Category: Semasa

  • Hajiji umum rombakan Kabinet Sabah

    Hajiji umum rombakan Kabinet Sabah

    KETUA Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan beberapa pertukaran dalam Kabinetnya termasuk melantik ADUN Apas Nizam Abu Bakar Titingan sebagai pembantu menteri kepada ketua menteri menggantikan Wetrom Bahanda yang mengumumkan keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), baru-baru ini.

    Beliau berkata, jawatan pembantu menteri kewangan yang disandang Nizam sebelum ini akan digantikan ADUN Matunggong, Julita Majungki yang sebelum ini adalah pembantu menteri di Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

    Selain itu, beliau turut mengumumkan pelantikan ADUN Pintasan yang juga setiausaha politik kepada menteri kewangan Fairuz Renddan sebagai pembantu menteri di Kementerian Tugas-tugas Khas dan Penyelarasan.

    “Berikutan pelantikan itu, jawatan setiausaha politik kepada menteri kewangan negeri yang dikosongkan oleh Fairuz akan diisi oleh ADUN Kukusan, Rina Jainal,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Hajiji berkata, pelantikan Fairuz sebagai pembantu menteri tugas-tugas khas dan penyelarasan sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin.

    Katanya, majlis angkat sumpah Fairuz akan ditetapkan oleh pihak istana negeri.

    Wetrom yang juga ADUN Bandau sebelum ini mengumumkan keluar daripada GRS dan Bersatu untuk menyertai Warisan.

    Bagaimanapun beberapa hari selepas itu, beliau menyertai pula parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) yang dipimpin Peter Anthony.

    Wetrom juga dilantik sebagai salah seorang timbalan presiden parti itu dan diumum sebagai calon PKDM di kerusi Parlimen Kota Marudu.

  • Abai 2 anak bermain tepi balkoni, suami isteri disiasat

    Abai 2 anak bermain tepi balkoni, suami isteri disiasat

    POLIS sedang menyiasat sepasang suami isteri kerana disyaki membiarkan dua anak mereka bermain di tepi balkoni tingkap di tingkat 17 sebuah kondominium di Taman Setapak di sini, semalam.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata ibu bapa kepada kanak-kanak itu telah dipanggil untuk diambil keterangan dan dibenarkan pulang malam tadi.

    Beliau berkata satu laporan polis dibuat pegawai polis Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur semalam, susulan tular satu rakaman video kejadian itu di media sosial.

    Beliau berkata video berkenaan dimuat naik pemilik akaun Facebook dikenali sebagai Reff Lia memaparkan dua kanak-kanak masing-masing berusia empat dan dua tahun dibiarkan cuai dan bermain di tepi balkoni tingkap berkenaan yang tidak berpagar.

    “Hasil siasatan mendapati ketika kejadian ibu bapa kanak-kanak berkenaan berada di dalam rumah dan tidak menyedari kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ashari berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak (2001). 

    “Pihak polis menasihatkan ibu bapa agar tidak meninggalkan anak-anak kecil bersendirian tanpa pengawasan kerana perbuatan itu boleh dianggap sebagai satu kecuaian di bawah Akta Kanak-Kanak,” katanya.

    Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu untuk  menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju menerusi talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – BERNAMA

  • Cek tendang: Penceramah bebas mengaku tidak bersalah menipu

    Cek tendang: Penceramah bebas mengaku tidak bersalah menipu

    SEORANG penceramah bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini terhadap pertuduhan melakukan penipuan dengan menyerahkan cek tendang bagi urusan perkhidmatan fotostat kertas soalan peperiksaan melibatkan RM4,287.70, empat tahun lepas.

    Muzzamil Soliheen Musa, 45, juga penulis buku, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Melati Square, Putra Nilai, Nilai kira-kira 4 petang pada 14 Mei 2018.

    Dia dituduh memperdaya Ling Shin Hin bagi perkhidmatan fotostat kertas soalan peperiksaan sebuah sekolah rendah dengan menyerahkan sekeping cek bernilai RM4,287.70, tetapi cek itu dibatalkan.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Mustafha.

    Majistret Mohd Firdaus Saleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula kes.- BERNAMA

  • Lebih separuh projek aktif di Pulau Pinang tidak patuh EIA

    Lebih separuh projek aktif di Pulau Pinang tidak patuh EIA

    LEBIH separuh projek di Pulau Pinang yang tertakluk di bawah aktiviti Perintah Kualiti Alam Sekeliling 2015 di Pulau Pinang dikesan gagal mematuhi laporan penilaian impak alam sekitar (EIA).

    Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, ia melibatkan sebanyak 54 daripada 85 projek aktif yang dikesan hasil pemeriksaan pihaknya sepanjang tahun ini termasuk projek berskala besar seperti kuari.

    Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 23 kompaun dan 16 Notis Arahan iaitu di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikeluarkan manakala satu penahanan operasi kelengkapan serta tujuh tindakan mahkamah turut diambil.

    “Antara kesalahan yang dikesan termasuk pemaju gagal memastikan projek yang dilaksanakan mematuhi peraturan ditetapkan khususnya dari segi pengurusan kualiti udara, air dan buangan terjadual,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Alam Sekitar berkaitan ‘Peranan EIA dalam Pembangunan Mampan’ di Seberang Jaya hari ini.

    Dalam pada itu, Sharifah Zakiah berkata, secara keseluruhan pihaknya telah menjalankan sebanyak 1,265 pemeriksaan ke atas projek aktif yang tertakluk kepada syarat EIA di Pulau Pinang sepanjang tahun ini.

    Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 743 pemeriksaan atau 58 peratus projek aktif didapat mematuhi syarat EIA manakala 522 pemeriksaan atau 42 peratus lagi didapati gagal mematuhi syarat ditetapkan.

    Sepanjang tempoh sama juga tambah beliau, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 426 kompaun bernilai RM852,000 serta 147 Notis Arahan (Seksyen 31 dan 37) kepada pemilik premis manakala 12 penahanan operasi kelengkapan serta 48 tindakan mahkamah turut diambil kerana melanggar peraturan ditetapkan.

    Dalam perkembangan berkaitan, Sharifah Zakiah berkata, JAS Pulau Pinang sepatutnya melakukan pemeriksaan ke atas 8,492 buah projek aktif sepanjang tahun ini berdasarkan jumlah aduan yang diterima.

    “Bagaimanapun disebabkan bilangan kakitangan yang terhad yang mana kita hanya mempunyai 60 kakitangan teknikal, maka JAS Pulau Pinang hanya mampu menjalankan kira-kira 15 peratus pemeriksaan buat masa in.

    “Sedangkan jumlah aduan khususnya berkaitan pencemaran alam sekitar yang diterima di Pulau Pinang ketika ini boleh dianggap antara yang tertinggi selepas Selangor.

    “Jadi situasi ini menyukarkan kita menyiasat segala aduan yang diterima secara terperinci,” katanya.

  • Dua lagi individu didakwa culik warga Palestin

    Dua lagi individu didakwa culik warga Palestin

    DUA lagi individu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

    Mohd Zaidi Mohd Zain, 54, dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 49, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua lelaki terbabit kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara niat bersama menahan Omar Z. M. Albelbaisy Raeda untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang di sini, pada 10.40 malam, 28 Sept lepas, kesalahan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin selepas Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamalluddin memaklumkan jaminan tidak ditawarkan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Dis ini.

    Pada 5 Okt, media melaporkan polis menyelamatkan mangsa berumur 31 tahun itu sehari selepas dia diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

    Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang dan Beranang di Selangor, serta di Melaka bermula 29 Sept hingga 4 Okt.

    Pada 14 Okt lepas, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan menculik mangsa sama (Omar), bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

    — BERNAMA

  • Remaja perempuan didakwa sebabkan kematian adik tanpa niat

    Remaja perempuan didakwa sebabkan kematian adik tanpa niat

    SEORANG remaja perempuan didakwa di Mahkamah Majistret Kanak-kanak Johor Bahru atas tuduhan menyebabkan kematian adik lelakinya tanpa niat dalam kejadian minggu lalu.

    Bagaimanapun, tertuduh berusia 17 tahun 11 bulan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Zuhainie Zull Kafli.

    Mengikut kertas pertuduhan, remaja terbabit didakwa menyebabkan kematian adik lelakinya yang mana dia menyedari perbuatannya boleh menyebabkan kematian di rumah mereka di Johor Bahru, pada 1.50 tengah hari, 19 Okt lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Pengarah Pendakwaan Negeri Johor Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos yang menjalankan pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000 bagi tertuduh.

    Bagaimanapun, barisan pembelaan terdiri daripada peguam Abd Rahim Ali, Jihad Syahida Nadia Zakaria dan Nur Zafirah Norizan memohon jumlah jaminan itu dikurangkan.

    “Tertuduh adalah seorang kanak-kanak dan tiada sebab dia melarikan diri,” kata mereka menurut Harian Metro.

    Selain itu, kita mengambil kira juga pendapatan keluarga dan latar belakang persekolahan yang mana pada tahun hadapan, tertuduh akan mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).”

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Gelang Patah sebulan sekali.

    Ikat jamin dibayar oleh bapa tertuduh dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 5 Dis ini.

    Dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Ulu Pulai itu, mangsa terbunuh selepas kakaknya membaling pisau pemotong sayur ke arahnya akibat perselisihan faham.

