Category: Semasa

  • Remaja lelaki lemas dibawa arus deras ketika seberang sungai

    Remaja lelaki lemas dibawa arus deras ketika seberang sungai

    SEORANG remaja lelaki berusia 16 tahun ditemui meninggal dunia selepas dibawa arus deras ketika cuba menyeberangi Sungai Gong, Rawang, malam kelmarin.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian pada pukul 8.07 malam.

    Beliau berkata, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Bomba tiba 11 minit kemudian dan mendapati kejadian berlaku ketika tiga beranak cuba menyeberangi sungai selepas selesai aktiviti memancing.

    “Bapa dan adik mangsa berjaya diselamatkan oleh pemancing lain, manakala mangsa, Muhammad Alif Fahmi Abdullah, hilang dibawa arus deras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, pencarian mangsa diteruskan sehingga ke perangkap sampah kira-kira 800 meter dari lokasi dilaporkan hilang.

    “Mayat mangsa ditemui di kawasan perangkap sampah Fruit Valley Bestari Jaya, pada pukul 2.30 petang tadi,” katanya, lapor Utusan TV.

    Norazam berkata, mayat dibawa naik ke darat sebelum diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.

    Tambahnya, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3 petang tadi.

  • Jangan campur urusan Malaysia hantar pulang pelarian – Hamzah

    Jangan campur urusan Malaysia hantar pulang pelarian – Hamzah

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin meminta  Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta mana-mana kumpulan hak asasi manusia supaya jangan campur tangan dalam urusan penghantaran pulang pelarian dari Myanmar ke negara asal mereka.

    Beliau berkata warga asing yang ditahan seterusnya dihantar pulang ke negara asal bermakna mereka telah melanggar undang-undang Malaysia.

    “Bukan hanya Myanmar, bukan hanya datang dari sesuatu negara tetapi seluruh dunia yang datang sini melanggar undang-undang ada kesalahan dan sudah sampai tempoh untuk kita hantar balik, kita hantar balik.

    “Jadi UNHCR, United Nations (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) ke atau mana-mana sekalipun kalau orang yang kita tangkap itu masuk ikut cara sah dan mempunyai dokumen , kemudian melanggar undang-undang dan dihukum, kita akan hantar balik,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Kita Demi Negara – Zon Timur yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, di Dataran Lembah Sireh, di sini hari ini.

    Hamzah berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Human Rights Watch (HRW) yang berpangkalan di New York supaya kerajaan menghentikan penghantaran pulang pencari suaka politik dari Myanmar kerana meletakkan nyawa mereka dalam bahaya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya turut memahami ada warga asing yang datang ke negara ini sebagai pelarian dan pencari suaka politik.

    “Kita pun faham dan sedar, dari segi kemanusiaan kita tidak akan hantar orang yang akan menyebabkan mereka nanti ‘hilang’ di negara asal. Kita tidak akan melakukan perkara yang boleh menyebabkan kezaliman terhadap individu yang dihantar pulang,” katanya.

    Mengenai cadangan untuk menutup pejabat UNHCR, Hamzah berkata perkara itu masih diteliti.

    “Kita sedang meneliti dan akan buat keputusan sama ada UNHCR patut ada di sini atau tidak. Sebagai sebuah negara yang bermaruah, saya patut jaga negara kita dulu sebelum menjaga orang luar,” katanya. – BERNAMA

  • Negara beri peluang anak muda pegang jawatan penting

    Negara beri peluang anak muda pegang jawatan penting

    MALAYSIA diyakini sedang bergerak seiring negara luar, dalam memberi ruang kepada anak muda untuk menyandang jawatan penting organisasi termasuk pentadbiran kerajaan.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata anak muda sewajarnya diberi peluang dan dididik sebaik mungkin agar wujud generasi atau pelapis berkaliber pada masa akan datang.

    “Apabila kita cakap tentang kepimpinan muda, setiap daripada kita perlu mainkan peranan dalam mengasuh anak-anak kita.

    “Kita mesti bina generasi baharu yang jauh lebih hebat daripada kita,” katanya pada forum bertajuk ‘Kecemerlangan Kepimpinan’ yang diadakan sempena Forum Eksekutif Muda Global 2022 anjuran Kementerian Belia dan Sukan, di sini hari ini.

