Category: Semasa

  • 70,000 pegawai, anggota pelbagai agensi ditugaskan hadapi banjir -Hamzah

    70,000 pegawai, anggota pelbagai agensi ditugaskan hadapi banjir -Hamzah

    SERAMAI 70,000 pegawai dan anggota membabitkan pelbagai agensi ditugaskan bagi menghadapi bencana banjir Monsun Timur Laut (MTL) di seluruh negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata jumlah itu meliputi pasukan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu 21,018 orang, Angkatan Tentera Malaysia (18,500 orang), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (15,000 orang), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (10,500 orang) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (4,400 orang).

    “Kita telah minta bantuan daripada beberapa agensi untuk membantu PDRM kerana kita sedar ramai anggota kita juga akan terlibat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    “Kita juga ada minta bantuan untuk menggunakan aset-aset daripada agensi terbabit seperti lori, bot dan aset udara,” katanya selepas menghadiri taklimat PRU15 dan persiapan menghadapi MTL di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

    Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

    Mengulas lanjut, Hamzah berkata pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 5,500 lokasi ‘hotspot’ banjir di seluruh negara termasuk 186 kawasan berisiko kepala air.

    “Kita telah kaji beberapa strategi untuk pastikan rakyat boleh meletakkan kepercayaan kepada PDRM kerana kita telah bersedia menghadapi kemungkinan bencana akibat hujan lebat,” katanya.

  • Saya tiada masalah untuk berdebat – Muhyiddin

    Saya tiada masalah untuk berdebat – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sedia untuk berdebat secara terbuka bersama calon Perdana Menteri lain, asalkan ia diadakan secara adil dan teratur.

    Presiden Bersatu itu bagaimanapun menegaskan debat itu perlu memberi tumpuan kepada soal dasar dan perancangan, bukan berbentuk tuduhan serta dakwaan.

    “Saya tiada masalah, nak kata debat ke, dialog ke, kalau siapa menganjur menjemput saya secara rasmi, saya fikir agak sesuai.

    “Dan (debat itu) tidak menimbulkan reaksi yang tidak elok, dibuat secara adil, teratur, tiada muslihat lain, saya tiada masalah,” katanya pada sidang media selepas program Sembang Santai Bersama Masyarakat Cina Pekan Bukit Kepong, Pagoh, Muar, hari ini.

    Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya diadakan debat terbuka antara calon Perdana Menteri daripada semua parti bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Bagaimanapun media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menolak cadangan debat secara terbuka itu.

    Katanya, debat ‘bukan budaya kita’ dan perbahasan disarankan tidak akan mendatangkan sebarang hasil.

    Sementara itu, tambah Muhyiddin, beliau bersedia untuk berbahas atau berbincang dari pelbagai sudut topik seperti ekonomi, pemulihan dan juga pendidikan.

    “Saya nak bincang ekonomi boleh, pemulihan boleh, pendidikan boleh, antarabangsa boleh. Saya tiada masalah,” katanya, lapor SatuBerita.

  • Pilih BN samalah pilih perompak, kleptokrat

    Pilih BN samalah pilih perompak, kleptokrat

    KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan bahawa memilih Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini samalah dengan memilih perompak dan kleptokrat.

    Sebaliknya, kata beliau jika rakyat mahukan sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti, amanah dan prihatin kepada rakyat dan terbukti ketika menghadapi krisis pandemik Covid-19 dan kesannya, maha Perikatan Nasional mesti menjadi pilihan.

    “Kalau kita mahu perompak ataupun pemimpin yang lembab dan lembik, yang sanggup menerima arahan daripada kleptokrat… yang berada di bawah telunjuk kleptokrat… undilah Barisan Nasional.

    “Tetapi kalau saudara mahu sebuah kerajaan yang bersih yang berintegriti, yang prihatin rakyat.. undilah Perikatan Nasional.

    “Pakatan Harapan (PH) tak payah cakap lah… dah tak tahu ke mana dia nak pergi… bukan sahaja di tepi… (tapi) dah tersungkur dah,” katanya memerik laporan SatuBerita.

    Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata rakyat perlu membuat penilaian dan perbandingan dalam kalangan pemimpin, khususnya mereka yang berjawatan Perdana Menteri.

