Category: Semasa

  • Akaun FB palsu guna nama isteri TMJ promosi penyaman udara

    Akaun FB palsu guna nama isteri TMJ promosi penyaman udara

    POLIS menerima laporan daripada seorang lelaki berkaitan penyamaran akaun Facebook yang menggunakan nama isteri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam, semalam.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata lelaki berusia 40 tahun itu membuat laporan pada 3.19 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan selepas mendapati akaun berkenaan adalah palsu.

    Beliau berkata dalam satu hantaran menerusi akaun berkenaan terdapat kapsyen yang menggambarkan Che’ Puan Besar Khaleeda mempromosikan penyaman udara dari Jepun.

    Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu melalui penyamaran dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Kamarul Zaman menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial untuk kepentingan peribadi dan tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

  • Buruh kontrak dituduh rogol anak sendiri

    Buruh kontrak dituduh rogol anak sendiri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG buruh kontrak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Alor Setar hari ini atas tiga pertuduhan merogol anaknya antara Disember 2016 hingga Februari 2017.

    Tertuduh yang berusia 52 tahun bagimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut di depan Hakim, Zaihan Mohamad Ali.

    Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu ketika anaknya berusia 16 tahun di bilik air rumah mereka di Kampung Paya Sena, Pendang kira-kira pukul 2.30 petang pada Disember 2016.

    Sementara pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama di bilik tidur rumah tersebut pada Disember 2016, kira-kira pukul 4 petang.

    Tertuduh kemudiannya didakwa merogol anaknya itu buat kali ketiga di bilik tidur rumah sama pada Februari 2017, pukul 9 pagi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan manakala tertuduh diwakili peguam, A. Surendran.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 27 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula dengan tertuduh turut dibenarkan diikat jamin sebanyak RM18,000 bagi tiga pertuduhan tersebut.

  • PM umum RM100 kepada 10 juta rakyat dewasa

    PM umum RM100 kepada 10 juta rakyat dewasa

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan RM100 setiap seorang kepada kira-kira 10 juta rakyat dewasa Malaysia, untuk dikreditkan dalam e-dompet mereka.

    Beliau berkata penerima adalah mereka yang berpendapatan tahunan RM100,000 dan ke bawah, terdiri daripada mereka dalam kategori B40 dan M40.

    “Dana untuk kemudahan ini akan mencecah sekitar RM1 bilion,” katanya pada pelancaran “Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat” di Suruhanjaya Sekuriti hari ini lapor Malaysianow.

    Bulan lalu, kerajaan mula mengagihkan RM200 dalam bentuk kredit e-tunai di bawah program e-Tunai Belia Rahmah melibatkan kira-kira dua juta belia berumur 18 hingga 20 tahun dan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan jumlah peruntukan RM400 juta. 

    Anwar berkata, pengumuman hari ini adalah selepas mengambil kira kejayaan program e-tunai.

  • Bantuan khas RM300 bagi penjawat awam, RM200 pesara kerajaan

    Bantuan khas RM300 bagi penjawat awam, RM200 pesara kerajaan

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan khas RM300 bagi penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, manakala RM200 untuk pesara kerajaan.

    Menteri kewangan itu berkata, veteran tentera dengan atau tanpa pencen turut akan mendapat bantuan khas RM200.

    “Bantuan khas ini akan memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam, termasuk lantikan kontrak serta lebih sejuta pesara,” katanya lapor FMT.

    Beliau berkata, ia langkah sementara kerana Putrajaya sedang mengkaji pelarasan gaji penjawat awam, yang dijanjikannya akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu.

    Pada 13 Julai lalu, Anwar dilaporkan berkata, cadangan akan dibuat bagi skim gaji perkhidmatan awam ditambah baik secara berperingkat, berdasarkan kemampuan ekonomi negara.

    Katanya, ia akan dbincangkan dalam mesyuarat dengan Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Zulkapli Mohamed sebelum PRN pada 12 Ogos ini.

