Category: Semasa

  • Kalau Anwar harapkan Zahid untuk jadi PM, terpulang – Peja

    Kalau Anwar harapkan Zahid untuk jadi PM, terpulang – Peja

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TIMBALAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu secara sinis menasihatkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal dihadapinya di Tambun dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 agar berpijak kepada realiti.

    Menurut penyandang kerusi Parlimen Tambun itu, ketika ini Anwar dilihat cuba mengharapkan realiti untuk bekerjasama dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi memungkinnya menjadi Perdana Menteri.

    “Memang beliau calon Perdana Menteri daripada PH tetapi untuk memegang jawatan itu, PH perlu berjaya tubuhkan kerajaan dulu. Tetapi kalau beliau harapkan kerjasama dengan Presiden UMNO untuk jadi Perdana Menteri, itu terpulang kepadanya.

    “Semua kita boleh bermimpi, tetapi kalau nak bermimpi pun, biarlah mimpi yang berpijak kepada realiti. Tetapi nampaknya beliau mengharapkan realiti untuk bekerjasama dengan Presiden UMNO bagi memungkinkan beliau menjadi Perdana Menteri,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Himpunan Jentera PN Kedah yang turut dihadiri Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Ahmad Sanusi Md. Nor di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar, malam tadi.

    Orang ramai yang hadir dalam Majlis Himpunan Jentera PN Kedah yang turut dihadiri Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Ahmad Sanusi Md. Nor di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar, malam tadi. – Foto Facebook Pas Kedah

    Ketika ini terdapat desas-desus di media sosial mengenai percaturan selepas PRU melibatkan Ahmad Zahid dan Anwar.

    Bagaimanapun sehingga kini tiada pengesahan daripada mana-mana pihak berhubung perkara itu.

    Ditanya mengenai tindakan PH menurunkan calon-calon ‘heavyweight’ di Perak seperti Anwar, Nik Omar Nik Aziz serta Shamsul Iskandar Mohd. Akin yang dilihat sebagai cubaan menawan negeri itu, Ahmad Faizal yang juga Pengerusi PN Perak memaklumkan, pihaknya tidak tidak terkesan dengan tindakan sedemikian.

    “Bagi PKR, mereka mungkin dianggap sebagai calon ‘heavyweight’ namun bagi kami, mereka adalah calon biasa,” katanya.

    Terdahulu Ahmad Faizal dalam ucapannya berkata, hubungan antara parti-parti yang membentuk PN terutamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas cukup akrab hinggakan rundingan yang dijalankan untuk pembahagian kerusi berjalan cukup lancar.

    “Apabila bercakap tentang perpaduan ummah, sudah tentu perlu ada ‘give and take’. Dari sudut itu, kedua-dua parti ini sudah banyak berkorban dan Pas sendiri pun tak ada minta lebih-lebih. Kalau dulu sewaktu saya bersama PH, hari-hari bergaduh untuk pembahagian kerusi dalam PRU-14.

    “Kalau mesyuarat pukul 8, pukul 4 saya dah pening sebab asyik bergaduh. Tetapi kali ni apabila kita bersama Pas, keadaannya cukup berbeza dengan kami ini lebih banyak ketawa dan tak pernah bergaduh pun.

    “Saya diamanahkan untuk sebagai pengerusi rundingan kerusi bagi pihak Bersatu manakala Pas diwakili Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Dalam jawatankuasa itu ada Muhamamad Sanusi, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Ronald Kiandee,” katanya.

  • Wanita maut, bayi parah dalam kemalangan

    Wanita maut, bayi parah dalam kemalangan

    SEORANG wanita maut manakala bayinya dan seorang lagi penumpang cedera parah setelah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu bertembung treler di kilometer 83 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Bintang, di Setiu, pukul 4.40 petang tadi.

    Kemalangan berkenaan menyebabkan mangsa, Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 30, yang memandu MPV jenis Perodua Alza meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Bayinya, Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd. Lekman dan Muhammad Arsyad Syahiran Mohd. Agil, 9 mengalami kecederaan parah.

    Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika treler yang dipandu dari arah Chiku, Gua Musang menghala ke Kuala Terengganu, manakala Perodua Alza dipandu mangsa dari arah Manir menghala ke Wakaf Che Yeh, Kota Bharu.

    “Apabila tiba di lokasi kejadian kereta dipandu mangsa yang membawa lima penumpang telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan treler.

    “Pemandu treler, Azman Ismail, 35, tidak mengalami kecederaan manakala mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurut Afandi, tiga lagi penumpang iaitu suami kepada Fatin Hazlin Dahlia, Mohd. Lekman Zakaria, 36, mengalami luka-luka sementara dua lagi anaknya iaitu Nur Qaireen Luffiya dan Sayyid Lutfi, 7, patah tangan kiri.

    Beliau berkata, lima penumpang Perodua Alza dihantar ke Hospital Setiu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

  • Pas tanding 8 Parlimen, Bersatu 7 Parlimen di Kedah

    Pas tanding 8 Parlimen, Bersatu 7 Parlimen di Kedah

    Oleh BADLISHAH MAT

    PERIKATAN Nasional (PN) Kedah memuktamadkan pembahagian kerusi antara komponen di negeri itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Pas akan bertanding lapan kerusi Parlimen, manakala baki tujuh kerusi akan diisi calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, rundingan tersebut berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang pertelingkahan.

    Muhammad Sanusi turut memaklumkan, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) turut ditawarkan kerusi di Kedah, namun komponen itu menolak kerana merasakan belum bersedia untuk bertanding.

    “Betapa baik kita tak tinggal siapa-siapa. Gerakan kita nak bagi dia kata belum masa lagi.

    “Kesemua 15 calon ini tak kira Pas atau Bersatu kita lawan atas logo PN, jangan ada siapa-siap bagi ruang kepada musuh untuk pecah belahkan kita atas penggunaan logo ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Jentera PN Kedah yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut, Alor Setar malam ini.

    Dalam ucapan sama, Muhammad Sanusi memberi bayangan Pas akan bertanding di Parlimen Baling dan Padang Terap yang kini disandang Barisan Nasional (BN).

    “Di Baling, calon Pas pada PRU-14 mendapat 37,483 undi, BN menang 38,557 undi. Kita perlu 1,000 lebih sahaja lagi untuk tewaskan Azeez (Datuk Seri Abdul Azeez Rahim).

    “Datuk Seri Mahdzir Khalid menang dengan calon Pas (di Padang Terap) 1,009 undi sahaja beza boleh jadi menteri. Tak susah untuk menang kerana kebanyakan kerusi Parlimen di Kedah beza (majoriti) sangat kecil,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berkemungkinan hanya akan dibubarkan selepas Jun 2023.

    “Kita akan hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri-negeri yang belum bubar, tahun depan lepas Mac akan masuk bulan Ramadan diikuti Hari Raya Aidilfitri kemudian orang pergi haji dan sembelih lembu (Hari Raya Aidiladha), lepas itu baru kita bubar,” katanya.

  • Polis siasat video tular lelaki parah dipukul 2 lelaki

    Polis siasat video tular lelaki parah dipukul 2 lelaki

    POLIS sedang menyiasat video tular yang memaparkan seorang lelaki parah dipukul dua individu di Flat San Peng, Jalan Gandek, Pudu, Kuala Lumpur, Rabu lalu.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, video tersebut dikesan pihaknya tular semalam.

    “Video berdurasi 48 saat itu memaparkan seorang lelaki mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka.

    “Kejadian dipercayai berlaku pada Rabu kira-kira pukul 10 malam melibatkan beberapa individu di lokasi.

    “Setakat ini, polis telah mengenal pasti dua individu dipercayai terlibat dalam kejadian ini berdasarkan laporan yang dibuat berkaitan kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan berkaitan kes ini dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.