    “Kalau kita nak uji pemimpin… uji semasa krisis… Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berdepan dengan tiga krisis… kesihatan, ekonomi dan politik. Beliau berdepan dengan krisis politik untuk membenteras perasuah, perompak dan pencuri dalam negara ini.

    “Nak uruskan kleptokrat, nak uruskan perasuah dan perompak yang berdepan dalam pelbagai kes di mahkamah. Salah seorangnya tampil ke rumah Tan Sri… saya menjadi saksi…

    “Beliau menyatakan… Tan Sri tolonglah… saya sedang dihadapkan ke mahkamah… Saya tidak bersalah… ambillah dokumen ini Tan Sri. Bacalah malam ini. Besok saya bawa peguam untuk terangkan pada Tan Sri.

    “Saya saksi. Apa kata Tan Sri… saudara minta maaf… saya tidak mahu campur urusan mahkamah. Kalau saudara tidak bersalah tampil di mahkamah… bersihkan nama saudara di dalam mahkamah,” cerita Azmin tanpa merujuk kepada pemimpin terlibat yang semua rakyat tahu siapa dimaksudkan itu.

    Azmin berkata kepimpinan Muhyiddin yang berani ketika itu walaupun mempunyai majoriti sokongan yang kecil, tetapi tegas dan memikul amanah, perlu diberi sokongan.

    “Sudah tentulah ketika krisis kesihatan, ekonomi dalam tempoh yang paling mencabar dengan berani dan bertanggungjawab beliau menegaskan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional… kita nak menyelamatkannya nyawa manusia dan rakyat dalam negara.

    “Bukan mudah. Beliau terpaksa melancarkan program vaksinasi secara besar-besaran… dan inilah kejayaan Perikatan Nasional menyelamatkan nyawa dan kesihatan rakyat,” katanya.

  • KKM, SPR masih berbincang SOP PRU15 – Khairy

    KKM, SPR masih berbincang SOP PRU15 – Khairy

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) masih dalam peringkat perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata perkembangan lanjut berhubung SOP tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.

    “Masih lagi (SOP PRU15) dalam perbincangan. SPR telah minta maklum balas dari KKM.

    “Ada beberapa perkara yang SPR boleh buat, ada yang mungkin mereka sukar untuk buat. Jadi, KKM akan beri maklum balas dalam sehari dua ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Komanwel dan Luka Global Ke-4 (2022), di Petaling Jaya, hari ini.

    KKM sebelum ini telah mengesyorkan kepada SPR berhubung beberapa SOP PRU15 supaya ia diadakan dalam keadaan ‘Pilihan raya selamat COVID-19’ dengan mengambil kira kepentingan orang ramai agar tidak dimudaratkan dengan kehadiran pesakit COVID-19.

    Mengenai pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah bagi Persidangan Komanwel dan Luka Global Ke-4 2022 itu, Khairy menyifatkan pemilihan itu sebagai pengiktirafan kepada Malaysia yang terpilih menerusi Mesyuarat Persatuan-persatuan Luka Sedunia.

    Katanya, Malaysia turut terpilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran Kongres Persatuan Penyembuhan Luka Sedunia 2026 menerusi bidaan yang diadakan di Abu Dhabi pada Mac lepas.

    “Ini adalah pengiktirafan dan penghormatan besar kepada Malaysia apabila kita (Malaysia) dilihat sebagai antara negara peneraju dalam bidang penjagaan luka,” katanya.

    Mengenai perkhidmatan rawatan dan penjagaan luka, Khairy berkata KKM akan menambah baik perkhimatan tersebut dalam tempoh lima tahun akan datang bagi membolehkan setiap pesakit menerima rawatan sepatutnya termasuk individu yang terlantar di rumah.

    “Untuk lima tahun akan datang, lebih banyak tumpuan akan diberikan terhadap perkhidmatan kesihatan khususnya di peringkat komuniti,” katanya dan menambah kerajaan memperuntukkan RM5 juta setiap tahun kepada fasiliti kesihatan kerajaan bagi memenuhi keperluan rawatan penjagaan luka.