    Ahad lalu, Anwar berkata, beliau akan mempengerusikan mesyuarat pengurusan pertama mengenai pelarasan skim gaji itu pada minggu depan.

  • Lelaki ditemui mati dalam kereta terbakar di tempat parkir

    Lelaki ditemui mati dalam kereta terbakar di tempat parkir

    SEORANG lelaki ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta yang terbakar di kawasan parkir Jalan Putra Square 7, Sri Dagangan di Kuantan hari ini.

    Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, mayat mangsa ditemui dengan kesan terbakar di tempat duduk pemandu kereta terbabit.

    “Kejadian dilaporkan pukul 6.58 pagi. Tujuh anggota bomba termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan ke lokasi untuk bantuan memadam kebakaran kereta terlibat.

    “Ketika tiba di lokasi mendapati terdapat mangsa dalam kenderaan itu. Kerja-kerja pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran hos saluran bantu mula air dari tangki jentera,” katanya dalam kenyataan.

    Zulfadli berkata, kebakaran berjaya dipadamkan bagaimanapun kereta terlibat musnah terbakar hampir 90 peratus manakala mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, lapor Sinar Harian.

  • Pernah jadi rakan kongsi Jasmine Loo: Peguam Najib mungkin minta hakim tarik diri

    Pernah jadi rakan kongsi Jasmine Loo: Peguam Najib mungkin minta hakim tarik diri

    PASUKAN pembelaan Datuk Seri Najib Razak sedang menimbang kemungkinan memohon hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menarik diri daripada perbicaraan kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion terhadap bekas Perdana Menteri itu.

    Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah berkenaan perkara itu susulan pendedahan Sequerah semalam yang beliau pernah menjadi rakan kongsi dalam firma guaman yang sama dengan Jasmine Loo.

    Jasmine Loo merupakan individu yang kini dalam tahanan berkaitan skandal 1MDB, lapor Malaysiakini.

  • Pas tak pernah zalimi bukan Melayu, kata Idris Ahmad

    Pas tak pernah zalimi bukan Melayu, kata Idris Ahmad

    NAIB Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad meredakan kebimbangan masyarakat Cina terhadap parti itu dengan memetik pemerintahannya selama 33 tahun di Kelantan.

    Menurutnya, tiada orang Cina dibunuh atau orang India dipenggal di negeri pantai timur itu selama Pas mentadbir lebih tiga dekad.

    “Walaupun orang bukan Islam kurang 10 peratus daripada populasi negeri itu, mereka hidup aman.

    “Sebab apa? Kita, orang Islam lagi kuat pegang agama dan pandai hormat orang. Kita wajib jaga orang bukan Islam.

    “Saya tidak boleh khianat orang bukan Islam,” kata bekas menteri agama itu selepas pengumuman senarai calon Perikatan Nasional bagi PRN Pulau Pinang, malam tadi.

    Beliau membalas dakwaan lawan PN, khasnya DAP bahawa masyarakat Cina berdepan kesukaran jika mereka bersekutu dengan Pas.

    “Insya-Allah, Pas tidak akan menzalimi tuan-tuan dan puan-puan (orang bukan Melayu). Yakin dan percayalah,” katanya memetik laporan FMT.

    Beliau berkata demikian sehari selepas Ketua PN Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dilaporkan menggesa pengundi tidak takut dengan istilah gelombang hijau yang direka seteru PN untuk menakutkan pengundi daripada menyokong gabungan itu.

  • Saya tak lari dari DUN Bukit Antarabangsa, kata Azmin

    Saya tak lari dari DUN Bukit Antarabangsa, kata Azmin

    DATUK Seri Azmin Ali berkata menafikan beliau lari daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa yang dimenanginya sejak 2008 apabila dicalonkan di DUN Hulu Kelang untuk pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Azmin berkata, ini kerana Hulu Kelang juga terletak dalam kawasan Parlimen Gombak, yang juga disandangnya sejak 2008 sebelum tewas pada PRU lalu.

