melayu. Amanah pula tidak akan terima kehadiran Pas,’’ katanya kepada portal MalaysiaNow.

    Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 19 Oktober menegaskan tidak akan mengadakan rundingan dengan Pas untuk menubuhkan kerajaan selepas PRU15. Malahan Zahid juga menggelar Pas sebagai “parti pak lebai”.

    Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berbeza pendapat, mengatakan kerajaan campuran antara BN dan PH masih boleh berlaku sekiranya kedua-dua gabungan politik ini memiliki pecahan kerusi Parlimen sama rata.

    “Contohnya UMNO berjaya menang 80 kerusi manakala PKR dan DAP berjaya tawan 70 kerusi, sudah pasti parti-parti politik akan dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan campuran. Jika ini berlaku, UMNO perlu akur kerana keputusan ini sudah menjangkaui parti,” katanya.

    Mengulas berhubung kenyataan “keras” Zahid terhadap Pas, Awang Azman berkata dalam politik, tiada kawan dan musuh yang kekal.

    “Yang kekal ialah kepentingan, jadi, kemungkinan selepas PRU15 perkara itu boleh berubah,’’ katanya.

    Martadha juga berkata, meskipun Zahid yang juga Presiden UMNO sudah mengeluarkan kenyataan begitu, ruang untuk kerjasama antara kedua-dua parti masih terbuka.

    Malah, katanya, kerjasama antara UMNO dan Bersatu juga dilihat masih munasabah memandangkan kedua-dua parti itu mempunyai ideologi yang sama iaitu menjaga kebajikan dan kepentingan orang-orang Melayu.

    Sebelum ini, ramai penganalisis politik menjangkakan pembentukan kerajaan campuran selepas PRU15 terutama apabila UMNO dan BN dijangka sukar meraih kemenangan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen.

    Menurut Martadha, UMNO sudah tentu akan memilih parti yang mempunyai sokongan akar umbi yang kukuh untuk mengadakan kerjasama.

    “Oleh itu jika UMNO ingin membentuk kerajaan campuran, pilihan pertama untuk gandingan ini sudah tentu Pas diikuti dengan Bersatu,’’ katanya.

    Ditanya mengenai gandingan BN dengan Gerakan Tanah Air (GTA), Martadha berkata, ia juga mungkin sukar direalisasikan memandangkan parti yang menerajui gerakan itu iaitu Pejuang dilihat kecil dan tidak signifikan.

    “Jadi, nampak seperti tiada sumbangan yang meyakinkan, sebab tu gabungan PN dan BN dilihat paling menyerlah,” tambahnya.

  • Dua terbunuh, MPV rempuh tiang MRT

    Dua terbunuh, MPV rempuh tiang MRT

    DUA  lelaki maut, manakala tiga lagi cedera apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabas sebelum merempuh tiang Transit Aliran Massa (MRT), berhampiran Eco Cheras Mall, di Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

    Komander Operasi Bomba Cheras Mohd Rizuan Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 6.42 pagi sebelum tujuh anggota tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.

    Beliau berkata, kelima-lima mangsa yang tersepit dalam kenderaan jenis Toyota Innova itu berjaya dikeluarkan pada 7.06 pagi.

    “Pemandu dan penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, manakala tiga lagi cedera serta berada dalam keadaan separuh sedar,” katanya ketika dihubungi.

    Menurutnya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menerima rawatan sementara mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    Identiti kesemua mangsa serta punca kemalangan masih dalam siasatan, katanya.

  • Ibu Wan Azizah meninggal dunia

    Ibu Wan Azizah meninggal dunia

    IBU kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datin Mariah Khamis meninggal dunia awal pagi tadi.

    Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengesahkan perkara berkenaan berkata solat jenazah ibu mentuanya itu dijadualkan pada 11.30 pagi ini di Masjid Al-Mustaqim, Ampang.

    “Saya memohon maaf kepada seluruh pimpinan Harapan Sarawak serta para pendukung kerana terpaksa membatalkan jelajah ke Miri dan Kuching yang dijadualkan hari ini. Kita ketemu lagi di lain waktu, InsyaAllah,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

    Berita sedih itu turut dikongsikan cucunya, Nurul Izzah Anwar di Facebook.

    “Innalillahiwainnailaihirajiun. Dimaklumkan bonda mama tersayang, Datin Hajah Mariah Khamis telah kembali ke rahmatullah.

    “Semoga Allahyarhamah nenek ditempatkan dalam kalangan para salihin, diampunkan dosa, dipermudahkan segala urusan, diberikan sepenuh kelapangan kelak dan mendapat husnul khatimah. We love you, grandma. Al-Fatihah,” katanya.

  • Pencipta ‘tagline’ ‘On Tak On’ maut dalam kemalangan

    Pencipta ‘tagline’ ‘On Tak On’ maut dalam kemalangan

    LELAKI yang dipercayai mencipta ‘tagline’ atau slogan popular ‘On Tak On’ (On X On), Faizi Azmi , 47, maut selepas motosikal ditunggangnya kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Telok Kemang, di Port Dickson petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata nahas jam 4.57 petang itu, membabitkan sebuah Perodua Bezza, sebuah Perodua Aruz dan motosikal Honda C100 milik mangsa yang juga dikenali dengan nama Mail atau ‘On X On’.

    “Siasatan awal polis mendapati sebuah kereta Perodua Aruz dipandu anggota tentera dari arah Sua Betong dalam perjalanan ke rumahnya di Kem Gerison, SiRusa, keluar dari simpang tiga Sua Betong ke arah Teluk Kemang lalu terlanggar sebelah kanan motosikal mangsa.

    “Akibatnya, mangsa melambung dan terjatuh lalu terkena bahagian depan sebuah Perodua Bezza yang juga dipandu seorang anggota tentera sebelum dia terjatuh atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian.

    Katanya, mangsa yang ketika itu dalam perjalanan dari Port Dickson ke Teluk Kemang, kemudian tidak sedarkan diri dibawa ke Hospital Port Dickson untuk rawatan kecemasan, sebelum disahkan meninggal dunia jam 8.38 malam tadi.

    “Beliau sangat dikenali dengan nama Acek Mail juga sering memuat naik video pendek di media sosial dengan tagline ‘On X On’,” katanya menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.