  • Alwiyah sedia ganti Abdul Latiff tanding di Mersing pada PRU-15

    Alwiyah sedia ganti Abdul Latiff tanding di Mersing pada PRU-15

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib sedia bertanding di Parlimen Mersing mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan bagi memuktamadkan keputusan berhubung cadangan mencalonkannya sebagai Ahli Parlimen Mersing.

    “Pada mulanya, saya memang terperanjat apabila mengetahui dicadangkan untuk bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Mersing.

    “Namun, saya tetap bersedia dengan perkara itu (cadangan) dan akan cuba melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.

    “Kini, terserahlah kepada pihak pucuk pimpinan bagi memuktamadkan cadangan itu,” katanya ketika dihubungi.

    Pada Khamis, penyandang kerusi Parlimen Mersing yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (tugas-tugas khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad memaklumkan dia tidak mahu bertanding pada PRU-15.

    Malah Abdul Latiff turut bertegas tidak mahu lagi ‘ketagihan kuasa’ namun bersedia membantu calon-calon yang bertanding kelak.

    Untuk rekod, Abdul Latif yang bertanding atas tiket BN pada PRU14 lalu, memenangi kerusi Parlimen Mersing dengan 19,806 undi menewaskan pencabar daripada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Sementara itu, Alwiyah yakin mampu menggalas tanggungjawab selaku Ahli Parlimen (Mersing) dan ADUN Endau kelak, sekiranya berjaya mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan pada PRU15 nanti.

    Katanya, kerjasama serta komitmen daripada ahli mempertahankan kerusi Parlimen Mersing dan menyerahkannya kepada Alwiyah.

    “Insya-Allah, kita bekerja bukan ‘sorang-sorang’…kita ada ‘team’ yang cukup komited dan bertanggungjawab.

    “Apa pun, sehingga ke hari ini, kita memang bersedia,” katanya, memetik laporan Sinar Harian.

  • Lelaki mengaku tidak bersalah menipu tawar pelaburan tak wujud

    Lelaki mengaku tidak bersalah menipu tawar pelaburan tak wujud

    SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan menipu menawarkan pelaburan tidak wujud tahun lalu.

    Shawn Lee Kim Boon, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin selepas kertas pertuduhan dibacakan.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama terlibat dengan satu pakat jahat jenayah dengan bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan perbuatan menyalahi undang-undang iaitu menipu dengan memperdaya melalui aplikasi WhatsApp.

    Tertuduh telah menyatakan bahawa skim pelaburan ‘Vanguard Investment’ merupakan satu skim pelaburan yang wujud yang telah mendorong mangsa memasukkan wang pelaburan dalam skim berkenaan yang bertentangan dengan Seksyen 415 Kanun Keseksaan.

    Perbuatan itu dilakukan pada 13 November 2021 jam lebih kurang 10 malam di sebuah kondominium di Nilai, lapor Sinar Harian.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 120(B) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau dengan denda atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman kemudian mencadangkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin.

    Bagaimanapun, peguam, Alvin Tan merayu supaya jaminan rendah diberi terhadap anak guamnya kerana tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga selain menjaga ibu berusia 65 tahun yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes 11 November ini.

  • Persediaan kahwin musnah angkara perancang perkahwinan ‘larikan’ duit

    Persediaan kahwin musnah angkara perancang perkahwinan ‘larikan’ duit

    LULUH hati seorang ibu melihat persediaan perkahwinan anak perempuannya tidak seperti yang dibayangkan, malah bertukar mimpi ngeri.

    Hari bahagia yang diidamkan bakal menjadi kenangan terindah bertukar pengalaman pahit apabila perancang perkahwinan yang sudah dibayar penuh langsung tidak dapat dihubungi.

    Itu nasib yang menimpa mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Ema, 57.

    Menurutnya, janji manis perancang perkahwinan yang menawarkan pakej penuh, termasuk persalinan pernikahan dan baju persandingan, tidak muncul walau hari pernikahan makin menghampiri.

    Dia yang bakal melangsungkan majlis pernikahan anak perempuannya pada November ini rugi RM17,000 selepas perancang perkahwinan terbabit melesapkan diri.