    “Saya ingin tekankan Hulu Kelang adalah kerusi utama saya sejak 1999 dan ketika saya jadi ahli Parlimen Gombak selama tiga penggal, Hulu Kelang adalah sebahagian daripada parlimen ini jadi soal saya melarikan diri tidak timbul,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon PN di Selangor di Taman Medan malam tadi.

    Azmin menang di DUN Hulu Kelang pada PRU 1999 sebelum berpindah ke DUN Bukit Antarabangsa pada PRU 2008.

    Awal tahun ini, bekas Menteri Besar Selangor itu mengumumkan beliau akan berehat sekejap daripada politik selepas tewas di Parlimen Gombak pada PRU tahun lalu.

    Namun, menjelang PRN timbul spekulasi bahawa dia akan bertanding di Hulu Kelang dan itu disahkan semasa pengumuman rasmi semalam.

    Ditanya sebab beliau membuat keputusan untuk bertanding, Azmin berkata, beliau memang berhasrat untuk bersara namun partinya mahu beliau tetap bertanding.

    “Jadi saya akur dengan Presiden dan Majlis Piminan Tertinggi untuk bertanding dalam PRN,” katanya lagi, lapor Malaysiakini.

    Azmin bagaimanapun tidak menjawab dengan jelas apabila ditanya jika beliau merupakan calon Menteri Besar jika Perikatan Nasional (PN) menang di Selangor.

    Katanya, tumpuan pada waktu ini adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya soal jawatan.

    “Dan untuk kita laksanakan dasar untuk rakyat, kita perlu menang pilihan raya dahulu dan menang dengan meyakinkan,” katanya.

  • Pimpinan Pusat PN perjelas pencalonan Dominic di DUN Bayan Lepas hari ini

    Pimpinan Pusat PN perjelas pencalonan Dominic di DUN Bayan Lepas hari ini

    PIMPINAN Pusat Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan sidang akhbar khas hari ini bagi menjelaskan mengenai kontroversi pencalonan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas di Pulau Pinang.

    Perkara itu dimaklumkan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff kepada pemberita malam tadi selepas majlis pengumuman calon PRN Pulau Pinang di Pongsu Seribu, Kepala Batas malam tadi oleh Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

    Terdahulu, Muhammad Fauzi ditanya media berhubung kedudukan sebenar pencalonan Dominic di kerusi DUN Bayan Lepas selepas namanya tidak diumumkan di pentas meskipun berada dalam senarai 40 calon PN Pulau Pinang yang diedarkan kepada media kemudiannya.

    “Biasalah tu, semua parti ada percanggahan pendapat. Kita mengambil tanggungjawab sebagai pimpinan untuk mententeramkan pengikut kita. Sebab itu, PN Pusat mengambil tanggungjawab untuk mengumumkan esok (hari ini). Maka, kami di Pulau Pinang, tak mau bagi, ‘special’ juga lah. Entah-entah dia (keputusan) berubah,” katanya.

    Dalam pada itu, Ronald ketika ditanya mengenai perkara sama bagaimanapun meminta pemberita merujuk senarai penuh calon yang terpilih di dalam web Pas.

    Usaha untuk mendapatkan maklum balas Dominic juga gagal apabila beliau meninggalkan majlis pengumuman calon tersebut lebih awal.

    Dalam pada itu, PN Pulau Pinang pada PRN kali ini akan dibarisi oleh seramai 19 calon daripada Gerakan; Bersatu (11) dan Pas (10).

    Antara penyandang yang akan mempertahankan kerusi masing-masing ialah calon Pas, Mohd. Yusni Mat Piah di kerusi DUN Penaga selain dua lagi calon Bersatu iaitu Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh).