    Beliau berkata seorang pemimpin perlu jujur dan ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab, sedia mendengar dan sedia untuk diajar, selain menyusun pandangan yang diterima mengikut keutamaan.

    Memberi contoh dalam mengemudikan Kementerian Pendidikan (KPM) setakat ini, Radzi berkata beliau menggunakan pendekatan berstruktur yang akan memberi impak positif dalam jangka masa panjang kepada pelajar sekolah.

    “Perubahan adalah perkara yang paling ditakuti oleh semua. Sebab itu pemimpin kena berani bawa perubahan tapi berasas, berani berdasarkan maklumat yang tepat dan objektif yang jelas,” katanya merujuk kepada pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

    Katanya setiap perubahan yang dilakukan KPM, termasuk kedua-dua ujian itu, telah melalui pelbagai proses perbincangan teliti dengan pelbagai pihak berkepentingan dan tidak dibuat secara tergesa-gesa seperti yang didakwa ramai pihak. – BERNAMA

  • Bekas pengerusi MyWatch bebas tuduhan peras ugut

    Bekas pengerusi MyWatch bebas tuduhan peras ugut

    MAHKAMAH Rayuan hari ini membebaskan bekas pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch) Datuk Seri R. Sri Sanjeevan terhadap pertuduhan memeras ugut seorang ahli perniagaan sembilan tahun lepas.

    Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Ahmad Nasfy Yasin, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Seri Mariana Yahya membenarkan rayuan terakhirnya bagi mengetepikan sabitan, selepas memutuskan bahawa sabitan itu tidak selamat.

    Pada 14 Ogos 2018, Sanjeevan dihukum penjara tiga bulan dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Temerloh selepas didapati bersalah memeras ugut Chan Leong Kwan, 46, dengan meminta wang tunai RM1,500 atau mangsa berdepan risko tidak boleh meneruskan perniagaan.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Dagangan 8, Pusat Dagangan Triang Pahang, Bera pada 9.45 malam 1 Julai 2013 mengikut mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

    Pada 27 Nov 2020, Mahkamah Tinggi Temerloh mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret, dan pada 4 Dis tahun yang sama, Mahkamah Tinggi turut membenarkan permohonan Sanjeevan untuk menangguhkan hukuman penjara sehingga rayuannya diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

    Dalam keputusan hari ini, Hakim Ahmad Nasfy yang mempengerusikan panel itu berkata Sanjeevan dinafikan perbicaraan yang adil apabila pihak pendakwaan tidak memanggil atau menawarkan kepada pihak pembelaan tujuh saksi yang hadir di tempat kejadian.

    Beliau juga berkata terdapat juga salah pelaksanaan keadilan apabila pegawai penyiasat tidak merekodkan kenyataan Sanjeevan.

    Beliau berkata majistret telah tersalah arah apabila berpendapat bahawa terdapat pengecaman positif perayu (Sanjeevan), dan keputusan magistret meletakkan beban besar pembuktian terhadap Sanjeevan bagi mewujudkan pembelaan alibinya, adalah salah.

    Sementara itu mahkamah turut mengetepikan rayuan balas pendakwaan untuk hukuman lebih berat terhadap Sanjeevan.

    Peguam Datuk V.Sithambaram, S.Preakas dan Miguel Sequerah mewakili Sanjeevan, manakala Timlalan pendakwa raya Zaki Asyraf Zubir dan Aida Khairuleen Azli mewakili pihak pendakwaan.

  • Bicara kes Safiey Ilias Julai 2023, 12 saksi dipanggil

    Bicara kes Safiey Ilias Julai 2023, 12 saksi dipanggil

    PERBICARAAN kes usahawan kosmetik Safiey Ilias yang menghadapi empat pertuduhan termasuk melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap dua remaja lelaki melalui aplikasi Instagram akan bermula 24 Julai tahun depan di Mahkamah Sesyen Ampang.

    Hakim Norhazani Hamzah menetapkan empat hari bermula 24 hingga 27 Julai 2023 untuk perbicaraan kes Safiey, 28, atau nama sebenarnya Mohd Safiuddin Ilias semasa sebutan kes itu hari ini.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurhashimah Hashim berkata pihaknya akan mengemukakan 12 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes berkenaan.