    Ema dan keluarganya pernah mengupah individu terbabit untuk majlis perkahwinan anak keempatnya pada Julai lalu.

    “Waktu majlis Julai lalu, semuanya baik dan sempurna. Jadi, saya percaya dia boleh tolong uruskan perkahwinan anak perempuan saya bulan depan.

    “Tapi Sabtu lalu, berlaku insiden apabila satu majlis perkahwinan di daerah ini ketiadaan pelamin dan katering. Kawan saya beritahu, keluarga berkenaan mengupah perancang perkahwinan yang sama seperti saya. Sejak itu, saya mula tidak sedap hati,” katanya dihubungi.

    Menurutnya, individu terbabit tidak lagi menghubunginya sejak menerima pembayaran penuh awal Ogos lalu malah tidak juga menghubungi anak perempuan Ema untuk mencuba baju pernikahan.

    Pada masa sama, individu terbabit gagal dihubungi untuk ditanyakan berkaitan status pakaian nikah Isnin lalu.

    “Ogos lalu, individu terbabit meminta saya membuat bayaran penuh untuk mendapatkan semua kelengkapan berkenaan.

    “Dia menawarkan pakej penuh termasuk pelamin, solekan, khemah, meja makan beradab, katering dan pengacara majlis pada harga keseluruhan RM17,000,” katanya, lapor Harian Metro

    Menurut Ema, keluarganya akan memasak sendiri bagi menjimatkan kos namun tetap perlu mengeluarkan kos tambahan untuk pelamin dan sebagainya.

    Menurutnya, dia dan suami sudah melaporkan perkara itu di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bentong Isnin lalu.

    Pada masa sama, Ezzawin Faziera Abdul Razak, 39, iaitu kakak kepada dua pasangan pengantin yang menjalankan majlis perkahwinan 23 Oktober lalu turut menjadi mangsa kepada perancang perkahwinan yang sama.

    Kata Ezzawin Faziera, adik perempuannya cuba menghubungi lelaki terbabit pada petang 21 Oktober lalu bagi bertanyakan mengenai baju pernikahan namun gagal dihubungi.

    “Semua ahli keluarga cuba menghubungi perancang perkahwinan itu namun tidak berjawab.

    “Kami sudah bayar penuh RM6,900 seperti yang dimintanya namun lain jadinya,” katanya yang turut melaporkan kejadian di IPD Bentong, juga Isnin lalu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar pada kenyataan semalam berkata, pihaknya menerima dua aduan berkaitan suspek pada Isnin lalu.

    Hasil siasatan awal, katanya, suspek iaitu Muhammad Lutffi Iaman Mat Abu, 28, menawarkan perkhidmatan pengurusan perkahwinan menggunakan nama syarikat ‘The Wedding by Fiey’.

    “Antara pakej yang ditawarkan suspek ialah set pelamin, baju pengantin, pakej persolekan, jurugambar, khemah dan katering.

    “Selepas mangsa bersetuju dengan pakej perkahwinan yang ditawarkan, suspek meminta mangsa membuat pembayaran sebelum menghilangkan diri,” katanya.

    Menurut Zaiham, jumlah kerugian yang dialami oleh kedua-dua mangsa ialah RM20,900.

    Katanya, hasil siasatan awal, syarikat yang dikendalikan suspek wujud dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

  • PN Pahang tawar kerajaan berintegriti, bersih

    PN Pahang tawar kerajaan berintegriti, bersih

    PERIKATAN Nasional (PN) Pahang menjanjikan sebuah kerajaan yang berintegriti dan bersih, jika menang dan dapat membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

    “Hanya PN yang boleh membangkitkan dan memberi jaminan pemerintahan yang bebas rasuah.

    “Yang kita janjikan adalah kerajaan yang berintegriti di peringkat Persekutuan dan negeri. Kita juga mahu menjadi (pemerintah) bersih,” katanya ketika berucap pelancaran jentera PRU15 PN Parlimen P84 Paya Besar di Dewan D’Persada Baroqah di Kuantan, malam tadi.

    Saifuddin turut merasmikan pelancaran jentera PRU15 PN Parlimen Paya Besar yang dihadiri Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar dan wakil daripada Parti Gerakan.