    Remaja berusia 16 tahun itu meninggal dunia kerana hujung pisau itu terkena pada saluran darah utama di bahagian kanan lehernya, sekali gus menyebabkan pendarahan yang banyak.

  • Lokman Adam kekal dipenjara sebulan hina mahkamah berkaitan kes 1MDB

    Lokman Adam kekal dipenjara sebulan hina mahkamah berkaitan kes 1MDB

    BEKAS Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, kekal dipenjara sebulan selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Ini berikutan keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Nordin Hassan hari ini yang menolak rayuan Lokman untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 15 Julai tahun lepas.

    Panel tiga hakim itu turut menolak rayuan silang dikemukakan pendakwaan terhadap hukuman penjara sebulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi tersebut.

    Pada 15 Julai 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Lokman selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 1MDB.

    Saksi itu ialah bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, yang juga saksi utama dalam kes tersebut.

    — BERNAMA

  • 14 PATI ditahan cuba sembunyi dalam laluan sungai

    14 PATI ditahan cuba sembunyi dalam laluan sungai

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KECEKAPAN sepasukan anggota tentera mengesan jejak membawa kepada penahanan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar yang cuba bersembunyi dalam laluan Sungai berhampiran Felda Bukit Tangga dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.

    Menurut kenyataan dikeluarkan Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen), kira-kira pukul 10.30 pagi semalam, tim ronda yang sedang melaksanakan tugas dalam Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia berjaya mengesan pergerakan sekumpulan individu dalam keadaan mencurigakan.

    “Tim ronda tersebut lalu bertindak menjejaki dan menahan kesemua mereka. Pemeriksaan mendapati 14 individu tersebut merupakan warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah untuk ke negara ini. Mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 39 tahun terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita. Kumpulan itu disyaki memasuki Malaysia tanpa melalui laluan yang sah,” katanya.

    Tambah beliau, barangan yang dirampas daripada PATI tersebut adalah tiga telefon bimbit, 10 kad pengenalan warganegara Myanmar, wang tunai dalam mata wang Myanmar dan tujuh beg pakaian dengan nilai keseluruhan kira-kira RM1,500.

    “Kesemua PATI tersebut diserahkan ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Bersara politik, Nazri kembali ke bidang guaman, jalankan perniagaan

    Bersara politik, Nazri kembali ke bidang guaman, jalankan perniagaan

    DATUK SERI Nazri Aziz, yang memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada  19 November  akan kembali ke bidang guaman dan menjalankan perniagaan kerana tidak lagi aktif dalam politik.

    Bagaimanapun, Ahli Parlimen selama enam penggal yang pernah menyandang beberapa jawatan menteri sejak 30 tahun lalu itu akan terus menjadi ahli UMNO.

    “Ini dalam darah saya,” katanya kepada  portal FMT.

    Nazri berkata, beliau akan ke bidang guaman bersama beberapa rakan dan memulakan perniagaan.

     “30 tahun menjalani kehidupan di mata umum adalah terlalu lama. Sudah tiba masa untuk beralih dan memberi laluan kepada generasi muda mengambil alih.”

    Bekas  Menteri Undang-Undang berusia 68 tahun itu berkata, beliau akan turun padang di kawasan Padang Rengas untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen dan dua calon DUN kerana beliau adalah pengerusi gabungan di sana.

    “Pada pilihan raya umum 2018 lalu, BN tidak memenangi kerusi itu secara mutlak memandangkan gabungan undi PAS dan PH adalah lebih tinggi daripada apa yang kita dapat,” katanya.

    “Sekarang Pas dan Bersatu berada dalam gabungan, undi PH akan pergi kepada calon PN. Jadi, saya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan jentera lama saya akan melakukan yang terbaik untuk menghalangnya.”

    Pada pilihan raya 2018, Nazri memperoleh 10,491 undi manakala pesaing terdekatnya Ejazi Yahaya (PKR) memperoleh 7,943 undi. Mohd Azalan Mohd Radzi (Pas) memperoleh 6,847 undi dan Ahmad Affandi Fairuz (Kita) 1,380 undi.

    Nazri telah menjadi Ahli Parlimen sejak 1995. Antara jawatan menteri yang pernah disandangnya adalah undang-undang, pembangunan usahawan serta pelancongan dan budaya. Beliau juga pernah menjadi timbalan menteri kewangan 1 dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

    Sebagai menteri dan ‘backbencher’, Nazri dikenali dengan sikap terus terangnya di Parlimen, kadangkala menyentuh isu sensitif yang melibatkan semua kaum.

    Beliau juga lantang mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad ketika bekas perdana menteri itu menyerang kepimpinan penggantinya Abdullah Ahmad Badawi.