    Safiey Ilias yang diwakili peguam Harjeet Singh Sidhu didakwa atas dua pertuduhan berkomunikasi secara seksual dengan dua mangsa menerusi aplikasi Instagramnya di kediamannya di Bandar Baru Bangi pada 9 pagi, 9 Jun 2021.

    Penyanyi lagu ‘Syinta Gila’ itu juga menghadapi dua pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menggoyang-goyangkan payu dara di hadapan mangsa di lokasi, masa dan tarikh sama.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan Seksyen 15 (a)(i) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Cucu lelaki dipenjara 12 bulan cederakan nenek

    Cucu lelaki dipenjara 12 bulan cederakan nenek

    SEORANG lelaki dijatuhi hukuman 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di Melaka hari ini atas pertuduhan menampar dan meletakkan cekodok panas pada tangan neneknya.

    Majistret Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu terhadap Nazri Zol, 34, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

    Sinar Harian melaporkan, berdasarkan pertuduhan, Nazri dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap neneknya, Halimah Hassan, 83.

    Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan SB 1, Taman Sutera Belia, Batu Berendam, Melaka pukul 9.20 pagi pada 21 Oktober lalu.

    Kesalahan itu tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 mengikut Seksyen 323 dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

    Mengikut fakta kes, berlaku pertengkaran pada hari kejadian antara tertuduh dengan ibunya selepas tertuduh menolak neneknya.

    Tertuduh kemudian bertindak menampar belakang badan dan muka nenek serta mengambil kuih cekodok panas dan diletakkan pada tangan kanan warga emas itu.

    Tindakan itu menyebabkan wanita terbabit mengalami kecederaan sebelum tertuduh ditangkap di lokasi dan hari sama pada jam 10 malam.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan begitu serius dan tidak sewajarnya dilakukan seorang cucu terhadap neneknya.

    Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman 12 bulan penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 21 Oktober lalu.

  • Tommy Thomas saman Pasukan Petugas Khas, kerajaan

    Tommy Thomas saman Pasukan Petugas Khas, kerajaan

    Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas hari ini memfailkan saman pemula terhadap terhadap kerajaan dengan memohon perisytiharan bahawa laporan bertajuk ‘Laporan Pasukan Petugas Khas – Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice In The Wilderness’ adalah dokumen tidak sah dan bertentangan undang-undang.

    Lapor Berita Harian, Tommy yang memfailkan saman itu hari ini melalui firma guaman Tetuan Tommy Thomas, menamakan pengerusi dan ahli Pasukan Petugas Khas terbabit serta Kerajaan Malaysia selaku defendan.

    Mereka adalah Pengerusi Datuk Seri JC Fong dan ahlinya Datuk Seri Hashim Paijan, Datuk Dr Junaidah Kamarruddin, Datuk Jagjit Singh Bant Singh, Datuk Shaharudin Ali, K Balaguru, Farah Adura Hamidi, dan Najib Suri.

    Beliau turut memohon perisytiharan bahawa Pasukan Petugas Khas adalah badan tidak sah dan tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk melaksanakan fungsi yang diberikan oleh kerajaan.

    Selain itu, turut dipohon adalah perisytiharan bahawa penerbitan laporan itu oleh kerajaan melanggar hak beliau seperti yang dilindungi oleh Perkara 5(1) (kebebasan asasi ) dan 13(1) perlembagaan persekutuan.

    Laporan STF yang dinyahklasifikasi kerajaan pada 13 Oktober lalu antara lain mengesyorkan supaya bekas Peguam Negara itu disiasat atas kemungkinan pelbagai kesalahan telah dilakukannya.

    Ia ialah antara tiga syor pasukan berkenaan dalam laporan siasatannya yang kini boleh diakses secara terbuka melalui laman sesawang rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

    Pasukan khas itu juga mencadangkan empat langkah yang perlu diambil kerajaan bagi menangkis persepsi umum terhadap campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman atau kekurangan kebebasan kehakiman.

    Langkah itu termasuk pindaan ke atas Seksyen 5(f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 bagi membolehkan pelantikan empat individu yang dihormati dalam JAC, dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Ketua Hakim Negara.

