Category: Semasa

  • Polis tahan wanita kes tipu penganjuran konsert artis popular

    Polis tahan wanita kes tipu penganjuran konsert artis popular

    POLIS menahan seorang wanita di sekitar Klang dua hari lepas, dipercayai terlibat dalam penipuan berhubung penganjuran konsert yang tidak wujud, kononnya melibatkan beberapa artis popular.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, wanita berumur 48 tahun yang didapati memiliki dua rekod lampau termasuk berkaitan kes penipuan itu, ditahan pada kira-kira pukul 10.40 malam dan direman sehingga esok.

    Beliau berkata, perbuatan wanita itu mula dikesan apabila seorang penyanyi ‘rock’ tanah air berumur 53 mendapat maklumat daripada rakannya bahawa terdapat terdapat satu hantaran di Facebook mempromosikan sebuah konsert yang dijadualkan berlangsung pada 4 Februari depan di Kota Kinabalu, Sabah.

    “Suspek menawarkan penjualan tiket konsert berharga RM199 hingga RM649. Penyanyi itu menafikan ada ditawarkan atau menandatangani sebarang kontrak untuk menyertai konsert berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

    Terdahulu tular di media sosial satu poster konsert bertajuk ‘Unplugged Living Legend’ yang memaparkan artis popular tanah air seperti Datuk Awie, Ziana Zain, Ella dan Erra Fazira selain vokalis kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani, yang akan diadakan di Sabah tahun depan. – Bernama

  • Kabin kontena di kediaman rasmi MB Kedah musnah, dipercayai akibat perbuatan khianat

    Kabin kontena di kediaman rasmi MB Kedah musnah, dipercayai akibat perbuatan khianat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS sedang menjalankan siasatan terhadap kemusnahan sebuah kabin kontena di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon, yang musnah dipercayai akibat perbuatan khianat menggunakan letupan pada pertengahan bulan ini.

    Difahamkan kejadian tersebut dipercayai berlaku kira-kira pukul 2.30 petang, 16 Oktober lalu iaitu sehari sebelum tembok pagar kediaman rasmi tersebut disimbah cat oleh individu tidak dikenali pada 17 Oktober 2022.

    Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, pihaknya menerima laporan mengenai kemusnahan kabin tersebut pada 18 Oktober, kira-kira pukul 3.49 petang.

    “Siasatan di tempat kejadian telah dijalankan dan menemukan beberapa sampel serta bahan bukti dipercayai digunakan untuk menghasilkan letupan di kabin kontena tersebut yang dijadikan sebagai stor.

    “Justeru kami mengesyaki kejadian itu mempunyai unsur jenayah khianat menggunakan bahan letupan. Kesemua sampel ditemui kemudiannya telah dihantar ke makmal bagi tujuan analisis lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Pada 17 Oktober lalu, akhbar melaporkan mengenai kejadian simbahan cat berwarna merah dan biru pada tembok kediaman rasmi tersebut yang terletak di Jalan Anak Bukit, Pantai Johor.

    Difahamkan ketika kejadian simbahan cat itu berlaku, Muhammad Sanusi berada di Kuala Lumpur atas urusan rasmi kerajaan negeri.

    Sebelum ini terdapat pengesahan daripada pihak berkuasa bahawa kediaman tersebut tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

    Mengulas lanjut Wan Hassan berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat menggunakan bahan letupan terhadap sebuah rumah.

    “Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dipenjara hingga 20 tahun dan dikenakan denda,” katanya.

    Tambahnya, pihak polis masih meneruskan siasatan lanjut secara terperinci bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

    “Kami menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sebaliknya tampil memberi maklumat bagi membantu pihak polis menyelesaikan kes tersebut.

    “Sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat, ASP Che Intan Subri di talian 013-9329614 atau 04-7321222.

  • Tular ‘air terjun’ tangki pecah rosakkan enam kenderaan di Sepang

    Tular ‘air terjun’ tangki pecah rosakkan enam kenderaan di Sepang

    SEBUAH tangki air berketinggian 18.3 meter (60 kaki) di sebuah blok apartment di Taman Mas di Sepang pecah sehingga mengakibatkan enam kenderaan rosak teruk.

    Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata serpihan tangki air yang jatuh telah menimpa kenderaan di bawah blok apartment terbabit.