    Beliau menjelaskan, setakat ini tiada seorang pemimpin Pas yang mentadbir negeri sama ada di Kelantan dan Terengganu terpalit isu rasuah.

    Malah katanya, menteri daripada Pas yang bersama menganggotai kabinet juga tidak mempunyai masalah dan menjalankan tugas dengan baik.

    “Pahang ada isu air dengan kerajaan Persekutuan dari zaman BN, ada hutang, tujuh tahun lalu. Tidak selesai dan silih berganti menteri yang jaga air (Menteri Alam Sekitar dan Air).

    “Isu ini berlarutan ketika menteri daripada BN, selepas itu, daripada Pakatan Harapan (PH) seterusnya PN. Kemudian Tuan Ibrahim (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) yang menjadi menteri yang menjaga air pada ketika ini membantu menyelesaikan hutang kerajaan Pahang dengan Persekutuan.

    “Jadi, janganlah tengok orang itu pakai songkok, kopiah, ada janggut, kita fikir mereka tidak pandai mentadbir, tapi kita perlu lihat sahsiahnya rasuah atau tidak rasuah, ada integriti atau tidak,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

    Menjawab pertanyaan PN mampu menang di Pahang, Saifuddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota memaklumkan, PN tidak mustahil mampu menawan Pahang.

    Katanya, keyakinan ini disuarakan selepas melihat kekuatan gabungan dalam PN dan sepakatan yang gitu antara parti dalam komponen.

    “Ada yang ada tanya boleh ke PN menang di Pahang? Saya kata Bersatu tiada kerusi dan kami tiada kerusi menang dalam DUN. Tapi Pas ada lapan kerusi DUN pada pilihan raya lalu.

    “Tidak silap saya Pas hampir menang 11 kerusi atau lebih itu termasuk di DUN Semambu dalam Parlimen Indera Mahkota. Kalau campur kerusi yang Pas kalah tipis, PN boleh menerajui Pahang,” ujar beliau.

  • PAS Perlis letak calon wanita di DUN Mata Ayer

    PAS Perlis letak calon wanita di DUN Mata Ayer

    BUAT julung kalinya PAS Perlis akan mengetengahkan seorang calon wanita yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli berkata calon itu ialah Wan Badariah Wan Saad, anak jati Padang Siding yang juga seorang peguam yang mempunyai firma guaman sendiri di Kedah.

    “Sebenarnya PAS Perlis telah lama berhasrat untuk mengetengahkan calon wanita di negeri ini, namun  tiada calon yang sanggup dan berani menawarkan diri pada PRU sebelum ini.

    “Alhamduillah kali ini, kita ada calon wanita di Perlis dan beliau telah mendapat izin daripada keluarga untuk bertanding,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Wanita PN Perlis di Kompleks PAS Perlis malam tadi.

    Mohd Shukri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis berkata pengumuman nama-nama calon akan dibuat pada 2 Nov ini, namun bergantung kepada keputusaan PAS pusat nanti.

    Pada PRU14, calon BN Siti Berenee Yahaya menang dengan majoriti 720 undi di DUN Mata Ayer menewaskan calon PH-PKR, Lt Kol (B) Azhar Omar dan calon PAS Mohammad Yahya.

    Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jumlah pengundi berdaftar di DUN Mata Ayer PRU15 hingga 9 Okt 2022 ialah 9,662 pengundi.

  • Dua beranak maut dalam perjalanan ke sekolah

    Dua beranak maut dalam perjalanan ke sekolah

    DUA beranak maut selepas motosikal yang ditunggang mereka terbabas dalam perjalanan ke sekolah dalam kejadian di Jalan Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, mangsa yang berusia 46 tahun dalam perjalanan menghantar anak lelakinya, 15, ke sekolah.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, sebaik tiba di lokasi, motosikal yang ditunggang dua beranak itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke laluan bertentangan.

    Menurut beliau, pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang memandu dari arah Penanti ke Kepala Batas cuba mengelak bagaimanapun terlanggar motosikal mangsa.

    “Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) dan bedah siasat akan dijalankan selepas menerima keputusan ujian calitan Covid-19.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.