    Selain itu, Perdana Menteri perlu secara tegas mematuhi Seksyen 2 Akta JAC bagi mempertahankan kebebasan kehakiman.

    “Suruhanjaya Perkhidmatan Perundangan dan Kehakiman perlu diasingkan kepada dua badan bebas. Satu ialah badan mengendalikan pelantikan, kenaikan pangkat, pemindahan pegawai kehakiman untuk ditempatkan bawah Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

    “Satu lagi badan bagi mengendalikan pelantikan, kenaikan pangkat, pemindahan pegawai perundangan untuk ditempatkan bawah Pejabat Peguam Negara.

    “Pejabat Peguam Negara perlu dipisahkan daripada Pendakwa Raya,” katanya dalam bahagian Ringkasan Eksekutif laporan berkenaan.

    Pasukan itu juga mengesyorkan supaya garis panduan diwujudkan bagi mentadbir urus pelaksanaan kuasa oleh Peguam Negara untuk melantik peguam luar bagi mewakili kerajaan dalam kes sivil serta untuk mendakwa kesalahan, supaya pelaksanaan kuasa itu boleh dilakukan secara telus dengan integriti dan bukan sewenang-wenangnya.

    Sementara itu berdasarkan pemerhatian umum, pasukan terbabit berkata, walaupun Tommy daripada Majlis Peguam mempunyai kelayakan dari segi perundangan untuk dilantik sebagai Peguam Negara, beliau kurang pengalaman dan kemahiran pengurusan bagi menerajui atau bertanggungjawab ke atas sebuah jabatan kerajaan yang besar dengan lebih 2,000 pegawai perundangan serta sejumlah besar kakitangan sokongan.

    “Walaupun beliau kritikal mengenai apa yang dianggapnya sebagai kekurangan pengalaman pegawai perundangan dalam sesetengah bidang undang-undang dan kekurangan komitmen dalam tugas mereka, beliau tidak mengambil atau memulakan sebarang langkah untuk memperbaiki kelemahan itu.

    “Satu-satunya langkah yang diambil beliau ialah melantik peguam luar pilihannya dengan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

    Memperincikan siasatan, pasukan itu memaklumkan, mereka menyiasat 19 dakwaan dalam buku berkenaan dan terdapat empat isu utama yang dikaitkan, iaitu badan kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tanpa kebenaran, penyalahgunaan kuasa dan kecuaian profesional; serta kenyataan menghasut.

    Katanya, berdasarkan analisis dan pemerhatian terhadap dakwaan berkenaan serta maklumat dan dokumen yang disediakan, jawatankuasa itu berpendapat ada kemungkinan berlaku pelanggaran terhadap lima undang-undang dan peraturan.

    Ia termasuk Seksyen 124I dan 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 serta Peraturan, Prosedur dan Pekeliling Kerajaan.

    Selain itu, terdapat campur tangan eksekutif dalam pelantikan hakim dan kesannya ke atas kebebasan badan kehakiman secara umum; pendedahan maklumat kerajaan dan rahsia rasmi yang tidak dibenarkan; serta penyalahgunaan kuasa, tindakan yang diambil melangkaui kuasa dan kecuaian profesional.

  • Indeks jenayah negeri Pantai Timur tunjuk penurunan – Hamzah

    Indeks jenayah negeri Pantai Timur tunjuk penurunan – Hamzah

    INDEKS jenayah di Kelantan, Terengganu dan Pahang menunjukkan penurunan ketara berbanding sasaran yang ditetapkan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata ia dicapai hasil usaha yang dilaksanakan oleh semua agensi keselamatan melalui operasi dan penguatkuasaan secara berterusan.

    “Misalnya, di Kelantan purata penurunan setahun adalah sebanyak 25 peratus.

    “Walaupun demikian, KDN melalui agensi-agensi di bawahnya sentiasa berusaha mengekang kegiatan jenayah untuk meningkatkan rasa selamat rakyat khususnya di negeri Pantai Timur ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Program Kita Demi Negara – Zon Timur yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di Dataran Lembah Sireh, di sini hari ini.

    Untuk rekod, nisbah indeks jenayah bagi 10,000 penduduk di Kelantan mencatatkan 83.17 peratus setakat 30 Sept lepas berbanding 101.50 peratus bagi tempoh sama pada 2021.