    Lebih separuh calon PN Pulau Pinang pada PRN kali ini juga merupakan muka baharu dengan calon Gerakan, Heng See Lin menjadi satu-satunya calon wanita yang akan bertanding di DUN Datuk Keramat.

  • Sanusi cabar Saifuddin siasat 3 skandal ketika Kedah ditadbir PH,BN

    Sanusi cabar Saifuddin siasat 3 skandal ketika Kedah ditadbir PH,BN

    ”Pudin sila siasat, dah kamu rajin sangat pergi siasat” – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Ssri Saifuddin Nasution Ismail dicabar untuk menyiasat tiga skandal yang didakwa berlaku ketika Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mentadbir Kedah.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor  mendakwa, Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengalami kerugian berjumlah RM36 juta dan berhutan RM149 juta.

    Disebabkan itu kata Muhammad Sanusi, kerajaan negeri di bawah pimpinannya terpaksa menggunakan wang yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan negeri, bagi membayar hutang yang ditinggalkan PH demi menyelamatkan SADA.

    “Dia (Saifuddin) selalu tanya suruh kita jawab, malam ini saya nak tanya kamu jawab. Masa kamu (PH) jadi kerajaan 2018 hingga 2020, SADA mengalami kerugian RM36 juta dan ada hutang RM149 juta, mengapa masa itu kamu tak siasat?

    “RM36 juta dan RM149 juta itu saya yang bayar, kenapa kamu tak siasat? Pergi siasat. Dengan jumlah RM185 juta itu PH punya kerja, Pudin sila siasat. Waktu BN memerintah, dibuat perjanjian dengan satu syarikat untuk membangunkan Jerai International Park. Perjanjian itu telah dilanggar menyebabkan kerajaan negeri disaman dan dituntut RM50 juta. Setelah rundingan 30 tahun, kerajaan negeri tahun ini diperintah membayar RM21 juta, kenapa tak siasat?” katanya.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Calon PN Pilihan Raya Umum Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut di sini, malam ini.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu menambah, beliau akan mendedahkan satu per satu penyelewengan dan salah urus yang dilakukan BN dan PH berikutan tindakan Saifuddin yang secara berterusan mencabarnya.

    Katanya, beliau tidak berniat mendedahkan isu berkenaan, namun terpaksa berbuat demikian kerana terus diasak termasuk dalam isu berkaitan dua warga China yang terbabit kejadian kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik.

    “Sekarang kamu jawab ketika BN memerintah Kedah ada duit Perbadanan Menteri Besar (MBI) sebanyak RM13 juta dipindahkan ke Kanada, mana pergi duit itu mengapa tak siasat? 

    “Zaman BN, pemimpin BN buat kerja ini, sekarang BN dan PH cium mulut. Yang kena bayar kita rakyat Kedah yang hidup hari ini, yang buat kerja BN. Pudin sila siasat, dah kamu rajin sangat pergi siasat. Ada bercambah fail lagi di pejabat saya dan tak pernah dalam tiga tahun ini kita berhasrat melondehkan keburukan sesiapa, tapi kamu kurang ajar, saya akan londeh kamu setiap hari,” katanya.

    Muhammad Sanusi menegaskan, isu politik sepatutnya diselesaikan di medan politik dan agensi kerajaan tidak boleh digunakan bagi mengambil tindakan ke atasnya.

    “Kamu tanya saya dua pekerja China yang saya tak pernah jumpa, tak pernah kenal, tak pernah ambil tahu kerana itu urusan syarikat bukan urusan Pejabat Menteri Besar. Saya kena bagi keterangan kepada polis tiap-tiap hari. Hari ini dua kes sampai Maghrib saya kena beri keterangan. Ucapan saya diteliti satu pasukan, setiap perkataan saya diteliti, silap (cakap) dilaporkan. 

    “Ucapan politik mesti diselesaikan di medan politik, datangkan hujah kamu di ceramah, kamu jawab. Jangan guna agensi salin tiap patah perkataan dan lapor polis, punya pondan,” katanya.