  • Felda bukan lagi simpanan tetap UMNO’, kata Tuan Ibrahim

    Felda bukan lagi simpanan tetap UMNO’, kata Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, warga Felda sudah berubah dan kawasan rancangan tanah itu tidak boleh lagi dianggap simpanan tetap mana-mana parti pada pilihan raya umum (PRU).

    “Generasi kedua dan ketiga Felda sudah menerima banyak pendedahan maklumat, tidak lagi hanya fokus kepada satu parti.

    “Pada 1999 (PRU), saya bertanding di Felda Jengka, Pahang. Ada 10 peti undi, sembilan daripada peti itu Felda semua. Alhamdulillah, saya menang ketika itu dan banyak lagi kawasan.

    “Saya fikir situasi sudah berubah, generasi kedua dan ketiga banyak terima maklumat dan tidak lagi fokus hanya kepada satu parti. Saya fikir FELDA bukan lagi ‘fixed deposit’ (simpanan tetap) buat UMNO buat masa ini,” katanya.

    Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival KASA 2022 @Kubang Kerian Sejahtera di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di Kota Bharu, hari ini.

    Mengenai desas-desus beliau akan meninggalkan kerusi Parlimen Kubang Kerian disandangnya untuk bertanding di Pahang, beliau berkata, keputusan itu terserah kepada pucuk pimpinan.

    “Kita serah kepada parti untuk buat keputusan dan saya difahamkan waktu ini ada mesyuarat akhir.

    “Hati saya jatuh cinta dengan Kubang Kerian, tapi apa yang penting, kita laksanakan apa yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab, tunggu pengumuman nanti,” katanya lapor Berita Harian.

  • PRU15: Pas tampil dua calon wanita di Kelantan

    PRU15: Pas tampil dua calon wanita di Kelantan

    PAS akan menampilkan dua calon wanita di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berbanding hanya seorang pada pilihan raya lepas, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Pada PRU14, Pas Kelantan hanya memiliki seorang calon wanita iaitu Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang mewakili Parlimen Rantau Panjang.

    “Ada pertambahan satu kerusi Parlimen yang menonjolkan calon wanita dan perkembangan ini menjadikan dua daripada 14 kerusi Parlimen di Kelantan bakal ditandingi calon wanita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Persatuan Bola Keranjang Kelantan, di Kota Bharu hari ini.

    Perikatan Nasional (PN) Kelantan akan mengumumkan senarai calon yang bakal bertanding di kesemua 14 kerusi Parlimen di negeri itu pada 3 November.

  • Bekas Pesuruhjaya SPRM bertanding di Parlimen Tasek Gelugor?

    Bekas Pesuruhjaya SPRM bertanding di Parlimen Tasek Gelugor?

    BEKAS Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad dikhabarkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Walaupun masih belum ada pengesahan atau kenyataan rasmi, khabar angin tersebut semakin kuat bertiup iaitu bertanding atas tiket bebas.

    ‘Cakap-cakap kedai kopi’ di sekitar kawasan Tasek Gelugor, beliau sudah pun turun ke kawasan melakukan kerja-kerja kebajikan termasuk mengagih bakul makanan di sekitar Parlimen Tasek Gelugor sejak setahun yang lalu.

    Beliau juga sebelum ini mengesahkan belum menyertai sebarang parti politik namun tidak menolak kemungkinan untuk menyertai mana-mana parti jika ada pihak yang datang ‘melamarnya’ sebagai calon, lapor Astro Awani.

    Dzulkifli yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos 2016, menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed meletak jawatan dua tahun kemudian.

    Selain Dzulkifli, antara nama lain yang disebut-sebut sebagai calon bertanding di kerusi itu, selepas penyandangnya, Datuk Shabudin Yahaya yang hanya menang dengan majoriti 81 undi, melompat parti ke Bersatu adalah Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim.

    Shabudin, juga sebelum ini mengesahkan tidak lagi mahu mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan.

    Sementara itu, Pas juga dikatakan akan meletakkan calon untuk bertanding di kerusi itu.