    Di Terengganu, indeks jenayah mencatatkan 86.65 peratus berbanding 121.48 peratus manakala di Pahang pula, indeks jenayah menunjukkan penurunan kepada 80.14 peratus berbanding 115.85 peratus bagi tempoh sama tahun lepas. – BERNAMA

  • Imigresen tumpaskan sindiket penyeludupan manusia di Kelantan

    Imigresen tumpaskan sindiket penyeludupan manusia di Kelantan

    JABATAN Imgresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket penyeludupan manusia yang aktif sejak Mei lalu dalam serbuan di Terminal Bas Utama Kota Bharu dan Pasir Mas, Kelantan, semalam.

    Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, Ops Gelombang dilancarkan bermula pukul 6 petang oleh sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama Jabatan Imigresen Kelantan.

    Dalam serbuan itu katanya, pasukan operasi berjaya menahan seramai lapan orang lelaki warganegara Malaysia berumur antara 17 hingga 37 tahun yang bertindak sebagai Transporter bagi sindiket ini.

    Menurut beliau, turut ditahan adalah seramai 49 orang pedatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar terdiri daripada 32 lelaki, 16 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai baru tiba dari negara jiran melalui jalan tikus.

    “Semasa serbuan, terdapat transporter tempatan dan PATI yang cuba melarikan diri, namun gagal kerana kawasan berkenaan telah dikepung.

    “Pasukan operasi juga mengambil tindakan berjaga-jaga kerana sindiket ini dipercayai agresif dan bersedia melakukan ancaman fizikal untuk melepaskan diri,” katanya dalam kenyataaan hari ini.

    Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, JIM turut merampas 10 buah kenderaan pelbagai jenis dianggar bernilai RM200,000 yang digunakan sindiket untuk membawa PATI.

    Beliau berkata, berdasarkan maklumat awam dan hasil risikan, modus operandi sindiket ini adalah menyeludup PATI melalui jalan laut melintasi sempadan Malaysia-Thailand dengan mengambil bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 setiap seorang.

    “Kesemua PATI ini kemudian akan di bawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru untuk bekerja secara tidak sah. Bagi PATI wanita pula, mereka dipercayai bekerja sebagai tukang urut atau menawarkan perkhidmatan seks.

    “Berdasarkan anggaran seramai 160 PATI sebulan yang di bawa masuk oleh sindiket ini, kerajaan dianggarkan telah mengalami kerugian hasil sebanyak RM1.7 juta dalam bentuk kutipan levi pekerja asing,” katanya.

    Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, kesemua PATI ditangkap disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

    “Lapan lelaki tempatan yang ditahan pula akan dihadapkan ke mahkamah untuk perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan siasatan,” tambahnya.

  • Pengubahan wang haram RM9.5 juta: Shafee bebas atau bela diri esok

    Pengubahan wang haram RM9.5 juta: Shafee bebas atau bela diri esok

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan esok, kes Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak dan membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dijangka menyampaikan keputusan sama ada memanggil Muhammad Shafee, 70,  membela diri atau dibebaskan atas empat pertuduhan itu pada 9 pagi.

    Pada 12 Mei lepas, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil  lapan saksi pada perbicaraan yang bermula 21 Mei 2021.

    Antara saksi  itu ialah Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan R.Uma Devi, Pengurus Cawangan CIMB Bank Bukit Tunku Rosnita Ahmad, bekas pegawai LHDN Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad dan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Farid Jabar.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz manakala Muhammad Shafee diwakili peguam Harvinderjit Singh, Farhan Read dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

    Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melibatkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib yang telah dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

    Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Taman Tunku, Bukit Tunku dekat sini pada 13 Sept 2013 dan 17 Feb 2014.

    Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Peguam itu juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada akitiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul yang  bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

    Bagi pertuduhan itu, dia didakwa meninggalkan pendapatan yang telah diterima pada 13 Sept 2013 berjumlah RM4.3 juta dan pendapatan yang diterima pada 17 Feb 2014 berjumlah RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh, yang mana tertuduh dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk membuat penyata bagi pihak tertuduh.

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – BERNAMA