    Kejadian itu bagaimanapun, tidak melibatkan kemalangan jiwa, sebaliknya hanya kerosakan harta benda dan mangsa terlibat diminta membuat laporan polis bagi tuntutan insurans, katanya.

    “Bantuan lori air bersih dihantar Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) untuk bekalan air bersih kepada 172 rumah yang terjejas,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

    Semalam, tular di media sosial kejadian ‘air terjun’ akibat tangki air pecah di sebuah pangsapuri di taman berkenaan.

    Video berdurasi hampir empat minit itu turut menunjukkan beberapa kenderaan yang diletakkan di perkarangan bangunan terkena curahan air deras dari tangki pecah itu.

  • Pas yakin rampas Besut daripada BN

    Pas yakin rampas Besut daripada BN

    PAS yakin mampu merampas kerusi Parlimen Besut daripada BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sekali gus akan memperkuat parti di peringkat negeri, kata Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang.

    Beliau berkata justeru, keputusan telah dicapai bahawa calon daripada Pas akan bertanding di kerusi Parlimen berkenaan dan perkara itu turut dipersetujui oleh Bersatu selepas penilaian dibuat.

    “Untuk perteguhkan parti di peringkat negeri kita perlu letak (calon) Pas di Besut. Ada peluang untuk Pas menang… Bukan ambil alih, kerusi itu memang sedia ditandingi Pas jadi kita kekalkan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Markas Induk PRU15 dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Kuala Terengganu di Kuala Ibai malam tadi.

    Husain berkata sehubungan itu, proses pembahagian kerusi untuk Perikatan Nasional (PN) bagi semua Parlimen di Terengganu kini dianggap selesai dan tidak menolak kemungkinan muka baharu akan dipertaruhkan kali ini.

    Dengan keputusan itu, hanya Parlimen Hulu Terengganu akan diwakili Bersatu iaitu Datuk Rosol Wahid yang akan mempertahankan kerusi dimenanginya itu atas tiket BN pada PRU14 dengan majoriti 2,868 menewaskan calon Pas, Muhyiddin Abdul Rashid dan calon Bersatu, Datuk Razali Idris.

    Sementara itu, mengenai kerusi Parlimen Kuala Nerus, beliau berkata, Pas tidak akan tergugat walaupun bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali akan bertanding atas tiket Bebas untuk mempertahankan kerusi dimenanginya pada PRU14.

    Pada PRU14, Parlimen Besut dimenangi oleh calon BN, Tan Sri Idris Jusoh yang kali ini mengumumkan tidak akan bertanding manakala Mohd Khairuddin yang pada ketika itu mewakili Pas menang di Parlimen Kuala Nerus.

  • Syed Saddiq diarah bela diri empat pertuduhan berkaitan dana RM1.12 juta

    Syed Saddiq diarah bela diri empat pertuduhan berkaitan dana RM1.12 juta

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membela diri berhubung empat pertuduhan berkaitan RM1.12 juta dana parti itu.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Ahli Parlimen Muar itu dalam empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

    Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

    Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di Kuala Lumpur antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram jika sabit kesalahan, lapor Astro Awani.

  • Shafee dilepas, dibebaskan tuduhan gubah wang haram RM9.5 juta

    Shafee dilepas, dibebaskan tuduhan gubah wang haram RM9.5 juta

    PEGUAM, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini daripada empat pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Beliau dilepas dan dibebaskan juga melibatkan pertuduhan membuat penyata pendapatan tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), lapor Sinar Harian.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Muhammad Shafee, 70.

    Warta Rakyat pada 7 Oktober lalu melaporkan, pada 12 Mei lepas, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil lapan saksi pada perbicaraan yang bermula 21 Mei 2021.

    Antara saksi itu ialah Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan R.Uma Devi, Pengurus Cawangan CIMB Bank Bukit Tunku Rosnita Ahmad, bekas pegawai LHDN Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad dan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Farid Jabar.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz manakala Muhammad Shafee diwakili peguam Harvinderjit Singh, Farhan Read dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

    Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melibatkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib yang telah dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

    Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Taman Tunku, Bukit Tunku dekat Kuala Lumpur pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014.

    Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Peguam itu juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada akitiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

    Bagi pertuduhan itu, dia didakwa meninggalkan pendapatan yang telah diterima pada 13 September 2013 berjumlah RM4.3 juta dan pendapatan yang diterima pada 17 Februari 2014 berjumlah RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh, yang mana tertuduh dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk membuat penyata bagi pihak tertuduh.

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, di Kuala Lumpur pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

  • PRU-15: Ibu bapa perlu bantu anak buat pilihan tepat – Muhyiddin

    PRU-15: Ibu bapa perlu bantu anak buat pilihan tepat – Muhyiddin

    IBU bapa perlu membantu anak-anak membuat pilihan tepat dengan mengundi parti yang dapat menjamin masa depan mereka, pada Pilihan Raya Umum Ke-15, bulan depan .

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada usia muda seawal 18 tahun mereka masih belum mengetahui selok belok politik.

    “Pada umur 18 hingga 20 tahun dia tak ikut politik. Dia tak tahu.

    “Jadi kita ibu bapa kena bantu tetapkan pilihan anak kita dengan mengundi parti yang menjamin masa depan,” katanya ketika berucap pada majlis minum pagi bersama penduduk Permatang Pasir di Pagoh, Muar, hari ini, lapor SatuBerita.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, dalam hal itu, pilihan yang paling tepat adalah dengan memilih Perikatan Nasional.

  • Pengerusi majlis belia maut dirempuh pacuan empat roda

    Pengerusi majlis belia maut dirempuh pacuan empat roda

    LELAKI maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di KM49 Jalan Felda Triang 1-Tembangau, Bera, pukul 5.50 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Bera, Suprintendan Mansor Samsudin berkata, mangsa, Mohd. Imran Ismail, 27 tahun, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Tembangau 1 sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Mangsa yang juga Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Tembangau 1, dikatakan bersama rakan-rakan lain menunggang motosikal secara konvoi selepas menghadiri Majlis Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran serta Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) di Dataran Kerayong, pada hari yang sama.

    “Siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda itu hilang kawalan lalu memasuki laluan motosikal dan merempuh mangsa sehingga mengakibatkan kemalangan.

    “Akibat kemalangan tersebut,mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan jenis Mitsubishi itu tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mansor berkata, semasa kejadian, cuaca hujan dan jalan basah semasa di lokasi kejadian.

    Katanya lagi, hasil siasatan awal juga mendapati kemalangan berlaku di atas kecuaian pemandu pacuan empat roda yang telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan hingga menyebabkan kemalangan berlaku.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya, lapor Astro Awani.

  • Pemandu rentung, kereta terbakar di Kabong, Sarawak

    Pemandu rentung, kereta terbakar di Kabong, Sarawak

    SEORANG rentung apabila kereta dipandunya terbakar di Jalan Nyabor, Kabong kira-kira 100 kilometer (KM) dari bandar raya Sibu, lewat malam tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memaklumkan satu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok telah digerakkan ke lokasi kejadian pada 11 malam.

    “Setibanya di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sebuah kereta jenis Kia telah terbakar 100 peratus dan bomba dapat mengawal kebakaran pada 11.40 malam.

    “Terdapat seorang mangsa telah rentung di dalam kereta tersebut dan identiti mangsa masih belum dapat dipastikan,” katanya.

    Jelasnya operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 11.50 malam dan pihak bomba telah menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

  • Bukan janin manusia tapi janin kucing

    Bukan janin manusia tapi janin kucing

    JANIN yang ditemukan seorang pekerja pembersihan dalam tandas sebuah masjid di Kampung Labohan, Kertih di sini disahkan bukan janin manusia sebaliknya adalah janin kucing.

    Ketua Polis Daerah Kemaman Supt. Hanyan Ramlan berkata perkara itu disahkan oleh Unit Forensik Hospital Kemaman.

    “Ujian oleh Unit Forensik mengesahkan bahawa janin yang ditemui bukanlah milik manusia seperti disangka, tetapi sebenarnya janin kucing,” katanya kepada Bernama malam ini.

    Terdahulu, kira-kira 12 tengah hari tadi, anggota kariah digemparkan dengan penemuan satu janin yang menyerupai janin manusia di atas lantai tandas masjid itu.- BERNAMA