    Parlimen Tasek Gelugor adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN) yang dimenangi calonnya Shabudin.

    Justeru, BN mahu menuntut semula kerusi Parlimen Tasek Gelugor yang ‘dirompak’ daripada gabungan itu.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Parlimen Tasek Gelugor merekodkan 689 undi rosak serta 297 undi pos yang tidak dikembalikan.

  • KPM umum cuti 5 hari untuk pelajar pulang mengundi

    KPM umum cuti 5 hari untuk pelajar pulang mengundi

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan pelajar di institusi pusat pengajian tinggi  di bawahnya diberi cuti lima hari bermula 17 November sehingga 21 November bagi membolehkan mereka pulang mengundi.

    Dalam sebuah kenyataan, KPM berkata, dalam tempoh itu semua kelas atau aktiviti yang melibatkan pelajar di institusi pendidikan guru, kolej matrikulasi, vokasional dan Tingkatan Enam ditangguhkan ke suatu tarikh lain.

    “Ketetapan KPM ini adalah selaras dengan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “Tempoh pelepasan yang diberikan ini adalah bagi membolehkan pelajar mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat perjalanan pergi dan balik ke lokasi pusat pengundian masing-masing,” katanya, lapor SatuBerita.

    Menurut kementerian itu, keputusan ini diambil sebagai tanda sokongan KPM bagi pelaksanaan Undi 18 yang telah diwartakan oleh kerajaan akhir tahun lalu.

    Pendaftaran automatik pemilih baru berkuat kuasa pada akhir tahun lalu berikutan kelulusan rang undang-undang (RUU) untuk menurunkan umur mengundi dari 21 kepada 18 tahun selepas ia disokong sebulat suara di Dewan Rakyat.

    Daripada keseluruhan hampir tujuh juta pengundi baru dalam daftar pemilih, kira-kira 16 peratus daripadanya adalah pengundi mewakili kumpulan umur 18-20 tahun.

    Pembubaran Parlimen diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lalu bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan.

    SPR menetapkan hari pengundian bagi PRU-15 pada 19 November, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.

  • Warga emas maut akibat digilis lori

    Warga emas maut akibat digilis lori

    SEORANG lelaki maut apabila digilis sebuah lori selepas terjatuh dalam kemalangan di Kilometer 2.5 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) arah Kepong ke Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 8.02 pagi.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Honda Wave ditunggang lelaki berusia 64 tahun itu terbabas.

    “Penunggang motosikal itu kemudian terjatuh lalu digilis sebuah lori yang melalui lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayatnya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 untuk membantu siasatan.

  • PRU-15: ‘Undilah saya buat kali terakhir’ – Muhyiddin

    PRU-15: ‘Undilah saya buat kali terakhir’ – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berkemungkinan menjadi pentas terakhir buat beliau untuk bertanding dalam pilihan raya.

    Malah, bekas Perdana Menteri itu turut mengesahkan bakal bertanding di Parlimen Pagoh bagi mempertahankan kerusi tersebut.

    “Saya cakap itu maknanya pilihan raya ini mungkin yang terakhir buat saya. Tidak mengapalah.

    “Saya juga nak bagi tahu rakan-rakan saya supaya berikanlah peluang kepada orang muda-muda.

    “Hampir 50 tahun saya terlibat dalam politik nasional dan telahpun memegang pelbagai jawatan. Maka saya merasakan ia sudah cukuplah. Kasi ‘chance’ pada orang lain,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi ramah mesra bersama masyarakat Cina di Bukit Kepong, Pagoh, Muar, hari ini.

    Bagaimanapun ujarnya, beliau tetap akan menabur khidmatnya untuk tempoh lima tahun lagi sekiranya gabungan itu menang dalam PRU-15 nanti, lapor Astro Awani.

    Katanya, PN, khususnya parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), masih mempunyai pelapis muda yang berkaliber serta mampu menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin sebaik pengunduran dirinya itu.