    Beliau adalah antara Ahli Parlimen yang menarik balik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri tahun lalu, yang membawa kepada kejatuhan pentadbiran Perikatan Nasional (PN), membuka jalan kepada UMNO menerajui kerajaan.

  • Saya bukan pengkhianat, tak pernah lompat parti – Azmin

    Saya bukan pengkhianat, tak pernah lompat parti – Azmin

    KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menolak dakwaan mengatakan beliau dan kumpulannya sebagai pengkhianat kerana terbabit dalam ‘Langkah Sheraton’ pada Februari 2020.

    Bekas Timbalan Presiden PKR itu sebalikya menegaskan, pengkhianat sebenar adalah pihak yang terbabit dalam dua langkah politik lain iaitu Langkah Kajang dan Langkah Port Dickson.

    Langkah Kajang merujuk pada rancangan menjadikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dengan bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 2014, namun gagal selepas mahkamah mendapati beliau bersalah atas tuduhan liwat.

    Langkah Port Dickson pula menyaksikan Ketua Pembangkang itu bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson bagi membolehkan beliau berpeluang menjadi Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad, namun gagal selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditumbangkan.

    Menurut Mohamed Azmin, pihak yang terbabit dalam kedua-dua langkah politik itu adalah pengkhianat sebenar, selepas wakil rakyat yang masih berkhidmat dipaksa meletakkan jawatan bagi memenuhi ‘nafsu serakah seseorang’.

    “Pengkhianat sebenar adalah mereka yang lakukan PRK di Kajang. Mengapa tidak fokus pada Langkah Kajang, Langkah Port Dickson, tetapi fokus pada Langkah Sheraton saja.

    “Sedangkan Langkah Kajang adalah satu pengkhianatan mutlak, apabila wakil rakyat yang masih hidup, masih berkhidmat dan dipilih pada pilihan raya umum (PRU), tetapi oleh kerana nafsu serakah seseorang, maka dipaksa meletak jawatan untuk membolehkan beliau menjadi Menteri Besar Selangor.

    “Begitu juga di Port Dickson, apabila wakil rakyat yang masih hidup, berkhidmat dan dipilih ketika PRU, dipaksa meletak jawatan untuk memenuhi nafsu serakah seseorang yang ingin menjadi Perdana Menteri? Apakah ini bukan pengkhianatan?” katanya ketika temu bual dalam rancangan Agenda AWANI, lapor Berita Harian.

    Beliau mempertahankan Langkah Sheraton, yang merujuk pada tindakan BERSATU dan 11 Ahli Parlimen PKR dirinya keluar daripada Pakatan Harapan (PH), menyebabkan gabungan itu hilang majoriti sebagai kerajaan.

    Mohamed Azmin berkata, peristiwa itu berbeza dengan Langkah Kajang dan Port Dickson, yang mana tiada sesiapa dipaksa meletakkan jawatan, selain ia didakwa memperkukuh kedudukan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika itu.

    “Malangnya, oleh kerana pergaduhan dan perebutan kuasa dalam PH itu sendiri menyebabkan Dr Mahathir meletak jawatan.

    “Mengapa dipersalahkan saya atau Tan Sri Muhyiddin Yassin sedangkan berlakunya kekosongan itu kerana Perdana Menteri meletak jawatan, maka proses penggantian dilakukan mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

    Pada masa sama, Mohamed Azmin menegaskan tidak pernah melompat parti ketika itu, sebaliknya beliau dipecat oleh PKR, sekali gus tidak sepatutnya digelar ‘katak politik’.

    “Saya tak pernah lompat (parti). Tuduhan bahawa kita golongan katak adalah tidak berasas kerana saya dan kumpulan saya dipecat akibat tidak wujud demokrasi dalam parti lama.

    “Saya dipecat kerana menegur seseorang yang terlalu rakus untuk berkuasa dalam negara. Apakah itu salah? Saya menegur kerana melihat PH gagal melaksanakan dasar yang peduli dan prihatin rakyat,” katanya.

    Pada masa sama, beliau menuduh PH gagal memenuhi aspirasi rakyat, menyebabkan kerajaan yang dibentuk dengan mandat rakyat Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) itu gagal dipertahankan.

    Sebagai contoh, katanya, tindakan lapan menteri PH mendesak Perdana Menteri ketika itu menukar lapan Ketua Setiausaha kementerian dilihat sebagai cuba bergaduh dengan anggota pentadbiran awam.

    “Banyak juga peruntukan pembangunan dipadamkan, menyebabkan sesuatu kaum dalam negara rasa tertekan.

    “Selain itu, beberapa kenyataan keras bersifat keterlaluan (oleh pemimpin PH) menyebabkan rakyat tidak rasa harmoni duduk dalam pentadbiran PH,” katanya.